28 March, 2010

Mursyidul Am PAS: Masihkah TG Hj Nik Aziz

Salam.

Di tengah-tengah keriuhan dan gegak gempita AGM 1 Perkasa dan pemilihan MCA, penyokong Pakatan Rakyat dan ahli PAS tentu sedang resah menanti mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas esok. Hal ini kerana dalam mesyuarat esok, penentuan sama ada Majlis Syura Ulama Pas memperoleh Mursyidul Am yang baru atau TG Datuk Hj Nik Aziz kekal sebagai pengerusi majlis ini.

Khabarnya, dan sedang bertiup kencang Ustaz Hj Ahmad Awang tidak dilantik semula sebagai ahli majlis ini. Bagi penyokong PR, mengetahui dengan jelas prinsip dan pendirian Ustaz Ahmad Awang dalam soal UG dan survival PR. Malahan dalam muktamar yang lalu, Ustaz Ahmad dengan lantang mendedahkan ada personal pimpinan tertinggi Pas yang meminta beliau menubuhkan kerajaan negeri Perak dengan UMNO, dan beliau menolak mentah-mentah.

Itu soal Ustaz Ahmad Awang, bagaimana pula dengan TGNA?

Perkhabaran juga sedang bertiup kencang bahawa TGNA tidak dilantik semula sebagai Mursyidul Am Pas. Memang TGNA menjelaskan pendirian beliau dalam Malaysiakini bahawa beliau begitu bahagia jika tidak dilantik semula atas alasan kesihatan dan kesibukan mentadbir Kelantan.

Kita kenal siapa TGNA. Beliau tidak sekali-kali meminta jawatan. Ini tabiat asas seorang yang bergelar ulama sejati - tidak meminta jawatan. Namun, beliau juga menegaskan bahawa apabila ahli Majlis Syura masih sudi akan pimpinannya, beliau bersedia.

Analisis MSO hanya melihat kenyataan TGNA ini pada lapis pertama atau permukaan sahaja atau yang tersurat sahaja. MSO melihat bahawa TGNA telah surrender kerana kesihatannya, tanpa menilai lebih jauh bahawa inilah sikap seorang ulama yang perlu ditunjukkan bahawa jangan sekali-kali memperlihatkan bahawa kita meminta sesuatu jawatan. Dan satu hal, saya sendiri tidak hairan dengan sikap MSO terhadap TGNA. MSO telah lama tidak senang dengan sikap TGNA. Antaranya melantik menantunya sebagai COO dan CEO PBMK yang akhirnya mencetuskan kontraversi. MSO juga tidak senang dengan sikap enggan melepaskan jawatan MB Kelantan, dan enggan menamakan penggantinya.

Saya kira MSO gagal melihat akan survival Pas dalam arus kebangkitan politik baru yang dibawa oleh PR. Kita dapat melakarkan dengan jelas akan sikap dan pendirian yang konsisten dalam soal perlunya mengukuhkan PR, dan Pas perlu menyokong dan proaktif tanpa berdolak-dalik. Kita juga dapat lakarkan dengan jelas TGNA menjadi ikon keadilan Islam dalam konteks multiracial.

Keadaan ini agak berbeza sekiranya Dr Haron Din, seperti yang dicanangkan oleh MSO sebagai pengganti TGNA. Tanpa mempersoal keulamaan Dr Haron Din, namun dua sikap beliau yang jelas, pertama, terlibat dalam team berbincang dengan UMNO  untuik bekerjasama membentuk kerajaan. Kedua, pendiriannya yang bercanggah dengan pendapat rasmi Pas tentang isu kalimah Allah oleh penganut Kristian. Dua sikap dan keadaan ini memeperlihatkan bahawa wujud pertentengan antara cita rasa dan falsafah individu dengan kehendak majoriti.

Kedudukan Mursyidul Am sebagai penjaga dasar maka Mursyidul Am bertanggungjawab secara tidak langsung dalam memantau hala tuju dan pengendalian organisasi parti oleh Presiden. Mursyidul Am bersama Majlis Syura Ulama harus menentukan Presiden dan organ-organ parti berjalan selaras dengan dasar parti dan ketetapan Muktamar.

Pada saya, dan berkongsi rasa yang sama dengan Tulang Besi, Kerabu Bersuara, dan yang lain-lain merasakan bahawa dalam keadaan suasana politik baru, demi survival Pas, serta mengekalkan sokongan bukan Melayu, TGNA wajib dikekalkan sebagai Mursyidul Am Pas.

Pengguguran TGNA sebagai Mursyidul Am Pas akan mengundang padah dan mendatangkan persepsi yang cukup negatif terhadap Pas secara umumnya, apatah lagi kecenderungan sesetengah pimpinan Pas masih berdolak-dalik tentang UG. Dan, penyokong PR dengan mudah beranggapan bahawa Presiden dan teamnya sedang menyusun agenda tertentu menjelang muktamar akan datang. Sayugia diingat, imej Pas sedang tercalar teruk, dan PRU13 semakin hampir.

Kita berdoa agar masa depan Pas terus cemerlang, dan dijauhi daripada anasir-anasir yang boleh membawa Pas ke zaman malapnya.

Simpang 4, AS.

27 March, 2010

Mahathir: UMNO Dah Di Hujung Jalan

Salam.

Telah selesai AGM Perkasa, dengan dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir. Empat usul telah pun diluluskan, dan yang uniknya ialah diakhiri dengan 13 laporan polis terhadap Anwar Ibrahim.

Begitu obses mereka kepada Anwar!

Sebagai kesimpulannya saya quote inti sari kata Ibrahim dan Mahathir sendiri.


Kata Ibrahim:
"kerajaan tidak tunduk kepada desakan dan “ugutan” parti politik dan NGO Cina".
Apa pula kata Mahathir:
"Maaf saya katakan, wujudnya begitu ramai NGO Melayu yang memberi tumpuan masalah Melayu kerana terhakisnya kepercayaan mereka kepada UMNO sebagai pelindung nasib mereka,”
Selebihnya, saya pulangkan kepada para penyinggah untuk menamatkan kedua-dua quote tersebut dan mentaksir adakah UMNO telah menemui jalan hujungnya!

Simpang 4, AS.

PERKASA: Muktamad UMNO LUMPUH ...

Salam,

Sebelum saya mulakan kalam ini, cuba renungi qoute Ibrahim ini, ketika ucapan dalam Mesyuarat Agung Pertama Perkasa, hari ini, yang mengupas tentang "Malaysia Malaysian":

"Ia bertujuan rampas hak keistimewaan orang Melayu, menghapuskan raja-raja Melayu. Ia bertujuan menimbulkan kacau-bilau, memecahkan perpaduan antara bangsa di Malaysia.
Konsep Malaysian Malaysia turut menentang agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi".
Satu soalan yang ingin saya tanyakan: adakah generasi baru dan penyokong Pakatan Rakyat, yang sebahagian besarnya, penyokong dan pemimpin utamanya yang masih dimajoritikan oleh orang Melayu, BUTA SEJARAH?

Ibrahim sedang seronok dan berapi-api mengupas satu juzuk hitam dalam sejarah negara kita, peristiwa 13 Mei 1969, dan mentaksir juzuk ini mengikut jurus pandangannya.

Sayangnya, Ibrahim yang sedang syok itu lupa bahawa dia sedang menjerit melalui Perkasa, pada ketika UMNO sedang dilanda persepsi umum telah gagal secara total membela bangsa Melayu. Bukan sahaja gagal malah mengkhianati amanah yang diberikan oleh bangsa yang bernama bangsa MELAYU.

Kita tanyakan lagi kepada Ibrahim ini dan khasnya Mahathir, yang menjadi tulang belakangnya, mengapakah target DEB yang 30% masih tidak dapat dicapai. UMNO sebagai teras politik Malaysia telah diberi kuasa selama lebih 50 tahun, setengah abad, tetapi masih lagi bercakap tentang target DEB.


Kita hairan dengan Ibrahim kerana masih tidak menyedari siapa sebenarnya Mahathir, adakah Mahathir ini layak bergelar Melayu, yang berdarah Melayu? Secara undang-undang, memang Mahathir digelar Melayu, tetapi dari segi dna Melayu, Mahathir berdarah campuran India. Dengan maaf, saya tidak mempersoalkan jati diri Mahathir tetapi, adakah sesuai Mahathir diletakkan sebagai sandaran dan tulang belakang Perkasa sedangkan Ibrahim menjerit dan melaungkan untuk mempertahankan Melayu jati.

Satu persoalan lagi ialah dengan memasukkan Mahathir ke dalam Perkasa, bermakna Ibrahim telah merosakkan kemurnian perjuangan Perkasa, kerana telah umum mengetahui, tanpa menolak kesan baik prinsip, dasar, dan falsafah sosioekonomi Mahathir terhadap Malaysia, bahawa sejarah pentadbiran, falsafah pembangunannya dan sinismenya terhadap ulamak dan Islam, obsesinya terhadap ekonomi berskala besar yang sehingga kini Malaysia masih terkial-kial dalam usaha memulihkan diri daripada kebejatan ekonomi dan sosial.

Tanpa Ibrahim sedar sebenarnya dengan Ibrahim menggerakkan Perkasa bahawa Ibrahim sedang menilai dan menghukum partinya sendiri, yang telah pun ditinggalinya, dan sekarang seperti orang "gila talak". Sesungguhnya, Ibrahim mengesahkan tanggapan umum bahawa UMNO telah gagal membela bangsa Melayu sepanjang lebih 50 tahun UMNO memerintah!

Kegagalan UMNO itu, dan sesungguhnya juga kegagalan Ibrahim Ali kerana dia juga adalah sebahagian daripada peserta aktif UMNO ketikaUMNO menikmati kuasa sewenang-wenangnya!

Adakah Perkasa menandakan atau simbol rasa bersalahnya yang dahulunya dia gagal membela nasib bangsa Melayu?

Kita tanyakan lagi, apa jadi dengan pendidikan orang Melayu, usahawan-usahawan Melayu, Bahasa Melayu, Budaya Melayu (yang dijaja sebagai teras budaya nasional), apa yang sebenarnya UMNO telah buat?

Agama Islam? Apa yang sebenarnya yang telah disumbangkan oleh UMNO? Bukankah Islam itu "addin"? Kegiatan-kegiatan sosial yang anti agama seperti judi dan alkohol dan seumpamanya kian galak sehingga kini. Bagaimana institusi ulamak dalam UMNO? Falsafah pembangunan UMNO, adakah serasi dengan pandangan Islam?

Apa yang dapat saya rasakan ialah masa yang cukup telah pun diberikan kepada UBN. Kini tiba giliran Pakatan Rakyat untuk menterjemah Melayu dalam semangat Perlembagaan 1957. Tanpa meninggalkan jejak-jejak sejarah, Pakatan Rakyat di bawah dokongan cendekia-cendekia dan ulama-ulama yang ikhlas, Melayu dengan segala atributnya dan institusinya termasuk institusi Raja akan diintegrasikan dalam hidup bercorak keMalaysiaan dan berasaskan Perlembagaan Malaysia.

Jika Perkasa ingin kekal hidup sebagai NGO Melayu harus berubah dari segi gaya dan corak kepimpinannya. Dengan wajah terkini, yang seolah-olah seperti menjadi barisan hadapan UMNO, dengan jelas ciri rasisnya, dan stail kontra dan agresif, Perkasa akhirnya akan membawa tuannya, UMNO, ke lubang KUBUR!

Ibrahim bukan tokoh relevan untuk Perkasa, sekurang-kurangnya dalam konteks kebangkitan arus politik baru, yang sebahagian besarnya disertai oleh generasi baru yang kian terbuka dan sedang menilai dengan rapat UBN berasaskan prinsip "ketelusan, akauntabiliti, good governance, dan hak-hak asasi universal, dan semangat demokrasi, nilai-nilai Islam, dan nilai-nilai universal".

Simpang 4, AS.

26 March, 2010

Terkini: Wan Hashim Dibawa Polis

Salam.

Kemelut istana Kelantan kian mendebarkan. Datuk Wan Hashim Wan Daud yang tiba-tiba muncul dan mendakwa setiausaha sulit Sultan Kelantan, tanpa melalui prosedur standard, telah dibawa ke IPD Kota Bharu. Ini barangkali ada kaitan dengan keberangkatan pulang Pemangku Raja dari Singapura.

Dan kita dimaklumkan bahawa Majlis Perajaan Negeri sedang bermesyuarat untuk memilih Pengerusi baru.

Menurut Malaysia Insiders, Tengku Faris mampu tenang dan masih tersenyum walaupun sedang dihimpit "rampasan kuasa" secara tidak beretika dan di luar Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan ini.

Istana dan bandar Kota Bharu kini dikawal ketat oleh pihak keselamatan.

Kita seharusnya memuji tindakan pihak polis ini. Rasanya dalam hal ini mereka telah bertindak dengan profesional dan non partisan. Kita sedia maklum bahawa siapa yang rakyat Kelantan dokong dalam isu ini. Kita bimbang rakyat akan bangkit sekiranya kemelut ini tidak dikawal dengan segera! Rakyat sedar siapa yang sebenarnya bermain api!

Sumber: Kelab Greenboc

Simpang 4, AS

Isu Pemangku Raja Kelantan: Yang BAIK Perlu Diuji

Salam.

Sesungguhnya rakyat Kelantan amat mengenali siapa Tengku Muhammad Faris Petra, Pemangku Raja Kelantan. Salah seorang rakan saya, seorang aktivis PAS Kelantan, apabila saya cuba mendapat sedikit penjelasan krisis terbaru ini, menyimpulkan, yang Pemangku Raja ini begitu "merakyat" dan "low profile" semasa menjadi Tengku Mahkota. Dalam soal agama pula, Masjid Muhammadi di Kota Bharu seolah-olah menjadi rumah kedua bagi Tengku ini. Cuba baca di sini.

Sepanjang Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Pemangku Raja, banyak berlaku pembersihan dalam organ-organ Kerajaan Kelantan. Perjalanan Kerajaan Negeri juga dipantau. Bagi bacaan lanjut, klik di sini.

Dalam keadaan ini, kita dapat menduga bahawa dalam Kerajaan Negeri sendiri ada yang tersinggung dalam soal kontrak dan balak.

Dan yang pihak yang paling meyakitkan ialah pihak UMNO. Mereka ini sedar sungguh-sungguh bahawa untuk meruntuhkan Kerajaan PAS Kelantan hanyalah melalui satu cara sahaja iaitu melalui cara mempengaruhi istana, seperti modus operandi rampasan kuasa di Perak.

Siapa dalang sebenar di sebalik drama ini, saya pasti, banyak yang dapat menekanya. Untuk mengetahuinya, kita boleh bertanya siapa Wan Hashim? Kenapa tiba-tiba dia muncul? Sejarah kariernya semasa dia menjawat SUK Kelantan cukup membawa masalah kepada Kerajaan PAS Kelantan, dan kerajaan negeri amat buntu ketika itu kerana dia mendapat dokongan kukuh istana Kelantan. Umum mengetahui ketika itu akan kecondongan politik istana Kelantan. Dan dalam istana Kelantan, umum mengetahui siapa sebenarnya yang berperanan.

Jadi, pada saya, isu ini cukup sederhana. Satu usaha untuk menggagalkan trek Tengku Faris menduduki takhta Kelantan.

Kepada Tengku Faris, krisis ini sebenarnya sedang menguji dirinya. Rakyat mengharapkan Tengku Faris bertenang, berhati-hati, berserah dan bertawakal. Saya yakin Tok Guru sedang mengusahakan sesuatu!

Simpang 4, AS

23 March, 2010

Dua Perkhabaran Menyeronokkan

Salam.

Pertama, syabas kepada YB-YB PR Selangor kerana bangkit mempertahankan keputusan tepat yang diambil oleh Sultan Selangor untuk tidak menunaikan jemputan Perkasa bagi merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Perkasa.

Khabarnya, yang menggantikan tempat Sultan Selangor ialah Tun Dr Mahathir.

Amiruddin Saari membayangkan akan membawa usul dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri untuk mengecam Kolumnis Awang Selamat yang menulis dalam Utusan yang seolah-olah mempertikai keputusan Sultan Selangor tersebut.

Pada saya, tindakan YB-YB PR Selangor ini patut diberi pujian. Pertama, memang sewajarnya keputusan Selangor itu dipertahankan. Kita boleh bertanya Ibrahim memilih Sultan Selangor, tidak sultan negeri lain? Kita juga boleh menyoal masih relevankah kewujudan Perkasa dalam suasana politik hari ini. Mungkin visi dan isi Perkasa, dalam konteks demokrasi, boleh diterima, tetapi dengan cara gaya Ibrahim mencorakkan Perkasa, kesan buruknya lebih kepada parti pemerintah. Kerenah Ibrahim dengan Perkasanya tidak lebih perbuatan yang akhirnya memakan diri!

Politik merupakan seni manipulasi kesempatan, dan jelas kali ini, mereka di pihak sana terperangkap dengan ego dan kesombongan mereka.

Kita boleh bayangkan apa kesannya kepada status quo Kerajaan Negeri Selangor yang kerajaannya dibentuk melalui mandat rakyat, jika Sultan Selangor menerima jemputan tersebut. Dengan tindakan Sultan Selangor ini maruah institusi Raja menjulang tinggi, dan tentunya rakyat yang memberi mandat amat berterima kasih atas kebijakan tindakan tersebut.

Kita boleh mempersoalkan niat di sebalik jemputan tersebut. Dan rasa saya serta pasti Sultan Selangor telah dapat membaca niat Ibrahim itu.

Bagi sesiapa yang ingin membaca ulasan yang agak berimbang, sila klik di sini.


Perkhabaran kedua,

Akhirnya, apa yang telah dan sedang dilakukan oleh UBN terhadap Pakatan Rakyat (memancing Ahli Parlimen ADUN berpaling tadah) mula menyerang diri mereka semula. Maka berlakulah yang dikatakan "poetic justice" (hukum karma!).

ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn telah menghantar surat perletakan jawatan yang dilaporkan akan berkuat kuasa serta merta. Seperti yang dilaporkan beliau tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan Pusat MCA ekoran pemecatan beliau sebagai exco DUN Perlis.

Pada saya, ini pukulan maut kepada UBN, dan seperti yang dilaporkan usaha sedang dibuat oleh MB Perlis untuk mereda dan memujuk Yip Sun Onn supaya menarik balik surat tersebut, maka PRK tidak perlu diadakan!

Berbeza dengan PR, apabila Zahrain keluar PKR dan menjadi YB bebas, tindakan Zahrain ini amat dialu-alukan oleh PKR dan PR. Begitu juga dengan Zul Kulim. Tiada pujukan dilakukan malah dipersilakan!

**Kedua-dua imej, ikhsan Malaysiakini.

Simpang 4, AS.

21 March, 2010

New Force: Solidariti Mahasiswa Malaysia

Salam.

Syabas dan tahniah!

Bunga-bunga bangsa nampaknya mulai berputik dan mulai berbuah. Selama ini mahasiswa dilihat persis anak-anak sekolah yang mudah digertak dan mudah dikawal. Mereka, baik mahasiswa di IPTA atai IPTS begitu lesu dan tidak kelihatan nada protes dan sikap antiestablisment. Kalau ada pun suaranya tenggelam dan tidak ke mana.

Tetapi, akibat arus tsunami politik PRU12, akibat PR mampu menambah 4 lagi negeri, suara lantang menentang status quo mula bersimpongan dalam kalangan mahasiswa.

Terkini, walaupun didera dan disabotaj, SMM di bawah pimpinan Hilman Idham daripada UKM berjaya juga mengadakan Kongres Mahasiswa dalam keadaan yang cukup daif. Memetik Malaysiakini,

"Selepas halangan demi halangan, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini meneruskan kongres gerakan mahasiswa anjuran mereka dengan penuh daif, sehingga pesertanya terpaksa duduk bergelimpangan di lantai". (ihsan Malaysiakini)

Anak-anak ini tahu dan faham erti perjuangan. Tahu dan sedar akan hak-hak mereka. Mereka menentang salah guna kuasa Hal Ehwal Pelajar universiti. Mereka ini dilihat dan mempersepsi diri mereka yang prokerajaan. Terbaharu, mereka menentang pengenalan e-undi, yang begitu mudah dimanipulasi, dan aneh sekali ialah hasrat dan keraguan mahasiswa akan ketelusan e-undi langsung tidak diendah!

Hakikatnya, mereka menentang AUKU yang begitu mengongkong hak-hak mereka. Demokrasi dan praktisme demokrasi di kampus-kampus hanya mainan bibir pengurus-pengurus universiti.

Buat anak-anak pejuang ini, terima seadanya perlakuan sabotaj mereka. Kejayaan penganjuran ini menandakan anak-anak ini memperlihatkan daya juang dan sikap kemandirian yang tegar. Sesungguhnya, inilah kemanisannya.

Singkap semula sejarah gerakan mahasiswa era 70-an - bagaimana mereka akhirnya mampu mencorakkan dan mempengaruhi hala tuju kerajaan.

Sedarlah bahawa bangsa baru Malaysia amat memerlukan saudara.

Simpang 4, AS

19 March, 2010

Zahrain: Memperbodoh DSAI, Memperbodoh Juga PAS, DAP


Salam.

Kesian kat Zahrain ... terkial-kial orang ini cuba menjustifikasikan dirinya pada khalayak mengapa dan kenapa dia keluar PKR, dan mendaftar sebagai ahli kelab lompat.

Tidakkah dia lupa bahawa sebaik dia keluar PKR dan menjadi MP bebas bermakna dia telah meninggalkan jamaahnya, kumpulannya, dan induknya.

Apakah makna bebas bagi Zahrain, agaknya?

Dalam ucapannya di Parlimen, sarat dengan ucapan yang memburukkan PKR dan khasnya kawannya sendiri, DSAI, yang mengangkatnya sebagai ketua di peringkat negeri tanpa menghiraukan ketidakpuashatian orang-orang PKR Pulau Pinang.

Dia tidak berhujah tentang idealisme dirinya sebagai MP bebas yang original dalam maksud berbeza dengan Zul Kulim, rakannya Tan, Si Mohsein. Dalam hal ini, Zul Kulim lebih baik, sekurang-kurangnya Zul menggelarkan dirinya pejuang Islam(?), begitu juga dengan Ibrahim, teguh dengan PERKASAnya. Sekurang-kurangnya, mereka ini ada labelnya.

Satu hal yang pasti ialah perbuatan dan tingkah lakunya yang memburukkan parti dan pakatan yang pernah memberi tempat dalam politik, samalah dengan perbuatan memperbodoh tokoh-tokoh utama dalam PAS (TGNA dan TGHH), DAP (LKS dan KS). Begitu bodoh sekali mereka ini kerana mempercayai DSAI yang sehingga sanggup mengangkat DSAI sebagai PM sekiranya Pakatan dapat menawan Putrajaya. Begitu licik sekali Si Anwar ini sehingga dapat membius TGNA dan TGHH.

Pada saya, siapa kamu sebenarnya Zahrain .... jika mahu diukur dengan pengalaman politik TGNA. TGHH, Lim Kit Siang, dan Karpal Singh, dan Anwar sendiri!!!

Yang pasti, semakin banyak kamu bercakap, sesungguhnya, semakin terbongkar siapa dirimu yang sebenarnya.

Simpang 4, AS.

16 March, 2010

Rerefresh Jiwa yang Galau ...

Salam.

Agak keletihan juga dengan sepak terajang pentas politik Melayu dan Malaysia. Hati kadang-kadang begitu panas.

Ekonomi kian muram walaupun Najib dengan gembiranya mengumumkan 4.5% pertumbuhan pada suku ketiga tahun ini. Kalau kita baca analisis pakar ekonomi dalam Malaysiakini, boleh menyesakkan dada kita sebagai akibat ketidaktentuan dasar atau program Najib dalam ekonomi.

Dalam ekonomi kita kian merudum sedangkan negara jiran sekitar kita sedang melalui pemulihan, pihak UBN masih sanggup memperuntukkan dana yang besar (RM300 juta) bagi memancing YB-YB Pakatan Rakyat.

Biarkanlah kita tinggal sekejap pentas ini.

Kita menghiburkan diri dulu khas buat lelaki-lelaki yang pernah kandas dalam hidup ... "untukmu kekasih" ..

Sesekali menyelak jendela kenangan ... bermain dan berasakan semula akan rasa ngilu kerana tertusuk sembilu cinta yang engkar ...

.... hati kita kian menjadi lembut dan sensitif, yang sesungguhnya adalah asas kekuatan perjuangan masa depan ....

Simpang 4, AS

Kontradiksi: DSAI Disokong, Bagaimana Pula Selingkuhan ....


Salam.

Pertama, tahniah dan syabas atas kegigihan saudara Tulang Besi membongkar "anasir-anasir pakatan dalam kelambu"

Telah banyak kali teraju komponen PR menegaskan bahawa DSAI masih tetap diperaku sebagai ketua pembangkang merangkap Teraju Utama PR. Terkini, baca Harakahdaily, 15 Mac 2010, Karpal Singh dan Mahfuz Omar sekali penegasan dibuat bahawa status quo DSAI tidak berubah.

Memanglah seharusnya begitulah. Penegasan ini perlu dibuat untuk menggambarkan bahawa strategi UBN untuk menolak ke tepi DSAI daripada persada politik Malaysia melalui Liwat II dan episod 4 katak.

Namun, isu yang saya nak bawa kali ini ialah ada elemen kontra. Teraju utama DAP, PKR, PAS berusaha sedayanya untuk memperkukuh PR, namun masih ada sesetengah pemimpin (kalau masih lagi dapat kita gelar pemimpin!) yang cuba memesongkan hala tuju PR.

Atas kapasiiti apa kedua-dua pemimpin atas PAS - Ustaz Nasha, dan Ustaz Idris Ahmad hadir dalam majlis pelancaran buku Natrah, sedangkan majlis itu ialah majlis Mahyudin Yassin. Bukan sahaja hadir malah sempat pula memberi kenyataan media.

Kata-kata yang sungguh indah dan menyegarkan:

"Usaha mewujudkan perpaduan ini bukan boleh berlaku dalam tempoh sehari dua atau sekelip mata. Kita memerlukan satu tempoh untuk terus membina kematangan ke arah ini (mewujudkan perpaduan). Saya melihat kita pada masa sekarang sedang membina kematangan ke arah ini,”

Utusan memetik kata-kata Timbalan Presiden PAS ini, "semua pihak tidak harus bersikap mengalah walaupun beberapa usaha sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara parti politik terbesar umat Islam iaitu Pas dan UMNO terhenti di separuh jalan".

Apakah makna semua ini?

Di manakah kamu Sang Presiden? Pembantu kesayangan Sang Presiden ini masih lagi meroyan. Bukankah Presiden dan timbalannya sewajibnya menjadi benteng terakhir dalam merealisasikan ketetapan muktamar bahawa:

a) PR wajib diperkukuh.
b) Tiada lagi kerajaan perpaduan atau muzakarah atau apa-apa sahaja dengan UBN.

Barangkali telah SAMPAI MASA PARA BLOGGER MELANCARKAN PERANG TERHADAP USAHA-USAHA YANG SEIBARAT SELINGKUHAN INI KERANA SANG PRESIDEN MASIH LAGI TERDIAM DAN TERBIUS! .....

Simpang 4, AS.

12 March, 2010

Membaca Insiden Khalid Samad ...


Salam.

Maaf kepada penyinggah kerana dua posting terbaharu agak melankolik dan romantis dan terlalu personal. Itu gunanya blog, hak pemunyanya. Kadang-kadang hati mudah tersinggung, dan kesannya agak menyakitkan maka kesakitan itu yang bagai duri perlu dikeluarkan - penulis umpama penyair .... maaf sekali lagi. Namun 2 lagu Ebiet yang saya masukkan itu, tidak rugi untuk didengar ... melodi dan liriknya cukup menyentuh ....

Telah agak lama tidak menulis dan mengulas riak, ribut, dan ombak dalam permainan politik tanah air. Sebenarnya, isu Khalid Samad dan hukuman pancung oleh Jawatankuasa TITM walau nampaknya tenang di permukaan, tapi saya percaya arus di bawah masih kuat.

Saya membacanya begini.

Asas pembentukan dan pengaktifan Jawatankuasa Disipl;in PAS Pusat untuk kes Dr Hassan Ali (PSJ Selangor) dan Khalis Samad (YDP Pas Shah Alam) ialah ekoran syor EGM oleh TGNA yang meminta agar EGM menilai tingkah-tingkah songsang Dr Hassan Ali, Ustaz Nasha, dan Mustapa Ali. Kes atau isunya penggugatan terhadap kesepakatan PR Selangor dan PR seluruhnya.

Keputusan akhir seolah-olah kepentingan parti yang diutamakan, dan soal PAS sebagai juzuk komponen PR diletak sebagai no 2. Seperti kata Khalid, dalam postingnya yang terkini, "meletakkan PR di paras bahu dan parti sendiri di paras kepala". Semua maklum bahawa keputusan muktamar lepas ialah PAS perlu mengambil apa jua cara untuk memperkukuh PR. Dan ini, sesungguhnya, soal strategi yang telah pun diambil kira oleh dasar!

Khalid yang mempertahankan PR diberi hukuman pancung, manakala Dr Hassan hanya diberi amaran keras secara bertulis sahaja.

Dalam isu Khalid ini, kalau diperhalusi, seolah-olah mendapat restu Presiden, TGHH. Cuba teliti kenyataannya dalam Malaysiakini, 11 Februari 2010, dalam pertemuannya dengan AJK PAS Kawasan Shah Alam, dalam kes isu keputusan disiplin terhadap Khalid. Kedatanganya, begitu lewat, lewat dua jam, hanya bertemu dalam tempoh 30 minit, dan sempat diajukan 3 soalan sahaja. Tentang kelewatan ini pun, begitu tidak profesional. Cuba selami makna kata-katanya yang saya perturunkan, "Antara dua ini, sekiranya berlawanan antara parti dan Pakatan, yang mana kita hendak dahulukan? Mesti didahulukan parti, bukan Pakatan," Sedangkan, Khlaid sendiri pun tidak diberitahu sehingga kini, apakah rahsia parti yang beliau bocorkan!

Amaran Buat Pendokong PAS dan PR

Kepada pendokong PAS dan PR yang mendokong wawasan politik baru wajib membaca dan menghadam tulisan Khalid yang terbaru ini. khalid mengupas panjang premis dan hujahnya dengan megambil inti sari pengajaran sirah Nabi iaitu iktibar Perang Uhud dan peritiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Khalid menegaskan bahawa tindakan PKR memecat Zul Kulim dari partinya, PKR, sesungguhnya mengambil kira soal kesetiakawanan PR. PKR menolak ke tepi kepentingan sendiri. Hal ini kerana PKR faham bahawa survival ketiga-tiga parti amat bergantung kepada kelangsungan hidup PR. PR lemah bermakna ketiga-tiga parti turut lemah.

Begitu juga dengan DAP, yang walaupun sekiranya diambil jumlah kerusi parlimen melayakkan DAP mengambil tempat Ketua Pembangkang di Parlimen. Namun, DAP faham makna setiakawan dan survival PR. Mereka tetap berdiri teguh di belakang DSAI.

Apakah Maknanya?

Maknanya, jelas PKR walaupun setahun jagung dalam arena politik, dan DAP, memiliki aktor-aktor politik yang matang dan cerdik. Mereka bijak dalam isu yang menyangkut soal strategik.

Bagamana dengan partinya sendiri, PAS? Apabila diteliti, dengan mengambil iktibar insiden Khalid ini, PAS seperti berada dalam lingkungan yang dinamakan "lingkaran syaitan".

Dalam batang tubuh PAS sendiri, sedang divirusi pertentangan antara diktonomi "ulamak dan profesional". Dalam batang tubuh PAS sendiri juga wujud pertentangan kelompok konservatif (kecenderungan politik - perselingkuhan dengan UMNO) dan kelompok modenis (menyokong dan mendokong wawasan politik baru - menolak elemen bangsa dan ras). Di luar, PAS berhadapan dengan cita rasa pengundi baru (generasi baru dan muda) yang melihat masa depan PAS ditentukan oleh kekuatannya dalam kebersamaan dalam PR. Di luar juga PAS berhadapan dengan rakan-rakannya yang berlainan ideologi.

Secara jujurnya, bagi saya, sebagai aktivis politik, melihat PAS sejak PRU12 memasuki medan kesepakatan dalam PR dengan setengah hati, dan teragak-agak. Apatah lagi, Presiden telah dipersepsikan lebih sesuai sebagai "ulamak" daripada "pemimpin" politik. Presiden PAS seolah-olah hanyut dan membiarkan dirinya dihanyutkan oleh rakan-rakan akrabnya yang datang dari kelompok yang "kalah perang". Setiap kali kenyataan akhbarnya tentang isu-si semasa membuka ruang untuk dimanipulasi oleh media kroni UBN. Lihat sahaja kenyataan Presiden tentang kenyataan TGNA tetang kerjasama dengan UMNO yang telah pun dispesifikkan oleh TGNA, hanya dalam bidang Islam, sedangkan kenyataan TGHH membuka lebar ke aspek-aspek lain. Kenyataan TGHH memperlihatkan agenda "perpaduan" masih "hidup". Begitu juga kenyataan TGHH tentang sokongan ahli parlimen Australia yang senada dengan UMNO, tetapi berlainan sekali dengan kenyataan TGNA.

Akhirnya,

Saya seperti mendapat kesan bahawa dalam partinya sendiri, Khalid dicemburui, dan dimangsakan.

Pada saya, Khalid merupakan aset besar dan tidak ternilai kepada PAS. Beliau berjuang lama dalam PAS. Gagasannya digarap dengan mudah dan dapat difahami dalam sebaris ayat sahaja.

Namun, kepada Khalid,
adat berjuang,
cubaan yang datang sekuat ketokohan. Semakin kuat dan gemerlap ketokohan tu, semakin besarnya ujian dan hadangan yang akan dihenyakkan .... lebih memperkuat integritinya.

Saya yakin, buat Khalid, ini hanya ujian kecil baginya!

Simpang 4, AS.

11 March, 2010

Buat Seseorang, Hiruplah Madu itu ( dan segalanya telah selesai...)

Salam.

Catatan ini khas buat seseorang.

Luka terlalu dalam, tak terjangkau, dan sampai kapan pun
tak akan terawat,
terlalu lirih perjalananmu.

Segala kasih yang terlalu sarat,
kristal-kristal cinta yang memijar,
terlalu banyak yang dihulur.

Dan segala-galanya,
terhempas
ke batuan.

Dan biarkanlah,
bulan madu ini
menamatkan semuanya.

Untukmu,
yang persis "seakan-akan" aku ...

Kudedikasikan,
nyanyi ini ...... Puisi Bulan Madu

Cuba hayati liriknya .... "ada tulip untuk membunuh galaunya jiwa"

Puisi Bulan Madu (Ebiet G Ade)

Dalam kesempatan yang lama kutunggu
Cuaca cerah memancar sinar rembulan
membantuku membunuh kegalauan jiwa
Bunga tulip mekar subur di dada

Dalam percintaan yang hangat menggebu
marilah kita saling melebur diri
Simpanlah cintaku sedalam-dalamnya
Cintamu pun lekat di jantung hati

Buang jauh-jauh onak dan duri
Mari kita lintasi semua bumi
Pejamkan matamu, hirup kenyamanan
Cinta telah terpatri selamanya

Bersama kita dengar nyanyian bunga
Mimpi-mimpi yang usang kita kubur
Menggenggam hari ini seerat mungkin
Perjalanan kita masih sangat panjang

Buang jauh-jauh onak dan duri
Mari kita lintasi semua bumi
Pejamkan matamu, hirup kenyamanan
Cinta telah terpatri selamanya



09 March, 2010

Kenapa Sesekali Hati Tersentuh Terlalu Dalam ..

Salam.

Memang dunia politik makin riuh dan sedikit menyesakkan dada. Biarkan masa terngalir dan aksi-aksi oleh aktor-aktor politik bergerak secara alamiah.

Maaf kepada penyinggah blog ini.

Saya lebih banyak membaca dan membaca.

Kali ini, hati kecil ini tersentuh terlalu dalam .... entah kenapa ...

Buat penyinggah yang dihargai .... nikmatilah getar Si Ebiet yang di atas tu,
yang juga getar hati saya ....