26 August, 2012

Tentang Mansor, Anwar Kecewa Lagi

Salam Syawal. Kes kebocoran mesyuarat strategik politik PKR Pulau Penang memang mengecewakan penyokong PR khususnya PKR. Mansor sendiri mengesahkan kebenaran butiran yang tersiar itu.

Saya beranggapan butiran yang sengaja dibocorkan itu bukan minit mesyuarat tetapi transkrip rakaman. Maksudnya, terdapat orang-orang dalam mesyuarat tersebut yang merakam keseluruhan perjalanan mesyuarat tersebut, untuk tujuan tertentu.

Kenapa sengaja dibocorkan? Sekurang-kurangnya ada dua tafsiran. Pertamanya, kepimpinan Mansor mungkin tidak disenangi sesetengah pemimpin PKR Penang. Kita tidak pasti adakah stail kepemimpinan Mansor atau lebih kepada sikap dan perangai peribadi Mansor yang kurang disenangi itu. Yang pasti memang Mansor tidak disenangi. Butiran transkrip itu memaparkan dengan jelas siapa Mansor - pandangannya tentang LGE dan DAP Penang keseluruhannya.

Kedua, mendedahkan sikap rakyat Penang khasnya kaum Cina tentang LGE dan DAP Penang. Kata-kata Mansor tentang LGE sebagai tokong, pada saya ialah Mansor cuba memperjelas sanjungan masyarakat Cina terhadap LGE DAP khasnya. DAP Penang nampak kuat kerana sanjungan terhadap LGE, mungkin kerana peribadinya atau gaya kepemimpinannya.

Dengan kedudukan dan sanjungan masyarakat Penang terhadap LGE dan DAP, wajarlah DAP menikmati kuasa tawar-menawar yang tinggi.

Seharusnya, Mansor dan PKR Penang melihat kekuatan LGE dan DAP ini dari sudut positif iaitu cuba menjadikan LGE sebagai teladan dalam berkhidmat kepada masyarakat Penang. Dalam keadaan kekuatan peribadi dan gaya kepemimpinan LGE memang agak payah untuk Mansor bergandingan dengan LGE. Yang penting ialah masyarakat Penang dan seberang dapat menanggap bahawa Mansor dan PKR Penang memiliki daya juang yang tinggi dalam menyampaikan khidmat ke bawah. Yang utama ialah kepedulian kepada masyarakat, bukan memfokus kepada kedudukan dan jawatan.

Cabaran utama dalam berkhidmat dalam komuniti Cina ialah kemampuan memperoleh kepercayaan masyarakat Cina terhadap kekuatan peribadi dan stail kepemimpinan.

Nampaknya Mansor boleh dikatakan gagal untuk menyaingi atau seiring dengan LGE.

Dan, dari segi "damage" kepada imej PKR Penang, kita agak kesal dengan kebocoran tersebut. Namun dari sisi yang lain, mendedahkan bahawa mugkin telah tiba masa Mansor digantikan dengan orang lain. Tidak rugi untuk menggantikan seseorang pemimpin yang secara jelas hanya berfikir untuk diri sendiri dan kelompok. Era politik kini ialah kepedulian kepada rakyat!

Barang kali mesej inilah yang cuba disampaikan oleh seseorang yang secara sengaja membocorkan sebahagian butiran mesyuarat tersebut. Mesej itu cuba disampaikan kepada Anwar sebenarnya. Wallahualam.

23 July, 2012

Hebatnya TPM Kita (3)...Referendum


Secara ringkasnya adakah wajar Referendum ini dilaksanakan, bolehlah kita nilai berdasarkan beberapa soalan di bawah:

1.  Masa:  Kini masa yang kritikal, saat-saat menjelang PRU13. Silap percaturan akan membawa padah.

2.  Hujah Khalid: Pengurusan SYABAS, harga air, dan sistem penyampaiannya. Di manakah tahap pencapaian SYABAS dalam soal membekalkan air terawat kepada rakyat Selangor?

3.  Hujah TPM: Benarkah berlaku krisis air di Selangor sehingga perlunya Pusat membela SYABAS dan bertegas ingin melaksanakan Langat 2?

4.  Siapakah stake holder dalam isu ini?

Jika stake holder dalam isu ini ialah rakyat Selangor maka wajarlah referendum ini dilakukan. Kerajaan Selangor tidak akan rugi apa-apa kerana peswastaan air sebenarnya dalam kuasa Pusat. Jika rakyat bersetuju maka kerajaan Selangor tidak dapat dipersalahkan kerana persetujuan rakyat itu bermakna rakyat Selangor sanggup membayar apa saja kos daripada program penswastaan (pembinaan Loji Langat 2).

Namun adakah Pusat sanggup menerima keputusan referendum itu? Bagaimana sekiranya hasil referendum menunjukkan rakyat tidak bersetuju?

Hemat saya ialah TPM telah terjerat dengan egonya sendiri! Nasihat saya untuk sekian kalinya ialah jangan sampai rakyat dapat membuat rumusan bahawa TPM semata-mata menjaga kroni daripada menjaga kebajikan rakyat Selangor!

Hebatnya TPM Kita (2)...

Agaknya kenapa TPM cuba menjadi jaguh dalam isu air selangor ini. Adakah kerana ingin menjaga air muka Noh Omar sebagai orang no 2 UMNO Selangor? Atau membela kroni UMNO, TS Rozali? Atau pada hematnya untuk menunjukkan betapa Pusat begitu prihatin akan nasib rakyat Selangor? Seolah-olah Khalid Ibrahim dan kerajaan Selangor hanya berminat bermain politik, dan bukannya membela nasib rakyat Selangor khususnya keengganan Khalid bekerjasama dalam pembinaan Loji Langat 2. Atau untuk menunjukkan betapa kerajaan negeri Selangor di bawah PR adalah kerajaan yang gagal?

Jika kita membaca lebih jauh TPM cuba mengaplikasi kaedah yang digunakan Isa Samad, Ahmad Maslan, dan Najib dalam menjayakan penyenaraian FGH walaupun ditentang hebat oleh ANAK dan sebahagian peneroka Felda.

Hakikatnya rakyat Selangor mampu menilai akan rasional tindakan Khalid dalam soal isu SYABAS dan isu Langat 2 ini. Khalid bertindak dalam rangka kebajikan rakyat Selangor dan Khalid tidak ingin selagi kuasa kerajaan Selangor berada di bawah PR, Khalid tidak mahu bersekongkol dengan kerakusan UMNO dan kroninya membebankan rakyat Selangor dan membiarkan Pusat bertindak sewenang-wenangnya dengan dana yang begitu besar semata-mata atas alasan dan hujah untuk rakyat Selangor, sedangkan hakikatnya rakyat Selangorlah yang dimangsai oleh TPM dan Pusat.

Jika kita bertanya lagi, adakah TPM berasakan dia telah menang? Apa yang cuba ditunjukkan ialah TPM cuba menjadi juara/ jaguh, sedangkan tindakan Selangor untuk "step in" pengurusan SYABAS masih lagi dalam pertimbangan Pejabat Peguam Negara.

Agaknya apa pula reaksi TPM dan Noh Omar apabila Selangor bercadang untuk melaksanakan REFERENDUM dalam isu air Selangor ini?

Isu Loji Langat 2: TPM Kita Ada Kelas...

Salam Ramadhan. Isu SYABAS, antara air mentah dan air terawat di Selangor telah beberapa kali diisukan, dan kali ini rasanya sedang menghampiri puncak atau klimaks. SYABAS dan CEOnya, TS Rozali sering menjadi fokus kerana pendapatannya berjuta-juta setahun,khabarnya mencecah 5 juta.

Kini, SYABAS memainkan isu catuan air di KL, WP, dan Putrajaya sekiranya situasi bekalan air yang meruncing. Kerajaan Selangor menolak cadangan SYABAS tentang catuan air ini kerana didapati bekalan air terawat masih mencukupi, apatah lagi air mentah.

Isu SYABAS ini sebenarnya isu kronisme dan salah urus yang jelas yang sinonim dengan UBN. Penswastaan air di Selangor berlaku sebelum PR ambil alih Selangor. Satu fakta yang ada ialah pengurusan SYABAS untung, kerajaan negeri Selangor rugi kerana seluruh aset perngurusan air milik Selangor diserah kepada SYABAS. Rakyat pula kerugian kerana harga airnya yang tinggi tetapi perkhidmatannya yang lemah.

Lantas, isu catuan air yang cuba dilaksanakan oleh SYABAS menyebabkan pentadbiran Selangor hilang sabar dan Khalid memutuskan untukambil alih SYABAS mengikut lunas-lunas undang-undang. Jelas, isu catuan air ini memerangkap pengurusan SYABAS kerana ternyata SYABAS lemah dalam pengurusan air terawat dan gagal mengurangkan di bawah 30% air terbuang. Pada masa sama air mentah di Selangor berlebihan.

Rupa-rupanya isu catuan air ini mempunyai muslihat tertentu, iaitu untuk mewajarkan pembinaan Loji Langat 2 yang menelan kos 8.65 bilion. Antara tujuan pembinaan loji ini penyaluran air mentah ke Selangor dari Pahang. Tujuan ini tersasar kerana air mentah di Selangor termasuk air bawah tanah berlebihan.

Pembinaan Loji Langat 2 ini mau tidak mau akan meningkatkan harga air sehingga 70%, sedangkan pada pandangan kerajaan Selangor projek ini tidak perlu.

Hebat TPM kita, beliau menegaskan akan meneruskan Loji Langat 2 walaupun tanpa Selangor. Apa maknanya ini? Adakah TPM benar-benar yakin bahawa rakyat Selangor menerima pembinaan loji yang amat mahal ini? Adakah TPM hanya mendengar pandangan kontraktor atau pihak yang terlibat dalam pembinaannya? TPM ini harus faham, rakyat Selangorlah yang akan menanggung kosnya.

Apatah tentang rasionalisasi pembinaan Loji Langat 2, fakta tentang gaji CEO SYABAS pun telah menyesakkan nafas masyarakat Selangor. Maknanya, jangan sampai rakyat Selangor menilai dan merumuskan bahawa SYABAS cuma batu loncatan sahaja. Yang ingin dicapai TPM ialah kroni dan wang atau dana untuk pilihanraya, dan memangsakan rakyat Selangor.

Memang sungguh ada kelas TPM kita!!!

20 July, 2012

Nampak Gaya PR Kempunan ke Putrajaya..

Salam Ramadhan. UBN dengan segala bala tenteranya serta aparatnya sedang mengasak PR tanpa jemu dan begitu tekun.

Terkini, PR didakwa  mula diresapi unsur-unsur subversif dan ganas. Mengikut Bukit Aman, melalui risikan mereka, PAS diresapi elemen JI, dan komunis menyelinap dalam DAP. Bukit Aman mengemukakan dakwaan pemimpin-pemimpin PR sering ke Bangkok dan selatan Thailand.


Bukit Aman juga mendakwa siri demonstrasi yang disokong PR seperti demo Lynas, Bersih dan Oren adalah tanda-tanda elemen JI dan komunis sedang menunggangi PR.

Adakah Najib sedang bergerak ke fasa akhir dalam mengekang kemaraan PR ke Putrajaya, iaitu dengan menggunakan thesis, ancaman dan penderhakaan terhadap kedaulatan negara, khususnya penderhakaan kepada institusi YDP Agong?

PR Selangor juga sedang dilanda kemelut Syabas dan pembinaan Loji Langat 2, serta perletakkan jawatan Latheefa Koya sebagai ahli majlis MPPJ (kerana komennya terhadap Khalid Ibrahim atas isu keprihatinan terhadap setinggan). Sebelum ini tercetusnya isu Faekah, SUP MB Khalid Ibrahim.

Khabarnya, pemimin-pemimpin tertinggi PR khususnya PKR akan diserang dan diaibkan melalui klip video biru yang telah  pun siap. (untuk perhatian pembaca, sila ke blog MSO untuk mengetahui maklumat tentang klip video biru ini!).

Anwar memulai siri ini dengan laporan blog proUBN tentang adanya laporan polis bahawa seorang mahasiswa utara tanah air telah diliwat Anwar walaupun polis telah menafikannya. Namun ini tidak mustahil untuk berlaku sebaliknya.

Najib melalui cybertroopernya sedang menyediakan minda rakyat untuk ke sekian kalinya menggunakan kaedah pembunuhan karektor pemimpin tertinggi PR - Anwar, Azmin, Nurul Izzah, Mohamad Sabu. Najib bergerak selangkah lagi dengan aparatnya cawangan risikan polis Bukit Aman - resapan elemen ganas JI an komunis dalam PAS dan DAP. Malahan, dakwaan ini sehingga kepada pembiayaan dan latihan oleh NGO luar terhadap PR!.

Politik adalah perjuangan persepsi. Setakat ini, PR telah berjaya mengungguli persepsi umum terhadap UBN dengan segala unsur kebejatan.

Adakah dengan orak langkah terbaru Najib ini, UBN akan berjaya mendominasi persepsi buruk terhadap PR khususnya aktor-aktor utamanya? Jangan lupa, Najib ada satu lagi instrumennya ialah Bajet 2013!

Adakah rakyat sekali lagi akan terpana dan terpesong? Hanya masa menentukannya!

08 June, 2012

PTPTN dan UNISEL: Kesian Najib, TPM dan MPT Tidak Cerdik!


Salam. Khaled Nordin, menteri Pengajian Tinggi mengesahkan PTPTN membekukan pinjaman kepada pelajar baru UNISEL. Katanya, pembekuan ini untuk memberi peluang kepada kerajaan Selangor untuk menyediakan percuma.

TPM, Mahyudin pula mempertahankan tindakan Si Khaled ini, dan komen Noh Omar begitu cerdik sekali, katanya, pinjaman ini akan dipertimbangkan sekiranya pihak kerajaan Selangor mengaku tidak mampu menyediakan pendidikan percuma.

Khairy pula menempelak tindakan PTPTN atau Kemnterian Pengajian Tinggi (KPT) membekukan pinjaman ini. Rasanya Khairy melihat seolah-olah UBN menjadikan pelajar sebagai mangsa atau dendam dalam soal perbezaan tanggapan antara UBN dan PR tentang pedidikan percuma.

Permainan psikologi ini yang digerakkan oleh Khaled ini amat berbahaya kepada survival UBN. Walau apapun alasan yang diberikan, rakyat, para pelajar yang terlibat, dan para ibu bapa mereka akan membaca bahawa ini tindakan balas dendam dan politik tidak bertamadun. Ini akan mengundang kejengkelan dan rasa meluat kepada UBN semakin merebak, apatah lagi dalam kalangan mahasiswa.

Rakyat akan mendapat mesej bahawa kedua-dua menteri yang bergelar Datuk Seri dan kedangkalan TPM begitu cetek deria ilmu tapi begitu tebal dengan sikap dan tindakan balasa dendam!

PR membentangkan pendidikan percuma dari Tadika hingga ke peringkat Ph.d dalam kerangka ekonomi yang lebih besar dan urus tadbir ekonomi yang telus dan sifar rasuah dan setalah menguasai Putrajaya. Pendidikan adalah tanggungjawab Persekutuan bukannya tanggungjawab kerajaan negeri perse.

Kalau kerajaan Selangor tidak mampu, rakyat memahaminya. Namun, mereka akan terjerat nanti sekiranya kerajaan Selangor untuk membantu pelajar-pelajar baru UNISEL tanpa bantuan PTPTN. Khalid Ibrahim mula bertindak dan memberi komitmen kerajaan negeri Selangor akan membantu. Khalid menyatakan sebagai langkah awal, dana bantuan ini akan dapat ditampung melalui pengapungan aset UNISEL iaitu 600 ekar tanah mlik UNISEL yang bernilai sekurang-kurangnya 30 juta.

Bayangkan sekiranya kerajaan Selangor benar-benar nekad untuk menjadi model pendidikan percuma, dan sekiraya mereka mampu menyediakan dananya, akan mengesahkan bahawa PR mampu melaksanakannya sekiranya menguasai Putrajaya pada PRU13 nanti. Dan, saya percaya kerajaan Selangor mampu merealisasikannya.

Hasil akhirnya ialah rating PR akan melonjak naik, dan UBN akan tercungap-cungap terjerut dengan permainan yang sengaja mereka mainkan. Jadi, yang sebenarnya memusuhi rakyat bukannya PR tetapi UBN sendiri!

29 April, 2012

Anwar Fobiaisme 1: Hishamuddin Conteng Arang


Salam. Saya akan memulakan siri yang saya namakan sebagai Anwar Fobiaisme. Saya tidak pasti akhirnya siri ini namun niat di hati saya ialah sekurang-kurangnya sampai PRU13 nanti. Sentral serangan terhadap PR ialah Anwar. Pada sisi pemikiran penstrategis UBN ialah runtuhnya Anwar, maka pergabungan Pas, Dap, dan PKR akan berkecai.

Persoalan yang begitu kabur jawapannya ialah mengapa dan kenapa Hishamuddin mengulangi cara dan taktik KDN dalam melayani Bersih 2 terhadap Bersih 3. Apa sebenarnya yang ada di dalam kotak pemikiran pemikir-pemikir KDN dengan organnya PDRM (Cawangan Khas (SB), FRU, Anggota Beruniform)?

Apakah Hishamuddin tidak dapat menjangka bahawa dalam zaman ledakan teknologi IT, pihak KDN amat sukar membuktikan tahap profesionalisme dalam mengikuti SOP Polis dalam menyurai perhimpunan? Adakah provokasi-provakasi yang dibuat dalam dapat disembunyikan?

Kini pun telah terserlah siapa yang benar dan situasi sebenar dalam insiden "terbalikkan kereta polis". Begitu juga tentang siapa yang memulakan memecahkan benteng hadangan yang mengelilingi dataran merdeka sebaik sahaja Anwar memulakan ucapannya?

Insiden peserta Bersih disuraikan dengan ganas dan dipukul malahan bukan sahaja melibatkan pemimpin PR malahan melibatkan para peguam pemerhati dan wartawan media alternatif. Adakah insiden-insiden ini boleh mewajarkan tindakan polis?

Adakah dengan tindakan Hishamuddin ini, Bersih 3 gagal? Ambiga mengisytiharkan berjaya dengan anggaran kehadiran secara keseluruhannya 300,000 peserta.

Sebaik sahaja Hishamuddin meletakkan tugas kepada Datuk Bandar KL untuk tidak membenarkan dataran merdeka digunakan sebagai venue baik atas apa alasan pun, Hishamuddin telah meletakkan DBKL dan Ketua Polis KL berada dalam tahap tekanan psikologi tertinggi. Hal ini kerana penganjur Bersih tetap menyasarkan dataran merdeka sebagai venue mereka.

Kita boleh bayangkan tahap "fear" dan "gementar" di pihak penguatkuasa DBKL, Polis, dan FRU untuk menghadapi rempuhan jangkaan puluhan ribu peserta bersih. Mereka adalah manusia biasa yang terpaksa melunaskan tanggungjawab dan arahan. Mereka sebenarnya sedang mempertaruhkan nyawa. Berbeza dengan peserta Bersih, tahap kesediaan mereka untuk menerima risiko adalah tertinggi. Peserta bersih didorong oleh harapan dan cita-cita. Mereka bertekad mencipta sejarah.

Maka dalam keadaan yang bertentangan ini, sedikit insiden yang terhasil daripada provokasi mudah membakar dan marak. Maka terjadilah "keganasan".

Siapakah yang harus memikul tanggungjawab ini? Ambiga? PR? Anwar? atau Hishamuddin? Siapakah sebenarnya yang menanggung aib dan akibatnya?

Inilah yang saya maksudkan kerana fobia akan Anwar dan gabungannya telah memesongkan akal jernih dalam tindakan yang akhirnya imej Najib yang telah sedia tercalar kian tercalar dan hitam, bukan sahaja pada khalayak rakyat tempatan malahan di pentas antarabangsa.

Wajarkah PRU13 berlangsung dalam waktu terdekat ini? Adakah Najib berani menanggung musibahnya? Dapatkah Hishamuddin dan IGP tidur lena mulai sekarang.

23 April, 2012

Isu PTPTN: Anwar Harus Jawab Dakwaan Mahathir dan Saifuddin


Salam. Dalam konteks PTPTN ini, PKR dan PR sedang merangka pemansuhan PTPTN dalam rangka pendidikan percuma untuk rakyat sehingga ke universiti. Saya menjangkakan isu PTPT dan pendidikan percuma akan menjadi konsensus PR dalam manifesto PR pada PRU13 nanti. UBN mula meniup isu bahawa tiada kesepakatan dalam PR tentang isu ini. Kita mengharapkan Pas dan Dap bertindak bijak dalam hal ini.

 Pada hemat saya, ada beberapa isu atau persoalan berhubung dengan isu ptptn dengan pendidikan percuma yang cuba diperjuangkan oleh PR.

Pertama, isu ini amat dekat dengan isu generasi muda dan mahasiswa. Apabila isu ini dijuarai oleh PR, dengan mudah dapat memancing kebangkitan generasi muda dan mahasiswa, yang rata-ratanya datang daripada keluarga golongan menengah dan berpendapatan rendah baik berasal dari kota dan desa.

Rakyat terbanyak rasanya memahami dan menerima akan komitmen PR dalam usaha pemansuhan PTPTN dalam rangka pelaksanaan pendidikan percuma kepada rakyat. Ini sebenarnya selaras dengan Buku Jingga dan penerusan visi PR iaitu ketuanan rakyat. Rafizi sendiri telah pun sanggup berdebat dengan Khairy tentang isu ini malahan telah pun merumuskan beberapa prinsip dan dasar asas dalam usaha PR merealisasikan pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN.

Kedua, sejauh mana keikhlasan PR dalam memperjuangkan isu ini, adakah semata-mata ingin memancing undi generasi muda dan mahasiswa dalam PRU13 ini? Persoalan ini cuba dieksploit oleh UBN.

Ketiga, isu pemansuhan PTPTN ini dianggap oleh UBN sebagai momokan dan satu usaha pemancingan undi. Hujah asas mereka ialah hanya beberapa negara di dunia ini yang menjalankan dasar pendidikan percuma, itupun dimungkinkan oleh faktor cukai yang tinggi. Hujah UBN, jika PTPTN dimansuhkan, negara akan bankrup.

Tentang hujah UBN bahawa isu PTPTN dan pendidikan percuma ini hanya satu momokan dan hanya semata-mata usaha pemancingan undi oleh PR, maka dikaitkan dengan Anwar Ibrahim.

Sekurang-kurangnya terdapat dua kenyataan pihak UBN bahawa Anwar juga terlibat dalam usaha mewujudkan PTPTN pada tahun 1997. Pertama, dinyatakan oleh Mahathir, dan keduanya oleh Timbalan KPT iaitu Datuk Saifuddin Abdullah. Ketika ini Anwar ialah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Saifuddin mengaitkan pewujudan PTPTN selari dengan cadangan Prof Ungku Aziz (1973) supaya diwujudkan Tabung Siswa. Hemat saya cadangan Ungku Aziz ini lebih dalam konteks biasiswa, dan tentunya lebih berorientasikan kebajikan dan tidak membebankan mahasiswa dan keluarganya.

Kenyataan Saifuddin agak luar biasa dan menyimpang daripada stail politiknya. Cuba teliti, kenyataan Saifuddin ini,  “Namun pada 1997, kerajaan bersetuju menubuhkan PTPTN dan pembayaran kali pertama dikendalikan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh itu, kerajaan terkilan dengan tindakan ketua pembangkang yang berusaha untuk memansuhkannya disebabkan beliau tidak lagi dipilih sebagai pemimpin kerajaan.
“Tindakan bermuka-muka sebegini boleh menyebabkan masyarakat jelak dengan politik kotor diamalkan beliau semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai,”

Saifuddin menuduh Anwar bermuka-muka, tidak jujur aka tidak ikhlas dalam usaha Anwar mereformasi PTPTN dan mengusahakan pendidikan percuma kepada rakyat sekiranya PR menguasai Putrajaya.

 Satu hakikat ketika itu merupakan tahun-tahun kritikal dalam hubungan Anwar dengan Mahathir. Tahun 1998 Anwar diheret ke penjara. Tentunya, ketika ini pandangan-pandangan Anwar dalam polisi kerajaan tidak lagi dipedulikan oleh Mahathir.

PTPTN ini diusulkan oleh Najib yang ketika ini ialah Menteri Pelajaran. Ketika ini juga Najib membentangkan Akta Pelajaran yang baru yang membolehkan penubuhan IPTS dan penggunaan BI sebagai bahasa pengantar di IPTA dan IPTS.

Ketika ini juga kita boleh lihat bercambahnya IPTS seiring dengan dasar meluaskan peluang pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat. Jadi, IPTS memerlukan dana untuk operasinya, maka perlu disediakan dana yang besar untuk menampungnya. PTPTN ialah satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan dana untuk IPTA dan IPTS sekali gus melanggar perlembagaan iaitu pelajar bumiputra perlu diberi biasiswa dalam konteks hak istimewa orang Melayu dan bumiputra.

Tentunya ketika itu, Anwar berharap pelaksanaan PTPTN tidak seperti hari yang membebankan mahasiswa, dan Anwar sebenarnya tidak sempat memantaunya kerana tahun 1998 beliau dihumban ke penjara.

Kita sebenarnya tidak tahu dengan pasti apa pandangan dan harapan Anwar terhadap PTPTN pada waktu mula-mula diwujudkan. Tentunya Anwar ada falsafah dan prinsipnya sendiri.

Maka untuk menghapuskan kekeliruan ini dan menjawab dakwaan Mahathir dan Saifuddin bahawa Anwar bermuka-muka aka tidak jujur dalam isu PTPTN ini, wajarlah Anwar memberi penjelasan dalam ceramah-ceramahnya tentang prinsip dan falsafahnya mengenai PTPTN.

19 April, 2012

Anwar Gigil Kena Tibai


Salam. Kesian kita terhadap Anwar Ibrahim, nampaknya kali Anwar akan kena tibai teruk oleh geng bekas pengasas PKR. Anwar tentu sedang risau sekarang. Geng ini bukan calang-calang pemimpin, dan mengikut Mursyidul Amnya Muhammad Zahid Mat Arip, mereka meyokong Umno dan ditunjangi Perkasa.

Nampak harmonis gerakan menentang Anwar ini, Ibrahim Ali melalui Perkasa memperkuda geng bekas PKR ini untuk Tibai Anwar.

Kata Muhammad Zahid, Tibai akan bergerak dan menumpukan kekuatan mereka di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan. Mereka juga akan berada dalam setiap ceramah Anwar mulai 22 April ini.

Malang sungguh Anwar, baru-baru ini Geng Nalla cuba membunuh karektor Anwar dengan dakwaan Anwar seorang biseksual, dan bagi mereka, Anwar tidak layak jadi pemimpin. Namun geng Nalla ini dah mula menyepi. Anwar tetap juga berceramah, dan tetap juga berada dalam majlis-majlis antarabangsa untuk menyampaikan ucapan.

Kini, giliran Tibai pula. Apakah isu-isu yang dijangka akan dikupas oleh mereka? Kita jangkakan isu-isu pokok mereka ialah:

a)  Anwar kaki sex - seorang biseksual - mereka akan ulang balik Liwat 1 dan Liwat 2, dan video sex trio.
b)  Anwar pengkhianat Melayu - menjadikan Malaysia negara republik, hak istimewa orang Melayu akan dihapuskan, dan menerapkan fahaman Malaysian Malaysia.
c)  Anwar pengkhianat Pas - menyerap Anwarinas dalam Pas dan mengurangkan pengaruh ulamak dalam Pas.
d)  Anwar tunduk kepada DAP dan trojan horse DAP.
e)  Anwar agen Barat untuk menjatuhkan kerajaan Melayu yang didokongi Umno.
f)   Anwar berfahaman agama pluralisme.
g)  Polisi ekonomi Anwar akan mengbankrupkan ekonomi Malaysia.
h)  Anwar penghasut golongan muda dan mahasiswa supaya menentang kerajaan Umno yang selama ini membela Melayu melalui pendidikan.

Pemikiran politik geng ini amat mudah. Berikan sejumlah bajet kepada kami, dan kami akan Tibai Anwar, kalau boleh sampai menelanjangi siapa Anwar. Rakyat pasti akan percaya dan akan tolak Anwar.

Barangkali pada pemikiran mereka, tahap pemikiran rakyat masih sama seperti pemikiran mereka. Mereka harus bertanya, mengapa begitu ramai yang hadir mendengar ceramah Anwar atau pemimpin Pakatan? Adakah Anwar ada membela jembalang? Adakah isu-isu  yang dikupas Anwar, pendengarnya hanya menelan bulat-bulat segalanya. Adakah rakyat atau audien begitu bodoh dan begitu taksub dengan Anwar sehingga menjadi seperti lembu dicucuk hidung.

Alahai Ibrahim Ali, Muhammad Zahid, Ruslan Kassim, Zul Kulim. Kini bukan zaman pelita minyak tanah tetapi zaman maklumat di hujung jari. Setiap isu yang diketengahkan oleh  Anwar atau Pakatan, tentunya mereka akan sahkan dengan maklumat yang kunyah sendiri.

Sesungguhnya, yang menggigil nanti ialah mereka, bukan Anwar! Rakyat telah pun mengenali sosok badan mereka ini. Strategi politik untuk menyerang Anwar dengan menubuhkan kelab ini tetapi awal-awal lagi telah diisytihar siapa diri mereka - menyokong Umno dan ditunjangi Berahim Perkasa.

Sedangkan apa yang berlaku sekarang ialah arus perdana penolakan UMNO secara total dan BN umumnya.  Rakyat tidak dapat bersabar lagi tentang kebejatan polisi ekonomi dan moral UMNO.

Persilakanlah geng Tibai ke medan masyarakat dan kita akan lihat nanti rakyat akan menibai siapa. Strategi pun dah terjadi kontradiksi. Satu lagi usaha yang dirancang oleh pencacai Najib yang tentunya akan mempercepat kejatuhan Najib.

13 April, 2012

Ahmad Said Sengaja Menempah Maut

Salam. Rasional ke Ahmad Said ini? Nama program ini pun telah mengundang cemuhan. Program Pas: Parti Ajaran Sesat (P:Pa) yang diusahakan di Terengganu malah akan dibawa menjelajah seluruh Malaysia. Saya nasihatkan Najib berfikir sejuta kali untuk membenarkan program yang tidak masuk akal ini diwar-warkan seluruh Malaysia.

Apa pula kata Pas Terengganu? Ustaz Abu Bakar Chik menganggap isu ini terlalu berat. Pihaknya tidak mahu memanjangkan isu itu dari sisi politik kerana menganggap isu sesat adalah perkara yang tidak boleh dibuat main-main kerana boleh berbalik semula kepada diri sendiri.

Apakah Ahmad Said begitu takut, bimbang akan pengaruh Pas mula meresap seluruh Terengganu dan akhirnya menelan dirinya? Carilah pendekatan lain yang tidak menyebabkan rakyat mempersoalkan siapa dirinya - akhlaknya, taraf pendidikannya,tindak-tanduk politiknya.
Pelancaran program ini sesungguhnya mampu menenggelamkan jasanya yang agak baik terhadap perkembangan sosio-ekonomi Kemaman.

Apakah program ini, pada pemikiran Ahmad Said mampu mengubah persepsi rakyat Terengganu dan Malaysia amnya terhadap Pas?

Siapakah sasarannya? Adakah setiap program ini dilaksanakan, rakyat Terengganu hadir secara suka rela? Adakah yang hadir itu penyokong Pas, anak-anak muda, pengundi atas pagar atau sekadar yang dihimpunkan (itu pun dengan kerahan sama ada umpanan duit atau paksaan) ialah penyokong UMNO tegar?

Saya yakin yang akan hadir itu ialah penyokong UMNO yang tegar, simpatisan UMNO dan pengundi atas pagar sama sekali tidak akan hadir kerana nama program itu sendiri pun begitu kasar dan bersifat fitnah dan menyinggung sensiviti agama. Saya percaya mereka tidak akan hadir kerana mereka enggan bersekongkol dengan agenda yang seolah-olah mempersenda Islam itu sendiri.

Jika Ahmad Said sempat berfikir dan menilai, sagugialah beliau membatalkan program ini. Hal ini kerana bukan sahaja memyebabkan penyokong partinya sendiri yang akan protes dalam diam malah mengundang kebencian dalam kalangan rakyat jelata, yang akhirnya menyebabkan timbulnya situasi "kalah sebelum berjuang".

Ahmad Said perlu sedar sifat dan sikap orang Pas, selagi mereka diasak, tambahan dengan asakan yang tidak masuk akal atau berunsur fitnah, mendorong mereka untuk lebih kuat berusaha atau akan "all out" untuk menghapuskan legasi UMNO Terengganu. Dan ini sebenarnya tidak mustahil berdasarkan dasar-dasar ekonomi, sosial, dan politik Najib yang amat lemah, serta kurang peka Najib terhadap isu moral dan akhlak, apatah lagi soal menambahbaik perkembangan agama Islam yang tidak terserlah, unsur rasuah yang menonjol, program Ahmad Said ini sesungguhnya mempercepat kejatuhan Najib.

Perlu Ahmad Said sedari, Mahathir sendiri pun mengakui bahawa partinya, UMNO, kian lama kian tersisih daripada golongan cendekia dan profesional maka soal sinergi antara Pas dengan siasah dan Islam telah pun difahami dan diterima oleh rakyat terbanyak hatta oleh bukan Islam kerana dalam PAS sendiri bregitu banyak didokongi oleh tokoh-tokoh ilmuan agama dan profesional.

Kerana itu, rakyat akan bertanya, siapa kamu Ahmad Said jika nak dibandingkan TG Hj Hadi? Rakyat akan berkata, cerminlah dirimu dahulu, sebelum mengatakan orang lain sesat. Buktikan dahulu bahawa parti kamu bebas dari rasuah dan skandal moral.

Rakyat akan membaca isyarat bahawa memang benarlah kamu hanya takut dan resah terhadap Pas dan pengaruhnya di Terengganu, akan akhirnya kamu dan rakan-rakan kamu yang akan tersingkir dari singgahsana kuasa!