16 March, 2010

Rerefresh Jiwa yang Galau ...

Salam.

Agak keletihan juga dengan sepak terajang pentas politik Melayu dan Malaysia. Hati kadang-kadang begitu panas.

Ekonomi kian muram walaupun Najib dengan gembiranya mengumumkan 4.5% pertumbuhan pada suku ketiga tahun ini. Kalau kita baca analisis pakar ekonomi dalam Malaysiakini, boleh menyesakkan dada kita sebagai akibat ketidaktentuan dasar atau program Najib dalam ekonomi.

Dalam ekonomi kita kian merudum sedangkan negara jiran sekitar kita sedang melalui pemulihan, pihak UBN masih sanggup memperuntukkan dana yang besar (RM300 juta) bagi memancing YB-YB Pakatan Rakyat.

Biarkanlah kita tinggal sekejap pentas ini.

Kita menghiburkan diri dulu khas buat lelaki-lelaki yang pernah kandas dalam hidup ... "untukmu kekasih" ..

Sesekali menyelak jendela kenangan ... bermain dan berasakan semula akan rasa ngilu kerana tertusuk sembilu cinta yang engkar ...

.... hati kita kian menjadi lembut dan sensitif, yang sesungguhnya adalah asas kekuatan perjuangan masa depan ....

Simpang 4, AS

Kontradiksi: DSAI Disokong, Bagaimana Pula Selingkuhan ....


Salam.

Pertama, tahniah dan syabas atas kegigihan saudara Tulang Besi membongkar "anasir-anasir pakatan dalam kelambu"

Telah banyak kali teraju komponen PR menegaskan bahawa DSAI masih tetap diperaku sebagai ketua pembangkang merangkap Teraju Utama PR. Terkini, baca Harakahdaily, 15 Mac 2010, Karpal Singh dan Mahfuz Omar sekali penegasan dibuat bahawa status quo DSAI tidak berubah.

Memanglah seharusnya begitulah. Penegasan ini perlu dibuat untuk menggambarkan bahawa strategi UBN untuk menolak ke tepi DSAI daripada persada politik Malaysia melalui Liwat II dan episod 4 katak.

Namun, isu yang saya nak bawa kali ini ialah ada elemen kontra. Teraju utama DAP, PKR, PAS berusaha sedayanya untuk memperkukuh PR, namun masih ada sesetengah pemimpin (kalau masih lagi dapat kita gelar pemimpin!) yang cuba memesongkan hala tuju PR.

Atas kapasiiti apa kedua-dua pemimpin atas PAS - Ustaz Nasha, dan Ustaz Idris Ahmad hadir dalam majlis pelancaran buku Natrah, sedangkan majlis itu ialah majlis Mahyudin Yassin. Bukan sahaja hadir malah sempat pula memberi kenyataan media.

Kata-kata yang sungguh indah dan menyegarkan:

"Usaha mewujudkan perpaduan ini bukan boleh berlaku dalam tempoh sehari dua atau sekelip mata. Kita memerlukan satu tempoh untuk terus membina kematangan ke arah ini (mewujudkan perpaduan). Saya melihat kita pada masa sekarang sedang membina kematangan ke arah ini,”

Utusan memetik kata-kata Timbalan Presiden PAS ini, "semua pihak tidak harus bersikap mengalah walaupun beberapa usaha sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara parti politik terbesar umat Islam iaitu Pas dan UMNO terhenti di separuh jalan".

Apakah makna semua ini?

Di manakah kamu Sang Presiden? Pembantu kesayangan Sang Presiden ini masih lagi meroyan. Bukankah Presiden dan timbalannya sewajibnya menjadi benteng terakhir dalam merealisasikan ketetapan muktamar bahawa:

a) PR wajib diperkukuh.
b) Tiada lagi kerajaan perpaduan atau muzakarah atau apa-apa sahaja dengan UBN.

Barangkali telah SAMPAI MASA PARA BLOGGER MELANCARKAN PERANG TERHADAP USAHA-USAHA YANG SEIBARAT SELINGKUHAN INI KERANA SANG PRESIDEN MASIH LAGI TERDIAM DAN TERBIUS! .....

Simpang 4, AS.

12 March, 2010

Membaca Insiden Khalid Samad ...


Salam.

Maaf kepada penyinggah kerana dua posting terbaharu agak melankolik dan romantis dan terlalu personal. Itu gunanya blog, hak pemunyanya. Kadang-kadang hati mudah tersinggung, dan kesannya agak menyakitkan maka kesakitan itu yang bagai duri perlu dikeluarkan - penulis umpama penyair .... maaf sekali lagi. Namun 2 lagu Ebiet yang saya masukkan itu, tidak rugi untuk didengar ... melodi dan liriknya cukup menyentuh ....

Telah agak lama tidak menulis dan mengulas riak, ribut, dan ombak dalam permainan politik tanah air. Sebenarnya, isu Khalid Samad dan hukuman pancung oleh Jawatankuasa TITM walau nampaknya tenang di permukaan, tapi saya percaya arus di bawah masih kuat.

Saya membacanya begini.

Asas pembentukan dan pengaktifan Jawatankuasa Disipl;in PAS Pusat untuk kes Dr Hassan Ali (PSJ Selangor) dan Khalis Samad (YDP Pas Shah Alam) ialah ekoran syor EGM oleh TGNA yang meminta agar EGM menilai tingkah-tingkah songsang Dr Hassan Ali, Ustaz Nasha, dan Mustapa Ali. Kes atau isunya penggugatan terhadap kesepakatan PR Selangor dan PR seluruhnya.

Keputusan akhir seolah-olah kepentingan parti yang diutamakan, dan soal PAS sebagai juzuk komponen PR diletak sebagai no 2. Seperti kata Khalid, dalam postingnya yang terkini, "meletakkan PR di paras bahu dan parti sendiri di paras kepala". Semua maklum bahawa keputusan muktamar lepas ialah PAS perlu mengambil apa jua cara untuk memperkukuh PR. Dan ini, sesungguhnya, soal strategi yang telah pun diambil kira oleh dasar!

Khalid yang mempertahankan PR diberi hukuman pancung, manakala Dr Hassan hanya diberi amaran keras secara bertulis sahaja.

Dalam isu Khalid ini, kalau diperhalusi, seolah-olah mendapat restu Presiden, TGHH. Cuba teliti kenyataannya dalam Malaysiakini, 11 Februari 2010, dalam pertemuannya dengan AJK PAS Kawasan Shah Alam, dalam kes isu keputusan disiplin terhadap Khalid. Kedatanganya, begitu lewat, lewat dua jam, hanya bertemu dalam tempoh 30 minit, dan sempat diajukan 3 soalan sahaja. Tentang kelewatan ini pun, begitu tidak profesional. Cuba selami makna kata-katanya yang saya perturunkan, "Antara dua ini, sekiranya berlawanan antara parti dan Pakatan, yang mana kita hendak dahulukan? Mesti didahulukan parti, bukan Pakatan," Sedangkan, Khlaid sendiri pun tidak diberitahu sehingga kini, apakah rahsia parti yang beliau bocorkan!

Amaran Buat Pendokong PAS dan PR

Kepada pendokong PAS dan PR yang mendokong wawasan politik baru wajib membaca dan menghadam tulisan Khalid yang terbaru ini. khalid mengupas panjang premis dan hujahnya dengan megambil inti sari pengajaran sirah Nabi iaitu iktibar Perang Uhud dan peritiwa Perjanjian Hudaibiyah.

Khalid menegaskan bahawa tindakan PKR memecat Zul Kulim dari partinya, PKR, sesungguhnya mengambil kira soal kesetiakawanan PR. PKR menolak ke tepi kepentingan sendiri. Hal ini kerana PKR faham bahawa survival ketiga-tiga parti amat bergantung kepada kelangsungan hidup PR. PR lemah bermakna ketiga-tiga parti turut lemah.

Begitu juga dengan DAP, yang walaupun sekiranya diambil jumlah kerusi parlimen melayakkan DAP mengambil tempat Ketua Pembangkang di Parlimen. Namun, DAP faham makna setiakawan dan survival PR. Mereka tetap berdiri teguh di belakang DSAI.

Apakah Maknanya?

Maknanya, jelas PKR walaupun setahun jagung dalam arena politik, dan DAP, memiliki aktor-aktor politik yang matang dan cerdik. Mereka bijak dalam isu yang menyangkut soal strategik.

Bagamana dengan partinya sendiri, PAS? Apabila diteliti, dengan mengambil iktibar insiden Khalid ini, PAS seperti berada dalam lingkungan yang dinamakan "lingkaran syaitan".

Dalam batang tubuh PAS sendiri, sedang divirusi pertentangan antara diktonomi "ulamak dan profesional". Dalam batang tubuh PAS sendiri juga wujud pertentangan kelompok konservatif (kecenderungan politik - perselingkuhan dengan UMNO) dan kelompok modenis (menyokong dan mendokong wawasan politik baru - menolak elemen bangsa dan ras). Di luar, PAS berhadapan dengan cita rasa pengundi baru (generasi baru dan muda) yang melihat masa depan PAS ditentukan oleh kekuatannya dalam kebersamaan dalam PR. Di luar juga PAS berhadapan dengan rakan-rakannya yang berlainan ideologi.

Secara jujurnya, bagi saya, sebagai aktivis politik, melihat PAS sejak PRU12 memasuki medan kesepakatan dalam PR dengan setengah hati, dan teragak-agak. Apatah lagi, Presiden telah dipersepsikan lebih sesuai sebagai "ulamak" daripada "pemimpin" politik. Presiden PAS seolah-olah hanyut dan membiarkan dirinya dihanyutkan oleh rakan-rakan akrabnya yang datang dari kelompok yang "kalah perang". Setiap kali kenyataan akhbarnya tentang isu-si semasa membuka ruang untuk dimanipulasi oleh media kroni UBN. Lihat sahaja kenyataan Presiden tentang kenyataan TGNA tetang kerjasama dengan UMNO yang telah pun dispesifikkan oleh TGNA, hanya dalam bidang Islam, sedangkan kenyataan TGHH membuka lebar ke aspek-aspek lain. Kenyataan TGHH memperlihatkan agenda "perpaduan" masih "hidup". Begitu juga kenyataan TGHH tentang sokongan ahli parlimen Australia yang senada dengan UMNO, tetapi berlainan sekali dengan kenyataan TGNA.

Akhirnya,

Saya seperti mendapat kesan bahawa dalam partinya sendiri, Khalid dicemburui, dan dimangsakan.

Pada saya, Khalid merupakan aset besar dan tidak ternilai kepada PAS. Beliau berjuang lama dalam PAS. Gagasannya digarap dengan mudah dan dapat difahami dalam sebaris ayat sahaja.

Namun, kepada Khalid,
adat berjuang,
cubaan yang datang sekuat ketokohan. Semakin kuat dan gemerlap ketokohan tu, semakin besarnya ujian dan hadangan yang akan dihenyakkan .... lebih memperkuat integritinya.

Saya yakin, buat Khalid, ini hanya ujian kecil baginya!

Simpang 4, AS.

11 March, 2010

Buat Seseorang, Hiruplah Madu itu ( dan segalanya telah selesai...)

Salam.

Catatan ini khas buat seseorang.

Luka terlalu dalam, tak terjangkau, dan sampai kapan pun
tak akan terawat,
terlalu lirih perjalananmu.

Segala kasih yang terlalu sarat,
kristal-kristal cinta yang memijar,
terlalu banyak yang dihulur.

Dan segala-galanya,
terhempas
ke batuan.

Dan biarkanlah,
bulan madu ini
menamatkan semuanya.

Untukmu,
yang persis "seakan-akan" aku ...

Kudedikasikan,
nyanyi ini ...... Puisi Bulan Madu

Cuba hayati liriknya .... "ada tulip untuk membunuh galaunya jiwa"

Puisi Bulan Madu (Ebiet G Ade)

Dalam kesempatan yang lama kutunggu
Cuaca cerah memancar sinar rembulan
membantuku membunuh kegalauan jiwa
Bunga tulip mekar subur di dada

Dalam percintaan yang hangat menggebu
marilah kita saling melebur diri
Simpanlah cintaku sedalam-dalamnya
Cintamu pun lekat di jantung hati

Buang jauh-jauh onak dan duri
Mari kita lintasi semua bumi
Pejamkan matamu, hirup kenyamanan
Cinta telah terpatri selamanya

Bersama kita dengar nyanyian bunga
Mimpi-mimpi yang usang kita kubur
Menggenggam hari ini seerat mungkin
Perjalanan kita masih sangat panjang

Buang jauh-jauh onak dan duri
Mari kita lintasi semua bumi
Pejamkan matamu, hirup kenyamanan
Cinta telah terpatri selamanya



09 March, 2010

Kenapa Sesekali Hati Tersentuh Terlalu Dalam ..

Salam.

Memang dunia politik makin riuh dan sedikit menyesakkan dada. Biarkan masa terngalir dan aksi-aksi oleh aktor-aktor politik bergerak secara alamiah.

Maaf kepada penyinggah blog ini.

Saya lebih banyak membaca dan membaca.

Kali ini, hati kecil ini tersentuh terlalu dalam .... entah kenapa ...

Buat penyinggah yang dihargai .... nikmatilah getar Si Ebiet yang di atas tu,
yang juga getar hati saya ....

06 January, 2010

Jika Benar PAS Kelantan Sayang Akan Tok Guru Nik Aziz, Bertindaklah !


Salam.

Sesiapa pun apabila sesuatu isu atau musibah yang menimpa ahli keluarga terdekat atau cuba dihina atau diburukkan, akan tersentuh hatinya, akan terluka hatinya. Dan, reaksi spontan dan lebih kepada tindakan bawah sedar, akan mempertahan integriti ahli keluarganya.

Saya berasakan Tok Guru Aziz kini tertekan dan dilema, apatah lagi ahli keluarga beliau yang terdekat masih tegar mempersalahkan orang lain. Ahli keluarganya adalah liabiliti kepada beliau.

Satu cara yang ampuh ialah PAS Kelantan harus bertindak segera. Ambillah apa pun langkah hatta yang menampakkan melukakan hati To Guru Nik Aziz. Pada saya sekarang yang terlebih penting ialah menyelamatkan PAS Kelantan, dan dengan itu menyelamatkan Tok Guru Nik Aziz serta TGNA dibantu dalam membuat keputusan yang betul.

Hakikatnya ialah PAS Kelantan amat bersalah dalam hal ini kerana membiarkan TGNA melantik menantunya sebagai CEO PBMK. Sewajibnya kehendak Tok Guru ini ditentang habis-habisan. Apa yang berlaku ialah mereka tidak bertindak atau kalau pun bertindak tetapi tak cukup kuat.

Jadi sudah tiba masanya PAS Kelantan bertindak sekarang untuk menebus balik kesilapan mereka. Kemarahan atau kecil hati Tok Guru, pada saya, hanya sementara, dan akhirnya apabila kemarahannya reda, kebenaran akan terserlah jua.

Marilah kita berdoa dan bersolat hajat agar Tok Guru diberi kekauatan dan petunjuk. Beliau sebenarnya sedang diuji denga ujian maha hebat. Tok Guru wajib dibantu.

Biar berkelahi sekarang daripada rugi selama-lamanya.

Simpang 4, AS

05 January, 2010

PAS Kelantan: Petaka Dah Bermula?


Salam.

Kali ini saya tak akan ulas panjang-panjang. Nak baca yang panjang, baca posting saya lalu.

Posting saya yang lalu meminta atau seakan-akan merayu agar isu Ariffahmi diselesaikan dengan segera dengan memohon Nik Abduh, Nik Amalina, dan Ariffahmi sendiri bermuhasabah dan mengutamakan parti, air muka Tok Guru, bapa dan mentua mereka.

Apa yang saya bimbang telah meletus. Banner telah "naik" di sekitar Kota Bharu yang mempersenda Tok Guru dan Ariffahmi. Rujuk di sini. Gambar di atas ikhsan dari Jiwo Kelate. Baca juga al Bakistani.

Selepas ini mesti ada yang menuding jari pada UMNO atau dalang yang cuba menjatuhkan maruah Tok Guru dan PAS Kelantan.

Pada saya, soal siapa dalang atau siapa yang buat tidak lagi penting. khalayak barangkali telah mendapat mesej tertentu yang ada sesuatu yang "tak kena"! Hal ini kerana PAS sendiri atau personal yang terlibat, yang sengaja melakukan sesuatu yang membuka ruang ke arah berlakunya "persendaan" itu. Perangai UMNO telah kita tau sejak sebelum merdeka lagi. Telah banyak teguran dan nasihat telah dilontarkan.

Jadi, siapa yang nak dipersalahkan atau akan dijadikan "kambing korban" kali ini? Husam? Kickdefella? Atau fraksi UMNO atau dan atau.

Segalanya dah tidak relevan lagi .... Yang relevan ialah Kelantan diarah bayar RM800 juta! Nampak tak apa erti semua itu?

Simpang 4, AS

02 January, 2010

Aduhai ... Akan Beginikah Sudahnya PAS Kelantan?

Salam.

Saya tidak tahu akan rasa dan fikiran orang lain, tapi buat saya ....

Cukup meresahkan! Cukup menggusarkan!

Dan tulisan di bawah adalah penyataan dan luahan kegusaran saya ....

Posting Zul Kulim dan Tulang Besi (setakat ini 3 posting) yang membicarakan "tangan-tangan ghaib" di belakang TGNA dalam mengatur percaturan politik PAS Kelantan demi "family matter" dan "kerajaan perpaduan versi 2".

Berundurnya Anual Bakhri Haron dan Ustaz Saiba menandakan pengaruh Nik Abduh dan Ariffahmi dan "geng ghaib" telah berjaya menjinakkan TGNA.

Zul Kulim menyuarakan kebimbangan yang amat sangat bahawa PAS Kelantan sedang menuju keruntuhan. Episod ini akan menemui hujangnya yang gerhana, , katanya,

"Apa pun, natijah daripada ini semua kemungkinan besarnya akan melemahkan Kerajaan Negeri. Dengan terpelantingnya tokoh-tokoh muda, hebat dan dinamik dalam saf kepimpinan negeri Kelantan ini, saya khuatir "bulan purnama" yang menyinari bumi "Serambi Mekah" selama 20 tahun ini akan menjadi malap dan pudar, dan kelak hanya masa dan ketika sahaja menanti untuk "gerhana sang bulan" berlaku di Kelantan! Wallahua'lam".

Zul menyimpulkan akan terhasilnya "gerhana sang bulan" kerana wujudnya tangan ghaib atau kuasa ketiga dalam menyusun barisan kepimpinan kerajaan negeri demi kepentingan tertentu. Tegas Zul:

"Saya melihat seolah-olah di Kelantan kini sudah ujud satu "tangan ghaib", atau "Kuasa Ketiga" yang memainkan peranan menyusun semula barisan kepimpinan Kerajaan Negeri demi menjaga periuk nasi dan kepentingan pihak tertentu".

Bagi Tulang Besi, Ariffahmi merupakan fraksi UMNO, dan Nik Abduh merupakan penyokong tegar UG. Malah, Tulang Besi memberi bukti bahawa Nik Abduh juga hadir semasa pertemuan Dr Hassan Ali dan NAsha dengan Blogger PAS dan UMNO.

Maklumat yang Tulang Besi dapat, pengunduran terhormat Anual Bhakri dan Ustaz Saiba ada kaitannya dengan Nik Abduh dan Ariffahmi. Malahan begitu juga dengan pengganti mereka berdua juga dicadangkan oleh Nik Abduh.

"Sekarang pun calon2 menggantikan Annual Bakhri dicadang dan dipilih oleh Nik Abduh dan Arifahmi. (Itu maklumat yang saya dapat)".

Benteng terakhir daripada pencerobohan UMNO terhadap TGNA ialah Husam. Roboh Husam, maka memudahkan fraksi UMNO berfungsi. Husam dikhabarkan akan dikorbankan pada Februari 2010. Zul Kulim pun mengikut maklumat yang beliau dapat ialah akan berlaku rombakan dalam barisan pimpinan kerajaan negeri, dan beliau terperanjat apabila salah satu nama exco kanan terlibat sama dalam rombakan itu (terpelanting!).

Sahabat-sahabat sekalian boleh membayangkan apa kesannya kepada PAS Kelantan dan PAS secara keseluruhannya apabila Husam terpelanting. Pada saya kekuatan PAS Kelantan mutakhir ini selain Tok Guru sendiri ialah Husam Musa.

Robohnya PAS Kelantan bermakna susah payah dan jerih-perih untuk menjayakan Konvensyen pertama PR di Shah Alam baru-baru ini hanya sia-sia. Hal ini kerana kekuatan dan ikon PAS ialah TOK Guru Nik Aziz dan PAS Kelantan.

Wallahua'lam

Simpang 4, AS

31 December, 2009

Pengimejan Semula PAS Kelantan: Suatu Nasihat


Salam.

Biarlah kita berterus terang dan berbaik sangka semoga hubungan sesama jamaah tetap utuh. Di bawah adalah teguran-teguran yang berniat baik dan lebih berupa nasihat.

Kepada Nik Abduh, dokonglah ayahanda saudara dengan sebaiknya. Ayahanda saudara sebenarnya milik masyarakat. Kebolehan dalam menulis yang dianugerahi itu dan berblog, gunakanlah untuk memelihara PAS dan air muka ayahanda. Sebagai manusia dan sebagai individu sudah barang tentu pendirian, tanggapan, telahan akan berbeza. Dan sebagai individu, kita berhak untuk rasa marah dan kecewa tatkala rasa dan pemikiran kita yang kita rasakan betul kerana telah benar-benar dimatangkan kaang-kadang tidak diterima.

Namun, dalam politik, tingkah laku kita harus berbeza. Kita perlu pandai menyembunyikan emosi kita atau mengurus emosi kita. Dalam politik kita perlu sentiasa dilihat bersih, tenang, dan tidak cepat melatah. Dan kata-kata kita perlu disusun secermat mungkin walaupun kita sebenarnya dalam emosi marah dan kecewa.

Saudara Nik Abduh memang seorang individu yang punyai kejatian yang tersendiri, tetapi kemandiriannya tidak menghapus bahawa dirinya tetap berbinkan Nik Aziz. Beliau tetap dikenal sebagai anak Nik Aziz.

Dan siapa Nik Aziz itu?

Inilah yang harus disedari benar-benar oleh Nik Abduh. Tidak salah kalau saya simpulkan atau letakkan TGNA, bapa Nik Abduh adalah ikon PAS. Ketua eksekutif kerajaan Kelantan dan bertitle Tok Guru.

Tidak salah berblog kerana itu adalah hak individu, tetapi harus dipisahkan atau dibezakan. Ini kerana kata-kata Nik Abduh melalui blog merupakan kata-kata anak Nik Aziz, bukan Nik Abduh secara individu. Pada tafsiran umum, setiap kata-kata Nik Abduh dalam blognya secara langsung atau tidak langsung akan pasti memberi kesan kepada ayahandanya.

Apabila misalnya Nik Abduh menyuarakan dalam blognya ketidakpuashatiannya terhadap PAS Kelantan atau mengkritik salah seorang Adun atau exco Kelantan maknanya masyarakat akan mendapat mesej bahawa wujud campur tangan anak (Nik Abduh) dalam urusan kerajaan dan parti atau wujud pertentangan atau konflik secara halus antara bapa dan anak.

Kalau tulisan berupa teguran itu dikarang secara harus halus dan berlapik, walaupun impak "damage" agak kurang. namun masyarakat pembaca kini dapat mengesannya. Apatah lagi tulisan bernada agak kasar dan agak celupar.

Saudara sewajibnya mengelak daripada menulis yang memberi mesej yang salah atau negatif kepada khalayak. Imej bapanya akan tercalar.

Saudara Nik Abduh, kalau ingin menulis, oleh sebab beliau merupakan anak Nik Aziz, seharusnya yang mampu memperkukuh imej bapanya atau memperkukuh agenda, ideologi, misi, dan contoh-contoh tindakan ayahandanya yang baik serta disandarkan kepada sirah atau nask. Dalam konteks terkini, TGNA merupakan tunjang PR dan ikon PR. Tunjang dan ikon inilah yang harus digarap. Sekiranya timbul polemik dalam hal ini, polemik itu adalah polemik membina.

Satu Contoh

Dalam isu terbaru tentang adik iparnya, Ariffahmi, tulisan atau luahannya tidak mampu menjernihkan suasana malah kesan "damage" kepada ayahandanya agak besar, selain itu memberi gambaran wujud "family kitchen" dalam karier politik bapanya.

"Apabila saya diberitahu bahawa ayahanda akan segera melantik Ariffahmi ke jawatan CEO, saya bersegera mengintai masa ayahanda untuk bersendirian bersamanya seketika untuk memberi pandangan yang agak kontra. Dalam setengah jam perbincangan, saya tunjukkan kepadanya sebab dan keresahan saya terhadap kemungkinan yang akan menimpa Ariffahmi. Saya memberitahunya mengenai sikap kawan dan lawan yang tidak menyetujui keputusan tersebut. Tujuan saya agar ayahanda berfikir semula atau lebih bersedia menghadapi kemungkinan yang saya resahi akibatnya".

"Tetapi ayahanda telah menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap pendiriannya dan Ariffahmi sendiri. Beliau menjawab dengan penuh yakin segala persoalan saya. Apabila saya mendapati ayahanda tidak akan berganjak lagi, saya titipkan untuknya beberapa pesanan yang paling berguna daripada saya agar disampaikan kepada Ariffahmi". Baca di sini.

Dua petikan panjang yang saya nukilkan di atas, memang bertujuan baik, tetapi sebenarnya mendedahkan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam isu pelantikan Ariffahmi sebagai COO dan CEO PBMK. Petikan ini menyasarkan kepada ayahandanya dan Ariffahmi sendiri.

Tentang tuduhan dan dakwaan, posting ini agak kasar,

"Beliau bukan peneguk arak, tetapi serangannya seperti peneguk arak yang bersahaja dalam kemabukan. Menaruh madu di dalam racun dan menitik zam – zam di gelas arak." Perumpamaan yang indah ini ditujukan kepada saudara Kickdefella, kenapa arak yang dipilih!

"Saya tahu mereka tidak menyetujui perlantikan Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda. Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan."
Quote ini pula menyindir penasihat ayahandanya yang didakwanya "opurchunis".

Tentang bahasa yang agak kasar, "Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, “Wahai si bodoh!”

Kepada Puan Nik Amalina
Baguslah kerana puan telah pun bergelar blogger.

Namun kedudukan puan dalam keluarga Nik Aziz memudahkan timbul prejudis dalam kalangan pembaca dan penaganalisis politik dan blogger lain.

Puan bukan saja anak perempuan TGNA tetapi suami kepada Ariffahmi yang menjadi isu dan "central isyue".

Nasihat saya sama seperti nasihat saya kepada saudara Nik Abduh.

Apa yang boleh saya katakan ialah puan puas dan lega, segala yang terbeban dan menghenyak jiwa sebahagiannya telah terlerai. Namun, adakah luahan itu membantu menjernihkan suasana?

Kalau puan meneliti balik posting atau luahan puan tentang isu suami puan, baca balik secara jujur, dan bukan sebagai anak Nik Aziz dan bukan suami Ariffahmi, saya pasti, luahan itu itu penuh emosi, dan tuduhan sehingga menjalar ke isu personal orang lain.

Natijahnya, puan pula yang menjadi sasaran kritikan.

Kepada Ariffahmi

Apabila saudara mengambil keputusan untuk bersetuju atau akur dengan kehendak mentua, saudara sebenarnya telah bermain dengan api yang menunggu masa dan ketika untuk marak. Dan, sesungguhnya, saudara telah berssedia untuk berkorban dan dikorbankan.

Saudara tidak boleh lagi bersandar kepada mentua saudara. Sgalanya saudara yang perlu tanggung sendiri.

Walaupun anda telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan, namun anda masih sebagai CEO PBMK sehingga Mac 2010. Tempoh itu agak lama, dan mengundang persepsi negatif dan persoalan kepada umum.

Tugas mentua saudara sebagai MB dan Pengerusi PBMK telah selesai. Terpulang kepada saudara untuk berkorban pula.

Isu seputar kronisme masih lagi berlegar kerana anda masih berada di PBMK, dan selagi anda berada di sana, imej mentua saudara terus dicalarkan.

Saudara sekarang terpaksa membuat pilihan. Agenda parti tidak mengenal individu. Selagi indiividu itu membawa untung kepada parti, individu itu akan parti pertahankan. Jika individu itu, membawa beban kepada parti, bila-bila masa sahaja parti akan meninggalkannya.

Tinggal lagi, soal bagaimana anda bertindak agar parti menghormati saudara, dan maruah saudara terpelihara, dan dikenang sebagai pejuang sebenar. Pejuang sebenar, sanggup mengorbankan diri untuk organisasi demi menanjak cita-cita parti yang lebih besar.

Inilah hakikat politik dan sepak terajang politik.

Bertindaklah sekarang! Jangan nanti sampai parti bersuara kali kedua. Dan saya rasa, Pas Kelantan telah pun menyampaikan mesej! Yang menghalang PAS Kelantan kini ialah rasa hormat kepada TGNA.

Akhirnya, peliharalah sebaik-baiknya maruah dan imej ayahanda sekalian, yang sesungguhnya ikon PAS, ikon negara, dan agama.

Maafkan saya sekiranya teguran dan nasihat ini begitu celupar dan menyakitkan hati. Saya menyampaikan apa yang terbuku di hati saya sebagai aktivis politik yang mahu melihat PAS menjadi tunjang kukuh Pakatan Rakyat yang menjadi impian mentua saudara, Tuan Guru Datuk Haji Nik Aziz Nik Mat.

Sekian. Wassalam.

Ruzis, Kelate negeghi ambo!.
Simpang 4, AS

30 December, 2009

Husam Memecah Kebisuan


Salam.

Tulisan Husam "Malaysia atau Diri" harus dibaca dengan hati-hati, dan harus dihindari unsur skeptikal. Tulisannya atau luahannya harus dibaca dengan "adil". Baca tulisan Husam di sini.

Sosok Husam ini, begitu mengujakan media alternatif dan media arus perdana. Mengapa sosok ini begitu diburu media. MSO mengesahkannya! (link)

Tulisan beliau kali ini mendapat sorotan hampir media alternatif, Malaysia Insiders, Malaysiakini, Mstar Online, dan para blogger. Masing-masing menyorot dengan perspektif tersendiri.

Pada saya, kita harus memahami latar belakang yang menungkinkan Husam mencoret luahannya yang agak panjang lebar yang memulakan secara deduksi dan mengakhirinya dengan induksi. Tulisannya begitu umum, penuh istilah, dan sukar ditelah sasarannya. Namun secara jelas merumuskan agenda perjangannya yang bercorak keMalaysiaan (Agenda Politik Baru).

Di bawah saya berikan sedikit senarionya bagi memudahkan saya merumuskan ke mana sebenarnya sasaran yang dimaksudkan oleh Husam.

a) Beliau banyak membaca dan penstrategis.
b) Di Kelantan, beliau agak menonjol berbanding tokoh-tokoh PAS yang lain.
c) Porfolio yang dipegang Husam dalam kerajaan Kelantan merupakan portfolio teras dan tunjang (kewangan). Melalui Husam Kelantan memperoleh jutaan ringgit daripada Felcra.
d) Penyokong tegar Pakatan Rakyat.
e) pengaruhnya agak merata. Dalam muktamar PAS baru-baru ini, banyak penganalisis yang berpendapat sekiranya Mat Sabu tidak bertanding dalam pemilihan timbalan presiden PAS, peluang Husam menang agak cerah.

Situasi Husam Terkini

Antara pemimpin PAS yang menonjol, yang boleh mewakili PAS yang bergerak di peringkat pusat dalam memperkukuh Pakatan Rakyat ialah Husam. Beliaulah juga antara penentang kuat perselingkuhan beberapa pemimpin PAS dengan UMNO dan idea UG.

Beliau merupakan anak didik TGNA dan menjadi pemimpin politik Kelantan yang disayangi TGNA. Jelas TGNA, "...Datuk Husam ini antara yang saya sayang, dia punya kebijaksanaan". Baca di sini. Dalam tertatihnya gagasan Pakatan Rakyat, TGNA merupakan tunjang atau akar tegaknya Pakatan Rakyat. Maknanya, Husam dan TGNA adalah sinonim dan regu yang ampuh.

Maknanya, Husam sebenarnya dicemburui dan dimusuhi secara senyap oleh tokoh-tokoh yang melihat Husam akan mampu menanjak ke puncak kuasa terutama dalam saf pimpinan tertinggi dan peringkat pusat sekiranya Allah s..w.t mengizinkan jatuhnya Putrajaya ke tangan PR.

Situasi Husam Di Kelantan

Yang kurang pada Husam ialah beliau bukan berkelulusan agama, tidak datang dari Al Azhar, Jordan atau Maghribi atau Arab Saudi. Beliau golongan profesional. Lihatlah jawatan partinya di Kelantan, sebagai TPSJ II, Ahmad Yaacob (TPSJ I) dan Nik Amar (TPSJ III) merupakan lulusan agama. Keadaan ini memungkinkan wujudnya keadaan yang kontra - ulama vs profesional.

Husam mempunyai sayap kebajikannya iaitu Kijang Care. Sayap atau organ ini memperlihatkan Husam atau memperjelas atau perealisasian perjuangannya. Secara tidak langsung organ ini mampu memprojeksi dirinya atau berfungsi sebagai promo. Satu sisi lain lain ialah pengekalan kewujudan atau kelangsungan badan yang mengharapkan bantuan kewangan dari sumber luar. Pengekalannya bermakna Husam mempunyai networking yang luas. Ini menggambarkan atau memperjelas betapa luas pengaruhnya.

Kedudukannya yang sangat rapat dengan TGNA, penyokong tegar PR, dan menjawat portfolio utama (kanan) dalam kerajaan, pengaruhnya yang meluas, tidak hairanlah ada individu-individu yang mencemburuinya.

PAS Kelantan berjaya mengekalkan pemerintahan selama 20 tahun, satu tempoh yang lama. Satu hal yang perlu dinilaikan ialah faktor yang rakyat Kelantan masih mempertahan pemerintahan PAS di Kelantan. Ini akan saya sentuh kemudian.

Yang saya bimbangi ialah apabila terlalu lama memerintah, mereka mulai leka dan merasakan diri mereka kuat dan mendapat dokongan utuh daripada akar umbi. Lalu, soal penyampaian khidmat kepada masyarakat mulai longgar, dan mulai menular soal nepotisme dan kronisme.

Tanda-tanda ke arah itu mulai menjelma kalau kita mengambil kira isu PBMK dan MBK-BI dan lembabnya sistem khidmat Skim Takaful Kifalah.

Tanda-tanda kronisme dan family matter mula kelhatan. Lihat bagaimana Nik Abduh dan Nik Amalina menggunakan blog untuk mengkritik tokoh-tokoh tertentu yang rapat dengan TGNA dan personal-personal PAS yang lain. Kalau diteliti analisis-analisis daripada blog, serangan ahli keluarga TGNA menjurus kepada Husam.

Isu Ariffahmi memperjelas hal ini, dan sebelum itu isu tentang pertemuan gelap antara pemimpin PAS dengan UMNO di belakang TGNA serta UG. Kemungkinan pendirian tegas TGNA dalam hal kelangsungan PR dan menolak secara total kerjasama dengan UMNO melukakan hati individu tertentu. Pendirian TGNA ini sudah tentu dikongsi bersama dengan Husam dan pegawai politiknya, khususnya Setpolnya.

Adakah Husam Menyerang Mentornya?
Jadi, pada saya, tulisan Husam ini sebenarnya ditujukan kepada pemain-pemain yang ada kaitan keluarga dengan pemimpin. Barangkali kalau boleh saya katakan ialah ahli keluarga TGNA sendiri yang mengasak TGNA dalam hal-hal tertentu.

Husam sebenarnya tidak menyerang TGNA tetapi cuba menyedarkan ahli keluarganya supaya memahami bahawa kejatuhan Mahathir dan Pak Lah disebabkan soal betapa menonjolnya peranan keluarga dalam keputusan atau projek kerajaan.

Husam bermaksud supaya jangan sekali-kali memperlihatkan ahli keluarga yang dekat atau jauh berperanan atau campur tangan dalam urusan kerajaan dan parti. Apabila rakyat mula mendapat mesej ini dan dieksploit pula oleh musuh, ditambah pula dengan sistem penyampaian kerajaan yang longgar dan politiking mengambil tempat maka tidak mustahil sejarah akan berulang.

Pada saya, demi parti Husam terpaksa bersuara, selain untuk mempertahan dirinya.

Simpang 4, AS