Salam Syawal. Kes kebocoran mesyuarat strategik politik PKR Pulau Penang memang mengecewakan penyokong PR khususnya PKR. Mansor sendiri mengesahkan kebenaran butiran yang tersiar itu.
Saya beranggapan butiran yang sengaja dibocorkan itu bukan minit mesyuarat tetapi transkrip rakaman. Maksudnya, terdapat orang-orang dalam mesyuarat tersebut yang merakam keseluruhan perjalanan mesyuarat tersebut, untuk tujuan tertentu.
Kenapa sengaja dibocorkan? Sekurang-kurangnya ada dua tafsiran. Pertamanya, kepimpinan Mansor mungkin tidak disenangi sesetengah pemimpin PKR Penang. Kita tidak pasti adakah stail kepemimpinan Mansor atau lebih kepada sikap dan perangai peribadi Mansor yang kurang disenangi itu. Yang pasti memang Mansor tidak disenangi. Butiran transkrip itu memaparkan dengan jelas siapa Mansor - pandangannya tentang LGE dan DAP Penang keseluruhannya.
Kedua, mendedahkan sikap rakyat Penang khasnya kaum Cina tentang LGE dan DAP Penang. Kata-kata Mansor tentang LGE sebagai tokong, pada saya ialah Mansor cuba memperjelas sanjungan masyarakat Cina terhadap LGE DAP khasnya. DAP Penang nampak kuat kerana sanjungan terhadap LGE, mungkin kerana peribadinya atau gaya kepemimpinannya.
Dengan kedudukan dan sanjungan masyarakat Penang terhadap LGE dan DAP, wajarlah DAP menikmati kuasa tawar-menawar yang tinggi.
Seharusnya, Mansor dan PKR Penang melihat kekuatan LGE dan DAP ini dari sudut positif iaitu cuba menjadikan LGE sebagai teladan dalam berkhidmat kepada masyarakat Penang. Dalam keadaan kekuatan peribadi dan gaya kepemimpinan LGE memang agak payah untuk Mansor bergandingan dengan LGE. Yang penting ialah masyarakat Penang dan seberang dapat menanggap bahawa Mansor dan PKR Penang memiliki daya juang yang tinggi dalam menyampaikan khidmat ke bawah. Yang utama ialah kepedulian kepada masyarakat, bukan memfokus kepada kedudukan dan jawatan.
Cabaran utama dalam berkhidmat dalam komuniti Cina ialah kemampuan memperoleh kepercayaan masyarakat Cina terhadap kekuatan peribadi dan stail kepemimpinan.
Nampaknya Mansor boleh dikatakan gagal untuk menyaingi atau seiring dengan LGE.
Dan, dari segi "damage" kepada imej PKR Penang, kita agak kesal dengan kebocoran tersebut. Namun dari sisi yang lain, mendedahkan bahawa mugkin telah tiba masa Mansor digantikan dengan orang lain. Tidak rugi untuk menggantikan seseorang pemimpin yang secara jelas hanya berfikir untuk diri sendiri dan kelompok. Era politik kini ialah kepedulian kepada rakyat!
Barang kali mesej inilah yang cuba disampaikan oleh seseorang yang secara sengaja membocorkan sebahagian butiran mesyuarat tersebut. Mesej itu cuba disampaikan kepada Anwar sebenarnya. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment