15 May, 2008

Kejujuran Di Sebalik Pendakwaan Terhadap Datuk Ramli Yusuff

Ekoran daripada BPR mendakwa Datuk Ramli Yusuff, Pengarah Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, dengan tiga tuduhan gagal mengisytiharkan harta, saham 154,000 unit, dan terlibat dalam perniagaan menimbulkan beberapa persoalan.

Terkini ialah pendakwaan terhadapnya yang sedang berlangsung ialah salah guna kuasa. Beliau didakwa menyalahgunakan kuasa menggunakan helicopter milik PDRM untuk meninjau tapak ladang di Sabah. Memang kelihatannya Datuk Ramli telah memanipulasi kuasanya, namun adakah hanya beliau seorang sahaja yang melakukannya?

Persoalan pertama, masa pendakwaan. Adakah secara kebetulan tarikh pendakwaan yang dipilih BPR sehari selepas Datuk Ramli membuat pendedahan dalam akhbar bahawa beliaulah orang yang disiasat oleh BPR yang didakwa memiliki harta 27 juta ringgit? Dapat kita rasakan bahawa tarikh pendakwaan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap pendedahan Datuk Ramli yang tidak senang terhadap “kerahsiaan” siasatan BPR. Dengan kata lain, Datuk Ramli mempersoal sikap profesional dan tahap integriti BPR dalam mengendalikan siasatan berprofail tinggi.

Persoalan kedua, bermulanya siasatan terhadap beliau. Dalam pendedahan beliau kepada media, kertas siasatan terhadap beliau dibuka selepas beliau mengetuai pasukan siasatan terhadap kegiatan along sehingga seorang along dari Johor dibuang daerah. Persoalan yang timbul ialah motif siasatan. Adakah pegawai-pegawai atasan lain turut disiasat atau siasatan ini lebih merupakan “siasatan berpilih”? Jauh di dasar hati, terdetik persoalan, bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Kalaulah siasatan itu telah bermula sebelum itu, dirasakan persoalan tidak timbul sama sekali.

Persoalan ketiga, tiga kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Datuk Ramli menampakkan bahawa seolah-olah sengaja mencari kesalahan. BPR seolah-olah sukar mencari bukti kesalahan sehinggakan terpaksa menggunakan kuasa untuk mendapat maklumat daripada adik-beradik Datuk Ramli. Masa adik-beradik Datuk Ramli diambil keterangan begitu hampir dengan tarikh dakwaan. Sekali lagi, menampakkan pihak BPR begitu terdesak.

Akhirnya, persoalan keempat, adakah Datuk Ramli telah menyinggung pihak-pihak tertentu dalam proses siasatannya terhadap kegiatan along di Johor itu? Atau telah menemui sesuatu jaringan yang menjangkau orang-orang “invisible” tetapi berpengaruh? Atau beliau ditanggap “troblesooter” dan “sukar dikawal”.

14 May, 2008

Bahagian II: Kerajaan Rakyat Kedah; Bagaimana Persepsi Rakyat?

Bandar pula terkait rapat dengan urbanisasi. Bandar menjadi pusat dan nadi proses modenisasi khususnya ekonomi industri. Dari era Dr Mahathir, bandar begitu pesat membangun dan dipacu deras dengan alasan ”kita telah jauh ditinggalkan di belakang". Kalau diteliti secara halus, permasalahan kehidupan di bandar kini cukup kronik bahkan tragis. Mengapa? Ironisnya, semakin urban sesuatu kota, semakin parah kehidupan sosialnya.

Apabila aspek perancangan bandar gagal mengambil kira unsur manusia, agama, dan moral maka mahu tak mahu komuniti bandar terpaksa berdepan dengan permasalahan sosial yang cukup parah. Permasalahan ini, sesungguhnya terkait secara langsung dengan survival keluarga mereka. Mahu tak mahu, permasalahan ini akan menjenguk pintu-pintu rumah mereka. Akhirnya, mereka, yang dahulunya begitu pasrah dan tak banyak kerenah, kini, mereka seolah-olah berdepan dengan jalan mati, suatu tindakan dan suatu keputusan perlu diambil. Maka gema suara mereka bergaung pada PRU12.

Yang ingin saya tarik perhatian di sini ialah harapan dan impian mereka apabila mereka bangun dari tidur yang lena dan lama. Harapan itu menjadi menggunung. Mereka mahukan hasil dan bukti. Namun, saya beranggapan, mereka sebenarnya sedar akan kemampuan KR dalam konteks "Federalisme ala Malaysia", namun KR harus memulakan langkah konkrit dalam batas-batas kemampuan mereka.

Saya amat berharap KR khususnya KR Kedah peka tentang hal ini. Permasalahan komuniti bandar khususnya yang terlingkung dalam Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) harus segera ditangani. Permasalahan jalan-jalan dalam taman-taman perumahan, longkang, taman-taman permainan, premis-premis hiburan, laluan trafik, soal keselesaan dan keselamatan harus "ditangani" segera dan pada waktu yang sama perlu "bijaksana". Sekurang-kurangnya, kini, seharusnya, bahagian pembangunan MBAS telah pun mempunyai data-data tentang status prasarana di setiap taman dalam lingkungan pentadbirannya. KR Kedah harus dan mesti dilihat "berkemampuan" dalam "kedaifan" dana.

Hal ini perlu diambil serius. Peranan dan kuasa golongan menengah baru ini begitu berkesan dan mampu mencetus situasi tsunami. Anggapan bahawa sokongan akar umbi yang jauh di desa masih tetap setia walau apa-apa pun berlaku masih boleh dipersoalkan. Daripada segi perkiraan politik, sokongan akar umbi tidak mampu mencetus kemenangan bagi kawasan-kawasan pengundi bercampur. Kemenangan di kawasan ini ditentukan oleh pengundi "atas pagar". Harus diingat, sebahagian besar pengundi "atas pagar" ini datangnya daripada golongan menengah ini. Ini membawa makna yang cukup signifikan bahawa kuasa golongan baru ini cukup kuat dan dominan, dan merekalah yang menghuni kota-kota.

Mereka merupakan "silent majority", tidak vokal, tetapi mampu menjadi "giant killer". oleh itu suara-suara halus mereka, kehendak mereka, impian mereka, harus dan wajib diambil kira dalam segala aspek perancangan sejauh yang menyangkut soal-soal PBT. Jika tidak Tsunami ke-3 tidak mustahil bakal berlaku.

Tunggu ........ analisis selanjutnya tentang perlukah ketuanan Melayu ditransformasikan atau telah tidak relevan lagi?

Kerajaan Rakyat Kedah: Bagimana Persepsi Rakyat?

Pertamanya, diucapkan syukur alhamdulillah kerana dengan izin-Nya, perjuangan yang menelan begitu banyak air mata, pengorbanan wang ringgit yang tercurah, maki hamun yang dilemparkan, dinafikan dengan sengaja akses kepada kemudahan-kemudahan kerajaan, akhirnya rahmat Allah s.w.t datang jua membuka hati-hati yang selama ini tertutup rapat, dan pada 8 Mac 2008, tersungkurnya BN Kedah. Era baru bagi Kedah bermula.

Hingga ke tarikh ini, Kerajaan Rakyat Kedah (KRK) telah menanjak usia 2 bulan lebih. Tempoh 2 bulan ini sebenarnya terlalu singkat untuk menilai KRK ini. Saya percaya, bagi YB dan Exco, tempoh ini amat tidak cukup untuk menyelesaikan begitu banyak beban dan masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu. Tetapi, bagaimana dengan rakyat, yakni persepsi rakyat Kedah?

Sesungguhnya, rakyat telah lama terbeban. Telah lama muak dengan segala tindak-tanduk YB-YB terdahulu. Bayangkan hidup pak tani yang terbeban dengan segala kenaikan kos yang begitu mendadak dalam pengusahaan padi. Ironisnya, orang lain yang kaya. Ini adalah antara contoh penderitaan klasik yang terbeban di pundak mereka tanpa rela. Sekali lagi, ironisnya, kerajaan itulah yang mereka pilih dan gantungkan harapan mereka.

Rakyat Kedah sebenarnya amat memahami situasi yang dihadapi oleh KRK dalam merumuskan dasar-dasar terutama yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak seiring dengan syariat Islam, yang bukan sahaja menyentuh secara langsung orang Islam, tetapi juga menyentuh orang bukan Islam. Sebagai contoh, premis judi dan premis yang turut menjual minuman keras. Hal ini belum lagi diambil kira tentang pulau legenda Langkawi. Begitu banyak kontradiksi antara kepentingan pelancongan dan batas-batas akhlak dan moral. KRK perlu bertindak seumpama "menarik rambut dari tepung, rambut tidak putus, dan tepung tidak rosak". Pengalaman PAS Terengganu begitu pahit, dan tidak seluruh pengalaman kelembutan dan kesabaran Tuan Guru Haji Nik Aziz di Kelantan dapat diterapkan di Kedah. Di Kedah, masyarakatnya lebih beragam.

Rakyat secara umumnya memang terpegun dengan latar belakang akademik dan profesional MB Kedah, Ustaz Azizan, dengan masih mengekalkan gaya hidup serba sederhananya. Penghayatannya agamanya telah sedia termaklum. Namun, penilaian akhirnya bukan pada latarnya tetapi pada tindakannya. Kredibiliti seseorang tokoh akhirnya tergantung kepada sejauh mana program-programnya sampai terus ke bawah.

Tidak dinafikan, bahawa KRK telah mula mengorak langkah. Pengumuman MB tentang pengurangan cukai tanah sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat. Begitu juga penangguhan projek mega di Yan, yang akan menelan beratus hektar sawah padi. Fokus kepada pertanian juga satu usaha yang dialu-alukan.

Walau apapun, ada sesuatu yang perlu disegerakan. Yang segera perlu disegerakan. Pada kesempatan ini, saya cuma fokuskan kepada peranan PBT. Saya rasa Exco yang bertanggungjawab ialah YB Taulan Rasul. Tulisan ini bukan niat untuk mencampuri, cuma sekadar "berkongsi rasa dan harapan". Saya dapat merasakan bahawa perjalanan dan program di peringkat PBT berlangsung terlalu perlahan dan tak dapat dirasai denyut dan nadinya.

Peranan PBT sebenarnya amat berkait dengan komuniti bandar. Satu hakikat yang nyata ialah saiz kelas menengah di bandar telah jauh meningkat berbanding masa dulu. Anggotanya pelbagai - dari lapis intelektual dan profesion. Dengan sifatnya yang pelbagai maka pelbagai pula kehendak dan keperluan mereka. Sebenarnya, kini, amat sukar menelah kehendak dan kecenderungan golongan ini.

Mengapa saya timbulkan soal PBT, komuniti kota, pelbagai lapis intelek dan profesi penghuninya, variasi keperluan dan impian mereka? Barangkali, pada telahan saya, wujud hubungan rapat antara perubahan politik dengan mereka.

02 May, 2008

PRU12: Kegelabahan Tafsiran

Sesungguhnya PRU12 telah mengejutkan banyak pihak. Traumanya masih berlanjutan hingga kini. Yang paling trauma ialah parti-parti yang telah sekian lama bergabung, yang telah sekian lama memerintah, seolah-olah tanah ini telah dimilik sendiri. Mereka hingga kini masih bercakaran sesama sendiri, saling menuding jari mencari salah, tanpa melihat secara dasar mengapa mereka telah ditolak.

Orang Melayu sendiri, seolah-olah terpana, kerana PRU12 memperlihatkan orang Melayu sendiri telah sanggup mengundi DAP. Mereka terkejut, dan tidak percaya bahawa orang bukan Melayu telah sanggup memangkah "bulan". Mereka tidak percaya bahawa golongan menengah Melayu telah memberi undi mereka kepada PKR, yang pada anggapan mereka sebagai sebuah parti yang ditubuhkan semata-mata untuk membela DSAI yang kononnya dizalimi. Sebuah parti tanpa gagasan yang jelas bagaimana untuk mengendali negara ini jika mendapat mendapat mandat rakyat.

Saya kira, telah banyak analisis dibuat kenapa begitu kritikalnya hasil PRU12. Ada kecenderungan analisis yang seolah-olah merumus bahawa perubahan itu bercorak sementara, semata-mata kerana protes, dan pada PRU13 nanti orang Melayu akan kembali semula ke pangkuan mereka. Benarkah? Dalam hal ini, ada baiknya, ditelaah dengan teliti, dan dengan minda terbuka akan komen yang dibuat oleh TS Mahyuddin Yassin tentang PRU12.

Sesungguhnya, beberapa persoalan dapat ditimbulkan sejauh yang berkait dengan PRU12 dan sikap pengundi:

Pertama, persoalan Melayu dalam kaitan DEB dan segala dasar berkaitan dengan orang Melayu, adakah benar-benar memihak kepada orang Melayu?

Kedua, adakah dasar-dasar "keMelayuan" benar-benar berjaya atau sekadar alasan bagi pihak-pihak tertentu meraih keuntungan peribadi?

Ketiga, adakah dasar-dasar "ke Melayuan" itu termasuk DEB menjadi "tiket" untuk menindas hak-hak kaum lain?

Keempat, adakah golongan menengah Melayu telah benar-benar terputus dari susur galur sejarah kemerdekaan, dan kontrak sosial yang tersirat dalam Perlembagaan? Adakah golongan ini dengan segala ciri keintelektualan mereka menepati maksud "marahkan nyamuk kelambu dibakar"?

Kelima, benarkah kemarahan orang Melayu (dan kaum lain) hanya bermusim iaitu berkebetulan dengan kenaikan harga minyak dan inflasi? Tidakkah benar analisis Dr Zainal Kling bahawa pada dekad akhir ini, banyak tindakan-tindakan kerajaan yang menodai semangat Perlembagaan sejauh berhubung dengan bahasa Melayu, Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan Islam?

Akhirnya, keenam, barangkali rakyat Malaysia termasuk orang Melayu telah jemu dengan wadah aliran politik berasaskan perkauman. Barangkali mereka telah jemu dengan intrig kaum dalam perjuang hak kaum masing-masing, yang akhirnya mempertajam perkauman. Barangkali rakyat memerlukan suatu transformasi politik bentuk baru.

Fikir-fikirkanlah ... Jangan hanya membuat analisis semata-mata dari persepektif sempit yang diperkuda sesuatu kepentingan semata-mata!