Satu hakikat yang tidak boleh ditolak hasil daripada pemhaman saya terhadap PR dan arus perubahan yang ditunjangi oleh ketiga-tiga parti ini, yang diselaras oleh Anwar Ibrahim, ialah:
"mendorong dan membina satu kehidupan bermasyarakat, berbudaya dan berpolitik berasaskan tiga paksi utama: demokratik, ketelusan, dan keadilan dalam ruang lingkup masyarakat yang berbilang etnik, berbilang budaya, dan berbilang agama."Dan, inilah juga dasar, hujah, premis yang saya pegangi setiap kali saya menulis dan mengupas isu-isu sejauh yang menyentuh tindak-tanduk aktor-aktor yang menggelarkan diri mereka sebagai pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat.
Dalam konteks dan semangat inilah saya cuba menyorot sejauh mana integriti dan wibawa Ustaz Azizan sebagai MB dan sebagai PSJ Pas Kedah.
Ustaz Azizan dan Dewan Ulamak Pas Kedah
Walaupun MB mempunyai kuasa progatifnya, tetapi sebagai pemimpin, seorang MB biasanya seorang PSJ Negeri, maka individu ini masih tertakluk kepada struktur organisasi parti. Peranan Dewan Ulamak Pas Negeri ialah institusi semak dan imbang kepada MB, dan dasar-dasar yang diputuskan oleh MB seharusnya tidak bertentangan dengan dasar dan kehendak Dewan Ulamak. Walaupun wujud pertentangan, MB dan Ketua Dewan harus mencari jalan untuk berkompromi.
Saoalannya, adakah hubungan MB Kedah dengan Dewan Ulamak Negeri berada dalam situasi baik? Jika kita himbau pada tahun 2008, sebaik sahaja Ustaz Azizan ambil alih teraju kerajaan negeri dengan Pas sebagai tunjangnya, kita dikejutkan dengan perletakan jawatan TG Haji Rahim dan AJK Pas Pendang. Ini memberi petunjuk bahawa ada sesuatu yang tidak beres antara MB dan Dewan Ulamak, tentunya ada hal yang tidak dapat dikompromikan.
Kedua, krisis Phahrolrazi dan Dr Ismail yang enggan menerima pelantikan exco semula pada 2012. Dalam isu ini jelas, Dewan Ulamak Pas Kedah berdiri di belakang Phahrolrazi dan lain-lain. Ini tentunya mereka mempunyai asas yang kukuh untuk berbuat demikian, sehingga Pas Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu sebagai jalan penyelesaiannya.
Yang dapat saya rumuskan daripada kemelut Pharolrazi ini berakarkan kepada beberapa persoalan:
a) Sejauh mana MB menyelaras dasar-dasar negeri seiring dengan semangat Pakatan Rakyat dalam urus tadbir Kerajaan Negeri Kedah.
b) Sejauh mana exco-exco dapat berperanan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah - pandangan dan kehendak setiap exco diterima dan dapat dilaksanakan dengan sokongan MB.
c) Sejauh mana tender-tender kerajaan dan projek-projek kerajaan diurus dan pihak mana yang memperolehnya.
d) Sejauh mana akar umbi dapat manafaat daripada kerajaan. Ke mana perginya lebihan wang berjuta-juta yang didakwa MB disalurkan? Adakah peruntukan untuk pembangunan Islam ditambah seperti dilakukan oleh LGE di Pulau Pinang? Adakah sekolah-sekolah agama di bawah kerajaan negeri dibantu nsecukupnya? Perumahan rakyat miskin yang diurus oleh kerajaan negeri di luar daripada peruntukan Persekutuan, adakah dilaksanakan dengan baik dan sampai ke golongan sasar?
e) Pelantikan pegawai tinggi seperti KCS dan CEO-CEO GLC di bawah kerajaan negeri adakah diberi kepada individu yang layak dan serasi dengan aspirasi Pakatan Rakyat, atau sebaliknya?
f) Sejauh mana persepsi umum, rakyat dan penyokong dan ahli parti terhadap hala tuju urus tadbir Kerajaan Negeri Kedah?
g) Akhirnya, persoalan yang timbul ialah siapakah yang berperanan menentukan hala tuju urus tadbir kerajaan negeri? Peranan exco, tidak dapat dinafikan agak terhad, ketagangan berlaku antara MB dan Dewan Ulamak Negeri? Adakah MB bertindak sendirian?
Isu terkini, dalam masa yang cukup kritikal, Persekutuan yang pada bila-bila boleh membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU13 diadakan, penentangan terbuka oleh ahli terhadap MB mula tercetus dan mula merebak, dan melibatkan juga Dewan Ulamak Pas Kedah.
Isu-isu kritikal ini, saya akan postingkan pada posting yang berikutnya.
Susah nak cakap. Ditelan mati emak, diluah mati bapak. Apa-apa pun keputusan PAS Pusat adalah penentunya. Yang diharapkan adalah petunjuk dari Allah Yang Maha Esa.
ReplyDelete