16 September, 2008

Pertemuan Anwar-Abdullah: Agenda 916?

Penggunaan ISA terhadap RPK, Tan Hoon Peng, dan Theresa Kok, serta mengikut Salahudin, banyak lagi pemimpin yang akan ditahan menandakan BN dan UMNO sedang diasak hingga ke dinding batu. Bagi pihak Pakatan Rakyat, ini suatu tindakan terdesak, dan satu cara untuk mensabotaj agenda 916, serta suatu ugutan.

Ekoran daripada penggunaan ISA ini membuatkan Pakatan Rakyat terpaksa bermesyuarat dan menyatakan pendirian tegas bahawa itu suatu pencabulan terhadap hak asasi manusia. Namun, Anwar tetap tegas bahawa agenda 916 tetap berjalan lancar. Dakwa beliau, jumlah yang diingini telah pun mencapai sasaran!

Mengikut pendapat dan analisis MSO dalam blognya, kemasukan semula TDM ke dalam UMNO (terkini, tarikh telah pun ditetapkan, 17 September) membawa implikasi yang cukup membahayakan Abdullah. Abdullah diasak teruk oleh regu TDM-MUHYIDIN-NAJIB. Regu ini akan membawa masuk Tengku Razaleigh yang akan menentang Abdullah pada Disember ini. Bagi MSO, Abdullah kena menyediakan pelan penyelamatan diri sama ada mengumpul semula TEAM B, atau pilihan terakhir, dan agak mustahil (tapi politik ialah seni kemustahilan dan penuh kebarangkalian) ialah menyerahkan nasibnya kepada Anwar.

Analisis yang hampir selari ialah posting terbaru Husan Musa dalam blognya, 12 September ( Politik Malaysia dalam Lumba Lari) jelas menyatakan bahawa Abdullah akan diturunkan selewat-lewatnya Disember ini dengan kemasukan semula TDM ke dalam UMNO. Dua alternatif diberi Husam iaitu bergabung dengan PAS sebagai menyambung talian hayat atau sekali lagi mengadu nasib kepada Anwar. Saya akan ulas kemudian tentang implikasi tulisan Husam ini. Oleh sebab Husan salah seorang Naib Presiden PAS, beliau lebih prihatin terhadap ke mana PAS selepas kemasukan TDM dalam UMNO dalam kaitannya dengan agenda 916.

Dengan perkembangan mutakhir ini, iaitu kemasukan semula TDM ke dalam UMNO, dan keberanian Muhyidin menyarankan pelan peralihan kuasa Jun 2010 dipercepatkan, paling lewat Disember ini, Abdullah menjadi kebingungan. Situasi genting ini, tidak mustahil, Abdullah mesti dan terpaksa menyediakan beberapa pelan penyelamatan.

Dan, antara pelan yang masuk akal ialah penyerahan kuasa kepada Anwar. Abdullah akan terselamat, kerana:

1. Jawatan PM sebenarnya secara moral ialah milik Anwar yang dinafikan oleh TDM melalui konspirasi terancangnya.
2. Maruahnya sebagai PM akan terselamat kerana arah aliran politik pasca PRU12, BN dan UMNO telah kehilangan mandat memerintah.
3. Rasa bersalah Abdullah akan terubat sekiranya Malaysia diserahkan kepada Anwar. Dengan permasalahan moral yang cukup kronik yang dihadapi oleh Najib, Najib telah hilang kredibiliti sebagai calon PM. Rahsia rumah tangganya sudah tentu amat dimaklumi oleh Abdullah!
4. Abdullah kelihatannya tidak dapat lagi mengawal geng tingkat 4, dan yang paling merisaukan ialah Abdullah hilang kawalan terhadap menantunya, dan kerakusan anaknya. Biar Anwar menanganinya. Banyak orang melihat seolah-olah Abdullah memanjakan menantu dan anaknya. Tetapi, cuba bayangkan senario sebegini. Penglibatan dan campur tangan menantu dan anaknya dalam percaturan politik dan ekonomi telah cukup dalam sehingga tak dapat dikawal lagi. Kalau dibiarkan, musibah akan lebih parah. Di sinilah peranan Anwar!
5. Abdullah dilihat gagal menangani pemberontakan senyap oleh Gerakan, MCA, MIC, PPP, dan parti-parti di Sarawak dan Sabah. Hanya Anwar yang mampu menanganinya.
6. Pengurusan ekonomi. Saya yakin sekurang-kurangnya pelaburan dari Asia Barat akan mencurah masuk. Bukankah ini yang diperlukan oleh ekonomi kita?
7. Menggantikan Islam Hadhari dengan pusat kecemerlangan ilmu Islam. Saya percaya dan yakin, KL akan muncul sebagai pusat tamadun Islam bahagian Asia.

Anwar hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk menemui Abdullah untuk membincangkan pelan peralihan kuasa (baca: Masa Depan Malaysia). Penggempuran Anwar dengan agenda 916 cukup berkesan dan menimbulkan implikasi psikologi cukup parah terhadap BN dan UMNO.

Abdullah telah benar-benar terdesak. Beliau terpaksa memilih antara dijatuhkan dengan aib atau nasibnya akan terbela sekiranya beliau bergabung dengan Anwar. Dendamnya pada TDM, dan seterusnya memberi keadilan kepada Anwar yang diaibkan dengan cukup hina oleh TDM.

SITUASI INI IALAH SITUASI “WIN-WIN”. Rasa-rasanya, pelan inilah yang TERBAIK buat Abdullah!

Wallahualam.

12 September, 2008

REAKSI ULASAN DATO’ PHA: BARANGKALI ADA MESEJ TERSIRAT

"Agak riuh juga apabila Dato" Mustafa Ali memberikan pandangannya tentang 16 September. Dato' Pha yakin sekali bahawa tidak akan berlaku apa-apa pada 16 September ini. Beliau melihat isu ini daripada dua perspektif: teknikal dan politik.Jangan lupa Dato' Pha bukan sebarangan orang. Beliau "orang lama" dalam PAS.

Dalam PRU12, beliau merupakan Pengarah Pilihanraya PAS peringkat pusat. Kedudukannya ini memperlihatkan beliau seorang strategos politik PAS. Beliau juga terlibat dengan bangun dan jatuh PAS di Terengganu. Apabila beliau sesekali bercakap, butir-butir percakapan atau luahan pandangannya tentulah akan mencuri pandangan atau respons khalayak.

Kita menghormati kedudukan dan pengalaman beliau yang penuh simpang-siur itu. Pengalamannya cukup kaya. Pengalaman yang dikumpul bergenerasi itu amat berguna kepada PAS dalam mengemudi PAS dalam gelora politik era PRU12.

Sekiranya diteliti benar-benar kenyataan beliau, beliau berpendapat Anwar tidak akan menjadi PM 6 pada 16 September kerana ketika itu Parlimen berehat kerana Ramadhan. Dengan begitu, bagaimana akan terjadinya undi tak percaya, dan hal-hal seterusnya. Beliau tidak kata tidak akan berlaku "penghijrahan" MP BN ke Pakatan Rakyat.Begitu juga tentang pendapat beliau mengenai "penghijrahan" MP BN itu. Beliau tidak nampak bahawa akan berlaku penyeberangan hanya semata-mata kerana faktor Anwar. Anwar kini hanya Ketua Pembangkang, dan jika sekiranya terbentuk KERAJAAN BARU, belum tentu Anwar akan jadi PM.Begitu juga, beliau juga berpandangan bahawa tidak akan berlaku penghijrahan kalau MP-MP BN itu mempunyai niat untuk memperoleh sesuatu berupa kuasa atau habuan kerana Anwar bukan PM.

Komen saya ialah ini adalah pandangan yang nutral dan dialu-alukan. Namun awas kita perlu membacanya dengan kepala dingin. Dengan kepala dingin, kita akan dapat menerobos mesej-mesej tersirat yang cuba dihantar oleh Dato' Pha.Pada saya, apa yang dimaksudkan oleh Dato' Pha ialah sepanjang bulan mulia ini, Anwar tidak akan jadi PM walaupun berlakunya penghijrahan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru. Begitu juga, akan berlaku penghijrahan sekiranya MP-MP yang akan berhijrah itu berhijrah semata-mata ingin membolehkan penubuhan Kerajaan Baru yang "lebih baik, lebih manusiawi, lebih adil, mendasarkan setiap tindakan atas prinsip 'rule of law', dan perjalanan kerajaan berasaskan nilai-nilai teokratik".

Satu sisi yang lain, pandangan Dato' Pha ini mampu meredakan kegelisahan dan kepanasan yang dideritai oleh BN dan UMNO. Bagi mereka, jelas PAS kurang setuju dengan perubahan kerajaan secara tidak demokratik itu. Bukankah pencuri dan perompak akan merompak ketika tuan rumah sedang tidur nyenyak dan aman? Keadaan ini sebenarnya memudahkan Pakatan Rakyat menyusun agenda tanpa banyak gangguan.

Akhirnya, memang daripada gaya percakapan Dato' Pha dalam TV3, Buletin Utama, 10 September, nampak serius dan bersungguh-sungguh, bahawa beliau menekankan soal MORAL sekiranya berlaku perubahan itu pada 16 September. Pada sesiapa pun, akan memberi pendapat yang sama, cuma yang berbeza ialah premis pendapat dan rasionaliti di sebalik berlaku perubahan itu. Pada PAS, sebuah parti yang berteraskan Islam, tentunya tidak boleh bertolak ansur dengan soal moral.

Tetapi, adakah beliau menghalang secara jelas keterlibatan PAS dalam usaha membentuk Kerajaan Baru itu? Cuba baca dengan teliti, penegasan beliau bahawa PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat!Dengan itu, kita seharusnya bersikap meraikan kepelbagaian pandangan. Kepelbagaian inilah yang membolehkan sesuatu keputusan yang diambil itu jelas dan tepat.

Wallahualam.

Nota: Pendapat ini telah saya poskan ke tranungkite, dan saya ucap ribuan terima kasih atas komen-komen yang diberikan.

Ulasan Dato' Mustafa Ali: Rekasi Kecewa Kawan-Kawan

Pagi tadi, semasa di tempat kerja, sebelum memulakan kerja-kerja rutin, seorang rakan bertanya,

"tengok TV3?".

"Mengapa?".

"Tengok ulasan Mustafa? I kecewa la dengan sesetengah pemimpin PAS."

Sambungnya lagi, "kita tengok orang Cina, mereka sanggup bakar MCA. Tengok MIC, mereka sanggup bakar Samy. Tapi orang Melayu? Masih bertenggek dengan UMNO".

"PAS ni pun satu, masa sekarang nilah masa yang yang baik untuk PAS tunjukkan kehebatan Islam, bukan asyik ngan muzakarah, bantu DSAI, PKR multiracial, takkan dia nak bercakap tentang agama secara total, dia kena cakap hal keadilan."

Sambungnya, "pada aku, PAS perlu bersama dengan DSAI menjatuhkan BN (UMNO). Dan, pada siapa DSAI nak bergantung apabila menyangkut hal-hal Islam dan Melayu. Inilah peranan PAS".

"Ini tidak, bukan main keras depa kutuk Husam, kutuk Dr Zulkifli, Dr Hatta, Dr. Lolo', kerana membuntuti DSAI." gumamnya lagi.

"Tengok pendapat Mustafa Ali tu, bukankah maknanya menolak PAS ke belakang?"

Marah betul dia. Ini adalah antara rakan-rakan saya, yang apabila sempat berkumpul, topik utama kami ialah tentang perubahan era pasca PRU12. Dan, saya rasa inilah yang berlaku di tempat-tempat lain khususnya bagi rakyat yang berusia belia hingga 40-an. Masing-masing begitu peka dan sensitif apabila terbitnya isu-isu yang seolah-olah menghalang akan berubah perubahan.

Pada saya walaupun saya kurang senang dengan pendapat Dato' Pha ini, apatah lagi telah membuka ruang kepada media prokerajaan menghentam Pakatan Rakyat, saya yakin Dato' Pha mempunyai mesej tertentu yang cuba disampaikan di sebalik keseriusan itu.

Pada saya, kepelbagaian ulasan dan pendapat perlulah diraikan dan diulas dengan hati yang lapang dan kepala yang dingin.

10 September, 2008

16 September?

16 Septemper (16_9) begitu mengujakan. Pemerhati politik yang veteran, yang baru khatam, dan yang baru berjinak-jinak, masing-masing memerah otak. Satu sahaja fokus mereka-benar-benar akan menjadi realitikah peristiwa pada 16_9 itu?

Bukan sahaja mengujakan tukang nujum politik bahkan mampu mengkelamkabutkan BN dan UMNO. Telah berbulan tarikh ini didendangkan, suhunya kian meningkat. "Entablishmen" sekan-akan kepanasan. Projek Liwat 2 membuktikan bahawa mereka benar-benar kepanasan.

Cuba kita imbas tindak-tanduk mereka dalam menjahanamkan reputasi atau menguburkan kerjaya politik Sang Tokoh itu dalam PRK P44 sepanjang 10 hari kempen. Jutaan ringgit dicurahkan, segala agensi milik mereka dikerah dan diperkudakan sehinggalah BPR. Sumpah laknat Saiful menjadi azimat mereka agar hasrat menguburkan kerjaya Sang Tokoh itu.

Tetapi apa hasilnya? Apa yang dapat kita simpulkan ialah setiap gerak dan tindak mereka seolah-olah menemui jalan mati, bukan sahaja jalan maut tetapi "menggali kubur sendiri". Pengundi atau anak jati Permatang Pauh tetap tegas, tetap kental bahawa suara mereka, suara rakyat yang inginkan perubahan, tetap istiqamah dengan cita-cita dan pegangan mereka.

Hasilnya, Sang Tokoh menang bukan sahaja mengekalkan majoriti malah dapat menokok lagi majoriti kemenangan.

Terkini, BN dan UMNO dilihat amat begitu terdesak sehinggakan terpaksa melarikan 49 MP ke Taiwan, lawatan sambil belajar, kata Bung Mokhtar. Aneh sekali, lawatan ini dilakukan dalam bulan Ramadhan, dan destinasinya pula negara atau pulau yang sukar untuk melaksanakan ibadah puasa. Semakin aneh, mereka, YB-YB itu, melancong, dalam keadaan kerajaan melaksanakan dasar berjimat serta melarang segala aktiviti kerajaan dilakukan di premis swasta! Sepatutnya mereka mengambil peluang parlimen bercuti ini untuk bersama dengan rakyat kawasan mereka. Yang Islam memeriahkan tarawih. Yang bukan Islam, menjinaki kawasan-kawasan mereka. Bertepatan pula dengan cuaca tak menentu. Sesetengah tempat telah pun berlaku banjir! Tak ada tarikh lainke YB?

Kita sebenarnya tidak dapat menelah dengan tepat, apakah hakikat di sebalik 16_9 itu. Benarkah jumlah Mp yang diperlukan benar-benar real? Atau Sang Tokoh hanya menyergah.

Namun, setiap kawan dan lawan Sang Tokoh itu tahu, faham, dan amat sedar bahawa Sang Tokoh itu mampu merealisasikan setiap apa yang dikehendakinya, itupun dengan izin-Nya.

Kerana itulah mereka seperti dibakar dan terbakar ....

25 August, 2008

Bingkisan Permatang Pauh 2:

Dalam Mingguan Malaysia, 24 Ogos 2008, Dr Mohd Asri menulis dalam kolumnya, Pena Mufti, dengan tajuknya, “Permatang Pauh, Islam Makin Jauh”. Baharom Mahusin pula memuatkan analisisnya bertajuk “Berkubur di Kubu Sendiri”.Pada hemat saya, kedua-dua tulisan ini merupakan bahan propaganda BN dalam siri kempen menentang DSAI dalam PRK P44. Kedua-dua tulisan ini perlu diulas kerana ternyata fokus tulisan ini ditujukan kepada pengundi-pengundi di Permatang Pauh (PP), khususnya kepada simpatisan dan pengundi atas pagar. Hasrat tersembunyi kedua-dua penulis ini ialah untuk merasionalisasikan dan meneutralkan kedua-dua golongan pengundi ini yang menjadi penentu siapa yang akan menang nanti.

Kita tahu kedudukan dan ilmu Dr Mohd Asri, namun kolumnya kali ini perlu diberi reaksi kerana jelas beliau cuba menghantar isyarat dan mesej yang boleh mengelirukan pengundi. Saya faham akan niat beliau supaya pengundi-pengundi memilih calon dalam PRK P44 bukan berdasarkan emosi dan taksub kepada parti tetapi kepada calon yang boleh membawa kebaikan kepada umat Islam, “demi masa depan umat Islam”.

Saya rumuskan, Dr Mohd Asri begitu keliru, siapa yang akan diundinya, “barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah”. Beliau keliru kerana:

1. Kempen kedua-dua pihak yang bagi beliau tidak berakhlak, tidak mengikut akhlak Islam.
2. Bagi Dr Mohd Asri kedua-dua kempen di PP digerakkan atas dasar dendam kesumat dan fitnah.
3. Di pentas kempen itu terdiri pelakon-pelakon yang mungkin mengadaikan amanah.
4. Kempen-kempen ini didorong oleh “kerusi dan kuasa”.
5. Bagi beliau, kedua-dua pihak BN dan PKR adalah rakus dan ego.

Reaksi dan sedikit komen:

1. Saya ingin bertanya, siapakah yang membudayakan politik adu domba, politik fitnah, politik wang dan rasuah, yang menggunakan seluruh jentera kerajaan dalam kempennya, menggunakan SPR tanpa lunas undang-undang.

2. Pertanyaan lagi, siapakah yang menjunjung semangat demokrasi? Adakah wujud suasana pilihanraya yang penuh demokratik?

3. Siapakah yang memperkotak-katikkan Islam?

Dalam suasana begini, apakah dapat kita harapkan berlaku suatu perjalanan pilihanraya yang bersih, bermoral dan berakhlak. Bolehkah kita persalahkan orang yang dituduh dan diaibkan bertindak mempertahan maruahnya?

Ketika kita didesak dan diasak, dan diaibkan sedemikian rupa serta dituduh tanpa asas dan bukti yang kukuh, apakah tindakan terbaik selain bertawakal kepada Allah s.w.t? Prinsip bertindak dalam misi “amar makruh nahi munkar” pada hemat saya yang cetek ilmu ini terpakai di sini. Jika kita membiarkan tanpa tindakan mempertahan maruah, kita digelar dayus!

Gelanggang politik adalah gelanggang perang dan tempur, bukan gelanggang debat ilmiah, atau arena mempertahan tesis.

Cuba teliti dengan hati yang jernih, dan ikuti perkembangan kempen di PP secara dekat, dan kalau boleh hadir ke lokasi, bukan melihat dari jauh, dari kamar bacaan! Isunya ialah jika sesuatu pihak masuk ke gelanggang kempen dengan penuh tawaduk dan memperjelas dasar-dasar secara tertib dan ilmiah, saya yakin, kempen ini akan berakhlak. Cuba teliti ceramah-ceramah PAS, PKR, DAP, 95% adalah tentang perubahan-perubahan dan dasar-dasar yang ingin “dijual” kepada rakyat – “menjadi pemimpin Melayu-Islam terbaik, mengangkat martabat, menunaikan hak-hak bukan Melayu sejauh dibenar dalam Perlembagaan”, sudah tentu asas dan prinsipnya ialah ISLAM.

Saya kira Dr Mohd Asri masih terkilan dengan keengganan DSAI bermubahalah. Baginya, Saiful telah melakukannya maka DSAI mesti melakukan sama. Pada saya, pendapat tokoh-tokoh ulamak yang pakar tentang perundangan Islam perlu diambil kira. Dr Mohd Asri harus bersikap terbuka, dan meneliti pendapat ulamak-ulamak lain yang tidak sehaluan dengannya. Kita hormat akan ketinggian ilmunya, namun mengambil kira pendapat tokoh-tokoh ilmuan lain, juga salah satu sikap ilmuan yang terpuji, dan amat dituntut oleh Islam..

Satu hal yang juga amat penting ialah sikap kita terhadap politik. Kita seolah-olah memusuhi politik. Kita harus membezakan antara teoritis, dan hal-hal praktikal dalam politik. Saya melihat wujud kecenderungan ini pada Dr Mohd Asri.

Kita berada dalam situasi politik yang tidak Islami, dan hal ini perlu diperbetulkan. Oleh sebab gelanggangnya sedemikian rupa, maka pihak lawan harus menyusun strategi yang sesuai. Maka jika tidak, kita telah kalah sebelum bertanding. Bukankah ikhtiar itu salah tu tuntutan selain berserah kepada Allah s.w.t.

Akhirnya, apabila dianalisis perkembangan budaya hidup dan budaya politik di Malaysia, yang terasnya UMNO, sejak 50 tahun, adakah hidup secara individu, hidup bermasyarakat, dan hidup bernegara berada pada landasan moral dan akhlak (baca: Islam). Saya rasa Dr Mohd Asri tahu jawapannya. Maka, apakah kita reda dengan keadaan itu? Kini, terdapat tawaran daripada pihak lain untuk memperbaiki keadaan itu, dan pihak ini pula lebih cenderung kepada pendekatan Islam, maka apakah sikap kita?

Tentang tulisan Baharom pula, pada saya, dari tajuknya, kita dapat mengesan tujuan, motif, dan mesej yang ingin disampaikannya kepada khalayak pengundi di PP. Saya perturunkan, kesimpulannya:

“Jika mereka memilih Anwar Anwar sebagai Ahli Parlimen PP, orang Melayu di PP dan di luar PP harus bersedia memakai perisai untuk menghadapi pertempuran politik seterusnya – satu senario yang tentunya disukai oleh kawan-kawan Anwar dalam sesetengah parti cauvinis yang anti ketuanan Melayu. Dengan perisai itulah, yang memberatkan perjalanan mereka, orang Melayu bakal menghadapi perang saudara dalam politik yang terus dicirikan dengan kebencian, pertelingkahan yang tidak produktif dan mungkin juga anarkisme.”

Komen dan sanggahan:

1. Baharom ialah editor kanan Utusan Malaysia. Rumusannya jelas menggambarkan polisi akhbar ini terhadap DSAI dan PR.

2. Rumusan Baharom ini jelas membuktikan betapa beliau gagal sama sekali menyelami asas dorongan tsunami politik PRU12.

3. Cuba analisis faktor kekalahan BN dalam PRU12, salah satu faktor utamanya ialah faktor media. Jadi, siapa pendokong media tersebut? Bukankah saudara Baharom salah seorangnya? Jika BN kalah teruk di PP maka saudara Baharom harus mengambil tanggungjawabnya.

4. Betapa memperjelas sikap, falsafah dan motivasi yang sedang dihayati oleh tuannya, BN dan UMNO. Rumusan ini memperjelas sikap prejudis dan cauvanis BN dan UMNO – mendedahkan pekung di dada sendiri.

5. Rumusan beliau juga mendedahkan betapa Baharom memperbodoh pengundi PP dan rakyat Malaysia.

Kepada saudara Baharom, rakyat Malaysia kini sebagai akibat daripada pendidikan, kelas menengah Melayu dan bukan Melayu telah jauh berkembang. Maklumat di hujung jari mereka. Mereka sedar dan faham Perlembagaan Malaysia, kedudukan agama Islam, Hak-hak Istimewa orang Melayu, Budaya Melayu, Bahasa Melayu, dan Hak-hak bukan Melayu.

Siapakah yang sesungguhnya menodai Hak-hak Istimewa orang Melayu, menodai peluang-peluang pendidikan orang Melayu, siapakah yang sewenangnya menggantikan biasiswa untuk orang Melayu dengan pinjaman, siapakah yang menodai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar pendidikan, siapakah yang menodai semangat DEB? Adakah PAS, adakah PKR, atau DAP? Siapakah yang menganggap bantuan kehidupan kepada rakyat sebagai subsidi, tetapi pada masa sama mensedekah berbilion ringgit kepada kroni? Dan banyak lagi senarai ....

Begitu cetek dan bodohkah orang Melayu dan bukan Melayu untuk menyokong parti yang semata-mata akan membawa penderitaan kepada mereka? Adakah mereka begitu naif untuk menilai?

22 August, 2008

Bingkisan Permatang Pauh 1

Salam Ukhwah,

Hati masih tergugah. Bom demi bom digugurkan.
Terkini ialah penahanan untuk siasatan oleh BPR terhadap dua orang exco Perak dari PKR.
Didakwa berlaku rasuah dalam projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
Rasuahnya berbentuk wang dan seks.

Sekali lagi seks.

Jelas, kalau selalu kita menyebut sesuatu itu berulang kali bermakna kita telah terbiasa. Kalimah seks ini menjadi kegemaran pemimpin UMNO. Nampaknya wang dan perempuan
kegilaan atau obsesi mereka.

Ops jangan lupa ada satu lagi kegemaran nombor 1 mereka - main penggung!

Tentang dinsiden di Perak ini telah dijelaskan bahawa ada unsur politik, dan YB Nizar menjelaskan bahawa tidak wujud projek itu.

Ini sebenarnya mainan politik mereka. BPR telah diperkudakan. Dengan tindakan BPR ini, kredibiliti BPR nmelengkapi satu pusaran maut.

Ketua Pengarahnya marah kerana tindakan itu dikaitkan dengan politik semasa.
Bukankah penentuan masa untuk mengheret mereka ke mahkamah dalam tangan mereka. Mengapa masa ini dipilih? Adakah rakyat buta atau tidak ada otak? Rakyat dapat membacanya.

begitu juga dengan taktik terbaru mereka iaitu mengedarkan senarai kabinetbayangan PR. Terdapat 3 versi berbeza. Bagi komuniyi Melayu diedarkan senarai yang penuh dengan wakil DAP, dan kurang wakil PAS. Begitulah sebaliknya untuk masyarakat Melayu.

Kegusaran saya kian memuncak. yang pasti bom berskala besar akan terus digugurkan. Adakah PR dapat menyediakan "patriot" untuk memintasnya?

Bagaimanapun, saya masih berharap momentum PRU12 akan terus subur dan akan dibuktikan di Permatang Pauh pada 26 Ogos ini. Kalau boleh, lagi banyak bom digugurkan, lagi banyak undi UMNO terbakar.

Berjumpa lagi ...

17 August, 2008

Bingkisan Permatang Pauh

Salam Ukhwah,

Sambil membaca dan meneliti blog demi blog, akhbar-akhbar internet, tak lupa tranungkite, dan blog MSO, fikiran menjadi melayang jauh, dan terngelamun ...

Persoalan yang timbul ialah adakah momentum semangat perubahan PRU12 dapat dipertahan? Adakah gagasan Pakatan Rakyat akan diterima baik di Permatang Pauh (PP)? Adakah keputusan PRK PP (P44) akan menjadi benchmark sejauh mana penerimaan Gagasan Pakatan Rakyat (GPR) merata dalam kalangan rakyat?

Gerak hati saya mengatakan bahawa saya tidak perlu khuatir akan penerimaan GPR dalam kalangan pengundi bukan Melayu. Yang dibimbangi ialah masyarakat Melayu. Telah 50 tahun, UMNO menanam paku besi ke dalam minda Melayu (penyokong dan simpatisan UMNO) bahawa hanya UMNO sahaja yang mampu membela bangsa Melayu dan agama Islam. Hujah ini masih berkesan khasnya pada pengundi veteran dan berumur akhir 40_an. Buktinya jelas pada analisis PRU12. Kalau tidak masakan Perak, PAS hanya mampu meraih 6 kerusi sahaja. Saya teringat akan catatan Ahamd Lutfi Othman, dalam tinjauan sebelum PRU12, pengundi Cina secara jelas meminta ahli politik Melayu dalam PKR dan PAS memantau dan memastikan pengundi Melayu menyokong Pakatan Rakyat. Mereka bimbang, hanya kaum bukan Melayu sahaja yang berubah.

Secara kronologi, kita dapat membaca agenda tersirat pihak BN (UMNO) untuk menyembelih pengaruh dan ketokohan DSAI. Tuduhan Liwat 2 (LWT2) bermotifkan penyembelihan. Dan yang terakhirnya ialah sumpah muhabalah Saiful. Keberanian dan kesanggupan Saiful bersumpah walaupun terkeluar daripada perundangan jenayah Islam sehari sebelum penamaan calon secara jelas bermotif politik-cuba mencari sisa-sisa harapan agar sumpah ini sekurang-kurangnya mampu menjejaskan kredibiliti DSAI.

Pada hemat saya, sumpah ini tidak mendatangkan kesan malah risikonya amat besar kepada BN kepada penyokong tegar GPR. Namun, bagi penyokong atas pagar atau simpatisan DSAI dalam UMNO akan berfikir-fikir akan kebenaran LWT2 ini. Jauh di hati saya agar LWT2 ini dan sumpah Saiful ini hanya setakat menjadi gurauan dalam kalangan pengundi PP.

DSAI sendiri telah menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya 2 cara untuk mengurangkan majoriti DSAI nanti: pertama, meminta pengundi PP tidak keluar mengundi atas alasan DSAI akan menang jua dalam PRK itu. Kedua, membeli undi sekurang-kurang RM500.00 pada sesiapa yang tidak keluar mengundi atau mengundi BN.

Sesungguhnya, akan banyak lagi taktik kotor yang akan digunakan. Terkini ialah Puteri UMNO menuduh penyokong PKR meraba bontot mereka pada hari penamaan calon. Keduanya ialah insiden memukul wartawan. Mereka mendakwa penyokong PKR yang melakukan tindakan agresif itu. Akan banyak lagi, taktik kotor yang akan mereka lakukan.

Sebagai bingkisan awal, saya keberatan untuk meramalkan sejauh mana peluang kemenangan DSAI dalam PRK itu. Yang merisaukan ialah tahap "awareness" jentera Pakatan Rakyat membaca, meramal, dan mencegah taktik-taktik kotor BN nanti. Culaan hendaklah tepat, dan terpenting ialah memantau penyokong, simpatisan GPR tidak terpesong.

Sekian dulu. Akan menyusul bingkisan ke seterusnya.

Nota: Catatan atau rencana khas MSO tentang TDM dan Ibrahim Ali begitu tepat dan memperjelas siapa sebenarnya DSAI. Tahniah!

Wassalam.

14 August, 2008

Satu Catatan buat MSO

Dalam kesibukan rutin kerja, dan sibuk membelek dan menjenguk blog-blog, lupa pula nak mengupdate blog sendiri. Hari ini, blog sendiri yang cukup sederhana ni, sempat saya belek.

Biasanya tiada komen yang masuk. Maklumlah saya pun baru belajar, baru bertatih dalam berbloging. Namun dalam penulisan politik, minat ini telah lama berputik sejak 1990-an. Minat itu terhenti apabila UMNO dan BN telah mula menjadi "kuku besi" dan kurang toleran.

PRU12 menyuntik semula semangat yang telah lama terpendam. PRU12 seolah-olah memberi cahaya di hujung terowong. Walaupun, dalam liku-liku terowong itu penuh dengan ranjau dan duri. Terdetiklah di hati, apa salahnya aku menyertai semangat perubahan ini, sekurang-kurangnya terasa diri pun memberi sumbangan terhadap tanah air tercinta ini.

Sesungguhnya, walaupun terdapat beberapa catatan uncle MSO tidak saya senangi, namun blognya mesti saya buka. Ia semacam suatu tarikan tersendiri. Saya seperti ternanti-nanti ulasannya.

Dan, saya cukup terharu kerana seorang penulis politik veteran sudi memberi komennya dalam blog saya.

Terima kasih daun keladi.

Satu Reaksi tentang Langkah Terbaik buat PAS: Satu Pandangan

Salam Ukhwah,

dan selamat bermuktamar ..

Reaksi ini terhasil daripada jengukan saya dalam Tranungkite tentang posting menarik daripada IkangDukang. Posting ini dilulus terbit pada 14 ogos.

Apabila diamati, situasi politik tanah air nampak genting. Genting bagi BN kerana kian hari kian terhakis keyakinan rakyat. Bagi PR pula ialah cabaran dan pergelutan dalam memperkuat barisan PR.Antara ketiga-ketiga parti dalam gabungan PR, PASlah yang memiliki organisasi yang utuh dan merata hingga ke akar umbi. PRU12, kemenangan PR di 5 negeri dan WP Kuala Lumpur adalah salah satunya kerana platform PAS.

TGHH sebagai presiden PAS, sebagai penjaga amanah parti beberapa kali mempertegas akan dasar dan komitmen terhadap dasar asalnya - perjuangan atas dasar Islam.Satu persoalan, adakah PKR dan DAP tidak faham akan dasar PAS? Kalau mereka tidak memahami dengan jelas, bagaimanah boleh berlaku "engagement"? Sdr Khalid Ibrahim dengan jelas menyatakan bahawa PKR dan DAP menerima dasar perjuangan PAS ini.

Soalnya ialah tentang pembentukan kerajaan selepas 16 Sept. ini, kalau diizinkan Allah. Memang PAS dilanda dilema. Apakah pendirian PAS sekiranya majoriti ahli parlimen lebih memihak kepada bukan Islam? Adakah komitmen PR terhadap Islam akan luntur?

Saya kira, kemungkinan PR akan mengesampingkan ISLAM pasca 16 Sept ini tidak akan berlaku. Keyakinan saya ini berasaskan beberapa perkara berikut:

1. Faktor perjuangan DSAI akan Islam, Melayu dan ketamadunan Melayu.

2. Orang Melayu masih mendominasi PKR.

3. DAP kini sedang berartikulasi dengan rentak realiti politik Malaysia.

4. Orang bukan Melayu mula menyakini DSAI akan perjuangannya yang tidak rasis.

5. PAS juga mula mendapat kepercayaan orang bukan Melayu.

6. Gambaran kasarnya, orang bukan Melayu menuntut hak-hak mereka yang ada dalam Perlembagaan dihormati dan ditunaikan.

7. Apabila orang bukan Melayu menyokong PR bermakna mereka memahami dan menerima realiti politik Malaysia, yang terasnya ialah orang Melayu. Ini termaktub dalam Perlembagaan.

oleh itu, saya rasa PAS harus kekal dalam PR pasca 16 Sept kerana konsep dan pelaksanaan Islam di Malaysia, saya yakin akan diserahkan kepada PAS. Dengan itu, saya bersetuju sangat dengan saranan Ikandukang ini.

Wallahualam.

Kisah Tepis Tangan: Satu Reaksi

Bagi peminat Blog Merah Tinta MSO, memang ternanti-nanti cacatan pemunya blog ini, Mohd Sayuti Omar tentang sambungan catatan belasungkawa terhadap Allahyarham Saufi Othman ( Saufi Ayahanda) pada 6 Ogos lalu. Pada 11 Ogos lalu MSO menepati janjinya setelah peratus poll mencapai 51% bersetuju agar didedahkan gerangan yang menepis tangan tokoh veteran PAS tersebut. Sebenarnya, adalah hak MSO untuk menulis tentang apa-apa sahaja dalam blognya, dan orang lain (peminat siber) hanya berhak memberi komen sahaja-itupun dalam semangat saling menghormati. Blog adalah milik peribadi dan harus diiringi dengan pertanggungjawaban.

Kisah Tepis Tangan ini, jika diteliti dalam-dalam, amat menarik. Beberapa persoalan boleh timbul. Pertamanya, orang yang dimaksudkan oleh MSO ialah YB Datuk Husam. Dalam keadaan politik terkini, banyak orang mengenali siapa dia Husam, walaupun tidak kenal secara peribadi. Beliau dilihat sebagai penyokong kuat agenda Pakatan Rakyat.

Kedua, saya secara jujur, berharap semasa MSO menggarap catatan ini berada dalam kesedaran yang penuh, dan bukan di bawah pengaruh atau hasrat tertentu. Jauh dari itu, saya amat berharap yang MSO jujur dalam catatan ini. Hal ini kerana catatan ini berkaitan dengan peribadi seseorang yang "bukan biasa" dan tidak menjadi seolah-olah "mendedahkan aib orang lain, yang bagi kita orang Islam wajib menutup aib seseorang di depan umum".

Ketiga, saya secara jujur amat berharap agar saudara Husam dapat menerima pendedahan MSO ini dengan tenang, sabar, dan dengan semangat berterima kasih. Hal ini kerana pada saya, hasrat murni MSO ialah agar saudara Husam boleh membaiki diri, bersikap terbuka terhadap kritikan orang lain, bersangka baik terhadap pengkritik, dan mampu menyerap aspek positif daripada kritikan pedas. Saya sebenarnya, tidak mengenali secara personal saudara Husam, tetapi daripada gambaran media (public figure), dan cakap-cakap rakan-rakan saya yang mengenali saudara Husam menggambarkan saudara Husam mampu menanjak jauh ke hadapan, dan salah seorang pemimpin atasan PAS yang mampu memjadi pemimpin peringkat kebangsaan.

Saya percaya, kalau benar seperti yang diungkapkan oleh MSO, sikap-sikap orang bawahan tentang saudara Husam, akan membantutkan potensi besar dirinya. Ketokohan seseorang bukan hanya terletak pada kekuatan intelektual sahaja tetapi kehebatan sentuhan peribadi apabila berhubung dengan masyarakat, terutama sekali apabila berhadapan dengan seseorang atau kumpulan yang tidak sealiran dengan kita.

Keempat, premis atau konteks nuansa pemikiran MSO ketika beliau menggarap catatan Kisah Tepi Tangan itu. Saya melihat catatan ini lebih berupa kritikan MSO terhadap saudara Husam bermula terbentuknya Pakatan Rakyat sebagai hasil PRU12.

Premis yang saya maksudkan ialah pertamanya, persoalan ketokohan saudara Husam sebagai seorang pemimpin PAS di Kelantan atau sebagai seorang strategis PAS dalam mempertahan PAS Kelantan supaya PAS tetap relevan di Kelantan. Kedua, keterlibatan saudara Husam bersama dengan tokoh-tokoh PAS pusat yang bergerak seiring dengan Pakatan Rakyat dalam menjayakan visi Pakatan Rakyat. Ketiga, isu muzakarah PAS dengan UMNO. Saudara Husam mewakili pemimpin PAS yang tidak senang dengan muzakarah ini dari segi risiko masa depan PAS diperingkat nasional. Sedangkan MSO, sejauh yang saya teliti daripada catatan dalam blognya, dan wawancaranya dengan TV3 berkaitan dengan isu muzakarah, MSO dilihat bersetuju dengan muzakarah ini. Keempat, ketidaksetujuannya dengan pandangan TGNA. Sekurang-kurangnya, empat pendirian TGNA yang tidak disenangi oleh MSO, iaitu ketidakbersetujuan TGNA terhadap muzakarah dengan UMNO, kedua, isu sabotaj orang dalam PR terhadap DSAI sebagai calon PKR di Permatang Pauh, ketiga, penjelasan TGNA dalam soal pelantikan menantunya menerajui salah satu agensi Kerajaan Negeri Kelantan. Keempat, ini hanya jangkaan saya, kehadiran TGNA mewakili PAS dalam penamaan calon DSAI pada 16 Ogos ini di Permatang Pauh.

Dalam semua isu ini, saya dapat mengesan pendirian MSO yang tidak senang terhadap saudara Husam. Ada dua corak. Secara langsung ialah tentang ketokohan dan peribadi saudara Husam. Secara tidak langsung ialah peranannya yang tersembunyi dalam menasihati dan mempengaruhi TGNA dalam isu-isu tertentu. Bagi MSO, TGNA tidak salah, yang salah ialah mengguna pakai nasihat dari lubang tikus.

Saya tidak mahu dilihat membela saudara Husam, tetapi apabila aibnya didedahkan, pendedahan itu dibuat mesti berdasarkan alasan yang kukuh dan niat yang ikhlas. Jadi, supaya catatan saya ini tidak dilihat sebagai seorang penyokong totok saudara Husam dan PR, saya cuba menyelongkar hasrat atau kerangka pemikiran MSO (premis hujahnya). Kalau saya terkhilaf, saya mohon maaf. Yang saya harapkan ialah catatan saya dilihat adil bagi kedua-dua pihak. Lagi pun saudara MSO telah menarik balik Kisah Tepis Tangan ini setelah menerima teguran-teguran daripada pembaca blognya.

Wallahualam.