01 April, 2012

Bayan Mutiara: Syok Sangat Cari Salah, Pemuda Umno PP Masuk Lubang


Salam. Begitu ghairah Ketua Pemuda Umno P.Pinang  mempertahan kawasan tapak masjid dan sekolah di Bayan Mutiara hingga sanggup menerima padah saman Lim Guan Eng (LGE). Malah Ketua Pemuda ini mencabar supaya dipercepat saman itu sebab banyak lagi dokumen yang akan didedahkan.

Rupa-rupanya LGE sengaja enggan respons kerana ternyata kejahilan tentang jangka hayat pelan yang diluluskan pada tahun 2006, yang di dalamnya termasuk tapak masjid dan kawasan sekolah.

Kenyataan yang dibuat oleh Rahmad Isahak, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang menjelaskan segala-galanya. Menurut Rahmat, kesilapan UMNO PP yang berkuasa pada tempoh itu (2006 - 2008) tidak mewartakan dan memecah lot untuk tapak masjid dan sekolah. Kealpaan UMNO PP itu menyebabkan tempoh hayat (satu setengah tahun) pelan yang diluluskan itu menyebabkan kedua-dua tapak itu hilang apabila kuasa kerajaan bertukar tangan ke PR.

Jadi, jelas di sini ialah kesilapan sebenar ialah ketidaksungguhan UMNO untuk menjadikan kedua-dua tapak diserahkan kepada Majlis Agama Islam PP dan Kementerian Pelajaran.

Namun begitu, pihak Ivory Properties Group Berhad (IPGB)  yang membeli Bayan Mutiara  telah memberikan komitmen untuk tetap membangunkan masjid dan sekolah di Bayan Mutiara walaupun mereka menyedari tidak tertakluk kepada pelan asal yang telah diluluskan pada 2006.

Inilah yang dikatakan kerana terlalu ghairah mencari salah orang lain, tanpa sedar pihak UMNO membuka pekung sendiri. Merekalah yang sebenarnya yang alpa dan tidak bersungguh, dan menuduh pihak lain untuk menutup kelemahan mereka.

Antara Pongahnya Najib, Yakinnya Noh di Selangor


Salam. Dengan pongahnya, Najib mengumumkan di Bera, bahawa pada Mei depan yang disifatkannya sebagai "durian runtuh" kepada para peneroka bersempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu disifatkan beliau bakal membuatkan para peneroka "tersandar, rebah dalam kejutan".

"Banyak mana? Saya tak akan umumkan hari ini. Banyak mana? tunggu, kita akan buat pengumuman nanti," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Peneroka Gugusan Bera di Felda Triang 3, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 peneroka itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob,  Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Perdana Menteri berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam satu perjumpaan besar-besaran bersama warga peneroka di Pahang pada Mei depan.

Najib begitu yakin bahawa penerusan rancangan penyenaraian FGVH pada Jun 2012 ini akan diterima oleh sebahagian peneroka Felda, dengan janji "durian runtuh" yang besar, di tengah-tengah asakan sebahagian NGO Felda yang menentang penyenaraian malahan telah pun mendapat injuksi mahkamah tentang mesyuarat agung KPF.

Najib barangkali menyangka penentangan sebahagian peneroka terhadap kesan buruk penyenaraian ini hanyalah mainan pembangkang atau Pakatan Rakyat atas dasar memperoleh faedah politik. Najib mungkin berasakan penentangan ini cuma penentangan picisan. Mungkin juga Najib berasakan bahawa masyarakat peneroka akhirnya akan tetap bersama UBN apabila mendapat habuan besar sebaik penyenaraian berlaku.

Mungkin, pada saya, Najib akan tetap meneruskan penyenaraian atas sebab dana pilihan raya, atau Najib yakin bahawa walaupun penentangan ini benar-benar berasaskan realiti akar umbi Felda, UBN akan tetap dapat mengekalkan Putrajaya pada PRU13. kelihatannya hampir pasti PRU13 akan berlangsung pada Jun 2012 nanti.

Mengapa saya mengandaikan begitu? Cuba telitikan kenyataan Noh Omar tentang keyakinannya, UBN akan memperoleh 36 kerusi DUN daripada 56 kerusi.

Mengapakah Noh begitu yakin? Adakah ini hanya berupa gimik atau "psyche war" atau untuk menyemarakkan semangat UBN Selangor agar terus bekerja untuk mengembalikan sokongan pengundi Selangor menyokong UBN?

Sinergi antara kepongahan Najib untuk terus menyenaraikan FGVH, dan kenyataan Noh yang yakin itu membawa suatu pertanyaan, adakah UBN telah benar-benar bersedia memasuki zon perang PRU13 pada Jun nanti?

Melihat keyakinan Najib ini, walaupun Daim Si Tukang Tilik, dan Mentor Najib, Mahathir meramalkan tidak mudah untuk UBN menang dengan selesa jika berlaku PRU13 nanti. Malahan Mahathir menggerhanakan lagi momentum Najib ke arah membubarkan Parlimen, dengan kenyataannya yang UMNO begitu kurang golongan profesional dan intelek sebagai penggerak/ pendokong UMNO.

Ini menjurus kepada suatu fakta yang sukar dihujahkan bahawa SPR telah selesai menyusun atur pengundi-pengundi dalam daftar  pemilih yang akan diguna pakai pada PRU13 nanti.

Dan, hampir pasti UBN akan mengekalkan Putrajaya pada PRU13 nanti kecuali suatu tindakan drastik dan bersepadu dilakukan oleh PR dalam mendesak SPR "membersihkan" daftar pemilih.

29 March, 2012

Awas, Kata-Kata Daim Mula Memukau PR...

Salam. Tertanya-tanya adakah Daim ingin popular sebagai penganalisis politik yang realis, dan melupakan hubungan 3 seginya - Daim, Mahathir, Najib?

Memang ramalan Daim "menjadi" untuk PRU12 (2008), namun adakah niat Daim boleh kita samakan dengan realiti politik pasca 2008? Adakah Daim, dengan ramalannya dan hasil analisisnya bahawa pada PRU13 nanti hanya 3 negeri yang selamat bagi UBN - Johor, Melaka, dan Pahang, Daim berniat ingin menghancurkan legasi UBN yang pernah menjadi lubuk hartanya?

Dalam hati kecil saya, seolah-olah ada "hidden agenda" Daim apabila berkata-kata hanya 3 negeri yang selesa untuk UBN, selain Pulau Pinang dan Kelantan kekal di bawah UBN. Adakah Daim rela kerusi PM di Putrajaya diduduki oleh musuh no 1 beliau, Anwar Ibrahim?

Senarionya begini, adakah SPR benar-benar bebas? Adakah SPR akan patuh kepada syor-syor PSC yang akan dibentangkan pada 10 April ini? Memang SPR telah setuju, tentunya Najib telah pun merestuinya akan menggunakan calitan dakwat kekal untuk PRU13 nanti. Cuba kita tanyakan lagi, mengapakah mereka bersetuju dan akur? Adakah Najib sanggup menggadaikan kuasanya dengan terlaksananya penggunaan calitan dakwat kekal ini? Maksudnya mereka telah pun yakin bahawa pelaksanaan calitan dakwat ini tidak akan menjejaskan undi terhadap UBN.

Kita boleh kaitkan dengan gerakan pemutihan PATI oleh KDN, dan dengan kerjasama dengan JPN, didakwa ratusan ribu PATI diberi kad pengenalan. Jika andaian ini tepat, UBN tidak harus runsing dengan calitan dakwat.

Pemimpin PR dan blogger PR juga ada mendedahkan bagaimana SPR memanipulasi daftar pemilih tanpa kita sedari. Juga bagaimana SPR melaksanakan pembetulan sempadan SPR dengan sempadan negeri. Perpindahan alamat juga didakwa sedang giat dilakukan di negeri-negeri dikuasai PR.

Jadi, apabila Daim dalam wawancaranya yg terkini mengatakan bahawa hanya 3 negeri yang selesa bagi UBN jika berlaku PRU13, sebenarnya Daim berhasrat untuk melekakan PR dan supaya PR berasa selesa bahawa Putrajaya telah confirm jatuh ke tangan PR.

Kita dapat merumuskan yang Daim berniat untuk mengalih perhatian terhadap agenda tersembunyi SPR terhadap daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRU13 nanti.

Hemat saya, Daim menyedari bahawa dasar transformasi Najib lebih berupa retorik dan segala pemberian wang dan projek serta janji Najib tidak mampu lagi mengubah persepsi sebahagian besar rakyat terhadap kebobrokan UBN. Talian hayat terakhir dan ampuh UBN ialah SPR dan daftar pemilih, termasuk undi pos.

Begitu juga dengan gerombolan yang diketuai Nalla untuk menelanjangi kegiatan sex tersembunyi Anwar dengan dibantu peguam Muhammad Shafee, antara tujuannya untuk mengalihkan tumpuan PR dan rakyat daripada daftar pemilih yang begitu meragukan itu.

Oleh itu, bangunlah dari lena dan angan-angan. Usahlah seronok akan kejayaan Rafizi embongkar skandal Fidlot itu. Memang usaha Rafizi itu boleh kita kalungkan bunga atas kegigihannya hingga jatuhnya Shahrizat. Tapi, ada tugas yang lebih besar dari itu, jika isu daftar pemilih ini tidak diselesaikan dan didedahkan, angan-angan ke Putrajaya hanyalah fatamorgana.

28 March, 2012

Urgent! Telitikan Amaran Tulang Besi

Apabila membaca posting Tulang Besi tentang manipulasi SPR untuk memenangkan UBN, hati menjadi cukup risau. Tulang Besi memberi isyarat bahawa Selangor akan jatuh ke tangan UBN pada PRU13.

Saya turunkan sedikit ringkasannya, bahawa dengan kerjasama SPR dan JPN, UBN akan menang 43 kerusi DUN, PR hanya menang 13 kerusi sahaja. Kerisauan TB berasaskan keadaan berikut:

1.0 Menukar puluh ribuan pengundi2 Pakatan Rakyat dari DUN masing-masing
2.0 Mendaftar pendatang asing sebagai pengundi yang sah
3.0 Menukar alamat pengundi2 UMNO dari Johor, Melaka dan Pahang untuk mengundi di DUN PKR dan PAS
4.0 Mendaftar banyak pengundi2 hantu yang tidak dikenali dan tidak wujud di Selangor

Saya juga telah menurunkan kerisauan yang sama oleh Matsamankati dalam posting saya yang lalu. SPR mengambil peluang secara sembunyi mengalih pengundi melalui perubahan lokaliti mengundi.

Adakah PR atau Majlis Pimpinan PR tidak menyedari hal ini? Kita risau, PR tidak memfokus kepada isu yang real ini yang kita memandang remeh hal manipulasi SPR dan JPN ini, PR pasti tersungkur pada PRU13.

Cerdik Juga Hujah Mereka Ini Nak Jatuhkan Anwar

Salam. Seronok apabila kita membaca dan meneliti modus operandi geng ini nak menjatuhkan Anwar. Nampak mereka kian nekad, dengan Nalla menjadi bos dan dibantu peguam Muhammad Shafee.

Sebelum itu saya amat tertarik dengan hujah blogger umno ini, kenapa Anwar tidak layak menjadi PM. Cuba teliti hujah blogger ini:

 "Bagaimana pula komen kenalan rapat yang tahu luar dalam dan bersama dengan beliau di dalam kerja-kerja peribadi?

1. Saya mendedahkan ini demi untuk menyelamatkan Malaysia dari berperdana menterikan seorang yang rosak moral.

2. Saya ada bukti, malah sayalah orangnya yang membekal dan menguruskan wanita-wanita untuk hidangan beliau.
3. Sayalah orang ketiga yang dilihat di dalam video tersebut.
4. Seorang biseksual tidak layak dan tak boleh sama sekali dibenarkan untuk menjadi Perdana Menteri.

Buka mata besar-besar. Buka minda luas-luas. Beristighfar dan minta petunjuk supaya hati menjadi rasional dan sentimen taksub terhapus. Lapangkan dada, jiwa dan pemikiran dari sebarang sifat bias dan asobiyyah
."


Siapakah yang dimaksudkan oleh blogger ini tentang kenalan rapat Anwar? Rasanya kita semua sudah maklum siapa mereka. Bagi saya mudah sahaja, jika mereka sudah tahu sejak awal akan perlakuan Anwar ini tetapi kenapa masih bersama. Baru sekarang mereka menjadi penentang Anwar dan bekerjasama dengan UMNO? Mengapa tidak sejak dahulu? Maksudnya mereka bersubhat dengan Anwar jika benarlah perlakuan Anwar seperti yang mereka dakwa.

Apabila mereka menentang Anwar dan semata-mata berfokus kepada Anwar dan membutakan mata fikir dan hati tentang apa yang telah, sedang dan akan UMNO lakukan dalam pemerintahannya dan terhadap rakyat, sebenarnya ada sesuatu yang cuba dilindungi oleh mereka.

Ambil contoh Zul Kulim, yang difokuskan ialah Anwar, Pas, dan sesekali DAP. Zul selalu menjuarai Islam dan Melayu. Tetapi, adakah UMNO benar-benar Islami dan benar-benar membela Melayu? Tidak pun Zul sentuh tentang kebocoran, ketirisan, rasuah, mempersenda agama oleh pemimpin UMNO.

Jika nak bandingkan antara Najib dengan Anwar malah Mahathir, siapakah yang benar-benar bersih? Adakah rakyat tidak tahu siapa sebenarnya Najib dan Mahathir?

Pertanyaan penting, adakah niat mereka akan tercapai? Jika tokoh politik yang selicik Mahathir pun gagal menjatuhkan Anwar, malahan dirinya sendiri yang akhirnya terpaksa berundur, apatah lagi manusia yang terlalu kecil itu untuk merempuh aura Anwar dalam politik.

Sifirnya mudah, tokoh seperti Anwar ini, kian diasak kian kuat. Malahan auranya dan seruannya kepada nurani manusia memang akan sentiasa mengundang penentangan. Dan, saya percaya, di hati kecil Anwar, beliau cukup berterima kasih kepada orang-orang seperti Zul, Zaharain, dan gerombolannya kerana akhirnya mempopularkan Anwar dan secara tidak langsung memperjelas misi dan visi Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh UBN dan aparatnya boleh kita ibaratkan membasuh daki-daki di badan Anwar, yang akhirnya membersihkan Anwar.

Oleh itu, Zul, Ezam, Zahid, Zaharain, Nalla, Muhammad Shafee, teruskanlah sarkas ini, jika anda semua menyangka rakyat seronok menontonnya. Barang kali, yang ditonton rakyat nanti bukannya Anwar tetapi diri mereka.



24 March, 2012

PR akan Kantoi Jika Memandang Remeh SPR

 Salam.Cuba kita bertanya sesiapa pun, asalkan yang bukan fanatik, adakah UBN menguasai Putrajaya pada PRU13? Rata-rata jawabannya sama ada di warung kopi, cafe, pejabat-pejabat, bahawa Najib telah pun menempah kerusi yang kini dipegang oleh Anwar, Ketua Pembangkang.

Sekurang-kurangnya beberapa isu yang menyesak nafas Najib, isu SBPA, isu Lynas, isu Fidlot, isu Shahrizat dengan Wanita UMNOnya, dan isu FGVH dan penyenaraian Felda. Daim pula menabur garam ke luka Najib bahawa jika PRU13 berlaku sekarang, hanya 3 negeri yang benar-benar selamat: Johor, Melaka, Pahang.

Daim juga meramalkan 16 kerusi parlimen sarawak, 12 kerusi parlimen Sabah akan jaruh ke PR. Isu FGVH jika Najib semata-mata menyerahkan kepada Isa Samad dan Ahmad Maslan mengendalikannya, gugusan Felda yang dulunya milik UMNO, kemungkinan besar berpihak kepada PR.

Dengan segala isu yang sedia membelit Najib, dan bulan April ini bermulalah perbicaraan komisyen Scorpene, sudah cukup untuk menjatuhkan Najib dan Putrajaya.

Namun dengan isu yang membelit Putrajaya ini, adakah PR akan menang. Rasanya, usah bermimpi di siang hari. SPR dalam senyap sedang menyusun peta kemenangan untuk UBN.

Pendedahan Matsamankati (MSK) dalam weblognya, Malaysia Times, Mission Possible 1, 2, dan 3 cukup menggusarkan.MSK mendedahkan bagaimana SPR memanipulasi daftar pengundi.

Saya sependapat dengan MSK bahawa PR memandang enteng manipulasi SPR ini. Adakah PR ada seksyen khusus menangani isu SPR ini? PR banyak blogger sukarela yang pakar di bidang IT ini. Namun mereka berkeluarga dan perlu menyara keluarga, apa salahnya disediakan sedikit dana untuk tujuan itu.

Untuk selanjutnya, sila ke link ini.


Ke mana Pemuda Pas Kedah?

Salam. Kita sebagai pemerhati politik Kedah tidak memahami apakah sebenarnya yang ingin dicapai oleh pihak Pemuda Pas Kedah apabila mereka membawa usul dalam mesyuarat Perhubungan Pas Negeri baru-baru ini supaya TPJ1 dan TPJ2, Phahrolrazi dan Dr Ismail dilucutkan jawatan politiknya?

Saya secara khususnya telah menyentuh sebelum ini akan isu ini bahawa kemelut yang berputar tentang kepimpinan Ustaz Azizan dan hala tuju pemerintahan Kedah, sebahagiannya disebabkan kegagalan sayap-sayap parti ini memainkan peranan sebagai "semak dan imbang". Mudah sahaja alasannya, sekiranya mereka berperanan, tidak timbul Phahrolrazi dan Dr Ismail menolak pelantikan semula jawatan exconya. Kenapa mereka gagal? Jelas mereka memihak, dan tidak "nutral".


Ketuanya dan safnya harus sedar bahawa Pas Kedah tidak lagi bebas untuk bertindak sendiri dan sewenang-wenangnya bertindak. Kemelut Pas Kedah bukan suatu isu yang kecil. Pas Pusat telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu (JKP). Maknanya usul pemuda itu sebenarnya cuba merombak perhubungan negeri dikira melanggar atau tidak menghormati atau tidak mematuhi formula penyelesaian yang diusahakan oleh Pas Pusat.

Jika pihak Pas Pusat yang menilai kemelut ini tidak bersedia untuk merombak kepimpinan Pas peringkat negeri, dan masa sama mengarahkan 2 exco itu menerima pelantikan semula exco, menggambarkan bahawa ada isu yang sebegitu besar dan jika tidak diurus dengan baik tentunya akan menjejaskan kerajaan pakatan Kedah.

Di sini, agak jelas bahawa Pas Pusat melihat isu ini melangkau isu peribadi tetapi isu yang menyangkut survival kerajaan PR Kedah.

Dari bacaan biasa, dalam konteks penyelesaian dan formula Pas Pusat ini, Pemuda Pas Negeri melihat isu ini dari segi individu. Jika kemelut ini adalah isu peribadi atau soal perebutan tempat, perebutan kuasa, atau soal memperoleh kontrak, formula penyelesaiannya begitu mudah semudah formula menyelesaikan soal Hassan Ali.

Situasi Pas telah kembali normal, dan Ustaz Azizan pun begitu mempertahan asakan UMNO tentang JKP bahawa JKP tidak sekali-kali merampas kuasa MB. Soal angkat sumpah kedua-dua exco yang telah pun mendapat perkenan Tuanku Sultan, cuma menunggu masa yang sesuai sahaja. Ini membawa maksud Ustaz Azizan telah bersedia (berdamai) untuk ke arah persediaan ke arah PRU13.

Dalam situasi yang mula tenang ini mengapa Pemuda Pas Kedah menimbulkan isu yang cukup sensitif ini. Mujurlah Ustaz Azizan menolak usul ini.

Terdapat beberapa tafsiran. Pertama, sedia maklum bahawa Pemuda Pas Kedah menyokong kepimpinan Ustaz Azizan. Setiap sokongan haruslah sokongan yang rasional dan bersyarat, bukan sokongan tanpa soal atau wujud unsur-unsur tersembunyi. Adakah usul ini sebagai tindakan balas dendam atau hukuman kerana TPJ1 dan TPJ2 enggan patuh kepada PSJ? Dan adakah tercetusnya usul ini dalam pengetahuan PSJ? Jika usul ini dalam pengetahuan PSJ maka bolehlah dianggap suatu isyarat bahawa kedudukan PSJ1 dan PSJ2 terancam, dan boleh ditafsirkan Ustaz Azizan tidak menerima sepenuhnya formula Pas Pusat.

Jika usul ini hanya berniat untuk menunjukkan betapa setianya kepada Ustaz Azizan, maka berapa banyak pemimpin Pas Kedah yang perlu digugurkan kerana tidak sependapat dengan Ustaz Azizan baik sebagai kapasiti PSJ atau MB? Mengapa tidak diusulkan supaya Ketua Dewan Ulamak Pas digugurkan?

Kedua, usul ini dikemukakan barang kali untuk menguji sejauh mana pengaruh Phahrolrazi dan Dr Ismail dalam kalangan saf kepimpinan perhubungan negeri. Jika pada peringkat kepimpinan negeri, pengaruh mereka tidak kuat, bagaimana pula dengan peringkat kawasan dan akar umbi? Bagaimana pula reaksi Dewan Ulamak?

Ketiga, seharusnya Pemuda Pas harus berbincang dahulu dengan PSJ sebelum usul itu dikemukakan. Saya agak yakin sekiranya telah dibincangkan, usul ini akan tertolak. Banyak kesannya apabila usul ini dikemukakan tanpa restu PSJ. Pemuda Pas seolah-olah tidak memahami isu dan cuba menimbulkan ketegangan yang sudah pun mula pulih. Bagaimana pula tanggapan perhubungan negeri, dewan ulamak, JKP, dan akar umbi terhadap PSJ (MB)?

Akhirnya, PSJ (MB) harus memastikan Pas Kedah kembali bersatu dan menggembleng semua tenaga yang ada untuk memastikan survival kuasa PR di Kedah. Kemelut itu sudah selesai. Semua unsur yang cuba untuk menimbulkan ketegangan harus diberhentikan. Pada saya, tindakan Pemuda Pas Kedah ini jika tidak diuruskan dengan betul akan mengocak kembali Pas Kedah. Dan jika ini berlaku, umpama menepuk air didulang....

22 March, 2012

Kantoi SPR, PRU13 Tertangguh...

Salam. Rumours bergentayangan bahawa PRU13 akan berlaku pada Jun 2012.
Benarkah?

Keyakinan Najib nampaknya akan goyah lagi. Anwar dalam sidang medianya di lobi parlimen mendedahkan bagaimana SPR memanipulasi daftar pengundi. Seterusnya Anwar akan membuktikan berlakunya manipulasi ini. Anwar juga mendedahkan bagaimana berlaku peningkatan mendadak pengundi baru di Pekan, parlimen Najib.

Dr Maximus juga mendedahkan PSC tentang pembaharuan pilihanraya akan membina satu sistem terbuka untuk membersihkan daftar pemilih yang diragui. Beliau juga berkata sistem ini akan dibentangkan dalam parlimen pada 10 April ini.

Nampaknya,  para penasihat dan penstrategis Najib akan kebingungan. Pendedahan Daim bahawa jika berlaku PRU13, hanya 3 negeri yang benar-benar selamat - Johor, Melaka, Pahang cukup memening kepala mereka.


Shahrizat: Wanita UMNO Mula Berfraksi

Salam. Umno kian lama mula menunjukkan hakikat dirinya. Selama ini UMNO dan pemimpinnya menjaja ke sana sini bahawa UMNO pembela bangsa Melayu. Benarkah?

Terkini, selepas Shahrizat menawarkan dirinya untuk meletakkan jawatannya menterinya ekoran tamatnya tempoh hayat senatornya, dalam masa sama mengekalkan jawatan parti sebagai Ketua Wanita UMNO (KWU), mula timbul suara-suara dalam wanita bahawa tidakan Shahrizat itu tidak memadai. Beliau perlu juga berundur dari jawatan KWU.

Alasannya, mana mungkin seorang pemimpin yang terpalit dengan isu salah guna kuasa dalam isu Fidlot sehingga suaminya didakwa pecah amanah di mahkamah. Kita memahami suara-suara terpencil ini dalam wanita UMNO. Apakah persepsi ahli umno dan rakyat keseluruhan terhadap UMNO jika pemimpin yang tergelemang dengan pecah amanah masih dikekalkan dalam saat-saat menanti PRU13?

Anehnya, menurut Wanita Wilayah Persekutuan menyeru supaya kepimpinan Shahrizat dikekalkan untuk menerajui Wanita UMNO dalam PRU13, dan disokong pula oleh Najib.

Penegasan Wanita Wilayah Persekutuan ini turut dikongsi sama Wanita UMNO Pulau Pinang.

Jelas menggambarkan apa yang dikatakan di atas, dalam Najib meminta maaf atas kesilapan UBN sehingga UBN kehilangan beberapa negeri pada PRU12, dan meminta rakyat memberi peluang sekali lagi dalam PRU13, bahawa UMNO sebenarnya hanya bersandiwara.

Adakah ini parti yang mendakwa membela Melayu selama ini akan benar-benar ikhlas dalam mempertahan Melayu atau hanya untuk mempertahan kuasa mereka?

17 March, 2012

Felda rampas harta KPF?

 Felda rampas harta KPF?

Ini yang saya maksudkan dengan isu penyenaraian SGVH dan kesannya pada peneroka Felda. Pembongkaran demi pembongkaran didedahkan.

Kenapa Ahmad Maslam tidak berani untuk berdebat dengan Mazlan Aliman, jika benar penyenaraian ini menguntungkan dan demi masa depan felda. Bercakap dalam dewan berdegar-degar, sehinngga Salahuddin menganggap jawapan Ahmad Maslam terhadap isu ini sebagai jawapan yang angkuh dan tidak bertanggungjawab.

Saya agak yakin mengambil sikap Najib terhadap SBPA, dan isu Lynas, Najib sedang mengikuti secara rapat isu penyenaraiannya. Fakta-fakta yang menyelubungi penyenaraian ini telah diketahui umum. Najib akhirnya terpaksa memilih antara keuntungan jangka pendek (dana pilihanraya) atau Najib akan berisiko hilang kuasa.

Saya percaya generasi kedua Felda tidak akan membiarkan hasil titik peluh ibu bapa mereka tergadai dan hilang hak.

Bersedialah untuk melihat drama "flip-flop" PM  negara 1Malaysia!