Tuan Guru Haji Hadi (TGHH), selaku Presiden PAS telah meluahkan beberapa perkara yang selama ini menjadi tanda tanya dalam kalangan orang parti atau rakyat tentang kedudukan PAS dalam gagasan Pakatan Rakyat. Hal ini terdedah dalam wawancara beliau dengan Harakah, keluaran terbaharu, 10 Julai 2008.
Terluah sudah apa yang terbuku di hati. Saya berasakan sudah tentu terdapat beberapa insiden yang melatari luahan itu.
Saya akan memfokuskan ulasan ini terhadap beberapa perkara yang saya kira penting dan amat signifikan dalam konteks kelangsungan Gagasan Pakatan Rakyat (GPR).
Dalam benak saya tertanya-tanya mengapa luahan ini terpacul keluar dan akan dibaca oleh seluruh masyarakat. Maknanya dengan sengaja membuka “pekung di dada”.Tentu luahan ini akan menimbulkan beberapa kesan yang berentetan bukan sahaja kepada ahli parti tetapi juga kepada rakan-rakan dalam GPR, rakyat terbanyak, dan rakyat yang bersikap berkecuali. Tentunya akan disambut dengan gegak gempita oleh musuh-musuh GPR.
Bagi saya, TGHH terpaksa bercakap, bukan lagi mendiamkan diri atau hibernate. Kerajaan PR telah melampaui 100 hari pemerintahan mereka. Adakah PAS signifikan dalam GPR? Kalau kita teliti, PAS hanya dominan di kelantan dan Kedah sahaja, Pulau Pinang didominasi DAP, Selangor oleh PKR dan DAP, begitu juga di Perak, walaupun Menteri Besarnya daripada PAS, tetapi majoritinya DAP.
Barangkali, TGHH terkesan dengan insiden yang berlaku dalam Perhimpunan PROTES, 6 Julai lalu, dan insiden laporan polis tentang liwat oleh DSAI. Dan yang terbaharu ialah usul Undi Tidak Percaya terhadap kerajaan BN dalam parlimen.
Insiden PROTES, orang PAS mengkritik hebat perhimpunan itu, majoritinya dianggap gagal, dan bukan sahaja gagal malah telah memasukkan unsur-unsur hiburan yang agak melampau. Ahli PAS menganggap PROTES hanya bersifat “carnival”, tiada kesan atau impak kepada BN atau rakyat. Protes dan mesej sejuta rakyat kepada kerajaan BN tentang kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, tidak mengenai sasarannya. Saya simpulkan bahawa ahli PAS tidak setuju tentang lokasi yang tertutup, mereka lebih suka di jalan raya. Mereka tidak berpuas hati tentang atur cara yang seolah-olah seperti PAS mengadakan ceramah, penuh dengan gerai-gerai jualan. Mereka juga protes tentang “konsert” yang seolah-alah penganjur tidak peka dengan jalur perjuangan PAS. Mereka lebih suka “demo”. Bagi mereka demo lebih kuat mendatangkan kesan. Ketidaksetujuan mereka terjelma daripada penarikan diri ahli pemuda dan unit amalnya dari perhimpunan tersebut. Dan ini diperkuat dengan ketidakhadiran Dr Nasharudin yang sepatutnya berceramah bersama dengan DSAI pada sebelah malamnya. Ini menunjukkan penarikan diri itu direstui oleh pihak tertinggi PAS.
Barangkali, insiden PROTES ini menjadi faktor pencetus daripada ketidapuashatian ahli PAS terhadap beberapa perkara atau tindakan atau dasar dalam GPR sejak terbentuknya GPR.
Saya sebagai pemerhati politik dari luar, tidaklah diketahui hal-hal yang menyebabkan TGHH berasa begitu terkilan sehingga terkeluar ungkapan “GPR tidak mempunyai ketua”. Ungkapan ini seolah-olah menafikan peranan DSAI mewakili GPR atau jurucakap GPR. Seluruh kenyataan TGHH termasuk ungkapan yang akan menjadi “duri dalam daging” ini telah “diendorse” oleh pihak tertinggi PAS.
Saya menanggapi hal ini daripada beberapa sudut. Sudut pertama, wujud pergolakan peringkat pimpinan Pemuda yang seolah-olah GPR sering terpinggir dalam beberapa keputusan peringkat nasional. Di Kelantan dan Kedah, mereka tidak mempunyai masalah, kerana PAS dominan. Tetapi di Selangor, dan di Perak, PAS minoriti dalam kerajaan. Di kedua-dua negeri ini, khususnya di Selangor, yang menonjol ialah polisi-polisi yang dipelopori olej PKR dan DAP. Polisi-polisi yang berkaitan dengan keagamaan tidak jelas walaupun hal-hal berkaitan keagamaan diberi kepada PAS. Begitu juga di Perak, hal sedemikian juga berlaku. Ini menggambarkan bahawa perjuangan PAS tidak dapat diterapkan dalam GPR – menggambarkan seolah-olah PKR dan DAP tidak sehaluan dengan PAS. Dan, bagi mereka, insiden PROTES, 6 Julai lalu menjadi bukti kukuh bahawa GPR tidak sensitif dan tidak menghormati jalur-jalur perjuangan PAS. Dalam konteks ini, TGHH sebagai presiden harus bersuara. Mendiamkan diri bermakna dianggap bersetuju, sedangkan muktamar tak lama lagi akan berlangsung. Keresahan itu harus ditangani.
Sudut kedua, soal mengepalai GPR. Seingat saya, ketiga-tiga parti telah bersetuju memperakukan DSAI menjadi ketua atau sekurang-kurangnya penyelaras atau jurucakap GPR. Dalam konteks ini, di peringkat nasional, DSAI nampaknya lebih tertonjol, dan menenggelami tokoh-tokoh lain termasuk TGHH. DSAI telah dengan konsisten mempelopori usaha menarik YB BN menyeberang ke GPR dalam usaha mengambil alih kerajaan. Setahu saya, TGNA memberi lampu hijaunya terhadap usaha ini, dan tentunya dengan peringatan-peringatan tertentu. Mestilah akan timbul pro dan kontra tentang tindakan politik, khususnya jika ditinjau dari sudut moral politik.
Tentang hal siapa mengepalai GPR ini, saya berpendirian bahawa GPR sedar bahawa yang paling layak memimpin ialah DSAI. Saya melihat bahawa GPK akur dengan fakta berikut:
Pertama, pengalaman DSAI dalam bidang eksekutif peringkat pusat sebagai menteri (fotpolio kanan – pendidikan dan kewangan) dan TPM.
Kedua, pengalamannya dari sudut pengurusan organisasi, kepartian.
Ketiga, ketokohannya dalam erena keantarabangsaan ( Timur, Barat dan Dunia Arab ).
Keempat, Kewibawaannya dalam bidang keintelektualan dalam konteks Islam, Barat, dan ketamadunan.
Kelima, komitmen yang konsisten dalam membela masyarakat terbanyak.
Namun, mengapakah TGHH sampai mengeluarkan kata-kata bahawa “tiada ketua dalam GPR”? Barangkali, yang dimaksudkan ialah ketiga-tiga parti itu memiliki kedudukan yang sama taraf. Maksud TGHH apabila DSAI menjadi “ketua” tidak bermakna PKR boleh memonopoli atau memaksakan keputusan-keputusan dari jalur PKR ke atas PAS atau DAP. Masing-masing parti mempunyai hak untuk menolak, atau tidak bersetuju. DSAI lebih bertindak sebagai “moderator”. TGHH menghantar isyarat bahawa setiap keputusan harus dicapai secara konsensus.
Bagimana pula dengan situasi politik Malaysia terkini? Pada saya jelas bahawa BN dalam keadaan yang cukup tertekan. Kemaraan GPR seolah-olah tidak dapat disekat lagi. Situasi politik di Sarawak dan Sabah yang menyumbangkan kemenangan kepada BN sedang bergolak hebat. Jika benar dakwaan bahawa YB-YB dari sana sedang bersedia untuk menyeberang bila-bila masa, Putra sedang menunggu masa untuk rebah. Lalu, apakah caranya untuk sekurang-kurangnya memperlahankan momentum ini? Sedia maklum bahawa GPR terbentuk dengan ketokohan DSAI, maka sesuatu perlu dilakukan untuk menggugat perhatian dan fokus DSAI. Kerana hal demikianlah, hal “liwat” diulang tayang semula.
Apakah kesan aduan liwat ini terhadap GPR? Setakat ini, peluru yang dilepaskan oleh BN melalui tembakan “liwat” telah membahang GPR.
Dalam keadaan DSAI berhempas pulas mempertahan reputasinya, sepatutnya atau semestinya beliau mendapat dukungan kuat GPR. Berdiri teguh di belakang orang dituduh, yang mengikut prinsip, tidak bersalah sebelum dijatuh hukum bersalah bermakna mempertahan integriti GPR. BN bukan hanya bermaksud menyerang DSAI secara individu atau peribadi, tetapi mereka juga menyerang GPR – menggugat atau menguji kekuatan dan kesetiakawanan GPR. Serangan BN itu harus dilihat dari sudut itu. Bagi mereka yang melihat seolah-olah aduan liwat itu semata-mata bersifat peribadi adalah tanggapan yang amat naif.
Bagi mereka yang melihat bahawa masalah pertuduhan DSAI itu sebagai masalah peribadi semata-mata, cubalah membaca dengan teliti ulasan Zulkiflee Bakar dalam Mingguan Malaysia, 13 Julai 2008. Dia secara halus memasukkan jarum beracunnya. Kitalah yang membuka jalannya. Bacalah wawancara TGHH dalam Harakah terbaru, 10 Julai 2008. Selama ini mereka terkial-kial mencari ruang. Kini ruang itu terbuka lebar. Sekali lagi, kita yang membukanya. Saya perturunkan, kata-kata yang membuai rasa itu:
“Sama ada hendak diakui atau tidak, PAS adalah sebuah parti yang besar dan selama ini berdiri dengan kekuatan serta kemampuan sendiri. Sejarah telah membuktikan bagaimana PAS telah berjaya menawan Kelantan dengan cemerlang dan suatu ketika menawan terengganu. PAS berjaya menguasai Kedah dengan mendapat 16 kerusi. Oleh itu, walaupun PAS tidak berada dalam Pakatan Rakyat, PAS akan mampu berdiri dengan sendiri dan sekaligus tidak akan mengelirukan rakyat dengan matlamat perjuangannya. Kalaulah benar PAS hendak memperjuangkan Islam, mereka tidak boleh selama-lamanya berada dalam Pakatan Rakyat. DAP sudah pasti tidak akan membenarkannya manakala PKR pula tentu akan menentang. Dalam membuat apa juga keputusan politiknya, PAS seharusnya meletakkan kepentingan Islam dan orang Melayu sebagai keutamaannya”.
Begitu lunak kata-kata Zulkiflee. Mengapa tiba-tiba Zulkiflee begitu lunak? Hal ini kerana dia sudah dapat menghidu keresahan PAS dalam kedudukannya bersama GPR dan dapat meramal bahawa PAS dan UMNO (baca: amat terdesak) boleh duduk bersama untuk berbincang tentang perpaduan orang Melayu.
Tidak ada salahnya ulasan Zulkiflee yang lembut dan membuai ini. Tetapi, cuba bayangkan kesannya terhadap ahli-ahli PAS yang sedang resah dan tidak puas hati dengan layanan PKR dan DAP dalam GPR. Bagaimana pula tentang tanggapan ahli-ahli PKR dan DAP? Sudah tentu akan timbul tafsiran bahawa PAS sedang mengkhianati GPR.
Saya amat mengharapkan agar setiap pemimpin dalam GPR bermuhasabah. Di bahu andalah setiap rakyat yang mahukan perubahan meletakkan harapan. Hal-hal besar yang menyangkut GPR yang mampu menjejaskan ikatan harus diselesaikan secara keluarga dan pada peringkat pimpinan. Jangan biarkan hal-hal di bawah menghilangkan fokus penting perjuangan. Setiap pimpinan harus turun ke bawah meredakan setiap kegelisahan dengan meletakkan matlamat perjuangan bersama sebagai prioriti. Jangan nanti, anak cucu kita meletakkan kepayahan hidup mereka terhadap tindakan kita hari ini. Sesungguhnya kita sedang berhadapan dengan ujian yang cukup getir.
Akhirnya, izinkan saya perturunkan pesanan DSAI tentang perjuangan: “selalulah berfikir dan bertindak dalam kerangka perjuangan yang lebih besar”. Kepada ahli PAS, cuba fahami benar-benar apa ertinya apabila YB Lim Guan Eng dalam ucapan pertamanya setelah berjaya membentuk kerajaan di Pulau Pinang bahawa beliau akan mencontohi semangat dan falsafah tindakan Umar Abdul Aziz ... Pertimbangkanlah ... Masa ini sesungguhnya masa untuk memperkuat barisan!
Walahualam
No comments:
Post a Comment