29 April, 2012

Anwar Fobiaisme 1: Hishamuddin Conteng Arang


Salam. Saya akan memulakan siri yang saya namakan sebagai Anwar Fobiaisme. Saya tidak pasti akhirnya siri ini namun niat di hati saya ialah sekurang-kurangnya sampai PRU13 nanti. Sentral serangan terhadap PR ialah Anwar. Pada sisi pemikiran penstrategis UBN ialah runtuhnya Anwar, maka pergabungan Pas, Dap, dan PKR akan berkecai.

Persoalan yang begitu kabur jawapannya ialah mengapa dan kenapa Hishamuddin mengulangi cara dan taktik KDN dalam melayani Bersih 2 terhadap Bersih 3. Apa sebenarnya yang ada di dalam kotak pemikiran pemikir-pemikir KDN dengan organnya PDRM (Cawangan Khas (SB), FRU, Anggota Beruniform)?

Apakah Hishamuddin tidak dapat menjangka bahawa dalam zaman ledakan teknologi IT, pihak KDN amat sukar membuktikan tahap profesionalisme dalam mengikuti SOP Polis dalam menyurai perhimpunan? Adakah provokasi-provakasi yang dibuat dalam dapat disembunyikan?

Kini pun telah terserlah siapa yang benar dan situasi sebenar dalam insiden "terbalikkan kereta polis". Begitu juga tentang siapa yang memulakan memecahkan benteng hadangan yang mengelilingi dataran merdeka sebaik sahaja Anwar memulakan ucapannya?

Insiden peserta Bersih disuraikan dengan ganas dan dipukul malahan bukan sahaja melibatkan pemimpin PR malahan melibatkan para peguam pemerhati dan wartawan media alternatif. Adakah insiden-insiden ini boleh mewajarkan tindakan polis?

Adakah dengan tindakan Hishamuddin ini, Bersih 3 gagal? Ambiga mengisytiharkan berjaya dengan anggaran kehadiran secara keseluruhannya 300,000 peserta.

Sebaik sahaja Hishamuddin meletakkan tugas kepada Datuk Bandar KL untuk tidak membenarkan dataran merdeka digunakan sebagai venue baik atas apa alasan pun, Hishamuddin telah meletakkan DBKL dan Ketua Polis KL berada dalam tahap tekanan psikologi tertinggi. Hal ini kerana penganjur Bersih tetap menyasarkan dataran merdeka sebagai venue mereka.

Kita boleh bayangkan tahap "fear" dan "gementar" di pihak penguatkuasa DBKL, Polis, dan FRU untuk menghadapi rempuhan jangkaan puluhan ribu peserta bersih. Mereka adalah manusia biasa yang terpaksa melunaskan tanggungjawab dan arahan. Mereka sebenarnya sedang mempertaruhkan nyawa. Berbeza dengan peserta Bersih, tahap kesediaan mereka untuk menerima risiko adalah tertinggi. Peserta bersih didorong oleh harapan dan cita-cita. Mereka bertekad mencipta sejarah.

Maka dalam keadaan yang bertentangan ini, sedikit insiden yang terhasil daripada provokasi mudah membakar dan marak. Maka terjadilah "keganasan".

Siapakah yang harus memikul tanggungjawab ini? Ambiga? PR? Anwar? atau Hishamuddin? Siapakah sebenarnya yang menanggung aib dan akibatnya?

Inilah yang saya maksudkan kerana fobia akan Anwar dan gabungannya telah memesongkan akal jernih dalam tindakan yang akhirnya imej Najib yang telah sedia tercalar kian tercalar dan hitam, bukan sahaja pada khalayak rakyat tempatan malahan di pentas antarabangsa.

Wajarkah PRU13 berlangsung dalam waktu terdekat ini? Adakah Najib berani menanggung musibahnya? Dapatkah Hishamuddin dan IGP tidur lena mulai sekarang.

23 April, 2012

Isu PTPTN: Anwar Harus Jawab Dakwaan Mahathir dan Saifuddin


Salam. Dalam konteks PTPTN ini, PKR dan PR sedang merangka pemansuhan PTPTN dalam rangka pendidikan percuma untuk rakyat sehingga ke universiti. Saya menjangkakan isu PTPT dan pendidikan percuma akan menjadi konsensus PR dalam manifesto PR pada PRU13 nanti. UBN mula meniup isu bahawa tiada kesepakatan dalam PR tentang isu ini. Kita mengharapkan Pas dan Dap bertindak bijak dalam hal ini.

 Pada hemat saya, ada beberapa isu atau persoalan berhubung dengan isu ptptn dengan pendidikan percuma yang cuba diperjuangkan oleh PR.

Pertama, isu ini amat dekat dengan isu generasi muda dan mahasiswa. Apabila isu ini dijuarai oleh PR, dengan mudah dapat memancing kebangkitan generasi muda dan mahasiswa, yang rata-ratanya datang daripada keluarga golongan menengah dan berpendapatan rendah baik berasal dari kota dan desa.

Rakyat terbanyak rasanya memahami dan menerima akan komitmen PR dalam usaha pemansuhan PTPTN dalam rangka pelaksanaan pendidikan percuma kepada rakyat. Ini sebenarnya selaras dengan Buku Jingga dan penerusan visi PR iaitu ketuanan rakyat. Rafizi sendiri telah pun sanggup berdebat dengan Khairy tentang isu ini malahan telah pun merumuskan beberapa prinsip dan dasar asas dalam usaha PR merealisasikan pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN.

Kedua, sejauh mana keikhlasan PR dalam memperjuangkan isu ini, adakah semata-mata ingin memancing undi generasi muda dan mahasiswa dalam PRU13 ini? Persoalan ini cuba dieksploit oleh UBN.

Ketiga, isu pemansuhan PTPTN ini dianggap oleh UBN sebagai momokan dan satu usaha pemancingan undi. Hujah asas mereka ialah hanya beberapa negara di dunia ini yang menjalankan dasar pendidikan percuma, itupun dimungkinkan oleh faktor cukai yang tinggi. Hujah UBN, jika PTPTN dimansuhkan, negara akan bankrup.

Tentang hujah UBN bahawa isu PTPTN dan pendidikan percuma ini hanya satu momokan dan hanya semata-mata usaha pemancingan undi oleh PR, maka dikaitkan dengan Anwar Ibrahim.

Sekurang-kurangnya terdapat dua kenyataan pihak UBN bahawa Anwar juga terlibat dalam usaha mewujudkan PTPTN pada tahun 1997. Pertama, dinyatakan oleh Mahathir, dan keduanya oleh Timbalan KPT iaitu Datuk Saifuddin Abdullah. Ketika ini Anwar ialah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Saifuddin mengaitkan pewujudan PTPTN selari dengan cadangan Prof Ungku Aziz (1973) supaya diwujudkan Tabung Siswa. Hemat saya cadangan Ungku Aziz ini lebih dalam konteks biasiswa, dan tentunya lebih berorientasikan kebajikan dan tidak membebankan mahasiswa dan keluarganya.

Kenyataan Saifuddin agak luar biasa dan menyimpang daripada stail politiknya. Cuba teliti, kenyataan Saifuddin ini,  “Namun pada 1997, kerajaan bersetuju menubuhkan PTPTN dan pembayaran kali pertama dikendalikan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu, kerajaan terkilan dengan tindakan ketua pembangkang yang berusaha untuk memansuhkannya disebabkan beliau tidak lagi dipilih sebagai pemimpin kerajaan.
“Tindakan bermuka-muka sebegini boleh menyebabkan masyarakat jelak dengan politik kotor diamalkan beliau semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai,”

Saifuddin menuduh Anwar bermuka-muka, tidak jujur aka tidak ikhlas dalam usaha Anwar mereformasi PTPTN dan mengusahakan pendidikan percuma kepada rakyat sekiranya PR menguasai Putrajaya.

 Satu hakikat ketika itu merupakan tahun-tahun kritikal dalam hubungan Anwar dengan Mahathir. Tahun 1998 Anwar diheret ke penjara. Tentunya, ketika ini pandangan-pandangan Anwar dalam polisi kerajaan tidak lagi dipedulikan oleh Mahathir.

PTPTN ini diusulkan oleh Najib yang ketika ini ialah Menteri Pelajaran. Ketika ini juga Najib membentangkan Akta Pelajaran yang baru yang membolehkan penubuhan IPTS dan penggunaan BI sebagai bahasa pengantar di IPTA dan IPTS.

Ketika ini juga kita boleh lihat bercambahnya IPTS seiring dengan dasar meluaskan peluang pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat. Jadi, IPTS memerlukan dana untuk operasinya, maka perlu disediakan dana yang besar untuk menampungnya. PTPTN ialah satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan dana untuk IPTA dan IPTS sekali gus melanggar perlembagaan iaitu pelajar bumiputra perlu diberi biasiswa dalam konteks hak istimewa orang Melayu dan bumiputra.

Tentunya ketika itu, Anwar berharap pelaksanaan PTPTN tidak seperti hari yang membebankan mahasiswa, dan Anwar sebenarnya tidak sempat memantaunya kerana tahun 1998 beliau dihumban ke penjara.

Kita sebenarnya tidak tahu dengan pasti apa pandangan dan harapan Anwar terhadap PTPTN pada waktu mula-mula diwujudkan. Tentunya Anwar ada falsafah dan prinsipnya sendiri.

Maka untuk menghapuskan kekeliruan ini dan menjawab dakwaan Mahathir dan Saifuddin bahawa Anwar bermuka-muka aka tidak jujur dalam isu PTPTN ini, wajarlah Anwar memberi penjelasan dalam ceramah-ceramahnya tentang prinsip dan falsafahnya mengenai PTPTN.

19 April, 2012

Anwar Gigil Kena Tibai


Salam. Kesian kita terhadap Anwar Ibrahim, nampaknya kali Anwar akan kena tibai teruk oleh geng bekas pengasas PKR. Anwar tentu sedang risau sekarang. Geng ini bukan calang-calang pemimpin, dan mengikut Mursyidul Amnya Muhammad Zahid Mat Arip, mereka meyokong Umno dan ditunjangi Perkasa.

Nampak harmonis gerakan menentang Anwar ini, Ibrahim Ali melalui Perkasa memperkuda geng bekas PKR ini untuk Tibai Anwar.

Kata Muhammad Zahid, Tibai akan bergerak dan menumpukan kekuatan mereka di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan. Mereka juga akan berada dalam setiap ceramah Anwar mulai 22 April ini.

Malang sungguh Anwar, baru-baru ini Geng Nalla cuba membunuh karektor Anwar dengan dakwaan Anwar seorang biseksual, dan bagi mereka, Anwar tidak layak jadi pemimpin. Namun geng Nalla ini dah mula menyepi. Anwar tetap juga berceramah, dan tetap juga berada dalam majlis-majlis antarabangsa untuk menyampaikan ucapan.

Kini, giliran Tibai pula. Apakah isu-isu yang dijangka akan dikupas oleh mereka? Kita jangkakan isu-isu pokok mereka ialah:

a)  Anwar kaki sex - seorang biseksual - mereka akan ulang balik Liwat 1 dan Liwat 2, dan video sex trio.
b)  Anwar pengkhianat Melayu - menjadikan Malaysia negara republik, hak istimewa orang Melayu akan dihapuskan, dan menerapkan fahaman Malaysian Malaysia.
c)  Anwar pengkhianat Pas - menyerap Anwarinas dalam Pas dan mengurangkan pengaruh ulamak dalam Pas.
d)  Anwar tunduk kepada DAP dan trojan horse DAP.
e)  Anwar agen Barat untuk menjatuhkan kerajaan Melayu yang didokongi Umno.
f)   Anwar berfahaman agama pluralisme.
g)  Polisi ekonomi Anwar akan mengbankrupkan ekonomi Malaysia.
h)  Anwar penghasut golongan muda dan mahasiswa supaya menentang kerajaan Umno yang selama ini membela Melayu melalui pendidikan.

Pemikiran politik geng ini amat mudah. Berikan sejumlah bajet kepada kami, dan kami akan Tibai Anwar, kalau boleh sampai menelanjangi siapa Anwar. Rakyat pasti akan percaya dan akan tolak Anwar.

Barangkali pada pemikiran mereka, tahap pemikiran rakyat masih sama seperti pemikiran mereka. Mereka harus bertanya, mengapa begitu ramai yang hadir mendengar ceramah Anwar atau pemimpin Pakatan? Adakah Anwar ada membela jembalang? Adakah isu-isu  yang dikupas Anwar, pendengarnya hanya menelan bulat-bulat segalanya. Adakah rakyat atau audien begitu bodoh dan begitu taksub dengan Anwar sehingga menjadi seperti lembu dicucuk hidung.

Alahai Ibrahim Ali, Muhammad Zahid, Ruslan Kassim, Zul Kulim. Kini bukan zaman pelita minyak tanah tetapi zaman maklumat di hujung jari. Setiap isu yang diketengahkan oleh  Anwar atau Pakatan, tentunya mereka akan sahkan dengan maklumat yang kunyah sendiri.

Sesungguhnya, yang menggigil nanti ialah mereka, bukan Anwar! Rakyat telah pun mengenali sosok badan mereka ini. Strategi politik untuk menyerang Anwar dengan menubuhkan kelab ini tetapi awal-awal lagi telah diisytihar siapa diri mereka - menyokong Umno dan ditunjangi Berahim Perkasa.

Sedangkan apa yang berlaku sekarang ialah arus perdana penolakan UMNO secara total dan BN umumnya.  Rakyat tidak dapat bersabar lagi tentang kebejatan polisi ekonomi dan moral UMNO.

Persilakanlah geng Tibai ke medan masyarakat dan kita akan lihat nanti rakyat akan menibai siapa. Strategi pun dah terjadi kontradiksi. Satu lagi usaha yang dirancang oleh pencacai Najib yang tentunya akan mempercepat kejatuhan Najib.

13 April, 2012

Ahmad Said Sengaja Menempah Maut

Salam. Rasional ke Ahmad Said ini? Nama program ini pun telah mengundang cemuhan. Program Pas: Parti Ajaran Sesat (P:Pa) yang diusahakan di Terengganu malah akan dibawa menjelajah seluruh Malaysia. Saya nasihatkan Najib berfikir sejuta kali untuk membenarkan program yang tidak masuk akal ini diwar-warkan seluruh Malaysia.

Apa pula kata Pas Terengganu? Ustaz Abu Bakar Chik menganggap isu ini terlalu berat. Pihaknya tidak mahu memanjangkan isu itu dari sisi politik kerana menganggap isu sesat adalah perkara yang tidak boleh dibuat main-main kerana boleh berbalik semula kepada diri sendiri.

Apakah Ahmad Said begitu takut, bimbang akan pengaruh Pas mula meresap seluruh Terengganu dan akhirnya menelan dirinya? Carilah pendekatan lain yang tidak menyebabkan rakyat mempersoalkan siapa dirinya - akhlaknya, taraf pendidikannya,tindak-tanduk politiknya.
Pelancaran program ini sesungguhnya mampu menenggelamkan jasanya yang agak baik terhadap perkembangan sosio-ekonomi Kemaman.

Apakah program ini, pada pemikiran Ahmad Said mampu mengubah persepsi rakyat Terengganu dan Malaysia amnya terhadap Pas?

Siapakah sasarannya? Adakah setiap program ini dilaksanakan, rakyat Terengganu hadir secara suka rela? Adakah yang hadir itu penyokong Pas, anak-anak muda, pengundi atas pagar atau sekadar yang dihimpunkan (itu pun dengan kerahan sama ada umpanan duit atau paksaan) ialah penyokong UMNO tegar?

Saya yakin yang akan hadir itu ialah penyokong UMNO yang tegar, simpatisan UMNO dan pengundi atas pagar sama sekali tidak akan hadir kerana nama program itu sendiri pun begitu kasar dan bersifat fitnah dan menyinggung sensiviti agama. Saya percaya mereka tidak akan hadir kerana mereka enggan bersekongkol dengan agenda yang seolah-olah mempersenda Islam itu sendiri.

Jika Ahmad Said sempat berfikir dan menilai, sagugialah beliau membatalkan program ini. Hal ini kerana bukan sahaja memyebabkan penyokong partinya sendiri yang akan protes dalam diam malah mengundang kebencian dalam kalangan rakyat jelata, yang akhirnya menyebabkan timbulnya situasi "kalah sebelum berjuang".

Ahmad Said perlu sedar sifat dan sikap orang Pas, selagi mereka diasak, tambahan dengan asakan yang tidak masuk akal atau berunsur fitnah, mendorong mereka untuk lebih kuat berusaha atau akan "all out" untuk menghapuskan legasi UMNO Terengganu. Dan ini sebenarnya tidak mustahil berdasarkan dasar-dasar ekonomi, sosial, dan politik Najib yang amat lemah, serta kurang peka Najib terhadap isu moral dan akhlak, apatah lagi soal menambahbaik perkembangan agama Islam yang tidak terserlah, unsur rasuah yang menonjol, program Ahmad Said ini sesungguhnya mempercepat kejatuhan Najib.

Perlu Ahmad Said sedari, Mahathir sendiri pun mengakui bahawa partinya, UMNO, kian lama kian tersisih daripada golongan cendekia dan profesional maka soal sinergi antara Pas dengan siasah dan Islam telah pun difahami dan diterima oleh rakyat terbanyak hatta oleh bukan Islam kerana dalam PAS sendiri bregitu banyak didokongi oleh tokoh-tokoh ilmuan agama dan profesional.

Kerana itu, rakyat akan bertanya, siapa kamu Ahmad Said jika nak dibandingkan TG Hj Hadi? Rakyat akan berkata, cerminlah dirimu dahulu, sebelum mengatakan orang lain sesat. Buktikan dahulu bahawa parti kamu bebas dari rasuah dan skandal moral.

Rakyat akan membaca isyarat bahawa memang benarlah kamu hanya takut dan resah terhadap Pas dan pengaruhnya di Terengganu, akan akhirnya kamu dan rakan-rakan kamu yang akan tersingkir dari singgahsana kuasa!

11 April, 2012

Hebat Mahfuz Omar Sanggup Dia Bertarung Meredah Api..

Salam. Mahfuz sebenarnya kini sedang bermain dengan api. Apa tidaknya, dakwaan beliau wujud Task Force berpangkalan di Jabatan Perdana menteri, memberi IC kepada warga asing membolehkan mereka mengundi dalam PRU13 nanti. Cabaran dan dakwaan beliau ini mewujudkan keadaan gelisah dan tidak selesa pihak SPR, JPN dan KDN serta MKN. Sudah tentu, mereka mengintai peluang untuk menyerkap Mahfuz! Awas wahai Mahfuz!

Senarionya begini. Bersih 3.0 telah pun dilancarkan. Exercise-exercise pra pelancarannya pada 28 April ini sedang giat dibuat. Banyak NGO lain termasuk antiLynas akan bergabung. Malaysia akan menyaksikan perhimpunan terbesar dalam sejarah moden Malaysia bertema "bantahan" aman terhadap kemuncak penipuan kerajaan Najib. Ku Li telah pun beri bayangan bahawa Amanah akan turut serta jika pada hemat Amanah, matlamat Bersih 3.0 sejalan dengan perjuangan dan hasrat penubuhan Amanah.

Saya boleh andaikan pada 28 April ini merupakan Tsunami 2.0 dalam politik moden Malaysia sebelum PRU13 yang anggap Tsunami 3.0.

Apakah agaknya reaksi kerajaan atau KDN atau Hishamuddin terhadap Bersih 3.0? Hishamuddin, nampaknya tiada pilihan. Jika KDN cuba menghalang, saya percaya ombak tsunami itu berupaya menjadi ombak yang lebih besar, dan "damage" terhadap Najib akan lebih parah, dan "rating" Najib akan lebih merudum.

Kerana itu, Hishamuddin, dalam nada yang sedikit tertekan, memberi bayangan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 ini akan dibenarkan atas alasan semangat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam konteks ini Mahfuz Omar mencabar SPR dan kerajaan Persekutuan Najib untuk memberi penjelasan  akan dakwaaan wujugnya Task Force pemberian IC terhadap PATI agar boleh mengundi pada PRU13 nanti. Mahfuz mendakwa beliau mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

Wan Ahmad SPR cuma menafikan yang beliau tidak terlibat, dan tidak menafikan kewujudan Task Force tersebut. Wan Ahmad menganggap dakwaan Mahfuz ini sebagai karut.

Mahfuz bergerak selangkah lagi, dengan PAS menubuhkan Jawatankuasa Anti Pemansuhan IC (Api). Beliau sebagai Pengerusi, dan anggota lain ialah Dr Hatta Ramli, Suhaizan Kaiyat, dan peguam Zul Hazmi Shariff.

Mahfuz memaklumkan pada Isnin ini Jawatankuasa ini akan bermesyuarat untuk membincangkan pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bagi menghantar memo supaya menubuhka RCI menyiasat hal ini.

Langkah Mahfuz ini memang tepat masanya. Peluru mesti dilepaskan kepada sasaran yang tepat! SPR mesti ditekan sekuat-kuatnya agar agar mereka berasa tidak selamat. Peluru-peluru ini, seperti Laporan Minoriti dan bersih 3.0, dan yang terbaru ialah pendedahan penganalisis pilihan raya, Ong Kian Ming berkata Projek Analisis Daftar Pengundi Malaysia (Merap) yang dijalankannya mendapati terdapat kira-kira 100 ribu nama bermasalah dan digabungkan dengan beberapa isu sebelum ini akan “menjadi 400,000 pengundi meragukan".

Menurut Ong Kian Ming, jika dibahagi dengan 222 kerusi parlimen, jumlah pegundi yang diragukan bersamaan 35 kerusi parlimen yang purata penambahannya 1,800 pengundi. Cukup untuk BN menang dengan majoriti tipis jika keadaan sentimen 2008 tidak berubah.

Memang jika daftar pemilih ini tidak dibersihkan, dan kerajaan serta SPR tetap berdegil menggunakannya, memang PR akan kecundang. Yang mungkin selamat ialah Kelantan atau Pulau Pinang sahaja.

Saya mengandaikan Mahfuz bermain api kerana sesungguhnya Mahfuz perlu bersedia untuk menanggung risiko kerana dakwaan tentang task force ini melibatkan JPM dan MKN. Tentu mereka tidak akan berdiam diri.Namun, beranikah mereka bertindak atau sekurang-kurangnya mengheret Mahfuz ke mahkamah? Kita tunggu apa reaksi Najib, JPM, SPR, dan Majlis Keselamatan Negara. 

Akhirnya,  serangan-serangan terhadap SPR harus diteruskan dan diperhebat agar rakyat sedar bahawa kemenangan UBN nanti ialah kemenangan berasaskan penipuan. 

09 April, 2012

Sanggupkah Najib Menghalau Hantu...

Salam. Rasanya sebahagian besar rakyat mempercayai bahawa satu-satunya talian hayat UBN khasnya UMNO ialah SPR dan daftar pemilihnya.

Pemberian RM100 bantuan persekolahan, baucer buku RM200 untuk pelajar pengajian tinggi, BRIM 500, pembatalan SBPA dan digantikan dengan SSM yang akan ditambah baik (dengan penyelarasan 13% ), nampaknya impak sokongan terhadap UBN tidaklah menyerlah.

Yang menyerlah ialah cubaan asakan melalui pembunuhan karektor Anwar Ibrahim oleh Geng 7 diketuai Nalla dan dibantu peguam Muhammad Shafee Abdullah, dan gangguan-gangguan fizikal oleh remaja dan Perkasa di ceramah-ceramah PR. Yang terbaru ialah di Alor Setar apabila Anwar dijadualkan merasmikan Pusat Khidmat PKR. Pengacaunya ialah Perkasa.

Ini menggambarkan bahawa UBN benar-benar terdesak dan mereka menyedari akan penghakisan sokongan sebahagian besar pengundi muda, pengundi atas pagar, dan sokongan solid kaum Tionghua terhadap PR.

Maka satu-satunya talian hidup UBN ialah manipulasi daftar pemilih yang akan digunakan pada PRU13.

Dalam konteks ini mengapa Parlimen menolak untuk menerima Laporan Minoriti PSC Reformasi Pilihanraya? Atas alasan tiada presedens, tetapi telah terbukti oleh Azmin dan lain-lain bahawa di negara-negara komenwelth yang lain Speaker menerima Laporan Minoriti.

Hal ini bermaksud jika Parlimen menerima Lopran Minoriti ini bermakna UBN mengakui bahawa daftar pemilih ini amat banyak keraguannya, maknanya tidak bersih. Dan apabila diterima maka mahu tidak mahu SPR wajib membersihkannya. Kerana sebab inilah MP UBN menolaknya. Lopra Minoriti ini sebenarnya tentang eviden atau aduan tentang tidak bersihnya daftar pemilih 2012.

Tentang bila Najib akan umumkan pembubaran parlimen, umumnya menekanya pada JUN 2012. Nampaknya tarikh ini akan dipilih Najib berasaskan MP UBN berkeras menolak Laporan Minoriti PSC Reformasi Pilihanraya tersebut.

Tetang analisis benarkah JUN 2012 Najib akan mengadakan PRU13, Stanley dan Nawawi Mohamad mengulas panjang lebar dalam tulisanya di Malaysia Cronicle. Saya tidak ingin mengulas panjang, bolehlah diikuti di sini.

Pada saya, Najib sebenarnya dihantui dilema yang cukup berat. 28 April ini, BERSIH 3.0 akan dilaksanakan, dengan moto: DUDUK dan BANTAH. Mereka menyasarkan 500,000 rakyat akan turun. Adakah Najib akan mempertahankan daftar pemilih yang telah diketahui umum tidak bersih? Membersihkan daftar pemilih juga ke lubang kubur.

Najib juga diigau mimpi ngeri yang dahsyat, skandal Scorpene telah pun bermula di Perancis. Kata Anwar, perbicaraan ini akan mengaitkan Najib dengan unsur rasuah dan Altantuya.

07 April, 2012

Najib Jaga Wanita Pulak..Apa Maknanya Tu...

Salam. Apa agaknya persepsi wanita dan rakyat apabila Najib mulai esok mengambil alih portfolio Shahrizat, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat?

Rasanya yang akan terlintas ialah siapa di belakang Najib untuk mengurus kementerian ini. Tentulah isteri tersayang beliau, Rosmah. Soal benar atau tidak tidak penting. Saya percaya rakyat akan percaya begitu, dan ini tidak mustahil berlaku. Bagaimana dengan imejnya sebagai PM? Tentulah akan diperlekeh lagi.

Sepatutnya Najib jika tidak mahu melantik senator baru menggantikan Shahrizat, najib boleh menyerahkan portfolio itu kepada timbalannya. Damage terhadap imejnya dapat dielakkan, dan malah menaikkan sedikit ratingnya kerana percaya akan timbalannya.

Rakyat juga akan menilai bahawa begitu tandusnya tokoh wanita dalam kerajaan Najib atau dalam wanita UMNO sehingga seorang pun tidak boleh menggantikan Shahrizat. Najib juga akan dilihat tidak mempercayai tokoh-tokoh wanita yang ada dalam UMNO, dan ini akan meninggalkan kesan yang tidak baik kepada persiapan Najib untuk pilihanraya nanti.

Nampaknya Najib cuba mengelak berlakunya politiking dalam kerajaan dan wanita UMNO apabila beliau meletakkan portfolio di bawahnya. Wanita UMNO ialah sayap UMNO yang amat berharga dalam pilihanraya nanti. Namun, dengan adanya Rosmah di belakang Najib dan tidak cuba mencari calon menggantikan Shahrizat daripada kalangan wanita UMNO atau Puteri, persepsi buruk terhadap Najib tidak dapat dielakkan.

06 April, 2012

Azmin, Saham, dan DNA

Salam. Ekoran episod pemilihan PKR yang dibuat secara langsung pada tidak lama dahulu khususnya melibatkan pemilihan Timbalan Presiden PKR antara Azmin dan Zaid Ibrahim, Azmin dikritik hebat. Saya tidak mahu singgung soal ini yang telah pun menjadi sejarah. Dan saya yakin, episod ini menjadi pengajaran pahit untuk PKR dalam menentukan survivalnya pada masa mendatang.

Namun, apabila kita meneliti perbahasan-perbahasan dalam Parlimen yang melibatkan Azmin, bagi saya kehebatan Azmin setara dengan Saifudin Nasution dan Salahuddin Ayub.

Dalam sidang Dewan Undangan Selangor baru-baru ini, Hassan Ali menyerang Azmin tentang saham dan status anak Azmin berhubung dengan Anwar Ibrahim.

Bagi menjawab isu ini yang diwar-warkan semula Hassan Ali ini, saya petik daripada blog Tukang Lawan yang saya jumpainya secara tidak sengaja.

Tentang rasuah saham,

 Penahanan Azmin pada 16 September 1998 untuk siasatan kes Datuk Seri Anwar yang dituduh menghalang siasatan dan melindungi Setiausaha Sulitnya (Azmin) daripada kesalahan pada 1995 juga telah membuktikan bahawa polis gagal menemui sebarang bukti kukuh.

Tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar itu juga telah digugurkan". Perkara ini turut diulas oleh Datuk Shafee Yahaya dalam biografinya “The Shafee Yahaya Story: Estate Boy to ACA Chief” di mukasurat 306 yang menjelaskan bahawa Azmin tidak bersalah.


Tentang dna anaknya,

 Ujian DNA,
Kedua-dua laporan ujian DNA tersebut telah mengesahkan bahawa Azmin dan Shamsidar adalah ‘biological parent’ kepada Farah Afifah ".

Laporan daripada hospital di Singapura itu menyebut; “The results from all three genetic loci show that the donor of blood specimen marked ‘X’ (putative father) is the biological father of the donor of the blood specimen marked ‘Y’ (child).

Laporan DNA yang dibuat di Hospital Kuala Lumpur atas arahan Tan Sri Musa Hassan (Ketika itu Penolong Pesuruhjaya Polis Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) juga menunjukkan keputusan yang sama,” 
 
Bacaan lanjutnya, di sini
 
Jadi, kita boleh persoalkan sesuaikah bagi seorang (Hassan Ali) yang memproklamirkan dirinya sebagai pejuang agama menjaja isu, yang kalau diteliti boleh kita anggap sebagai fitnah.

01 April, 2012

Bayan Mutiara: Syok Sangat Cari Salah, Pemuda Umno PP Masuk Lubang


Salam. Begitu ghairah Ketua Pemuda Umno P.Pinang  mempertahan kawasan tapak masjid dan sekolah di Bayan Mutiara hingga sanggup menerima padah saman Lim Guan Eng (LGE). Malah Ketua Pemuda ini mencabar supaya dipercepat saman itu sebab banyak lagi dokumen yang akan didedahkan.

Rupa-rupanya LGE sengaja enggan respons kerana ternyata kejahilan tentang jangka hayat pelan yang diluluskan pada tahun 2006, yang di dalamnya termasuk tapak masjid dan kawasan sekolah.

Kenyataan yang dibuat oleh Rahmad Isahak, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang menjelaskan segala-galanya. Menurut Rahmat, kesilapan UMNO PP yang berkuasa pada tempoh itu (2006 - 2008) tidak mewartakan dan memecah lot untuk tapak masjid dan sekolah. Kealpaan UMNO PP itu menyebabkan tempoh hayat (satu setengah tahun) pelan yang diluluskan itu menyebabkan kedua-dua tapak itu hilang apabila kuasa kerajaan bertukar tangan ke PR.

Jadi, jelas di sini ialah kesilapan sebenar ialah ketidaksungguhan UMNO untuk menjadikan kedua-dua tapak diserahkan kepada Majlis Agama Islam PP dan Kementerian Pelajaran.

Namun begitu, pihak Ivory Properties Group Berhad (IPGB)  yang membeli Bayan Mutiara  telah memberikan komitmen untuk tetap membangunkan masjid dan sekolah di Bayan Mutiara walaupun mereka menyedari tidak tertakluk kepada pelan asal yang telah diluluskan pada 2006.

Inilah yang dikatakan kerana terlalu ghairah mencari salah orang lain, tanpa sedar pihak UMNO membuka pekung sendiri. Merekalah yang sebenarnya yang alpa dan tidak bersungguh, dan menuduh pihak lain untuk menutup kelemahan mereka.

Antara Pongahnya Najib, Yakinnya Noh di Selangor


Salam. Dengan pongahnya, Najib mengumumkan di Bera, bahawa pada Mei depan yang disifatkannya sebagai "durian runtuh" kepada para peneroka bersempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu disifatkan beliau bakal membuatkan para peneroka "tersandar, rebah dalam kejutan".

"Banyak mana? Saya tak akan umumkan hari ini. Banyak mana? tunggu, kita akan buat pengumuman nanti," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka Gugusan Bera di Felda Triang 3, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 peneroka itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob,  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam satu perjumpaan besar-besaran bersama warga peneroka di Pahang pada Mei depan.

Najib begitu yakin bahawa penerusan rancangan penyenaraian FGVH pada Jun 2012 ini akan diterima oleh sebahagian peneroka Felda, dengan janji "durian runtuh" yang besar, di tengah-tengah asakan sebahagian NGO Felda yang menentang penyenaraian malahan telah pun mendapat injuksi mahkamah tentang mesyuarat agung KPF.

Najib barangkali menyangka penentangan sebahagian peneroka terhadap kesan buruk penyenaraian ini hanyalah mainan pembangkang atau Pakatan Rakyat atas dasar memperoleh faedah politik. Najib mungkin berasakan penentangan ini cuma penentangan picisan. Mungkin juga Najib berasakan bahawa masyarakat peneroka akhirnya akan tetap bersama UBN apabila mendapat habuan besar sebaik penyenaraian berlaku.

Mungkin, pada saya, Najib akan tetap meneruskan penyenaraian atas sebab dana pilihan raya, atau Najib yakin bahawa walaupun penentangan ini benar-benar berasaskan realiti akar umbi Felda, UBN akan tetap dapat mengekalkan Putrajaya pada PRU13. kelihatannya hampir pasti PRU13 akan berlangsung pada Jun 2012 nanti.

Mengapa saya mengandaikan begitu? Cuba telitikan kenyataan Noh Omar tentang keyakinannya, UBN akan memperoleh 36 kerusi DUN daripada 56 kerusi.

Mengapakah Noh begitu yakin? Adakah ini hanya berupa gimik atau "psyche war" atau untuk menyemarakkan semangat UBN Selangor agar terus bekerja untuk mengembalikan sokongan pengundi Selangor menyokong UBN?

Sinergi antara kepongahan Najib untuk terus menyenaraikan FGVH, dan kenyataan Noh yang yakin itu membawa suatu pertanyaan, adakah UBN telah benar-benar bersedia memasuki zon perang PRU13 pada Jun nanti?

Melihat keyakinan Najib ini, walaupun Daim Si Tukang Tilik, dan Mentor Najib, Mahathir meramalkan tidak mudah untuk UBN menang dengan selesa jika berlaku PRU13 nanti. Malahan Mahathir menggerhanakan lagi momentum Najib ke arah membubarkan Parlimen, dengan kenyataannya yang UMNO begitu kurang golongan profesional dan intelek sebagai penggerak/ pendokong UMNO.

Ini menjurus kepada suatu fakta yang sukar dihujahkan bahawa SPR telah selesai menyusun atur pengundi-pengundi dalam daftar  pemilih yang akan diguna pakai pada PRU13 nanti.

Dan, hampir pasti UBN akan mengekalkan Putrajaya pada PRU13 nanti kecuali suatu tindakan drastik dan bersepadu dilakukan oleh PR dalam mendesak SPR "membersihkan" daftar pemilih.