27 October, 2008

Apa Signifikan Ku Li Dalam UMNO

Mengikuti perkembangan Persidangan Perwakilan Bahagian UMNO (PPBU), butiran kasarnya seperti berikut:

a) Najib menjadi juara, dan setakat ini masih jaguh kerana tiada pencalonan untuk menentangnya.

b) Bagi Timbalan Presiden, Muhyudin masih unggul.

c) Mukhriz masih menjadi calon favourite. (Menarik juga ulasan Mohd Rashidi Hassan, Harakahdaily, 26 Oktober, 2008, "Mukhriz Hanya Menang Sorak").

d) Naib Presiden, Hishamuddin masih mendapat pencalonan terbanyak.

Trend yang ada ialah:

i) Perwakilan begitu terpesona dengan Najib, tanpa mempeduli permasalahan peribadi yang membelit dirinya. Seorang calon Perdana menteri, dalam Sejarah Malaysia, yang paling banyak skandal. Kita boleh bertanya begitu butakah orang UMNO? begitu sempit ruang lingkup pemikiran mereka. Mereka masih terlalu regional. Impian Najib untuk menjadikan rakyat Malaysia bersifat "glokal" masih tinggal impian. Pada peringkat ahli dan perwakilan UMNO pun masih gagal, apatah lagi bagi rakyat terbanyak.

Najib dalam kenyataan terbarunya, mahu DEB dihapuskan unsur-unsurnya secara beransur-ansur. Syornya yang terbaru ini persis senada dengan saranan DSAI dan Pakatan Rakyat yang selama ini mereka kutuk, hina, tidak berpijak di bumi nyata, dan antiMelayu. Apa sudah jadi dengan Najib?

Najib juga telah mengorak langkah pendekarnya dalam memulakan langkah mempertahan ekonomi Malaysia dari kesan domino kemelesetan ekonomi USA. Meminjam wang dari KWSP sebanyak 5 bilion (baca: wang rakyat) untuk menyokong pasaran saham. Kalau kita tanya, siapakah yang "bermain" di bursa saham Malaysia. Pak Tani? Penoreh getah? Pak nelayan? Mereka yang "berhibur" di situ ialah golongan yang berduit. Siapakah mereka? Suku-sakat mereka. Kroni dan proksi mereka. Soal peniaga-peniaga, soal-soal kesempitan hidup rakyat bawahan, bagaimana? Harga komoditi menjunam teruk.

Harus diingat apabila harga komoditi jatuh menjunam, harga barang pula masih kekal tinggi, maka saya khuatir kemiskinan sebenarnya telah benar-benar sampai kepada rakyat bawahan.
Apabila ini berlaku, kehidupan rakyat bawahan benar-benar terancam.

Adakah Najib masih belum sedar?

ii) Trend yang kedua ialah calon-calon yang sedang menjuarai carta pencalonan adalah calon warisan politik "pedigree" (keturunan). Calon-calon ini mempusakai warisan perjuangan borjouis (golongan bangsawan).

Sekurang-kurangnya ada dua kesan daripada trend kedua ini. Pertama, calon-calon ini disokong, dan mereka begitu terpesona adalah kerana mereka lahir daripada tokoh-tokoh besar negara. Mereka menumpang kehebatan tokoh keturunan mereka. Soal-soal kredibiliti, karisma, ideologi yang dibawa, soal-soal moral, dan keprihatinan kepada rakyat terbanyak terabai atau tidak diambil kira oleh penyokong-penyokong mereka.

Kedua, kehidupan mereka, pendidikan mereka, dan pergaulan mereka lebih bersifat bangsawan. Hidup mereka terkurung dalam wilayah pergaulan yang setaraf. Mereka tidak pernah berasa susah. Kerana itu, mereka tidak pernah memahami kesukaran hidup rakyat terbanyak.

Ketiga, dengan senario ini, adakah harapan akar umbi akan mereka beri perhatian? Adakah mereka prihatin akan isyarat PRU12 itu? Semua ini apabila dianalisis masih menjadi persoalan besar!

Saya berkeyakinan bagi yang peka dengan situasi yang dihadapi oleh UMNO kini, PPBU memperlihatkan dengan jelas bahawa UMNO masih lagi belum mengambil endah tentang pokok permasalahan protes rakyat terhadap mereka termasuk akar umbi mereka sendiri.

Dalam konteks inilah kita boleh membuat kesimpulan bahawa penawaran Ku Li untuk bertanding jawatan Presiden dipandang sepi oleh para perwakilan. Ku Li dianggap telah berusia, dan tempoh hayat politiknya telah berakhir. Ku Li bagi mereka mewarisi aliran politik UMNO yang konservatif dan tidak relevan.

Barangkali para perwakilan telah disihir dengan pangkat, kuasa, dan wang. Saya kira perwakilan ini mewakili satu spesis manusia yang buta buku.

Ku Li sebenarnya telah membentang secara lebar tentang pokok permasalahan yang sebenarnya dihidapi oleh UMNO. Surat terbuka beliau yang diterbitkan oleh Harakahdaily pada 21 September 2008, barangkali tidak mereka hadam.

Ku Li melabelkan UMNO meneraju Malaysia ibarat "Republik Pisang". Ku Li mendakwa juga UMNO melegasikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai hak warisan atau harta pusaka, tanpa menyerahkan kepada akar umbi (baca: demokrasi telah mati).

Dengan gagalnya Ku Li mendapat sebarang pencalonan, pada hemat saya, UMNO telah mengabaikan secara sengaja akan amaran Ku Li:

a) Menyokong Najib bermakna menobatkan seorang Perdana Menteri Malaysia yang sekali-kali tidak akan diterima atau dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Tidak mendapat "endorsement" daripada masyarakat antarabangsa bermakna Malaysia akan dipinggirkan dalam arus globalisasi termasuk pelaburan asing. Malaysia akan mendapat padah ekonomi.

b) UMNO gagal membaca isyarat jelas protes rakyat pada PRU12. Padahnya ialah UMNO berkemungkinan besar berhadapan dengan masa depan yang gelap pada PRU13. mengikut ramalan Ku Li, UMNO akan hilang di persada kuasa.

c) Kemaraan Pakatan Rakyat tidak dapat lagi dihalang.

d) Persoalan kkkronisme, nepotisme, dan rasuah yang menjadi pantang masyarakat antarabangsa akan lebih bermaharajalela.

e) Amalan pengurusan ekonomi Malaysia akan menjadi lebih buruk. Rakyat akan merasai bahananya.

Premis hujah saya jelas iaitu Ku Li merupakan tokoh UMNO yang cukup berpengalaman. Beliau berdarah raja, berhati rakyat. Penglibatannya dalam UMNO kini tidak lagi secara total. Ku Li lebih kepada pemerhati UMNO. Tiada sebarang jawatan dalam kerajaan. Oleh itu, pemerhatian beliau lebih tepat, dan bebas.

Maka pada hemat saya, UMNO sedang menggali kuburnya sendiri. Pada saya, menang sorak, tetapi kampung tergadai.

Menilai Kerajaan Rakyat Kedah

Selamat Menyambut Deepavali, Deepavali Nal Valthukhal

Kita tinggal dulu soal keriuhan dan hiruk-pikuk PAU'08, biarkan mereka terpana, dan ekonomi kian menyuntik racun globalnya!

Tiba-tiba sahaja datang ilham untuk berbicara tentang Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah (KPRK). Barangkali ada sesuatu yang mendesak-desak dari dalam diri. Mungkin ada sesuatu yang terkilan atau tidak puas hati atau rasa sedikit kecewa.

KPRK ditunjangi oleh PAS, dengan diterajui oleh Ustaz Azizan Ab Razak merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah. Ini bermakna apabila kita berbicara tentang KPRK, tentulah secara tidak langsung kita menilai tentang keupayaan PAS mengemudi Kedah.

Kedah adalah salah satu negeri yang jatuh ke tangan PR pada PRU12 selain Kelantan. Kalau diteliti dan dibandingkan, saya rasa, Kedahlah merupakan kerajaan yang dikuasai oleh PR yang paling perlahan momentum perjalanan kerajaannya jika dibandingkan dengan momentum yang berlaku di Perak, Pulau Pinang, dan Selangor. Saya mengecualikan Kelantan kerana Kelantan telah berjaya mengekalkan status quonya.

Kelihatannya KPRK tidak bergerak langsung,sekurang-kurangnya pada pandangan rakyat Kedah. Kalau kita tanya rakyat bawahan atau golongan menengah tentang hala tuju atau dasar pemerintahan KPRK, saya yakin, rakyat terbanyak akan menggelengkan kepala.

Untk berlaku adil, saya cuba menyenaraikan pengumuman-pengumuman yang diwar-warkan oleh KPRK.

Pertama, pemindahan tapak Kompleks Penapisan Minyak yang pada awalnya (semasa BN) terletak di Yan ke beberapa tempat yang tidak melibatkan pengambilan tanah rakyat (kampung dan sawah padi). Rakyat diberitahu yang banyak syarikat sewasta yang berminat. Tindakan ini adalah tindakan terpuji, namun kini senyap dan sunyi.

Kedua, penurunan kadar cukai tanah sekurang-kurangnya 30%. Cukai ini telah dinaikkan semasa BN memerintah. Rakyat menyambut gembira tindakan ini.

Ketiga, penebangan balak di kawasan hutan simpan. Pada awalnya, tindakan atau syor ini mendapat kritikan hebat, namun dapat ditangkis oleh kerajaan negeri. Penebangan balak ini hanya dikhaskan kepada balak-balak yang telah berusia. Dengan penebangan ini, memberi ruang kepada hutan berkembang kembali. Hal ini bermaksud memberi ruang untuk hutan ini pulih dan lebih sihat.
Namun rakyat masih kabur sejauh mana syor ini telah dilaksanakan.

Keempat, yang terkini, ialah menaikkan kuota pemilikan rumah oleh bumiputra kepada 50%. Tahniah sepattutnya diberi kepada KPRK. KPRK harus dapat mencari satu mekanisme untuk merealisasikan kuota ini benar-benar terlaksana dan bagaimana untuk melaksanakan.
Saya juga mendengar khabar, KPRK telah dalam proses melantik wakil-wakil komuniti sebagai mata dan telinga kerajaan dan pada masa sama sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan. Namun persoalannya, adakah semua wakil komuniti telah menerima watikah pelantikan, dan mereka telah diberi taklimat yang cukup tentang mekanisme tugas mereka.

Selain tindakan-tindakan di atas, KPRK seolah-olah sedang memasuki fasa “khalwat” atau “bertapa”.

KPRK harus sedar bahawa inilah kali pertama PAS mendapat peluang memerintah Kedah. Rakyat pelbagai kaum dan golongan sanggup mengambil risiko dalam usaha membentuk kerajaan baru ini.

Mereka juga sedar bahawa mereka akan menempuh kesukaran dalam pelbagai aspek kehidupan khasnya tentang pembangunan prasarana atau mengekalkan tahap “kebolehgunaan” prasarana. Mengekalkan “kebolehgunaan” prasarana ini memerlukan perbelanjaan yang besar, dan di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat. Begitu juga soal pelaburan, rakyat Kedah juga sedar, apabila mereka memilih PR, bermakna mereka memilih untuk hidup susah kerana peruntukan pembangunan untuk Kedah akan dikurangkan oleh Kerajaan Pusat.

Namun begitu, sebagai sebuah kerajaan, KPRK ini mahu tidak mahu terpaksa mencari jalan, walau apa cara sekali pun untuk mengurangkan keperitan rakyat. Mereka harus menggembleng sumber-sumber kerajaan negeri dengan semaksimum mungkin.

Saya rasa dan yakin bahawa rakyat tidak menuntut banyak kerana mereka faham akan kemampuan kerajaan negeri. Walaupun begitu, soal-soal yang menyentuh secara langsung hidup mereka perlu diberi keutamaan.

Contoh yang paling mudah ialah kemudahan prasarana yang dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Perkara-perkara tersebut ialah perkara-perkara dalam kuasa PBT.

Saya ingin fokuskan kepada kemudahan-kemudahan yang terdapat dalam taman-taman perumahan. Sebagai contoh Alor Star. Saya dapat merasakan wujudnya protes warga Alor Star secara senyap akan kegagalan KPRK untuk memastikan tahap kemudahan-kemudahan ini berada dalam keadaan baik. Soal longkang, pemungutan sampah, dan jalan-jalan di taman yang rosak teruk.

Kita mempersoalkan adakah exco ini yang berkuasa ke atas PBT benar-benar serius untuk menangani hal ini atau mereka masih lagi berada dalam “bulan madu” – tidak puas lagi merasai kehangatan keempukan kerusi exco sehingga mereka enggan turun padang. Mereka harus bertindak sekurang-kurangnya mereka turun padang untuk menjelaskan keadaan sebenar atau menjelaskan apakah tindakan lanjut yang telah mereka aturkan. Exco ini atau KPRK harus ingat mereka telah menguasai kerajaan selama tujuah bulan. Rakyat memerhati dan menilai mereka. Suara-suara tidak puas hati telah mula kedengaran! Teman-teman sediskusi pun baik atas pagar, penyokong tegar PAS, penyokong tegar PR, dan para simpatisan menyuarakan hal sama: proaktifkah KPRK? Masih lenakah mereka?

Keadaan ini tidak timbul sekiranya mereka sanggup turun padang dan sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat apa yang sedang berlaku. Akhir-akhir ini, Kompleks PAS Kedah agak sepi. Jarang diadakan ceramah-ceramah semasa. Ini menyebabkan wujud jurang maklumat antara rakyat dengan kerajaan Negeri.

Saya juga menjenguk laman "Kedahlanie ..." (http://kedahlanie.blogspot.com/) sekurang-kurangnya untuk memperoleh maklumat terkini tentang KPRK, tetapi maklumatnya terlalu sedikit, dan tidak membantu saya dalam memperjelas apa yang sebenarnya berlaku dalam KPRK.

Kesimpulannya, amat dirasakan sekali bahawa KPRK begitu perlahan perjalanan kerajaannya. Rakyat masih menunggu dan menunggu.

Simpang 4, AS.

18 October, 2008

Beberapa Peristiwa Menuntut Renungan

Sambil bersantai, dan baru kembali dari Langkawi atas tugas rutin yang agak memenatkan, sekurang-kurangnya 3 atau 4 peristiwa yang bagi sesiapa yang peka tentang situasi sosiopolitik terkini yang mampu membuat minda kita bermenung panjang.

Peristiwa pertama, posting MSO tentang kegagalan penstrategis-penstrategis Ku Li dalam melakarkan peta politik bos mereka dalam peta politik tanah air semasa. Mengikut MSO team perancang Ku Li (KUL) telah mengaku kalah.

Dalam hubungan dengan KUL ini, data terbaharu PAU09, Najib telah kesemua pencalonan Presiden UMNO (30 pencalonan) manakala KUL kosong. Mukhriz dilaporkan memperoleh 42 pencalonan, KJ 22 bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Kesimpulan ringkas ialah team Najib-TDM-Muhyidin sedang menanjak ke puncak. Ternyata hampir pasti KUL akan kecundang malah beliau gagal sama sekali di Kelantan, yang tidak sepatutnya berlaku. Seperti yang diramalkan oleh MSO, KUL sebenarnya telah diperbodoh oleh lakonan TDM.

Saya akan cuba mengulas tentang KUL ini nanti berdasarkan penyataan terbukanya terhadap situasi mutakhir UMNO yang dipetik oleh Malaysiakini dan Harakahdaily, dan tempat manakah yang sepatutnya KUL curahkan bakti terakhirnya dalam sisa-sisa hayat politiknya.

Dalam konteks ini, menarik juga kalau kita mengaitkan tulisan Zukri Aksah dalam KLPOS, 17 Oktober 2008. Zukri bekas aktivitis AMK, terpana dengan Ezam, dan akhirnya berlindung dengan PAS. Zukri menganalisis benarkah PAU09 menepati perubahan yang dikehendaki oleh akar umbi UMNO, dan juga rakyat. Zukri merumuskan perwakilan-perwakilan telah tersilap dalam mentafsir reformasi yang diperlukan oleh UMNO oleh rakyat. Dengan sokongan yang mantap terhadap Najib dan Mukhriz, serta Muhyidin menampakkan legasi TDM akan mencengkam UMNO.

Dalam hubungan ini juga, kita dapat mengaitkan dengan masa depan KUL. Perwakilan-perwakilan UMNO Bahagian seakan-akan menghantar isyarat jelas bahawa KUL telah tidak relevan lagi dalam UMNO.

Kedua, Penyataan Majlis-Majlis Raja-Raja Melayu sebagai hasil Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang ke-215 di Terengganu, yang dipengerusikan oleh DYMM Sultan Kedah.

Majlis Raja-Raja dengan tegas memperingantkan semua pihak (kumpulan politik dan rakyat jelata) supaya tidak mempertikai Kontrak Sosial dalam Perlembagaan. Institusi Raja Melayu harus diperkukuh, dan Kontrak Sosial jangan dipersoal oleh mana-mana pihak.

Soalan yang membuatkan saya terfikir panjang ialah kepada pihak manakah yang dimaksudkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Adakah ditujukan kepada BN dan UMNO, atau PR atau rakyat bukan Melayu.

Rasanya penyataan ini perlu dianalisis kerana dengan analisis ini barangkali akan terungkai akan persoalan pihak manakah yang dimaksudkan oleh Raja-Raja Melayu.

... Akan saya sambung nanti.

15 October, 2008

Ironi: Benci Tapi ...

Salam buat pengunjung.

Anwar telah selesai membahas Bajet 2009, bajet terakhir bagi mantan Menteri Kewangan. Mengikut laporan pembahasan Anwar menarik, berfakta, hujahnya bernas, diselang-seli antara serius dan kecindan.

Namun, ada orang yang melupai amanah dan tanggungjawab. Lebih tepat mengkhianati pengundi yang mengundi mereka. Mereka diundi sebagai ahli parlimen. Sebagai ahli parlimen, tugas hakikinya ialah menghadiri sidang parlimen dan terlibat dalam pembahasan.

Mengikut laporan, tiada seorang pun menteri yang hadir termasuk Menteri Kewangan sendiri. Apa hal dengan Najib ni? Takkan dia tidak mengerti amanahnya? Malahan yang lebih menyedihkan ada MP yang berlegar-legar dan berborak kosong di kantin parlimen.

Ini satu perlakuan yang terang-terang mengkhianati amanah dan tanggungjawab! Mereka tidak dapat membezakan antara tanggungjawab dengan perbezaan ideologi.

Inilah satu jenis barisan personal-personal dalam kerajaan yang mendabik dada mengatakan bahawa mereka membela nasib rakyat! Benarkah? Bukankah perlakuan menggambarkan watak kita bukan tutur kata? Sekali lagi benarkah?

Namun, amat anih dengan sikap mereka? Split personality? Najib menegaskan bahawa tak perlu Bajet baru. Ketua Pembangkang, mantan Menteri Kewangan, menegaskan adalah membuang masa membahas bajet yang tidak realitik angka-angkanya kerana situasi ekonomi USA.

Menurut DSAI, bajet 2009 dirangka berasaskan harga minyak dunia, getah, sawit yang tinggi namun dengan kemelesetan yang dijangkakan terhadap ekonomi Amerika (dak kesan dominonya) maka harga komoditi itu telah jatuh dengan teruk. Beban rakyat akan bertambah berlipat ganda. Malahan projek mega masih diteruskan walaupun berlaku bajet defisit.

Maka saranan DSAI adalah begitu mendesak untuk membentangkan bajet baru yang realistik
yang keadaan ekonomi global dan ekonomi Malaysia yang tentunya akan terjejas sama akibat kesan domino kemelesetan ekonomi Amerika. Fokusnya ialah mempertahan ekonomi Malaysia dan membela nasib rakyat akibat harga komoditi yang jatuh teruk itu.

Kata DSAI, kerajaan kini "in denial" tetapi tengok pula apa kata Najib, kita harus bersedia untuk menghadapi kesan domino tersebut dan mengakui akan kesannya terhadap ekonomi Malaysia.
Pak Lah pula kata, projek-projek mega akan dinilai semula. Apakah erti semua ini?

Inilah yang dikatakan "split personality". Kata-kata mereka penuh dengan penafian, malah gesaan DSAI agar dibentuk belanjawan baru ditolak mentah-mentah, tapi mereka mengakui premis hujah DSAI.

Barangkali, sudah sampai masanya kerajaan ini ditamatkan hayatnya.

12 October, 2008

Persidangan UMNO Bahagian: Pimpinan Sibuk, Rakyat Dapat Apa?

Salam dan terima kasih kepada penyinggah,
yang sudi singgah di sini.


Kita kadang-kadang begitu teruja apabila membaca posting-posting dari blog ke blog. Namun begitu, hati kadang ditujah resah juga apabila membaca posting-posting yang bersimpang-siur pendapat mereka.


Saya juga telah selesai membaca siri-siri jawapan dan penjelasan SongkokPutih, bekas Webmaster TKO dengan Tulang Besi. Yang terbaharu, jawapan Roslan SMS terhadap cabaran Tulang Besi. Saya juga mengikuti dari jauh perdebatan YB Khalid Abd Samad dengan individu-individu tertentu, yang juga rakan seperjuangan YB Khalid. Semuanya bermula dengan pertemuan PAS dengan UMNO sebaik selesainya PRU12. Dari sini, timbul dua kelompok pendapat dan pendirian walaupun tidak jelas: PAS harus bersama PR atau tidak bersama PR.


Namun hal ini tidak perlu lagi perpanjangkan. Hal ini kerana Lajnah Politik PAS Pusat telah membuat keputusan dalam mesyuarat baru-baru ini bahawa PAS akan berdiri teguh bersama PR dalam membawa perubahan (baca: peralihan) kerajaan: dari BN (UMNO) ke Pakatan Rakyat. TGHH sendiri sebagai Presiden dan yang mempengerusi mesyuarat tersebut menjelaskan bahawa selepas ini setiap mesyuarat PR, PAS akan diwakili Presiden sendiri, Timb. Presiden, dua naib presiden ( Husam dan Mohamad Sabu), dan Dato' KJ.


Dengan begitu polemik pro dan kontra PAS bersama PR telah memenui titik noktahnya. DSAI sendiri memberi jaminan bahawa mp-mp yang akan membentuk kerajaan PR akan berpihak kepada muslim, dan Islam akan ditegakkan. Khabarnya, (dari blog MSO, dengan izin) menjelaskan bahawa senarai kabinet bayangan telah pun siap dan telah diperaku oleh ketiga-tiga parti. Dan, kalau penyinggah sudi menjenguk blog MSO, saudara Sayuti telah menyenaraikan senarai kabinet yang diemailkan oleh penjenguk blognya untuk tatapan penjenguk blognya. Senarai itu agak menarik juga.


Pada kesempatan ini, ingin juga saya sentuh tentang pelan peralihan jawatan PM. Seronok depa ye, jawatan yang sebegitu penting, dan menjadi penentu hidup mati sebuah bangsa dan negara bernama Malaysia diatur persis memfaraid harta pusaka (istilah Tengku Razaleigh).


Pada hemat saya, pak Lah mengambil keputusan untuk tidak mempertahan jawatan Presiden UMNO pada Mac 2009 bukanlah kerana kerelaan dan keikhlasan, tetapi didesak dan diasak oleh Najib dan kroninya. Namun, kerana Najib terlalu inginkannya, Pak Lah mengalah walaupun dalam hatinya cukup terkilan.


Adakah benar-benar naif dalam hal ini? Apa kata budak-budak penasihat Pak Lah? Saya percaya Pak Lah sedar sepenuhnya. Sekurang-kurangnya terdapat 2 isu yang menghantui Najib: citra dirinya yang cukup tercalar, dan ekonomi Malaysia yang menjunam akibat merudumnya ekonomi USA.


Najib dan kroninya akan berhempas pulas untuk memenangkan Najib. Satu-satu pencabarnya, Tengku Razaleigh akan cuba dikekang sekuat-kuatnya. Regu-regunya iaitu timbalan presiden, naib-naib presiden, dan majlis tertinggi, dalam pemuda, wanita, putera, dan puterinya akan cuba dimenangkan tak kira apa kosnya. Kroni dan proksinya akan berusaha sedaya mungkin untuk menjulang team Najib.


Saya yakin mulai 9 Oktober sehingga Disember ini, semua menteri kanan UMNO termasuk Najib akan memfokuskan segala tenaga untuk pertandingan pada Disember nanti. Saya yakin mereka dah terlupa bahawa mereka ada tanggungjawab sebagai ahli kabinet Persekutuan.


Jadi, apabila mereka terlalu sibuk, dan mabuk kuasa dari Oktober hingga Disember ini, apakah habuan kepada rakyat. Ekonomi bagaimana? Harga sawit bagaimana? Harga getah dah mula menurun melebihi 30%. Kilang-kilang bagaimana? Inflasi yang memuncak, malah ke arah stagflasi, bagaimana? Harga minyak dunia dah turun, apa rekasi mereka? Dalam masa nilai ringgit semakin murah, harga barang meningkat, harga komoditi menurun, adaakah kemungkinan harga beras disubsidi?


Rumusannya, apabila mereka mabuk kuasa, rakyat akhirnya makan apa? Cubalah teka!!!


Dan, adalah Pak Lah naif dalam sikap beralah itu? Adakah itu jerat? Carilah jawapannya.

07 October, 2008

Kalau Kita Berbalah, Yang Untung BN

Salam buat pembaca dan penyinggah.

Apabila membaca, memerhati, mengunyah, dan meneliti artikel-artikel dalam TKO, hati menjadi gundah-gulana. Dalam hati bertanya, di mana dan ke mana hala tuju ahli-ahli PAS. Sedarkah ahli-ahli PAS bahawa mereka adalah rakan dalam PR yang mentadbir 5 buah negeri di Malaysia? Ada saja isu ditimbulkan yang seolah-olah wujud satu usaha untuk mengganggu-gugat kepaduan dan integriti PAS.

Keyakinan saya, kesedaran saya, yang mula menaruh minat terhadap politik sejak di alam persekolahan lagi, bahawa sekaranglah masa dan ketika yang tepat, ruang yang luas, dan persekitaran yang subur untuk memartabatkan Islam di Malaysia. Pasca PRU12 memperlihatkan secara jelas kepada kita bahawa masyarakat yang pelbagai kaum dan etnik kini mengingini satu transformasi politik, dari yang bertunjangkan kaum kepada politik yang mengambil kira pelbagai kaum. Mereka mendambakan satu dasar politik dan iklim politik yang mesra berbagai-bagai bangsa: menerima rakyat Malaysia bukan berasaskan kaum.

Transformasi politik ini harus berdasar atau bertunjangkan ideologi dan falsafah tertentu. Pada peringkat regional (kenegerian) khususnya sebelah pantai timur dan utara, asasnya tentulah Islam. Bagi negeri-negeri pantai barat yang masyarakatnya pelbagai etnik, dasar atau asas transformasi itu ialah nilai-nilai universal yang puncaknya ialah keadilan dan akhlak terpuji.

Mengapa saya letakkan asas nilai-nilai universal (adil dan akhlak) sebagai tunjang transformasi politik baru ini di pantai barat? Jawapannya amat mudah. Penghayatan agama (baca:Islam) di sini masih tipis. Arus pemodenan yang begitu kuat melanda, yang dirancang dan dilaksanakan tanpa diikat dengan agama, menyebabkan agama seolah-olah telah ditolak menjadi rutin peribadi semata-mata. Kehidupan duniawi dan kecintaan serta ketaksuban kepada kehidupan duniawi begitu mendalam. Ini kesan langsung daripada falsafah pembangunan yang dibawa oleh BN dan UMNO.

Dalam hal ini, parti atau organisasi yang berteraskan agama akan dipandang sinis, dicurigai, malah ditentang. Jadi, adalah lebih mudah parti atau organisasi yang berasaskan agama itu menukar pendekatan dan strategi yang sesuai dengan persekitarannya. Dalam masyarakat yang pelbagai ini dan sarat dengan kehidupan duniawi pendekatan kita haruslah sederhana dan tidak bersifat menghukum. Salah satunya ialah menekankan soal nilai-nilai baik dan menonjolkan nilai-nilai Islam, secara tidak langsung akan menarik diri mereka secara beransur kepada agama. Ini maknanya kita tidak menekankan label tetapi menfokuskan kepada nilai. Strategi ini tentunya akan berkesan kepada masyarakat Islam sendiri dan juga kepada bukan Islam.

Tentang perubahan politik pula, tentulah perubahan itu perlu kepada organisasi. Kini, yang membawa obor perubahan ini ialah Pakatan Rakyat yang telah pun bertapak di lima buah negeri.

Kita sedia maklum bahawa keadaan kehidupan kini ( politik, ekonomi, sosial dan budaya, dan juga agama) begitu parah dengan segala penyakit sebagai hasil falsafah pembangunan dan pemodenan yang dibawa oleh BN dan UMNO.

Maka, untuk membolehkan transformasi politik itu berlkaku dengan subur dan merata di seluruh negara, BN dan UMNO perlu ditumbangkan. Dengan itu, prioritinya ialah semua agen dan jentera PR perlu difokuskan untuk menumbangkan BN. Dalam masa sama, kerajaan-kerajaan negeri PR perlu peka dan berhemah supaya dapat memperlihatkan bahawa Pakatan Rakyat merupakan pilihan terbaik rakyat menggantikan BN dalam mencapai suatu iklim kehidupan yang sejahtera dan prorakyat.

Dalam konteks ini, PAS merupakan rakan kongsi PR yang penting. Apa yang diperjuangkan oleh PR, "keadilan" untuk semua kaum hanya akan berjaya dan bertahan lama sekiranya PAS dapat memainkan peranannya dengan berkesan. Keadilan yang berteraskan nilai universal adalah rapuh. Keadilan yang tegar mesti dipayungi oleh Islam. Inilah peranan PAS dalam membantu YB muslim dalam PKR dalam mengembangkan KEADILAN ISLAM dalam PR.

Ini sebenarnya menuntut seluruh ahli dan jentera PAS berpadu tenaga. Saya agak bimbang tentang hal ini apabila saya meneliti posting-posting dalam laman TKO. Dalam PAS seolah-olah tidak wujud kesepaduan ini. Saya tidak bimbang jika ini berlaku pada peringkat akar umbi. Yang dikhuatiri ialah kalau berlaku pada peringkat saf pimpinan.

Soal Muzakarah sudah selesai dan tidak perlu diungkit-ungkitkan lagi. Begitu juga dengan isu Cikgu Pa tentang agenda 916, juga telah selesai apabila Cikgu Pa dengan rela hati berjumpa dengan TGNA. Terkini pula isu Amaran TGHH yang disensasikan oleh Harakah.

Komen peribadi saya tentang isu Amaran ini, adalah tidak wajar bagi Harakah untuk mensensasikan nasihat atau peringatan TGHH ini yang menampakkan bahawa DSAI tidak peka tentang pegangan agamanya. Pada saya, nasihat ini tidak perlu dihebahkan secara umum. PR akan mediumnya. Gunakanlah medium itu. Kalau nak dihebahkan juga, perlulah menggunakan bahasa yang "berlapik". Sebagai presiden, setiap ucapan atau pendapat adalah dasar, bukan pendapat peribadi. Keutuhan PR di mata umum menjadi prioriti.

Isu yang saya kira masih belum beres ialah soal anai-anai dalam PAS. Isu ini kalau tidak diurus dengan baik akan memudaratkan parti. Begitu juga istilah "erdogan" dalam PAS.

Dalam sesebuah organisasi, perbezaan pendapat tidak boleh dielak, namun harus ada had dan sempadannya. Dalam PAS, saya kira, sekurang-kurangnya terdapat 2 kelompok aliran pendidikan: golongan profesional (dan birokrat) dan beraliran agama. Tentunya masing-masing mempunyai persepsi berbeza terhadap sesuatu isu atau pendekatan atau strategi. Masing-masing saling melengkapi dan saling menghormati. Perbezaan persepsi ini harus tidak dibesarkan malahan mesti dicari titik-titik pertemuan.

Akhirnya, masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu yang perlu dimainkan dan dilunasi. Agenda peribadi harus diketepikan dan matlamat luhur perlu dikedepankan. Islam mesti ditegakkan. Namun caranya berbeza mengikut ruang dan waktu berbeza. Peluang yang ada wajar direbut. Jangan biarkan perselisihan pendapat menyebabkan kita terlupa akan masa yang terus bergerak. Masa tidak akan berundur. Jika kita terperangkap dalam pertelingkahan dalaman, masa akan terhenti, musuh dapat menyelinap masuk, akhirnya matlamat yang kejar selama ini terkulai.

Ingatlah, dalam konsep Islam sebagai addin, ada dua hubungan yang menyatu: hubungan menegak (manusia dengan Pencipta), dan hubungan mendatar (hubungan sesama manusia). Tidak lengkap Islam itu, kalau salah satu terabai. Dalam konteks jihad, kita wajib berusaha mencari apa juga usaha (praktis) untuk cuba menjayakan misi Islam. Jihad tidak mengenal erti berhenti dan berserah.

Bukankah ruang dan waktu inilah merupakan detik terbaik untuk PAS sebagai wadah perjuangan Islam untuk merealisasikan cita-cita yang selama ini diperjuangkan. Oleh itu, ungkaikan perbezaan, carikan titik temu, berusahalah, bertindaklah berpandukan akal waras, dan bertawakallah.

Wallahualam.

01 October, 2008

Catatan Santai Tentang Husam

Baru selesai singgah blog MSO, tertarik tentang catatan MSO mengenai Dr Hatta, dan Husam. Apa yang akan saya catatkan agak signifikan dengan dua orang ini khususnya dalam kontek PAS, PKR, dan PR.

Saya akan ulas tentang Husam. Saya secara peribadi, tidak boleh mencampuri bagaimana beliau menguruskan blognya. Dia bebas untuk menulis tentang apa-apa subjek yang diingininya. Dia bebas untuk mengkritik atau mengulas, atau memberi pandangan tentang tokoh-tokoh yang dia ingin untuk disorotinya. Saya yakin dengan pengalaman penulisannya tentang politik, beliau dapat membezakan mana yang sesuai atau mana yang tidak sesuai untuk dipublishkan dalam blognya. Ini tidak berkecuali tentang Husam.

Namun, saya kira MSO menilai Husam dari aspek atau sudut pandangan pendokong PAS. Mungkin bagi MSO, semasa beliau menulis tentang Husam, beliau telah cuba untuk tidak memihak, atau mengambil jalan tengah. Tetapi, secara tidak disedarinya, apa yang saya nampak penilaian MSO tentang Husam masih tidak lepas sebagai pendokong PAS. Dengan begitu, MSO akan terlepas bebarapa perkara yang mungkin sedang bersarang dalam minda atau hati Husam.

Saya melihat bahawa pandangan Husam dan peranannya dalam Pakatan Rakyat harus dinilai daripada beberapa aspek. Pertama, citra dirinya. Kedua, momentum PAS dalam PR. Ketiga, pendekatan dan strategi politiknya.

Citra Dirinya

Husam seorang profesional yang bergabung dalam dirinya kecintaan kepada agamanya. Agama menjadi dasarnya, tindakannya berbentuk profesional. Beliau menilai persekitaran berkaitan politik dengan kaca mata profesional. Beliau menilai objektif dan visi PAS dalam bentuk sikapnya yang profesional. Dengan begitu beliau begitu peka dengan perubahan dan tuntutan persekitaran. Dalam konteks ini, beliau berkemampuan melihat kekuatan dan kelemahan organisasi yang didokongnya secara bebas - ketaksuban dapat diimbanginya.

Ini berbeza sekiranya Husam seorang yang beraliran agama atau berpendidikan agama. Kita harus sedar bahawa pendidikan agama kini telah dipetak-petakkan dan telah lama berlaku sejak berlalunya zaman tokoh-tokoh intelektual Islam yang mempelopori ilmu-ilmu dunia. Dari segi sejarah ilmu, tokoh-tokoh Islam adalah pengasas kepada ilmu-ilmu moden yang selepasnya diambil alih orang Barat. Cuba kita teliti asas-asas teori ilmu yang dipelopori oleh Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun (sekadar menyebut beberapa nama), bahawa jelas ilmu pengetahuan pada ketika digarap secara menyeluruh - matematik, fizik, georafi, sejarah, semuanya berpunca daripada al-Quran. Seorang intelektual Islam ketika itu, bukan sahaja menguasai subjek-subjek khusus tetapi dalam masa yang sama mereka mahir dalam al-Quran dan menguasai semua pecahan ilmu. Maknanya ketika ini ilmu tidak dipisah-pisahkan seperti kini. Dari sinilah lahirnya istilah universiti, daripada istilah induknya "universe".

Apabila negara-negara Islam melalui zaman gelap, dan Barat memulakan renasaincenya, ilmu-ilmu mula dipisah-pisahkan dan berdiri sendiri. Bermula daripada zaman ini, pendidikan Islam pun dicorakkan sedemikian juga. Ilmu telah dibahagi dua secara mutlak iaitu ilmu agama dan ilmu keduniaan yang membicarakan hal-hal hubungan manusia dengan kehidupannya. Ini menyebabkan wujud keadaan iaitu lulusan agama hanya pakar tentang bidang-bidang agamanya sahaja. Ini dikatakan dualisme dalam ilmu.

Apakah kesannya? Ini membawa kesan bahawa jika seorang itu mahir tentang agamanya, dalam masa sama dia kurang arif dalam ilmu-ilmu dunia yang lain seperti sejarah, matematik, geografi, psikologi, sosiologi, dan seumpamanya. Jadi, sains dan metodologinya agak asing bagi lulusan agama baik tentang ilmu yang bercorak kuantitatif mahupun kualitatif. Kalau mereka mempelajarinya pun hanya setakat pengetahuan asas.

Ilmu agama sebagaian besar berbicara tentang hukum. Halal dan haram. Syurga dan neraka. Ini menyebabkan mereka sukar bergerak dalam persekitaran kehidupan yang cepat berubah. Perubahan persekitaran begitu cepat, sedangkan dalam masa sama pintu ijtihad telah ditutup.

Hakikatnya PAS sebuah parti yang dipimpin dan dianggotai oleh golongan agama. Golongan agama ini pelbagai dan datang daripada institusi pendidikan yang berbeza-beza. Secara umumnya ada dua: berpendidikan universiti (dalam negara dan luar negara) dan berpendidikan pondok. Di luar sana, masyarakat berubah dan tuntutan hidup pun bertambah. Bagaimana mereka hendak menangani konsep-konsep moden yang lama dan baru serta ilmu dan cabang-cabangnya yang kian bercambah. Kita ambil contoh, konsep dalam politik dan ekonomi serta psikologi dan sosiologi. Adakah lulusan agama ini pakar tentang ilmu-ilmu sebegini? Kalau ada pun terlalu minimum.

Oleh itu, saya melihat bahawa tokoh-tokoh yang beraliran profesional dan beragama lebih mantap apabila berhadapan dengan tuntutan-tuntutan persekitaran yang berubah-ubah. Mereka lebih berani dan sanggup mengambil risiko. Tentunya dalam batas-batas yang diizinkan oleh anutan dan pegangan agamanya. Orang-orang sebegini merupakan aset yang tidak ternilai bagi organisasi yang mendokong cita-cita agama. Mereka menjadi pembuka jalan dan perintis, dan golongan yang beragama berperanan menyelesaikan soal-soal boleh atau tidak sesuatu tindakan itu dalam konteks semasa.

Maknanya golongan profesional ini lebih mendasarkan tindakan mereka atau pendapat mereka dalam sudut nilai bukan dalam bentuk institusi. Sebagai contoh, konsep negara Islam. Negara Islam merupakan bentuk atau institusi. Pembentukan Negara Islam dalam kerangka pemikiran tertentu. Penghayatan atau pengamalan nilai-nilai yang membawa kepada terdirinya Negara Islam itulah yang diperlukan terlebih dahulu. Di sini, yang dipentingkan ialah senarai keutamaan yang terdiri ciri-ciri negara Islam tanpa memfokuskan kepada istilah.

Saya lebih kuat beranggapan bahawa Husam, Hatta, Salahuddin, Dr Zulkifli, dan lain-lain yang aktif dalam PR dalah termasuk dalam golongan ini. Mereka melihat dan pada anggapan mereka dengan PR, nilai-nilai Islam yang diperjuangkan PAS selama ini dapat diterapkan dengan mudah memandangkan DAP dan PKR telah menerima secara asas perjuangan ini. Bukankah sesuatu tindakan lebih mudah dilaksanakan apabila musuh kita atau rakan kita berada dalam posisi yang sama?

Baiklah, soal kedua dan ketiga akan saya sambung nanti.