29 February, 2012

Krisis PAS Kedah: Isu Kepimpinan, Isu Dasar atau Isu Peribadi?

Salam. Saya terpanggil untuk menyinggung isu ini atas dasar saya sebagai pemerhati politik Kedah di bawah Pakatan Rakyat. Saya begitu teruja untuk menulas dari sisi pandangan peribadi saya kerana wujud dua pertentangan pandangan tentang isu ini. Pendapat Ustaz Harun Taib sebagai ketua Dewan ulamak PAS bahawa isu ini kecil dan dapat diselesaikan dengan mudah, sedangkan pandangan SUA PAS, cikgu Mustapa dan Naib Presiden, Salehudin, isu ini adalah serius.

Dalam sidang media Datuk Phahrolrazi hari ini yang boleh diakses dalam Sinaronline, Malaysiacronicle, Malaysiakini, Datuk Phahrolrazi Zawawi (DPZ) sebagai exco kanan, menegaskan bahawa tiada komplot untuk menggulingkan MB, tiada kaitan dengan kumpulan erdogan atau anwarinas. Mengikut DPZ, isu dasar ialah beliau tidak lagi boleh bekerjasama dengan Us Azizan sebagai MB kerana perbezaan pandangan, pendapat tentang cara atau dasar dalam mentadbir kerajaan negeri.

Isu Kontrak

Dalam blog MSO, antara isu yang dipertikaikan ialah keputusan MB tentang kontrak maintenance jalan yang anggarannya berjumlah 5 juta (setengah sumber mengatakan 50 juta. MSO juga memetik dari sumber tertentu. Persoalan yang timbul ialah siapakah yang mendapat kontrak ini dan adakah kontrak ini diperolehi oleh pihak tersebut melalui runding terus atau tender terbuka? Jika isu ini benar-benar wujud dan berlaku, kita boleh bertanya lagi siapakah yang perlu mengeluarkan surat tawaran kontrak tersebut? Bukankah bidang tentang jalan dan kemudahan asas terletak di bawah portfolio DPZ.

Dalam isu pemberian kontrak ini, Mahfuz Omar pernah menarik diri daripada menduduki kerusi lembaga pengarah salah satu GLC kerana pemberian kontrak ini.

Sehubungan dengan isu kontrak ini, kita boleh bertanya:

a)  Siapakah yang menentukan syarikat atau individu yang mendapat kontrak ini?
b)  Proses tender - terbuka atau anugerah (runding terus)?
c)  Adakah keputusan-keputusan soal pengisian dasar, contohnya kontrak, mengikut keputusan dalam mesyuarat exco atau pihak exco hanya menjadi rubber stamp?
d)  Berpandukan maklumat yang dipetik oleh MSO itu, adakah kontrak-kontrak sebelumnya selama 4 tahun, siapakah yang mendapat manafaatnya dan apakah prosesnya?

Sistem Penyampaian Perkhidmatan di DUN

Sesuatu yang pihak di luar Kedah tidak menyedarinya, adakah kemudahan-kemudahan asas seperti pembinaan titi dan jalan tar, yang di bawah selenggaraan kerajaan negeri sama rata pengagihannya antara kawasan DUN . Cakap-cakap kedai kopi dalam kalangan wakil-wakil komuniti (MKK) antara kawasan DUN menunjukkan wujud perbezaan yang agak besar. Saya ambil contoh, DUN Pangkalan Kundor, MKK begitu resah dan tidak puas hati tentang tidak turunnya projek-projek yang telah pun dihantar ke pusat perkhidmatan DUN.

Selayang pandang, menampakkan bahawaYB bagi kawasan DUN tertentu begitu kurangnya peratus penyelesaian aduan atau permintaan di kawasan DUN tertentu, dan akibatnya YB di kawasan itulah yang dituduh tidak berinisiatif mencari dana untuk memenuhi permintaan dari rakyat. Jika ini yang terjadi, tentulah sokongan terhadap YB kawasan tersebut akan terjejas.

Sehubungan itu, kita perlu bertanya, sistem penyampaian kerajaan negeri yang lemah di kawasan-kawasan DUN tertentu, berpunca daripada YB yang tidak berinisiatif atau halangan daripada pihak-pihak tertentu. Harus diingat, dalam sesuatu tindakan kerajaan negeri, akhirnya bergantung kepada persetujuan pucuk pimpinan atas, MB.

Kerangka Dasar Kerajaan Negeri

Kita harus juga melihat isu yang lebih mendasar. Kerajaan Kedah adalah kerajaan PR. Kerajaan PR harus dan semestinya bergerak dalam kerangka manifesto Pakatan Rakyat dan pemenuhan janji-janji PR yang ditawarkan dalam PRU12.

Majlis Pimpinan Pusat PR telah merangka satu dasar bersama yang telah pun dizahirkan dalam bentuk satu dokumen, BUKU JINGGA (BJ).

Soalan seterusnya, adakah kerajaan PR Kedah bergerak berasaskan BJ? Soal bagaimana untuk memenuhi BJ di peringkat negeri adalah kreativiti pimpinan kerajaan negeri masing, tetapi setiap kerajaan PR mesti tunduk pada BJ.

Satu contoh jelas, bagaimanakah MB Kedah mengurus isu KUIN dalam soal penggantungan mahasiswa KUIN yang berdemo memprotes pengambil-alihan premis tahfiz, agak jelas sikap dan pendirian MB Kedah terhadap AUKU. Malahan, pengkritik beliau dalam isu ini diherdik dengan kasar.

Untuk bahagian pertama ulasan saya ini, saya akhiri dengan kenyataan berikut bahawa selami dulu isu ini sedalam-dalamnya, sebelum kita merumuskan sesuatu terhadap individu yang berbeza pendapat. Penentangan daripada pihak bawahan (exco) terhadap pimpinan atasan (MB) seolah-olah secara automatik sebagai usaha merampas kuasa, gila kuasa, dan gila kedudukan.

Bila terluang nanti, saya akan ulas soal  keikhlasan dan isu krisis peribadi dan hubungannya dengan survival parti dan kerajaan negeri.

Simpang 4.

No comments:

Post a Comment