Sedikit ironis ialah kejayaan konvensyen tersebut seolah-olah digerhanakan oleh penggunaan AUKU oleh KUIN yang sepenuhnya diurus oleh kerajaan negeri Kedah di bawah PAS dan PR. Sebagai latar belakang, diperturunkan quote ihsan "The Malaysia Insider":
"Lima mahasiswa itu didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana
menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai
menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar
berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan
bangunan tahfiz.
Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima mahasiswa itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.
Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd
Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad
Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.
Tempoh penggantungan empat mahasiswa yang digantung satu semester sudah tamat."
Ustaz Azizan menegaskan, " Akta
Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan tetap dikenakan terhadap
mana-mana mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang melakukan
kesalahan."
Terkini, protes terhadap isu ini oleh mahasiswa masih muncul dan seolah-olah mengasak Ustaz Azizan menyatakan pendirian jelas terhadap isu ini. Bagi segolongan mahasiswa yang komited memperjuangkan pemansuhan AUKU, tindakan MB Kedah ini tidak selaras dengan Tawaran Jingga. Bacaan lanjutnya, di sini.
Saya sedikit keliru dengan sikap MB Kedah ini:
a) Apakah pihak pengurusan KUIN iaitu Rektornya memahami dan mendokong penuh Tawaran-tawaran Jingga dan kesepakatan PR atas isu AUKU?
b) Apakah sikap berkecuali Ustaz Azizan ini menandakan ada halangan-halangan tertentu yang akan menimpa KUIN sekiranya beliau cuba campur tangan? Hal ini memandangkan pengiktirafan akademik dan kursus atau program masih tertakluk di bawah KPM (kerajaan Pusat). KUIN juga sedang dalam proses menyiapkan kampus induknya di Kuala Ketil, Kedah.
c) Adakah MB Kedah ini tidak menyedari bahawa gerakan mahasiswa ini merupakan sebahagian kuasa generasi baru yang rata-ratanya menyandarkan harapan mereka kepada Pakatan rakyat?
Perlu kita sedari kita sebenarnya diambang PRU13, dan isu-isu yang mengganggu PR dan yang akhirnya memberikan peluru secara sengaja kepada pihak UBN seharusnya diminimumkan. Isu sebegini seharusnya diurus dengan kepala dingin. Membuka ruang perbincangan dan mencari penyelesaian yang memuaskan semua pihak, pada hemat saya, satu tindakan yang terpuji. Tidak silap saya, Pemuda PAS telah menyuarakan rasa tidak senang mereka dengan cara Ustaz Azizan mengendalikan isu ini.
Didoakan agar isu ini dapat berakhir segera!
Simpang 4, AS.
No comments:
Post a Comment