25 January, 2012

CSL, Najib Lebih Popular Daripada Anwar, Apa Ertinya...

Quote The Malaysia Insider,

"Datuk Seri Najib Razak merupakan pemimpin pilihan untuk rakyat Malaysia kata Datuk Seri Chua Soi Lek, berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya kerap kali bercakap bohong.

Presiden MCA itu juga percaya, pembebasan daripada pertuduhan liwat terhadap Anwar telah membersihkan imej perdana menteri dan bukannya ketua pembangkang tersebut, dan membuktikan ketelusan Badan Kehakiman - garisan yang digunakan pentadbiran Najib selepas keputusan dibuat pada 9 Januari lalu."

Kata-kata CSL ini tidak lebih daripada untuk menyedapkan hatinya dan orang-orang sekitarnya serta sasarannya untuk halwa telinga Najib dan pakar-pakar strategisnya.

Apa lagi yang tinggal untuk MCA dan GERAKAN sebenarnya? Adakah CSL sengaja menutup mata akan pengairan dan hakisan sokongan msyarakat Tionghua kepada PR khususnya DAP dan PKR?

Hakikatnya, survival dan eksistensi parti-parti Cina dalam BN berkait rapat dengan sejauh mana sokongan rakyat pada parti terasnya UMNO. Secara ironisnya ialah parti-parti Cina ini hidup atas belas ihsan UMNO. Dan lebih menyayat ialah hakikat ini disedari dan difahami dengan jelas oleh kaum Tionghua di luar sana, dan mereka inilah yang menentukan jatuh atau bangunnya mereka.

CSL cuba mempertahan Najib bahawa Anwar bukanlah pesaing Najib. Rasanya, dari segi pengalaman dalam menerajui kabinet dan kerajaan pun Najib telah terkebelakang. Cuba bandingkan dengan idealisme dan karisma Anwar dengan Najib, rasanya tak perlu dihujahkan lagi.

Apakah semua program Najib sejak beliau ambil alih Putrajaya daripada Pak Lah telah benar-benar berjaya? Kenapa analisis-analisis situasi dan arah tuju ekonomi Malaysia di bawah Najib yang digelapkan oleh media arus perdana begitu suram? Kenapa Muhyidin sampai perlu mempopularkan motonya, "MELAYU DAHULU, MALAYSIA KEMUDIAN"?

Soal pembebasan Anwar dari skandal Liwat2, adakah Najib benar-benar jujur? Atau Najib sedar akan hakikat tekanan antarabangsa (Barat dan Asia Barat) terhadap pentadbirannya jika Anwar disabitkan pertuduhannya dalam keadaan bukti yang jelas dipertikai? Dalam hal ini, Najib sebenarnya tiada pilihan!
Jika beliau benar-benar jujur kenapa rayuan pensabitan Liwat2 diteruskan malah Mahkamah Rayuan membatalkan pembebasan kes hasutan Karpal Singh dan Karpal perlu membela diri? Bukankah ini wujud atau tersembunyi satu motivasi politik yang jelas.

Ringkasnya, kata-kata CSL ini cuma suatu helah bela diri dan satu usaha untuk menyelamatkan dirinya!

Simpang 4, AS.



24 January, 2012

MB Kedah, KUIN, dan AUKU: Perlunya Kepala Dingin

Jika kita menyingkap Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 di Alor star, Kedah awal Januari lalu, dikatakan begitu berjaya dengan Tawaran-tawaran Jingga sebagai mukadimah Manifesto PR pada PRU13 nanti. Termasuk dalam tawaran itu ialah pemansuhan AUKU pada kala Putrajaya berjaya dirampas PR.

Sedikit ironis ialah kejayaan konvensyen tersebut seolah-olah digerhanakan oleh penggunaan AUKU oleh KUIN yang sepenuhnya diurus oleh kerajaan negeri Kedah di bawah PAS dan PR. Sebagai latar belakang, diperturunkan quote ihsan "The Malaysia Insider":


"Lima mahasiswa itu didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.
Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima mahasiswa itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.
Tempoh penggantungan empat mahasiswa yang digantung satu semester sudah tamat."

Ustaz Azizan menegaskan, " Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan tetap dikenakan terhadap mana-mana mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang melakukan kesalahan."

Terkini, protes terhadap isu ini oleh mahasiswa masih muncul dan seolah-olah mengasak Ustaz Azizan menyatakan pendirian jelas terhadap isu ini. Bagi segolongan mahasiswa yang komited memperjuangkan pemansuhan AUKU, tindakan MB Kedah ini tidak selaras dengan Tawaran Jingga. Bacaan lanjutnya, di sini.

Saya sedikit keliru dengan sikap MB Kedah ini:

a)  Apakah pihak pengurusan KUIN iaitu Rektornya memahami dan mendokong penuh Tawaran-tawaran Jingga dan kesepakatan PR atas isu AUKU?

b)  Apakah sikap berkecuali Ustaz Azizan ini menandakan ada halangan-halangan tertentu yang akan menimpa KUIN sekiranya beliau cuba campur tangan? Hal ini memandangkan pengiktirafan akademik dan kursus atau program masih tertakluk di bawah KPM (kerajaan Pusat). KUIN juga sedang dalam proses menyiapkan kampus induknya di Kuala Ketil, Kedah.

c)  Adakah MB Kedah ini tidak menyedari bahawa gerakan mahasiswa ini merupakan sebahagian kuasa generasi baru yang rata-ratanya menyandarkan harapan mereka kepada Pakatan rakyat?

Perlu kita sedari kita sebenarnya diambang PRU13, dan isu-isu yang mengganggu PR dan yang akhirnya memberikan peluru secara sengaja kepada pihak UBN seharusnya diminimumkan. Isu sebegini seharusnya diurus dengan kepala dingin. Membuka ruang perbincangan dan mencari penyelesaian yang memuaskan semua pihak, pada hemat saya, satu tindakan yang terpuji. Tidak silap saya, Pemuda PAS telah menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan cara Ustaz Azizan mengendalikan isu ini.

Didoakan agar isu ini dapat berakhir segera!

Simpang 4, AS.