28 December, 2013

Ikhlaskah Pas dalam PR, Reaksi Kenyataan Wan Nik Wan Yusof, Hanya Pas dan Umno Dominan di Kelantan.

Salam Pencerahan.


[ Bersama rujukan entry MSO, Pas Kelantan Jangan Remehkan Keadilan]
Minda saya sering terganggu apabila menyusuri urutan peristiwa sejurus sebelum PRU13. Pada dasarnya, perkiraan atas kertas, PR berpeluang besar untuk menguasai Putrajaya, dengan solidnya sokongan Tionghua, dan dokongan kelas menengah, Gen Y, sebahagian anak muda,  juga di Sabah.

Namun momentum ini rupanya tidak kekal, sejurus sebelum pru dan semasa kempen pru, tercetus kempen-kempen yang menyerang sesama sendiri. Isu hudud, siapa PM jika PR menang dan soal mempertikai kredibiliti calon secara terbuka serta pertindihan kerusi.

Saya cuba menebak lebih jauh kenapa PR tidak mampu mengalihkan walau sedikit (sekurang-kurangnya 5%) sokongan Melayu desa kepada PR. Dan apabila diteliti kawasan-kawasan ini ditandingi Umno dan Pas dan sedikit PKR.

Parti manakah yang sebenarnya harus berperanan di kawasan malay belt ini, di desa-desa ini? Adakah Dap? Adakah PKR, atau adakah Pas?

Jawapan yang jujur ialah peranan ini terletak dibahu Pas dan dibantu oleh PKR. PKR tentunya peranannya terhad kerana lebih berbilang kaum.

Jadi, pertanyaan selanjutnya ialah sejauh mana Pas berperanan di peringkat akar umbi di kawasan Malay Belt ini. Di mana peranan Pemuda Pas di sini? Seolah-olah Pemuda Pas di bawah Tantawi hanya bersifat "ke dalam" dan berada jauh daripada landasan PR. Kita seakan-akan tertanya-tanya kenapa Tantawi dilihat kurang bersama dalam majlis atau aktiviti PR peringkat kebangsaan.


Saya lebih melihat Pimpinan Pemuda Pas Pusat tidak mendokong penuh hasrat dan gagasan PR. Pemuda sendiri dalam menghadapi PRU13 tidak mempunyai gagasan/ moto/visi sendiri yang serasi dengan gagasan PR sebagai asas dan sebagai pencetus gerakan ke luar parti. Dan, kini tanggapan saya ini agak jelas dengan apa yang berlaku dalam Muktamar 59 khususnya dalam pemilihan Pemuda dan rentetan sukarnya Suhaizan membentuk AJKnya.

Dalam konteks inilah saya cuba memadankan asumsi saya ini dengan kenyataan Wan Nik ini. Dan saya setuju 100% ulasan Mso dalam entrinya ini.

Kekalahan Pas sendiri di kawasan Malay Belt dan kekalahan calon PKR nampaknya jelas berpunca daripada Pas sendiri. Atas asumsi ini juga, kita boleh fahami kenapa post morterm PRU13 tidak dijadikan agenda dalam muktamar baru-baru ini. Kenapa? Kerana hasilnya pasti memalitkan individu/ pemain Pas di peringkat tinggi dan akhirnya melibatkan presiden Pas.


Nampak pemimpin Pas di peringkat akar umbi tidak dapat meyakinkan pengundi Melayu di kawasan Malay Belt. Dakyah Umno menggunakan media mereka terhadap momokan hilangnya status istimewa orang Melayu, Raja Melayu, Dap terlalu berkuasa dan Kristian menguasai. Buku Jingga dan gagasan Negara Kebajikan tidak sampai mesejnya ke bawah.

Kenapa? Hal ini kerana Pas tidak yakin penuh berada dalam PR, tidak yakin dengan Anwar sebagai pemimpin, ada sesetangah pemimpin peringkat atas dan pertengahan malahan bawahan masih meletakkan Melayu sebagai asas perjuangan. Pemimpin ini mengalami satu situasi krisis identiti dan kejutan budaya.


Saya akan bicarakan posting yang lain soal krisisi identiti dan kejutan budaya dalam kalangan pimpinan dan ahli Pas khususnya yang mendakwa dirinya ulama.

Kesannya, pemimpin Pas tidak sepenuhnya dapat meyakinkan orang-orang bawahannya dan akar umbi untuk menerima seseorang calon PR seperti calon parti sendiri. Jika akar umbi sendiri pun tidak dapat diyakini apatah lagi untuk meyakinkan orang melayu di luar parti. Inilah sikap yang mendasari sehingga kelihatannya berlaku sabotaj.

Inilah yang berlaku di Tanah Merah, di Machang dan lain-lain, tempat calon keadilan bertanding. Jelas dokongan pemimpin dan ahli Pas tidak solid. Rujuk entry mso, diberikan stastik untuk menyokong pendapatnya. Dan saya setuju.

Jika keadaan ini boleh berlaku di Kelantan maka tidak mustahil berlaku juga di Terengganu, Pahang, Kedah, dan Perak. Kita boleh bertanya punca sebenar Saifuddin Nasution kalah di Kulim dan Mat Sabu kalah di Pendang. Ada sesuatu yang ada "hidden agenda" dalaman parti dan dalam PR sendiri.

Akhirnya, sejauh mana sikap kebersamaan dalam PR nampak jelas daripada apa yang berlaku dalam Muktamar Pas 59 baru-baru ini. Apakah mesej sebenar yang dicuba disampaikan apabila Mat Sabu dan ketiga-tiga naib presiden Pas dicabar? Dan, apakah mesej yang cuba dilontarkan apabila ketua dewan ulama Pas meminta tahaluf siyasi disemak semula?

Tepuk dada, tanyalah selera. Sekilas ikan di air....

Wassalam.

No comments:

Post a Comment