22 May, 2009

Nizar VS Zambry, Kalaulah Benar Teori Husam ..


Salam dan selamat berjumpa kembali.
Terima kasih diucapkan kepada pengunjung yang setia.

Mahkamah Rayuan Putra Jaya sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Zambry sebagai MB Perak yang sah, sekaligus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi (Hakim Abdul Aziz Abd Rahim) bahawa Nizar kekal sebagai MB Perak.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop. Dan keputusan ini adalah sebulat suara.

Seperti yang ditegaskan oleh hampir majoriti rakyat, PR, NGO, dan sebahagian tokoh-tokoh BN seperti Ku Li, dan Dr Chua (MCA) bahawa mahkamah tidak dapat memecahkan kebuntuan politik Perak. Yang pasti selepas ini, pasukan peguam Nizar tentunya akan memfailkan bantahan dan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula. Dan putaran ini tidak akan berhenti berputar.

Pada hemat saya, walau apa pun keputusan mahkamah maruah atau kredibiliti BN amnya dan UMNO khasnya sekali-kali tidak akan pulih kerana rakyat Perak khasnya mengetahui dengan jelas senarionya.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak dapat menghakis persepsi rakyat Perak bahawa UMNO dan BN telah merampas kerajaan Perak yang sah dengan cara mengeksploitasi ketiga-tiga Adun yang dipertikai moraliti mereka dan istana Perak.

Namun begitu ada teori yang menarik berkaitan bagaimana lahirnya keputusan Mahkamah Rayuan ini. Husam (http://cetusan-hati.blogspot.com/2009/05/pembubaran-dun-perak-kian-hampir.html) berteori bahawa BN amat memerlukan keputusan ini untuk mengembalikan maruah BN dalam kalangan rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya serta mengembalikan integriti Najib sebagai PM.

Husam merumuskan hal ini setelah beliau melakukan siri perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin tertentu dalam usaha menggerakkan atau menyatukan gerakan agar dapat mendesak PM membubarkan DUN Perak.

Langkah pertama dalam teori Husam telah "mengena", dan sama-samalah kita menunggu benarkah Zambry akan meminta perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak.

Pembubaran DUN Perak memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Perak dan Malaysia. Dan jika benar-benar berlaku, inilah mahkamah terakhir untuk menyelesaikan kemelut politik Perak ini.

Namun, sekiranya hal ini tidak berlaku, Pakatan Rakyat tidak rugi apa-apa, malah mendapat "political milleage" secara percuma. Tidaklah perlu saya huraikan bagaimana PR mendapat durian runtuh daripada keptusan Mahkamah Rayuan ini. Masing-masing sebenarnya telah memahaminya dengan jelas.

Di Simpang 4, AS, 5.00pm.

08 April, 2009

Faktor 4 Tokoh, Kemenangan Yang Manis


Posting kali ini saya akan cuba kaitkan kemenangan atau pengekalan kerusi Parlimen dan Dun Pakatan Rakyat dengan 4 tokoh utama PR - Anwar, TGNA, TGHH, dan LKS.

PRK 7 April sekali lagi menjadi testimoni bahawa rakyat begitu komit dalam menjunjung agenda "Ketuanan Rakyat" (KR). Kalau kemenangan di Permatang Pauh bagi sesetengah pihak tidak boleh dijadikan ukuran kerana alasan Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim, begitu juga PRK Kuala Terengganu sesetengah pihak masih beranggapan bahawa tidak boleh dijadikan petunjuk bahawa momentum PRU12 masih kekal.

Pada saya, PRK7April, tiada lagi alasan bagi penganalisis yang masih fobia dengan kemaraan PR atau masih hanyut dengan sindrom penafian bahawa agenda PR untuk memperkasa Ketuanan Rakyat telah disambut dengan rela dan sedar oleh rakyat, sebahagian besarnya oleh generasi muda.

Nizar menang dengan majoriti bertambah hampir seribu undi, begitu juga Manikumar, mengesahkan lagi bahawa kesebatian generasi baru terhadap agenda KR telah "mengkristal".

Dalam konteks ini, di manakah letaknya keempat-empat tokoh tersebut dalam memacu kemenangan tersebut? Adakah faktor Anwar tidak dominan lagi?

Pemimpin dan Rakyat Menyatu

Saya kira keempat-empat tokoh tersebut telah pun dapat menemui titik-titik persamaan, dan meminimumkan perbezaan, serta bergerak dalam satu saf ke arah mencapai matlamat - mewujudkan Malaysia yang berkebajikan dan berteraskan keadilan yang ditunjangi agama dan moral yang kukuh.

Pakatan Rakyat telah memasuki fasa perjuangan yang ke seterusnya. Ahli-ahli PR dan simpatisan PR telah secara automatik dapat bergerak sendiri tanpa perlu didorong dan didokong oleh tokoh-tokoh besar. Ini bermaksud perjuangan PR telah meresap menjadi perjuangan yang dirancang dan digerak oleh rakyat sendiri.

Dalam keadaan ini, pemimpin dan penyokongnya telah menjadi satu. Penyokong dan para simpatisan membawa pemikiran, hasrat dan matlamat pemimpin. Pemimpin pula apabila bersuara membawa hasrat dan aspirasi rakyat.

Implikasi

Kesannya cukup hebat:

a) Apabila lawan politik cuba menggunakan isu dengan memburukkan atau merendahkan pemimpin besar PR, sokongan dan dokongan rakyat kian mengukuh, malahan mampu mendorong penyokong di luar PR makin bertambah.

b) Bebanan yang terpaksa dipikul oleh pemimpin besar kian berkurang kerana mereka tidak perlu risau dengan situasi penghakisan sokongan. Dalam masa sama, pemimpin pula boleh fokus kepada soal-soal lebih besar dan penting, iaitu soal-soal strategi dan usaha-usaha memperkuat organ parti dan kerajaan-kerajaan negeri PR.

c) UBN akan menghadapi tekanan yang hebat. Mereka menjadi defensif. Mereka sama ada akan mengambil pendekatan yang kian agresif dan menekan atau mengambil pendekatan untuk berubah senada dengan tuntutan rakyat.

Tugas PR Seterusnya

Apabila kita meneliti hasil daripada PRK7April, dokongan bukan Melayu cukup kuat. Namun sokongan daripada pengundi Melayu tidak banyak berubah.

Kini, masanya untuk pemimpin besar PR memfokus agenda pada orang Melayu pula. Mengapa mereka masih mempercayai dan meyakini UBN? Apakah yang sebenarnya dibimbangi oleh orang Melayu? Apakah dokongan dan sokongan yang kukuh bukan Melayu menyebabkan orang Melayu berasa cemas terhadap kewujudan mereka di tanah air ini? Adakah kebimbangan mereka tentang hak-hak istimewa mereka dalam Perlembagaan akan terhakis atau terhapus?

Besar kemungkinan ialah wujud jurang komunikasi yang luas antara PR dan orang Melayu keseluruhannya khasnya penyokong UBN yang kita kategorikan sebagai kelabu.

Sesuatu MESTI dilakukan!!!

Di Simpang 4, AS 10.30am












06 April, 2009

Najib dan "Check and Balance"

Mahu Tak Mahu, Berkenan Tak Berkenan, takdir telah menentukan Najib akhirnya menjadi PM ke-6 Malaysia.

Dengan moto, "Satu Malaysia" dengan rakyat diberikan penekanan dan prioritas, Najib menjanjikan perubahan yang benar-benar akan dilakukan beliau. Beliau juga berjanji untuk memfokuskan agendanya kepada generasi mudanya.

Muhyiddin Yassin, timbalannya, tidak berhenti-henti mencanangkannya betapa perubahan yang dijanjikan itu adalah benar-benar serius. Agenda perubahan ini juga dibeberkan juga oleh calon UBN Bukit Gantang, Ismail, dan Ganesan.

Sebagai bukti perubahan yang akan dilakukan itu, Najib telah turun padang ke Petaling dengan gaya dan "baju rakyat". Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik penggantungan 3 bulan penerbitan. 13 orang dibebaskan dari ISA termasuk 2 pemimpin Hindraf. Semakan terhadap ISA juga dijanjikan Najib.

Terlalu awal untuk menilai janji-janji ini. Janji-janji ini kalau dikira UBN dalam stuasi "under dog" tidaklah terlalu luar biasa. Malah mungkin sesetengah rakyat dah dapat membaca yang tersirat daripada pembebasan 13 tahan ISA itu dan penarikan balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan. Tidakkah mungkin, hal ini telah pun dirancang dari awal memandangkan kem Najib telah pun diberi komitmen oleh Pak Lah sebel;um beliau berlepas ke Kuwait bahawa perialihan kuasa berlaku?

Check and Balance

Sejak PRU 12, Mac 2008, majoriti 2 per 3 UBN berjaya dinafikan. Daripada tindakan-tindakan UBN selama ini memperlihatkan UBN mengalami "sindrom denial" - meletakkan kesalahan atau punca kekalahan mereka di luar daripada faktor dalaman mereka.

Dalam PAU'09 baru-baru ini baru kedengaran daripada mulut Pak Lah dan Najib sendiri bahawa memang wujud faktor dalaman yang agak parah yang perlu diperbetulkan sekiranya ahli UMNO mahu mempertahan survival UMNO di persada Malaysia.

Pengakuan ini, rasanya, lebih kepada kerana akan berlangsungnya 3 PRK pada 7 April 2009. Pegakuan itu dibuat dalam konteks PRK tersebut.

Ada 2 keadaan yang perlu pertimbangan yang serius:

Keadaan 1:

Dengan mengambil kira "sindrom denial" terhadap berlakunya penghakisan sokongan rakyat terhadap UBN dan akan berlakunya kemelesetan ekonomi, didapati UBN kelihatan masih angkuh dan enggan mengakui kesilapan mereka, MAKA RAKYAT HARUS MEMBERI AMARAN DAN PETUNJUK YANG JELAS BAHAWA SEKIRANYA MEREKA MASIH ENGGAN BERUBAH, SEKURANG-KURANGNYA 2 BUKIT ITU MESTI DIBERI KEPADA PAKATAN RAKYAT.

Dengan kekalahan ini, Najib dan barisan kepimpinannya termasuk TDM dipaksa menerima hakikat bahawa mereka perlu jujur untuk berubah dan dengan itu walau apa pun kosnya perubahan radikal perlu dilakukan. Dan mereka pasti akan bekerja lebih kuat untuk rakyat.

Dengan kekalahan ini menjadi petunjuk jelas bahawa jika sesuatu fundamental tidak dilakukan, UBN akan hilang dari persada politik tanah air!

Lagi pun, kekalahan ini tidak merugikan mereka kerana kedua-dua kerusi ini adalah milik Pakatan Rakyat.

Rakyat atau pengundi tidak perlu rasa bersalah.
"Satu Malaysia" mesti direalisasikan, bukan hanya dijadikan omongan.

Keadaan 2:

JIKA MEREKA MENANG DI KETIGA-TIGA PRK INI MENANDAKAN ATAU MEMBERI MESEJ BAHAWA PERALIHAN KUASA ITU DITERIMA OLEH RAKYAT. APABILA MEREKA MENDAPAT MESEJ INI SEKALI LAGI MEREKA AKAN MULA MEMBANGGAI DIRI DAN KEMBALI BERSIKAP ANGKUH.

Dalam keadaan ini, kita khuatir, perubahan yang dijanjikan akan menjadi perubahan kosmetik dan tidak jujur.

Oleh itu, pada saya, adalah amat penting untuk memastikan agar agenda perubahan yang dicanangkan dengan begitu gempita itu dilaksanakan dengan agresif.

Untuk memastikan perubahan itu benar-benar berlaku, pengundi-pengundi atas pagar dan "kelabu" mesti memberi kemenangan kepada PR.

Dengan kekalahan itu, tidak perlu rasa bersalah kerana kesan akhirnya rakyat juga yang akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Di Simpang 4, AS1.30am

03 April, 2009

PRK309(5): Najib, Ke mana dan Di mana Pendirian Melayu?


PRU12 menandakan bahawa arus politik Malaysia telah berubah. Rakyat (secara majoriti) telah menolak, antara lain:

a) Politik perkauman yang sempit.
b) Isu kronisme dan nepotisme.
c) Amalan rasuah yang menjalar ke setiap sendi kehidupan bernegara.
d) Tafsiran agama yang hanya berlegar ibadat khusus dan menolak peranan agama dalam politik dan pentadbiran dan budaya.
e) Keadilan yang berpihak.
f) Dasar-dasar kebumipetaraan yang dijadikan alasan untuk kepentingan kuasa dan harta.
g) Suara rakyat yang disempitkan melalui beberapa akta yang disalah guna.
h) Institusi-institusi kerajaan umpama PDRM dan SPRM dijadikan instrumen untuk pengekalan kuasa.

PRU12 juga menjadi satu testimoni bahawa golongan pertengahan dan golongan muda mula memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju, dan bentuk serta pengisian politik masa depan.

Satu hakikat yang tidak boleh ditolak untuk beberapa tahun akan datang (barang kali PRU13) bahawa golongan pertengahan dan generasi muda akan menentukan pihak mana yang akan menjadi teraju negara.

Parti-parti yang boleh menyentuh secara langsung hati nurani dan aspirasi serta harapan golongan ini akan menang dalam pemilu akan datang.

Orang Melayu dan rakyat khasnya sedang ditawarkan dengan dua pendekatan politik. Pertama, pendekatan politik yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat (PAS, PKR, DAP) dan keduanya, UBN.
Apabila membicarakan UBN, pembicaraan tentang bakal PM ke-6 tidak dapat dielak. UBN kini sebenarnya membawa beban yang cukup berat yang diwarisi daripada legasi dan era Maharithisme. Dan perubahan yang dijanjikan oleh Najib dan Muhyiddin bukanlah lagi perubahan kosmetik tetapi perubahan fundamental dan radikal.

Kita akui Mahathir merupakan seorang tokoh, perancang, penstrategis, dan pelaksana yang hebat. Namun ketokohan itu harus dibincangkan atau dinilai bersama dengan kerosakan institusi kerajaan sepanjang era pentadbirannya. Satu hakikat yang tidak dapat ditolak ialah:

"Jaringan kuasanya ada di mana-mana malah di setiap organ pemerintahan. Doktrin pemisahan kuasa pada era Mahathir tiada garis pemisah yang jelas. Ketaksubannya pada kemajuan ekonomi, sains dan teknologi telah menenggelamkan peranan bahasa dan agama dalam hidup bernegara."

Najib ialah anak didiknya. Mahathir ialah mentor Najib. Hakikat ini pun telah meyukarkan Najib menggarap dan melaksanakan perubahan radikal.

Salah satu syarat wajib untuk melakukan perubahan ke arah yang terbaik ialah kualiti dan integriti pemimpin atasan terutama peneraju perubahan iaitu PM. Kualiti dan integriti ini bersumberkan kekuatan intelektual dan moral yang berpaksikan kepada penghayatan agama yang mendalam sehingga terpancar dalam dirinya. Integriti ini memancar dan auranya boleh memukau khalayak. Kualiti dan integriti inilah yang memungkinkan lahirnya karisma.

Kalau kita analisiskan secara jujur dan profesional, integriti, kualiti dan karisma ini berada di pihak Pakatan Rakyat - TG Nik Aziz, TG Haji Hadi, Anwar Ibrahim, dan yang terbaru dan mula membentuk aura karisma ialah Ir Mohamad Nizar, dan Lim Guan Eng.

Najib dan Gagasan Intelektual

Saya tercari-cari sepanjang kariernya sebagai ahli politik yang bermula dalam usia yang cukup muda, 27 tahun sebagai MB Pahang, dan sehingga kini, Najib menongkah takah-takah politik sehingga ke puncak kuasa, tidak dapat saya temui satu sorotan tentang ketokohan dan jalan pemikiran Najib sebagai seorang ahli politik yang "bertokoh".

Cuma baru-baru ini apabila beliau diangkat sebagai TPM, beliau cuba menggagaskan "Melayu Glokal" - Melayu yang bersifat lokal dan pada masa sama bersifat global. Namun entah kenapa gagasan yang antik ini yang ditelurkan dengan istilah baru tenggelam begitu sahaja. Barangkali Najib tidak mempunyai kekuatan team yang sanggup secara sukarela bekerja untuk menerapkan gagasan ini menjadi realiti. Ini salah satu contoh Najib tidak mempunyai aura kepimpinan yang mampu menggerak massa. Karisma ini sebenarnya bersifat semula jadi. Karisma ini lebih kepada bakat.

Yang dapat saya simpulkan ialah kekuatan politik Najib ialah kesanggupannya bersabar dalam meniti kerjayanya. Sikap penentangan dan cuba menonjolkan keperibadian amat dielakkan. Najib seorang pengikut yang setia. Najib begitu berhati-hati dan selalu bersikap "play save".

Najib sebenarnya juga membawa beban diri yang cukup berat yang melingkari hidupnya. Kisah komisen kapal selam dan pembunuhan al Tantuya, masih belum selesai, dan kini didedahkan pada peringkat antarabangsa. Pemborosan juga seperti menjadi sifatnya. Lihatlah bagaimana beliau menerajui Kementerian Pertahanan dan bagaimana beliau mengurus agensi Felda.

Pakej rangsangan beliau masih tidak memberi kesan. Pasaran saham tidak memberi reaksi positif. FDI masih kekal jatuh. Defisit belanjawan telah meninghkat 7.8% daripada KDNK. Kesan kemelesetan ekonomi global sudah mula menyuntik bisanya ke sendi-sendi kehidupan rakyat. Nampaknya preskripsi Najib dalam membendung kesan kemelesetan ekonomi masih konvensional sedangkan kemelesetan ini tidak sama dengan bentuk kemelesetan global yang lalu.

Pimpinan tertinggi UMNO yang menang dalam PAU'09 memang memperlihatkan muka baru namun persepsi rakyat tidak dapat dihapuskan begitu sahaja bahawa PAU'09 yang lalu itu dilingkari unsur rasuah politik yang kronik. Maka, walaupun muka baru, mereka masih orang-orang korporat yang dahagakan kontrak kerajaan untuk survival politik masing-masing.

Nampaknya, UMNO semakin tidak diminati oleh golongan profesional yang genuine. Mereka kebanyakannya berpaling kepada Pakatan Rakyat.

UMNO di bawah Najib juga bukan sahaja bertarung dengan kelemahan dalaman yang kronik, tetapi akibat penekanannya yang melampau terhadap unsur Melayu telah merenggangkan rakyat bukan Melayu daripada UBN. Tawaran Pakatan Rakyat nampaknya berjaya menawan rakyat bukan Melayu. Rakyat bukan Melayu tidak mudah melupai Episod Kudeta Perak.

Episod Kudeta di Perak sesungguhnya adalah manifestasi penekanan yang melampau terhadap unsur Melayu (UMNO) dalam hubungan dengan rakyat bukan Melayu. Rakyat bukan Melayu secara tidak langsung diberi mesej bahawa UMNO dan Raja Melayu tidak mengiktiraf rakyat bukan Melayu sebagai rakyat Raja. Ini bermakna Najib dan para penasihat belakang tabir beliau gagal membaca gerak dan nadi rakyat Perak sebelum merancang merampas kerajaan negeri Perak yang sah.

Aliran Politik Kini

Asas politik yang diinginkan oleh generasi baru ialah keadilan yang berpaksikan moral dan agama. Status quo Melayu dengan segala akar budayanya yang termaktub dalam Perlembagaan tetap KEKAL, namun pada masa sama kepentingan dan hak-hak rakyat bukan Melayu TIDAK TERABAI. Diktonomi antara Melayu dan Bukan Melayu akan terungkai dan secara beransur-ansur terhapus.

Ketuanan Rakyat yang diingini oleh generasi baru. Ini satu intisari makna sebenar demokrasi dan dipandu dengan panduan agama (tentunya agama Islam).

Saya agak yakin bahawa rakyat bukan Melayu mula menerima peranan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dengan adanya sikap toleransi yang tinggi antara PAS, PKR, dan DAP, saya yakin Islam akan difahami dalam maksudnya yang sebenar. Bahawa kehidupan beragama dan berbudaya rakyat bukan Melayu tidak akan diusik malah akan dipersubur. Dalam HUDUD pun, mereka dibenarkan memilih untuk mengguna pakai sama ada Hudud atau undang-undang konvensional.

Virus perkauman dapat diminimumkan dan racun prejudis dapat dikurangkan. Pada ketika ini, setiap program kerajaan ke arah peningkatan mutu kehidupan rakyat Melayu dan bumiputera yang ketinggalan akan berlangsung dalam bentuk penyertaan bukan Melayu secara sukarela.

Memang ini nampak seperti sesuatu yang bersifat utopia, namun apabila kita sanggup memberi penilaian yang adil, kita dapati usaha ini sedang dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR. Contoh klasik ialah bagaimana usaha TGNA di Kelantan.

Oleh itu, orang Melayu harus membuat pertimbangan yang halus untuk memilih antara dua tawaran paradigma politik: paradigma yang ditawarkan PR dan paradigma UBN. Pada saya kalau orang Melayu masih memilih UBN bermakna orang Melayu memilih untuk hidup dalam suasana penuh pertentangan antara Melayu dan Bukan Melayu yang tiada titik noktahnya, dengan penafian terhadap peranan agama dalam kehidupan.

Dengan itu, orang Melayu yang masih kental unsur sentimental value dengan UMNO, Raja, dan Kemerdekaan haruslah berfikir dan membuat penilaian kritis dan bertanya pada diri. Emosi sentimental jangan hendaknya menyebabkan kita gagal menyelami realiti dan keperluan generasi muda. Malaysia ini akhirnya akan kita wariskan kepada mereka. Kita, generasi lama akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Sikap yang terpuji dan yang akan dikenang sepanjang zaman ialah generasi lama mewariskan suatu asas dan landasan serta bentuk kehidupan berpolitik yang mampu dirasai oleh semua golongan, dan bukan dalam bentuk penuh pertentangan dan konflik yang tidak berkesudahan. Sebenarnya, kitalah yang bertanggungjawab menentukannya.

Di KL, 10.00am

02 April, 2009

PRK309(4): Madah Berhelah Musa Hassan


Pada 30 Mac 2009, pihak pengurusan polis Ipoh telah menambah 2 larangan dalam senarai larangan dalam berceramah dalam 3 PRK ini. Larangan pertama, tidak boleh menyentuh isu Al Tantunya dan larangan kedua tentang isu perampasan kuasa di Perak.

Apabila pihak PR enggan mematuhinya kerana merekla tidak nampak kaitannya dengan kes yang sedang dibicarakan sekarang. Manakala tentang isu perampasan kuasa, episod kudeta, apa yang yang nak dijelaskan oleh PR ialah soal tafsiran undang-undang, bukan membicarakan isu kesultanan dan kredibilitinya.

Bagi pihak PR, kedua-dua larangan ini lebih menjurus untuk menjaga imej Najib yang bakal dinobatkan sebagai PM ke-6 Malaysia.

Jika benar seperti dakwaan Muhyiddin bahawa barisan pimpinan UMNO yang baru menang itu merupakan barisan terbaik untuk melakukan perubahan fundamental di bawah PM baru, Najib yang didakwa Muhyiddin sangat berwibawa, megapa mereka perlu takut supaya rakyat diberi maklumat siapa sebenar Najib. Kalau tidak benar, mengapa perlu khuatir?

Respons PR yang dianggap Muhammad Taib sebagai "keras kepala" menunjukkan larangan ini nampaknya akan memakan diri mereka sendiri, Musa Hassan bingkas mempertahan diri bahawa larangan itu bukan datang daripada pihaknya.Polis Ipoh yang memandai-mandai. Musa telah takut menjadi sebahagian daripada faktor kekalahan UBN di Bukit Gantang atau Bukit Selambau atau Batang Ai. Najib, tentunya akan menyusun dan memperkemas barisan kabinetnya termasuk semua agensi kerajaan dan tentunya melibatkan pengurusan Polis.

Saya agak hairan, beranikah Polis Ipoh mengeluarkan larangan itu tanpa arahan daripada pihak atas. Ini pilihan raya penting bagi Najib. Jelas, Musa sedang cuba berhelah dan membayangkan bahawa beliau tidak terlibat jika musibah menimpa UBN pada 7 April nanti.

Satu isu lagi bagaimana beliau akan memberi jawapan tentang FRU berkawal di Cangkat Ibul ketika pihak petugas UBN sedang memasang bendera UBN. Cangkat Ibul merupakan kubu kuat PAS. Menurut blogger Cina Islam aka YB Titi Serong, bahawa kawasan ini seperti kawasan larangan bagi BN.[ http://idhamlim.blogspot.com/2009/04/ust-nasa-fru-di-guna-untuk-pasang.htmlTindakan FRU ini memberi mesej jelas mereka tidak profesional dan memihak dalam menjalankan tugas! Siapa yang akan menjadi kambing hitamnya nanti?

Di KL, 11.30pm

01 April, 2009

PRK309(3): Negara Islam, Nizar dan Sidang DUN


Kita tidak tahu pasti apakah pendekatan UBN dalam mendekati pengundi-pengundi Cina dan India di Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Kalau dulu mereka memomokkan agama Islam dalam kalangan pengundi bukan Melayu. PAS digambarkan sebagai ektremis dan keras serta ortodok. Isu Hudud, isu pemaksaan dalam beragama dan sikap tidak bertolak ansur dalam rumah ibadat antara isu-isu pokok yang disensasikan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Kini rasanya isu-isu ini tidak lagi menggentarkan pengundi bukan Melayu.

Saya yakin mereka mempunyai strategi yang baru. Ini adalah kerana mereka amat memerlukan sokongan orang bukan Melayu.

Bagi pengundi Melayu, UBN mempunyai banyak isu yang boleh diketengahkan.

Dua isu pokok yang akan digunakan dan disensasikan untuk pengundi Melayu:

a) Kelemahan, pertentangan dasar parti, konflik kepentingan, gabungan yang longgar, tiada dasar dan matlamat yang jelas, dan semua dasar dan prinsip berdasarkan cita-cita individu yang gila kuasa, iaitu Anwar Ibrahim.

b) UBN telah teruji dan mampu mentadbir Malaysia dan membawa kesejahteraan kepada rakyat. BN merupakan gabungan terbaik berbanding Pakatan Rakyat yang longgar, berbeza ideologi, dan semaata-mata bermatlamat menumbangkan UBN semata-mata.

Penyebaran cd rakaman sidang DUN Perak 23 Jun 2008 sewaktu Nizar masih MB Perak merupakan satu usaha terakhir UBN agar pengundi Melayu dan simpatisan Pakatan Rakyat meninggalkan PAS.

Lapor Agendadaily, [http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a] Berdasarkan rakaman tersebut, isu berkenaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang menyatakan PAS kini sudah lari daripada matlamat asal mereka untuk menubuhkan Negara Islam.

Nizar yang mendengar kenyataan Tajol itu, bangun meminta penjelasan.

“Di manakah dalam mana-mana transkrip PAS yang menyatakan bahawa PAS nak melaksanakan negara Islam. Saya minta pandangan dan minta jawapan di manakah dalam transkrip PAS, dalam memorandum ke ...dalam Perlembagaan PAS ... ada menyatakan PAS nak melaksanakan negara Islam,” tanya Nizar.

Jawapannya itu disambut oleh Tajol dengan menyatakan, “Saya tahu ramai orang PAS dalam Dewan ini tapi itulah jawapan YAB Menteri Besar (mengenai negara Islam)”.

Malah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang juga ADUN Pangkor bangun mencelah menasihati Nizar agar bertaubat . “Astaghfirullah...astaghfirullah, nauzubillahiminzaliq” kata Dr Zambry.

Rakaman sidang DUN Perak itu yang bertarikh 23 Jun 2008 tentunya menarik minat kerana secara rasmi ketika bergelar Menteri Besar, Nizar seolah-olah mengesahkan memang PAS tidak mempunyai apa-apa dokumen atau iltizam untuk menubuhkan Negara Islam.

Jawapan Nizar ini boleh ditinjau daripada beberapa aspek:

a) Memang daripada segi Perlembagaan PAS, tiada frasa yang menyebut "Negara Islam". Saya perturunkan matlamat PAS,

Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi. KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
[http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia]

Daripada blog DPP Wilayah Persekutuan, rumusan tujuan PAS ialah "Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara".[http://dppwp.wordpress.com/intro/sejarah-pas/]

Rumusannya ialah matlamat perjuangan PAS ialah supaya nilai-nilai Islam dihayati dalam hidup bermasyarakat dan bernegara di Malaysia. Soal penjenamaan adalah soal kedua. Yang dipentingkan ialah isinya bukan bentuk. Perjuangan untuk pengisian itu menuntut pelbagai pendekatan memandangkan masyarakat Malaysia yang pelbagai. Dakwah menjadi landasannya.

b) Dari Sudut Pendekatan dan Kaedah

PAS telah menongkah arus perjuangan yang panjang. Fasa-fasa perjuangan PAS begitu berwarna-warni. Dulu, PAS dianggotai ulama-ulama dan ahlinya boleh dikatakan didominasi oleh ahli berpendidikan agama. Kini, keanggotaan dan saf kepimpinan PAS begitu majmuk dari bertaraf ulama dan berpendidikan sekular (profesional) namun memiliki pengetahuan dan penghayatan agama yang mendalam.

PAS juga responsif terhadap masa dan zaman serta faktor demografi. Hakikat masyarakat Malaysia yang majmuk menandakan PAS harus berubah daripada pendekatan dan kaedah politik. Yang berubah cuma pendekatan, matlamat supaya penghayatan Islam dalam masyarakat Malaysia tetap menjadi matlamat utama dan tidak dikompromi.

Dalam konteks inilah Nizar meminta Tajol Rosli mengemukakan bukti dokumen bahawa frasa 'Negara Islam" terdapat dalam mana-mana dokumen rasmi PAS. Nizar menggunakan kebijaksanaannya menerapkan perjuangan PAS dalam kalangan masyarakat Perak yang penduduk bukan Melayunya bukan sedikit jumlahnya.

Nizar memahami betapa UBN memomokkan Islam dalam kalangan orang bukan Melayu sehingga Islam disamakan dengan Osman Ben Laden. Bagi Nizar, ini yang perlu diperbetulkan. Maksudnya bukan bentuk yang diutamakan tetapi memberi bukti bahawa Islam itu boleh dilaksanakan dalam pentadbiran dan kehidupan. Nizar menghidupkan Islam dalam dirinya.

Ini amat berbeza dengan UBN. Mereka seperti menolak peranan Islam dalam kehidupan. Begitu banyak bukti yang telah sedia maklum. Satu contoh yang jelas, dalam PAU'09, sebanyak 900 aduan tentang salah laku termasuk rasuah politik.

Kerana itu, usaha desperado ini sebenarnya memakan diri UBN sendiri. UBN telah hilang kredibiliti untuk mencari kesalahan orang lain, sedangkan diri mereka sebenarnya yang perlu diperbetul dan ditarbiyahkan.

Di Simpang 4, AS 5.15pm


31 March, 2009

PRK309(2): Isu Solat Maghrib, Siapa Termalu?


Solat Mghrib di Masjid Simpang yang diimamkan oleh Nizar pada petang hari penamaan calon telah disensasikan oleh Zambry.

Zambry mendakwa kononnya Nizar telah merampas majlis bacaan Yassiin dan solat hajat di masjid tersebut yang dianjurkan oleh UMNO. Zambry juga mendakwa Nizar membawa politik ke dalam masjid.

Ketika itu banyak pemimpin tertinggi UMNO ada di situ termasuk Timbalan Presiden UMNO yang baru Muhyuddin Yasin.

Hakikat yang terserlah ialah Zambry telah termalu kerana imam masjid tersebut, Hj Hashim telah memintaa Nizar mengimamkan solat setelah dia sedari Nizar ada bersama malah selepas selesai solat, imam tersebut menghulur mikrofon kepada Nizar supaya Nizar memberi tazkirah atau sedikit kupasan ayat yang dibaca Nizar dalam solat tersebut.

Untuk pengetahuan Zambry bahawa tazkirah bukan politik, itu satu bentuk pengajian agama atau kupasan ayat-ayat al-Quran yang telah membudaya dalam PAS. Bagi PAS, dan dalam Islam pun tiada garis pemisah antara agama, politik, dan masjid. Zambry juga berasal daripada aktivis ABIM, sepatutnya dia memahami budaya ini.

Dengan mendakwa bahawa tiada politik dalam masjid, Zambry telah merendahkan darjatnya dalam kalangan orang-orang yang beragama. Zambry telah menerima acuan atau budaya UMNO bahawa dalam masjid hanya boleh dilakukan ritual-ritual agama yang mengkhusus kepada fardu ain sahaja. Kalau pun mahu diadakan kuliah agama, cuma berkisar kepada ibadat khusus sahaja.

Sesungguhnya sejak Nizar menjadi MB Perak budaya tazkirah ini telah menjadi amalan beliau malah budaya mengupas ayat-ayat al-Quran dalam majlis-majlis yang dihadiri Nizar yang sesuai dengan konteks majlis telah menjadi amalan beliau. Malahan budaya ini dibawa juga dalam setiap mesyuarat rutin exco Perak.

Pada saya, Zambry sangat sedar tentang budaya tazkirah Nizar ini, dan difahami dengan jelas oleh imam masjid tersebut.

Jadi, makna sebenar dakwaan Zambry bahawa Nizar menyeret politik ke dalam masjid, lebih kepada rasa malunya kerana dalam masjid atau majlis itu hadir orang no 2 UMNO kerana kegagalannya mengawal majlis. Kalau majlis yang begitu simple pun Zambry gagal kendalikan, apatah lagi untuk mentadbir Perak yang dikelilingi oleh Adun-Adun PR yang terkenal agresif. Sepatutnya beliau yang menjadi imam, tetapi kerana imam lebih meyakini Nizar maka Nizar diminta mengimami solat tersebut. Khabarnya Muhyidin pun menyatakan rasa tidak senangnya dengan peristiwa Nizar menjadi imam ini.

Sikap Muhyidin ini menampakkan bahawa beliau juga tidak menggambarkan seorang ahli politik yang matang. Pada asasnya, sesiapa pun yang layak boleh menjadi imam solat. Nizar semasa menjadi imam, dia hanya seorang imam solat, baju politiknya telah dibuang jauh-jauh.

Sikap Zambry dan Muhyidin dalam isu ini memberi mesej pada pengundi Islam yang mengerti hakikat Islam itu addin bahawa UMNO menolak Islam sebagai addin.

Akhirnya, bukan imej Nizar yang cedera, tetapi diri sendiri yang terjejas!

Untuk memahami isu sebenar, rujuk di sini, {http://kamparinn.blogspot.com/2009/03/saya-telah-mengimamkan-solat-maghrib.html}

Di Simpang 4, AS 9.30pm

PRK309(1): Alasan Dangkal Muhyuddin


Semalam sambil bersantai, sempat menonton TV3 slot Berita Perdana. Dalam banyak berita tentang kempen PRK, saya tertarik akan jawapan Muhyidin tentang calon dan prospek kemenangan di Bukit Selambau.

Kata Muhyudin, "pilihlah Ganesan (MIC) sebab terbukti BN sebagai Kerajaan Persekutuan mempunyai rekod baik dalam membela rakyat. Tengok Arumugam, siapa yang suruh dia berhenti (meletak jawatan)? Kita tidak tahu apa sebabnya. Kalau calon PKR ini menang, mungkin akan letak jawatan juga. Mereka berjuang untuk kepentingan diri dan kepentingan orang tertentu, seperti Anwar Ibrahim."

Jawapan ini kalau diberi pada zaman 70-an, mungkin banyak yang akan terima. Tetapi ini zaman dunia tanpa sempadan dan zaman maklumat di hujung jari. Ini menggambarkan sikap sebenar siapa Muhyiddin:

a) Menganggap pengundi di Bukit Selambau, semua bodoh, dan buta maklumat.
b) Rakyat telah tahu angkara siapa sehingga Arumugam akhirnya memutuskan untuk meletak jawatan.
c) Tiada unsur intelektual walau sedikit pun dalam jawapan Muhyidin itu.
d) Siapa Muhyidin untuk mempersoalkan Anwar? Kalau nak bandingkan Muhyidin dengan Anwar, tiada satu pun yang sekurang-kurangnya membolehkan Mahyudin duduk sebaris dengan Anwar. Mahyudin harus sedar, semakin dia menyeret Anwar dalam kempennya, pengundi semakin jauh darinya.
e) Memperlihatkan Mahyudin daripada gagasan intelektual, nampaknya boleh duduk sebaris dengan Najib dan Pak Lah.

Oleh itu, apabila memberi komen, cubalah memberi komen yang setara dengan jawatannya, Timbalan Presiden UMNO, yang dakwanya akan mengepalai arus perubahan bersama Najib dalam UMNO. Janganlah orang menganggap dirinya sebagai politikus kelas 3.

Di Simpang 4, AS

30 March, 2009

PRK309: MAHATHIRISME, BERSEDIAKAH UMNO BERUBAH?



Perhimpunan Agung UMNO telah tamat dan masing-masing telah pun pulang ke sarang. Tentunya mereka pulang dengan rasa ynag berbaur. Ada yang terlalu puas hati, yang pulang dengan sakit hati, kesal dan jengkel.

Najib telah pun disahkan sebagai Presiden UMNO dan akan mengepalai segala legasi Mahathirisme dan Abdullahisme yang begitu berbaur.

Najib telah pun diberi satu barisan bala tentera yang dikehendaki, dengan penolakan sebahagian besar generasi lama, dan hadirnya muka-muka baru.

Secara zahiriah, nampak seolah-olah dengan hadirnya muka-muka baru atau barisan pelapis ini, UMNO di bawah kepala baru mahu berubah. Sama-samalah kita tunggu, adakah seruan Abdullah pada ucapan dasar beliau bahawa UMNO sedang menggali kuburnya sekiranya laluan yang dipilih selepas ini adalah jalan “order” lama. Abdullah menegaskan bahawa di luar sana sedang dan telah berlaku perubahan yang radikal terutama dalam kalangan generasi muda.

Namun, sesuatu yang menuntut perhatian ialah pelanggaran janji Che Det untuk tidak hadir dalam PAU 2009. Puncanya beliau kesal dan kecewa dengan perwakilan yang memenangkan KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO yang sekali gus menundukkan anaknya Mukhriz. KJ telah pun didapati bersalah dengan umpanan politik dan diberi amaran serta boleh bertanding, tidak sebagaimana Ali Rustam.

Tetapi, apa agaknya ilham yang tiba-tiba muncul di benak Che Det sehingga beliau lupa akan janjinya itu. Che Det akhirnya hadir juga pada sesi akhir PAU’09. Beliau bukan sahaja hadir malah telah berpelukan dengan Abdullah sebagai tanda berdamai malah mengiktiraf regu Najib-Mahyudin. Che Det juga telah memberi komitmen untuk menganggotai semula UMNO.

Najib pula begitu teruja dengan mentornya malah menawarkan Che Det sebagai Penasihat UMNO (atau cabinet?). Che Det menafikannya.

Bahawa Che Det merupakan mentor kepada Najib dan sokongan Che Det yang konsisten terhadap Najib malahan Che Det sanggup berperang dengan Pak Lah kerana keengganan Pak Lah memindahkan kuasa kepada Najib sehingga terpaksa didesak dan diasak memungkinkan Najib akan menjadikan Che Det sekurang-kurangnya sebagai pakar rujuknya kalau Che Det menolak jawatan penasihat tersebut.

Saya agak yakin bahawa apabila Che Det memberi komitmen untuk tidur sebantal dengan Najib dan Mahyudin, tentunya telah mengambil kira kedudukan Mukhriz dalam kerajaan atau parti.

Soalnya kini, adakah akar umbi atau pemimpin pertengahan peringkat cawangan dan bahagian menerima perkembalian semula Mahathir ini? Bagi pemuja Mahathir, perkembalian ini amat ditunggu-tunggu oleh mereka.

Kalau kita sorot pilihan raya 2004 yang dikepalai oleh Pak Lah, Pak Lah meneng besar dan dengan itu mendapat mandat kukuh bertakhta di Putrajaya. Mandat besar ini diperoleh setelah Mahathir meletak jawatan sebagai PM. Sekiranya Mahathir yang menjadi terajunya, saya percaya Pakatan Rakyat dah pun berada di Putrajaya.

Memang diakui di bawah Mahathir, ekonomi diurus dengan cekap sekurang-kurangnya pada pandangan kroni dan pada mazhab Mahathir. Rakyat tidaklah terlalu tertekan. Kenaikan kos hidup ditangani dengan hati-hati.

Namun, ekonomi bukanlah segala-galanya. Pada era Mahathir, soal kroni, tender runding terus, kos projek yang melampau, urus tadbir korporat yang rendah standardnya, kemiskinan bandar dan perbezaan yang nyata taraf hidup bandar dan kampung, penggunaan dana kerajaan atau GLC yang gelojoh menjadi tanda tanya yang tidak terjawab.

Ekonomi bukanlah segala-galanya. Institusi-institusi kerajaan diceroboh oleh aparat politik dengan rakus – PDRM, SPRM, institusi kehakiman dan institusi pendidikan. Ini menggambarkan doktrin pengasingan kuasa di Malaysia, di bawah Mahathir tidak berlaku malah diceroboh. Lihatlah bagaimana institusi Raja-Raja Melayu dicerobohi.

Bagaimana dengan suara rakyat? Di bawah seliaan Mahathir juga ruang demokrasi benar-benar sukar untuk bernafas. Permit majalah dan akhbar pembangkang atau yang tidak sealiran dengan kerajaan dipantau ketat. Ahli-ahli politik pembangkang yang lantang akan diISAkan.

Rakyat bawahan, bagaimana? Era Mahathir menampakkan dengan jelas rakyat terbanyak terabai. Dasar Ekonomi Baru yang semangat dan matlamatnya diteruskan dengan pelbagai nama hanya alat atau batu lompatan untuk kroni mencari kekayaan untuk diri dan keluarga. Ketika inilah rakyat bukan Melayu mendapat mesej bahawa UMNO dan BN mengamalkan perkauman yang ketara.

Apabila Pak Lah mengambil alih negara, kemenangan besar dalam pilihan raya menandakan harapan rakyat begitu menggunung agar Mahathirisme dikikis perlahan-lahan, dan rakyat terbanyak terbela. Namun harapan rakyat hanya tinggal impian malah yang muncul ialah dominasi menantu. Ekonomi pula tidak berkembang malah penyusutan FDI ke Malaysia.

Tiba PRU12 8 Mac 2008. Kelembapan Pak Lah dan skandal menantu serta legasi Mahathirisme telah membawa padah pada UBN. Majoriti dua pertiga berjaya dinafikan malah beberapa negeri jatuh ke Pakatan Rakyat.

Dan kini, era Mahathirisme berulang kembali, dan rasanya Pakatan Rakyat seharusnya dapat membaca arah aliran politik Najib seterusnya.
Perkembalian Che Det ke pangkuan UMNO, bermakna era Mahathirisme bermula lagi. Najib yang secara elitis, dalam ucapan dasar perasmian Persidangan Pemuda, Wanita, dan Puteri secara serentak memberi amaran bahawa jika tidak sedia berubah, UMNO akan mula menghilang dari persada politik tanah air. Beliau meminta pimpinan yang akan dilantik nanti bersamanya memulakan langkah perubahan.
Namun, dengan Mahathir dan legasinya masih bersama UMNO, malah Najib terlalu terhutang budi kepada Che Det akan membuat langkah Najib untuk merubahkan UMNO akan tersekat-sekat. Perlu disedari asas kekuatan Maharisme ialah eksploitasi maksimum aparat-aparat kerajaan dan instrumen undang-undang serta sikapnya yang keras dan tidak bertolak ansur terhadap aliran pandangan yang bertentangan.
Najib sendiri pun, belum pun memegang tampuk tertinggi (PM) telah memperlihatkan tindakan bercirikan Mahathirisme. Episod Kudeta Perak, Kekangan ceramah-ceramah PR melalui PDRK dan FRU, dan terkini ialah penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama 3 bulan - menandakan bermulanya era Mahathirisme.
Dalam keadaan yang begitu kontra ini, mampukah Najib-Mahyudin untuk membawa perubahan yang mereka janjikan kepada para perwakilan?

Dan bagaimana dengan UBN? Adakah mereka mampu menolak Mahathrisme memandangkan Che Det merupakan mentor Najib?

Jadi, soalan yang wajar diajukan ialah pilihan antara Che Det dan survival UBN ...
Di Simpang 4, AS 10.47pm

26 March, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: SATU SOROTAN



Kerajaan Perpaduan (KP) ini pada saya lebih kepada satu lontaran idea atau gagasan yang terbuka untuk dibahas dan dinilai. Idea ini pada awalnya dikemukakan oleh TG Hadi.

Saya juga cuba menyelusuri blog-blog PR dalam usaha menyelami gagasan ini termasuk Roslan SMS, MSO, dan Tulang Besi. Saya tak sempat lagi membaca Siasah, dikhabarkan terdapat penjelasan dan jawapan TGHH tentang KP ini.

Sehingga saya membaca tabloid Siasah itu, saya akan merujuk kepada blog-blog di atas dalam kita berkongsi pendapat tentang gagasan ini.

Seperti diperjelaskan, KP ini satu bentuk kerajaan perkongsian dan perpaduan, yang parti-parti yang memerintah (baca: UMNO dan BN – UBN) akan disertai oleh parti-parti pembangkang (baca: PAS, PKR, dan DAP – PR). Sebelum saya ulas satu persatu, rasanya, eloklah saya cuba gariskan ciri-cirinya. Jadi, kalau boleh kita rumuskan:

a) Parti atau kerajaan teras ialah UBN.
b) Portfolio utama masih akan dipegang oleh UBN termasuk PM dan TPM.
c) Kera jaan ini tiada pembangkang.
d) Tumpuan utama ialah kemakmuran rakyat (baca: kegawatan ekonomi).
e) Tempoh berlangsungnya KP, tiada lagi pertentangan politik antara pemerintah dan pembangkang – semacam genjatan senjata.
f) Kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR akan ditadbir juga secara perkongsian. Peristiwa Kudeta di Perak dapat dielak.

UBN Masih Parti teras

Ciri ini sebenarnya pendapat saya sendiri. Saya nampak UBN dengan sikap agresif dan sadis akhir-akhir ini, tidak akan berkompromi dalam soal ini. Sikap dan tumpuan mereka selama ini, yang sepatutnya memfokus kepada soal kegawatan ekonomi tetapi begitu ghairah dengan obsesi ingin merampas baik negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Kalau UBN sanggup menerima gagasan ini, sekurang-kurangnya mereka mesti mengorbankan kerusi Timbalan Perdana Menteri, dan portfolio penting yang lain. Kita ketahui soal kepakaran dan iltizam untuk berkhidmat dalam kontek Ketuanan Rakyat baik dalam perekonomian dan sektor lain didominasi oelh tokoh-tokoh dalam PR.

Ini maknanya, kalau mereka menerima gagasan ini, UBN sebenarnya mengaku kalah kepada PR. Keadaan ini sama dengan kekalahan mereka dalam PRU12. Soalnya, Najib yang hanya menunggu saat dan ketika untuk merayakan kejayaan gemilangnya untuk dinobatkan sebagai PM ke-6, sanggup berkompromi dan merendahkan egonya sebagai PM yang segala aparat kerajaan berada dalam tangannya.

Ketiadaan Pembangkang: Momentum PR?

Secara teorinya, keadaan ini memang unggul kalau benar-benar tercapai. Dan tiada salahnya untuk mencuba. Keseluruhan Ahli Parlimen dan Adun yang menang dan dari pihak kerajaan dan pembangkang, tanpa mengira anutan politik sama-sama menggembleng tenaga untuk kemakmuran rakyat.

Namun ada perkara dasar yang perlu dipertimbangkan dengan saksama. Adakah UBN benar-benar ingin berubah atau hanya meminta waktu untuk bertenang dan kemudian bangun semula dengan strategi tertentu yang pada sama momentum sokongan rakyat terhadap PR diperlahankan?

Kerajaan Perpaduan VS Kerajaan Campuran

Saya berharap pemahaman saya terhadap konsep dan gagasan KP tidak terlalu jauh tersasul.

Kerajaan Campuran (KC) lebih kepada penyertaan parti pembangkang ke dalam UBN dan parti-parti ini sama ada PAS, PKR atau DAP akan terikat dengan polisi atau dasar-dasar UBN.

Perbezaan yang ada ialah ikatan KP adalah lebih longgar dan berdasarkan kerelaan sementara ikatan KC lebih padu dan terikat dengan peraturan-peraturan yang mengikat.

Dalam KP, dasar dan matlamat setiap parti tidak terjejas, tetapi dalam KC, dasar, atau matlamat atau pendekatan perlu disesuaikan dengan parti induk (mengikat dan tidak bebas)

Impak

Nampaknya gagasan KP dan KC ini dibincangkan atau dibahaskan lebih dalam konteks menonjolkan personaliti. Bagi yang menyokong KP seolah-olah cuba memperlihatkan kehebatan tokoh yang mengemukakan iaitu TGHH. Manakala bagi yang tidak bersetuju lebih terdorong untuk menonjolkan kehebatan TGNA.

Jika kita terperangkap dengan soal personaliti dalam membincangkan gagasan ini, impak sebenar kepada PR akan terabai.

Baik TGHH atau TGNA memasing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Walaupun mereka bertaraf ulama namun mereka masih seorang manusia yang bersifat lemah.

Pada saya yang perlu difokuskan bukan soal tokoh atau personaliti tetapi apakah PR akan benar-benar memperoleh manafaat apabila Kerajaan Perpaduan dilaksanakan. Soal KC tidak timbul lagi kerana telah ditolak oleh muktamar yang lalu.

Begitu juga soal kekhilafan dalam tafsiran atau pemahaman terhadap KP juga tidak begitu signifikan berbanding dengan impak sebenar terhadap PR dan UBN.

Hakikat yang perlu disedari ialah momentum sokongan rakyat terhadap PR begitu memberangsangkan dan banyak analisis pemerhati politik bebas berpendapat bahawa UBN akan benar-benar terancam pada PRU13 nanti.

Bukti-bukti yang ada menunjukkan arah aliran ini. Lihatlah protes rakyat terhadap Kudeta di Perak. Sampai kini, DS Nizar masih dianggap MB Perak yang dijatuhkan secara tidak bermoral dan melanggar Perlembagaan. Semangat Permatang Pauh telah bergerak ke Kuala Terangganu, dan ingin akan bersemarak lagi di Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan insayak Allah di Batang Ai.

Siri-siri ceramah yang diatur oleh PR dihujani dan dikelilingi oleh tentera merah. Dan terkini, penggantungan 3 bulan permit Harkah dan Suara Keadilan memperlihatkan dengan jelas bahawa UBN begitu gusar dan gerun dengan kebangkitan rakyat dalam menyokong PR.

Barangkali perlu saya tegaskan bahawa momentum ini adalah momentum terbaik dalam sejarah politik Malaysia, dan jika momentum ini terhenti dan UBN bangkit semula, saya khuatir, momentum ini akan mati begitu sahaja dan kita terpaksa menunggu berapa puluh tahun lagi untuk momentum sebegini bangkit semula.

Rumusan

Baik KP atau KC, pelaksanaannya atau lontaran ideanya hanya berfokuskan kepada untuk menyelamatkan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR. Keadaan genting ini berlaku kerana kelemahan Pak Lah dan membiarkan timbalannya bermaharajalela menggunakan segala aparat kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan PR. Dan andaian pelaksanaan KP ini ialah penerusan Pak Lah sebagai PM, dan pada masa sama menghalang kemaraan Najib. Nampaknya Pak Lah sesungguhnya bukanlah seorang pejuang. Pak Lah tiada kekuatan dalaman yang ampuh dan cenderung bersikap mengalah. Semakin jelas bahawa Najib akan menjadi PM ke-6 Malaysia!
Jelas kelihatan bahawa fokus UBN telah tersasul dan melupakan fokus mereka yang sebenar iaitu memastikan kesejahteraan hidup rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi Malaysia dan ekonomi dunia. UBN berada dalam suasana penafian dan melihat PR sebagai musuh dan punca mereka ditolak oleh rakyat. Yang sesungguhnya terjadi ialah amanah rakyat yang diberikan kepada UBN dikhianati, diselewengkan, dan diperkuda untuk kepentingan kuasa, dan kelompok.
Nampaknya pemimpin-pemimpin tertinggi PR khuatir dengan sikap brutal Najib dalam menangani musuh-musuh politiknya. Ada pemimpin PR yang cukup gusar akan berulang episod Kudeta Perak akan melanda pula Selangor, Kedah, dan Pulau Pinang.

Mengapa perlu kita khuatirkan? Episod Kudeta Perak sesungguhnya suatu hikmah dan pengajaran bahawa wujud lompang yang luas dalam soal pengendalian urusan pentadbiran negeri serta kejatidirian Ahli Parlimen dan Adun PR dalam mengharungi umpanan dan tekanan UBN.

Jika akhirnya berlaku gangguan yang serius terhadap kerajaan-kerajaan negeri PR, apakah rakyat buta dan tidak tahu menilai siapa yang sebenarnya menjadi punca berlakunya gangguan tersebut? Semakin keras gangguan mereka, semakin kuat tekanan yang diberikan, dan semakin brutal tindakan mereka dalam usaha menjatuhkan kerajan PR, akhirnya UBN yang akan menanggung padahnya. Dan ini sebenarnya boleh dijadikan sumber kekuatan PR dalam menghadapi PRU13.

Akhirnya, bagi saya, dan saya tidak perlu rasa rendah diri, jika KP ini cuba dilaksanakan, musibah sebenarnya ialah menghakis sokongan rakyat terhadap PR. UBN sebenarnya telah menjadi dinasour. UBN hanya perlu digantikan dengan pemerintahan lain jika rakyat benar-benar ingin menikmati hidup yang berteraskan “Ketuanan Rakyat”. Untuk melihat kemampuan UBN berubah, lihatlah siapa PM yang ke-6 itu.

Di Simpang 4, AS, 2.15am