21 November, 2009

Reaksi 2: Kekinian, PAS dan Persepsi [ Latar Belakang ]

Reaksi 2: Kekinian, PAS dan Persepsi [ Latar Belakang ]

Latar Belakang

Apabila saya sambil secara santai berinteraksi dengan kekawan tentang arus kebangkitan politik mutakhir Malaysia - kekawan ini pula terdiri pelbagai bangsa, sekurang-kurangnya Cina, dan India - saya boleh membuat kesimpulan:

a. Pengenalan politik tidak seharus lagi berdasarkan kaum.
b. Setiap tindakan politik haruslah berdasarkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan.
c. Kunci kestabilan politik Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan sosioekonomi orang Melayu sebagai penduduk teras Malaysia.

Sembang-sembang ini juga membawa beberapa signifikasi tertentu:

i. Tentangan terhadap teori kerajaan Theokrasi, kalau dulu amat ditentang oleh DAP khususnya pengerusinya, Karpal Singh, mulai lunak.
ii. Penduduk bukan Melayu mulai memahami dan mereka mula beradaptasi dengan politik PAS.

Secara ringkasnya, kalau boleh saya membuat analogi dan generalisasi, bahawa gagasan politik yang cuba dijayakan oleh Anwar Ibrahim mulai mendapat tempat dalam kalangan generasi pertengahan dan muda.

Situasi Terkini UMNO/ UBN

Kalau menelaah politik UMNO kini, pemimpin mereka masih terkial-kial untuk mencari jalan keluar daripada perangkap gua gelap yang sebenarnya hasil daripada ciptaan mereka sendiri.

Pak Lah yang dikatakan menjadi penyumbang utama kekalahan memalukan UBN dalam PRU12 telah pun berjaya diasak keluar daripada kerusi empuk Putrajaya. Kini, Najib yang mengemudikan UBN dan negara.

Kepimpinan Najib sedang diuji sebenarnya. Sebenarnya terlalu banyak hal yang perlu diruskan oleh Najib - dari soal pengurusan ekonomisehingga memperkukuh parti-parti komponennya - MIC dan terkini MCA. MCA kini yang didakwa oleh presidennya dalam proses perekayasaan, namun pada hakikatnya sedang berhadapan dengan jalan mati dan "mendalamkan kuburnya sendiri".

Yang terkini, Najib rasanya sedang diancam kegelisahan yang kritikal akibat pendedahan RPK melalu 5 siri temu bualnya dengan P.Bala. Bala sedang menyediakan ramuan racun untuk Najib. Bukan sahaja menyangkut isteri tercintanya, Rosmah, tetapi mula menyeret sama adik korporatnya, Nazir.

Dalam keadaan begini, sebenarnya, Najib mudah hilang fokus khususnya dalam "grand design"nya untuk merampas Selangor dan Kedah daripada Pakatan Rakyat.

Memahami Senario Engagement dengan UMNO

Ulasan santai ini saya sumberkan daripada "rakaman audio Us Nasha" (rakaman 2) yang dipostingkan oleh Tulang Besi.

Kepada saudara Tulang Besi, sekalung tahniah dihulurkan, kerana dengan pendedahan ini, membolehkan pendokong PAS, dan PR dapat memahami perkara sebenar soal "engagement" ini, dan masing-masing bebas untuk membuat interpretasi masing-masing.

Interpretasi Saya:

Saya agak hairan apabila AJK PAS Pusat bermesyuarat di Kota Bharu sejurus selesainya PRU12, dan ketika ketiga-tiga parti PAS, PKR, dan DAP sedang begelut dengan perasaan terkejut dengan kemenangan yang mereka peroleh serta terkial-kial dalam membentuk kerajaan negeri di Kedah, Perak, dan Selangor, boleh timbul idea untuk MERUNDINGI UMNO.

PAS ketika ini, sebenarnya masih terikat dan perjanjian Pakatan Rakyat. Nampak PAS begitu tergesa-gesa dalam mempertimbang sesuatu tindakan, yang kesannya juga tidak TERJANGKA.

Yang menghairankan lagi ialah keputusan yang dibuat itu tanpa merujuk kepada TGNA sebagai Mursyidul Am. Dikatakan, TGNA tiada dalam mesyuarat sepenting itu, dan hanya dimaklumi kemudian.

Harus dimaklumi bahawa wujud perbezaan yang jelas antara hadir dalam mesyuarat dengan dimaklumkan kemudian. Apabila dimaklumi kemudian, sedangkan keputusan telah pun diambil, apakah yang mampu dilakukan oleh beliau, kalau beliau tidak bersetuju. Secara logiknya, tidak munasabah untuk TGNA untuk memberi nasihat supaya dibatalkan keputusan tersebut.

Yang paling utama, ialah TGNA akan dapat berbahas dengan panjang lebar akan pro dan kontranya, jika beliau ada dalam mesyuarat tersebut.

Yang boleh dipersoalkan ialah mengapa TGHH tidak menangguhkan dulu mesyuarat itu dan diadakan ketika TGNA boleh hadir dalam mesyuarat tersebut.

Saya begitu musykil. Hal ini kerana apabila saya meneliti penjelasan pembelaan diri Ustaz Nasha ketika pertemuan dengan para blogger tersebut (rujuk rakaman ucapan ustaz Nasha), tiada sepatah pun kata atau ayat yang menyebut tentang TGNA.

Jadi, kalau boleh saya membuat kesimpulan bahawa tindakan-tindakan Presiden dan gengnya dalam merealisasikan rundingannya itu tanpa pengetahuan TGNA atau dimaklumi selepas sesuatu tindakan telah pun selesai. Secara dasarnya, ketiadaan TGNA tidak menjadi masalah kerana Dr Haron Din sebagai Timbalan Mursyidul Am, boleh bertindak mewakili beliau.

Namun, jelas, daripada penerangan Ustaz Nasha, bahawa baru selepas sebulan tertubuhnya kerajaan negeri PR khususnya di Selangor dan Perak, Dr Haron Din terdesak membentangkan kerja dasar "Tahaluf Siyasi" dalam konteks PR. Apa yang saya fahami, Dr Haron Din, merumuskan bahawa rundingan dengan UMNO perlu diadakan berdasarkan premis, "APA YANG TIDAK ADA PADA PAS ADA PADA UMNO, APA YANG TIADA PADA UMNO ADA PADA PAS".

Ini maknanya Dr Haron Din sebagai Timbalan Mursyidul Am CENDERUNG ke arah "engagement" dengan UMNO. Pendirian ini , saya rasa amat jelas berbeza dengan pendirian TGNA.

Jadi, dalam keadaan Dr Haron Din yang berpendiriannya telah memihak, saya sangsi bahawa Dr Haron Din akan memberi penjelasan yang terperinci kepada TGNA itu pun sekiranya diminta oleh TGNA.

Seperkara lagi, Ustaz Nasha, Dr Hassan Ali, dan Mustapha Ali, begitu terdesak untuk mempertahan diri apabila beliau diserang yang digambarkan seolah-olah geng ini telah bertindak secara tanpa mandat dan telah dikambing-hitamkan. Kedua, penjelasan ini dibuat untuk menolak tohmahan yang didakwanya bahawa Presiden dan gengnya akan "masuk UMNO". Begitu naif pemahaman ustaz Nasha. Yang dipersoalkan ialah bukan masuk UMNO, bukan membawa PAS masuk UMNO. Yang dipersoalkan ialah mengapa perlu berunding dengan UMNO untuk membentuk kerajaan campuran sedangkan PAS masih terikat dengan komitmen bersama dengan PKR dan DAP?

Untuk semata-mata menyelamatkan diri, ustaz Nasha mendedahkan seluruh organisasi PAS untuk dihakimi oleh bukan sahaja oleh ahli PAS, penyokong PR, dan musuh-musuh politik PR. Bayangkan betapa kesannya kepada survival parti, namun di sebalik itu, ini merupakan suatu hikmah. Barang kali, ini permulaan ke arah pembersihan!

Dengan pemahaman ustaz Nasha sebagai mewakili kelompok pemimpin PAS yang cenderung kepada keperluan "engagement"yang tak dapat memahami apa yang tersirat di sebalik tentangan TGNA terhadap idea ini maka tidak hairanlah mereka masih cenderung ke arah itu, dan kesan buruknya ialah komitmen untuk memperkukuh PR pada peringkat kerajaan negeri dan peringkat pusat menjadi longgar dan mudah rapuh. Malahan, lebih daripada seperti wujud perasaan tidak senang terhadap pemimpin-pemimpin PAS yang cenderung ke arah memperkukuh PR demi survival PAS di persada politik nasional, yang mereka istilahkan sebagai kumpulan erdogan.

Tunggu reaksi 3, motivasi sebalik kecenderungan engagement

Salak Tinggi, Selangor, 8.45pm

No comments:

Post a Comment