26 March, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: SATU SOROTAN



Kerajaan Perpaduan (KP) ini pada saya lebih kepada satu lontaran idea atau gagasan yang terbuka untuk dibahas dan dinilai. Idea ini pada awalnya dikemukakan oleh TG Hadi.

Saya juga cuba menyelusuri blog-blog PR dalam usaha menyelami gagasan ini termasuk Roslan SMS, MSO, dan Tulang Besi. Saya tak sempat lagi membaca Siasah, dikhabarkan terdapat penjelasan dan jawapan TGHH tentang KP ini.

Sehingga saya membaca tabloid Siasah itu, saya akan merujuk kepada blog-blog di atas dalam kita berkongsi pendapat tentang gagasan ini.

Seperti diperjelaskan, KP ini satu bentuk kerajaan perkongsian dan perpaduan, yang parti-parti yang memerintah (baca: UMNO dan BN – UBN) akan disertai oleh parti-parti pembangkang (baca: PAS, PKR, dan DAP – PR). Sebelum saya ulas satu persatu, rasanya, eloklah saya cuba gariskan ciri-cirinya. Jadi, kalau boleh kita rumuskan:

a) Parti atau kerajaan teras ialah UBN.
b) Portfolio utama masih akan dipegang oleh UBN termasuk PM dan TPM.
c) Kera jaan ini tiada pembangkang.
d) Tumpuan utama ialah kemakmuran rakyat (baca: kegawatan ekonomi).
e) Tempoh berlangsungnya KP, tiada lagi pertentangan politik antara pemerintah dan pembangkang – semacam genjatan senjata.
f) Kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR akan ditadbir juga secara perkongsian. Peristiwa Kudeta di Perak dapat dielak.

UBN Masih Parti teras

Ciri ini sebenarnya pendapat saya sendiri. Saya nampak UBN dengan sikap agresif dan sadis akhir-akhir ini, tidak akan berkompromi dalam soal ini. Sikap dan tumpuan mereka selama ini, yang sepatutnya memfokus kepada soal kegawatan ekonomi tetapi begitu ghairah dengan obsesi ingin merampas baik negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Kalau UBN sanggup menerima gagasan ini, sekurang-kurangnya mereka mesti mengorbankan kerusi Timbalan Perdana Menteri, dan portfolio penting yang lain. Kita ketahui soal kepakaran dan iltizam untuk berkhidmat dalam kontek Ketuanan Rakyat baik dalam perekonomian dan sektor lain didominasi oelh tokoh-tokoh dalam PR.

Ini maknanya, kalau mereka menerima gagasan ini, UBN sebenarnya mengaku kalah kepada PR. Keadaan ini sama dengan kekalahan mereka dalam PRU12. Soalnya, Najib yang hanya menunggu saat dan ketika untuk merayakan kejayaan gemilangnya untuk dinobatkan sebagai PM ke-6, sanggup berkompromi dan merendahkan egonya sebagai PM yang segala aparat kerajaan berada dalam tangannya.

Ketiadaan Pembangkang: Momentum PR?

Secara teorinya, keadaan ini memang unggul kalau benar-benar tercapai. Dan tiada salahnya untuk mencuba. Keseluruhan Ahli Parlimen dan Adun yang menang dan dari pihak kerajaan dan pembangkang, tanpa mengira anutan politik sama-sama menggembleng tenaga untuk kemakmuran rakyat.

Namun ada perkara dasar yang perlu dipertimbangkan dengan saksama. Adakah UBN benar-benar ingin berubah atau hanya meminta waktu untuk bertenang dan kemudian bangun semula dengan strategi tertentu yang pada sama momentum sokongan rakyat terhadap PR diperlahankan?

Kerajaan Perpaduan VS Kerajaan Campuran

Saya berharap pemahaman saya terhadap konsep dan gagasan KP tidak terlalu jauh tersasul.

Kerajaan Campuran (KC) lebih kepada penyertaan parti pembangkang ke dalam UBN dan parti-parti ini sama ada PAS, PKR atau DAP akan terikat dengan polisi atau dasar-dasar UBN.

Perbezaan yang ada ialah ikatan KP adalah lebih longgar dan berdasarkan kerelaan sementara ikatan KC lebih padu dan terikat dengan peraturan-peraturan yang mengikat.

Dalam KP, dasar dan matlamat setiap parti tidak terjejas, tetapi dalam KC, dasar, atau matlamat atau pendekatan perlu disesuaikan dengan parti induk (mengikat dan tidak bebas)

Impak

Nampaknya gagasan KP dan KC ini dibincangkan atau dibahaskan lebih dalam konteks menonjolkan personaliti. Bagi yang menyokong KP seolah-olah cuba memperlihatkan kehebatan tokoh yang mengemukakan iaitu TGHH. Manakala bagi yang tidak bersetuju lebih terdorong untuk menonjolkan kehebatan TGNA.

Jika kita terperangkap dengan soal personaliti dalam membincangkan gagasan ini, impak sebenar kepada PR akan terabai.

Baik TGHH atau TGNA memasing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Walaupun mereka bertaraf ulama namun mereka masih seorang manusia yang bersifat lemah.

Pada saya yang perlu difokuskan bukan soal tokoh atau personaliti tetapi apakah PR akan benar-benar memperoleh manafaat apabila Kerajaan Perpaduan dilaksanakan. Soal KC tidak timbul lagi kerana telah ditolak oleh muktamar yang lalu.

Begitu juga soal kekhilafan dalam tafsiran atau pemahaman terhadap KP juga tidak begitu signifikan berbanding dengan impak sebenar terhadap PR dan UBN.

Hakikat yang perlu disedari ialah momentum sokongan rakyat terhadap PR begitu memberangsangkan dan banyak analisis pemerhati politik bebas berpendapat bahawa UBN akan benar-benar terancam pada PRU13 nanti.

Bukti-bukti yang ada menunjukkan arah aliran ini. Lihatlah protes rakyat terhadap Kudeta di Perak. Sampai kini, DS Nizar masih dianggap MB Perak yang dijatuhkan secara tidak bermoral dan melanggar Perlembagaan. Semangat Permatang Pauh telah bergerak ke Kuala Terangganu, dan ingin akan bersemarak lagi di Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan insayak Allah di Batang Ai.

Siri-siri ceramah yang diatur oleh PR dihujani dan dikelilingi oleh tentera merah. Dan terkini, penggantungan 3 bulan permit Harkah dan Suara Keadilan memperlihatkan dengan jelas bahawa UBN begitu gusar dan gerun dengan kebangkitan rakyat dalam menyokong PR.

Barangkali perlu saya tegaskan bahawa momentum ini adalah momentum terbaik dalam sejarah politik Malaysia, dan jika momentum ini terhenti dan UBN bangkit semula, saya khuatir, momentum ini akan mati begitu sahaja dan kita terpaksa menunggu berapa puluh tahun lagi untuk momentum sebegini bangkit semula.

Rumusan

Baik KP atau KC, pelaksanaannya atau lontaran ideanya hanya berfokuskan kepada untuk menyelamatkan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR. Keadaan genting ini berlaku kerana kelemahan Pak Lah dan membiarkan timbalannya bermaharajalela menggunakan segala aparat kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan PR. Dan andaian pelaksanaan KP ini ialah penerusan Pak Lah sebagai PM, dan pada masa sama menghalang kemaraan Najib. Nampaknya Pak Lah sesungguhnya bukanlah seorang pejuang. Pak Lah tiada kekuatan dalaman yang ampuh dan cenderung bersikap mengalah. Semakin jelas bahawa Najib akan menjadi PM ke-6 Malaysia!
Jelas kelihatan bahawa fokus UBN telah tersasul dan melupakan fokus mereka yang sebenar iaitu memastikan kesejahteraan hidup rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi Malaysia dan ekonomi dunia. UBN berada dalam suasana penafian dan melihat PR sebagai musuh dan punca mereka ditolak oleh rakyat. Yang sesungguhnya terjadi ialah amanah rakyat yang diberikan kepada UBN dikhianati, diselewengkan, dan diperkuda untuk kepentingan kuasa, dan kelompok.
Nampaknya pemimpin-pemimpin tertinggi PR khuatir dengan sikap brutal Najib dalam menangani musuh-musuh politiknya. Ada pemimpin PR yang cukup gusar akan berulang episod Kudeta Perak akan melanda pula Selangor, Kedah, dan Pulau Pinang.

Mengapa perlu kita khuatirkan? Episod Kudeta Perak sesungguhnya suatu hikmah dan pengajaran bahawa wujud lompang yang luas dalam soal pengendalian urusan pentadbiran negeri serta kejatidirian Ahli Parlimen dan Adun PR dalam mengharungi umpanan dan tekanan UBN.

Jika akhirnya berlaku gangguan yang serius terhadap kerajaan-kerajaan negeri PR, apakah rakyat buta dan tidak tahu menilai siapa yang sebenarnya menjadi punca berlakunya gangguan tersebut? Semakin keras gangguan mereka, semakin kuat tekanan yang diberikan, dan semakin brutal tindakan mereka dalam usaha menjatuhkan kerajan PR, akhirnya UBN yang akan menanggung padahnya. Dan ini sebenarnya boleh dijadikan sumber kekuatan PR dalam menghadapi PRU13.

Akhirnya, bagi saya, dan saya tidak perlu rasa rendah diri, jika KP ini cuba dilaksanakan, musibah sebenarnya ialah menghakis sokongan rakyat terhadap PR. UBN sebenarnya telah menjadi dinasour. UBN hanya perlu digantikan dengan pemerintahan lain jika rakyat benar-benar ingin menikmati hidup yang berteraskan “Ketuanan Rakyat”. Untuk melihat kemampuan UBN berubah, lihatlah siapa PM yang ke-6 itu.

Di Simpang 4, AS, 2.15am

Tahniah KJ!

Kemenangan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia menandakan bahawa akan wujudnya “check and balance” dalam pertembungan dua blok kuasa dan kelompok: Blok Najib (dan Che Det) dan Blok Pak Lah.

Najib mewakili era Mahathirisme yang penuh dengan totalisme dan dictatorship manakala Pak Lah melambangkan kesederhanaan dan sedikit keterbukaan.

Kepada PR, kemenangan Khairy ini disambut gembira kerana nanti pertembungan antara aliran politik dan pendekatan politik lebih didasarkan kepada suasana intelektualisme bukan berdasarkan hujah dangkal, sindrom penafian, dan penggunaan maksimum aparat kerajaan.

Di Simpang 4, AS, 2.00am

12 March, 2009

Siapa Yang Gawat, UMNO Atau Pakatan Rakyat?


Saya percaya bagi sesiapa yang mengikuti secara tekun politik negara kita, kegawatan politik kian nyata dan menjengkelkan sekali. Beberapa peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini menggambarkan kerakusan dan ketamakan. Soal rakyat, hidup rakyat, kegetiran rakyat dalam mengharung hidup dalam keadaan ekonomi kita yang kian gawat, seolah-olah tidak mendapat tempat langsung dalam kalangan elitis politik Malaysia.

Episod Kudeta di Perak masih belum selesai. Dua kerajaan yang sama-sama bergelut mencari kesahan undang-undang, gagal berfungsi malah kian rumit. Ironisnya, rajanya pula dianggap paling cerdik antara raja-raja di Malaysia. Proses undang-undang yang berjalan menjadi macam sarkas. Yang terkini bagaimana Sivakumar, Speaker DUN Perak, dinafikan haknya melantik peguam dalam kesnya.

Krisis di Perak menunjukkan proses demokrasi dan raja berperlembagaan menjadi begitu tempang sekali. Membaca kertas kerja yang dibentangkan oleh Mustafa Ali, secara jelas, krisis di Perak berlaku berpunca daripada kegagalan pihak perampas menghormati dan menodai semangat perlembagaan, Perlembagaan Persekutuan amnya, Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Kemudian, peraspas berlindung di sebalik Raja atau Sultan.

Lebih daripada episod Kudeta ini merampas hak rakyat dalam memilih kerajaan yang mereka inginkan. Takrif dan semangat demokrasi telah diberi takrif baru oleh perampas.

Saoalan yang sesuai ditanya, dapatkah si perampas itu atau gerombolan perampas itu, hatta atas kepentingan Melayu Perak mendapat keuntungan politik secara tuntas? Atau, Pakatan Rakyat walaupun dinafikan untuk mentadbir negeri kemenangan mereka, mendapat keuntungan percuma? Apakah imej Najib dan Zahid begitu menjulang pada kaca mata penyokong UMNO?

Yang kedua, isu PPSMI. Apabila tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan malah yang bergelar Sasterawan Negara dan begelar Datuk, turun ke padang untuk berdemonstrasi, itu menunjukkan isu ini perlu penyelesaian tuntas. Apakah tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan ini tidak ada otak dan nurani untuk membiarkan diri mereka dan maruah mereka diperkuda oleh parti pembangkang, seperti didakwa oleh Si Hisham? Sebelum menuduh, selidikilah dulu bagaimana pejuang-pejuang bahasa dahulu berdemo mengusung "keranda 152".

Yang menjengkelkan sekali ialah Si Hisham sendiri yang memegang amanah pendidikan negara enggan bertemu dengan barisan pemimpin GMP. Begitu tinggi martabat Si Hisham itu ye. Yang paling menyedihkan ialah layanan pihak polis terhadap para demonstran itu - dihujani gas pemedih mata dan air gatal dari meriam FRU. Begitu dahsyat layanannya jika diukur daripada keinginan para pendemo itu hanya berarak ke istana negera untuk menyerah beberapa keping kertas kepada wakil istana negara, dan telah pun diperkenan permintaan rakyat itu.

Sekali lagi, persoalannya, adakah rakyat itu buta, pekak, dan tidak tahu menilai siapa yang salah atau benar berkaitan peristiwa ini?

Begitu juga kes Anwar, pemindahan kes sodomi itu ke Mahkamah Tinggi telah pun berjaya diperoleh oleh pendakwa raya. Tiba-tiba sahaja sahaja sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Si Ghani itu yang menimbulkan keraguan mengikut pendirian Hakim Komathi, menjadi sah. Dan, dalam Parlimen, Si Nazri menjelaskan bahawa Si Ghani dan Si Musa disahkan tidak terlibat dalam pemalsuan bukti kes mata lebam Anwar. Nampak seolah-olah ada keselarian antara pendapat hakim dan Si Nazri. Bolehkah kita katakan ini sebagai satu konspirasi?

Si Saiful pula diselubungi "mistri", sekejap timbul, kemudian hilang ... Terkini Si Saiful menyaman pula penulis blog Pahang Daily Online yang didakwa memfitnahnya. PDO mendakwa Saiful sedang menderita satu "penyakit". Dan, paling terkini ialah PDO pula akan membuat laporan polis terhadap saman Saiful ini. Soalannya, mengapa Si Saiful begitu terdesak menyaman PDO? Adakah wujud kebenarannya yang cuba ditutup?

Rumusan

Di sebalik tindakan yang kurang berhemah ini agak menarik untuk disorot titah-titah terkini oleh Sultan Selangor dan DYMM DPTN Agong.

Sultan Selangor yang pada awalnya menyatakan ketidaksenangan-hati baginda terhadap tindakan rakyat Perak terhadap Sultan Perak, akhirnya mengubah nadanya. Episod lembu-kereta di selangor, Adun Bukit Lanjan, Sultan Selangor kelihatannya menyebelahi Kerajaan Rakyat Selangor khususnya DS Khalid Ibrahim. Titah Sultan Selangor ketika merasmikan Sidang DUN ke-12 Selangor, "Prinsip yang paling penting untuk mencapai sebuah negara yang maju ialah prinsip demokrasi dengan pandangan rakyat perlu diutamakan dalam menetukan hala tuju sesebuah negara."[http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19778&Itemid=50].

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru rakyat supaya menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin khaira ummah (umat yang berkualiti dan baik). Sambung Tunku Mizan, "Apabila sebahagian umat manusia dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka berlakulah pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa hidup manusia lantaran kemurkaan Allah S.W.T,". [http://www.malaysiakini.com/news/99868]

Apakah makna semua titah ini? Kepada siapakah atau pihak manakah yang dihalakan titah itu? UMNO atau Pakatan Rakyat? Adakah Raja-raja Melayu mula memahami ke mana akhirnya ketaatsetiaan UMNO terhadap Raja?

Akhirnya, akhir-akhirnya secara jelas, UMNO dan BN mengambil pendekatan yang paling kontra dalam setiap penyelesaian masalah politik membabitkan Pakatan Rakyat. Siri tindakan ini menimbulkan soalan yang cukup mendasar,

"UMNO dan BN sedang mempertahan kuasanya atau mempertahan hak-hak rakyat?"

Di Simpang 4, AS, 2.00am

04 March, 2009

Pakatan Rakyat Perak Tidak Bertamadun?



Berlaku lagi saru episod hitam dalam sejarah demokrasi di negara yang tercinta ini. Sidang DUN tergempar dilangsungkan di bawah pokok sena, dengan rakyat yang menyokong dan simpati mengelilingi secara bulatan.

Yang sungguh ironis - ini berlaku di sebuah negeri yang rajanya begitu dihormati, amat celik undang-undang, dan Raja Mudanya berijazah Ph.d.

Di negeri yang subur ilmunya tertakdir wujudnya dua kerajaan yang sama-sama tidak sah!

Saya tidak akan mengulas bagaimana polis diperalat, provokasi oleh manusia songkok tinggi yang memaki hamun Ahli Dun PR termasuk DS Nizar.

Azalina Othman melabelkan tindakan Speaker DUN Perak mengadakan sidangnya di bawah pokok sena merupakan satu perbuatan tidak bertamadun. Zahid Hamidi, dalam Hujah, TV9, 3 Februari, dengan nada keras, menghina, dan penuh api kemarahan mengecop satu perbuatan yang tidak masuk akal malahan disamatarafkan dengan pemikiran penghuni hospital sakit jiwa.

Zahid apabila ditanya oleh moderator Hujah, Dr Agus, adakah UMNO takut menghadapi pilihan raya sekiranya DUN dibubarkan, Zahid tidak menjawab soalan, sebaliknya berlindung di sebalik kuasa Sultan yang berhak menolak pembubaran DUN malahan beliau mengaitkan ketidaktaatan PR terhadap Sultan Perak.

Bagi sesiapa yang menelaah politik dan sepak terajangnya dengan tekun, tentunya dapat membaca maksud tersirat di sebalik tindakan Speaker DUN Perak memanggil Sidang DUN tergempar.

Sivakumar sebenarnya bermain politik dan cuba meraih "polical milliage" daripada tindakannnya itu. Apa salahnya jika SUK tidak menutup Dewan Persidangan, membenarkan sidang dijalankan, tidak mengerah polis dan FRU berkawal, mereka, UMNO dan BN berhak memulaukan sidang tersebut. Katakanlah dua usul itu diluluskan, maka usul itu perlu dipersembahkan kepada Sultan Perak. Adakah Sultan Perak akan memberi perkenan Nizar mengadap baginda?

Tatapi kini, mereka telah semakin terpalit malah telah menyeret institusi perundangan ke dalam kancah permainan politik ini. Zambry telah berjaya memperoleh injuksi menghalang V.Sivakumar menjalankan kewajibannya. S.Ambiga mempertikai keputusan Pesuruhjaya Hakim ini, Ridwan Ibrahim, dan mempertikai peranan polis dalam menyekat Speaker memasuki Dewan Persidangan. Secara tersiratnya, S.Ambiga ingin menyatakan institusi kehakiman telah terpalit sama.

Kita juga berasa hairan mengapa Sultan Perak melalui setiausaha sulitnya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan untuk menghalang Sidang DUN ini, kalau benar sidang ini memerlukan perkenan Sultan.

Lebih daripada itu, UMNO telah terperangkap dengan permainan politik PR. Episod Kudeta masih panas lagi dan masih segar dalam ingatan rakyat Perak. Terkini mereka dihalang lagi oleh UMNO melalui penggunaan polis dan institusi perundangan dan kehakiman, dan SPRM. Rakyat hanya mahu menyatakan bahawa mereka masih lagi bersama PR Perak. Mereka hanya memerlukan ruang untuk menyatakan sokongan dan simpati mereka.

Jadi, bagi pihak rakyat, siapa yang sebenarnya takut untuk berdepan dengan realiti. Dengan itu, rakyat sudah tentu dapat menilai adakah watak-watak yang bermain di sebalik angkara ini masih layak diserahkan teraju negara pada masa depan?

Akhirnya, siapakah yang sebenarnya "bertamadun"?

Di Simpang 4, AS, 1.20am

01 March, 2009

Bahagian I: Najib, Istana, Politik Melayu VS Politik Malaysia


Saya minta maaf kepada pembaca yang setia blog ini. Agak lama saya mendiamkan diri iaitu sejak berlaku kudeta di Perak sehinggalah isu terbaru soal “kereta-Lembu” di Selangor. Walaupun begitu, saya ikuti secara rapat siri peristiwa ini.

Sebenarnya, isu-isu kudeta itu boleh diikuti secara jelas oleh blog-blog Perisik Rakyat dan Perakekspress. Maklumat yang dipaparkan oleh blogers ini lebih genuine kerana hubungan rapat mereka KRP.

Jadi, kali ini, saya cuba menelaah dan meramalkan apa makna segala ini dan kesannya kepada politik Malaysia.

Jika sudi, silalah kita berkongsi pandangan.

Sesungguhnya Allah S.W.T. itu Maha Besar, Maha Agong, dan Maha Perancang. Secara tiba-tiba dan barangkali telah lama ditunggu, Allah menayangkan satu episod kepada khalayak (rakyat) yang mendedahkan segala-galanya.

Siapa sebenarnya bakal PM bermula 1 April nanti?

Episod Kudeta Kerajaan Rakyat Perak (KRP) yang diterajui oleh Najib dan Zahid sesungguhnya memperlihatkan kepada kita banyak hal yang tersembunyi sebelumnya yang kebanyakannya menyangkut langsung survival bangsa Melayu, survival Institusi Raja, dan bangsa Malaysia amnya.

Episod Kudeta KRP

Datuk Nasalah yang memulakan episod ini yang menggerakkan komplot liicik ala CIA atau Gestapo. Kemasukan Datuk Nasa ke PKR membangkitkan protes terhadap Tajol Rosli. Tajol digambarkan seorang ketua yang lemah dan gagal mengawal anak buahnya. Tajol akhirnya meletakkan jawatan dan membawa diri. Kerusi ketua diambil alih oleh Najib. Bermulalah episod atau drama terlalu klasik ini pada era dunia tanpa sempadan.

Dua YB PR dari PKR tiba-tiba hilang. Tidak dapat dihubungi hatta oleh keluarga sendiri malahan isteri sendiri. Ke mana mereka?

Kerajaan Rakyat Perak persis berada di hujung tanduk.

Kemudian YB Jelapang pula “hilang”. YB ini dari DAP yang khabarnya bermasalah dengan pimpinan DAP negeri.

Akhirnya mereka muncul dari gua, dan tak lama selepas itu, mereka berempat muncul bersama Najib. Najib mengisytiharkan BN Perak telah mendapat majoriti. Berlakulah kudeta apabila Sultan Perak enggan membubarkan DUN sebagai satu cara mengembalikan semula mandat pemilihan kerajaan kepada rakyat malah MB, Nizar, diminta meletakkan jawatan sebagai MB. Nizar enggan.

Zambri akhirnya mengangkat sumpah sebagai MB baru Perak, sedangkan Nizar, secara perlembagaan masih sah sebagai MB.

Baiklah, kita telusuri siapa orangnya yang memberi majoriti kepada BN. Osman dan Jamaluddin sedang berhadapan dengan kes SPRM melibatkan projek RM180 juta dan rasuah sex. Kesnya akan disebut pada 10 Februari 2009. Walaupun kes ini lebih bermuslihat politik, namun kita tahu dan sedar bagaimana SPRM (dulunya, BPR) dengan mudah boleh dieksploit untuk kepentingan pihak berwajib, Osman dan Jamaluddin akan benar-benar tersepit. Khabarnya juga pihak SPRM didakwa mempunyai rakaman video perlakuan sumbang mereka dengan kupu-kupu malam tersebut.

YB Jelapang pula memang bermasalah dengan DAP negeri. Khabarnya tidak puas hati kerana tidak diberi jawatan Exco, sedangkan dia merupakan ahli DAP yang senior. Camri pula tidak diperuntukkan untuknya.

Khabar yang kuat bertiup bahawa Osman dan Jamaluddin telah dikepung, diculik dan diberi tawaran lumayan jika sanggup melompat parti. Khabarnya, melibatkan wang RM5 juta setiap seorang. Situasi genting yang dihadapi kedua-dua YB ini memudahkan lompatan ini berlaku.

Datuk Nasa yang pada awal tetap komited dengan PKR, khabarnya diculik dan diperangkap oleh kenalan rapatnya sendiri dan dapat bolos daripada jagaan AMK Perak serta dibawa ke Putrajaya. Kita sedia maklum akses Najib terhadap polis dan SPRM, maka tidak mustahil Datuk Nasa di”tune” semula.

Terdapat dua persoalan dasar tentang kudeta ini. Pertama soal perlembagaan Perak (Undang-Undang Tubuh Negeri Perak). Sahkah kudeta itu? Mengapa Sultan Azlan tidak memperkenan sembah Nizar supaya DUN Perak dibubarkan? Sultan Azlan arif dalam aspek Undang-undang Perlembagaan. Inilah yang menimbulkan tanda soal yang besar kepada pengamal perundangan termasuk Majlis Peguam.

Kedua, kekukuhan kerajaan yang diperakui oleh Sultan Perak yang diketuai oleh MB baru Dr Zambri. Majoriti yang mereka peroleh daripada ADUN bebas yang benar-benar bermasalah. Osman dan Jamaluddin, kesnya sedang dibicarakan dan salah seorang telah mengaku telah melakukan hubungan sex dengan wanita yang dibekalkan dan ada buktinya. Kes ini kukuh, dan berkemungkinan besar kedua-dua Adun bebas ini akan bersalah. Jika ini berlaku, majoriti BN akan berkurang. Kalaulah mereka menang, tidak timbulkah persepsi bahawa UMNO telah mempengaruhi keputusan mahkamah.

Khabar terkini apabila meneliti blog-blog proPR seperti “Perakekspress” dan “Perisik Rakyat” menjelaskan bahawa ketiga-tiga Adun tersebut, JeLapang, Osman, dan Jamaluddin, sehingga kini tidak dapat dikesan mana-mana tempat persembunyian mereka, malah sejak berlaku lompatan, mereka ini tidak pernah menjenguk kawasan mereka, dan pengundi mereka telah mula menunjukkan rasa tidak senang. Dapatkah mereka bertahan dengan status bebas itu?

Tambahan pula, dalam barisan exco Dr Zambry, nama-nama mereka tidak terlibat termasuk Datuk Nasa. Adakah UMNO melayan mereka sekarang seperti mana sebelum berlaku lompatan. Kini, mereka telah dapat apa yang mereka mahukan daripada keempat-empat adun tersebut.

Khabar paling baru, mereka telah tidak tertahan, dan ada berita yang mengatakan bahawa mereka ingin merujuk balik kepada parti asal mereka. Usaha-usaha pembawa utusan telah bermula, namun, Anwar menolak, malah memberi syarat agar mereka meletak jawatan sebagai Adun.

Maka, persoalan kudeta ini semakin berkabut. Apakah yang sebenarnya yang muncul di benak Najib ketika memulakan episod kudeta ini? Tidak terbangkitkah soal kebangkitan rakyat – sekurang-kurangnya penyokong PR, dan pengundi atas pagar, serta orang muda? Adakah penyokong tegar UMNO sendiri pun akan menerima episod melanggar Perlembagaan Negeri Perak sewenang-wenangnya? Tidakkah dengan tindakan Najib dan Zahid ini telah memalitkan arang ke muka penyokong mereka? Memang pada awalnya, mereka bertepuk gembira, tapi kini? Bagaimana pula pengundi bukan Melayu Perak? Bukankah selama ini, undi mereka yang menyelamatkan BN? Perasaan mereka, bagaimana?

Begitu juga dengan Sultan Azlan, baginda melanggari tulisan baginda sendiri bahawa Sultan sewajarnya akur akan nasihat Mbnya? Malah, Sultan menolak pembubaran DUN, dan meminta Nizar meletak jawatan. Jadi, kita tertanya-tanya, apakah niat dan hasrat yang tersembunyi di minda bawah sedar Sultan Azlan? Atau ada sesuatu berlaku di sebalik tabir yang menyangkut hubungan antara Institusi Raja, politik, dan perniagaan? Atau soal Melayu yang menjadi umbi segala tindakan Sultan?

Persoalan-persoalan ini akan dijawab, insyak Allah di bahagian kedua nanti.

Di Simpang 4, AS, 2.30pm

03 February, 2009

KR Perak, Bagaimana Kalau Jamal dan Man Masuk UMNO?


Diberitakan bahawa Jamal dan Man dari Perak tu sudah pun mengisytiharkan diri mereka sebagai Adun bebas. Ini bermakna telah keluar dari PKR Perak. Kini kerajaan Perak tinggal 30 Adun, BN 27.

Agaknya boleh percaya ke Jamal dan Man ni kekal dengan status bebasnya itu? Mereka tentu gundah dengan kes rasuah itu. Kalau bersalah mereka akan hilang kerusi Adun. UMNO telah pun membuka pintu seluas-luasnya dan siap dengan habuannya sekali.

Memang kerajaan Perak akan tetap berfungsi kalau mereka berdua ini melompat parti. Namun dengan kelebihan 1 kerusi, kita dapat bayangkan betapa rapuhnya kerajaan itu.

Diberitakan juga bahawa Nizar telah pun mengadap DYMM Sultan Perak dan Sultan rasanya telah maklum dengan situasi yang agak kritikal ini. Pada hemat saya, Sultan tentu berasa gundah dengan keadaan ini. Ini menunjukkan kerajaannya selepas ini akan berhadapan dengan banyak kerenah dan masalah.

Sesungguhnya permasalahan yang kritikal ini menuntut penyelesaian yang "brilliant". Soal sebesar ini tidak wajar hanya dibebankan semata-mata di bahu Nizar seorang sahaja. Seluruh pemikiran Pakatan Rakyat harus digembleng tanpa mengira kepentingan parti dan kelompok.

Pada hemat saya, jika benar Jamal dan Man telah menyeberang, Pakatan Rakyat Perak mesti mengambil inisiatif tertentu. Sekurang-kurangnya ada 2 pilihan:

Pembubaran DUN

a) Menunggu sehingga kes rasuah kedua-dua Adun ini telah sama ada bersalah atau tidak. Kalau bersalah, PRK akan berlangsung. Kalau mereka tidak bersalah maka status mereka Adun kekal. Cabaran kepada PR Perak sekiranya mereka tidak bersalah ialah mereka tentu sekali membuat roadshow menjaja kelemahan-kelemahan atau isu-isu dalaman kerajaan Perak atau isu-isu dalaman PKR, PAS, dan DAP. Sudah tentu tidak mudah untuk Pakatan Rakyat untuk menangkisnya. Kesannya pada rakyat tentu sukar diramalkan.

b) Membubarkan DUN. Opsyen ini harus dipertimbangkan dengan teliti dan mendalam. Pada hemat saya, kalau kes rasuah kedua-dua Adun itu berakhir dengan keputusan bersalah, DUN tidak perlu dibubarkan. Yang dibimbangkan ialah kes mereka sengaja digugurkan dan mereka tidak bersalah. Ada satu lagi keadaan yang menggusarkan, untuk menunggu kes mereka dibicarakan yang tentunya memakan waktu, dapatkah dijamin tidak berlaku lompatan daripada Adun yang lain.

Jadi, bagi saya, pembubaran DUN adalah opsyen yang tidak boleh diabaikan. Sekiranya keadaan genting, DUN wajib dibubarkan. Kita serahkan semula mandat kepada rakyat Perak.

Trend Pengundi

PRK Permatang Pauh dan PRK36 KT, dan sambutan yang hangat terhadap kemasukan Datuk Nasa ke PKR menandakan arus kecondongan pengundi ke arah Pakatan Rakyat. Senario pada Mac 2008 dengan senario terkini selepas 11 bulan PR berkuasa adalah berbeza. Rakyat dah boleh melihat bahawa Pakatan Rakyat mampu menggantikan BN malah lebih baik lagi.

Dengan keyakinan masyarakat bukan Melayu kepada PR terutama PAS memberi kelebihan kepada PR. Dalam masa sama, UMNO masih dalam mode pemilihan agung. Persaingan antara mereka masih lagi berlaku dan belum reda. Mereka mudah hilang fokus.

Jika dianalisis majoriti yang BN peroleh untuk kerusi-kerusi DUN yang mereka menangi masih banyak di bawah seribu atau ratusan malah puluhan. Banyak DUN yang bahaya kepada BN. Mereka perlu bekerja keras dalam keadaan mereka terpaksa mempertahan diri.

Akhirnya, saya kira Pakatan Rakyat tidak perlu gundah kalau DUN Perak dibubarkan. Kalau PR menang bermakna UMNO dan BN menemui jalan mati. Kalau kalah, PR tidak risau, keputusan itu adalah keputusan rakyat. Yang utama berjuang dahulu dan biarkan Allah menentukan yang terbaik untuk rakyat Perak.
Di Simpang 4, AS,12.40am

02 February, 2009

Dah Terlambat Jamal, Man, Najib ...




Nak komen ringkas je malam ni.

Nampaknya politik Perak kian menarik. Walaupun situasi begitu genting tetapi seakan-akan lawak bodoh.

Kebijaksanaan Speaker Dun Perak dan Nizar, maka secara tiba-tiba kedua-dua exco yang ghaib ini tak semena-mena muncul bak orang baru terlepas lemas air.

Namun segala-galanya telah terlambat. Kedua-dua kerusi yang mereka wakili telah kosong dan hampir pasti PRK akan berlangsung. Sahih atau tidak, nafi atau tidak, kedua-dua Adun ini yang telah ghaib tanpa kesan beberapa hari, tidak menjadi persoalan lagi. Mereka telah tandatangan surat itu. Keputusannya terletak di tangan SPR!

Kepada kedua-dua Adun ini, dinasihatkan agar relakanlah kekosongan kerusi itu kerana anda akan diingati sebagai pejuang parti bukan dilabelkan pengkhianat perjuangan dan amanah rakyat yang anda wakili. Label ini akan kekal sepanjang zaman. Selamatkanlah maruah anak-anak cucu anda. Harta dunia tidak boleh dibawa ke dalam kubur, tetapi jasa baik dan pengorbanan akan kekal sepanjang zaman.

Kegetiran yang anda alami kalau nak dibandingkan dengan penghinaan dan deraan moral dan fizikal yang dialami oleh ketua anda lagi dahsyat. Kegetiran anda hanyalah seperti melukut.

Kepada Najib, bermainlah di padang yang rata dan bersikap cerdiklah dalam strategi. Jika berjaya pun, adakah orang Melayu akan menyanjung dirimu sebagai pejuang yang ikhlas? Anda bermain di tempat dan masa yang salah, apatah lagi melibatkan diri secara langsung.

Mampukah dikau, wahai Najib sekiranya Si Nizar itu membubarkan DUN Perak. Si Nizar telah pun diperkenankan DYMM Sultan Perak mengadap baginda. Apakah makna perkenan itu?

Sudahkah Najib menyemak angka-angka Dun yang BN menangi. Adakah majoriti mereka begitu selesa untuk menghadapi PRK? Telah semakkah dengan saksama trend pengundian terkini? Apakah peluang BN?

Apakah di sebalik semua ini, Anwar, Nizar, TGNA, TGHH, dan LKS serta LGE sedang mentertawakan anda?

Fauzi, Ketua Bahagian Ipoh Barat telah mengeluarkan akuan bersumpah RM50 juta tawaran Najib, dan Exco Kedah, Adun Bukit Selambau telah pun membuat kenyataan media bahawa beliau dan keluarganya diattack dengan hebat oleh UMNO sejak Mac 2008 hingga kini.

Pada saya, bubarkan Dun, Nizar! Biarkan rakyat menentukan pilihannya!

Di Simpang 4, AS, 1230am

01 February, 2009

LGE, Solute!


Khabar yang menggemparkan juga, seorang lagi Adun Perak dari DAP dilaporkan "hilang".

'Kehilangan' mengejut timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Hee Yit Fong telah mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan beliau melompat menyertai MCA.Hee, 46, merupakan Ahli Dewan Undangan (Adun) DAP bagi kerusi Jelapang. Spekulasi tersebut semakin hebat apabila beliau juga tidak hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi.

Namun, DAP mengambil tindakan pantas. Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP, LGE, mengambil pendirian keras bahawa "mana-mana wakil rakyat DAP di Perak yang tidak mengadakan hubungan bagi tempoh 24 jam tanpa sebarang sebab, parti akan mempertimbangkan dengan mendalam untuk memanggil pilihan raya kecil." Baca di sini, {http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/1/mstar_berita/20090201212615&sec=mstar_berita}.

Tindakan LGE ini menunjukkan kematangannya berpolitik demi mengekalkan keutuhan KR Perak.

Agak-agak, apa pula kata Pak Lah dan Najib, mampukah mereka berhadapan sekali lagi dalam PRK. Bahang PRK36 KT masih lagi panas!

Di Simpang 4, AS,11.45pm

Syabas, Kapten (B) Mohd Osman dan Jamaluddin!


Saya akan mengulas subjek ini bahawa tindakan yang diambil oleh kedua-dua exco ini daripada PKR adalah tindakan terpuji, terbaik, dan bijak. Syabas dan terima kasih.

Sesungguhnya Kerajaan Rakyat Perak (KRP) persis "telur di hujung tanduk". Bayangkan jika berlaku 3 Adun PR beralih angin ke BN maka tumbanglah kerajaan ini.

Persoalannya bukan betul atau salah tindakan lompat parti ini, tetapi soal tumbang atau tidak kerajaan. Bagi mana-mana kerajaan Persekutuan akan mengambil apa cara untuk merampas semula. Imej mereka perlu dipulihkan semula. Dalam hal ini, usah marahkan UMNO dan BN, tetapi yang utama ialah sejauh mana komitmen dan keikhlasan dalam perjuangan. Jika Adun-Adun PR tetap istiqamah dengan perjuangan mereka, walau apa pun halangan dan umpanan, mereka tetap akan pilih perjuangan.

Saya berkira-kira mahu mengupas apakah opsyen yang ada yang perlu difikirkan oleh kedua-dua exco itu dalam mempertimbangkan keputusan mereka. Saya kira sekurang-kurangnya ada 3 opsyen:

a) Menerima pelawaan najib untuk menyertai UMNO - habuan dunia diperoleh dan kes rasuah mereka digugurkan. Namun, lebih jauh dari itu, adakah mereka sanggup untuk berhadapan dengan rakan-rakan seperjuangan dalam PR, masyarakat pengundi yang mengundi mereka, dan bukankah tindakan mereka akan dituturkan oleh generasi demi generasi. Sanggupkah mereka?

b) Kekal sebagai exco dan ahli PKR. Memang ini opsyen yang perlu mereka pilih. Namun, dapatkah kita bayangkan apakah perasaan, suasana, dan deraan yang mereka terima selama mereka dikuarantin di Pekan, denagan dikelilingi oleh ATM dan SPRM (mungkin juga SB). Mengekalkan kerusi exco, sedangkan kes mereka akan bermula bulan Februari ini, kesan kes ini kepada parti dan kerajaan, dan keserbasalahan KRP, tentunya mendatangkan kesan yang tidak baik kepada imej parti dan kerajaan Perak. Tidak timbul soal tuduhan kes itu dirancang atau tidak. Mereka telah pun terlibat, sekurang-kurangnya rasuah sex.

c) Tinggal opsyen ke-3 iaitu menyerahkan semula mandat kepada pengundi. Tekanan yang mereka hadapi, kesukaran untuk mengekalkan status quo, komitmen kepada perjuangan, dan akhirnya memeliharan maruah kerajaan negeri, maka tindakan terbaik ialah meletakkan jawatan dan memulangkan kuasa kepada rakyat semula. Maruah diri mereka terjamin, maruah kerajaan terpelihara, dan maruah parti terjaga.

Saya bersyukur kerana kedua-dua pejuang ini memilih opsyen ke-3 yang sekali gus memberi kemenangan moral kepada Datuk Nasaruddin yang secara berani memilih PKR dan menggagalkan komplot yang didalangi Najib sendiri.

Menurut Raja Petra (RPK), yang boleh dirujuk melalui "SanggahTokSago"{http://sanggahtoksago.blogspot.com/2009/02/pendedahan-terbaru-terima-rm10-juta.html}, tawaran keduniaan cukup tinggi, RM10 juta seorang, dan Datuk Nasa ditawarkan jawatan tertinggi, MB Perak.

Esok, Speaker DUN akan memaklumkan kekosongan kerusi Dun Behrang dan Cangkat Jering. Sama-samalah kita saksikan ke manakah arah yang akan dipilih oleh pengundi di kedua-dua Dun ini. PRK ini akan menjadi penanda aras terhadap masa depan Pakatan Rakyat dan juga UMNO.

Di Simpang 4, AS, 11.05pm.

Najib Gagal Di Perak


Iklim politik Perak memang panas! Berbahang! Dan muka Najib merah padam!

Buletin Utama, TV3, sekejap tadi, memberitakan bahawa kedua-dua exco PKR yang didakwa akan melompat ke BN telah pun menghantar SURAT LETAK JAWATAN sebagai Adun negeri Perak kepada Speaker DUN.

Akhirnya, teka-teki terjawab.

Dengan berita ini, kalau benar, bermakna Kerajaan Pakatan Rakyat Perak terselamat, dan saya kira kedua-dua exco telah bertindak bijak.

Saya akan ulaskan nanti mengapa saya katakan tindakan diambil oleh kedua-dua exco ini sebagai BIJAK.


Di Simpang 4, AS, 8.50pm