22 August, 2009

Cukuplah Melanyak Rohaizat, Bawakanlah Isu dan Komitmen Yang "Kredible"


Salam untuk pengunjung.

Potret di atas sedang bercerita kepada anda. Pak Samad sedang meluahkan rasa hatinya sebagai mewakili insan seni terhadap isu PPSMI. Beliau sanggup turun. Mengapa?
Bukankah ini satu kelainan dalam kempen? Segar dan menyegarkan!
Kita harus belajar dari sejarah. UMNO kalah teruk pada 2008, selain kelemahan-kelemahan Pak Lah yang sedia termaklum tapi angkara mainan media milik UMNO yang seolah-olah gila dan tidak tahu sempadan atau masa untuk berhenti.

Hal ini kerana apabila didorong oleh rasa syok mendedahkan keaiban demi keaiban teruma DSAI, TGNA, dan TGHH, akhirnya rakyat melihat sisi-sisi kebenaran di sebalik keaiban yang dibongkarkan.

Maka kita bimbang kerana seronok dengan sosok peribadi Rohaizat yang boleh dan mampu dipertikai maka segala serangan diarahkan kepadanya.

Saya berasakan dengan pemdedahan yang agak memdetail oleh team Perakekspres tentang siapa "Rafizah" kepada Rohaizat (http://perakexpress.com/www/2009/08/22/pendedahan-siapa-isteri-kedua-rohaizat/), saya rasa pihak jentera kempen dan jentera saraf kempen PAS dan PR untuk N11 ini, sedar dan tahu untuk bila berhenti ketika menspin isu-isu berkaitan maruah dan moral calon.

Saya berasakan kaum keluarganya, isterinya, dan anak-anaknya telah pun cukup tertekan dengan isu lesen peguamnya dan tindak balas daripada bekas rakan kongsinya, saudara Yusri.

Kita bimbang, laba yang kita harapkan, akibat seronok dengan keaiban orang lain, rugi yang datang.

Sekarang, pengundi Permatang Pasir dah dapat menilai dengan baik dua calon yang bakal menerajui N11 ini. Sekaranglah masa untuk meninggalkan isu-isu personal, moral, dan maruah.

Bawakanlah ke Permatang Pasir:

a) Komitmen untuk mengotakan manifesto PR pada PRU12 lalu.
b) Buktikan bahawa amanah yang diberi benar-benar terjaga dan ditunaikan.
c) Rangkakan dan bentangkan program untuk golongan muda dan golongan pertengahan yang menjadi nadi reformasi.
d) Tunjukkan kematangan berpolitik - bersikap profesional dan membawa setiap masalah parti ke dalam ruang dan saluran yang betul.
e) Bawakan Zaid Ibrahim ke Permatang Pasir.
f) Bawakan Alimudin dari Pahang yang baru berhijrah dari UMNO ke PKR.

Tahniah diucapkan kepada Mahfuz kerana membawa Pak Samad Said ke Permatang Pasir.
Di Simpang 4, AS, 1.30pm

Rohaizat Kebingungan, Adakah PAS Mula Menyelesakan Diri?

Salam Ramadhan buat pembaca dan pengunjung.

PRK N11, Permatang Pasir, agak menghimbau saya, terpanggil-panggil. Memandangkan Permatang Pasir terletak dalam kubu Anwar Ibrahim, dan boleh dianggap sebagai kubu PAS, saya merasakan setiap penyokong PR dan PAS akan mudah selesa dan yakin untuk menang.

Apakah keadaan sebenar benar-benar begitu?

Dalam hal ini, saya tidak akan banyak mengupas, tetapi saya akan "copy" dan "paste" 2 posting oleh Sheikh Kickdefella, dan 1 posting Mat Saman Kati (Perakekspres). Ketiga-tiga artikel atau posting agak relevan dan untuk dijadikan renungan kepada saf pimpinan PAS dan PR yang kadang-kadang mudah syok sendiri, dan mudah lupa bahawa dari mana sumber kuasa mereka.

Saya membuka gelanggang ini, dengan menurunkan optimisme Syaed Azidi akan prospek PAS di PRK N11 ini,

"Bagaimanapun, jika UMNO merasakan bahawa nasib mereka kini bertambah baik selepas meraikan kekalahan kecil di Manek Urai, UMNO juga perlu mengambil kira bahawa, kemungkinan apa yang berlaku dalam pilihanraya umum 2008 belum lagi yang terburuk.
Ini kerana ada beberapa faktor yang perlu UMNO dan BN fikirkan,
  • Dalam pilihanraya umum 2008, Anak Pulau Pinang adalah Perdana Menteri Malaysia tetapi hari ini, anak Pulau Pinang itu telah dipaksa mengosongkan jawatan itu lebih awal dari jadual yang lebih selesa bagi beliau.
  • Dalam pilihanraya 2008, Anwar Ibrahim belum dapat bertanding dan hari ini Anwar Ibrahim sudah berada ‘disitu’.
  • Dalam pilihanraya 2008, belum ada sebarang ikatan diantara PAS dan DAP tetapi selepas 8 Mac 2008, ternyata masyarakat cina amat-amat selesa dengan PAS.
  • Pentadbiran Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DAP tidak menimbulkan sebarang masalah kepada penduduk tempatan.
  • Formula yang dibawa oleh Pakatan Rakyat telah berjaya menyakinkan banyak pihak bahawa ianya satu formula yang boleh menggantikan BN.
  • Mengekalkan seorang ADUN Melayu sebagai Penyokong Kerajaan dalam keadaan sekarang lebih penting dari menambah ADUN Melayu didalam Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

BN tentu berusaha untuk membangkitkan isu ‘skandal’ ahli exco DAP di Selangor tetapi terlalu sukar bagi mereka yang berada diluar kepompong UMNO untuk mempercayainya berbanding dengan mempercayai bahawa ia suatu pengkhianatan oleh UMNO.

BN mungkin gembira untuk memainkan isu ketidak sefahaman pimpinan antara parti dalam Pakatan Rakyat, tetapi BN juga terbuka dengan begitu banyak masalah dalaman yang bersedia untuk dilaporkan oleh bekas-bekas pimpinan parti komponen BN yang kini bersama Pakatan Rakyat.

Isu lapuk seperti PAS sebagai boneka DAP mungkin hanya memualkan bagi penduduk Permatang Pasir apalagi bila isu sebegitu terbukti gagal memenangkan BN di Parlimen Bukit Gantang bahkan turut gagal di Manek Urai dimana hampir 99% pengundi dari keturunan Melayu."

Untuk bacaan lanjut, sila klik(http://kickdefella.wordpress.com/2009/08/02/apa-nak-umno-galas-ke-permatang-pasir/)

Saya pun berkongsi rasa yang sama seperti Syed Azidi, tambahan lagi UMNO kini agak terdesak apabila mereka terjerat dan terperangkap dengan masalah integriti calon. Muhyidin dan Zahid Hamidi terkial-kial untuk menyucikan calonnya.

Namun, saperti yang saya ajukan, adakah PAS dan PR benar-benar ketahui, sedar, faham, dan insaf akan rasa, pandangan, kehendak, dan keperluan rakyat terutama golongan muda terhadap PAS, PKR, DAP, dan PR umumnya.

Fikirkanlah wahai individu-individu yang diamanahkan oleh rakyat untuk ditakdirkan berada dalam saf pimpinan, sebagai ADUN dan Ahli Parlimen.

Dengan seruan itu, saya akan bergerak ke isu yang kedua ...

Sedikit masa dulu, cuba imbas Muktamar PAS di Selangor tempoh hari, cuba imbas balik apakah isu yang begitu menggegarkan PAS sehingga hampir-hampir membentuk dua jalur pemikiran dan kelompok ( pemikiran TGNA dan pemikiran TGHH ).

Sebelum saya tangguhkan posting ini, saya minta izin dari Sheikh Kickdefella, dan saudara Mat Saman Kati kerana "copy" dan "paste" posting kalian. Terima kasih ye.

Oops .. Sabar! Saya akan sambung ...

Di Simpang 4, AS, 7.30am.

Lanjutan Penahanan Gobala: Jawapan Untuk Komen Pengunjung

Salam Ramadhan ...

Saperti yang saya tegaskan, jenayah tetap jenayah. Seseorang yang melakukannya harus memikul risikonya. Yang dipersoalkan ialah bagaimana sesuatu kuasa yang dilaksanakan. Contoh-contoh kekerasan atau terlampau agak banyak dilakukan akhir-akhir ini.

Kata Gobala, “Polis menanggalkan seluar saya, bayangkan saya ahli parlimen dan polis menanggalkan seluar saya dan mengambil gambar. Ketika saya menjerit supaya mereka berhenti melakukannya tangan saya dipijak.

“Saya percaya mereka menggunakan pisau untuk memotongnya, apakah motif mereka melakukannya. Pada saya mereka menangkap gambar saya untuk digunakan dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Gobala menafikan sekeras-kerasnya dakwaan stesen televisyen pro kerajaan yang menyatakan bahawa beliau bersalah kerana meyerang polis.“Apa yang berlaku pada saya adalah saya yang diserang, apa yang mereka tunjuk di televisyen seorang lelaki berdiri di belakang saya. Polis menahan saya dan berjalan bersama, terdapat seorang polis beruniform di belakang saya menendang saya dan saya mempertahankan diri.

Gobala berkata, beliau kemudiannya dijatuhkan dan dipijak anggota polis di bahagian bahu dan belakang badan sebelum menggarinya.

“Saya telah ditahan lebih dari 25 kali, saya tidak perlu publisiti murahan. Tidak perlu memberikan 20 hingga 30 orang anggota polis menyerang, mencederakan saya dan menendang saya dan memalukan saya sehingga di masukkan ke wad selama empat hari,” katanya.

Untuk bacaan lanjut, sila klik link ini (http://perisik-rakyat.com/2009/08/gobalapdrm-yang-terlampau.html). Terima kasih kepada Perisik Rakyat.

Untuk sesiapa yang berlapang dada, fikir-fikirkanlah ... apakah dan ke manakah hala tuju negara kita?

18 August, 2009

Insiden Gobala: Persoalan Status dan Hak Seorang Ahli Parlimen

Selamat berjumpa kembali ...

Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan menghalang tugas polis pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir semalam (17 Ogos 2009).

Beliau telah cedera dan dibawa terus daripada Hospital Bukit Mertajam ke mahkamah. Saya percaya kes ini tidak berhenti di sini sahaja. Sudah tentu, insiden ini akan menyeret PDRM ke dalam gaung kredibiliti yang dalam.

Persoalan yang dapat kita utarakan ialah:

a) Apakah sebenarnya status dan hak penjawat yang bergelar Ahli Parlimen? Kalau di dalam Parlimen, YB-YB ini memiliki imuniti penuh.

b) Sebagai wakil rakyat yang diundi oleh rakyat, dan mewakili parti tertentu, serta penglibatan penuh dalam parlimen dalam membahas dan meluluskan dasar-dasar kerajaan - adakah YB ini boleh disamatarafkan dengan penjawat awam biasa?

c) Ahli Parlimen, pada hemat saya, merupakan personal yang menjadi puncak atau asas dalam negara yang mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen.

Maka, layanan polis yang begitu kasar dan keras terhadap YB Gobala, pada hemat saya, pihak polis telah melampaui etika dan peraturan dalam pelaksanaan tugasnya. Cuba teliti video ini (http://www.youtube.com/watch?v=LPDwuD3n0Ws&feature=related)

Jadi, timbul persoalan lain, iaitu:

a) Polis, barangkali melihat Gobala sebagai Ahli Parlimen Pembangkang, yang tak seharusnya dihormati statusnya sebagai Ahi Parlimen, atau

b) Gobala sebagai seorang berbangsa India?

Insiden sebegini tidak seharusnya berlaku dalam keadaan rakyat begitu celik tentang hak asasi masing-masing yang melampaui batas-batas kemanusiaan.

Sesungguhnya, pada saya, insiden sebegini sebenarnya menjejaskan kredibiliti dan reputasi PDRM, yang kian hari kian merosot imej mereka khususnya apabila mereka mengendalikan pristiwa-peristiwa atau perhimpunan yang berkaitan dengan politik.

Dalam hati kecil saya, tidak mungkinkah tindakan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi Gobala? Dan ternyata desis hati kecil saya terjawab apabila penyokongnya telah mengadakan sidang media membantah kekerasan polis dakam penahanan Gobala. (http://kedahlanie.blogspot.com/2009/08/sidang-media-wakil-penduduk-pdg-serai.html)

Saya tidak mempersoalkan jenayah yang dilakukan Gobala, tetapi yang dipersoalkan ialah bagaimana penahanan dilakukan tanpa mempedulikan sikap profesionalisme, apatah lagi Gobala adalah seorang Ahli Parlimen yang mewakili suara penduduk Padang Serai.

Di Simpang 4, AS, 10.30pm.

22 May, 2009

Nizar VS Zambry, Kalaulah Benar Teori Husam ..


Salam dan selamat berjumpa kembali.
Terima kasih diucapkan kepada pengunjung yang setia.

Mahkamah Rayuan Putra Jaya sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Zambry sebagai MB Perak yang sah, sekaligus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi (Hakim Abdul Aziz Abd Rahim) bahawa Nizar kekal sebagai MB Perak.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop. Dan keputusan ini adalah sebulat suara.

Seperti yang ditegaskan oleh hampir majoriti rakyat, PR, NGO, dan sebahagian tokoh-tokoh BN seperti Ku Li, dan Dr Chua (MCA) bahawa mahkamah tidak dapat memecahkan kebuntuan politik Perak. Yang pasti selepas ini, pasukan peguam Nizar tentunya akan memfailkan bantahan dan rayuan ke Mahkamah Persekutuan pula. Dan putaran ini tidak akan berhenti berputar.

Pada hemat saya, walau apa pun keputusan mahkamah maruah atau kredibiliti BN amnya dan UMNO khasnya sekali-kali tidak akan pulih kerana rakyat Perak khasnya mengetahui dengan jelas senarionya.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak dapat menghakis persepsi rakyat Perak bahawa UMNO dan BN telah merampas kerajaan Perak yang sah dengan cara mengeksploitasi ketiga-tiga Adun yang dipertikai moraliti mereka dan istana Perak.

Namun begitu ada teori yang menarik berkaitan bagaimana lahirnya keputusan Mahkamah Rayuan ini. Husam (http://cetusan-hati.blogspot.com/2009/05/pembubaran-dun-perak-kian-hampir.html) berteori bahawa BN amat memerlukan keputusan ini untuk mengembalikan maruah BN dalam kalangan rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya serta mengembalikan integriti Najib sebagai PM.

Husam merumuskan hal ini setelah beliau melakukan siri perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin tertentu dalam usaha menggerakkan atau menyatukan gerakan agar dapat mendesak PM membubarkan DUN Perak.

Langkah pertama dalam teori Husam telah "mengena", dan sama-samalah kita menunggu benarkah Zambry akan meminta perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak.

Pembubaran DUN Perak memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Perak dan Malaysia. Dan jika benar-benar berlaku, inilah mahkamah terakhir untuk menyelesaikan kemelut politik Perak ini.

Namun, sekiranya hal ini tidak berlaku, Pakatan Rakyat tidak rugi apa-apa, malah mendapat "political milleage" secara percuma. Tidaklah perlu saya huraikan bagaimana PR mendapat durian runtuh daripada keptusan Mahkamah Rayuan ini. Masing-masing sebenarnya telah memahaminya dengan jelas.

Di Simpang 4, AS, 5.00pm.

08 April, 2009

Faktor 4 Tokoh, Kemenangan Yang Manis


Posting kali ini saya akan cuba kaitkan kemenangan atau pengekalan kerusi Parlimen dan Dun Pakatan Rakyat dengan 4 tokoh utama PR - Anwar, TGNA, TGHH, dan LKS.

PRK 7 April sekali lagi menjadi testimoni bahawa rakyat begitu komit dalam menjunjung agenda "Ketuanan Rakyat" (KR). Kalau kemenangan di Permatang Pauh bagi sesetengah pihak tidak boleh dijadikan ukuran kerana alasan Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim, begitu juga PRK Kuala Terengganu sesetengah pihak masih beranggapan bahawa tidak boleh dijadikan petunjuk bahawa momentum PRU12 masih kekal.

Pada saya, PRK7April, tiada lagi alasan bagi penganalisis yang masih fobia dengan kemaraan PR atau masih hanyut dengan sindrom penafian bahawa agenda PR untuk memperkasa Ketuanan Rakyat telah disambut dengan rela dan sedar oleh rakyat, sebahagian besarnya oleh generasi muda.

Nizar menang dengan majoriti bertambah hampir seribu undi, begitu juga Manikumar, mengesahkan lagi bahawa kesebatian generasi baru terhadap agenda KR telah "mengkristal".

Dalam konteks ini, di manakah letaknya keempat-empat tokoh tersebut dalam memacu kemenangan tersebut? Adakah faktor Anwar tidak dominan lagi?

Pemimpin dan Rakyat Menyatu

Saya kira keempat-empat tokoh tersebut telah pun dapat menemui titik-titik persamaan, dan meminimumkan perbezaan, serta bergerak dalam satu saf ke arah mencapai matlamat - mewujudkan Malaysia yang berkebajikan dan berteraskan keadilan yang ditunjangi agama dan moral yang kukuh.

Pakatan Rakyat telah memasuki fasa perjuangan yang ke seterusnya. Ahli-ahli PR dan simpatisan PR telah secara automatik dapat bergerak sendiri tanpa perlu didorong dan didokong oleh tokoh-tokoh besar. Ini bermaksud perjuangan PR telah meresap menjadi perjuangan yang dirancang dan digerak oleh rakyat sendiri.

Dalam keadaan ini, pemimpin dan penyokongnya telah menjadi satu. Penyokong dan para simpatisan membawa pemikiran, hasrat dan matlamat pemimpin. Pemimpin pula apabila bersuara membawa hasrat dan aspirasi rakyat.

Implikasi

Kesannya cukup hebat:

a) Apabila lawan politik cuba menggunakan isu dengan memburukkan atau merendahkan pemimpin besar PR, sokongan dan dokongan rakyat kian mengukuh, malahan mampu mendorong penyokong di luar PR makin bertambah.

b) Bebanan yang terpaksa dipikul oleh pemimpin besar kian berkurang kerana mereka tidak perlu risau dengan situasi penghakisan sokongan. Dalam masa sama, pemimpin pula boleh fokus kepada soal-soal lebih besar dan penting, iaitu soal-soal strategi dan usaha-usaha memperkuat organ parti dan kerajaan-kerajaan negeri PR.

c) UBN akan menghadapi tekanan yang hebat. Mereka menjadi defensif. Mereka sama ada akan mengambil pendekatan yang kian agresif dan menekan atau mengambil pendekatan untuk berubah senada dengan tuntutan rakyat.

Tugas PR Seterusnya

Apabila kita meneliti hasil daripada PRK7April, dokongan bukan Melayu cukup kuat. Namun sokongan daripada pengundi Melayu tidak banyak berubah.

Kini, masanya untuk pemimpin besar PR memfokus agenda pada orang Melayu pula. Mengapa mereka masih mempercayai dan meyakini UBN? Apakah yang sebenarnya dibimbangi oleh orang Melayu? Apakah dokongan dan sokongan yang kukuh bukan Melayu menyebabkan orang Melayu berasa cemas terhadap kewujudan mereka di tanah air ini? Adakah kebimbangan mereka tentang hak-hak istimewa mereka dalam Perlembagaan akan terhakis atau terhapus?

Besar kemungkinan ialah wujud jurang komunikasi yang luas antara PR dan orang Melayu keseluruhannya khasnya penyokong UBN yang kita kategorikan sebagai kelabu.

Sesuatu MESTI dilakukan!!!

Di Simpang 4, AS 10.30am












06 April, 2009

Najib dan "Check and Balance"

Mahu Tak Mahu, Berkenan Tak Berkenan, takdir telah menentukan Najib akhirnya menjadi PM ke-6 Malaysia.

Dengan moto, "Satu Malaysia" dengan rakyat diberikan penekanan dan prioritas, Najib menjanjikan perubahan yang benar-benar akan dilakukan beliau. Beliau juga berjanji untuk memfokuskan agendanya kepada generasi mudanya.

Muhyiddin Yassin, timbalannya, tidak berhenti-henti mencanangkannya betapa perubahan yang dijanjikan itu adalah benar-benar serius. Agenda perubahan ini juga dibeberkan juga oleh calon UBN Bukit Gantang, Ismail, dan Ganesan.

Sebagai bukti perubahan yang akan dilakukan itu, Najib telah turun padang ke Petaling dengan gaya dan "baju rakyat". Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik penggantungan 3 bulan penerbitan. 13 orang dibebaskan dari ISA termasuk 2 pemimpin Hindraf. Semakan terhadap ISA juga dijanjikan Najib.

Terlalu awal untuk menilai janji-janji ini. Janji-janji ini kalau dikira UBN dalam stuasi "under dog" tidaklah terlalu luar biasa. Malah mungkin sesetengah rakyat dah dapat membaca yang tersirat daripada pembebasan 13 tahan ISA itu dan penarikan balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan. Tidakkah mungkin, hal ini telah pun dirancang dari awal memandangkan kem Najib telah pun diberi komitmen oleh Pak Lah sebel;um beliau berlepas ke Kuwait bahawa perialihan kuasa berlaku?

Check and Balance

Sejak PRU 12, Mac 2008, majoriti 2 per 3 UBN berjaya dinafikan. Daripada tindakan-tindakan UBN selama ini memperlihatkan UBN mengalami "sindrom denial" - meletakkan kesalahan atau punca kekalahan mereka di luar daripada faktor dalaman mereka.

Dalam PAU'09 baru-baru ini baru kedengaran daripada mulut Pak Lah dan Najib sendiri bahawa memang wujud faktor dalaman yang agak parah yang perlu diperbetulkan sekiranya ahli UMNO mahu mempertahan survival UMNO di persada Malaysia.

Pengakuan ini, rasanya, lebih kepada kerana akan berlangsungnya 3 PRK pada 7 April 2009. Pegakuan itu dibuat dalam konteks PRK tersebut.

Ada 2 keadaan yang perlu pertimbangan yang serius:

Keadaan 1:

Dengan mengambil kira "sindrom denial" terhadap berlakunya penghakisan sokongan rakyat terhadap UBN dan akan berlakunya kemelesetan ekonomi, didapati UBN kelihatan masih angkuh dan enggan mengakui kesilapan mereka, MAKA RAKYAT HARUS MEMBERI AMARAN DAN PETUNJUK YANG JELAS BAHAWA SEKIRANYA MEREKA MASIH ENGGAN BERUBAH, SEKURANG-KURANGNYA 2 BUKIT ITU MESTI DIBERI KEPADA PAKATAN RAKYAT.

Dengan kekalahan ini, Najib dan barisan kepimpinannya termasuk TDM dipaksa menerima hakikat bahawa mereka perlu jujur untuk berubah dan dengan itu walau apa pun kosnya perubahan radikal perlu dilakukan. Dan mereka pasti akan bekerja lebih kuat untuk rakyat.

Dengan kekalahan ini menjadi petunjuk jelas bahawa jika sesuatu fundamental tidak dilakukan, UBN akan hilang dari persada politik tanah air!

Lagi pun, kekalahan ini tidak merugikan mereka kerana kedua-dua kerusi ini adalah milik Pakatan Rakyat.

Rakyat atau pengundi tidak perlu rasa bersalah.
"Satu Malaysia" mesti direalisasikan, bukan hanya dijadikan omongan.

Keadaan 2:

JIKA MEREKA MENANG DI KETIGA-TIGA PRK INI MENANDAKAN ATAU MEMBERI MESEJ BAHAWA PERALIHAN KUASA ITU DITERIMA OLEH RAKYAT. APABILA MEREKA MENDAPAT MESEJ INI SEKALI LAGI MEREKA AKAN MULA MEMBANGGAI DIRI DAN KEMBALI BERSIKAP ANGKUH.

Dalam keadaan ini, kita khuatir, perubahan yang dijanjikan akan menjadi perubahan kosmetik dan tidak jujur.

Oleh itu, pada saya, adalah amat penting untuk memastikan agar agenda perubahan yang dicanangkan dengan begitu gempita itu dilaksanakan dengan agresif.

Untuk memastikan perubahan itu benar-benar berlaku, pengundi-pengundi atas pagar dan "kelabu" mesti memberi kemenangan kepada PR.

Dengan kekalahan itu, tidak perlu rasa bersalah kerana kesan akhirnya rakyat juga yang akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Di Simpang 4, AS1.30am

03 April, 2009

PRK309(5): Najib, Ke mana dan Di mana Pendirian Melayu?


PRU12 menandakan bahawa arus politik Malaysia telah berubah. Rakyat (secara majoriti) telah menolak, antara lain:

a) Politik perkauman yang sempit.
b) Isu kronisme dan nepotisme.
c) Amalan rasuah yang menjalar ke setiap sendi kehidupan bernegara.
d) Tafsiran agama yang hanya berlegar ibadat khusus dan menolak peranan agama dalam politik dan pentadbiran dan budaya.
e) Keadilan yang berpihak.
f) Dasar-dasar kebumipetaraan yang dijadikan alasan untuk kepentingan kuasa dan harta.
g) Suara rakyat yang disempitkan melalui beberapa akta yang disalah guna.
h) Institusi-institusi kerajaan umpama PDRM dan SPRM dijadikan instrumen untuk pengekalan kuasa.

PRU12 juga menjadi satu testimoni bahawa golongan pertengahan dan golongan muda mula memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju, dan bentuk serta pengisian politik masa depan.

Satu hakikat yang tidak boleh ditolak untuk beberapa tahun akan datang (barang kali PRU13) bahawa golongan pertengahan dan generasi muda akan menentukan pihak mana yang akan menjadi teraju negara.

Parti-parti yang boleh menyentuh secara langsung hati nurani dan aspirasi serta harapan golongan ini akan menang dalam pemilu akan datang.

Orang Melayu dan rakyat khasnya sedang ditawarkan dengan dua pendekatan politik. Pertama, pendekatan politik yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat (PAS, PKR, DAP) dan keduanya, UBN.
Apabila membicarakan UBN, pembicaraan tentang bakal PM ke-6 tidak dapat dielak. UBN kini sebenarnya membawa beban yang cukup berat yang diwarisi daripada legasi dan era Maharithisme. Dan perubahan yang dijanjikan oleh Najib dan Muhyiddin bukanlah lagi perubahan kosmetik tetapi perubahan fundamental dan radikal.

Kita akui Mahathir merupakan seorang tokoh, perancang, penstrategis, dan pelaksana yang hebat. Namun ketokohan itu harus dibincangkan atau dinilai bersama dengan kerosakan institusi kerajaan sepanjang era pentadbirannya. Satu hakikat yang tidak dapat ditolak ialah:

"Jaringan kuasanya ada di mana-mana malah di setiap organ pemerintahan. Doktrin pemisahan kuasa pada era Mahathir tiada garis pemisah yang jelas. Ketaksubannya pada kemajuan ekonomi, sains dan teknologi telah menenggelamkan peranan bahasa dan agama dalam hidup bernegara."

Najib ialah anak didiknya. Mahathir ialah mentor Najib. Hakikat ini pun telah meyukarkan Najib menggarap dan melaksanakan perubahan radikal.

Salah satu syarat wajib untuk melakukan perubahan ke arah yang terbaik ialah kualiti dan integriti pemimpin atasan terutama peneraju perubahan iaitu PM. Kualiti dan integriti ini bersumberkan kekuatan intelektual dan moral yang berpaksikan kepada penghayatan agama yang mendalam sehingga terpancar dalam dirinya. Integriti ini memancar dan auranya boleh memukau khalayak. Kualiti dan integriti inilah yang memungkinkan lahirnya karisma.

Kalau kita analisiskan secara jujur dan profesional, integriti, kualiti dan karisma ini berada di pihak Pakatan Rakyat - TG Nik Aziz, TG Haji Hadi, Anwar Ibrahim, dan yang terbaru dan mula membentuk aura karisma ialah Ir Mohamad Nizar, dan Lim Guan Eng.

Najib dan Gagasan Intelektual

Saya tercari-cari sepanjang kariernya sebagai ahli politik yang bermula dalam usia yang cukup muda, 27 tahun sebagai MB Pahang, dan sehingga kini, Najib menongkah takah-takah politik sehingga ke puncak kuasa, tidak dapat saya temui satu sorotan tentang ketokohan dan jalan pemikiran Najib sebagai seorang ahli politik yang "bertokoh".

Cuma baru-baru ini apabila beliau diangkat sebagai TPM, beliau cuba menggagaskan "Melayu Glokal" - Melayu yang bersifat lokal dan pada masa sama bersifat global. Namun entah kenapa gagasan yang antik ini yang ditelurkan dengan istilah baru tenggelam begitu sahaja. Barangkali Najib tidak mempunyai kekuatan team yang sanggup secara sukarela bekerja untuk menerapkan gagasan ini menjadi realiti. Ini salah satu contoh Najib tidak mempunyai aura kepimpinan yang mampu menggerak massa. Karisma ini sebenarnya bersifat semula jadi. Karisma ini lebih kepada bakat.

Yang dapat saya simpulkan ialah kekuatan politik Najib ialah kesanggupannya bersabar dalam meniti kerjayanya. Sikap penentangan dan cuba menonjolkan keperibadian amat dielakkan. Najib seorang pengikut yang setia. Najib begitu berhati-hati dan selalu bersikap "play save".

Najib sebenarnya juga membawa beban diri yang cukup berat yang melingkari hidupnya. Kisah komisen kapal selam dan pembunuhan al Tantuya, masih belum selesai, dan kini didedahkan pada peringkat antarabangsa. Pemborosan juga seperti menjadi sifatnya. Lihatlah bagaimana beliau menerajui Kementerian Pertahanan dan bagaimana beliau mengurus agensi Felda.

Pakej rangsangan beliau masih tidak memberi kesan. Pasaran saham tidak memberi reaksi positif. FDI masih kekal jatuh. Defisit belanjawan telah meninghkat 7.8% daripada KDNK. Kesan kemelesetan ekonomi global sudah mula menyuntik bisanya ke sendi-sendi kehidupan rakyat. Nampaknya preskripsi Najib dalam membendung kesan kemelesetan ekonomi masih konvensional sedangkan kemelesetan ini tidak sama dengan bentuk kemelesetan global yang lalu.

Pimpinan tertinggi UMNO yang menang dalam PAU'09 memang memperlihatkan muka baru namun persepsi rakyat tidak dapat dihapuskan begitu sahaja bahawa PAU'09 yang lalu itu dilingkari unsur rasuah politik yang kronik. Maka, walaupun muka baru, mereka masih orang-orang korporat yang dahagakan kontrak kerajaan untuk survival politik masing-masing.

Nampaknya, UMNO semakin tidak diminati oleh golongan profesional yang genuine. Mereka kebanyakannya berpaling kepada Pakatan Rakyat.

UMNO di bawah Najib juga bukan sahaja bertarung dengan kelemahan dalaman yang kronik, tetapi akibat penekanannya yang melampau terhadap unsur Melayu telah merenggangkan rakyat bukan Melayu daripada UBN. Tawaran Pakatan Rakyat nampaknya berjaya menawan rakyat bukan Melayu. Rakyat bukan Melayu tidak mudah melupai Episod Kudeta Perak.

Episod Kudeta di Perak sesungguhnya adalah manifestasi penekanan yang melampau terhadap unsur Melayu (UMNO) dalam hubungan dengan rakyat bukan Melayu. Rakyat bukan Melayu secara tidak langsung diberi mesej bahawa UMNO dan Raja Melayu tidak mengiktiraf rakyat bukan Melayu sebagai rakyat Raja. Ini bermakna Najib dan para penasihat belakang tabir beliau gagal membaca gerak dan nadi rakyat Perak sebelum merancang merampas kerajaan negeri Perak yang sah.

Aliran Politik Kini

Asas politik yang diinginkan oleh generasi baru ialah keadilan yang berpaksikan moral dan agama. Status quo Melayu dengan segala akar budayanya yang termaktub dalam Perlembagaan tetap KEKAL, namun pada masa sama kepentingan dan hak-hak rakyat bukan Melayu TIDAK TERABAI. Diktonomi antara Melayu dan Bukan Melayu akan terungkai dan secara beransur-ansur terhapus.

Ketuanan Rakyat yang diingini oleh generasi baru. Ini satu intisari makna sebenar demokrasi dan dipandu dengan panduan agama (tentunya agama Islam).

Saya agak yakin bahawa rakyat bukan Melayu mula menerima peranan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dengan adanya sikap toleransi yang tinggi antara PAS, PKR, dan DAP, saya yakin Islam akan difahami dalam maksudnya yang sebenar. Bahawa kehidupan beragama dan berbudaya rakyat bukan Melayu tidak akan diusik malah akan dipersubur. Dalam HUDUD pun, mereka dibenarkan memilih untuk mengguna pakai sama ada Hudud atau undang-undang konvensional.

Virus perkauman dapat diminimumkan dan racun prejudis dapat dikurangkan. Pada ketika ini, setiap program kerajaan ke arah peningkatan mutu kehidupan rakyat Melayu dan bumiputera yang ketinggalan akan berlangsung dalam bentuk penyertaan bukan Melayu secara sukarela.

Memang ini nampak seperti sesuatu yang bersifat utopia, namun apabila kita sanggup memberi penilaian yang adil, kita dapati usaha ini sedang dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR. Contoh klasik ialah bagaimana usaha TGNA di Kelantan.

Oleh itu, orang Melayu harus membuat pertimbangan yang halus untuk memilih antara dua tawaran paradigma politik: paradigma yang ditawarkan PR dan paradigma UBN. Pada saya kalau orang Melayu masih memilih UBN bermakna orang Melayu memilih untuk hidup dalam suasana penuh pertentangan antara Melayu dan Bukan Melayu yang tiada titik noktahnya, dengan penafian terhadap peranan agama dalam kehidupan.

Dengan itu, orang Melayu yang masih kental unsur sentimental value dengan UMNO, Raja, dan Kemerdekaan haruslah berfikir dan membuat penilaian kritis dan bertanya pada diri. Emosi sentimental jangan hendaknya menyebabkan kita gagal menyelami realiti dan keperluan generasi muda. Malaysia ini akhirnya akan kita wariskan kepada mereka. Kita, generasi lama akan pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Sikap yang terpuji dan yang akan dikenang sepanjang zaman ialah generasi lama mewariskan suatu asas dan landasan serta bentuk kehidupan berpolitik yang mampu dirasai oleh semua golongan, dan bukan dalam bentuk penuh pertentangan dan konflik yang tidak berkesudahan. Sebenarnya, kitalah yang bertanggungjawab menentukannya.

Di KL, 10.00am

02 April, 2009

PRK309(4): Madah Berhelah Musa Hassan


Pada 30 Mac 2009, pihak pengurusan polis Ipoh telah menambah 2 larangan dalam senarai larangan dalam berceramah dalam 3 PRK ini. Larangan pertama, tidak boleh menyentuh isu Al Tantunya dan larangan kedua tentang isu perampasan kuasa di Perak.

Apabila pihak PR enggan mematuhinya kerana merekla tidak nampak kaitannya dengan kes yang sedang dibicarakan sekarang. Manakala tentang isu perampasan kuasa, episod kudeta, apa yang yang nak dijelaskan oleh PR ialah soal tafsiran undang-undang, bukan membicarakan isu kesultanan dan kredibilitinya.

Bagi pihak PR, kedua-dua larangan ini lebih menjurus untuk menjaga imej Najib yang bakal dinobatkan sebagai PM ke-6 Malaysia.

Jika benar seperti dakwaan Muhyiddin bahawa barisan pimpinan UMNO yang baru menang itu merupakan barisan terbaik untuk melakukan perubahan fundamental di bawah PM baru, Najib yang didakwa Muhyiddin sangat berwibawa, megapa mereka perlu takut supaya rakyat diberi maklumat siapa sebenar Najib. Kalau tidak benar, mengapa perlu khuatir?

Respons PR yang dianggap Muhammad Taib sebagai "keras kepala" menunjukkan larangan ini nampaknya akan memakan diri mereka sendiri, Musa Hassan bingkas mempertahan diri bahawa larangan itu bukan datang daripada pihaknya.Polis Ipoh yang memandai-mandai. Musa telah takut menjadi sebahagian daripada faktor kekalahan UBN di Bukit Gantang atau Bukit Selambau atau Batang Ai. Najib, tentunya akan menyusun dan memperkemas barisan kabinetnya termasuk semua agensi kerajaan dan tentunya melibatkan pengurusan Polis.

Saya agak hairan, beranikah Polis Ipoh mengeluarkan larangan itu tanpa arahan daripada pihak atas. Ini pilihan raya penting bagi Najib. Jelas, Musa sedang cuba berhelah dan membayangkan bahawa beliau tidak terlibat jika musibah menimpa UBN pada 7 April nanti.

Satu isu lagi bagaimana beliau akan memberi jawapan tentang FRU berkawal di Cangkat Ibul ketika pihak petugas UBN sedang memasang bendera UBN. Cangkat Ibul merupakan kubu kuat PAS. Menurut blogger Cina Islam aka YB Titi Serong, bahawa kawasan ini seperti kawasan larangan bagi BN.[ http://idhamlim.blogspot.com/2009/04/ust-nasa-fru-di-guna-untuk-pasang.htmlTindakan FRU ini memberi mesej jelas mereka tidak profesional dan memihak dalam menjalankan tugas! Siapa yang akan menjadi kambing hitamnya nanti?

Di KL, 11.30pm

01 April, 2009

PRK309(3): Negara Islam, Nizar dan Sidang DUN


Kita tidak tahu pasti apakah pendekatan UBN dalam mendekati pengundi-pengundi Cina dan India di Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Kalau dulu mereka memomokkan agama Islam dalam kalangan pengundi bukan Melayu. PAS digambarkan sebagai ektremis dan keras serta ortodok. Isu Hudud, isu pemaksaan dalam beragama dan sikap tidak bertolak ansur dalam rumah ibadat antara isu-isu pokok yang disensasikan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Kini rasanya isu-isu ini tidak lagi menggentarkan pengundi bukan Melayu.

Saya yakin mereka mempunyai strategi yang baru. Ini adalah kerana mereka amat memerlukan sokongan orang bukan Melayu.

Bagi pengundi Melayu, UBN mempunyai banyak isu yang boleh diketengahkan.

Dua isu pokok yang akan digunakan dan disensasikan untuk pengundi Melayu:

a) Kelemahan, pertentangan dasar parti, konflik kepentingan, gabungan yang longgar, tiada dasar dan matlamat yang jelas, dan semua dasar dan prinsip berdasarkan cita-cita individu yang gila kuasa, iaitu Anwar Ibrahim.

b) UBN telah teruji dan mampu mentadbir Malaysia dan membawa kesejahteraan kepada rakyat. BN merupakan gabungan terbaik berbanding Pakatan Rakyat yang longgar, berbeza ideologi, dan semaata-mata bermatlamat menumbangkan UBN semata-mata.

Penyebaran cd rakaman sidang DUN Perak 23 Jun 2008 sewaktu Nizar masih MB Perak merupakan satu usaha terakhir UBN agar pengundi Melayu dan simpatisan Pakatan Rakyat meninggalkan PAS.

Lapor Agendadaily, [http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a] Berdasarkan rakaman tersebut, isu berkenaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang menyatakan PAS kini sudah lari daripada matlamat asal mereka untuk menubuhkan Negara Islam.

Nizar yang mendengar kenyataan Tajol itu, bangun meminta penjelasan.

“Di manakah dalam mana-mana transkrip PAS yang menyatakan bahawa PAS nak melaksanakan negara Islam. Saya minta pandangan dan minta jawapan di manakah dalam transkrip PAS, dalam memorandum ke ...dalam Perlembagaan PAS ... ada menyatakan PAS nak melaksanakan negara Islam,” tanya Nizar.

Jawapannya itu disambut oleh Tajol dengan menyatakan, “Saya tahu ramai orang PAS dalam Dewan ini tapi itulah jawapan YAB Menteri Besar (mengenai negara Islam)”.

Malah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang juga ADUN Pangkor bangun mencelah menasihati Nizar agar bertaubat . “Astaghfirullah...astaghfirullah, nauzubillahiminzaliq” kata Dr Zambry.

Rakaman sidang DUN Perak itu yang bertarikh 23 Jun 2008 tentunya menarik minat kerana secara rasmi ketika bergelar Menteri Besar, Nizar seolah-olah mengesahkan memang PAS tidak mempunyai apa-apa dokumen atau iltizam untuk menubuhkan Negara Islam.

Jawapan Nizar ini boleh ditinjau daripada beberapa aspek:

a) Memang daripada segi Perlembagaan PAS, tiada frasa yang menyebut "Negara Islam". Saya perturunkan matlamat PAS,

Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi. KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
[http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia]

Daripada blog DPP Wilayah Persekutuan, rumusan tujuan PAS ialah "Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara".[http://dppwp.wordpress.com/intro/sejarah-pas/]

Rumusannya ialah matlamat perjuangan PAS ialah supaya nilai-nilai Islam dihayati dalam hidup bermasyarakat dan bernegara di Malaysia. Soal penjenamaan adalah soal kedua. Yang dipentingkan ialah isinya bukan bentuk. Perjuangan untuk pengisian itu menuntut pelbagai pendekatan memandangkan masyarakat Malaysia yang pelbagai. Dakwah menjadi landasannya.

b) Dari Sudut Pendekatan dan Kaedah

PAS telah menongkah arus perjuangan yang panjang. Fasa-fasa perjuangan PAS begitu berwarna-warni. Dulu, PAS dianggotai ulama-ulama dan ahlinya boleh dikatakan didominasi oleh ahli berpendidikan agama. Kini, keanggotaan dan saf kepimpinan PAS begitu majmuk dari bertaraf ulama dan berpendidikan sekular (profesional) namun memiliki pengetahuan dan penghayatan agama yang mendalam.

PAS juga responsif terhadap masa dan zaman serta faktor demografi. Hakikat masyarakat Malaysia yang majmuk menandakan PAS harus berubah daripada pendekatan dan kaedah politik. Yang berubah cuma pendekatan, matlamat supaya penghayatan Islam dalam masyarakat Malaysia tetap menjadi matlamat utama dan tidak dikompromi.

Dalam konteks inilah Nizar meminta Tajol Rosli mengemukakan bukti dokumen bahawa frasa 'Negara Islam" terdapat dalam mana-mana dokumen rasmi PAS. Nizar menggunakan kebijaksanaannya menerapkan perjuangan PAS dalam kalangan masyarakat Perak yang penduduk bukan Melayunya bukan sedikit jumlahnya.

Nizar memahami betapa UBN memomokkan Islam dalam kalangan orang bukan Melayu sehingga Islam disamakan dengan Osman Ben Laden. Bagi Nizar, ini yang perlu diperbetulkan. Maksudnya bukan bentuk yang diutamakan tetapi memberi bukti bahawa Islam itu boleh dilaksanakan dalam pentadbiran dan kehidupan. Nizar menghidupkan Islam dalam dirinya.

Ini amat berbeza dengan UBN. Mereka seperti menolak peranan Islam dalam kehidupan. Begitu banyak bukti yang telah sedia maklum. Satu contoh yang jelas, dalam PAU'09, sebanyak 900 aduan tentang salah laku termasuk rasuah politik.

Kerana itu, usaha desperado ini sebenarnya memakan diri UBN sendiri. UBN telah hilang kredibiliti untuk mencari kesalahan orang lain, sedangkan diri mereka sebenarnya yang perlu diperbetul dan ditarbiyahkan.

Di Simpang 4, AS 5.15pm