31 October, 2009

Nik Aziz, EGM, dan Mesyuarat Khas: Reaksi I


Salam buat pengunjung.

Latar Belakang

Secara peribadi, saya rasakan kepanasan isu ini "sama panas" dengan isu UG. Saya rasakan juga kalau isu terbaharu ini jika tidak dirungkai dengan cermat akan membawa padah bukan sedikit kepada PAS sebagai organisasi politik, organisasi dakwah, dan sebagai organisasi politik yang mula diberi kepercayaan oleh rakyat Malaysia untuk "bermain dalam politik nasional".

Kenyataan dan kehendak TGNA amat tegas, dan beliau sanggup menerima seberat manapun risiko terhadap dirinya dan juga partinya yang dibelainya sejak beliau mengenal erti politik.

Sesungguhnya TGNA mempertaruhkan segala yang beliau ada - segala-galanya demi survival partinya. Kata beliau, "Saya tidak akan menarik balik cadangan itu kerana ia dibuat atas hasrat dan isi hati saya sendiri yang mahu menyelamatkan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Masjid Noraini, Kampung Pasir Hor, dekat Kota Bharu hari ini. (http://www.malaysiakini.com/news/115787)

Sikap atau Pendirian Pimpinan PAS Pusat

Bagan Pinang merupakan "buaya" yang timbul di sebalik air yang "tenang". Ketidaksenangan atau ketidakpuashatian grassroot, pemimpin pertengahan PAS, para simpatisan PAS, dan penyokong-penyokong atas pagar yang selama ini bergolak pada arus bawah telah mula memperlihatkan wajahnya atau memperlihatkan akibatnya. Bagan Pinang merupakan penyataan atau protes terhadap:

"Kegagalan atau sikap tidak tekal dalam memperkukuh Pakatan Rakyat yang diterjemahkan melalui sikap, tindakan atau percakapan oleh sesetengah pemimpin PAS terhadap beberapa isu dalam kerajaan-kerajaan negeri PR, dan tindakan gopoh segolongan Pemuda PAS terhadap isu hiburan".

Kegagalan atau sikap bebas tanpa merujuk kepada ketetapan muktamar atau dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, secara tidak langsung, memperlihatkan PAS tidak serius dalam merealisasikan gagasan PAS FOR ALL.

Tindakan seolah-olah "tikam kawan" nampaknya atau kelihatannnya direstui oleh Presiden kerana sehingga kini Dr Hassan Ali, sebagai contoh, masih tidak ditegur atau tidak dikenakan apa-apa tindakan sedangkan tindakan Hassan Ali di Selangor mampu meruntuhkan kerajaan Selangor.

Kalau kita mahu analisis lebih jauh, tindak-tanduk Dr Hassan Ali ini seolah-olah tidak menghormati pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai oleh Khalid Ibrahim. Dan, lebih jauh daripada itu telah melampaui presiden PAS sendiri.

Pada saya, tidak ada salahnya untuk membela Melayu-Islam kerana telah jelas termaktub dalam Perlembagaan, tetapi, apabila kita bertindak dan berbicara secara vokal atas dasar kepentingan bangsa atau kaum, PAS dilihat mengutamakan bangsa daripada Islam. Sedangkan PAS harus bergerak atas dasar Islam - kebenaran dan keadilan, baik keadilan spritual atau secara universal. PAS harus dan sentiasa perlu dilihat berbeza apabila bercakap dan bertindak daripada amalan UMNO yang rasis.

Apabila tindak-tanduk seumpama Dr Hassan Ali dan gengnya ini (saya tidak pertikai kelimuan dan personalitinya, tetapi mempertikai ijtihad politik peribadinya) GAGAL dikawal atau ditangani oleh pimpinan PUSAT, dan tentunya akan menyentuh langsung krebiliti Presiden PAS, memperlihatkan mesej jelas kepada para simpatisan PR termasuk bukan Melayu bahawa PAS:

a) Slogan PAS FOR ALL hanya retorik. Kalau betuk tidak retorik, mana dia pemimpin PAS yang tekal dalam misi perkukuh PR umpama Husam dan lain-lain. Sepatutnya mereka diberi jawatankuasa khas atau misi khas. Mereka ini dilihat terpinggir setelah selesainya muktamar yang lalu. Jangan sekali-kali anggap rakyat terbanyak TIDAK MENILAI wahai Tuan Presiden!

b) PAS seolah-olah digambarkan sebagai satu organisasi politik yang sukar artikulat dengan arus perdana gagasan politik baru yang PAS sendiri terlibat di dalamnya. Imej yang terpapar sukar bekerjasama, gopoh dalam strategi berkaitan penguatkuasaan peraturan-peraturan keagamaan (sehingga ada melabelkan Pemuda PAS sebagai Taliban), tidak memahami asas kemenangan PAS dan PR dalam PRU12 yang lalu, sengaja memperbesar isu ulamak-profesional, dan akhirnya kecnderungan yang kuat ke arah "UG" (walau berkali-kali dinafikan - namun rakyat menilai bukan pada kata-kata tetapi pada tindakan - ini berkait dengan persepsi!).

c) PAS dilihat masih terperangkap dengan ideologi pertama. Maksud saya ialah PAS lahir daripada sanggahan golongan agama dalam UMNO yang protes atas kecenderungan kuat UMNO terhadap bangsa dan kemajuan falsafah barat. Jiwa bersentimenkan "Melayu" (bangsa) kadang masih terpendam dalam tokoh-tokoh lama dalam pimpinan PAS Pusat. Masalahnya ialah pimpinan ini atau personaliti ini akan dilema, terumbang-ambing, dan gagal untuk menetapkan hala tuju PAS dalam situasi terkini, iaitu dalam situasi sokongan yang membuak daripada bukan Melayu. Mereka seolah-olah dikejar bayang, seperti yang dihantui oleh UMNO bahawa bukan Melayu akan mendominasi politik nasional Malaysia! Jadi, kalau boleh saya simpulkan, ialah wujud jurang tentang wawasan, misi, dan strategi antara ulama lama dengan tokoh baru (ulama dan profesional) tentang pendekatan apa yang terbaik untuk menangani permasalahan PAS dalam menghadapi sokongan bukan Melayu. CONTOH YANG AGAK JELAS IALAH PAS MASIH BERDOLAK-DALIK DALAM MENYERAP JAWATANKUASA KELAB PENYOKONG PAS (BUKAN MELAYU) UNTUK DISERAP SEBAGAI SAYAP ATAU DEWAN PAS! Intelektual PAS harus merungkaikan ini.

Rumusan

Saya secara peribadi, yang mengambil pendirian menyokong PAS dan PR, bersetuju dengan usaha mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat dalam menangani respons keras Nik Aziz.

Walaupun, secara imbas, blogger hardcore PAS atau penyokong PR seolah-olah tidak menerima usaha ini atau menganggap usaha yang tidak serius, umpama Pak Bakaq, al Banjar Online, Tulang Besi, Kelab Greenboc (sekadar beberapa nama, dan yang lainnya) namun, sekurang-kurangnya, tindakan menyuntik penawar telah bermula.

Dan kini nampaknya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta ajknya perlu bekerja keras. Siasatannya wajib profesional dan tanpa memilih bulu. Hasil siasatan inilah yang menentukan PAS akan terawat atau tidak. Dr Hassan belum bersalah selagi keputusan bersalah ditentukan!

Artikel berkaitan untu bacaan:

i. Nik Aziz berjaya hantar mesej 'pemimpin bermasalah' (http://www.malaysiakini.com/news/116253)

ii. Lembaga Disiplin PAS bersidang esok. (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=23045&Itemid=1)

Satu yang inginkan ialah PAS berubah dan tunjukkan bahawa PAS adalah DINAMIK dalam menentukan hala tujunya tanpa mengorbankan dasarnya.

Simpang 4, AS.


No comments:

Post a Comment