23 November, 2009

Isu PBMK Selesai, Selamatkah Husam?


Salam untuk semua.

Isu PBMK telah tamat. Sekiranya ada agenda di sebalik isu untuk menjejaskan PAS Kelantan, bolehlah kita katakan mereka yang beragenda ini telah gagal.

Namun, satu nama yang dikaitkan dengan kemelut ini ialah Husam.

Saya percaya, kemelut ini tidak akan berakhir begitu sahaja cuma wajah dan plotnya berbeza. TGNA dalam menafikan berita bahawa ura-ura Husam mahu meletakkan jawatan sebagai exco dan jawatan lain dalam PAS Kelantan, telah menjawab teka-teki selama ini iaitu mengapa TGNA dilihat begitu rapat dengan Husam.

TGNA, tanpa apologetik menegaskan bahawa Husam merupakan sosok yang cerdik dan berpandangan jauh, dan TGNA memperakukan bahawa jasa Husam terhadap kerajaan PAS Kelantan begitu besar.

Kesan pengakuan TGNA ini tentunya tidak terjangka.

Dengan sosok sebegini, tentulah tidak sukar untuk kita jangkakan tentang adakah Husam disenangi atau tidak oleh rakan-rakan pimpinan baik di peringkat Kelantan atau Pusat.

Kerusi MB Kelantan menjadi idaman, dan masing-masing berasakan diri layak. Oleh sebab Husam dilihat rapat dan dipercayai oleh TGNA, cap mohor yang diperakukan oleh mentornya itu akan dibaca sebagai satu isyarat yang tepat ke kerusi MB Kelantan.

Dengan ketekalan pendirian Husam terhadap perlunya pengukuhan PR dalam menentukan survival PAS dalam meniti masa-masa politik nasional maka Husam tidak disenangi oleh banyak pihak sama ada dalam PAS sendiri dan juga di pihak UMNO (kerajaan).

Cuba kita perhatikan pemberitaan portal berita yang proUMNO, yang secara jelas dalam tajuknya seolah-olah memperkecil atau memperbodoh keputusan TGNA menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan CEO PBMK. TGNA cuba digambarkan mementingkan Husam daripada menantunya. Keprofesionalan TGNA sebagai pemimpin dan pentadbir diperlekeh. Portal ini sengaja tidak melihat atau memfokus kepada isu sebenar.

Dan saya berkongsi rasa dan pendirian yang sama dengan Pak Bakaq, Penarik Beca, bahawa selepas ini harimau-harimau luka, akan lebih terluka, dan siap akan menerkam Husam bila-bila masa terluang atau lalai.

Maka, bersedialah kamu Husam.

Salak Tinggi, Selangor, 11.54pm


Ariffahmi dan PMBK: Alhamdullilah, Dah Selesai


Salam untuk semua.

Benarlah seperti yang terdetik di hati saya bahawa akhirnya TGNA akan bertindak demi untuk PAS.

Sepatutnya hal ini telah berlaku lama sekiranya PAS Kelantan berani dan jujur serta membuang sikap "malu alah" kepada TGNA. Kronisme harus dielak kerana akhirnya akan mempalitkan organisasi.

Tahniah kepada TGNA dan tahniah juga kepada Ariffahmi kerana berjiwa besar dalam mempertahan imej mentuanya sebagai Pengerusi PMBK dan Menteri Besar Kelantan serta sebagai Mursyidul Am PAS melalui perletakan jawatannya sebagai CEO PBMK.

Kedatangan TGHH, Dr Haron Din, Salahudin, dan Dr Hatta, saya rasakan lebih kepada sokongan moral, memberi input, lagi pun nama TGHH dan Salahudin muncul dalam kemelut tersebut.

Salak Tinggi, Selangor, 4.45pm

Kemelut Ariffahmi dan PMBK: Mencari Setitik Kewarasan

Semuanya bermula sejurus selepas SPRM memasuki PMBK, Syed Azidi atau Blogger Kickdeffela, ditamatkan kontraknya ( 10 November 2009 ) serta merta oleh PMBK sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK.

Dalam ulasan ini, saya akan merujuk kepada blog-blog tertentu, iaitu blog Syed Azidi sendiri, blog Saynotomunafiqeen (Pemburu Syahid), dan blog Perisik Rakyat.

Latar cerita sebenar saya tidak ketahui, Syed Azidi tidak saya kenal, Pemburu Syahid tidak saya kenal, Perisik Rakyat tidak saya kenal, begitu juga Ariffahmi, dan begitu juga Husam.

Saya akan ulas mengikut perspektif saya berdasarkan bacaan saya terhadap posting ketiga-tiga blog tersebut dan blog lain berkaitan isu ini. Tentang Husam pula, saya akan gunakan naluri peribadi saya, selain weblognnya, Husam Musa’08.

Perkara Asas

Perkara asas yang perlu diakui ialah dengar dan teliti apa yang dikatakannya bukan melihat pada orangnya. Hatta jika orang itu orang buta, kalau yang diperkatakannya adalah perkara yang baik, kita seharusnya menghargai dan diambil perhatian. Ini ajaran Nabi kita. Ingat cerita Si Hitam, Bilal bin Rabah.

Menurut Syed Azidi, sejak dia memulakan tugasnya di perbadanan tersebut, dia telah dimaklumkan akan ketidaksenang-hatian CEO perbadanan itu. Apa yang fahami, Syed Azidi dilantik sebagai Pengarah Perhubungan di sini dengan bertanggung jawab terus kepada Husam Musa sebagai Exco. Maknanya, beliau tidak tertakluk kepada CEO perbadanan ini.

Sengketa peribadi antara Syed Azidi dan CEO, Abdul Ariffahmi bin Ab Rahman, menantu TGNA tidaklah diketahui. Cuma mereka berdua sahaja yang tahu. Ketidakpuashatian Ariffahmi terhadap Syed Azidi mungkin tentang prestasi kerja, sikapnya, atau pemikirannya (atau ideologi), hanya Ariffahmi sahaja yang tahu. Begitu juga ketidakpuashatian Syed Azidi terhadap CEO ini, hanya Syed Azidi yang tahu.

Namun, apabila Syed Azidi ditamatkan kontrak serta merta dan dalam pengetahuan Pengerusi Perbadanan, TGNA sebagai MB, saya dapat mencium bahawa persengketaan ini adalah serius dan tentang sesuatu yang juga serius. Serius maksudnya mampu merosakkan PAS sebagai sebuah kerajaan, sebagai sebuah parti, dan menjejaskan reputasi MB (mentuanya sendiri).

Ariffahmi Dari Sudut Syed Azidi

Insiden yang membongkar isu-isu dalaman PMBK yang khususnya berlegar soal Ariifahmi ialah isu tajaan haji kepada TGNA. Pada awalnya TGNA bersetuju, tetapi setelah tajaan ini menjadi isu yang terkait juga soal hadiah dan rasuah maka TGNA membatalkan hasrat tersebut.

Bermula dari sini, Syed Azidi melalui blognya mendedahkan beberapa tindakan yang diambil oleh Ariffahmi boleh menjejaskan reputasi PMBK dan TGNA sendiri selaku Pengerusi PMBK, dan sebagai mentuanya. Boleh rujuk di sini.

Yang terbaru ialah bagaimana PMBK mengendalikan Kifalah Sdn Bhd dalam pembayaran pampasan Skim Takaful Kifalah untuk warga tua dan OKU. Kenapa operasi pembayaran itu tersekat-sekat, juga didedahkan dalam blognya.

Seingat saya, skim takaful ini dirintiskan oleh Husam, dan pada awalnya diselaraskan oleh Sarifudin Nasution. Kemudian, apabila Sarifudin diaktifkan semula dalam PKR oleh Anwar Ibrahim, skim ini diuruskan oleh pihak lain. Seingat saya, MSO pernah mengulas tentang kelembapan dan rasa tidak puas hati pihak pimpinan tempatan terhadap pengendalian pembayaran pampasan takaful ini.

Saya tidak berniat untuk mengupas satu persatu, namun, apa yang dapat saya rumuskan, ialah:

a) Ariffahmi Sebagai CEO PMBK, Sebagai Menantu TGNA (MB dan Pengerusi PMBK)

i) Secara prinsipnya, pelantikan ini menyalahi moral dan mudah menjadi isu.
ii) Barangkali kerana disahkan dan dipersetujui oleh jemaah exco maka TGNA menerima pelantikan tersebut.
iii) Barangkali, pada pandangan (naluri) TGNA, pengurusan PMBK di bawah menantunya tidak akan timbul soal penyelewengan atau salah guna malahan akan lebih berusaha untuk memajukan PMBK.

Saya berasakan jika apa yang dihasratkan oleh bapa mentuanya dapat direalisasikan dengan baik oleh Ariffahmi, permasalahan dan kemelut serta isu terkini yang membelit dirinya tidak akan tercetus - kini SPRM sedang menyiasat dirinya.

Jadi, apa yang dibimbangi telah berlaku. Walaupun, penyiasatan belum selesai, Ariffahmi belum pun diketahui nasibnya sama ada bersih atau tidak, hal ini mahu tidak mahu akan menjadi beban kepada PAS Kelantan.

b) Peranan PAS Kelantan?

Saya dapat mencium daripada posting terbaru Syed Azidi dalam menjawab Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan bahawa Syed Azidi mempersoal sejauh mana PAS Kelantan berperanan dalam menyelesaikan kemelut ini.

Apabila saya mula mengikuti blog Kickdeffela ini, permasalahan ini telah lama berlaku. Dan JIKA BENAR, hal ini berlaku, mengapa PAS Kelantan tidak bertindak?

JIKA TIDAK BENAR, mengapa hal ini dibiarkan berlarutan, dan akhirnya meletus menjadi barah kepada PAS Kelantan. Jika sekiranya, Syed Azidi hanya berhalusinasi, Syed Azidi harus dinasihati, atau jika enggan ditamatkan kontraknya.

Kalau benarlah apa yang didedahkan oleh Syed Azidi, beliau perlu disokong kerana kedudukan Ariffahmi sebagai menantu TGNA berada pada posisi yang kuat dan dipercayai TGNA, tetapi dalam masa yang sama mengambil kesempatan terhadap kepercayaan mentuanya untuk memprojeksi dirinya dan melebarkan unsur-unsur "kronisme" dalam mengurus PMBK.

Akhirnya, jika ini tidak diperbetulkan, icon TGNA dan PAS Kelantan akan terjejas teruk.

c) Serangan Peribadi dan Husam

Kita yang mengaku menjadi ahli PAS dan penyokong setia PAS, jangan pula dalam bertindak menjadi seperti UMNO. UMNO bertindak memenjarakan pelapor rasuah, orang yang didakwa melakukan rasuah tidak disiasat dan dibiarkan bebas.

Keadaan ini sama dengan yang dihadapi oleh Syed Azidi. Saya hanya mengambil satu contoh, bagaimana Pemburu Syahid melabelkan Syed Azidi. Pemburu Syahid tidak memfokuskan kepada isu-isu yang diutarakan oleh Syed Azidi tetapi menggali apa yang tersirat dan menyerang peribadi Syed Azidi. Yang terbaik bagi Pemburu Syahid ialah mencari maklumat benar atau tidak dakwaan Syed Azidi dan cuba membersihkan Ariffahmi.

Melabelkan Syed Azidi dengan pelbagai label, sedangkan hak itu ialah hak Allah, memperlihatkan diri kita yang sebenarnya. Kini zaman faktual dan hujah. Hujah serangan peribadi, hujah lapuk, yang kita perlukan hujah faktual.

Bertindak membersihkan Ariffahmi bermakna menyelamatkan TGNA. Hanya dengan mempersoal motif, tanpa berhujah dengan fakta-fakta, anda sebenarnya tidak menyelamatkan TGNA, tetapi membiarkan TGNA terus terpalit dengan isu menantunya.

Husam dikaitkan dengan tindakan Syed Azidi hanya atas fakta bahawa Syed Azidi bertugas atau bertanggungjawab kepada Husam.

Siapa Husam sebenarnya kepada Pemburu Syahid?

Yang perlu difikirkan ialah mengapa Husam memilih Syed Azidi sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK? Mengapa bidang tugasnya dan laporan tugasannya tidak dipertanggungjawabkan kepada Ariffahmi tetapi kepada beliau sendiri?

Saya sendiri tidak dapat membaca mengapa Husam memilih Syed Azidi dan apakah muslihat atau strategi Husam. Namun apabila saya meneliti posting-posting Syed Azidi dalam blognya, saya dapat mengesan bahawa Syed Azidi memiliki kebolehan analisis yang agak tajam dan kritikal. Saya berasakan Husam dapat mengesan kebolehan Syed Azidi ini dan mengeksploitnya, dan tentunya untuk strategi PAS Kelantan. Husam, sebagai seorang pejuang PAS dan anak didik TGNA yang dianggap sebagai bapanya sekali-kali tidak akan membazirkan wang rakyat kalau beliau tidak nampak bahawa Syed Azidi boleh menyumbang untuk PAS Kelantan.

Bagi sesiapa yang tidak mengenali Husam, cuba baca apa yang ditanggapi TGNA tentang Husam. Rujuk di sini.

Dalam konteks, Ariffahmi sebagai CEO PMBK, saya berasakan Husam maklumi apa yang berlaku, namun, apa yang dapat saya rasakan Husam didepani halangan yang kuat untuk menyelesaikannya secara individu dengan TGNA. Saya tidak mahu membuat spekulasi. Jadi, dalam hal Husam tidak berdaya ini, tentulah Husam mengharapkan Badan Perhubungan PAS Kelantan bertindak.

Kelihatannya, PAS Kelantan gagal berperanan, maka saya rasakan Syed Azidi sebagai individu telah mengambil keputusan untuk bertindak, itu pun selepas beliau ditamatkan kontrak.

Akhir Kalam

Kewarasan bermakna menilai sesuatu isu tanpa prejudis dan menilai isu dalam kerangka yang lebih besar dan prinsipal tanpa elemen personal.

Saya ulangi, kalaulah benar seperti yang didedahkan oleh Syed Azidi, walaupun pahit dan pedih maka TGNA perlu dinasihatkan dan diberikan fakta-faktanya sebagai input untuk membantu beliau membuat keputusan. Jangan biarkan TGNA terkatung-katung kesorangan.

21 November, 2009

Reaksi 2: Kekinian, PAS dan Persepsi [ Latar Belakang ]

Reaksi 2: Kekinian, PAS dan Persepsi [ Latar Belakang ]

Latar Belakang

Apabila saya sambil secara santai berinteraksi dengan kekawan tentang arus kebangkitan politik mutakhir Malaysia - kekawan ini pula terdiri pelbagai bangsa, sekurang-kurangnya Cina, dan India - saya boleh membuat kesimpulan:

a. Pengenalan politik tidak seharus lagi berdasarkan kaum.
b. Setiap tindakan politik haruslah berdasarkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
c. Kunci kestabilan politik Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan sosioekonomi orang Melayu sebagai penduduk teras Malaysia.

Sembang-sembang ini juga membawa beberapa signifikasi tertentu:

i. Tentangan terhadap teori kerajaan Theokrasi, kalau dulu amat ditentang oleh DAP khususnya pengerusinya, Karpal Singh, mulai lunak.
ii. Penduduk bukan Melayu mulai memahami dan mereka mula beradaptasi dengan politik PAS.

Secara ringkasnya, kalau boleh saya membuat analogi dan generalisasi, bahawa gagasan politik yang cuba dijayakan oleh Anwar Ibrahim mulai mendapat tempat dalam kalangan generasi pertengahan dan muda.

Situasi Terkini UMNO/ UBN

Kalau menelaah politik UMNO kini, pemimpin mereka masih terkial-kial untuk mencari jalan keluar daripada perangkap gua gelap yang sebenarnya hasil daripada ciptaan mereka sendiri.

Pak Lah yang dikatakan menjadi penyumbang utama kekalahan memalukan UBN dalam PRU12 telah pun berjaya diasak keluar daripada kerusi empuk Putrajaya. Kini, Najib yang mengemudikan UBN dan negara.

Kepimpinan Najib sedang diuji sebenarnya. Sebenarnya terlalu banyak hal yang perlu diruskan oleh Najib - dari soal pengurusan ekonomisehingga memperkukuh parti-parti komponennya - MIC dan terkini MCA. MCA kini yang didakwa oleh presidennya dalam proses perekayasaan, namun pada hakikatnya sedang berhadapan dengan jalan mati dan "mendalamkan kuburnya sendiri".

Yang terkini, Najib rasanya sedang diancam kegelisahan yang kritikal akibat pendedahan RPK melalu 5 siri temu bualnya dengan P.Bala. Bala sedang menyediakan ramuan racun untuk Najib. Bukan sahaja menyangkut isteri tercintanya, Rosmah, tetapi mula menyeret sama adik korporatnya, Nazir.

Dalam keadaan begini, sebenarnya, Najib mudah hilang fokus khususnya dalam "grand design"nya untuk merampas Selangor dan Kedah daripada Pakatan Rakyat.

Memahami Senario Engagement dengan UMNO

Ulasan santai ini saya sumberkan daripada "rakaman audio Us Nasha" (rakaman 2) yang dipostingkan oleh Tulang Besi.

Kepada saudara Tulang Besi, sekalung tahniah dihulurkan, kerana dengan pendedahan ini, membolehkan pendokong PAS, dan PR dapat memahami perkara sebenar soal "engagement" ini, dan masing-masing bebas untuk membuat interpretasi masing-masing.

Interpretasi Saya:

Saya agak hairan apabila AJK PAS Pusat bermesyuarat di Kota Bharu sejurus selesainya PRU12, dan ketika ketiga-tiga parti PAS, PKR, dan DAP sedang begelut dengan perasaan terkejut dengan kemenangan yang mereka peroleh serta terkial-kial dalam membentuk kerajaan negeri di Kedah, Perak, dan Selangor, boleh timbul idea untuk MERUNDINGI UMNO.

PAS ketika ini, sebenarnya masih terikat dan perjanjian Pakatan Rakyat. Nampak PAS begitu tergesa-gesa dalam mempertimbang sesuatu tindakan, yang kesannya juga tidak TERJANGKA.

Yang menghairankan lagi ialah keputusan yang dibuat itu tanpa merujuk kepada TGNA sebagai Mursyidul Am. Dikatakan, TGNA tiada dalam mesyuarat sepenting itu, dan hanya dimaklumi kemudian.

Harus dimaklumi bahawa wujud perbezaan yang jelas antara hadir dalam mesyuarat dengan dimaklumkan kemudian. Apabila dimaklumi kemudian, sedangkan keputusan telah pun diambil, apakah yang mampu dilakukan oleh beliau, kalau beliau tidak bersetuju. Secara logiknya, tidak munasabah untuk TGNA untuk memberi nasihat supaya dibatalkan keputusan tersebut.

Yang paling utama, ialah TGNA akan dapat berbahas dengan panjang lebar akan pro dan kontranya, jika beliau ada dalam mesyuarat tersebut.

Yang boleh dipersoalkan ialah mengapa TGHH tidak menangguhkan dulu mesyuarat itu dan diadakan ketika TGNA boleh hadir dalam mesyuarat tersebut.

Saya begitu musykil. Hal ini kerana apabila saya meneliti penjelasan pembelaan diri Ustaz Nasha ketika pertemuan dengan para blogger tersebut (rujuk rakaman ucapan ustaz Nasha), tiada sepatah pun kata atau ayat yang menyebut tentang TGNA.

Jadi, kalau boleh saya membuat kesimpulan bahawa tindakan-tindakan Presiden dan gengnya dalam merealisasikan rundingannya itu tanpa pengetahuan TGNA atau dimaklumi selepas sesuatu tindakan telah pun selesai. Secara dasarnya, ketiadaan TGNA tidak menjadi masalah kerana Dr Haron Din sebagai Timbalan Mursyidul Am, boleh bertindak mewakili beliau.

Namun, jelas, daripada penerangan Ustaz Nasha, bahawa baru selepas sebulan tertubuhnya kerajaan negeri PR khususnya di Selangor dan Perak, Dr Haron Din terdesak membentangkan kerja dasar "Tahaluf Siyasi" dalam konteks PR. Apa yang saya fahami, Dr Haron Din, merumuskan bahawa rundingan dengan UMNO perlu diadakan berdasarkan premis, "APA YANG TIDAK ADA PADA PAS ADA PADA UMNO, APA YANG TIADA PADA UMNO ADA PADA PAS".

Ini maknanya Dr Haron Din sebagai Timbalan Mursyidul Am CENDERUNG ke arah "engagement" dengan UMNO. Pendirian ini , saya rasa amat jelas berbeza dengan pendirian TGNA.

Jadi, dalam keadaan Dr Haron Din yang berpendiriannya telah memihak, saya sangsi bahawa Dr Haron Din akan memberi penjelasan yang terperinci kepada TGNA itu pun sekiranya diminta oleh TGNA.

Seperkara lagi, Ustaz Nasha, Dr Hassan Ali, dan Mustapha Ali, begitu terdesak untuk mempertahan diri apabila beliau diserang yang digambarkan seolah-olah geng ini telah bertindak secara tanpa mandat dan telah dikambing-hitamkan. Kedua, penjelasan ini dibuat untuk menolak tohmahan yang didakwanya bahawa Presiden dan gengnya akan "masuk UMNO". Begitu naif pemahaman ustaz Nasha. Yang dipersoalkan ialah bukan masuk UMNO, bukan membawa PAS masuk UMNO. Yang dipersoalkan ialah mengapa perlu berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan campuran sedangkan PAS masih terikat dengan komitmen bersama dengan PKR dan DAP?

Untuk semata-mata menyelamatkan diri, ustaz Nasha mendedahkan seluruh organisasi PAS untuk dihakimi oleh bukan sahaja oleh ahli PAS, penyokong PR, dan musuh-musuh politik PR. Bayangkan betapa kesannya kepada survival parti, namun di sebalik itu, ini merupakan suatu hikmah. Barang kali, ini permulaan ke arah pembersihan!

Dengan pemahaman ustaz Nasha sebagai mewakili kelompok pemimpin PAS yang cenderung kepada keperluan "engagement"yang tak dapat memahami apa yang tersirat di sebalik tentangan TGNA terhadap idea ini maka tidak hairanlah mereka masih cenderung ke arah itu, dan kesan buruknya ialah komitmen untuk memperkukuh PR pada peringkat kerajaan negeri dan peringkat pusat menjadi longgar dan mudah rapuh. Malahan, lebih daripada seperti wujud perasaan tidak senang terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang cenderung ke arah memperkukuh PR demi survival PAS di persada politik nasional, yang mereka istilahkan sebagai kumpulan erdogan.

Tunggu reaksi 3, motivasi sebalik kecenderungan engagement

Salak Tinggi, Selangor, 8.45pm