12 July, 2008

PROTES: Buangkan Yang Keruh Demi Rakyat

Dapatkah kita menolak hakikat bahawa apabila dinamakan manusia, manusia itu bersifat baru dan lemah, tidak sempurna, terbuka kepada kekhilafan. Yang sempurna ialah Allah s.w.t. Perhimpunan PROTES pada 6 Julai lalu, pada sesetengah pihak adalah perhimpunan yang gagal mencapai matlamat, lebih kepada “Jom Heboh”, “Fun Fair”, “Perhimpunan Suka ria”, dan seumpamanya.

Segalanya berpunca daripada insiden “tunjuk punggung” oleh band underground, Carburetor Dung, oleh penyanyinya, Alak.

Geng Pemuda PAS, dan Unit Amalnya menarik diri. Sebelah malamnya, acara kemuncak, ceramah politik termasuk DSAI dan Ustaz Nasharudin. Tetapi, sesuai dengan penarikan diri PAS dari perhimpunan itu, Ustaz Nasharudin tidak hadir untuk berpidato.

Apabila kita meneliti webblog-webblog alternatif atau yang pro PR, riuh dengan komen masing-masing yang semuanya berkesimpulakan, gagal mencapai matlamat malahan menyalahkan dan menghentam Dr Hatta sebagai Pengerusi Penganjur, dan Hishamudin Rais yang bertanggungjawab terhadap pengisian program.

Wajarkah? Apakah makna di sebalik insiden ini?

Realiti yang harus diterima ialah insiden itu telah berlaku dan jarum jam tidak boleh sekali-kali dipusing kembali. Adakah Dr Hatta mengharapkan insiden itu berlaku? Adakah Hishamudin Rais dengan sengaja mahu tunjuk “punggung” itu berlaku?

Siapakah orangnya Dr Hatta itu? Bukankah dia Bendahari PAS Pusat? Bukankah dia seorang tokoh? Tak usah pandang kepada Hishamudin Rais, dia orang biasa (maaf ye), tetapi cuba renungkan kedudukan dan hierarki Dr Hatta dalam organisasi PAS sendiri. Dan, saya percaya, dalam Muktamar Pas pada Ogos nanti, tentu sekali beliau akan dibelasah teruk. Harapan saya, agar Dr Hatta dapat bersabar dan menerima segala kritikan dengan hati terbuka. Pada saya beliau telah pun memainkan peranannya. Dan, sepatutnya beliau dihormati kerana telah berjaya memastikan program berlangsung sehingga ke majlis puncak (ceramah umum) pada malamnya walaupun tanpa kehadiran wakil PAS. Dapatkah kita baca hatinya?

Dalam Harakahdaily (9 Julai 2008), Dr Hatta telah memohon maaf atas insiden yang berlaku, dan beliau menjelaskan juga bahawa Hishamudin Rais memikul tanggungjawabnya dan menyatakan permohonan maafnya kepada audien. Lalu apakah yang sepatutnya reaksi kita sebagai orang beragama, orang yang bermasyarakat, orang yang berorganisasi, dan sebagai orang yang mendukung prinsip bersahabat?

Yang harus kita sedar sungguh-sungguh, kita terutama ahli PAS ialah kita bukan berada dalam sekelompok kawan-kawan yang sedang berborak atau berbincang di kedai kopi. Kita adalah gabungan parti atau organisasi yang siap untuk bergerak ke Putrajaya.

Setiap daripada kita wajib memberi respons terhadap sesuatu peristiwa sama ada peristiwa yang baik atau peristiwa yang buruk, dengan penuh hati-hati dan bijaksana supaya matlamat bersama dapat dicapai, dan menyelesaikan segala krisis dengan semangat berkeluarga, dan meletakkan “akhlak” sebagai asasnya.

Dalam situasi “goverment in waiting” kita wajib bertindak “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak rosak” bukan cuba untuk membuktikan “aku yang benar” walau apa pun “caranya”. Kita harus mampu bertindak persis seorang “diplomat”. Kita seharusnya belajar mengekang rasa amarah, menyembunyikan emosi marah yang membuak, dan digantikan dengan tindakan atau kata-kata yang tegas tetapi lembut dan tidak menyinggung.

Seperkara lagi ialah kita seharusnya mengalu-alukan rakan-rakan atau yang cuba berjinak-jinak menjadi rakan kita tidak kiralah apa statusnya. Saya mengalu-alukan penjelasan Datuk Husam (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=15685&Itemid=1), yang lebih mengutamakan sudut positifnya tanpa menutup kejanggalan adab itu. Kesalahan boleh ditegur tetapi biar beradab. Mereka boleh dibetulkan kemudian. Kata Husam, lihat pada liriknya – apakah makna tersiratnya, apakah konotasinya? Tetapi berbeza nadanya dengan Ustaz Idris Ahmad (http://idrisahmad.wordpress.com/) seolah-olah gagal seluruhnya perhimpunan PROTES itu.

Begitu juga tentang Hishamudin Rais (http://jordan2jelebu.blogspot.com/), cuba teliti dan renung, salahkah niat dan tindakannya yang meraikan sekelompok masyarakat untuk menyatakan kejengkelannya? Beliau telah dengan jelas memberi garis panduan persembahan. Kita seharusnya membanyakkan kawan, bukan musuh. Mereka harus didekati bukan dimusuhi. Kalau salah, tegurlah dengan beradab, apatah lagi kita pula daripada organisasi yang beragama!

Kita kadang-kadang terlupa siapa kita. Kita selalu terperangkap dengan ego diri. Kita harus sedar, akhirnya rakyat tidak menilai ilmu yang banyak, tetapi akhirnya rakyat menilai akhlaknya. Sebagai pemimpin, akhlak adalah muaranya, ilmu adalah liku-liku sungainya. Berhati-hatilah. Bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin, setiap tindakan harus ada dimensi sosialnya, dimensi agamanya, dimensi falsafahnya, dan dimensi psikologinya. Contohnya jelas, telitilah bagaimana TG Haji Nik Aziz menerajui kerajaan dan rakyatnya.

Seperkara lagi yang timbul dalam benak saya ialah kegagalan segmen-segmen dalam organisasi Pakatan Rakyat melihat dan membaca situasi terkini iaitu suhu politik yang dideritai oleh BN. Kita seolah-olah gagal menafsir situasi genting kini selepas aduan liwat yang dihadap DSAI. Kita juga gagal menafsir apa helahnya apabila Najib dan Musa Hassan mengatur latihan besama Polis dan tentera dalam menangani ketenteramman awam. Latihan bersama ini tidak pernah berlaku sebelum ini sejak peristiwa13 Mei 1969, tentu ada agenda tertentu atau tujuan tertentu.

Pada firasat saya yang daif ini ialah mereka sedang menanti-nanti bila berlakunya reformasi gelombang kedua. Sejurus berlaku reformasi gelombang kedua ini, yang pada hemat saya akan lebih hebat dengan penyertaan ketiga-tiga kaum – Melayu, Cina, dan India, pertembungan antara polis dan tentera akan tercetus. Kekacauan pasti berlaku akibat provokasi. Maka darurat diisytihar. MAGERAN akan mencengkam. Seluruh agenda dan gerakan Pakatan Rakyat akan terhenti dan terpadam setidak-tidaknya sehingga PRU13.

Maknanya demo di jalan-jalan raya wajib dielak.

Jadi, pada hemat saya secara tersirat, pihak penganjur telah pun dapat menafsir situasi genting ini, maka perhimpunan-perhimpunan atau demo seperti PROTES lebih selamat diadakan di tempat tertutup sekiranya kita mahu agenda PR terus hidup.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment