29 December, 2009

Sah Dua Pegawai Politik TGNA Berundur


Salam.

Seperti sebelum ini, saya katakan, krisis atau isu dari PAS Selangor mula merebak ke PAS Kelantan.

Walaupun menurut TGNA bahawa Anual Bakhri Haron telah tamat kontrak dan telah lama menyatakan hasrat untuk "berhenti" namun pada hemat saya keadaan dan situasi politik yang berkisar tentang TGNA, pengaruh keluarga (family kitchen), dan kurang berfungsi Dewan Harian atau Jawatankuasa PAS Negeri Kelantan, dalam menelah risiko politik, "pengunduran" ini tidak akan meredakan cakap-cakap politik. Rujuk di sini.

Telahan umum yang berlegar kini ialah betapa berpengaruhnya Nik Abduh, Ariffahmi dan isterinya, Nik Amalina. Sedia maklum bagaimana "penasihat-penasihat" TGNA ini diserang agak hebat dengan dakwaan "memberi nasihat yang salah". Dan tentunya mereka ini tidak bersendirian, ada sekelompok tertentu yang sealiran yang biasanya mempunyai agenda tertentu. Baca di sini.

Apabila pengunduran ini benar-benar berlaku, walaupun secara kebetulan, akan mengesahkan telahan umum tersebut.

Dan cakap-cakap politik yang begitu mengganggu ini mampu merencatkan agenda politik PAS pada masa depan khususnya dalam kontek Pakatan Rakyat.

Seharusnya, pengunduran ini, ditangguhkan dahulu sehingga isu ini reda.

Maafkan saya, jika telahan saya tersasul.

Alhamdulillah Hassan Ali Dah Bersuara


Salam.

Akhirnya Dr Hassan Ali bersuara. Isu terkini berkisar dengan dirinya sama ada yang berkait dengan bersidangnya Jawatankuasa Disiplinyang membicarakan kesnya dan demo menyerahkan memo di hadapan pejabat Perhubungan PAS Selangor.

Neliau menafikan akan keluar dan menjadi calon bebas dan menafikan bahawa beliau terlibat di sebalik demo 21 orang itu.

Ayat Dr Hassan, "Itu (khabar angin) tidak benar... itu adalah maklumat jahat untuk merosakkan nama saya. Saya tidak ada niat semacam itu (untuk keluar Pakatan dan bertindak sebagai Adun Bebas),"

Tentang demo pula, kata Dr Hassan, "Tidak, tidak ada sebarang majlis seumpama itu di PAS Selangor esok. Saya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor, jika ada majlis sedemikian sudah pasti saya tahu... tidak ada majlis macam itu".

Saya tidak mahu panjang-panjangkan ... baca di sini.

Agaknya siapa yang terkilan? Khir Toyo kot?

Simpang 4, AS 10.00pm

Demi Islam dan Masyarakat, Biarlah Kita Tidak Sependapat


Salam.

Sejak tercertusnya isu perselingkuhan beberapa kerat pemimpin tertinggi PAS dengan UMNO dan peristiwa-peristiwa selepasnya yang begitu menggusarkan simpatisan Agenda Politik Baru (APB), satu perkara yang membuatkan saya tidak boleh lena tidur ialah:

"Apakah tindakan mengkritik atau membongkar perbuatan-perbuatan atau seumpamanya yang diambil oleh mana-mana pemimpin PR merupakan tindakan yang SALAH dan mengkhianati parti dan jamaah?"

Pimpinan PAS sedang menyusun langkah untuk mengorganisasikan para blogger PAS, dan terkini mengawal "press statement" oleh pemimpin-pemimpinnya. Rujuk di sini dan sini.

Kali ini, saya akan mengulas dari segi aspek negatifnya. Aspek positifnya saya telah ulas pada posting saya yang lalu.

Dr Ali Shariati dan Perubahan

Sebelum itu, saya teringat bacaan saya tentang satu buku yang dikarang oleh pemikir Iran Dr Ali Shariati. Sayangnya bukunya yang dalam bahasa Indonesia telah hilang dalam milik saya akibat berpindah-randah. Saya cukup sayang buku ini.

Saya sayang buku ini selain bahasanya yang cukup mudah difahami, tetapi yang utamanya ialah karangan Dr Ali ini memberi latar belakang bagaimana boleh terhasilnya sebuah revolusi dalam sejarah moden manusia, iaitu Revolusi Iran.

Saya masih teringat akan maksud atau inti sari salah bab buku ini ialah untuk membolehkan berlaku satu-satu perubahan, terlebih dahulu mestilah lahiraktivis atau pemikir yang kehidupan dan pemikirannya bertentangan dengan aliran semasa. Aktivis ini mengabdikan diri untuk menyebarkan pemikirannya dalam latar belakang pemerintahan atau ideologi yang bertentangan dan memiliki kuasa yang luas dalam kerajaan semasa. Kerap kali aktiivis atau pemikir ini yang beberapa kerat dikorbankan atau dimangsakan atau dirobek kehidupannya.
Ini fasa pertama yang nantinya akan memomentumkan perubahan.

Dengan kematian ideolog ini, idea dan pemikirannya mula menyebar secara senyap serta mula lahir pelapis kedua yang mengolah dan menghadam idea ini untuk disampaikan kepada khalayak. Ini fasa kedua.

Fasa ketiga, idea dan pemikiran ideolog tadi telah menyerap ke akar umbi. Dan ketika ini lahirlah pemimpin, pemimpin pertengahan (kelas menengah) yang selalunya berfungsi sebagai kader, dan akar umbi dapat menyerap segala idea dan menterjemah idea dalam bentuk praktis dan diintitusikan. Maka ketika ini gerakan ini telah berubah menjadi gerakan massa.

Kalau kita teliti pada fasa pertama dan kedua, untuk berlaku satu-satu perubahan mesti lahirnya individu-individu yang sanggup mempertahan pendapat dan pemikirannya walau pun hidup mereka terseksa atau dihina atau dilabelkan dengan unsur-unsur yang negatif

APB dan KR

Bagaimana keadaan terkini dengan APB? Adakah APB ini telah benar-benar mantap dan didukung oleh segenap pemimpin?

Pada saya, APB walaupun telah lama diperjuangkan sejak sebelum merdeka lagi, sejak lahirnya Kaum Muda, Golongan Kiri, da selepas merdeka cuba dibawa oleh tokoh-tokoh Melayu-Islam seperti Dr Burhanuddin, namun proses penyebatiannya ke akar umbi secara keseluruhannya baru bermula iaitu selepas PRU12. Proses awalnya bermula dengan era reformasi iaitu dicetuskan oleh Anwar selepas beliau tidak sehaluan dengan pemerintahan semasa sehingga beliau diaibkan dan dipenjarakan.

Agenda reformasi ini terencat kerana pelopornya berada dalam penjara. Selepas beliau dibebaskan sebelum berlakunya PRU12, agenda reformasi ini mula berubah bentuk dan mula menyerap ke akar umbi dengan lahirnya permuafakatan politik (PR) dengan moto "Ketuanan Rakyat(KR)".

Agenda APB dan KR ini masih rapuh kerana agenda ini mula kelihatan merakyat pada PRU12.

Saya katakan masih rapuh kerana:

a) Pendukungnya PAS, PKR, DAP merupakan 3 entiti yang berbeza ideologi.

b) Matlamat awalnya hanya satu: menjatuhkan UMNO dan BN.

c) Tidak semua pemimpin dalam ketiga-tiga entiti itu menyerap seutuhnya agenda APB dan KR. Hal ini kerana:

i) Acuan atau kerangka pemikiran dan tindak-tanduk politik ketiga-tiga entiti itu masih didukung oleh pemimpin-pemimpin daripada ideologi lama iaitu bertindak dalam kerangka perbezaan kaum dan agama. Ini saya namakan perangkap ideologi bawah sedar.

ii) DAP dengan unsur kecinaannya dan perjuangan berasaskan kesamarataan. PAS dengan Islamnya tetapi lebih kepada Melayu-Islam. PKR pula masih banyak didukung oleh generasi UMNO yang tegar. Kerangka pemikiran dan tindakan mereka ini (PKR) masih terperangkap dalam ruang sempit perkauman, selain kecintaan yang tebal kepada kuasa dan harta.

iii) Natijahnya ialah tidak menghairankan sekiranya masih berlaku sebahagian pemimpin PAS dan ahlinya yang masing cenderung untuk berkongsi kuasa dengan UMNO atas dasar keMelayuan dan ketuanan Melayu, bukan ketuanan Islam. Tidak menghairankan jika masih ada pemimpin-peimpin PKR yang boleh dibeli oleh UMNO kerana mereka sebenarnya UMNO. Inilah yang membelenggu bawah sedar Ezam Md Noor sehingga mendorong beliau menjilat semula UMNO.

Jadi dalam keadaan yang rapuh ini, segala kemungkinan boleh berlaku. Kalau kita meneliti secara mendalam sokongan rakyat kepada agenda APB dan KR khususnya dalam kalangan generasi baru begitu meluas, namun sokongan ini tidak genuine kerana penolakan kepada UMNO dan BN lebih kepada kebencian bukan kerana keyakinan akan keampuhan PR. Kemarahan rakyat terhadap UMNO dan BN begitu meluap-luap dan tidak tertahan lagi.

PR belum lagi menguasai Putrajaya cuma menguasai beberapa kerajaan negeri. Sokongan yang original daripada akar umbi hanya akan terhasil apabila kerajaan-kerajaan negeri PR dapat membuktikan mereka benar-benar mampu mentadbir, polisi yang merakyat, dan mengutamakan kebajikan rakyat, serta meminimumkan politiking semasa sendiri. Yang harus diutamakan ialah perkhidmat kepada rakyat dan polisi yang mesra rakyat.

Jadi, dalam keadaan yang cukup kritikal ini, kesepakatan, permuafakatan antara ketiga-tiga entiti itu benar-benar padu dan seolah-olah menjadi satu parti. Ketiga-tiga entiti itu perlu sedaya mungkin mengurangkan perbezaan dan mencari sebnyak mungkin persamaan.

Peranan Pengkritik

Dalam keadaan yang kritikal ini, siapakah yang akan menjadi "watchdog" atau pihak-pihak yang bertindak mewujudkan keadaan "check and balance" jika berlaku atau tercetus tindakan-tindakan yang mampu menjejaskan keutuhan PR dan membantutkan agenda APB dan KR?

Maka di sini saya mengharapkan pemimpin atau kerajaan negeri PR sanggup menjunjung semagat demokrasi tulen, profesional, dan berlapang dada dalam menangani kritikan, pendedahan atau pembongkaran.

Memang, selama ini, Malaysia di bawah UMNO begitu mengawal ketat demokrasi dan memmmpopularkan domokrasi ala UMNO dan BN yang kerap kali menggunakan kuasa dan undang-undang, maka masih wujud pemimpin PR yang berasa kebal atau enggan menerima kritikan secara profesional - merajakan ego dan menganggap segala tindak-tanduk mereka betul.

Atas dasar ini, perlu wujud golongan pengkritik atau pendesak untuk mempastikan agenda APB dan KR tidak diganggu-gugat. Peranan ini wajib dimainkan walaupun mereka ini dicop atau dilabel sebagai pengkhianat atau pemfitnah.

Simpang 4, AS 3.00am

28 December, 2009

Demo Desak PAS Selangor, Dr Hassan Membisu...


Salam.

Sah demo benar-benar berlaku. Ketuanya Wan Hilman Abdul Rahim, dengan 20 orang penyokongnya berdemo di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat Shah Alam. Wan Hilman mendakwa mereka ialah Gerakan Penyokong dan Pengundi PAS Selangor. Hanya 21 orang sahaja Wan Hilman?

Memoradum gagal diserahkan. Khabarnya akan diserahkan esok kepada Dr Hassan Ali di pejabatnya. (link)

Anehnya, yang sibuk menafikan bahawa ahli-ahli yang sebanyak 21 orang itu bukan mewakili PAS ialah Salahuddin Ayub. Katanya, kumpulan berkenaan tidak wujud dalam parti, sebaliknya ditubuhkan bertujuan untuk memfitnah parti tersebut. (link)

Mustafa Ali pun terasa bahangnya sehingga beliau mengarahkan PAS Selangor menyiasat siapa dalangnya. (link)

Ke mana Dr Hassan Ali? Menurut Malaysiakini, editor mereka gagal menghubungi Dr Hassan Ali bagi mendapatkan ulasan beliau. Mengapakah beliau begitu takut? Apa muslihat beliau? Baiklah kita nantikan kemunculan beliau nanti.

Gambar di atas ikhsan Malaysiakini.

Simpang 4, AS 2.00am

27 December, 2009

Apakah PAS Kelantan Dirombak 2010 dan Terlibatkah Anual Bakri?

Salam.

Dua hal yang menarik hari ini. Malaysia Insider melaporkan akan ada rombakan dalam PAS Kelantan pada tahun 2010, dan kedua, demo 21 orang yang mendesak PAS Selangor keluar Pakatan Rakyat Selangor.

Saya sendiri kurang pasti, dari mana Malaysia Insider memperoleh maklumat tentang rombakan yang akan berlaku tersebut. Malaysia Insider juga menyebut Setpol TGNA akan dipecat. Baca di sini dan sini.

Tidak silap saya, Anual Bakri menjadi Setpol TGNA melebihi 10 tahun. Beliau merupakan Setpol TGNA yang paling lama berkhidmat dengan TGNA.

Saya juga kurang pasti, timbul cakap-cakap di sekitar Anual Bakri ini. Beliau dikatakan begitu mengawal ketat TGNA dalam hal urusan rasmi. Dikhabarkan bahawa tidak mudah untuk menemui TGNA, perlu menembusi dahalu Setpolnya.

Isu-isu penampilan Anual Bakri juga disebut-sebut. Anual Bakri sebelum menjadi Setpol sebenarnya seorang profesional dalam bidang kewangan. Penampilannya tidak dibalut pakaian ala Arab. Beliau lebih kelihatan santai dan sederhana. Rambutnya agak panjang dan sering berselepang. Penampilannya lebih kepada seorang penyair, dan memang pun beliau berbakat dalam bidang ini.

Yang tidak seronoknya ialah Anual Bakri ini dikatakan amat rapat dengan Husam. Saya sendiri pun agak hairan, setiap kejadian yang berlaku di Kelantan khususnya tentang PAS Kelantan sama ada pada peringkat parti atau kerajaan, fokus dengan sendirinya akan cuba dikaitkan dengan Husam.

Memang akhir-akhir ini PAS dirundung nasib yang agak malang daripada isu pertemuan dengan UMNO dalam gelap sebaik usainya PRU12. Kemudiannya PAS diasak dengan isu UG. Seterusnya, rampasan kuasa UMNO di Perak yang MBnya ialah daripada PAS.

Seterusnya PAS Selangor dilanda masalah sehingga berlangsungnya Seminar Memperkasa PAS dan bersidangnya Jawatankuasa Disiplin untuk membicarakan Dr Hassan Ali dan Khalid Samad.

Penyakit PAS Selangor itu telah pun menjangkiti PAS Kelantan pula. Integriti TGNA sebagai MB dan kaitan keluarganya dengan kuasa dan jawatan di Kelantan. Dengan meletusnya isu Ariffahmi dan PBMK, sehingga Ariffahmi terpaksa meletakkan jawatannya di PBMK, nama Husam sering dikaitkan. Anak-anak TGNA seperti Nik Abduh dan Nik Amalina menimbulkan bahawa wujud dalang dalam isu Ariffahmi, dan lebih jauh sebelum itu, Nik Abduh menuduh penasihat-penasihat ayahandanya selalu memberi nasihat yang salah.

Siapa dia agaknya pembantu TGNA itu? Tentulah Husam dan Setpolnya.

Biarlah kita berlapang dada. Kalaulah benar seperti yang dilaporkan, tentulah TGNA mempunyai perkiraan-perkiraan tertentu dalam sifir politiknya. Saya yakin bahawa TGNA tidak akan mempersiakan Setpolnya memandangkan tempoh yang lama mereka bersama. Tentulah masing-masing kenal baik hati budi masing-masing.

Secara tersirat, saya berasakan akan berlaku juga rombakan sama ada dalam komposisi atau personal dalam kerajaan negeri atau pun dalam barisan PAS Kelantan. Isu-isu terkini yang melanda PAS Kelantan sama ada dalam pentadbiran dan sistem penyampaian kerajaan harus dinilai secara definitif.

Penilaian yang definitif PAS Kelantan harus dibuat memandangkan PRU13 paling lama pun 3 tahun lagi. Tanda-tanda bahawa PAS Kelantan mula diserang mula kelihatan. Hal ini akan saya ulas nanti.

Tahniah Husam!


Salam.

Singkat sahaja. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Husam atas kegigihannya, Felcra membayar RM10 juta kepada kerajaan Kelantan.

Usah peduli apa orang kata. Adatnya, apabila kita lebih menonjol daripada orang lain, kita sebenarnya sedang mencipta meusuh dalam senyap. Kalau kita tidak buat apa-apa, tentulah tiada siapa yang akan terasa terjejas. Bacaan lanjut baca di sini dan sini.

Tahniah dan terima kasih kerasa saya juga anak Kelantan!

Simpang 4, AS

26 December, 2009

Demo UMNO Desak PAS Selangor Keluar Pakatan, Siapa Dalangnya?


Salam.

Agak gempar juga isu ini. Pak Bakaq, dan Kelab Greenboc pun mengulasnya.

Mengikut Pak Bakaq, beliau menerima sms tersebut, dan kawan beliau pun mendapat sms yang sama. Harakahdaily pun mendapat sms tersebut. Saya petik daripada Harakahdaily, "Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini. Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali."

Siapa dalangnya? Kalau mengikut Harakahdaily, dalangnya UMNO Selangor. Namun, kita tidak dapat memastikan secara sahih. Pada saya, mustahil didalangi oleh Dr Hassan Ali, atau pihak-pihak yang ada kaitan dengan beliau.

Memang kita ketahui daripada pendedahan rakaman tentang ucapan Dr Hassan Ali bahawa pegangan atau pendirian atau fokus beliau sebagai pimpinan PAS Selangor ialah memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam. Dan pegangan Dr Hassan Ali memanglah sejalur dengan sikap asabiyah UMNO.

Dr Hassan Ali sendiri yang akan menerima memorandum tersebut. Ini menjadi kemusykilannya, bagaimana penulis sms itu boleh mengesahkan bahawa Hassan Ali sendiri akan menerimanya. Kita boleh jangkakan sama ada Hassan Ali telah dihubungi dan confirm akan menerima memo tersebut atau Hassan Ali tidak tahu apa-apa, hanya penulis sms itu mereka-reka sendiri supaya banyak orang yang turun menyokong demo tersebut.

Yang peliknya, sepatah pun tidak kedengaran daripada mulut Dr Hassan sendiri sama khasnya menafikan bahawa beliau mengetahui demo tersebut.

Sesungguhnya, sekiranya demo itu benar-benar berlaku esok, dan selepas itu baharulah Dr Hassan mengeluarkan ucapan penafian, sahlah Dr Hassan dengan sengaja meletupkan dirinya dengan C4.

Baiklah, kita serahkan kepada Dr Hassan untuk menilainya. Beliau berpendidikan tinggi, dan telah lama dalam politik. Sepak terajang politik sudah tentu dalam genggamannya.

Apa yang kita harapkan ialah sms itu hanya mainan UMNO semata-mata. Biarkan mereka melalak dan melolong. Orang dah nak sampai ajal kan .....

Simpang 4, AS 12.00am

Masih Lagi Tentang Calon Luar ...

Salam.

Saya agak tertarik dengan dua isu hari ini. Komen seorang blogger tentang calon luar, dan keduanya, sms demo UMNO mendesak PAS Selangor keluar Pakatan. Isu kedua akan saya ulas pada posting seterusnya.

Beberapa hari lepas (boleh rujuk posting saya yang dulu), TGNA sedia mempertimbangkan untuk meletakkan semua calon anak Kelantan untuk parlimen pada masa mendatang. Salahuddin Ayub mengulas singkat tentang isu ini. Kata Salahuddin, beliau bertanding di Kelantan kerana arahan PAS Pusat dan dia bersedia sekiranya berlaku di sebaliknya pada pilihan raya akan datang.

Blogger Jiwo kelate, dalam mengulas isu ini menggambarkan yang ucapan atau kata-kata salahuddin ini sebagai kata-kata seorang yang berkecil hati. Untuk bacaan lanjut, klik.

Dalam posting yang lalu, saya cuba memberi latar belakang atau yang tersirat mengapa TGNA berkata demikian. Klu utama yang perlu kita fahami ialah ""Tetapi jika nampak orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan, kita boleh mencalonkan pemimpin anak negeri ini untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

TGNA menggunakan kata "jika" dan "orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan". Ayat ini menggandungi tafsiran yang pelbagai. Saya pasti TGNA mengeluarkan ucapan ini berdasarkan perkembangan semasa. Sebenarnya telah lama PAS Kelantan berkorban, sila baca artikel Subki Latif untuk mendapatkan latar sejarahnya.

Apa sebenarnya isu semasa itu? Saya berpendirian isu semasa itu pastilah isu yang serius. Isu yang mampu membuatkan Pakatan Rakyat terburai, dan bukan sahaja kesannya pada PR tetapi PAS secara keseluruhannya. Isu yang jelas: pemimpin utama PAS berselingkuh dengan UMNO dan isu UG. Dan jika bertanya lagi siapa yang terlibat, kita semua telah pun maklum. Antara pemimpin yang didakwa begitu berkeinginan untuk tidur sekatil dengan UMNO ialah Timbalan Presiden PAS sendiri - Ustaz Nasha yang mewakili Parlimen Bachok.

Maksud yang jelas ialah TGNA secara tersirat mahu calon-calon luar membantu atau hanya memperjuangkan agenda PAS semata-mata, bukan hal lain yang boleh kita tafsirkan sebagai tindakan sabotaj.

Jadi, pada saya, YB Dr Hatta dan Salahuddin tidak perlu berkecil hati dengan kata-kata atau hasrat TGNA itu. Bukankah Salahuddin yang turun sendiri ke Kelantan ketika TGNA sedang "berapi" dengan isu EGM dan Salahuddin juga turun ke Kelanatan berjumpa sendiri dengan TGNA dalam kes Ariffahmi dan PBMK. Ini menunjukkan TGNA memandang tinggi kepada Salahuddin. Mengapa? Kerana salahuddin merupakan sosok pemimpin yang tahu menghormati jawatan, pengalaman politik, dan usia tokoh yang lain. Saya agak yakin tentang ini kerana sebaik selepas Salahuddin berjumpa dengan TGNA tentang isu EGM, Salahuddin mengumumkan dalam media bahawa TGNA bersetuju menggantikan EGM dengan seminar. Ini menunjukkan kerapatan dan kemesraan antara kedua-duanya. Tentang Dr Hatta pula merupakan pendokong gagasan PR yang tegar, sedangkan tulang belakang PR ialah TGNA sendiri.

Jadi, saya boleh merumuskan bahawa TGNA memberi amaran tetapi dengan melalui ucapan berlapik supaya sesiapa calon luar Kelantan apabila bertanding di Kelantan mestilah sanggup walau dengan apa cara pun berjuang semata-mata untuk PAS sebagai membalas jasa PAS Kelantan mengorbankan anak Kelantan sendiri.

Sebenarnya, hasrat atau kata TGNA itu salah satu cara atau usaha memperkuat PR yang baru sahaja selesai untuk bersetia dengan PKR dan DAP untuk merealisasikan visi dan misi PR iaitu "Ketuanan Rakyat".

Simpang 4, AS 11.15pm

24 December, 2009

Sekali Lagi TGNA Memberi Amaran!


Salam.

Jangan sampai tradisi PAS Kelantan merombak tradisinya dan konvesinya. PAS Kelantan begitu pemurah, sanggup mengorbankan hak calon Kelantan semata-mata untuk diberi tempat kepada tokoh-tokoh PAS dari negeri lain untuk bertanding sebagai calon di Kelantan. (link)

Ini sebenarnya amaran tegas.

Saya melihat isu ini daripada tiga aspek.

Pertama, melihat kepada prestasi PAS di negeri-negeri lain seperti di Kedah, Terengganu, Pahang, dan lain-lain, sudah tiba masanya negeri-negeri lain membuka ruang untuk ditandingi oleh calon-calon luar. Telah lama sebenarnya PAS Kelantan berkorban.

Kedua, Melihat kepada isu-isu terkini yang melanda pimpinan PAS peringkat tertinggi, barangkali sudah tiba masa tokoh-tokoh PAS daripada Kelantan diberi tempat untuk berperanan di peringkat pusat. Situasi masa kini, pimpinan pusat didominasi oleh tokoh-tokoh daripada Terengganu.

Tokoh-tokoh Terengganu ini perlu dinilai bukan hanya daripada segi ketokohannya semata-mata tetapi harus dilihat juga sejauh mana dinamik dan berkembangnya PAS di negeri masing-masing. Secara jujur, ketokohan sebenarnya harus dinilai daripada organisasi dipimpinnya, maksudnya PAS negeri. Dalam kes Terengganu, harus dicongak adakah PAS negeri benar-benar kukuh dan didokong kuat oleh akar umbi. Kalau dilihat daripada segi PRU12, PAS Terengganu hanya gah pada tokoh tapi lumpuh daripada segi sokongan akar umbi dan sokongan pengundi atas pagar.

Ini belum dinilai daripada kemelut PAS yang dicetuskan oleh geng Terengganu yang begitu mengocak PAS secara keseluruhannya.

Kalau boleh dibenarkan bahasa yang agak kasar, pemimpin PAS dari Terengganu, yang menguasai pucuk pimpinan PAS merupakan pemimpin yang bermasalah.

Begitu juga kalau kita merujuk dengan kes khusus Ustaz Nasharuddin. Tentang Nasha ini, saya rasa tidak perlulah saya ulas panjang ... Satu yang pasti ialah TGNA, yang sanggup memberi tempat di Kelantan, tetapi sanggup melukakan hati beliau dalam kes UG!

Ketiga, konteks Konvensyen Pakatan Rakyat I. Saya sempat mendengar secara "live" ucapan penutup TGNA, betapa beliau begitu "happy" dengan "bulan yang ada di dada Karpal" dan terharu dengan "dunia baru" yang katanya, "sesuai dengan keyakinan politiknya selama ini".
Apa yang saya maksudkan ialah maksud atau yang tersirat ialah jangan ada lagi pemimpin-pemimpin yang bertindak baik secara langsung atau tidak langsung menggugat misi dan hala tuju PR.

Akhirnya, bacalah yang tersirat di sebalik amaran TGNA tersebut. Kepada individu-individu yang masih memegang falsafah politik "Melayu_Islam", kita persilakan anda berjuang di sebelah sana. Di sini bukan tempatnya lagi!

Taman Pertama, Sabak Bernam.

Wajarkah Kenyataan MB Terengganu Ini?

Salam.

Satu lagi ulasan ringkas.

Ahmad Said, bukan YB junior, dah terlalu veteran. Nilaikan apabila beliau menuturkan dan mengkritik ADUN-ADUN yang mempersoalkan tindak-tanduk kerajaan negeri terutama tentang pemberian kontrak secara runding terus dan sejauh mana berkebajikan sesuatu projek kepada rakyat, Ahmad Said menduh ADUN-ADUN ini menggunakan hak keistimewaan Dewan untuk mengkritik secara sewenang-wenangnya. (link)

Ahmad Said meminta ADUN-ADUN ini bercakap di luar dewan atau melapor terus kepada SPRM.

Kalau begitu, tidak payah ada sidang dewan dan buang terus hak-hak keitimewaan dewan, dan dirikanlah kerajaan sendiri. Itu hak ADUN dan perlu dihormati dan dijunjung, dan mereka berhak untuk mendapat penjelasan yang memuaskan hati mereka.

Apa yang jelas ialah Ahmad Said gagal sebagai sebagai ahli politik, sebagai ADUN, dan sebagai MB, dan menggambarkan betapa dangkalnya dia dalam menangani sesuatu asakan yang menyangkut kredibiliti dirinya.