09 March, 2013

Pas Kedah, Ustaz Azizan, Pencerahan 3: Wawancara Dengan Sinar Harian

Salam. Agak menarik juga isi wawancara MB Kedah ini dengan Sinar Harian. Saya tidak ingin mengulas panjang isi temu ramah ini, anda boleh membaca keseluruhan wawancara di sini.

Saya akan sentuh di sini tentang 2 hal. Dua hal ini boleh kita jadikan bahan untuk kita merenung kredibiliti seseorang pemimpin.

Melabelkan Pengkritik atau Teguran Sebagai "Pengkhianat"

Saya tidak dapat mengetahui apa yang ada dalam pemikiran orang lain, apabila seseorang pemimpin yang melabelkan pengkritiknya sebagai pengkhianat. Tetepi, bagi saya, sebaik kita melabelkan seseorang itu dengan sifat negatif atau buruk, minda kita telah tertutup atau terhijab untuk melihat atau memfokus pada apa  atau isi yang dikritik itu. Atau, minda kita seoalah-olah enggan menerima kritikan itu, atau menganggap isi kritikan itu sebagai remeh, atau bermaksud negatif atau prejudis.

Saya perturunkan petikan daripada wawancara itu, "Saya akan guna kuasa sebagai ketua untuk pertahan Pas Kedah, malah saya akan buat tindakan sesuai untuk halang pengkhianat dalam parti terus berleluasa. Musuh dalam selimut akan diawasi untuk elak ia merebak.Tunggu masa sesuai sebab sekarang tumpuan pada PRU13, kita terpaksa buat, pemimpin yang tidak betul kita turunkan pangkat. Pengkhianat sudah dikenal pasti, cukup bukti kita fikirkan tindakan sesuai sebab saya bertanggung jawab terhadap parti. Tidak perlu kaitkan masalah kesihatan atau usia saya untuk saya lepaskan jawatan , ia bukan ukuran kepimpinan. Kepimpinan Pas Kedah lancar tetapi ada pengkhianat dalam parti yang mahu saya berundur.""

Sebagai seorang pemimpin, sebagai seorang ketua, apatah lagi pemimpin dalam organisasi berteraskan Islam, sepatutnya meletakkan sifat merendah diri, tasamuh, berlapang dada semasa menerima kritikan daripada pemimpin atau ahli lain. Seharusnya, kita bersangka baik bahawa kritikan itu berupa penambah-baik untuk kekuatan parti. Dan ini mematikan semangat bersyura.

Saya dipilih Pusat, bukan akar umbi lantik

Sekali lagi, saya tidak pasti anggapan atau tafsiran anda terhadap kata-kata di atas. Baca sedutan di bawah:

"Saya dipilih Pusat, bukan akar umbi lantik. Gesaan tak beri kesan, mungkin sebahagian ahli protes itu ada kaitan dengan pengkhianat dalam parti untuk gerakan jatuhkan sayaSaya tahu ada rangkaian dari utara hingga selatan namun ahli parti lebih 200,000 yang bagi sokongan. Saya tak akan buat gerakan balas, saya biarkan. Orang yang khianati parti akan makan diri suatu masa nanti."

Tentulah pihak Pusat memilih berdasarkan kriteria tertentu yang ketat, ilmunya, akhlaknya, kebolehan dan kemampuannya, dan paling utama ialah memelihara amanah dan mampu melaksanakannya dengan adil.

Ungkapan bukan akar umbi yang lantik, satu ungkapan yang bermaksud "kebal". Apabila ada sebahagian ahli telah hilang kepercayaan dan keyakinan pada kepimpinan seseorang, adakah Pusat akan terus mengekalkannya? Di manakah letaknya prinsip kebertanggungjawapan pihak Pusat? Hal ini bermaksud Pusat memperl;ekeh pandangan dan minda ahli. Ahli itu pelbagai, gabungan pelbagai lapis dan standard kepakaran.

Saya rasa cukup di sini dulu untuk kali ini. Posting ke seterusnya, kita cuba mengolah pemecahannya.



06 March, 2013

Pas Kedah, Ustaz Azizan: Pencerahan 2


Salam. Selamat berjumpa kembali. Isu ini dan barangkali dapat kita katakan sebagai kemelut Pas Kedah dan Ustaz Azizan ini kian menarik, kian mendebarkan. Namun, bagi simpatisan terhadap Pas, PR dan kerajaan negeri Kedah yang benar-benar inginkan sebuah kerajaan yang tatakelolanya yang berbeza daripada urus tadbir UBN amat menggusarkan mereka.

Pada posting yang lalu saya cuba menyorot 2 isu utama, iaitu hubungan MB dengan Dewan Ulamak Negeri Kedah dan isu yang mendasari tindakan Phahrolrazi dan Dr Ismail menolak pelantikan semula exco.

Saya cuba juga mengetengahkan beberapa persoalan yang seharusnya dijawab oleh pihak tertentu, khususnya Ketua Penerangan Pas Negeri. Sayang sekali jika isu-isu yang saya ketengahkan itu dianggap sebagai isu yang remeh, dan dianggap sebagai "troubleshooter".

Jawapan yang berupa penafian tanpa bukti, tanpa fakta, dan tanpa tindakan yang konkrit, hanya mengundang spekulasi yang tanpa berkesudahan, sedangkan isu pokok tidak terjawab, dan masalah menjadi kian kusut.

Percaturan dan Tangan-Tangan Ghaib

Kali ini saya cuba memfokus pada isu yang cuba diangkat oleh ahli-ahli Pas Kota Seputeh dan Megat Dewa serta protes kecil yang melibatkan juga Dewan Ulamak Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah. Kenapa dan mengapa mereka memecahkan tradisi "wala'" sehingga mereka sampai mmenuntut Ustaz Azizan meletakkan jawatan sebagai PSJ?

Ini bermakna, telah ada antara ahli-ahli Pas dan pemimpin peringkat cawangan dan kawasan yang telah "hilang kepercayaan" terhadap kepimpinan Ustaz Azizan sebagai PSJ. Kesan hilang percaya terhadap keepemimpinan peringkat parti, tentunya turut hilang kepercayaan juga terhadap kepemimpinan Ustaz Azizan  sebagai MB Kedah (secara tersiratnya).

Dakwaan mereka jelas iaitu terdapatnya tangan-tangan ghaib yang cuba mengatur bakal-bakal calon yang akan bertanding peringkat DUN dan Parlimen di Kedah dalam PRU13. Mengikut mereka, kawasan-kawasan terlibat ialah 11 DUN dan 4 atau 5 kawasan Parlimen. Yang menjadi persoalan ialah melibatkan tokoh-tokoh hardcore Pas Kedah, Phahrolrazi, Dr Ismail, Dr Hamdan, dan Dr Hayati.

Daripada sumber-sumbet parti, senarai pertama telah pun selesai 2 tahun lalu. Senarai pertama ini telah pun melalui prosedur parti. Dan kini, senarai ini dipercayai telah dirombak 2 kali, tanpa diketahui atau proses rundingan mengikut prosedur standard parti. Hal ini membuka ruang spekulasi bahawa terdapat percaturan orang-orang tertentu dengan maksud dan tujuan tertentu.

Khabarnya Phahrolrazi diletakkan di Parlimen Jerlun untuk diadukan dengan Mukhriz. Dr Hayati, kerana Pendang akan dibawa masuk Mat Sabu, maka Dr Hayati dipercayai pada asalnya ke DUN Tokai, dengan andaian YB Taulan akan bersara. Terkini Dr Hayati, khabarnya digandingan dengan Suraya di DUN Sungai Tiang. Dr Ismail dan Dr Hamdan, khabarnya tidak tersenarai.

Dan, kita sedia maklum siapa Mukhriz dan siapa Suraya. Dan, kita telah pun dapat menjangkakan apa hasilnya jika benar kedua-dua tokoh berhadapan dengan dua orang ayam tambatan Umno Kedah. Jerlun dan Sungai Tiang merupakan 2 kubu terkuat Umno Kedah.

Adakah Hanya Dengar Cakap(Hearsay), Siapakah Dalang dan Pengacau?

Kekuatan dan wibawa seseorang pemimpin terletak pada kekuatan hujah dan kekuatan dalam rundingan dan kekuatan dalam mendengar dan berlapang dada. Tanpa dua kekuatan ini dalam diri seseorang pemimpin memunculkan gaya diktator, komunikasi sehala, dan berpihak.

Sikap inilah yang mendasari makna kata-kata: dalang dan pengacau. Kata-kata ini, dalam konteks kepimpinan dan kepemimpinan dan rundingan, dua kata ini bermaksud juga prejudis, yang bukan sahaja tidak membantu untuk memecahkan sesuatu persoalan atau masalah malahan mencetus lebih banyak penentangan.

Sebagai pemimpin, kita tidak boleh beranggapan bahawa ahli dan pemimpin yang berada pada peringkat akar umbi dan juga pertengahan, tidak mempunyai ruang atau akses terhadap maklumat sulit. Kita jangan lupa mereka ada jaringan atau hubungan dengan pemimpin peringkat atas. Mereka sekali-kali tidak akan bertindak atas semata-mata atas dasar cakap "kedai kopi" atau andaian semata-mata. Mereka mungkin mendapat maklumat daripada sumber yang sahih. Mereka juga dapat menilai dan membaca apa yang tersirat daripada setiap tindakan pemimpin. Apatah lagi, kini kita berada dalam ledakan media sosial.

Ke mana Akhirnya?

Nampaknya isu ini akan mampu menjadi marak dan mampu membakar. Terkini, rasa tidak puas hati terhadap Ustaz Azizan masih lagi berterusan. Di bawah ialah sedutan daripada Sinar Harian yang memetik maklumat daripada sumber Pas Alor Mengkudu;

"Senarai calon Pas Kedah bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) didakwa ‘senarai haram’ kerana dibuat tanpa prosedur setelah senarai sedia ada dirombak sebanyak tiga kali, tanpa mendapat persetujuan akar umbi."

Dan, bandingkan pula, apa jawapan dan reaksi Ustaz Azizan, yang juga dimuatkan dalam Sinar Harian, hari yang sama;

Pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap saya termasuk parti, kini dikatakan pula senarai calon yang ada pada Pusat, itu senarai baru yang dirombak. Jika benar dakwaan itu datang dari sumber Pas Kedah, bagi saya ia amat malang sebab dalam parti ada pengkhianat,” katanya kepada Sinar Harian.

Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilai dua penyataan di atas yang saya petik daripada Sinar Harian. Dan, dengan ini, saya membuka ruang untuk polemik dengan tujuan semata-mata mencari pencerahan.

Nantikan sambungannya.

02 March, 2013

Pas Kedah Menjelang PRU13: Mencari Integriti Ustaz Azizan

Salam. Kepada pembaca blog ini, terima kasih kerana anda masih setia. Sepanjang tempoh blog ini tidak terisi, saya lebih banyak membaca blog-blog yang lebih berwibawa.

Satu hakikat yang tidak boleh ditolak hasil daripada pemhaman saya terhadap PR dan arus perubahan yang ditunjangi oleh ketiga-tiga parti ini, yang diselaras oleh Anwar Ibrahim, ialah:

"mendorong dan membina satu kehidupan bermasyarakat, berbudaya dan berpolitik berasaskan tiga paksi utama: demokratik, ketelusan, dan keadilan dalam ruang lingkup masyarakat yang berbilang etnik, berbilang budaya, dan berbilang agama."
Dan, inilah juga dasar, hujah, premis yang saya pegangi setiap kali saya menulis dan mengupas isu-isu sejauh yang menyentuh tindak-tanduk aktor-aktor yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat.

Dalam konteks dan semangat inilah saya cuba menyorot sejauh mana integriti dan wibawa Ustaz Azizan sebagai MB dan sebagai PSJ Pas Kedah.

Ustaz Azizan dan Dewan Ulamak Pas Kedah

Walaupun MB mempunyai kuasa progatifnya, tetapi sebagai pemimpin, seorang MB biasanya seorang PSJ Negeri, maka individu ini masih tertakluk kepada struktur organisasi parti. Peranan Dewan Ulamak Pas Negeri ialah institusi semak dan imbang kepada MB, dan dasar-dasar yang diputuskan oleh MB seharusnya tidak bertentangan dengan dasar dan kehendak Dewan Ulamak. Walaupun wujud pertentangan, MB dan Ketua Dewan harus mencari jalan untuk berkompromi.

Saoalannya, adakah hubungan MB Kedah dengan Dewan Ulamak Negeri berada dalam situasi baik? Jika kita himbau pada tahun 2008, sebaik sahaja Ustaz Azizan ambil alih teraju kerajaan negeri dengan Pas sebagai tunjangnya, kita dikejutkan dengan perletakan jawatan TG Haji Rahim dan AJK Pas Pendang. Ini memberi petunjuk bahawa ada sesuatu yang tidak beres antara MB dan Dewan Ulamak, tentunya ada hal yang tidak dapat dikompromikan.

Kedua, krisis Phahrolrazi dan Dr Ismail yang enggan menerima pelantikan exco semula pada 2012. Dalam isu ini jelas, Dewan Ulamak Pas Kedah berdiri di belakang Phahrolrazi dan lain-lain. Ini tentunya mereka mempunyai asas yang kukuh untuk berbuat demikian, sehingga Pas Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu sebagai jalan penyelesaiannya.

Yang dapat saya rumuskan daripada kemelut Pharolrazi ini berakarkan kepada beberapa persoalan:

a)  Sejauh mana MB menyelaras dasar-dasar negeri seiring dengan semangat Pakatan Rakyat dalam urus tadbir Kerajaan Negeri Kedah.
b)  Sejauh mana exco-exco dapat berperanan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah - pandangan dan kehendak setiap exco diterima dan dapat dilaksanakan dengan sokongan MB.
c)  Sejauh mana tender-tender kerajaan dan projek-projek kerajaan diurus dan pihak mana yang memperolehnya.
d)  Sejauh mana akar umbi dapat manafaat daripada kerajaan. Ke mana perginya lebihan wang berjuta-juta yang didakwa MB disalurkan? Adakah peruntukan untuk pembangunan Islam ditambah seperti dilakukan oleh LGE di Pulau Pinang? Adakah sekolah-sekolah agama di bawah kerajaan negeri dibantu nsecukupnya? Perumahan rakyat miskin yang diurus oleh kerajaan negeri di luar daripada peruntukan Persekutuan, adakah dilaksanakan dengan baik dan sampai ke golongan sasar?
e)  Pelantikan pegawai tinggi seperti KCS dan CEO-CEO GLC di bawah kerajaan negeri adakah diberi kepada individu yang layak dan serasi dengan aspirasi Pakatan Rakyat, atau sebaliknya?
f)  Sejauh mana persepsi umum, rakyat dan penyokong dan ahli parti terhadap hala tuju urus tadbir Kerajaan Negeri Kedah?
g)  Akhirnya, persoalan yang timbul ialah siapakah yang berperanan menentukan hala tuju urus tadbir kerajaan negeri? Peranan exco, tidak dapat dinafikan agak terhad, ketagangan berlaku antara MB dan Dewan Ulamak Negeri? Adakah MB bertindak sendirian?

Isu terkini, dalam masa yang cukup kritikal, Persekutuan yang pada bila-bila boleh membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU13 diadakan, penentangan terbuka oleh ahli terhadap MB mula tercetus dan mula merebak, dan melibatkan juga Dewan Ulamak Pas Kedah.

Isu-isu kritikal ini, saya akan postingkan pada posting yang berikutnya.