28 July, 2008

Catatan Santai Buat TGNA

Salam ukhwah,

Terasa nak mengetip keyboard la. Pas ni nak sambung kerja-kerja rutin. Malam kian larut. Ada beberapa perkara bermain-main di kepala.

Satu, kebijakan TGNA dalam berpolitik. Bubar Pas, bubar Umno, tubuh parti baru berasaskan Islam. Ini kebijakan dan memerangkap lawan. Bedolah telah melebarkan skop muqabalah, boleh memasukkan agenda politik. Ini telah ditolak TGNA. Kebijakannya ialah orang umno mesti sayang akan partinya. Orang Pas sayang akan partinya. Orang Umno tidak mungkin tukar ic kepada ic Pas, begitu juga orang Pas, tak akan sekali-kali akan guna ic Umno. Dua-dua ketegar. Kita tentunya boleh faham kan. Politik ialah ideologi dan masing-masing sanggup hilang nyawa dalam mempertahan iedologi. Maka yang terbuka: bubar kedua-dua. Asalkan dasar parti baru ini ialah Islam.

Kedua, perangkap. Kalau betul-betul ikhlas, bubar parti ini bukan sukar sangat. Saya yakin, orang Pas akan setuju kerana tarbiyah orang Pas ialah ikut dan patuh pada pemimpin. Tapi, orang Umno, belum tentu. Tahu kenapa? Rasanya boleh jawab sendiri kot.

Ketiga, bila masuk blog DSAI, ada video TGNA membaca doa selamat khusus kepada DSAI. Kata TGNA, "kesian kat dia". Kita berdoa semoga Allah memberi rahmat-Nya kepada TGNA atas keprihatinannya membela orang yang diaibkan. Kita agak heran, kenapa TGNA ni begitu ambil berat hal DSAI ni. Di luar, orang-orang akan bertanya kenapa. Adakah seperti sindir Sayuti Omar, orang baju petak-petak merah tu la yang suruh TGNA baca doa tu?

Rasa sayalah. dan saya nak cerita sikit. Semasa Anwar jadi TPM dan Menteri Kewangan, TGNA jadi Menteri Besar Kelantan. Seluruh ceruk rantau Tanah melayu, Sabah, dan Sabah tahu betapa Kelantan di bawah Pas didiskriminasi cukup hebat oleh BN. Peruntukan pembangunan jauh sekali. Malah duit pembangunan yang masuk adalah melalui JPP, dan disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan seperti Risda, Felda, JKKK, Kesedar. Bukan itu sahaja, geran wajib pun sengaja dilambat-lambatkan.

Kita sedia maklumkan bahawa hasil kerajaan Kelantan tak banyak malah setiap kali belanjawan, mesti belanjawan defisit. Cuma dua tiga tahun terakhir ni, baru kerajaan negeri ada duit sikit. Jadi, salah satu sumber wang ialah geran wajib kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Tak faham lagi, pada siapa TGNA nak mengadu. Yang pegang duit Persekutuan ketika itu ialah Anwar Ibrahim. Cuba tanya TGNA, apa yang Anwar ni buat? Adakah geran itu ditahan? Cuba tanya lagi, adakah Anwar itu sebagai TPM, dan Menteri Kewangan (besar kuasa dan jawatan tu!) tak hormat TGNA? Rasanya, TGNA, kalau Anwar itu sombong dengan jawatan kuasa yang dia ada, tak hormat pula sekurang-kurangnya kalau tidak sebagai Menteri Besar, atau Tok Guru, sekurang-kurangnya sebagai orang tua, rasanya TGNA dah lama "reject" kerjasama dengan PKR, dan DAP. Rasa saya, TGNA "kenal" benar-benar siapa Anwar itu. Macam TGNA "reject" muzakarah dengan Umno.

Nak tulis lagi, tapi embun jantan dah menitik. Rasanya nak tulis surat terbuka kepada Pakatan Rakyat - PAS, PKR, DAP, dan Umno. Kena peram dulu idea-idea itu.

Baru teringat, nak tulis juga tentang transformasi ketuanan Melayu. Dah terlupa tentang hal ini. Tapi kena tulis juga. Banyak orang dok masih pegang definisi yang berbentuk nostalgia, sedangkan persekitaran, dan iklim politik, serta pemain-pemain politik (grass root) telah diambil alih, sekiranya kita teliti baik-baik PRU12 yang lalu.

Ok, undur dulu ..

Wassalam
,

26 July, 2008

Bingkisan untuk Renungan

Salam Ukhwah,

Dalam bersantai, dan bermenung, sambil menanti-nanti sms yang tak kunjung-kunjung datang, beberapa hal kadang-kadang mengeletek. Blog demi blog ditelusuri, akhbar-akhbar internet dilayari. Otak kadang-kadang diketuk-ketuk.

Soal marah-marah tentang muzakarah Pas-Umno, op silap, muqabalah, rasa saya telah pun antiklimak. TGNA telah menegaskan bahawa beliau tidak mahu bertanggungjawab jika sesuatu yang buruk berlaku terhadap Pas sekiranya tindakan diambil oleh pihak pimpinan tertinggi tanpa restu beliau.

Yang ada kini ialah muqabalah, bertemu atau bersemuka, itu pun dalam skop kepentingan agama dan bangsa semata, tanpa menjejaskan hubungan Pas dalam Pakatan Rakyat. Kebijaksanaan pimpinan tertinggi Pas dalam menamgani isu ini melegakan banyak pihak: Pakatan Rakyat, ahli Pas, simpatisan Pas daripada bukan Melayu, ahli umno (maaf, kalau ada), dan rakyat terbanyak.

Mereka berasa lega bukan apa tetapi mengingatkan masa inilah masa terbaik untuk melakukan perubahan ke arah hidup yang lebih sejahtera khususnya untuk anak cucu kita kelak. Terlalu banyak sendi-sendi kehidupan, dan hidup beragama yang telah rosak sejak 50 tahun merdeka.

Hak untuk membawa kesejahteraan bukan semata-mata hak Umno sahaja. Rakyat harus faham bahawa tanpa menafikan kebaikan-kebaikan yang dibawa BN dan Umno, bahawa Umnolah yang menghakis, dan meminggirkan orang Melayu dalam segala segi. Tak ada salahnya, pemodenan dan pembangunan, tetapi apabila industrialisasi yang melampau tanpa pertanggungjawaban sosial, moral, dan agama maka pemodenan itu akan bersifat "hedonis".

Banyak lagi yang ingin ditulis, tetapi banyak kerja-kerja wajib perlu dilaksanakan.

undur dulu ...

Menanggapi Pendirian Mohd Sayuti Omar (MSO)

Salam Ukhwah kepada pembaca yang sudi,

MSO tentunya amat gembira. Rasanya, tentu sekali peristiwa ini dirakamnya. Sambil senyum, dan agak sinis, dia berhujah. MSO tentunya lega kerana mukanya dan ideanya telah ditonton oleh seluruh penduduk Malaysia, pada beberapa hari lepas. Mukanya terjongol dalam slot Buletin Utama, TV3, mengulas tentang muzakarah PAS-UMNO. Kita tertanya-tanya mengapa agaknya TV3 memilih dia untuk ditemu ramah? Saya rasa, temu ramah ini bukan dilakukan sembarangan atau tangkap muat je. Saya yakin, penerbit telah meneliti komen-komen atau ulasannya tentang mauduk ini dalam blognya, http://www.msomelayu.blogspot.com/.

Dua tiga perkara yang dapat kita simpulkan dan fikirkan daripada pendapat beliau itu. Dua tiga perkara ini sering bermain-main dalam kepala saya sejak sebelum PRU 12 sehinggalah kini, isu muzakarah.

Baiklah, kita pergi dulu kepada komen-komennya dalam wawancara itu.

Pertama, MSO begitu jelas menyokong muzakarah ini. MSO seolah-olah mengimpikan satu gabungan atau pakatan politik antara PAS-UMNO, atas nama Islam dan Melayu. Bagi dia, gabungan ini jika berlaku bangsa Melayu menjadi bangsa yang kukuh. Alasannya, PAS memperjuang Islam, UMNO memperjuangkan bangsa. Jadi lengkaplah.

Kedua, MSO seperti kecewa dengan pendirian Tok Guru Haji Nik Aziz (TGNA) yang menolak mentah-mentah "pakatan politik" ini. Kalau kita baca dalam blognya, MSO seperti berdebar-debar menunggu keputusan perjumpaan Ahli Majlis Syura PAS berjumpa dan bermesyuarat dengan TGNA di JKR 10. Jantungnya "dub-dab" kerana kesiankan TGNA akan berhempas-pulas mempertahan hujah sedangkan ahli lain menyokong muzakarah. Dia juga khuatir, takut-takut misi utama TGHH, Dr Nasha, Mustapha Ali akan digagalkan oleh TGNA. Akhirnya, dia lega walaupun agak kecewa kerana keputusannya, majlis syura membuat ketetapan menolak muzakarah, menolak "Pakatan Politik", hanya perjumpaan biasa (muhabalah), dan mempertegas sikap "akan tetap bersama Pakatan Rakyat".

Ketiga, dia seolah-olah berkias, tetapi sebenarnya menyindir "orang berbaju merah petak-petak" (Datuk Husam) yang keluar dari lubang tikus "membisik" kepada TGNA sehingga TGNA menolak muzakarah. Bagi, MSO, TGNA begitu naif, lurus, tidak mampu berfikir, dan membiarkan fikirannya ditawan oleh si baju merah kotak-kotak itu. Hebat sungguh Si Husam itu ye. Secara tersirat, MSO tidak begitu "berkenan" dengan tingkah laku orang ini, dan gengnya iaitu Salahudin, Mahfuz, Dr Syed Azman, Dr Hatta, Dr Zulkifli, yang pada MSO seperti melupakan parti yang diwakilinya, dan selalu membuntuti DSAI.

Keempat, MSO tidak begitu positif tentang Pakatan Rakyat (PR) dan DSAI. Pada hemat saya, dalam benak MSO, GR dimonopoli oleh DSAI untuk kepentingan politiknya, dan membiarkan dirinya dikuasai oleh kaum bukan Melayu dan DAP, dan mengesampingkan Islam. PR bukan tanah yang subur untuk memperjuangkan Islam dan Melayu.

Sama-samalah kita fikir-fikirkan ....

Dari serambi sambil bersantai ...

14 July, 2008

Menanggapi Luahan Tuan Guru Haji Hadi

Tuan Guru Haji Hadi (TGHH), selaku Presiden PAS telah meluahkan beberapa perkara yang selama ini menjadi tanda tanya dalam kalangan orang parti atau rakyat tentang kedudukan PAS dalam gagasan Pakatan Rakyat. Hal ini terdedah dalam wawancara beliau dengan Harakah, keluaran terbaharu, 10 Julai 2008.

Terluah sudah apa yang terbuku di hati. Saya berasakan sudah tentu terdapat beberapa insiden yang melatari luahan itu.

Saya akan memfokuskan ulasan ini terhadap beberapa perkara yang saya kira penting dan amat signifikan dalam konteks kelangsungan Gagasan Pakatan Rakyat (GPR).

Dalam benak saya tertanya-tanya mengapa luahan ini terpacul keluar dan akan dibaca oleh seluruh masyarakat. Maknanya dengan sengaja membuka “pekung di dada”.Tentu luahan ini akan menimbulkan beberapa kesan yang berentetan bukan sahaja kepada ahli parti tetapi juga kepada rakan-rakan dalam GPR, rakyat terbanyak, dan rakyat yang bersikap berkecuali. Tentunya akan disambut dengan gegak gempita oleh musuh-musuh GPR.

Bagi saya, TGHH terpaksa bercakap, bukan lagi mendiamkan diri atau hibernate. Kerajaan PR telah melampaui 100 hari pemerintahan mereka. Adakah PAS signifikan dalam GPR? Kalau kita teliti, PAS hanya dominan di kelantan dan Kedah sahaja, Pulau Pinang didominasi DAP, Selangor oleh PKR dan DAP, begitu juga di Perak, walaupun Menteri Besarnya daripada PAS, tetapi majoritinya DAP.

Barangkali, TGHH terkesan dengan insiden yang berlaku dalam Perhimpunan PROTES, 6 Julai lalu, dan insiden laporan polis tentang liwat oleh DSAI. Dan yang terbaharu ialah usul Undi Tidak Percaya terhadap kerajaan BN dalam parlimen.

Insiden PROTES, orang PAS mengkritik hebat perhimpunan itu, majoritinya dianggap gagal, dan bukan sahaja gagal malah telah memasukkan unsur-unsur hiburan yang agak melampau. Ahli PAS menganggap PROTES hanya bersifat “carnival”, tiada kesan atau impak kepada BN atau rakyat. Protes dan mesej sejuta rakyat kepada kerajaan BN tentang kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, tidak mengenai sasarannya. Saya simpulkan bahawa ahli PAS tidak setuju tentang lokasi yang tertutup, mereka lebih suka di jalan raya. Mereka tidak berpuas hati tentang atur cara yang seolah-olah seperti PAS mengadakan ceramah, penuh dengan gerai-gerai jualan. Mereka juga protes tentang “konsert” yang seolah-alah penganjur tidak peka dengan jalur perjuangan PAS. Mereka lebih suka “demo”. Bagi mereka demo lebih kuat mendatangkan kesan. Ketidaksetujuan mereka terjelma daripada penarikan diri ahli pemuda dan unit amalnya dari perhimpunan tersebut. Dan ini diperkuat dengan ketidakhadiran Dr Nasharudin yang sepatutnya berceramah bersama dengan DSAI pada sebelah malamnya. Ini menunjukkan penarikan diri itu direstui oleh pihak tertinggi PAS.

Barangkali, insiden PROTES ini menjadi faktor pencetus daripada ketidapuashatian ahli PAS terhadap beberapa perkara atau tindakan atau dasar dalam GPR sejak terbentuknya GPR.

Saya sebagai pemerhati politik dari luar, tidaklah diketahui hal-hal yang menyebabkan TGHH berasa begitu terkilan sehingga terkeluar ungkapan “GPR tidak mempunyai ketua”. Ungkapan ini seolah-olah menafikan peranan DSAI mewakili GPR atau jurucakap GPR. Seluruh kenyataan TGHH termasuk ungkapan yang akan menjadi “duri dalam daging” ini telah “diendorse” oleh pihak tertinggi PAS.

Saya menanggapi hal ini daripada beberapa sudut. Sudut pertama, wujud pergolakan peringkat pimpinan Pemuda yang seolah-olah GPR sering terpinggir dalam beberapa keputusan peringkat nasional. Di Kelantan dan Kedah, mereka tidak mempunyai masalah, kerana PAS dominan. Tetapi di Selangor, dan di Perak, PAS minoriti dalam kerajaan. Di kedua-dua negeri ini, khususnya di Selangor, yang menonjol ialah polisi-polisi yang dipelopori olej PKR dan DAP. Polisi-polisi yang berkaitan dengan keagamaan tidak jelas walaupun hal-hal berkaitan keagamaan diberi kepada PAS. Begitu juga di Perak, hal sedemikian juga berlaku. Ini menggambarkan bahawa perjuangan PAS tidak dapat diterapkan dalam GPR – menggambarkan seolah-olah PKR dan DAP tidak sehaluan dengan PAS. Dan, bagi mereka, insiden PROTES, 6 Julai lalu menjadi bukti kukuh bahawa GPR tidak sensitif dan tidak menghormati jalur-jalur perjuangan PAS. Dalam konteks ini, TGHH sebagai presiden harus bersuara. Mendiamkan diri bermakna dianggap bersetuju, sedangkan muktamar tak lama lagi akan berlangsung. Keresahan itu harus ditangani.

Sudut kedua, soal mengepalai GPR. Seingat saya, ketiga-tiga parti telah bersetuju memperakukan DSAI menjadi ketua atau sekurang-kurangnya penyelaras atau jurucakap GPR. Dalam konteks ini, di peringkat nasional, DSAI nampaknya lebih tertonjol, dan menenggelami tokoh-tokoh lain termasuk TGHH. DSAI telah dengan konsisten mempelopori usaha menarik YB BN menyeberang ke GPR dalam usaha mengambil alih kerajaan. Setahu saya, TGNA memberi lampu hijaunya terhadap usaha ini, dan tentunya dengan peringatan-peringatan tertentu. Mestilah akan timbul pro dan kontra tentang tindakan politik, khususnya jika ditinjau dari sudut moral politik.

Tentang hal siapa mengepalai GPR ini, saya berpendirian bahawa GPR sedar bahawa yang paling layak memimpin ialah DSAI. Saya melihat bahawa GPK akur dengan fakta berikut:

Pertama, pengalaman DSAI dalam bidang eksekutif peringkat pusat sebagai menteri (fotpolio kanan – pendidikan dan kewangan) dan TPM.
Kedua, pengalamannya dari sudut pengurusan organisasi, kepartian.

Ketiga, ketokohannya dalam erena keantarabangsaan ( Timur, Barat dan Dunia Arab ).

Keempat, Kewibawaannya dalam bidang keintelektualan dalam konteks Islam, Barat, dan ketamadunan.

Kelima, komitmen yang konsisten dalam membela masyarakat terbanyak.

Namun, mengapakah TGHH sampai mengeluarkan kata-kata bahawa “tiada ketua dalam GPR”? Barangkali, yang dimaksudkan ialah ketiga-tiga parti itu memiliki kedudukan yang sama taraf. Maksud TGHH apabila DSAI menjadi “ketua” tidak bermakna PKR boleh memonopoli atau memaksakan keputusan-keputusan dari jalur PKR ke atas PAS atau DAP. Masing-masing parti mempunyai hak untuk menolak, atau tidak bersetuju. DSAI lebih bertindak sebagai “moderator”. TGHH menghantar isyarat bahawa setiap keputusan harus dicapai secara konsensus.

Bagimana pula dengan situasi politik Malaysia terkini? Pada saya jelas bahawa BN dalam keadaan yang cukup tertekan. Kemaraan GPR seolah-olah tidak dapat disekat lagi. Situasi politik di Sarawak dan Sabah yang menyumbangkan kemenangan kepada BN sedang bergolak hebat. Jika benar dakwaan bahawa YB-YB dari sana sedang bersedia untuk menyeberang bila-bila masa, Putra sedang menunggu masa untuk rebah. Lalu, apakah caranya untuk sekurang-kurangnya memperlahankan momentum ini? Sedia maklum bahawa GPR terbentuk dengan ketokohan DSAI, maka sesuatu perlu dilakukan untuk menggugat perhatian dan fokus DSAI. Kerana hal demikianlah, hal “liwat” diulang tayang semula.

Apakah kesan aduan liwat ini terhadap GPR? Setakat ini, peluru yang dilepaskan oleh BN melalui tembakan “liwat” telah membahang GPR.

Dalam keadaan DSAI berhempas pulas mempertahan reputasinya, sepatutnya atau semestinya beliau mendapat dukungan kuat GPR. Berdiri teguh di belakang orang dituduh, yang mengikut prinsip, tidak bersalah sebelum dijatuh hukum bersalah bermakna mempertahan integriti GPR. BN bukan hanya bermaksud menyerang DSAI secara individu atau peribadi, tetapi mereka juga menyerang GPR – menggugat atau menguji kekuatan dan kesetiakawanan GPR. Serangan BN itu harus dilihat dari sudut itu. Bagi mereka yang melihat seolah-olah aduan liwat itu semata-mata bersifat peribadi adalah tanggapan yang amat naif.

Bagi mereka yang melihat bahawa masalah pertuduhan DSAI itu sebagai masalah peribadi semata-mata, cubalah membaca dengan teliti ulasan Zulkiflee Bakar dalam Mingguan Malaysia, 13 Julai 2008. Dia secara halus memasukkan jarum beracunnya. Kitalah yang membuka jalannya. Bacalah wawancara TGHH dalam Harakah terbaru, 10 Julai 2008. Selama ini mereka terkial-kial mencari ruang. Kini ruang itu terbuka lebar. Sekali lagi, kita yang membukanya. Saya perturunkan, kata-kata yang membuai rasa itu:

Sama ada hendak diakui atau tidak, PAS adalah sebuah parti yang besar dan selama ini berdiri dengan kekuatan serta kemampuan sendiri. Sejarah telah membuktikan bagaimana PAS telah berjaya menawan Kelantan dengan cemerlang dan suatu ketika menawan terengganu. PAS berjaya menguasai Kedah dengan mendapat 16 kerusi. Oleh itu, walaupun PAS tidak berada dalam Pakatan Rakyat, PAS akan mampu berdiri dengan sendiri dan sekaligus tidak akan mengelirukan rakyat dengan matlamat perjuangannya. Kalaulah benar PAS hendak memperjuangkan Islam, mereka tidak boleh selama-lamanya berada dalam Pakatan Rakyat. DAP sudah pasti tidak akan membenarkannya manakala PKR pula tentu akan menentang. Dalam membuat apa juga keputusan politiknya, PAS seharusnya meletakkan kepentingan Islam dan orang Melayu sebagai keutamaannya”.

Begitu lunak kata-kata Zulkiflee. Mengapa tiba-tiba Zulkiflee begitu lunak? Hal ini kerana dia sudah dapat menghidu keresahan PAS dalam kedudukannya bersama GPR dan dapat meramal bahawa PAS dan UMNO (baca: amat terdesak) boleh duduk bersama untuk berbincang tentang perpaduan orang Melayu.

Tidak ada salahnya ulasan Zulkiflee yang lembut dan membuai ini. Tetapi, cuba bayangkan kesannya terhadap ahli-ahli PAS yang sedang resah dan tidak puas hati dengan layanan PKR dan DAP dalam GPR. Bagaimana pula tentang tanggapan ahli-ahli PKR dan DAP? Sudah tentu akan timbul tafsiran bahawa PAS sedang mengkhianati GPR.

Saya amat mengharapkan agar setiap pemimpin dalam GPR bermuhasabah. Di bahu andalah setiap rakyat yang mahukan perubahan meletakkan harapan. Hal-hal besar yang menyangkut GPR yang mampu menjejaskan ikatan harus diselesaikan secara keluarga dan pada peringkat pimpinan. Jangan biarkan hal-hal di bawah menghilangkan fokus penting perjuangan. Setiap pimpinan harus turun ke bawah meredakan setiap kegelisahan dengan meletakkan matlamat perjuangan bersama sebagai prioriti. Jangan nanti, anak cucu kita meletakkan kepayahan hidup mereka terhadap tindakan kita hari ini. Sesungguhnya kita sedang berhadapan dengan ujian yang cukup getir.

Akhirnya, izinkan saya perturunkan pesanan DSAI tentang perjuangan: “selalulah berfikir dan bertindak dalam kerangka perjuangan yang lebih besar”. Kepada ahli PAS, cuba fahami benar-benar apa ertinya apabila YB Lim Guan Eng dalam ucapan pertamanya setelah berjaya membentuk kerajaan di Pulau Pinang bahawa beliau akan mencontohi semangat dan falsafah tindakan Umar Abdul Aziz ... Pertimbangkanlah ... Masa ini sesungguhnya masa untuk memperkuat barisan!

Walahualam

12 July, 2008

PROTES: Buangkan Yang Keruh Demi Rakyat

Dapatkah kita menolak hakikat bahawa apabila dinamakan manusia, manusia itu bersifat baru dan lemah, tidak sempurna, terbuka kepada kekhilafan. Yang sempurna ialah Allah s.w.t. Perhimpunan PROTES pada 6 Julai lalu, pada sesetengah pihak adalah perhimpunan yang gagal mencapai matlamat, lebih kepada “Jom Heboh”, “Fun Fair”, “Perhimpunan Suka ria”, dan seumpamanya.

Segalanya berpunca daripada insiden “tunjuk punggung” oleh band underground, Carburetor Dung, oleh penyanyinya, Alak.

Geng Pemuda PAS, dan Unit Amalnya menarik diri. Sebelah malamnya, acara kemuncak, ceramah politik termasuk DSAI dan Ustaz Nasharudin. Tetapi, sesuai dengan penarikan diri PAS dari perhimpunan itu, Ustaz Nasharudin tidak hadir untuk berpidato.

Apabila kita meneliti webblog-webblog alternatif atau yang pro PR, riuh dengan komen masing-masing yang semuanya berkesimpulakan, gagal mencapai matlamat malahan menyalahkan dan menghentam Dr Hatta sebagai Pengerusi Penganjur, dan Hishamudin Rais yang bertanggungjawab terhadap pengisian program.

Wajarkah? Apakah makna di sebalik insiden ini?

Realiti yang harus diterima ialah insiden itu telah berlaku dan jarum jam tidak boleh sekali-kali dipusing kembali. Adakah Dr Hatta mengharapkan insiden itu berlaku? Adakah Hishamudin Rais dengan sengaja mahu tunjuk “punggung” itu berlaku?

Siapakah orangnya Dr Hatta itu? Bukankah dia Bendahari PAS Pusat? Bukankah dia seorang tokoh? Tak usah pandang kepada Hishamudin Rais, dia orang biasa (maaf ye), tetapi cuba renungkan kedudukan dan hierarki Dr Hatta dalam organisasi PAS sendiri. Dan, saya percaya, dalam Muktamar Pas pada Ogos nanti, tentu sekali beliau akan dibelasah teruk. Harapan saya, agar Dr Hatta dapat bersabar dan menerima segala kritikan dengan hati terbuka. Pada saya beliau telah pun memainkan peranannya. Dan, sepatutnya beliau dihormati kerana telah berjaya memastikan program berlangsung sehingga ke majlis puncak (ceramah umum) pada malamnya walaupun tanpa kehadiran wakil PAS. Dapatkah kita baca hatinya?

Dalam Harakahdaily (9 Julai 2008), Dr Hatta telah memohon maaf atas insiden yang berlaku, dan beliau menjelaskan juga bahawa Hishamudin Rais memikul tanggungjawabnya dan menyatakan permohonan maafnya kepada audien. Lalu apakah yang sepatutnya reaksi kita sebagai orang beragama, orang yang bermasyarakat, orang yang berorganisasi, dan sebagai orang yang mendukung prinsip bersahabat?

Yang harus kita sedar sungguh-sungguh, kita terutama ahli PAS ialah kita bukan berada dalam sekelompok kawan-kawan yang sedang berborak atau berbincang di kedai kopi. Kita adalah gabungan parti atau organisasi yang siap untuk bergerak ke Putrajaya.

Setiap daripada kita wajib memberi respons terhadap sesuatu peristiwa sama ada peristiwa yang baik atau peristiwa yang buruk, dengan penuh hati-hati dan bijaksana supaya matlamat bersama dapat dicapai, dan menyelesaikan segala krisis dengan semangat berkeluarga, dan meletakkan “akhlak” sebagai asasnya.

Dalam situasi “goverment in waiting” kita wajib bertindak “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak rosak” bukan cuba untuk membuktikan “aku yang benar” walau apa pun “caranya”. Kita harus mampu bertindak persis seorang “diplomat”. Kita seharusnya belajar mengekang rasa amarah, menyembunyikan emosi marah yang membuak, dan digantikan dengan tindakan atau kata-kata yang tegas tetapi lembut dan tidak menyinggung.

Seperkara lagi ialah kita seharusnya mengalu-alukan rakan-rakan atau yang cuba berjinak-jinak menjadi rakan kita tidak kiralah apa statusnya. Saya mengalu-alukan penjelasan Datuk Husam (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=15685&Itemid=1), yang lebih mengutamakan sudut positifnya tanpa menutup kejanggalan adab itu. Kesalahan boleh ditegur tetapi biar beradab. Mereka boleh dibetulkan kemudian. Kata Husam, lihat pada liriknya – apakah makna tersiratnya, apakah konotasinya? Tetapi berbeza nadanya dengan Ustaz Idris Ahmad (http://idrisahmad.wordpress.com/) seolah-olah gagal seluruhnya perhimpunan PROTES itu.

Begitu juga tentang Hishamudin Rais (http://jordan2jelebu.blogspot.com/), cuba teliti dan renung, salahkah niat dan tindakannya yang meraikan sekelompok masyarakat untuk menyatakan kejengkelannya? Beliau telah dengan jelas memberi garis panduan persembahan. Kita seharusnya membanyakkan kawan, bukan musuh. Mereka harus didekati bukan dimusuhi. Kalau salah, tegurlah dengan beradab, apatah lagi kita pula daripada organisasi yang beragama!

Kita kadang-kadang terlupa siapa kita. Kita selalu terperangkap dengan ego diri. Kita harus sedar, akhirnya rakyat tidak menilai ilmu yang banyak, tetapi akhirnya rakyat menilai akhlaknya. Sebagai pemimpin, akhlak adalah muaranya, ilmu adalah liku-liku sungainya. Berhati-hatilah. Bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin, setiap tindakan harus ada dimensi sosialnya, dimensi agamanya, dimensi falsafahnya, dan dimensi psikologinya. Contohnya jelas, telitilah bagaimana TG Haji Nik Aziz menerajui kerajaan dan rakyatnya.

Seperkara lagi yang timbul dalam benak saya ialah kegagalan segmen-segmen dalam organisasi Pakatan Rakyat melihat dan membaca situasi terkini iaitu suhu politik yang dideritai oleh BN. Kita seolah-olah gagal menafsir situasi genting kini selepas aduan liwat yang dihadap DSAI. Kita juga gagal menafsir apa helahnya apabila Najib dan Musa Hassan mengatur latihan besama Polis dan tentera dalam menangani ketenteramman awam. Latihan bersama ini tidak pernah berlaku sebelum ini sejak peristiwa13 Mei 1969, tentu ada agenda tertentu atau tujuan tertentu.

Pada firasat saya yang daif ini ialah mereka sedang menanti-nanti bila berlakunya reformasi gelombang kedua. Sejurus berlaku reformasi gelombang kedua ini, yang pada hemat saya akan lebih hebat dengan penyertaan ketiga-tiga kaum – Melayu, Cina, dan India, pertembungan antara polis dan tentera akan tercetus. Kekacauan pasti berlaku akibat provokasi. Maka darurat diisytihar. MAGERAN akan mencengkam. Seluruh agenda dan gerakan Pakatan Rakyat akan terhenti dan terpadam setidak-tidaknya sehingga PRU13.

Maknanya demo di jalan-jalan raya wajib dielak.

Jadi, pada hemat saya secara tersirat, pihak penganjur telah pun dapat menafsir situasi genting ini, maka perhimpunan-perhimpunan atau demo seperti PROTES lebih selamat diadakan di tempat tertutup sekiranya kita mahu agenda PR terus hidup.

Wallahualam.