24 December, 2009

Wajarkah Kenyataan MB Terengganu Ini?

Salam.

Satu lagi ulasan ringkas.

Ahmad Said, bukan YB junior, dah terlalu veteran. Nilaikan apabila beliau menuturkan dan mengkritik ADUN-ADUN yang mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan negeri terutama tentang pemberian kontrak secara runding terus dan sejauh mana berkebajikan sesuatu projek kepada rakyat, Ahmad Said menduh ADUN-ADUN ini menggunakan hak keistimewaan Dewan untuk mengkritik secara sewenang-wenangnya. (link)

Ahmad Said meminta ADUN-ADUN ini bercakap di luar dewan atau melapor terus kepada SPRM.

Kalau begitu, tidak payah ada sidang dewan dan buang terus hak-hak keitimewaan dewan, dan dirikanlah kerajaan sendiri. Itu hak ADUN dan perlu dihormati dan dijunjung, dan mereka berhak untuk mendapat penjelasan yang memuaskan hati mereka.

Apa yang jelas ialah Ahmad Said gagal sebagai sebagai ahli politik, sebagai ADUN, dan sebagai MB, dan menggambarkan betapa dangkalnya dia dalam menangani sesuatu asakan yang menyangkut kredibiliti dirinya.

Penswastaan Air Kedah: Perangai UMNO ditiru?


Salam.

DS Azizan, MB Kedah, salah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat, yang mottonya "Ketuanan Rakyat", menjelaskan bahawa penswastaan bekalan air negeri Kedah telah hampir selesai.

Kata beliau, "penswastaan pengurusan bekalan air yang akan diuruskan Syarikat Air Darul Aman (Sada) di negeri ini, akan bermula Januari tahun depan." (link)

CEO pun telah pun dilantik. Para pekerja diberi opsyen sama ada terus kekal dalam pengrusan baru atau bersara secara pilihan.

Yang tidak seronoknya, langkah UMNO dalam hal penswastaan cuba ditiru atau diguna pakai. Cuba teliti kata-kata DS Azizan, "Ia terpulang kepada pengurusan baru, mungkin ada penambahan (kenaikan), tapi harap tidak membebankan rakyat dan kerajaan negeri."

Ayat-ayat apologetik dan sebijik macam cakap-cakap UMNO ialah "tapi harap tidak membebankan rakyat dan kerajaan negeri". Ayat apa ni, kalau dah ada kenaikan, natijahnya pasti membebankan rakyat. Ini mantiq yang keliru dan kontra.

Untuk makluman, Kerajaan PAS Kedah adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat, yang diberi undi oleh rakyat supaya legitimasi UMNO dikuburkan, dan yang utama ialah segala polisi yang akan diluluskan dan diguna pakai wajib mempertimbang bebanan rakyat maknanya rakyat didahulukan.

Peringatan untuk PAS Kedah, jangan ulangi kesilapan PAS Terengganu. Jangan sampai rakyat menggunakan "power" pada PRU13 nanti.

Taman Pertama, Sabak Bernam

21 December, 2009

Antara Blogger Parti dan Blogger Bebas


Salam.

Telah berlangsung satu konvesyen yang namanya, Konvensyen Blogger PAS kelmarin, yang dirasmikan sendiri oleh Tuan Presiden, TGHH. (link).

Saya akan petik dan ulas secara bebas sekiranya saya rasa perlu.

Kelab Greenboc, Pak Bakaq (Penarik Beca), Tulang Besi, dan lain-lain melahirkan kebimbangan akan adanya usaha untuk "tune-up" para blogger, khususnya yang memegang pasport PAS. Istilah yang digunakan ialah "memBTNkan" dan juga "blogger batang pisang". Menurut Presiden, oleh sebab peranan Blogger akan signifikan pada masa-masa mendatang, maka katanya Presiden para blogger PAS ini perlu ditanzimkan (diorganisasikan).

Memang sama ada ditanzimkan atau tidak, itu adalah hak parti untuk mendidik ahlinya supaya setiap tindak-tanduk blogger PAS harus serasi atau selari dengan kehendak parti. Itu hak mereka. Kita harus hormati itu.

Namun, yang menjadi kebimbangan para blogger, yang juga ahli parti atau penyokong parti atau penyokong PR ialah konvensyen ini lahir tidak secara alamiah (natural). Konvensyen ini lahir akibat daripada pendedahan para blogger soal selingkuhan pimpinan peringkat tinggi PAS dengan UMNO atau tindak-tanduk pemimpin PAS yang dilihat mampu mencederakan sesebuah kerajaan PR (dengan rujukan di Selangor), dan melahirkan suatu persepsi bahawa PAS sebuah parti yang tidak amanah (dilihat sebagai mengkhianati sokongan pengundi).

Pendedahan para blogger ini telah menggoncangkan PAS sehingga TGNA menggesa supaya diadakan satu EGM yang akhirnya dilunakkan dengan satu seminar (memperkasa PAS).

Latar yang mendorong Mursyidul Am menggesa agar satu EGM diadakan ialah selain pendedahan para blogger tentang selingkuhan atau tindakan menikam belakang di Selangor (natijahnya PAS kalah teruk di Bagan Pinang) ialah bagaimana pimpinan tertinggi PAS memberi reaksi terhadap teguran dan nasihat daripada Prof Aziz Bari.

Satu kesimpulan yang dapat saya buat ialah setiap kritikan atau pendedahan oleh blogger terhadap PAS diberi reaksi yang negatif dan dilabelkan sebagai fitnah. Ini menunjukkan pimpinan PAS gagal menyerap teguran dan nasihat dan menganggap sebagai tindakan mereka betul belaka. Kerana apa? Kerana mereka diberi title ulama dan uztaz.

Ini menunjukkan juga bahawa pimpinan PAS kini takut apabila diri mereka diletakkan di dalam cermin. Untuk menghancurkan cermin itu, isu wala' di ketengahkan - sedangkan wala' ini harus dibincangkan supaya selari dengan sejarah kenabian dan khulafak.

Kesan Blogger Ditanzimkan

a. Dari segi positifnya ialah blogger menjadi benteng pertahanan parti daripada serangan dan penyambung misi dan perjuangan parti. Namun, ada syaratnya. Syaratnya ialah tidak taksub kepada individu.

b. Negatifnya ialah para blogger yang telah "ditune-up" akan tetap menyokong segala tindakan pimpinan tanpa mengira kesannya pada perlembagaan parti, dan pada strategi semasa untuk survival parti.

c. Para blogger ini akan menjadi serba salah apabila akhirnya mereka menyedari bahawa mereka telah diperalatkan, tetapi mereka telah "ditune-up" supaya wajib wala'.

Peranan Blogger Bebas

Secara peribadi, saya berkongsi rasa yang sama dengan Pak Bakaq dan GB, bahawa yang akhirnya muncul ialah ketaksuban. Sekurang-kurangnya ada 2 insiden yang dapat kita nilaikan bersama:

a. Reaksi pimpinan PAS dan para blogger yang menganggap diri mereka ahli PAS tulen terhadap pendedahan insiden selingkuhan dan tikam belakang oleh Hassan Ali dan gengnya di Selangor.

b. Bagaimana para blogger yang mendakwa memegang pasport PAS seumur hidup terhadap isu Ariffahmi di Kelantan. Blogger ini menganggap menyerang Ariffahmi sebagai menyerang Tok Guru dan juga menjatuhkan Tok Guru dan dilabel sebagai agen musuh. Isu tidak dinilai secara adil, tanpa hujah konkrit, dan seolah-olah berlaku pendewaan. Pada saya, salah, tetap salah. Telitikan posting GB di sini

Saya lanjutkan sedikit, dalam isu Ariffahmi, Tok Guru harus memikul kekhilafannya dalam melantik menantunya, dan telah pun ditimbulkan olehanaknya, Nik Abduh. Pembantunya Nik Aziz khususnya, LA gagal melihat isu moral di sebalik kehalalan undang-undang, dan pembantu lain yang "malu alah". Dan, yang akhirnya ialah Ariffahmi sendiri. Dia sepatutnya boleh membuktikan dirinya sebagai profesional yang visionistik dan inovatif dan bersemangat di lapangan lain, bukan di PBMK. Di sini, sebenarnya lapangan penuh duri, dan anda mesti akhirnya terluka, bukan sahaja terhadap diri sendiri, tetapi membabitkan mentuanya dan PAS sendiri.

Rumusan

Akhirnya, usah mengeluh Pak Bakaq dan GB, peranan kita ialah sebagai "watchdog" dan dari sinilah akan munculnya "check and balance".

Saya berharap, konvensyen ini akan bergerak atas landasan Islam, bukan institusi atau individu. Jauh daripada itu, saya mendoakan para blogger PAS yang telah dikonvensyenkan itu dijauhkan daripada sifat ketaksuban, dan mampu meletakkan Islam atas segala-galanya.

Kamal Lodge, Taiping, 1045am

09 December, 2009

Kini Giliran Najib Pula Berbahang


Salam.

Apa khabar PM kita, Najib? Apa khabar, setpol beliau, Datuk Shafie Abdullah? Najib menyindir TGNA tentang doanya. Agaknya, ketika ini apa pula pandangan Najib tentang doa TGNA tersebut?

Kenapa saya kaitkan doa TGNA dengan situasi terkini Najib khususnya nasib yang akan menimpa setpolt beliau?

UMNO dengan medianya telah begitu "spinning" dengan isu CEO PBMK dan isu desakan supaya TGNA meletakkan jawatannya sebagai BM Kelantan. Terkini, media perdana memfokus terhadap doa TGNA.

Maknanya, TGNA diserang hebat. Dan ini tentunya dengan restu Najib sebagai Presiden UMNO dan PM Malaysia.

Muncung senjata mereka kini telah mulai beralih arah! Menghala ke arah Presiden mereka merangka PM.

Bayangkan kalau disenaraikan butiran salah guna kuasa yang dilakukan oleh setpolnya sehingga dilabelkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, sebagai Menteri de facto Wilayah Persekutuan. Sebahagian butiran salah guna kuasa itu boleh dibaca di sini.

Kalaulah Polis dan SPRM benar-benar profesional, saya agak pasti salah guna kuasa ini dapat dibuktikan. Namun, yang penting kini, bukanlah bukti, tetapi pendedahan sehingga setpol ini akan disiasat oleh Jawatankuasa Khas Dewan Parlimen sebagai akibat daripada gangguannya terhadap AP Wangsa Maju. Berita lanjutnya di sini.

Najib sesungguhnya, sekurang-kurangnya diasak hebat dengan isu PKFZ, isu GST, kehadiran semula P.Bala (yang mengaitkan adiknya sendiri, Nazim), kemelut MCA, akhirnya isu rasuah dan salah guna kuasa sekitar setpolnya, mampu menyebabkan PM kita, Najib tidak lena tidur.

Jadi, jika difikir secara sekular memang doa TGNA seolah=olah seperti peluru angin, namun bagi orang-orang yang melihat doa ini secara batin dan spiiritual, sesungguhnya telah mulai menebarkan racun bisanya.

Sekali lagi, apa khabar Najib, dan apa khabar Shafie? Rasailah pula seperti yang dirasai dan dialami oleh TGNA apabila anda menyerang hebat beliau.

Simpang 4, AS, 2.30am

07 December, 2009

Nampak Gaya Mahfuz Bermain Api ....


Salam.

Memang dalam dua tiga hari ini terasa ingin mengulas tentang isu Ariffahmi. Namun didiamkan sahaja. Keinginan ini datang bila membuka blog Sheih Kickdefella pada 3 Disember.

"Sandiwara di Kelantan", itu tajuk postingnya (link). Marah terasa juga kerana masih "kenen" Tok Guru Nik Aziz. Namun, blog adalah hak peribadi, penyataan rasa dan penelitian yang personal terhadap sesuatu isu. Kita hanya setakat boleh memberi pandangan dan nasihat. Selebihnya, beliau kena ambil pertanggungjawaban.

Posting Sheih pada sebelah pagi.

Dan pada petangnya, Ariffahmi membuat statement tentang penjadualan perletakan jawatannya. Katanya, surat akan dihantar pada 24 Disember, dan mengikut terma perjanjiannya memerlukan tempoh 3 bulan untuk beliau benar-benar melepaskan jawatannya, iaitu pada 24 Februari 2010 (link).

Katannya lagi, semua itu telah dibincangkan dengan Tok Guru dan Lembaga Penasihat PBMK.

Persoalannya, beliau akan melepaskan jawatannya pada 24 Februari 2010. Dan ini semacam selari dengan kemusykilan Sheih Kickdefella yang mengatakan bahawa Ariffahmi tidak akan melepaskan jawatannya dalam tempoh terdekat ini.

Jadi, apa kesannya?

Saudara Mahfuz nampak akan kesan buruknya. Kerana itu menyarankan supaya Ariffahmi melepaskan segera jawatannya, tidak perlu menunggu 3 bulan (link).

Seharusnya, Tok Guru dan Lembaga Penasihat PBMK mencari jalan terbaik untuk menamatkan isu kronisme ini. Kalau PBMK perlu membayar sejumlah wang maka bayarkanlah.

Khalayak akan bertanya mengapa perlu menunggu 3 bulan? Pertanyaan-pertanyaan yang sukar untuk dijawab ini akan berputar-putar di media perdana dan media alternatif. Isu ini akan menjadi berjela-jela dan tidak mustahil akan kembali panas. Kita tidak tahu dengan pasti apa yang akan berlaku dalam tempoh 3 bulan itu. Apabila ini berlaku, isu ini begitu mengganggu.

Maka saya bersetuju sangat dengan saranan Mahfuz ini supaya Ariffahmi SEGERA MELEPASKAN JAWATANNYA. NOKTAH. DAN CEO BARU MASUK PEJABAT PBMK.

Mengapa tajuk di atas saya pilih?

Kerana saya pasti, selepas ini Mahfuz mesti akan kena hentam oleh blogger-blogger tertentu.

Kerana saranan Mahfuz ini sejalan dengan saranan Kickdefella.

Dan kerana Mahfuz nampak seperti menyokong Kickdefella yang mereka istilahkan sebagai "biawak" dan "bokbong" ....

Pendiriannya jelas. Kalau salah, tetap salah. Cuma yang berbeza ialah cara atau pendekatan untuk menyatakannya.

Saya juga berpendirian, yang diutamakan ialah isi atau content penyataan, bukan orangnya. Niat dan orangnya bersifat sekunder. Kini, sokongan memerlukan hujah!

Begitu juga sikap saya terhadap Geng UG - saya bukan membenci batang tubuhnya tetapi yang saya tidak bersetuju ialah soal "bersama dengan UMNO".

Akhir kalam, saya sangat-sangat berharap agar Ariffahmi diarahkan berhenti serta merta. Ini kerana banyak isu lain yang menuntut perhatian tuntas.

Simpang 4, AS, 11.00pm

02 December, 2009

Isu PBMK: TGHH benar, Siapa yang Salah?




Salam untuk pengunjung.

Isu Ariffahmi dan PBMK sehingga kepada isu mendesak Tok Guru Nik Aziz meletakkan jawatan menjadi panas apabila Sheih Kickdefella dipecat serta merta daripada jawatan Pengarah Perhubungan Korporat PBMK setelah SPRM bergerak masuk ke PBMK.

Ekoran pemecatannya, beliau (Sheih Kickdefella) mendedahkan beberapa perkara yang berkait dengan salah urus PBMK. Soal benar atau tidak, kita tunggulah kertas siasatan disempurnakan oleh SPRM.

Isunya ialah Ariffahmi ialah menantu Tok Guru dan Tok Guru sendiri sekali gus sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PBMK.

Isu menjadi panas - lalu Tok Guru dengan bantuan nasihat daripada geng Tuan Presiden yang turun ke Kota Bharu menasihatkan Ariffahmi meletakkan jawatan, dan dipersetujui oleh Ariffahmi.

Kewajaran Ariffahmi Dilantik sebagai COO dan CEO PBMK

Pada saya jelas, walau apa hujahnya, Ariffahmi sewajibnya menolak pelantikan ini walaupun dirayu atau dipujuk. Kerana, ini akan menimbulkan banyak konflik kepentingan.

Soalnya mengapa Ariffahmi bersetuju?

Menurut Nik Abduh, beliau sendiri pun membantah (link). Namun, sikap ini bertentangan dengan sikap dan penerimaan Nik Amalina (link), isteri Arifffahmi dan Ariffahmi sendiri.

Sepatutnya, Nik Abduh bersifat tekal dan meminta agar adiknya dan adik iparnya menolak pelantikan ini. Namun yang berlaku di sebaliknya, akur dengan kehendak ayahandanya dengan nasihat tertentu, sedangkan tindakan penerimaan itu telah membuka ruang firnah yang cukup luas.
Tindakan yang betul ialah memberikan sokongan sewajarnya supaya Ariffahmi membuka syarikat sendiri yang bebas daripada ikatan kerajaan Kelantan. Menurut isterinya, Ariffahmi seorang yang berkaliber dan berwawasan. PBMK bukan tempat Ariffahmi.

Begitu juga dengan barisan Exco Kelantan dan PAS Kelantan, seharusnya mereka tegas dan menolak sama sekali.

Maka, saya simpulkan ini sebenarnya KEGAGALAN ahli keluarga Tok Guru, KEGAGALAN barisan Exco Kelantan dan KEGAGALAN PAS Kelantan dalam membendung niat ikhlas Tok Guru Nik Aziz.

Dengan peletakan jawatan Ariffahmi ini, sebenarnya, reputasi Tok Guru dan PAS Kelantan pulih semula. Isu ini memang pedih bagi Tok Guru, tetapi sebenarnya dapat membersih semula imejnya.

Kerana itu, saya dapat menerima pandangan TGHH dalam kenyataan beliau bahawa "apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru" (link).

Siapa yang dimaksudkan itu, tidak perlulah saya mencarinya, orang-orang berkenaan, telah pun dihantui rasa bersalah dalam senyap. Hanya kemujuran berlaku, Tok Guru telah bersikap profesional, dan tidak menuding jari kepada sesiapa.

Secara tersirat sanggup menerima pertanggungjawaban eksekutif - walau anak buah yang khilaf dalam nasihat, tetapi kerana beliau yang mengambil keputusannya, maka sebagai sebagai seorang ketua, beliau wajib bertanggungjawab. Ini satu sikap terpuji!
Simpang 4, AS 3.00pm

23 November, 2009

Isu PBMK Selesai, Selamatkah Husam?


Salam untuk semua.

Isu PBMK telah tamat. Sekiranya ada agenda di sebalik isu untuk menjejaskan PAS Kelantan, bolehlah kita katakan mereka yang beragenda ini telah gagal.

Namun, satu nama yang dikaitkan dengan kemelut ini ialah Husam.

Saya percaya, kemelut ini tidak akan berakhir begitu sahaja cuma wajah dan plotnya berbeza. TGNA dalam menafikan berita bahawa ura-ura Husam mahu meletakkan jawatan sebagai exco dan jawatan lain dalam PAS Kelantan, telah menjawab teka-teki selama ini iaitu mengapa TGNA dilihat begitu rapat dengan Husam.

TGNA, tanpa apologetik menegaskan bahawa Husam merupakan sosok yang cerdik dan berpandangan jauh, dan TGNA memperakukan bahawa jasa Husam terhadap kerajaan PAS Kelantan begitu besar.

Kesan pengakuan TGNA ini tentunya tidak terjangka.

Dengan sosok sebegini, tentulah tidak sukar untuk kita jangkakan tentang adakah Husam disenangi atau tidak oleh rakan-rakan pimpinan baik di peringkat Kelantan atau Pusat.

Kerusi MB Kelantan menjadi idaman, dan masing-masing berasakan diri layak. Oleh sebab Husam dilihat rapat dan dipercayai oleh TGNA, cap mohor yang diperakukan oleh mentornya itu akan dibaca sebagai satu isyarat yang tepat ke kerusi MB Kelantan.

Dengan ketekalan pendirian Husam terhadap perlunya pengukuhan PR dalam menentukan survival PAS dalam meniti masa-masa politik nasional maka Husam tidak disenangi oleh banyak pihak sama ada dalam PAS sendiri dan juga di pihak UMNO (kerajaan).

Cuba kita perhatikan pemberitaan portal berita yang proUMNO, yang secara jelas dalam tajuknya seolah-olah memperkecil atau memperbodoh keputusan TGNA menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan CEO PBMK. TGNA cuba digambarkan mementingkan Husam daripada menantunya. Keprofesionalan TGNA sebagai pemimpin dan pentadbir diperlekeh. Portal ini sengaja tidak melihat atau memfokus kepada isu sebenar.

Dan saya berkongsi rasa dan pendirian yang sama dengan Pak Bakaq, Penarik Beca, bahawa selepas ini harimau-harimau luka, akan lebih terluka, dan siap akan menerkam Husam bila-bila masa terluang atau lalai.

Maka, bersedialah kamu Husam.

Salak Tinggi, Selangor, 11.54pm


Ariffahmi dan PMBK: Alhamdullilah, Dah Selesai


Salam untuk semua.

Benarlah seperti yang terdetik di hati saya bahawa akhirnya TGNA akan bertindak demi untuk PAS.

Sepatutnya hal ini telah berlaku lama sekiranya PAS Kelantan berani dan jujur serta membuang sikap "malu alah" kepada TGNA. Kronisme harus dielak kerana akhirnya akan mempalitkan organisasi.

Tahniah kepada TGNA dan tahniah juga kepada Ariffahmi kerana berjiwa besar dalam mempertahan imej mentuanya sebagai Pengerusi PMBK dan Menteri Besar Kelantan serta sebagai Mursyidul Am PAS melalui perletakan jawatannya sebagai CEO PBMK.

Kedatangan TGHH, Dr Haron Din, Salahudin, dan Dr Hatta, saya rasakan lebih kepada sokongan moral, memberi input, lagi pun nama TGHH dan Salahudin muncul dalam kemelut tersebut.

Salak Tinggi, Selangor, 4.45pm

Kemelut Ariffahmi dan PMBK: Mencari Setitik Kewarasan

Semuanya bermula sejurus selepas SPRM memasuki PMBK, Syed Azidi atau Blogger Kickdeffela, ditamatkan kontraknya ( 10 November 2009 ) serta merta oleh PMBK sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK.

Dalam ulasan ini, saya akan merujuk kepada blog-blog tertentu, iaitu blog Syed Azidi sendiri, blog Saynotomunafiqeen (Pemburu Syahid), dan blog Perisik Rakyat.

Latar cerita sebenar saya tidak ketahui, Syed Azidi tidak saya kenal, Pemburu Syahid tidak saya kenal, Perisik Rakyat tidak saya kenal, begitu juga Ariffahmi, dan begitu juga Husam.

Saya akan ulas mengikut perspektif saya berdasarkan bacaan saya terhadap posting ketiga-tiga blog tersebut dan blog lain berkaitan isu ini. Tentang Husam pula, saya akan gunakan naluri peribadi saya, selain weblognnya, Husam Musa’08.

Perkara Asas

Perkara asas yang perlu diakui ialah dengar dan teliti apa yang dikatakannya bukan melihat pada orangnya. Hatta jika orang itu orang buta, kalau yang diperkatakannya adalah perkara yang baik, kita seharusnya menghargai dan diambil perhatian. Ini ajaran Nabi kita. Ingat cerita Si Hitam, Bilal bin Rabah.

Menurut Syed Azidi, sejak dia memulakan tugasnya di perbadanan tersebut, dia telah dimaklumkan akan ketidaksenang-hatian CEO perbadanan itu. Apa yang fahami, Syed Azidi dilantik sebagai Pengarah Perhubungan di sini dengan bertanggung jawab terus kepada Husam Musa sebagai Exco. Maknanya, beliau tidak tertakluk kepada CEO perbadanan ini.

Sengketa peribadi antara Syed Azidi dan CEO, Abdul Ariffahmi bin Ab Rahman, menantu TGNA tidaklah diketahui. Cuma mereka berdua sahaja yang tahu. Ketidakpuashatian Ariffahmi terhadap Syed Azidi mungkin tentang prestasi kerja, sikapnya, atau pemikirannya (atau ideologi), hanya Ariffahmi sahaja yang tahu. Begitu juga ketidakpuashatian Syed Azidi terhadap CEO ini, hanya Syed Azidi yang tahu.

Namun, apabila Syed Azidi ditamatkan kontrak serta merta dan dalam pengetahuan Pengerusi Perbadanan, TGNA sebagai MB, saya dapat mencium bahawa persengketaan ini adalah serius dan tentang sesuatu yang juga serius. Serius maksudnya mampu merosakkan PAS sebagai sebuah kerajaan, sebagai sebuah parti, dan menjejaskan reputasi MB (mentuanya sendiri).

Ariffahmi Dari Sudut Syed Azidi

Insiden yang membongkar isu-isu dalaman PMBK yang khususnya berlegar soal Ariifahmi ialah isu tajaan haji kepada TGNA. Pada awalnya TGNA bersetuju, tetapi setelah tajaan ini menjadi isu yang terkait juga soal hadiah dan rasuah maka TGNA membatalkan hasrat tersebut.

Bermula dari sini, Syed Azidi melalui blognya mendedahkan beberapa tindakan yang diambil oleh Ariffahmi boleh menjejaskan reputasi PMBK dan TGNA sendiri selaku Pengerusi PMBK, dan sebagai mentuanya. Boleh rujuk di sini.

Yang terbaru ialah bagaimana PMBK mengendalikan Kifalah Sdn Bhd dalam pembayaran pampasan Skim Takaful Kifalah untuk warga tua dan OKU. Kenapa operasi pembayaran itu tersekat-sekat, juga didedahkan dalam blognya.

Seingat saya, skim takaful ini dirintiskan oleh Husam, dan pada awalnya diselaraskan oleh Sarifudin Nasution. Kemudian, apabila Sarifudin diaktifkan semula dalam PKR oleh Anwar Ibrahim, skim ini diuruskan oleh pihak lain. Seingat saya, MSO pernah mengulas tentang kelembapan dan rasa tidak puas hati pihak pimpinan tempatan terhadap pengendalian pembayaran pampasan takaful ini.

Saya tidak berniat untuk mengupas satu persatu, namun, apa yang dapat saya rumuskan, ialah:

a) Ariffahmi Sebagai CEO PMBK, Sebagai Menantu TGNA (MB dan Pengerusi PMBK)

i) Secara prinsipnya, pelantikan ini menyalahi moral dan mudah menjadi isu.
ii) Barangkali kerana disahkan dan dipersetujui oleh jemaah exco maka TGNA menerima pelantikan tersebut.
iii) Barangkali, pada pandangan (naluri) TGNA, pengurusan PMBK di bawah menantunya tidak akan timbul soal penyelewengan atau salah guna malahan akan lebih berusaha untuk memajukan PMBK.

Saya berasakan jika apa yang dihasratkan oleh bapa mentuanya dapat direalisasikan dengan baik oleh Ariffahmi, permasalahan dan kemelut serta isu terkini yang membelit dirinya tidak akan tercetus - kini SPRM sedang menyiasat dirinya.

Jadi, apa yang dibimbangi telah berlaku. Walaupun, penyiasatan belum selesai, Ariffahmi belum pun diketahui nasibnya sama ada bersih atau tidak, hal ini mahu tidak mahu akan menjadi beban kepada PAS Kelantan.

b) Peranan PAS Kelantan?

Saya dapat mencium daripada posting terbaru Syed Azidi dalam menjawab Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan bahawa Syed Azidi mempersoal sejauh mana PAS Kelantan berperanan dalam menyelesaikan kemelut ini.

Apabila saya mula mengikuti blog Kickdeffela ini, permasalahan ini telah lama berlaku. Dan JIKA BENAR, hal ini berlaku, mengapa PAS Kelantan tidak bertindak?

JIKA TIDAK BENAR, mengapa hal ini dibiarkan berlarutan, dan akhirnya meletus menjadi barah kepada PAS Kelantan. Jika sekiranya, Syed Azidi hanya berhalusinasi, Syed Azidi harus dinasihati, atau jika enggan ditamatkan kontraknya.

Kalau benarlah apa yang didedahkan oleh Syed Azidi, beliau perlu disokong kerana kedudukan Ariffahmi sebagai menantu TGNA berada pada posisi yang kuat dan dipercayai TGNA, tetapi dalam masa yang sama mengambil kesempatan terhadap kepercayaan mentuanya untuk memprojeksi dirinya dan melebarkan unsur-unsur "kronisme" dalam mengurus PMBK.

Akhirnya, jika ini tidak diperbetulkan, icon TGNA dan PAS Kelantan akan terjejas teruk.

c) Serangan Peribadi dan Husam

Kita yang mengaku menjadi ahli PAS dan penyokong setia PAS, jangan pula dalam bertindak menjadi seperti UMNO. UMNO bertindak memenjarakan pelapor rasuah, orang yang didakwa melakukan rasuah tidak disiasat dan dibiarkan bebas.

Keadaan ini sama dengan yang dihadapi oleh Syed Azidi. Saya hanya mengambil satu contoh, bagaimana Pemburu Syahid melabelkan Syed Azidi. Pemburu Syahid tidak memfokuskan kepada isu-isu yang diutarakan oleh Syed Azidi tetapi menggali apa yang tersirat dan menyerang peribadi Syed Azidi. Yang terbaik bagi Pemburu Syahid ialah mencari maklumat benar atau tidak dakwaan Syed Azidi dan cuba membersihkan Ariffahmi.

Melabelkan Syed Azidi dengan pelbagai label, sedangkan hak itu ialah hak Allah, memperlihatkan diri kita yang sebenarnya. Kini zaman faktual dan hujah. Hujah serangan peribadi, hujah lapuk, yang kita perlukan hujah faktual.

Bertindak membersihkan Ariffahmi bermakna menyelamatkan TGNA. Hanya dengan mempersoal motif, tanpa berhujah dengan fakta-fakta, anda sebenarnya tidak menyelamatkan TGNA, tetapi membiarkan TGNA terus terpalit dengan isu menantunya.

Husam dikaitkan dengan tindakan Syed Azidi hanya atas fakta bahawa Syed Azidi bertugas atau bertanggungjawab kepada Husam.

Siapa Husam sebenarnya kepada Pemburu Syahid?

Yang perlu difikirkan ialah mengapa Husam memilih Syed Azidi sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK? Mengapa bidang tugasnya dan laporan tugasannya tidak dipertanggungjawabkan kepada Ariffahmi tetapi kepada beliau sendiri?

Saya sendiri tidak dapat membaca mengapa Husam memilih Syed Azidi dan apakah muslihat atau strategi Husam. Namun apabila saya meneliti posting-posting Syed Azidi dalam blognya, saya dapat mengesan bahawa Syed Azidi memiliki kebolehan analisis yang agak tajam dan kritikal. Saya berasakan Husam dapat mengesan kebolehan Syed Azidi ini dan mengeksploitnya, dan tentunya untuk strategi PAS Kelantan. Husam, sebagai seorang pejuang PAS dan anak didik TGNA yang dianggap sebagai bapanya sekali-kali tidak akan membazirkan wang rakyat kalau beliau tidak nampak bahawa Syed Azidi boleh menyumbang untuk PAS Kelantan.

Bagi sesiapa yang tidak mengenali Husam, cuba baca apa yang ditanggapi TGNA tentang Husam. Rujuk di sini.

Dalam konteks, Ariffahmi sebagai CEO PMBK, saya berasakan Husam maklumi apa yang berlaku, namun, apa yang dapat saya rasakan Husam didepani halangan yang kuat untuk menyelesaikannya secara individu dengan TGNA. Saya tidak mahu membuat spekulasi. Jadi, dalam hal Husam tidak berdaya ini, tentulah Husam mengharapkan Badan Perhubungan PAS Kelantan bertindak.

Kelihatannya, PAS Kelantan gagal berperanan, maka saya rasakan Syed Azidi sebagai individu telah mengambil keputusan untuk bertindak, itu pun selepas beliau ditamatkan kontrak.

Akhir Kalam

Kewarasan bermakna menilai sesuatu isu tanpa prejudis dan menilai isu dalam kerangka yang lebih besar dan prinsipal tanpa elemen personal.

Saya ulangi, kalaulah benar seperti yang didedahkan oleh Syed Azidi, walaupun pahit dan pedih maka TGNA perlu dinasihatkan dan diberikan fakta-faktanya sebagai input untuk membantu beliau membuat keputusan. Jangan biarkan TGNA terkatung-katung kesorangan.

21 November, 2009

Reaksi 2: Kekinian, PAS dan Persepsi [ Latar Belakang ]

Reaksi 2: Kekinian, PAS dan Persepsi [ Latar Belakang ]

Latar Belakang

Apabila saya sambil secara santai berinteraksi dengan kekawan tentang arus kebangkitan politik mutakhir Malaysia - kekawan ini pula terdiri pelbagai bangsa, sekurang-kurangnya Cina, dan India - saya boleh membuat kesimpulan:

a. Pengenalan politik tidak seharus lagi berdasarkan kaum.
b. Setiap tindakan politik haruslah berdasarkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
c. Kunci kestabilan politik Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan sosioekonomi orang Melayu sebagai penduduk teras Malaysia.

Sembang-sembang ini juga membawa beberapa signifikasi tertentu:

i. Tentangan terhadap teori kerajaan Theokrasi, kalau dulu amat ditentang oleh DAP khususnya pengerusinya, Karpal Singh, mulai lunak.
ii. Penduduk bukan Melayu mulai memahami dan mereka mula beradaptasi dengan politik PAS.

Secara ringkasnya, kalau boleh saya membuat analogi dan generalisasi, bahawa gagasan politik yang cuba dijayakan oleh Anwar Ibrahim mulai mendapat tempat dalam kalangan generasi pertengahan dan muda.

Situasi Terkini UMNO/ UBN

Kalau menelaah politik UMNO kini, pemimpin mereka masih terkial-kial untuk mencari jalan keluar daripada perangkap gua gelap yang sebenarnya hasil daripada ciptaan mereka sendiri.

Pak Lah yang dikatakan menjadi penyumbang utama kekalahan memalukan UBN dalam PRU12 telah pun berjaya diasak keluar daripada kerusi empuk Putrajaya. Kini, Najib yang mengemudikan UBN dan negara.

Kepimpinan Najib sedang diuji sebenarnya. Sebenarnya terlalu banyak hal yang perlu diruskan oleh Najib - dari soal pengurusan ekonomisehingga memperkukuh parti-parti komponennya - MIC dan terkini MCA. MCA kini yang didakwa oleh presidennya dalam proses perekayasaan, namun pada hakikatnya sedang berhadapan dengan jalan mati dan "mendalamkan kuburnya sendiri".

Yang terkini, Najib rasanya sedang diancam kegelisahan yang kritikal akibat pendedahan RPK melalu 5 siri temu bualnya dengan P.Bala. Bala sedang menyediakan ramuan racun untuk Najib. Bukan sahaja menyangkut isteri tercintanya, Rosmah, tetapi mula menyeret sama adik korporatnya, Nazir.

Dalam keadaan begini, sebenarnya, Najib mudah hilang fokus khususnya dalam "grand design"nya untuk merampas Selangor dan Kedah daripada Pakatan Rakyat.

Memahami Senario Engagement dengan UMNO

Ulasan santai ini saya sumberkan daripada "rakaman audio Us Nasha" (rakaman 2) yang dipostingkan oleh Tulang Besi.

Kepada saudara Tulang Besi, sekalung tahniah dihulurkan, kerana dengan pendedahan ini, membolehkan pendokong PAS, dan PR dapat memahami perkara sebenar soal "engagement" ini, dan masing-masing bebas untuk membuat interpretasi masing-masing.

Interpretasi Saya:

Saya agak hairan apabila AJK PAS Pusat bermesyuarat di Kota Bharu sejurus selesainya PRU12, dan ketika ketiga-tiga parti PAS, PKR, dan DAP sedang begelut dengan perasaan terkejut dengan kemenangan yang mereka peroleh serta terkial-kial dalam membentuk kerajaan negeri di Kedah, Perak, dan Selangor, boleh timbul idea untuk MERUNDINGI UMNO.

PAS ketika ini, sebenarnya masih terikat dan perjanjian Pakatan Rakyat. Nampak PAS begitu tergesa-gesa dalam mempertimbang sesuatu tindakan, yang kesannya juga tidak TERJANGKA.

Yang menghairankan lagi ialah keputusan yang dibuat itu tanpa merujuk kepada TGNA sebagai Mursyidul Am. Dikatakan, TGNA tiada dalam mesyuarat sepenting itu, dan hanya dimaklumi kemudian.

Harus dimaklumi bahawa wujud perbezaan yang jelas antara hadir dalam mesyuarat dengan dimaklumkan kemudian. Apabila dimaklumi kemudian, sedangkan keputusan telah pun diambil, apakah yang mampu dilakukan oleh beliau, kalau beliau tidak bersetuju. Secara logiknya, tidak munasabah untuk TGNA untuk memberi nasihat supaya dibatalkan keputusan tersebut.

Yang paling utama, ialah TGNA akan dapat berbahas dengan panjang lebar akan pro dan kontranya, jika beliau ada dalam mesyuarat tersebut.

Yang boleh dipersoalkan ialah mengapa TGHH tidak menangguhkan dulu mesyuarat itu dan diadakan ketika TGNA boleh hadir dalam mesyuarat tersebut.

Saya begitu musykil. Hal ini kerana apabila saya meneliti penjelasan pembelaan diri Ustaz Nasha ketika pertemuan dengan para blogger tersebut (rujuk rakaman ucapan ustaz Nasha), tiada sepatah pun kata atau ayat yang menyebut tentang TGNA.

Jadi, kalau boleh saya membuat kesimpulan bahawa tindakan-tindakan Presiden dan gengnya dalam merealisasikan rundingannya itu tanpa pengetahuan TGNA atau dimaklumi selepas sesuatu tindakan telah pun selesai. Secara dasarnya, ketiadaan TGNA tidak menjadi masalah kerana Dr Haron Din sebagai Timbalan Mursyidul Am, boleh bertindak mewakili beliau.

Namun, jelas, daripada penerangan Ustaz Nasha, bahawa baru selepas sebulan tertubuhnya kerajaan negeri PR khususnya di Selangor dan Perak, Dr Haron Din terdesak membentangkan kerja dasar "Tahaluf Siyasi" dalam konteks PR. Apa yang saya fahami, Dr Haron Din, merumuskan bahawa rundingan dengan UMNO perlu diadakan berdasarkan premis, "APA YANG TIDAK ADA PADA PAS ADA PADA UMNO, APA YANG TIADA PADA UMNO ADA PADA PAS".

Ini maknanya Dr Haron Din sebagai Timbalan Mursyidul Am CENDERUNG ke arah "engagement" dengan UMNO. Pendirian ini , saya rasa amat jelas berbeza dengan pendirian TGNA.

Jadi, dalam keadaan Dr Haron Din yang berpendiriannya telah memihak, saya sangsi bahawa Dr Haron Din akan memberi penjelasan yang terperinci kepada TGNA itu pun sekiranya diminta oleh TGNA.

Seperkara lagi, Ustaz Nasha, Dr Hassan Ali, dan Mustapha Ali, begitu terdesak untuk mempertahan diri apabila beliau diserang yang digambarkan seolah-olah geng ini telah bertindak secara tanpa mandat dan telah dikambing-hitamkan. Kedua, penjelasan ini dibuat untuk menolak tohmahan yang didakwanya bahawa Presiden dan gengnya akan "masuk UMNO". Begitu naif pemahaman ustaz Nasha. Yang dipersoalkan ialah bukan masuk UMNO, bukan membawa PAS masuk UMNO. Yang dipersoalkan ialah mengapa perlu berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan campuran sedangkan PAS masih terikat dengan komitmen bersama dengan PKR dan DAP?

Untuk semata-mata menyelamatkan diri, ustaz Nasha mendedahkan seluruh organisasi PAS untuk dihakimi oleh bukan sahaja oleh ahli PAS, penyokong PR, dan musuh-musuh politik PR. Bayangkan betapa kesannya kepada survival parti, namun di sebalik itu, ini merupakan suatu hikmah. Barang kali, ini permulaan ke arah pembersihan!

Dengan pemahaman ustaz Nasha sebagai mewakili kelompok pemimpin PAS yang cenderung kepada keperluan "engagement"yang tak dapat memahami apa yang tersirat di sebalik tentangan TGNA terhadap idea ini maka tidak hairanlah mereka masih cenderung ke arah itu, dan kesan buruknya ialah komitmen untuk memperkukuh PR pada peringkat kerajaan negeri dan peringkat pusat menjadi longgar dan mudah rapuh. Malahan, lebih daripada seperti wujud perasaan tidak senang terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang cenderung ke arah memperkukuh PR demi survival PAS di persada politik nasional, yang mereka istilahkan sebagai kumpulan erdogan.

Tunggu reaksi 3, motivasi sebalik kecenderungan engagement

Salak Tinggi, Selangor, 8.45pm