28 November, 2008

Isu Pengguguran Khalid Abdul Samad: Lagi, Lagi Anwar Ibrahim!!!

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hassan telah memukul tukul hakimnya terhadap YB Khalid Abdul Samad, dan Shaari Sungip. Jawatan Khalid Timbalan Pesuruhjaya II PAS selangor telah ditamatkan (baca: dilucutkan), sementara Shaari Sungip diundurkan daripada jawatan Ketua Penerangan PAS Selangor.

Walaupun perlucutan itu merupakan keputusan sebulat suara, namun kedengaran cakap-cakap bahawa Dr Hassan memonopoli kedua-dua dewan atau jawatankuasa tersebut. Jika ini benar, (kalau benar!), perlucutan itu berkait dengan kedudukan dan kuasa Dr Hassan – rasa tercabar atau dicabar (kepanasan?).

Sesuatu yang tidak enak ialah penjelasan Dr Shafie dalam Malaysiakini, 25 November, 2008, punca Khalid dilucutkan kerana kerapatan dirinya dengan DSAI (PKR) dan gagal mewakili kepentingan PAS apabila berdepan dengan PKR. Menurut Dr Shafie lagi, PAS Selangor masih kurang berpuas hati dalam soal peranan PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor dan dalam gabungan Pakatan Rakyat. Dakwanya, kerapatan Khalid denga PKR menyebabkan dirinya sukar menyatakan ketidakpuashatian PAS terhadap PKR dan Kerajaan Negeri Selangor.

Daripada penjelasan Dr Shafie ini menggambarkan Khalid sebagai salah seorang pemimpin tertinggi parti telah gagal memainkan peranan dan kewajipannya dalam mempertahan dan memperkasa kedudukan PAS sebagai rakan gabungan dalam kerajaan PR Selangor.

Khalid juga telah memberi responsnya dalam blognya, bahawa beliau akur dengan perlucutan itu malah beliau sendiri hadir dalam mesyuarat-mesyuarat tentang pemecatannnya itu. Beliau menjelaskan yang puncanya ialah perbezaan pendapat dan tidak sehaluan dengan Dr Hassan. Soal perbezaan tentang apa, tidak pula Khalid jelaskan. Hal ini kerana beliau masih lagi boleh hadir mesyuarat peringkat negeri kerana beliau merupakan Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Khalayak telah termaklum akan kelantangan Khalid dengan hujah-hujah inteletualnya. Kalau boleh saya simpulkan kecenderungan atau jalur pemikiran Khalid:

a) Ingin melihat PAS berfikir dan bertindak secara global, mampu berpolitik peringkat tinggi merentasi sempadan regional atau lokal sesuai dengan arus perubahan rakyat pada PRU12 atau pasca PRU12.

b) Tindakan politik PAS yang mengambil kira sokongan bukan Melayu terhadap PAS.

c) Bertindak dengan mengambil kira atau mempertimbangkan kesan jangka masa panjang, bukan kesan segera yang membawa padah.

d) Bertindak dengan penuh berhemah terutama dalam soal-soal berkaitan dengan pelaksanaan hukum dalam kerajaan negeri yang dikuasai pakatan. Khalid lebih cenderung pelaksanaan secara evolusi dan dakwah.

e) Memperkukuh Pakatan Rakyat kerana pada pandangan Khalid, PAS masih belum mampu lagi bergerak sendirian terutama pada peringkat nasional, berhadapan dengan khalayak perlbagai kaum, dan stigma agama ortodok yang dialami oleh khalayak Pantai Barat.

f) Hasilnya ialah PAS akan diterima baik dan diyakini oleh rakyat pelbagai ras dalam PRU13 nanti.

Saya melihat isu perlucutan ini daripada beberapa sudut, dan kesan.

Pertama, masih ada saki baki golongan yang prejudis terhadap DSAI dan PKR. Saya menyatakan ini kerana kedekatan dan keintiman Khalid dengan DSAI dan PKR yang menjadi sebab pemecatannya.

Saya ingin bertanya adakah dengan keintiman itu telah meleburkan hakikat Khalid sebagai seorang yang berjawatan dalam saf pimpinan PAS negeri dan PAS pusat? Sebagai salah seorang pendokong kuat Gagasan Pakatan Rakyat peringkat nasional tentu Khalid berkewajipan untuk menyelami falsafah perjuangan DSAI dalam konteks pembentukan Agenda Malaysia Baru. Pemahaman ini hanya boleh terjadi sekiranya perhubungan itu berlaku dalam keadaan yang “intim”.

Hal ini, saya rasa dan yakin bahawa Khalid sentiasa sedar bahawa beliau mewakili partinya, bukan mewakili dirinya sendiri. Namun, pada penglihatan orang luar, yang tidak rapat, nampak bahawa Khalid terpesona dengan penampilan individu atau personaliti DSAI – memuja tokoh. Pada saya, Khalid nampak jelas bahawa masa depan PAS buat sementara ini masih bergantung kepada kekuatan DSAI. DSAI mampu merentasi sempadan bangsa sdan ideologi.

Kedua, dengan pelucutan Khalid, bermakna PAS Selangor kehilangan suara yang berperanan sebagai “check and balance” dalam setiap dasar yang dirumuskan oleh PAS negeri dan dalam konteks pentadbiaran kerajaan negeri. PAS mempunyai tiga exco dalam kerajaan negeri Selangor. Ketiadan suara Khalid, PAS akan dapat melihat kesan daripada sudut sehala sahaja. Pada saya, tindakan perlucutan jawatan ini adalah tindakan kurang matang, dan sedikit sebanyak akan menjejaskan PAS Selangor.

Ketiga, pengguguran itu memperlihatkan kelemahan personaliti pimpinan negeri PAS Selangor. Pengguguran ini dilihat sebagai kegagalan seorang ketua untuk mengekspolit kekuatan yang dipunyai oleh anak buahnya. Tindakan yang bijak ialah mengeksploit perbezaan pendapat itu sehingga menghasilkan sintesis atau konsensus yang berimbang. Seorang ketua yang bijaksana harus mempunyai kualiti ini.

Dengan tiadanya Khalid dalam saf pimpinan negeri, dan digantikan dengan penjawat-penjawat yang serasi, dapatkah dielak wujudnya sindrom mengiyakan bagi setiap cadangan dan dasar yang diingini oleh sang ketua? Akan wujudkah perbincangan yang panas? Rasa terhutang budi, rasa malu, dan rasa hormat akan mematikan sikap kritikal. Penjawat ini akan berjiwa kerdil dan tidak bebas.

Keempat, kesan kepada rakan kongsi, PKR dan DAP. Kalau benar seperti yang dilaporkan dalam Malaysiakini, pendapat Dr Shafie, bahawa pemecatan Khalid berkait rapat dengan keintiman hubungan dengan PKR, isu ini telah menyentuh rakan gabungan secara langsung. Maknanya, ada sesuatu yang tidak kena dengan PKR pada pandangan PAS. Keadaan ini mewujudkan keadaan hubungan yang tidak selesa antara PKR dan PAS negeri selangor. Bagi PKR, tindakan pemecatan Khalid menjadi bukti bahawa PAS masih bermain teka-teki dalam mempertahan gabungan. Saya berharap, tidak timbul perasaan sebegini bagi pihak PKR Selangor. Ini lebih kepada masalah dalaman PAS dalam menyerap perbezaan pendapat.

Akhirnya, dalam hal ini, saya tidak membela Khalid. Saya melihat kegagalan PAS Selangor dalam mengeksploit perbezaan pendapat dan kegagalan menggembleng kekuatan tokoh yang tidak sehaluan.

27 November, 2008

Ceritera PAS Kedah, Kenapa Menteri Besar Melenting?

Terdetik juga hati untuk mengulas tentang Pak Khalid digugurkan jawatannya dalam PAS Selangor. Mengapa dan kenapa? Benarkah Dr Hassan bertindak untuk kepentingan parti? Bagaimana kesannya dalam jangka masa pendek atau panjang?

Lain kalilah, kita sentuh dulu hal di Kedah.

Khabarnya, Ustaz Azizan melenting apabila dasar Kerajaan Kedah tentang quota 50% perumahan diperuntukkan kepada bumiputera ditegur oleh Azmin (PKR) dan Lim Guan Eng (DAP-Kerajaan Pulau Pinang).

Kenapa perlu melenting sehingga terkeluar kata-kata yang kurang manis. Ustaz Azizan dalam mempertahan dasarnya, mengungkapkan bahawa, “beliau tidak perlu akur akan pandangan (arahan! Benarkah teguran itu berupa arahan?), Azmin atau Guan Eng bukan ketuanya, ketuanya ialah Presiden PAS”.

Uztaz Azizan juga kelihatan marah apabila dasar yang telah diputuskan itu dikritik oleh PKR dan DAP. Menteri Besar Kedah seolah-olah mentafsir PKR dan DAP telah mencampuri hal-ehwal dalaman Kerajaan Kedah. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengkritik Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pulau Pinang.

Apakah kesannya?

Pertama, Kerajaan Kedah bukanlah kerajaan yang dibentuk berdasarkan kemenangan mutlak parti PAS. Berjayanya PAS memerintah Kedah sebenarnya hasil daripada gabungan PAS, PKR, dan DAP dalam menentang BN dalam PR12.

Selepas kelima-lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, disyorkan kelima-lima negeri ini dinamakan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Ini membawa makna Kerajaan Kedah secara automatis bergelar Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Berdasarkan hakikat ini, pemimpin lain (PKR dan DAP) mempunyai hak untuk menegur atau mengkritik dasar-dasar KPR Kedah sekiranya pada pandangan mereka dasar itu perlu pertimbangan yang lebih lanjut.

Kedua, dengan sikap melenting dan marah-marah apabila ditegur, menggambarkan bahawa seseorang pemimpin itu mempunyai sikap diktator dan tidak mengalu-alukan perbezaan pendapat. Setiap pemimpin seharusnya menganjurkan atau meraikan pandangan yang berbeza dan menganjurkan sikap bermusyawarah. Mereka seharusnya dijemput datang berjumpa baik secara secara rasmi atau tidak rasmi untuk diberi penjelasan hujah-hujah kenapa dasar itu perlu diadakan.

Mengikut laporan Johari Abdul, dasar 50% itu tidak pun dijelaskan secara agresif ke akar umbi sehinggakan REHDA pun kebingungan bagaimana mekanisme dasar itu hendak dilaksanakan.

Untuk makluman, Kerajaan Kedah (KD) telah pun mengisytiharkan bahawa tanah-tanah pertanian (sawah padi) yang dikuasai MADA tidak lagi dibenarkan dibangunkan bangunan atau perumahan. Dasar ini untuk memperkukuh iltizam KD untuk menjadikan Kedah sebagai Negeri Jelapang Padi dan Pertanian. Dengan dasar ini, mempersempitkan lagi REHDA dalam memperkembangkan industri perumahan di Kedah.

Ketiga, Dengan sikap Menteri Besar itu, seolah-olah KD telah secara sengaja mempersempit ruang kerjasama antara kerajaan-kerajaan negeri dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Saya yakin, Kedah mewarisi hutang lapuk yang banyak daripada kerajaan lama. Apakah Kedah mampu berdiri sendiri dalam pengurusan politik negeri dan pengurusan ekonomi negeri?

Sehingga kini, setelah 8 bulan menguasai Kedah, hal-hal yang berkaitan dengan kemudahan asas baik di bandar dan di kampung masih lagi minimum. Soal tempoh kerajaan ini masih baru, bagi rakyat, bukan alasan yang konkrit. Rakyat mahu kemudahan-kemudahan yang menyentuh langsung hidup mereka disegerakan. Mereka mahu lihat bahawa kerajaan yang baru bukan hanya berminat untuk berkuasa semata-mata, tetapi untuk berbakti untuk rakyat.

Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah beberapa kali membuat penjelasan tentang dasar dan perancangan kerajaan negeri kepada ahli parti dan rakyat. Pada saya, ini tindakan terpuji. Namun, akhirnya rakyat mahu melihat tindakan dan terasa dibela.

Saya berpendirian, KD harus meneliti dan belajar daripada negeri-negeri pakatan lain dalam mengurus kerajaan masing-masing. Kalau pun tidak mahu mendekati Selangor, belajarlah daripada Kelantan. Lihat dan belajar bagaimana TGNA mentadbir ekonomi Kelantan yang pada awal ambil alih dulu, 18 tahun dulu, pemerhati politik meramalkan bahawa Kelantan tidak akan dapat bertahan – mereka memberi masa sehingga 3 bulan, selepas itu Kelantan akan benar-benar muflis.

Ruang kerjasama adalah luas. Apa salahnya saling bertukar pandangan, saling membantu daripada kewangan, dan bertukar kepakaran. Namun, ruang itu perlu diwujudkan dan disuburkan bukan disempitkan dan disukarkan. Keterbukaan sikap pemimpin menjadi prasyarat wajib jika jalinan kerjasama ini mahu dilaksanakan.

Jadi, kita tertanya-tanya adakah dengan sikap Menteri Besar ini, beliau mahu mempertegas hasratnya untuk membela bumiputera, atau tidak senang dengan teguran orang lain sehingga teguran rakan dianggap sama seperti teguran daripada musuh, atau mempertonton sikap sebenar Ustaz Azizan yang keras, atau secara tidak langsung mempersukar ruang kerjasama antara kerajaan Pakatan Rakyat?

Di Serambi Simpang 4, AS

21 November, 2008

Ke mana Politik Melayu: Selayang Pandang politik Orang Cina

Catatan imprisionik ini adalah lanjutan daripada "Ke mana Politik Melayu?".

Apabila posting itu saya postkan ke TKO, terdapat beberapa komen yang agak menarik, yang masing-masing melihat atau merumuskan bahawa antara PAS dan UMNO terlalu dalam jurangnya. Jurangnya ialah soal diktonomi "penghayatan agama".

Memang benar kalau faktor agama, sebahagian besar pendokong PAS ialah agamawan, dan dapat dibezakan dengan jelas melalui aspek penonjolan imej, yang menjadi pemisah antara PAS dan UMNO. UMNO pula diidentifikasikan dengan kecenderungan duniawi yang menebal. Memang ini ada benarnya.

Tetapi bukan hal ini yang menjadi mauduk posting ini dan posting seterusnya. Saya ingin membawa kepada satu ruang kemungkinan peluang-peluang untukmerapatkan jurang ini.

Baiklah kita biarkan dulu soal itu. Saya akan rumuskan kemudian nanti.

Kali ini saya mahu mengajak audien melihat sepak terajang politik orang-orang Cina di Malaysia baik MCA, Gerakan, DAP, dan seumpamanya.

Politik orang Cina bersifat pragmatik. Kesetiaan mereka pada parti lebih kepada sejauh mana parti itu mampu membawa manafaat kepada mereka. DAP pernah ditolak secara total oleh orang Cina di Pulau Pinang dan di tempat lain apabila pada persepsi mereka DAP tidak lagi memperjuangkan hak-hak mereka. Apabila bermulanya "Gerak" yang dimulakan oleh arwah Presiden PAS hasil peristiwa pemecatan DSAI, DAP terlibat dalam pakatan longgar dengan PAS dan PKR dalam menentang BN. Oleh sebab, DAP terperangkap dengan isu Negara Islam, DAP ditolak oleh orang Cina.

Pada zaman TDM, orang Cina berasa terjamin. Kekuatan MCA dan Gerakan sukar digugat.
Peluang-peluang perniagaan, soal bahasa, dan budaya mereka dapat mereka pertahan. Persatuan-persatuan orang Cina begitu aktif memainkan peranan.

Kepatuhan orang Cina kepada ketua bukan politik. Yang saya maksudkan ialah ketua-ketua yang memimpin persatuan-persatuan yang dominan dalam masyarakat Cina, seperti persatuan perniagaan, persatuan bercorak budaya, bahasa, dan agama. Bagi orang Cina, pemimpin-pemimpin politik merupakan alat atau wahana dalam mempertahan survival mereka. Apabila pemimpin-pemimpin politik ini telah dilihat telah menyeleweng, dan dengan hilangnya sokongan daripada pemimpin-pemimpin persatuan ini, orang Cina sanggup mengalih sokongan tanpa mengira risiko lagi. PRU12 adalah buktinya.

Anutan orang Cina: Parti menguasai Kerajaan, bukan sebaliknya. Semasa era TDM, pemimpin politik Cina (MCA, Gerakan) dilihat sebagai alat atau wahana ampuh dalam mempertahan hak-hak mereka. Contohnya, mereka berjaya mendesak kerajaan melaksanakan dasar dwibahasa dalam pengajaran PPSMI di sekolah-sekolah Cina.

Dalam soal ini juga juga, orang Cina juga begitu cerdik dalam mengatur ke mana pemimpin mereka akan diletakkan (DUN atau Parlimen). Mereka tidak akan mengorbankan masa depan mereka. Mereka akan pastikan bahawa wakil mereka akan berada di dua-dua peringkat, DUN dan Parlimen. Kalau kita teliti, Lim Kit Siang, dan Karpal Singh tetap kekal di parlimen. Kedua-dua tokoh ini dilihat amat berguna dalam memperjuangkan isu-isu tertentu baik bersifat bangsa atau melepasi sentimen bangsa.

Cuba kita bandingkan dengan permainan politik orang Melayu dengan orang Cina. Pada PRU10 dan PRU11, boleh dikatakan semua tokoh-tokoh besar pembangkang Melayu kecundang dengan majoriti yang besar. Dan kesannya, sungguh parah kepada orang Melayu.

UMNO dalam anutan politik mereka, mereka seperti keliru antara kuasa parti dan kuasa kerajaan. Sering kali, pemimpin UMNO mengidentifikasikan diri mereka sebagai "pemimpin kerajaan" bukan "pemimpin politik" yang membawa mandat politik dalam memperjuangkan untung nasib ahli parti mereka. Dalam hal ini, sering kali orang Melayu menjadi mangsa, dan tidak dipedulikan nasib mereka dalam pelaksanaan polisi pembangunan mereka.

Nasib orang Melayu bertambah parah lagi apabila di peringkat akar umbi, intrig politik antara dua tonggak kekuatan politik Melayu: PAS dan UMNO begitu tajam dan tegang. Permusuhan politik ini memnyebabkan mereka gagal melihat untung nasib orang Melayu dalam mengharungi politik pembangunan BN yang tempang.

Barangkali benar kalau saya katakan sesungguhnya politik itu haruslah berunsurkan kebajikan. Maka renung-renungkanlah ...

... Nantikan sambungannya..

Nota Hujung:
(Apabila Hati Berdetik)

Apakah lafaz sayang itu ada ertinya jikalau hanya lafaz semata-mata? Lafaz hanya lahir daripada gerakan otot lidah semata-mata, dan berlalu bagai angin lalu tanpa apa-apa kesan.

Sayang atau kasih atau cinta menuntut pembuktian. Kadang-kadang tak terlafaz pun kata-kata itu, namun kesan kehadirannya amat sekali dirasakan - dekat, hangat, dan sesekali membara dalam diam.

Isteri, begitu menginginkan "kebersamaan". Sama sekali tidak akan terkurang sedikit pun ego seorang lelaki kalau sesekali engkau bangun mendodoikan si anak kecil yang terjerit kehausan kerana isteri sedang tidur polos dek keletihan .....

Di Serambi Simpang 4, AS.

10 November, 2008

Ke mana Politik Melayu

Pertama sekali, salam buat pengunjung yang sudi singgah.

Kali ini saya akan banyak bertanya. Sesungguhnya di sekeliling kita, kalau kita benar-benar memerhati, terlalu banyak soalan tercetus, dan terlalu banyak kontradiksi.

Terdapat beberapa persoalan yang asyik mengganggu minda bawah sedar saya.

Pertama, intrig politik orang-orang Melayu.

Intrig ini begitu tajam, tegang, dan nampak selah-olah tidak dapat dikompromi atau didamaikan. Dogmatik dan hampir-hampir fanatik. Dalam kehidupan politik orang Melayu, ada dua paksi yang menunjang langit dan persis tak mungkin untuk bertemu. Kedua-duanya tegak lurus menujah langit.

Dua paksi itu ialah UMNO dan PAS.

Mengapakah masing-masing begitu tegar untuk enggan sekurang-kurangnya berkrompomi? Kedua-duanya dianggotai dan didukungi satu bangsa yang sama. Kedua-duanya menganuti agama yang sama. Kedua-duanya bertutur dan berfikir dalam satu bahasa yang sama. Kedua-duanya hidup dalam satu budaya yang sama.

Ideologi yang berbeza? Cubalah analisis term ini secara jujur. Kalau kita jujur dan ikhlas dengan ilmu yang kita pelajari. Kesampingkan kepentingan tertentu yang bermukim. Tentu sekali kita akan menemui jawapan yang jujur.

Kedua-dua parti ini sebenarnya boleh dikompromi dari segi ideologi.

Baiklah kita cuba telusuri hujah-hujahnya. PAS meletakkan Islam sebagai asas, dan buah perjuangannya ialah Negara Islam atau Masyarakat Islam. UMNO pula mendahulukan bangsa. Namun bangsa itu ialah bangsa Melayu yang definisinya terikat kukuh dengan agamanya, Islam. Tanpa Islam, batang tubuh Melayu itu tidak lagi bergelar Melayu. Ini bermaksud, memajukan bangsa Melayu juga memperkasakan Islam sebagai agamanya.

Maknanya, seharusnya tafsiran yang betul tentang falsafah yang mendasari UMNO ialah memperkasakan bangsa dan agama. Jika tafsiran ini betul, maka hasil daripada perjuangan UMNO ialah juga mewujudkan atau merealisasikan Islam sebagai “addin” di bumi Malaysia.

Bukankah tafsiran ini menampakkan bahawa tidak wujud kontradiksi antara PAS dan UMNO? Kita tidak boleh keliru antara amalan-amalan menyimpang ahli dan pemimpin UMNO dengan erti dan falsafah di sebalik ideologi partinya.
Hal ini menampakkan bahawa kedua-dua parti ini boleh berjuang bersama-sama, dan boleh berkompromi.

Dalam hal ini, tersinggung juga soal asabiah dan nasionalisme. Persoalannya adalah nasionalisme tiada tempat dalam Islam? Namun, kita tinggal dulu soal ini.

Namun, persoalannya mengapakah sehingga kini intrignya begitu tajam sehingga menimbulkan permusuhan yang tak kenal jalan perdamaian?

Kedua, masa depan orang Melayu.

PRU12, menandakan satu titik permulaan perubahan dalam pemahaman dan kehendak politik orang Melayu. Saya kira, perubahan ini tidak menyeluruh. Yang berubah hanyalah dalam kalangan golongan menengah yang tidak “berkepentingan” dan golongan muda. Sebahagian besar golongan menengah dan golongan berumur pertengahan 40-an dan ke atas masih kekal dengan fahaman politik lama.

Yang saya maksudkan dengan fahaman politik lama ialah yang bercirikan:

a) Bernostalgia bahawa Malaysia masih seperti negeri Melayu persis zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bangsa lain adalah kelas kedua. Hakikat sejarah negeri Melayu selepas era penjajahan seolah-olah cuba dinafikan.
b) Masih berfikir dalam jalur perkauman. Jalur perkauman ini masih ekstrem. Jalur ini menjelma dalam term Ketuanan Melayu yang ekstrem yang cuba menolak hak-hak sah orang bukan Melayu dalam perlembagaan.
c) Tiada parti lain yang dapat menggantikan UMNO dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu.
d) Fahaman mereka tentang Islam masih dangkal. PAS dianggap seteru politik dan ditafsir sebagai parti semata-mata tanpa melihat ideologinya. Dalam minda mereka, agama hanya berkait dengan urusan peribadi, dan cuba dielak daripada diterapkan dalam segi-segi kehidupan lain.
e) Falsafah pembangunan masih terikat dengan falsafah pembangunan atau kemajuan mengikut acuan barat.

Untuk lebih spesifik, cuba kita teliti akhir-akhirnya ini apa yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Bahagian UMNO. Muhyidin malu dengan politik wang yang telah membarah. Mengikut laporan, sebanyak 900 aduan diterima. Di Seremban, dalam mesyuarat tersebut berlaku pergaduhan sehingga mesyuarat terpaksa ditangguhkan. Reaksi Pak Lah kecewa dan malu dengan insiden itu.

Dengan berkeluasanya politik wang dan mengagungkan personaliti tanpa menilai aspek moral, ideologi, dan karisma menunjukkan para perwakilan yang membawa mandat akar umbi tidak peduli sama sekali akan isyarat bahaya PRU12 terhadap UMNO.

Persoalan yang timbul ialah mengapakah mereka tidak peduli? Apabila mereka sanggup meletakkan harga dan sanggup dibeli terhadap undi mereka, sebenarnya mereka meletakkan negara di tangan pemimpin perasuah. Mengapakah mereka sanggup menggadaikan maruah begitu sekali? Masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka dan orang lain, bagaimana?

Jadi, saya cukup hairan mengapakah boleh timbulnya pendapat bahawa UMNO masih lagi relevan (A Kadir Jasin, Tengku Razaleigh Hamzah) dengan begitu buruknya moral mereka dalam percaturan perebutan kuasa?

Tulisan ini tidak akan berhenti di sini ...

Nota Hujung,
bila hati berbisik:
(buat seseorang, yang hati jantan saya luluh apabila dia meluahkan bicara
yang lirih
...)

Layakkah kita bergelar lelaki sekiranya segala tugas-tugas rumah tangga diserahkan bulat-bulat di bahu wanita (baca: isteri)?

Layakkah kita bergelar lelaki sekiranya sebaik kita sampai di rumah, kita hanya tahu mengarah dan bertanya sudah siapkah hidangan untuk kita sambil itu kita hanya membelek akhbar? Sedangkah kita tidak pun bertanya adakah beras masihkah berbaki di persimpannya?

Di Serambi Simpang Empat, A.Star.