06 March, 2013

Pas Kedah, Ustaz Azizan: Pencerahan 2


Salam. Selamat berjumpa kembali. Isu ini dan barangkali dapat kita katakan sebagai kemelut Pas Kedah dan Ustaz Azizan ini kian menarik, kian mendebarkan. Namun, bagi simpatisan terhadap Pas, PR dan kerajaan negeri Kedah yang benar-benar inginkan sebuah kerajaan yang tatakelolanya yang berbeza daripada urus tadbir UBN amat menggusarkan mereka.

Pada posting yang lalu saya cuba menyorot 2 isu utama, iaitu hubungan MB dengan Dewan Ulamak Negeri Kedah dan isu yang mendasari tindakan Phahrolrazi dan Dr Ismail menolak pelantikan semula exco.

Saya cuba juga mengetengahkan beberapa persoalan yang seharusnya dijawab oleh pihak tertentu, khususnya Ketua Penerangan Pas Negeri. Sayang sekali jika isu-isu yang saya ketengahkan itu dianggap sebagai isu yang remeh, dan dianggap sebagai "troubleshooter".

Jawapan yang berupa penafian tanpa bukti, tanpa fakta, dan tanpa tindakan yang konkrit, hanya mengundang spekulasi yang tanpa berkesudahan, sedangkan isu pokok tidak terjawab, dan masalah menjadi kian kusut.

Percaturan dan Tangan-Tangan Ghaib

Kali ini saya cuba memfokus pada isu yang cuba diangkat oleh ahli-ahli Pas Kota Seputeh dan Megat Dewa serta protes kecil yang melibatkan juga Dewan Ulamak Negeri Kedah di Kompleks Pas Kedah. Kenapa dan mengapa mereka memecahkan tradisi "wala'" sehingga mereka sampai mmenuntut Ustaz Azizan meletakkan jawatan sebagai PSJ?

Ini bermakna, telah ada antara ahli-ahli Pas dan pemimpin peringkat cawangan dan kawasan yang telah "hilang kepercayaan" terhadap kepimpinan Ustaz Azizan sebagai PSJ. Kesan hilang percaya terhadap keepemimpinan peringkat parti, tentunya turut hilang kepercayaan juga terhadap kepemimpinan Ustaz Azizan  sebagai MB Kedah (secara tersiratnya).

Dakwaan mereka jelas iaitu terdapatnya tangan-tangan ghaib yang cuba mengatur bakal-bakal calon yang akan bertanding peringkat DUN dan Parlimen di Kedah dalam PRU13. Mengikut mereka, kawasan-kawasan terlibat ialah 11 DUN dan 4 atau 5 kawasan Parlimen. Yang menjadi persoalan ialah melibatkan tokoh-tokoh hardcore Pas Kedah, Phahrolrazi, Dr Ismail, Dr Hamdan, dan Dr Hayati.

Daripada sumber-sumbet parti, senarai pertama telah pun selesai 2 tahun lalu. Senarai pertama ini telah pun melalui prosedur parti. Dan kini, senarai ini dipercayai telah dirombak 2 kali, tanpa diketahui atau proses rundingan mengikut prosedur standard parti. Hal ini membuka ruang spekulasi bahawa terdapat percaturan orang-orang tertentu dengan maksud dan tujuan tertentu.

Khabarnya Phahrolrazi diletakkan di Parlimen Jerlun untuk diadukan dengan Mukhriz. Dr Hayati, kerana Pendang akan dibawa masuk Mat Sabu, maka Dr Hayati dipercayai pada asalnya ke DUN Tokai, dengan andaian YB Taulan akan bersara. Terkini Dr Hayati, khabarnya digandingan dengan Suraya di DUN Sungai Tiang. Dr Ismail dan Dr Hamdan, khabarnya tidak tersenarai.

Dan, kita sedia maklum siapa Mukhriz dan siapa Suraya. Dan, kita telah pun dapat menjangkakan apa hasilnya jika benar kedua-dua tokoh berhadapan dengan dua orang ayam tambatan Umno Kedah. Jerlun dan Sungai Tiang merupakan 2 kubu terkuat Umno Kedah.

Adakah Hanya Dengar Cakap(Hearsay), Siapakah Dalang dan Pengacau?

Kekuatan dan wibawa seseorang pemimpin terletak pada kekuatan hujah dan kekuatan dalam rundingan dan kekuatan dalam mendengar dan berlapang dada. Tanpa dua kekuatan ini dalam diri seseorang pemimpin memunculkan gaya diktator, komunikasi sehala, dan berpihak.

Sikap inilah yang mendasari makna kata-kata: dalang dan pengacau. Kata-kata ini, dalam konteks kepimpinan dan kepemimpinan dan rundingan, dua kata ini bermaksud juga prejudis, yang bukan sahaja tidak membantu untuk memecahkan sesuatu persoalan atau masalah malahan mencetus lebih banyak penentangan.

Sebagai pemimpin, kita tidak boleh beranggapan bahawa ahli dan pemimpin yang berada pada peringkat akar umbi dan juga pertengahan, tidak mempunyai ruang atau akses terhadap maklumat sulit. Kita jangan lupa mereka ada jaringan atau hubungan dengan pemimpin peringkat atas. Mereka sekali-kali tidak akan bertindak atas semata-mata atas dasar cakap "kedai kopi" atau andaian semata-mata. Mereka mungkin mendapat maklumat daripada sumber yang sahih. Mereka juga dapat menilai dan membaca apa yang tersirat daripada setiap tindakan pemimpin. Apatah lagi, kini kita berada dalam ledakan media sosial.

Ke mana Akhirnya?

Nampaknya isu ini akan mampu menjadi marak dan mampu membakar. Terkini, rasa tidak puas hati terhadap Ustaz Azizan masih lagi berterusan. Di bawah ialah sedutan daripada Sinar Harian yang memetik maklumat daripada sumber Pas Alor Mengkudu;

"Senarai calon Pas Kedah bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) didakwa ‘senarai haram’ kerana dibuat tanpa prosedur setelah senarai sedia ada dirombak sebanyak tiga kali, tanpa mendapat persetujuan akar umbi."

Dan, bandingkan pula, apa jawapan dan reaksi Ustaz Azizan, yang juga dimuatkan dalam Sinar Harian, hari yang sama;

Pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap saya termasuk parti, kini dikatakan pula senarai calon yang ada pada Pusat, itu senarai baru yang dirombak. Jika benar dakwaan itu datang dari sumber Pas Kedah, bagi saya ia amat malang sebab dalam parti ada pengkhianat,” katanya kepada Sinar Harian.

Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilai dua penyataan di atas yang saya petik daripada Sinar Harian. Dan, dengan ini, saya membuka ruang untuk polemik dengan tujuan semata-mata mencari pencerahan.

Nantikan sambungannya.

1 comment:

  1. aku ingat orang pas ni ok rupa2nya macam umngok juga nak berebut jawatan & kuasa, ni maksudnya tak dak beza juga, melayu mudah lupa... nampak gaya depa pun berkhidmat atas dasar poket bukan atas dasar bantu rakyat, kalau nak bantu sapa naik pun takpa ABU jangan jadi keluar ABP pula

    ReplyDelete