Semuanya bermula sejurus selepas SPRM memasuki PMBK, Syed Azidi atau Blogger Kickdeffela, ditamatkan kontraknya ( 10 November 2009 ) serta merta oleh PMBK sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK.
Dalam ulasan ini, saya akan merujuk kepada blog-blog tertentu, iaitu blog Syed Azidi sendiri, blog Saynotomunafiqeen (Pemburu Syahid), dan blog Perisik Rakyat.
Latar cerita sebenar saya tidak ketahui, Syed Azidi tidak saya kenal, Pemburu Syahid tidak saya kenal, Perisik Rakyat tidak saya kenal, begitu juga Ariffahmi, dan begitu juga Husam.
Saya akan ulas mengikut perspektif saya berdasarkan bacaan saya terhadap posting ketiga-tiga blog tersebut dan blog lain berkaitan isu ini. Tentang Husam pula, saya akan gunakan naluri peribadi saya, selain weblognnya, Husam Musa’08.
Perkara Asas
Perkara asas yang perlu diakui ialah dengar dan teliti apa yang dikatakannya bukan melihat pada orangnya. Hatta jika orang itu orang buta, kalau yang diperkatakannya adalah perkara yang baik, kita seharusnya menghargai dan diambil perhatian. Ini ajaran Nabi kita. Ingat cerita Si Hitam, Bilal bin Rabah.
Menurut Syed Azidi, sejak dia memulakan tugasnya di perbadanan tersebut, dia telah dimaklumkan akan ketidaksenang-hatian CEO perbadanan itu. Apa yang fahami, Syed Azidi dilantik sebagai Pengarah Perhubungan di sini dengan bertanggung jawab terus kepada Husam Musa sebagai Exco. Maknanya, beliau tidak tertakluk kepada CEO perbadanan ini.
Sengketa peribadi antara Syed Azidi dan CEO, Abdul Ariffahmi bin Ab Rahman, menantu TGNA tidaklah diketahui. Cuma mereka berdua sahaja yang tahu. Ketidakpuashatian Ariffahmi terhadap Syed Azidi mungkin tentang prestasi kerja, sikapnya, atau pemikirannya (atau ideologi), hanya Ariffahmi sahaja yang tahu. Begitu juga ketidakpuashatian Syed Azidi terhadap CEO ini, hanya Syed Azidi yang tahu.
Namun, apabila Syed Azidi ditamatkan kontrak serta merta dan dalam pengetahuan Pengerusi Perbadanan, TGNA sebagai MB, saya dapat mencium bahawa persengketaan ini adalah serius dan tentang sesuatu yang juga serius. Serius maksudnya mampu merosakkan PAS sebagai sebuah kerajaan, sebagai sebuah parti, dan menjejaskan reputasi MB (mentuanya sendiri).
Ariffahmi Dari Sudut Syed Azidi
Insiden yang membongkar isu-isu dalaman PMBK yang khususnya berlegar soal Ariifahmi ialah isu tajaan haji kepada TGNA. Pada awalnya TGNA bersetuju, tetapi setelah tajaan ini menjadi isu yang terkait juga soal hadiah dan rasuah maka TGNA membatalkan hasrat tersebut.
Bermula dari sini, Syed Azidi melalui blognya mendedahkan beberapa tindakan yang diambil oleh Ariffahmi boleh menjejaskan reputasi PMBK dan TGNA sendiri selaku Pengerusi PMBK, dan sebagai mentuanya. Boleh rujuk di sini.
Yang terbaru ialah bagaimana PMBK mengendalikan Kifalah Sdn Bhd dalam pembayaran pampasan Skim Takaful Kifalah untuk warga tua dan OKU. Kenapa operasi pembayaran itu tersekat-sekat, juga didedahkan dalam blognya.
Seingat saya, skim takaful ini dirintiskan oleh Husam, dan pada awalnya diselaraskan oleh Sarifudin Nasution. Kemudian, apabila Sarifudin diaktifkan semula dalam PKR oleh Anwar Ibrahim, skim ini diuruskan oleh pihak lain. Seingat saya, MSO pernah mengulas tentang kelembapan dan rasa tidak puas hati pihak pimpinan tempatan terhadap pengendalian pembayaran pampasan takaful ini.
Saya tidak berniat untuk mengupas satu persatu, namun, apa yang dapat saya rumuskan, ialah:
a) Ariffahmi Sebagai CEO PMBK, Sebagai Menantu TGNA (MB dan Pengerusi PMBK)
i) Secara prinsipnya, pelantikan ini menyalahi moral dan mudah menjadi isu.
ii) Barangkali kerana disahkan dan dipersetujui oleh jemaah exco maka TGNA menerima pelantikan tersebut.
iii) Barangkali, pada pandangan (naluri) TGNA, pengurusan PMBK di bawah menantunya tidak akan timbul soal penyelewengan atau salah guna malahan akan lebih berusaha untuk memajukan PMBK.
Saya berasakan jika apa yang dihasratkan oleh bapa mentuanya dapat direalisasikan dengan baik oleh Ariffahmi, permasalahan dan kemelut serta isu terkini yang membelit dirinya tidak akan tercetus - kini SPRM sedang menyiasat dirinya.
Jadi, apa yang dibimbangi telah berlaku. Walaupun, penyiasatan belum selesai, Ariffahmi belum pun diketahui nasibnya sama ada bersih atau tidak, hal ini mahu tidak mahu akan menjadi beban kepada PAS Kelantan.
b) Peranan PAS Kelantan?
Saya dapat mencium daripada posting terbaru Syed Azidi dalam menjawab Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan bahawa Syed Azidi mempersoal sejauh mana PAS Kelantan berperanan dalam menyelesaikan kemelut ini.
Apabila saya mula mengikuti blog Kickdeffela ini, permasalahan ini telah lama berlaku. Dan JIKA BENAR, hal ini berlaku, mengapa PAS Kelantan tidak bertindak?
JIKA TIDAK BENAR, mengapa hal ini dibiarkan berlarutan, dan akhirnya meletus menjadi barah kepada PAS Kelantan. Jika sekiranya, Syed Azidi hanya berhalusinasi, Syed Azidi harus dinasihati, atau jika enggan ditamatkan kontraknya.
Kalau benarlah apa yang didedahkan oleh Syed Azidi, beliau perlu disokong kerana kedudukan Ariffahmi sebagai menantu TGNA berada pada posisi yang kuat dan dipercayai TGNA, tetapi dalam masa yang sama mengambil kesempatan terhadap kepercayaan mentuanya untuk memprojeksi dirinya dan melebarkan unsur-unsur "kronisme" dalam mengurus PMBK.
Akhirnya, jika ini tidak diperbetulkan, icon TGNA dan PAS Kelantan akan terjejas teruk.
c) Serangan Peribadi dan Husam
Kita yang mengaku menjadi ahli PAS dan penyokong setia PAS, jangan pula dalam bertindak menjadi seperti UMNO. UMNO bertindak memenjarakan pelapor rasuah, orang yang didakwa melakukan rasuah tidak disiasat dan dibiarkan bebas.
Keadaan ini sama dengan yang dihadapi oleh Syed Azidi. Saya hanya mengambil satu contoh, bagaimana Pemburu Syahid melabelkan Syed Azidi. Pemburu Syahid tidak memfokuskan kepada isu-isu yang diutarakan oleh Syed Azidi tetapi menggali apa yang tersirat dan menyerang peribadi Syed Azidi. Yang terbaik bagi Pemburu Syahid ialah mencari maklumat benar atau tidak dakwaan Syed Azidi dan cuba membersihkan Ariffahmi.
Melabelkan Syed Azidi dengan pelbagai label, sedangkan hak itu ialah hak Allah, memperlihatkan diri kita yang sebenarnya. Kini zaman faktual dan hujah. Hujah serangan peribadi, hujah lapuk, yang kita perlukan hujah faktual.
Bertindak membersihkan Ariffahmi bermakna menyelamatkan TGNA. Hanya dengan mempersoal motif, tanpa berhujah dengan fakta-fakta, anda sebenarnya tidak menyelamatkan TGNA, tetapi membiarkan TGNA terus terpalit dengan isu menantunya.
Husam dikaitkan dengan tindakan Syed Azidi hanya atas fakta bahawa Syed Azidi bertugas atau bertanggungjawab kepada Husam.
Siapa Husam sebenarnya kepada Pemburu Syahid?
Yang perlu difikirkan ialah mengapa Husam memilih Syed Azidi sebagai Pengarah Perhubungan Korporat PMBK? Mengapa bidang tugasnya dan laporan tugasannya tidak dipertanggungjawabkan kepada Ariffahmi tetapi kepada beliau sendiri?
Saya sendiri tidak dapat membaca mengapa Husam memilih Syed Azidi dan apakah muslihat atau strategi Husam. Namun apabila saya meneliti posting-posting Syed Azidi dalam blognya, saya dapat mengesan bahawa Syed Azidi memiliki kebolehan analisis yang agak tajam dan kritikal. Saya berasakan Husam dapat mengesan kebolehan Syed Azidi ini dan mengeksploitnya, dan tentunya untuk strategi PAS Kelantan. Husam, sebagai seorang pejuang PAS dan anak didik TGNA yang dianggap sebagai bapanya sekali-kali tidak akan membazirkan wang rakyat kalau beliau tidak nampak bahawa Syed Azidi boleh menyumbang untuk PAS Kelantan.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Husam, cuba baca apa yang ditanggapi TGNA tentang Husam. Rujuk di sini.
Dalam konteks, Ariffahmi sebagai CEO PMBK, saya berasakan Husam maklumi apa yang berlaku, namun, apa yang dapat saya rasakan Husam didepani halangan yang kuat untuk menyelesaikannya secara individu dengan TGNA. Saya tidak mahu membuat spekulasi. Jadi, dalam hal Husam tidak berdaya ini, tentulah Husam mengharapkan Badan Perhubungan PAS Kelantan bertindak.
Kelihatannya, PAS Kelantan gagal berperanan, maka saya rasakan Syed Azidi sebagai individu telah mengambil keputusan untuk bertindak, itu pun selepas beliau ditamatkan kontrak.
Akhir Kalam
Kewarasan bermakna menilai sesuatu isu tanpa prejudis dan menilai isu dalam kerangka yang lebih besar dan prinsipal tanpa elemen personal.
Saya ulangi, kalaulah benar seperti yang didedahkan oleh Syed Azidi, walaupun pahit dan pedih maka TGNA perlu dinasihatkan dan diberikan fakta-faktanya sebagai input untuk membantu beliau membuat keputusan. Jangan biarkan TGNA terkatung-katung kesorangan.
TGNA ni tak perlu dinasihat dan diberi input apa-apa pun lagi. Dia tak dengar pun. Dia kan dah terlalu maksum. Persatuan Pondok kelantan pun dia tak layan.
ReplyDeleteTGNA tak mungkin terkatung2 keseorangan. kan dia ada menantu kesayangan.
saya dah rimas dengan caca merba PAS sekarang ni. Kesalahan orang nampak sangat dan busuk sangat. kesalahan sendiri? Tutup Tutup Tutup