28 September, 2008

Catatan Buat MSO (Sekembalinya dari Umrah)

Assalamualaikum,

Kepingin sekali untuk ke sana, ke tanah dan tempat yang tiada unsur dendam dan sakit hati. Semuanya berukhwah dan saling mengikat silaturahim.
Namun kini masih belum berkesempatan.

Semoga kunjungan ke sana akan menyuntik semangat berkobar-kobar untuk berbakti kepada agama dan bangsa. Sesungguhnya bangsa kita, orang Melayu masih lagi terkurung dalam nostalgia bahawa Malaysia hanya negaranya semata-mata. Hakikat politik akibat angkara British tidak boleh kita tolak. Realiti tetap realiti. Mau tak mau kita perlu hidup bersama realiti politik dan demografi tersebut. Inilah asas hala tuju politik kita kini.

Sekali lagi, apabila kita bercakap tentang masyarakat di Madinah maka mahu tak mahu termuncul nama Anwar, dengan gagasannya masyarakat Madani. Alangkah bahagianya masyarakat Malaysia apabila Anwar dan TGHH dan TGNA bersama-sama menggembleng tenaga memacu dan menjana gagasan yang memang didambakan oleh mana masyarakat. Yang ada dalam masyarakat ini ialah pelunasan tanggangjawab dan kewajiban insan dalam konteks kekhalifahan manusia dan kecintaan kepada Allah semata-mata. Insan lebur dalam cinta Allah.

Semoga impian ini akan dapat dicapai akhirnya. Syaratnya tidaklah sukar, mengamalkan, ‘amal makruf, nahi munkar”.

Selamat istirehat. Ambil balik segala tenaga. Berbloging boleh dikemudiankan, walaupun suhu politik kini kian menggelegak.

25 September, 2008

Membaca Kritikan Azizi, "Badan PAS, Baju PKR"

Azizi menulis dalam blognya, yang khas dituju kepada Pemuda PAS yang seolah-olah mereka melupai siapa diri mereka. Tindak-tanduk mereka seolah-olah berartikulasi dengan PKR. Tiada lagi gema takbir, yang dilaungkan ialah reformasi. Azizi merujuk khusus kepada tingkah laku pemuda PAS di PRK Permatang Pauh.

Azizi seolah-olah begitu jengkel dengan tingkah pemuda ini sehingga lupa bahawa diri mereka adalah ahli PAS, bukan ahli PKR.

Sekali lagi faktor Anwar.

Sekali lagi Anwarlah yang menjadi penyebab.

Kejengkelan Azizi ini lebih kurang sama dengan ulasan dan kritikan Mohd Sayuti Omar dalam blognya. MSO merumuskan bahawa pemimpin-pemimpin PAS seumpama Husam, Salahudin, Dr Hatta, sekadar menyebut beberapa nama seperti terpukau dengan Anwar, pada masa sama melupai presiden dan Parti mereka.

Pada saya, teguran, kritikan dan rasa tidak senang ini datangnya apabila kedua-dua penulis ini melihat secara fizikal dan lahiriah. Tidak adil rasanya kritikan ini.

Mereka yang mewakili PAS berhempas-pulas memperkukuh Pakatan Rakyat, berhempas-pulas cuba menjayakan agenda PR. Tujuan mereka hanya satu: meruntuhkan BN dan UMNO dari persada kuasa, dan digantikan dengan pemerintahan PR. Usaha yang besar dan amat berat tidak mampu didokong oleh PKR dan DAP sahaja. PAS harus memainkan peranannya. Kalau PAS hanya menjadi pemerhati, dan melihat dari jauh sahaja, atau pemerhati pasif, tetapi mendakwa bahawa mereka adalah rakan PR tetapi tidak proaktif, apakah yang akan terjadi kepada PAS jika Tuhan mengizinkan berlakunya peralihan kuasa tersebut.

Kepada pengkritik sebegini, usahlah mengulangi kesilapan Cikgu Pa yang memperkecilkan usaha PKR untuk menjayakan agenda 916 itu. Sepatutnya teguran-teguran sebegini janganlah didedahkan secara terbuka kerana dengan pendedahan ini menampakkan pekung kita:

1. Ketidakyakinan PAS terhadap personaliti Anwar. Apa agaknya reaksi daripada penyokong Anwar di luar sana pada sikap PAS ini?

2. Menampakkan seolah-olah Anwar tidak mempedulikan Islam dan kemelayuannya.

3. Memperlihatkan seolah-olah Anwar begitu rakus dan gila kuasa.

4. PAS seperti tidak ikhlas menjadi rakan dalam PR.

5. PAS seperti melanggari keputusan muktamarnya sendiri.

6. Yang terpenting ialah apakah reaksi penyokong-penyokong PR yang terdiri daripada bukan Melayu, dan Kelab Penyokong PAS?

Akhirnya, kita sebagai ahli atau pemimpin haruslah membezakan posisi kita apabila kita cuba menegur. Adab menasihat haruslah dijaga, dan jagalah perpaduan jamaah atau rakan segabungan. Kesannya perlu dijangkakan terlebih dahulu. Di luar sana, mereka memerhati kita. Di luar sana terdapat penyokong kita yang tidak berparti, yang mendokong aspirasi yang sama. Di luar sana juga penuh dengan musuh-musuh kita yang pada bila-bila masa akan menyerang kita jika wujudnya ruang hatta sehalus lubang jarum.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam kita menegur ... Sepatutnya kita sebagai veteran atau pemimpin tak kiralah pada peringkat mana, mengambil sikap membela rakan, dan kalau ada yang tidak kena tegurlah secara keluarga, bukan mendedahkan kepada khalayak rahsia rumah tangga kita.

24 September, 2008

Sekalung Bunga Bunga Buat Songkok Putih

Salam buat Saudara Songkok Putih.

Terima kasih tak terucap atas murah hati saudara Songkok Putih kerana sudi meletakkan link blog ini dalam Tranungkite.

Untuk pengetahuan, blog ini dilahirkan untuk didedikasikan kepada khalayak dalam usaha menyertai arus dan gelombang perubahan politik pasca PRU12. Blog ini terlalu sederhana memandangkan penulis masih amatur dan bukannya berpengetahuan dalam IT.

Telah terlalu lama penulis hibernate dalam politik, sejak tahun 90-an. Ruang untuk menulis kian sempit selepas insiden black September 1998. Sejak itu setiap penulisan atau komen yang bercorak kiri dipantau hebat oleh KDN. Saya mula menulis sejak 90-an lagi.

Dengan link blog ini terpublish dalam tranung, menuntut penulis untuk sentiasa mengemas kini blog ini. InsyakAllah, blog ini akan diupdate di celah-celah kesibukan kerja-kerja rutin dan asasi penulis.

Sekali lagi, terima kasih daun keladi buat Songkok Putih.

17 September, 2008

AWAS Taktik Terbaru Pak Lah: Sekadar Hipotesis

Salam untuk semua.

Malaysia dikejutkan lagi. Terkini Pak Lah baru mengumumkan langkah drastiknya., menyerahkan potfolio yang dipegangnya sejak 2004 kepada Najib, Menteri Kewangan. Pak Lah pula mengambil alih Kementerian Pertahanan.

Bacaan yang tersurat ialah reaksinya terhadap serangan terbaru terhadap dirinya, pengasakkan oleh regu TDM-Najib-Muhyidin terhadap pelan 2010. Akibat asakan dan tikaman ini, Pak Lah mahu tidak mahu perlu bertindak. Beliau perlu memperlihatkan dirinya akur dan ikhlas, serta mengakui kelemahan dirinya dalam mengurus negara dan ekonomi.

Seterusnya, ekonomi khususnya pasaran saham sedang bergerak pantas ke arah merudum. Pasaran merupakan petunjuk akan kesihatan ekonomi. Apabila pasaran saham (Bursa KL) jatuh menandakan ekonomi Malaysia sedang tidak sihat. Siapa pengurusnya? Tentulah Pak Lah.

Bacaan selanjutnya ialah pelan 2010 seolah-olah dipercepatkan. Pak Lah menjelaskan bahawa beliau akan bersara lebih awal jika prestasi Najib dalam menguruskan ekonomi cemerlang. Ini trend sejak dahulu apabila seseorang PM ingin menyerahkan kuasanya, calon PM perlu menunjukkan kebolehan dalam pengurusan ekonomi. Ini signal bahawa Pak Lah sedia berundur lebih awal.

Signal ini ditujukan kepada pengkritiknya bahawa beliau begitu taksub dengan kubu kuasanya. Akar umbi akan mendapat petunjuk bahawa Pak Lah telah sedia mengalah dan berundur. Sekurang-kurangnya akan merendahkan suhu penentangan akar umbi terhadap Pak Lah.

Namun tepatkah pertukaran potfolio ini dilakukan sekarang? Ekonomi dunia tidak terkecuali Malaysia sedang tidak sihat yang antara lain kerana kelembapan ekonomi dunia. Kejatuhan pasaran saham sedikit sebanyak diakibatkan daripada muflisnya bank keempat terbesar Amerika, Lehman Brothers. Dalam suasana kelembapan ini, mampukah Najib melonjakkan pasaran saham Malaysia, dan melonjakkan semula ekonomi Malaysia?

Yang tersirat ialah selain Pak Lah nampak ikhlas menjayakan pelan 2010, tetapi rasanya tindakan Pak Lah ini sebenarnya pelan penyelamatan dirinya. Pak Lah sedang terlibat dalam permainan yang penuh risiko. Kalau Najib berjaya, pelan 2010 akan kekal malah akan dipercepatkan, tetapi kalau Najib gagal menyerlah, apa agaknya nasib Najib. Kem Pak Lah dengan mudah memperoleh peluru meriam untuk membedil Najib. Bedilan ini mampu meranapkan kerjaya Najib.

Saya dapat rasakan bahawa Najib kepanasan kerana Kementerian Pertahanan, tempat permainan Najib kini berada di tangan Pak Lah. Pak Lah akan menguasai setiap organ dalam tentera. Tidak mustahil dalam masa terdekat maklumat-maklumat rahsia tentang aktiviti Najib di Kementerian Pertahanan atau maklumat risikan akan terpampang luas kepada Pak Lah. Ini sebenarnya senjata Pak Lah. Dan kita tidak tahu apakah tindakan Pak Lah dengan maklumat rahsia itu? Sekali lagi Najib akan terjerat. Politik adalah seni ketidak mustahilan!

Bukankah kemasukan semula TDM ke dalam UMNO sebenarnya dengan misi menjatuhkan Pak Lah dan menaikkan Najib, dan barang kali Muhyidin. Dengan memerangkap Najib maka Pak Lah akan dapat juga memerangkap TDM dan Muhyidin.

Satu hal yang saya nak kongsi ialah adakah keptusan drastik Pak Lah tidak berkait langsung dengan agenda Anwar, 916 itu? SAPP telah mengisytiharkan keluar dari BN, dan mengekalkan status bebasnya tanpa menyertai Pakatan Rakyat. Zaid Ibrahim juga telah sah letak jawatan dan telah diterima Pak Lah.

Anwar telah menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat telah mempunyai majoriti mudah untuk mengambil alih Putrajaya. Yang tinggal ialah soal-soal teknikal dan undang-undang (Perlembagaan). Anwar sedang menanti Pak Lah bersedia untuk berjumpa dengan Pak Lah tentang peralihan ini. Jika Pak Lah tetap enggan, mereka, Pakatan Rakyat telah bersedia ke Istana Negara.

Mungkinkah Anwar akan diISAkan? Petunjuk ini telah Pak Lah berikan. Anwar dakwanya, adalah “penyebab kepada ketidakstabilan negara dan ekonomi”. Jika ISA dikenakan kepada Anwar, sedikit sebanyak meyimbahkan api kemarahan rakyat. Kesannya tidak dapat kita jangkakan! Jika ini berlaku, polis akan digunakan, begitu juga dengan tentera. Darurat dengan mudah dapat dikuatkuasakan! Momentum agenda 916 dapat diperlahankan.

Tindakan drastik Pak Lah ini memperlihatkan kecerdikannya.- menyediakan jerat terhadap Najib, dalam masa sama menyekat kemaraan Anwar. Namun, yang jelas, Pak Lah senang bermain dengan api. Mampukah Pak Lah memikulnya? Hal ini kerana, jika benar hipotesis ini, Pak Lah dilihat oleh rakyat telah menafikan sekali kehendak rakyat!

Wallahualam.

Mereka Gelak, Dalam Hati Siapa Tahu?

Semoga kita terus istiqamah dengan perjuangan untuk perubahan.

Pakatan Rakyat telah selesai mengadakan satu agenda sambutan julung-julung kali diadakan untuk menandakan berlakunya satu turning point dalam sejarah negara Malaysia - Sambutan lahirnya sebuah negara Malaysia - 16 September.

Prof Khoo Kay Kim dengan jelas mengatakan bahawa tidak ada salahnya untuk memartabatkan 16 September. Katanya, kita (rakyat Malaysia) boleh mulakan sambutan merdeka bermula 31 Ogos dan diakhiri sambutan kemuncak pada 16 September.

Ini cetusan DSAI.

Kesan 16 gugahan moto 16 September atau 916 begitu kuat gemanya. BN dan UMNO kekal dalam kepanasan dan racauan.

Seusai sambutan 16 September di Stadium Kelana Jaya, dan esoknya DSAI dan Pakatan Rakyat mengadakan sidang media pada 2.00 petang - dengan jelas beliau tegaskan bahawa sasaran yang dihendaki untuk membolehkan berlakunya peralihan kerajaan telah tercapai cuma yang menghalang ialah soal-soal teknikal dan usaha-usaha sabotaj dari BN dan UMNO.

Beliau telah mengutus surat kepada Pak Lah untuk bertemu bagi mengadakan perbincangan tentang peralihan kerajaan secara aman.

Pada masa sama Najib senyum sinis bahawa 916 hanya gimik seorang politikus despredo. Muhyidin lebih seang mengecop DSAI sebagai pembohong besar. Pak Lah sendiri mengatakan bahawa peralihan itu hanya cerita karut.

Siapa yang desperado?
Siapa yang immoral?
Siapa yang karut?
Siapa yang pembohong besar?

Anwar?
Atau Pak Lah?
Atau Najib?
Atau Pak Lah?

Dalam mereka bergelak ketawa, menuding jari menyalahkan orang lain, memperkuda ISA, siapa tahu di sebalik itu semuanya, hati dan jiwa mereka merintih, gelisah, dihantui rasa bimbang yang tak berkesudahan ...

Kah ... Kah ... Kah ...

16 September, 2008

Untuk PAS Daripada Anwar

Salam Ukhwah dan Salam Ramadhan.

Ketika saya menulis sedikit coretan ini, hari telah bertukar, awal pagi 16 September. Ceramah secara "live" dari Stadium Kelana Jaya telah terhenti secara tiba-tiba. Dengan jelas, Anwar menjelaskan bahawa agenda 916 adalah bukan agenda peribadi, tetapi agenda rakyat! Dia menyatakan bahawa beliau ditubuh sebagai pembohong, rakus kuasa, perampas kuasa. Beliau menegaskan bahawa beliau hanya menyambung kehendak rakyat Malaysia ke arah perubahan - dari keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.

Satu persoalan yang perlu dijawab ialah adakah agenda 916 ini adalah agenda peribadi Anwar, dan semata-mata untuk dirinya - kerakusan akan kuasa atau jawatan no. 1 yakni Perdana Menteri? Jawapan ini sebenarnya sudah terjawab apabila beliau diaibkan dan dipenjarakan pada tahun 1998 kerana menentang kehendak TDM ketika itu. Aapa salahnya kalau beliau inginkan kesenangan duniawi, turuti sahaja kehendak TDM ketika itu. Bukankah jawatan PM ketika itu secara mutlak, dengan izin Allah s.w.t, adalah miliknya. Ketokohannya dan pengalamannya sebvagai TPM dan sebagai Menteri Kewangan sudah lebih dari cukup melayakkan dirinya sebagai PM pengganti TDM? Tetapi, mengapa beliau sanggup menentang arus dan dalam masa kehilangan segalanya?

Setelah dibebaskan, beliau dengan konsisten meneruskan agenda reformasi - mereformasi segenap aspek kehidupan. Tentunya reformasi ini untuk menjamin kejayaan besar mestilah menguasai Putrajaya. Dari sinilah bermula permuafakatan antara parti yang menentang hegomoni BN dan UMNO. PKR, PAS, dan DAP bersepakat menentang BN dan UMNO. Tepat 8 Mac 2008, majoriti BN dan UMNO do parlimen dapat dinafikan. 5 negeri jatuh kepada Pakatan Rakyat, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Bila PRK P44 berlangsung, Anwar menang dengan majoriti besar dan malah meningkat.

Apakah signalnya? PRK P44 ini berlaku selepas 5 bulan berl;angsungnya PRU12. Moralnya: Rakyat secara konsisten mahukan perubahan. Lebih tepat rakyat berharap akan berlakunya peralihan Kerajaan.

Siapakah Anwar? Jawapan ini penting untuk kita meneliti adakah sokongan dan dokongan PAS dalam Pakatan Rakyat berbaloi. Tanpa mengetepikan kelemahan-kelemahan Anwar sebagai seorang manusia, beliau melengkapi sejenis manusia Melayu yang lengkap, antaranya
1. Seorang Melayu yang fasih bahasanya.
2. Seorang Melayu yang memiliki kefahaman agama bahawa Islam itu adalah "addin".
3. Kefahamannya terhadap budayanya amat tuntas.
4. Kebolehan intelektualnya meluas dan merentasi sempadan budaya.
5. Mampu mengungkapkan inti pati budaya tinggi di pentas antarabangsa.
6. Boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.
7. Kecintaannya terhadap rakyat bawahan amat nyata.
8. Mampu merealisasikan atau mengkonkritkan ideologinya.
9. Mampu menggerakkan massa mengikut acuannya yang dikehendakinya.
10. Kesanggupannnya menghormati ulamak.
Cukuplah sekadar itu saya memperincikan watak dan perwatakannnya siapa dia Anwar itu.

Dalam konteks ini, adakah PAS akan rugi menyokong seorang manusia Melayu-Islam ini. Sejauh ini PAS telah berjuang bermati-matian untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Bukankah inilah ruang untuk membuktikan bahawa PAS boleh berartikulasi dengan masyarakat secara nasional, bukan lagi setakat orang Melayu? Saya merasakan bahawa Anwar perlu didokong oleh PAS kerana dengan cara inilah PAS akan dapat ruang dan peluang mengIslamkan segenap inci kehidupan di Malaysia dengan nilai-nilai Islam.

Sayugia diingat bahawa peluang begini tidak akan datang secara berulang. Mengikut sejarah tamadun, seseorang pejuang yang mampu menggerakkan massa dan mencetuskan perubahan (perubahan secara revolusi) akan muncul sekali setiap satu abad. (Pada sesiapa yang ingin meneliti sejarah tamadun ini, bolehlah merujuk tulisan Ali Shariati dalam menanggapi Revolusi Iran sehingga jatuhnya Shah Iran.)

Oleh itu, saya menyeru agar pihak-pihak yang berselisih dalam PAS tentang agenda 916 dapat merapat semula barisan. Dalam hal ini, sejarah lama (tindak-tanduk Anwar semasa beliau berada dalam UMNO) dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran. Masa depan harus dan wajib menjadi fokus. Pengaiban Anwar 1998 sebenarnya merupakan suatu penyucian dirinya. Beliau telah pun memperoleh musibahnya.

Keadaannya sama apabila ahli-ahli UMNO masih bernostalgia bahawa Malaysia ini adalah negara milik Melayu secara mutlak. Ini sebenarnya telah pun menjadi sejarah. Apa yang perlu kita perjuangkan ialah supaya Melayu itu kuat dan perkasa apabila penghayatan Islamnya cukup kental.Kalau PAS masih enggan melepaskan luka lamanya, saya khuatir PAS akan kehilangan peluang untuk merealisasikan misinya.

Kita perlu berusaha terlebih dahulu sebelum menyerahkan nasib kepada Allah s.w.t. Tahaluf siyasi telah pun PAS putuskan. Muktamar yang baru berlangsung itu sepakat memutuskan untuk merapatkan barisan Pakatan Rakyat. Maka bertindaklah secara berhemah. Masa inilah soal-soal politik memainkan peranan, dan Majlis Syura menjadi pemandunya.

Wallahualam.

Pertemuan Anwar-Abdullah: Agenda 916?

Penggunaan ISA terhadap RPK, Tan Hoon Peng, dan Theresa Kok, serta mengikut Salahudin, banyak lagi pemimpin yang akan ditahan menandakan BN dan UMNO sedang diasak hingga ke dinding batu. Bagi pihak Pakatan Rakyat, ini suatu tindakan terdesak, dan satu cara untuk mensabotaj agenda 916, serta suatu ugutan.

Ekoran daripada penggunaan ISA ini membuatkan Pakatan Rakyat terpaksa bermesyuarat dan menyatakan pendirian tegas bahawa itu suatu pencabulan terhadap hak asasi manusia. Namun, Anwar tetap tegas bahawa agenda 916 tetap berjalan lancar. Dakwa beliau, jumlah yang diingini telah pun mencapai sasaran!

Mengikut pendapat dan analisis MSO dalam blognya, kemasukan semula TDM ke dalam UMNO (terkini, tarikh telah pun ditetapkan, 17 September) membawa implikasi yang cukup membahayakan Abdullah. Abdullah diasak teruk oleh regu TDM-MUHYIDIN-NAJIB. Regu ini akan membawa masuk Tengku Razaleigh yang akan menentang Abdullah pada Disember ini. Bagi MSO, Abdullah kena menyediakan pelan penyelamatan diri sama ada mengumpul semula TEAM B, atau pilihan terakhir, dan agak mustahil (tapi politik ialah seni kemustahilan dan penuh kebarangkalian) ialah menyerahkan nasibnya kepada Anwar.

Analisis yang hampir selari ialah posting terbaru Husan Musa dalam blognya, 12 September ( Politik Malaysia dalam Lumba Lari) jelas menyatakan bahawa Abdullah akan diturunkan selewat-lewatnya Disember ini dengan kemasukan semula TDM ke dalam UMNO. Dua alternatif diberi Husam iaitu bergabung dengan PAS sebagai menyambung talian hayat atau sekali lagi mengadu nasib kepada Anwar. Saya akan ulas kemudian tentang implikasi tulisan Husam ini. Oleh sebab Husan salah seorang Naib Presiden PAS, beliau lebih prihatin terhadap ke mana PAS selepas kemasukan TDM dalam UMNO dalam kaitannya dengan agenda 916.

Dengan perkembangan mutakhir ini, iaitu kemasukan semula TDM ke dalam UMNO, dan keberanian Muhyidin menyarankan pelan peralihan kuasa Jun 2010 dipercepatkan, paling lewat Disember ini, Abdullah menjadi kebingungan. Situasi genting ini, tidak mustahil, Abdullah mesti dan terpaksa menyediakan beberapa pelan penyelamatan.

Dan, antara pelan yang masuk akal ialah penyerahan kuasa kepada Anwar. Abdullah akan terselamat, kerana:

1. Jawatan PM sebenarnya secara moral ialah milik Anwar yang dinafikan oleh TDM melalui konspirasi terancangnya.
2. Maruahnya sebagai PM akan terselamat kerana arah aliran politik pasca PRU12, BN dan UMNO telah kehilangan mandat memerintah.
3. Rasa bersalah Abdullah akan terubat sekiranya Malaysia diserahkan kepada Anwar. Dengan permasalahan moral yang cukup kronik yang dihadapi oleh Najib, Najib telah hilang kredibiliti sebagai calon PM. Rahsia rumah tangganya sudah tentu amat dimaklumi oleh Abdullah!
4. Abdullah kelihatannya tidak dapat lagi mengawal geng tingkat 4, dan yang paling merisaukan ialah Abdullah hilang kawalan terhadap menantunya, dan kerakusan anaknya. Biar Anwar menanganinya. Banyak orang melihat seolah-olah Abdullah memanjakan menantu dan anaknya. Tetapi, cuba bayangkan senario sebegini. Penglibatan dan campur tangan menantu dan anaknya dalam percaturan politik dan ekonomi telah cukup dalam sehingga tak dapat dikawal lagi. Kalau dibiarkan, musibah akan lebih parah. Di sinilah peranan Anwar!
5. Abdullah dilihat gagal menangani pemberontakan senyap oleh Gerakan, MCA, MIC, PPP, dan parti-parti di Sarawak dan Sabah. Hanya Anwar yang mampu menanganinya.
6. Pengurusan ekonomi. Saya yakin sekurang-kurangnya pelaburan dari Asia Barat akan mencurah masuk. Bukankah ini yang diperlukan oleh ekonomi kita?
7. Menggantikan Islam Hadhari dengan pusat kecemerlangan ilmu Islam. Saya percaya dan yakin, KL akan muncul sebagai pusat tamadun Islam bahagian Asia.

Anwar hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk menemui Abdullah untuk membincangkan pelan peralihan kuasa (baca: Masa Depan Malaysia). Penggempuran Anwar dengan agenda 916 cukup berkesan dan menimbulkan implikasi psikologi cukup parah terhadap BN dan UMNO.

Abdullah telah benar-benar terdesak. Beliau terpaksa memilih antara dijatuhkan dengan aib atau nasibnya akan terbela sekiranya beliau bergabung dengan Anwar. Dendamnya pada TDM, dan seterusnya memberi keadilan kepada Anwar yang diaibkan dengan cukup hina oleh TDM.

SITUASI INI IALAH SITUASI “WIN-WIN”. Rasa-rasanya, pelan inilah yang TERBAIK buat Abdullah!

Wallahualam.

12 September, 2008

REAKSI ULASAN DATO’ PHA: BARANGKALI ADA MESEJ TERSIRAT

"Agak riuh juga apabila Dato" Mustafa Ali memberikan pandangannya tentang 16 September. Dato' Pha yakin sekali bahawa tidak akan berlaku apa-apa pada 16 September ini. Beliau melihat isu ini daripada dua perspektif: teknikal dan politik.Jangan lupa Dato' Pha bukan sebarangan orang. Beliau "orang lama" dalam PAS.

Dalam PRU12, beliau merupakan Pengarah Pilihanraya PAS peringkat pusat. Kedudukannya ini memperlihatkan beliau seorang strategos politik PAS. Beliau juga terlibat dengan bangun dan jatuh PAS di Terengganu. Apabila beliau sesekali bercakap, butir-butir percakapan atau luahan pandangannya tentulah akan mencuri pandangan atau respons khalayak.

Kita menghormati kedudukan dan pengalaman beliau yang penuh simpang-siur itu. Pengalamannya cukup kaya. Pengalaman yang dikumpul bergenerasi itu amat berguna kepada PAS dalam mengemudi PAS dalam gelora politik era PRU12.

Sekiranya diteliti benar-benar kenyataan beliau, beliau berpendapat Anwar tidak akan menjadi PM 6 pada 16 September kerana ketika itu Parlimen berehat kerana Ramadhan. Dengan begitu, bagaimana akan terjadinya undi tak percaya, dan hal-hal seterusnya. Beliau tidak kata tidak akan berlaku "penghijrahan" MP BN ke Pakatan Rakyat.Begitu juga tentang pendapat beliau mengenai "penghijrahan" MP BN itu. Beliau tidak nampak bahawa akan berlaku penyeberangan hanya semata-mata kerana faktor Anwar. Anwar kini hanya Ketua Pembangkang, dan jika sekiranya terbentuk KERAJAAN BARU, belum tentu Anwar akan jadi PM.Begitu juga, beliau juga berpandangan bahawa tidak akan berlaku penghijrahan kalau MP-MP BN itu mempunyai niat untuk memperoleh sesuatu berupa kuasa atau habuan kerana Anwar bukan PM.

Komen saya ialah ini adalah pandangan yang nutral dan dialu-alukan. Namun awas kita perlu membacanya dengan kepala dingin. Dengan kepala dingin, kita akan dapat menerobos mesej-mesej tersirat yang cuba dihantar oleh Dato' Pha.Pada saya, apa yang dimaksudkan oleh Dato' Pha ialah sepanjang bulan mulia ini, Anwar tidak akan jadi PM walaupun berlakunya penghijrahan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru. Begitu juga, akan berlaku penghijrahan sekiranya MP-MP yang akan berhijrah itu berhijrah semata-mata ingin membolehkan penubuhan Kerajaan Baru yang "lebih baik, lebih manusiawi, lebih adil, mendasarkan setiap tindakan atas prinsip 'rule of law', dan perjalanan kerajaan berasaskan nilai-nilai teokratik".

Satu sisi yang lain, pandangan Dato' Pha ini mampu meredakan kegelisahan dan kepanasan yang dideritai oleh BN dan UMNO. Bagi mereka, jelas PAS kurang setuju dengan perubahan kerajaan secara tidak demokratik itu. Bukankah pencuri dan perompak akan merompak ketika tuan rumah sedang tidur nyenyak dan aman? Keadaan ini sebenarnya memudahkan Pakatan Rakyat menyusun agenda tanpa banyak gangguan.

Akhirnya, memang daripada gaya percakapan Dato' Pha dalam TV3, Buletin Utama, 10 September, nampak serius dan bersungguh-sungguh, bahawa beliau menekankan soal MORAL sekiranya berlaku perubahan itu pada 16 September. Pada sesiapa pun, akan memberi pendapat yang sama, cuma yang berbeza ialah premis pendapat dan rasionaliti di sebalik berlaku perubahan itu. Pada PAS, sebuah parti yang berteraskan Islam, tentunya tidak boleh bertolak ansur dengan soal moral.

Tetapi, adakah beliau menghalang secara jelas keterlibatan PAS dalam usaha membentuk Kerajaan Baru itu? Cuba baca dengan teliti, penegasan beliau bahawa PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat!Dengan itu, kita seharusnya bersikap meraikan kepelbagaian pandangan. Kepelbagaian inilah yang membolehkan sesuatu keputusan yang diambil itu jelas dan tepat.

Wallahualam.

Nota: Pendapat ini telah saya poskan ke tranungkite, dan saya ucap ribuan terima kasih atas komen-komen yang diberikan.

Ulasan Dato' Mustafa Ali: Rekasi Kecewa Kawan-Kawan

Pagi tadi, semasa di tempat kerja, sebelum memulakan kerja-kerja rutin, seorang rakan bertanya,

"tengok TV3?".

"Mengapa?".

"Tengok ulasan Mustafa? I kecewa la dengan sesetengah pemimpin PAS."

Sambungnya lagi, "kita tengok orang Cina, mereka sanggup bakar MCA. Tengok MIC, mereka sanggup bakar Samy. Tapi orang Melayu? Masih bertenggek dengan UMNO".

"PAS ni pun satu, masa sekarang nilah masa yang yang baik untuk PAS tunjukkan kehebatan Islam, bukan asyik ngan muzakarah, bantu DSAI, PKR multiracial, takkan dia nak bercakap tentang agama secara total, dia kena cakap hal keadilan."

Sambungnya, "pada aku, PAS perlu bersama dengan DSAI menjatuhkan BN (UMNO). Dan, pada siapa DSAI nak bergantung apabila menyangkut hal-hal Islam dan Melayu. Inilah peranan PAS".

"Ini tidak, bukan main keras depa kutuk Husam, kutuk Dr Zulkifli, Dr Hatta, Dr. Lolo', kerana membuntuti DSAI." gumamnya lagi.

"Tengok pendapat Mustafa Ali tu, bukankah maknanya menolak PAS ke belakang?"

Marah betul dia. Ini adalah antara rakan-rakan saya, yang apabila sempat berkumpul, topik utama kami ialah tentang perubahan era pasca PRU12. Dan, saya rasa inilah yang berlaku di tempat-tempat lain khususnya bagi rakyat yang berusia belia hingga 40-an. Masing-masing begitu peka dan sensitif apabila terbitnya isu-isu yang seolah-olah menghalang akan berubah perubahan.

Pada saya walaupun saya kurang senang dengan pendapat Dato' Pha ini, apatah lagi telah membuka ruang kepada media prokerajaan menghentam Pakatan Rakyat, saya yakin Dato' Pha mempunyai mesej tertentu yang cuba disampaikan di sebalik keseriusan itu.

Pada saya, kepelbagaian ulasan dan pendapat perlulah diraikan dan diulas dengan hati yang lapang dan kepala yang dingin.

10 September, 2008

16 September?

16 Septemper (16_9) begitu mengujakan. Pemerhati politik yang veteran, yang baru khatam, dan yang baru berjinak-jinak, masing-masing memerah otak. Satu sahaja fokus mereka-benar-benar akan menjadi realitikah peristiwa pada 16_9 itu?

Bukan sahaja mengujakan tukang nujum politik bahkan mampu mengkelamkabutkan BN dan UMNO. Telah berbulan tarikh ini didendangkan, suhunya kian meningkat. "Entablishmen" sekan-akan kepanasan. Projek Liwat 2 membuktikan bahawa mereka benar-benar kepanasan.

Cuba kita imbas tindak-tanduk mereka dalam menjahanamkan reputasi atau menguburkan kerjaya politik Sang Tokoh itu dalam PRK P44 sepanjang 10 hari kempen. Jutaan ringgit dicurahkan, segala agensi milik mereka dikerah dan diperkudakan sehinggalah BPR. Sumpah laknat Saiful menjadi azimat mereka agar hasrat menguburkan kerjaya Sang Tokoh itu.

Tetapi apa hasilnya? Apa yang dapat kita simpulkan ialah setiap gerak dan tindak mereka seolah-olah menemui jalan mati, bukan sahaja jalan maut tetapi "menggali kubur sendiri". Pengundi atau anak jati Permatang Pauh tetap tegas, tetap kental bahawa suara mereka, suara rakyat yang inginkan perubahan, tetap istiqamah dengan cita-cita dan pegangan mereka.

Hasilnya, Sang Tokoh menang bukan sahaja mengekalkan majoriti malah dapat menokok lagi majoriti kemenangan.

Terkini, BN dan UMNO dilihat amat begitu terdesak sehinggakan terpaksa melarikan 49 MP ke Taiwan, lawatan sambil belajar, kata Bung Mokhtar. Aneh sekali, lawatan ini dilakukan dalam bulan Ramadhan, dan destinasinya pula negara atau pulau yang sukar untuk melaksanakan ibadah puasa. Semakin aneh, mereka, YB-YB itu, melancong, dalam keadaan kerajaan melaksanakan dasar berjimat serta melarang segala aktiviti kerajaan dilakukan di premis swasta! Sepatutnya mereka mengambil peluang parlimen bercuti ini untuk bersama dengan rakyat kawasan mereka. Yang Islam memeriahkan tarawih. Yang bukan Islam, menjinaki kawasan-kawasan mereka. Bertepatan pula dengan cuaca tak menentu. Sesetengah tempat telah pun berlaku banjir! Tak ada tarikh lainke YB?

Kita sebenarnya tidak dapat menelah dengan tepat, apakah hakikat di sebalik 16_9 itu. Benarkah jumlah Mp yang diperlukan benar-benar real? Atau Sang Tokoh hanya menyergah.

Namun, setiap kawan dan lawan Sang Tokoh itu tahu, faham, dan amat sedar bahawa Sang Tokoh itu mampu merealisasikan setiap apa yang dikehendakinya, itupun dengan izin-Nya.

Kerana itulah mereka seperti dibakar dan terbakar ....