29 February, 2012

Krisis PAS Kedah: Isu Sebenar atau Apa Kata Utusan?

Agak menarik apabila kita ikuti senario yang menyelubungi MB Kedah ini dengan exco kanannya yang juga merupakan timbalannya pada peringkat kepimpinan parti, peringkat kepimpinan negeri. Saya kata menarik kerana hari ini sahaja Utusan sahaja memuatkan 3 berita dan satu artikel tentang kemelut ini. Baca sini, sini,
dan sini.

Apabila kita meninjau isu lebih dalam menggambarkan bahawa pertentangan idea dan cara mentadbir negeri ini bukan sahaja dalam pengendalian kerajaan malah membawa kepada pertentangan idea dalam pengurusan parti peringkat negeri.

Ustaz Azizan selain MB tetapi juga Pesuruhjaya Pas Kedah, manakala Datuk Phahrolrazi, Timbalan PSJ 1 dan Dr Ismail Salleh ialah Timbalan PSJ 2. Ini membawa maksud berlakunya pertentangan yang serius, tentang:

Pertama, pengendalian kerajaan dengan mengambil kira sistem syura. Apabila menggunakan sistem syura setiap keputusan mestilah berasaskan konsensus, bukan diktatorship / autokratik / kuasa veto. Segala pandangan exco harus diambil kira malah setiap exco diberi ruang yang luas untuk membuat keputusan dan melaksanakan keputusan berasaskan dasar dan konsensus.

Dasar dan konsensus ini pula bukan hanya tertakluk kepada agenda negeri semata-mata, tetapi harus merangkumi dasar dan konsensus yang telah disepakati oleh Pakatan Rakyat Pusat atau Majlis Presiden. Sebagai MB kerajaan PR, MB harus sentiasa menyedari setiap keputusan dan tindakannya akan membawa kesan kepada PR seluruhnya. Sebagai MB PR, seseorang individu itu tidak boleh membawa gaya dan tafsiran individu atau ideologi personal yang tidak terikat dengan dasar dan konsensus PR.

Jika seseorang exco, hatta seorang MB pun yang cuba membebaskan diri daripada konsensus PR maka seseorang itu harus meletakkan jawatan. Hal ini kerana kemenangan sesebuah negeri itu dalam PRU12 atas dasar kesepakatan dan kerjasama PR antara 3 parti (Pas, PKR, DAP).

Mengapa isu ini saya kemukakan? Hal ini saya andaikan berdasarkan tulisan Zulkiflee Bakar, Utusan Malaysia, 29 Februari 2012, dengan tajuk, "Azizan 'selamatkan' maruah Pas". Zulkiflee seolah-olah menyokong Ustaz Azizan. Bagi Zulkiflee, Azizan menjadi mangsa komplot menjatuhkannya daripada pihak-pihak tertentu yang ada kaitan dengan Anwarinas atau Erdogan atau mengikut istilah Hassan Ali ialah 'parasit" dalam Pas. Begitu berkuasanya Anwar sehingga dapat menunduki TGHH, TGNA, Mohamad Sabu, Majlis Syura Ulama Pas Pusat.

Satu klue yang amat bererti dalam tulisan Zulkiflee ini ialah....."Apatah lagi Azizan bukannya menghadapi ancaman di Kedah sahaja malahan seperti dakwaan sesetengah pihak, ada tangan ghaib yang cuba mengganggu pentadbiran beliau. Mereka tidak suka dengan pendekatan Azizan yang dilihat terlalu mesra dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), malahan Azizan juga dilihat telus melaksanakan pentadbirannya."

Zulkiflee cuba mengelirukan dan menenggelamkan isu sebenar. Yang cuba ditekannya ialah soal komplot dan menyembunyikan isu sebenar atau isu dasar.

Tentang komplot ini, Phahrolrazi telah menafikannya.

Jika teliti, sikap UMNO terhadap kerajaan-kerajaan pakatan, UMNO begitu kuat menyerang Selangor, Pulau Pinang, dan tidak kurangnya Kelantan. Serangan terhadap Kelantan lagi hebat sehingga menafikan hak royalti minyak Kelantan, malah semasa Annuar  Musa menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, projek pendaratan minyak dan gas yang sepatutnya di Kelantan tetapi dilencongkan ke Thailand. Dosa Annuar dan UMNO pada kelantan cukup besar dan tak berampun.

Tetapi mengapa UMNO pusat dan negeri begitu lunak dengan kerajaan negeri Kedah yang juga diterajui oleh Pas malahan media arus perdana yang diboikot oleh Pakatan Rakyat tetapi dilihat begitu mesra dengan Ustaz Azizan.

Isu kedua, kepimpinan Pas negeri. Sekiranya gaya dan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Ustaz Azizan tidak dipersetujui oleh kelima-lima exco ini, tentunya secara terus akan menjejaskan kestabilan jentera Pas negeri. Pertentangan ini tentunya akan merencatkan program-program Pas negeri dalam usaha melebarkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi atas pagar dan generasi muda.

Sekarang pun, terlalu banyak isu yang sedang berlegar di peringkat jentera akar umbi. Dalam keadaan pertentangan pendapat yang kritikal ini, bolehkah ustaz Azizan dapat bersangka baik terhadap kepimpinan pelapis yang tidak sebulu dengannya. Kreativiti kepimpinan pelapis dan penonjolan kepimpinan pelapis akan terencat.

Maka, daripada ulasan ringkas ini, saya nampak isu ini bukan lagi isu peribadi tetapi menyangkut survival kerajaan negeri Kedah dan Pas negeri.







Krisis PAS Kedah: Isu Kepimpinan, Isu Dasar atau Isu Peribadi?

Salam. Saya terpanggil untuk menyinggung isu ini atas dasar saya sebagai pemerhati politik Kedah di bawah Pakatan Rakyat. Saya begitu teruja untuk menulas dari sisi pandangan peribadi saya kerana wujud dua pertentangan pandangan tentang isu ini. Pendapat Ustaz Harun Taib sebagai ketua Dewan ulamak PAS bahawa isu ini kecil dan dapat diselesaikan dengan mudah, sedangkan pandangan SUA PAS, cikgu Mustapa dan Naib Presiden, Salehudin, isu ini adalah serius.

Dalam sidang media Datuk Phahrolrazi hari ini yang boleh diakses dalam Sinaronline, Malaysiacronicle, Malaysiakini, Datuk Phahrolrazi Zawawi (DPZ) sebagai exco kanan, menegaskan bahawa tiada komplot untuk menggulingkan MB, tiada kaitan dengan kumpulan erdogan atau anwarinas. Mengikut DPZ, isu dasar ialah beliau tidak lagi boleh bekerjasama dengan Us Azizan sebagai MB kerana perbezaan pandangan, pendapat tentang cara atau dasar dalam mentadbir kerajaan negeri.

Isu Kontrak

Dalam blog MSO, antara isu yang dipertikaikan ialah keputusan MB tentang kontrak maintenance jalan yang anggarannya berjumlah 5 juta (setengah sumber mengatakan 50 juta. MSO juga memetik dari sumber tertentu. Persoalan yang timbul ialah siapakah yang mendapat kontrak ini dan adakah kontrak ini diperolehi oleh pihak tersebut melalui runding terus atau tender terbuka? Jika isu ini benar-benar wujud dan berlaku, kita boleh bertanya lagi siapakah yang perlu mengeluarkan surat tawaran kontrak tersebut? Bukankah bidang tentang jalan dan kemudahan asas terletak di bawah portfolio DPZ.

Dalam isu pemberian kontrak ini, Mahfuz Omar pernah menarik diri daripada menduduki kerusi lembaga pengarah salah satu GLC kerana pemberian kontrak ini.

Sehubungan dengan isu kontrak ini, kita boleh bertanya:

a)  Siapakah yang menentukan syarikat atau individu yang mendapat kontrak ini?
b)  Proses tender - terbuka atau anugerah (runding terus)?
c)  Adakah keputusan-keputusan soal pengisian dasar, contohnya kontrak, mengikut keputusan dalam mesyuarat exco atau pihak exco hanya menjadi rubber stamp?
d)  Berpandukan maklumat yang dipetik oleh MSO itu, adakah kontrak-kontrak sebelumnya selama 4 tahun, siapakah yang mendapat manafaatnya dan apakah prosesnya?

Sistem Penyampaian Perkhidmatan di DUN

Sesuatu yang pihak di luar Kedah tidak menyedarinya, adakah kemudahan-kemudahan asas seperti pembinaan titi dan jalan tar, yang di bawah selenggaraan kerajaan negeri sama rata pengagihannya antara kawasan DUN . Cakap-cakap kedai kopi dalam kalangan wakil-wakil komuniti (MKK) antara kawasan DUN menunjukkan wujud perbezaan yang agak besar. Saya ambil contoh, DUN Pangkalan Kundor, MKK begitu resah dan tidak puas hati tentang tidak turunnya projek-projek yang telah pun dihantar ke pusat perkhidmatan DUN.

Selayang pandang, menampakkan bahawaYB bagi kawasan DUN tertentu begitu kurangnya peratus penyelesaian aduan atau permintaan di kawasan DUN tertentu, dan akibatnya YB di kawasan itulah yang dituduh tidak berinisiatif mencari dana untuk memenuhi permintaan dari rakyat. Jika ini yang terjadi, tentulah sokongan terhadap YB kawasan tersebut akan terjejas.

Sehubungan itu, kita perlu bertanya, sistem penyampaian kerajaan negeri yang lemah di kawasan-kawasan DUN tertentu, berpunca daripada YB yang tidak berinisiatif atau halangan daripada pihak-pihak tertentu. Harus diingat, dalam sesuatu tindakan kerajaan negeri, akhirnya bergantung kepada persetujuan pucuk pimpinan atas, MB.

Kerangka Dasar Kerajaan Negeri

Kita harus juga melihat isu yang lebih mendasar. Kerajaan Kedah adalah kerajaan PR. Kerajaan PR harus dan semestinya bergerak dalam kerangka manifesto Pakatan Rakyat dan pemenuhan janji-janji PR yang ditawarkan dalam PRU12.

Majlis Pimpinan Pusat PR telah merangka satu dasar bersama yang telah pun dizahirkan dalam bentuk satu dokumen, BUKU JINGGA (BJ).

Soalan seterusnya, adakah kerajaan PR Kedah bergerak berasaskan BJ? Soal bagaimana untuk memenuhi BJ di peringkat negeri adalah kreativiti pimpinan kerajaan negeri masing, tetapi setiap kerajaan PR mesti tunduk pada BJ.

Satu contoh jelas, bagaimanakah MB Kedah mengurus isu KUIN dalam soal penggantungan mahasiswa KUIN yang berdemo memprotes pengambil-alihan premis tahfiz, agak jelas sikap dan pendirian MB Kedah terhadap AUKU. Malahan, pengkritik beliau dalam isu ini diherdik dengan kasar.

Untuk bahagian pertama ulasan saya ini, saya akhiri dengan kenyataan berikut bahawa selami dulu isu ini sedalam-dalamnya, sebelum kita merumuskan sesuatu terhadap individu yang berbeza pendapat. Penentangan daripada pihak bawahan (exco) terhadap pimpinan atasan (MB) seolah-olah secara automatik sebagai usaha merampas kuasa, gila kuasa, dan gila kedudukan.

Bila terluang nanti, saya akan ulas soal  keikhlasan dan isu krisis peribadi dan hubungannya dengan survival parti dan kerajaan negeri.

Simpang 4.