28 November, 2008

Isu Pengguguran Khalid Abdul Samad: Lagi, Lagi Anwar Ibrahim!!!

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hassan telah memukul tukul hakimnya terhadap YB Khalid Abdul Samad, dan Shaari Sungip. Jawatan Khalid Timbalan Pesuruhjaya II PAS selangor telah ditamatkan (baca: dilucutkan), sementara Shaari Sungip diundurkan daripada jawatan Ketua Penerangan PAS Selangor.

Walaupun perlucutan itu merupakan keputusan sebulat suara, namun kedengaran cakap-cakap bahawa Dr Hassan memonopoli kedua-dua dewan atau jawatankuasa tersebut. Jika ini benar, (kalau benar!), perlucutan itu berkait dengan kedudukan dan kuasa Dr Hassan – rasa tercabar atau dicabar (kepanasan?).

Sesuatu yang tidak enak ialah penjelasan Dr Shafie dalam Malaysiakini, 25 November, 2008, punca Khalid dilucutkan kerana kerapatan dirinya dengan DSAI (PKR) dan gagal mewakili kepentingan PAS apabila berdepan dengan PKR. Menurut Dr Shafie lagi, PAS Selangor masih kurang berpuas hati dalam soal peranan PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor dan dalam gabungan Pakatan Rakyat. Dakwanya, kerapatan Khalid denga PKR menyebabkan dirinya sukar menyatakan ketidakpuashatian PAS terhadap PKR dan Kerajaan Negeri Selangor.

Daripada penjelasan Dr Shafie ini menggambarkan Khalid sebagai salah seorang pemimpin tertinggi parti telah gagal memainkan peranan dan kewajipannya dalam mempertahan dan memperkasa kedudukan PAS sebagai rakan gabungan dalam kerajaan PR Selangor.

Khalid juga telah memberi responsnya dalam blognya, bahawa beliau akur dengan perlucutan itu malah beliau sendiri hadir dalam mesyuarat-mesyuarat tentang pemecatannnya itu. Beliau menjelaskan yang puncanya ialah perbezaan pendapat dan tidak sehaluan dengan Dr Hassan. Soal perbezaan tentang apa, tidak pula Khalid jelaskan. Hal ini kerana beliau masih lagi boleh hadir mesyuarat peringkat negeri kerana beliau merupakan Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Khalayak telah termaklum akan kelantangan Khalid dengan hujah-hujah inteletualnya. Kalau boleh saya simpulkan kecenderungan atau jalur pemikiran Khalid:

a) Ingin melihat PAS berfikir dan bertindak secara global, mampu berpolitik peringkat tinggi merentasi sempadan regional atau lokal sesuai dengan arus perubahan rakyat pada PRU12 atau pasca PRU12.

b) Tindakan politik PAS yang mengambil kira sokongan bukan Melayu terhadap PAS.

c) Bertindak dengan mengambil kira atau mempertimbangkan kesan jangka masa panjang, bukan kesan segera yang membawa padah.

d) Bertindak dengan penuh berhemah terutama dalam soal-soal berkaitan dengan pelaksanaan hukum dalam kerajaan negeri yang dikuasai pakatan. Khalid lebih cenderung pelaksanaan secara evolusi dan dakwah.

e) Memperkukuh Pakatan Rakyat kerana pada pandangan Khalid, PAS masih belum mampu lagi bergerak sendirian terutama pada peringkat nasional, berhadapan dengan khalayak perlbagai kaum, dan stigma agama ortodok yang dialami oleh khalayak Pantai Barat.

f) Hasilnya ialah PAS akan diterima baik dan diyakini oleh rakyat pelbagai ras dalam PRU13 nanti.

Saya melihat isu perlucutan ini daripada beberapa sudut, dan kesan.

Pertama, masih ada saki baki golongan yang prejudis terhadap DSAI dan PKR. Saya menyatakan ini kerana kedekatan dan keintiman Khalid dengan DSAI dan PKR yang menjadi sebab pemecatannya.

Saya ingin bertanya adakah dengan keintiman itu telah meleburkan hakikat Khalid sebagai seorang yang berjawatan dalam saf pimpinan PAS negeri dan PAS pusat? Sebagai salah seorang pendokong kuat Gagasan Pakatan Rakyat peringkat nasional tentu Khalid berkewajipan untuk menyelami falsafah perjuangan DSAI dalam konteks pembentukan Agenda Malaysia Baru. Pemahaman ini hanya boleh terjadi sekiranya perhubungan itu berlaku dalam keadaan yang “intim”.

Hal ini, saya rasa dan yakin bahawa Khalid sentiasa sedar bahawa beliau mewakili partinya, bukan mewakili dirinya sendiri. Namun, pada penglihatan orang luar, yang tidak rapat, nampak bahawa Khalid terpesona dengan penampilan individu atau personaliti DSAI – memuja tokoh. Pada saya, Khalid nampak jelas bahawa masa depan PAS buat sementara ini masih bergantung kepada kekuatan DSAI. DSAI mampu merentasi sempadan bangsa sdan ideologi.

Kedua, dengan pelucutan Khalid, bermakna PAS Selangor kehilangan suara yang berperanan sebagai “check and balance” dalam setiap dasar yang dirumuskan oleh PAS negeri dan dalam konteks pentadbiaran kerajaan negeri. PAS mempunyai tiga exco dalam kerajaan negeri Selangor. Ketiadan suara Khalid, PAS akan dapat melihat kesan daripada sudut sehala sahaja. Pada saya, tindakan perlucutan jawatan ini adalah tindakan kurang matang, dan sedikit sebanyak akan menjejaskan PAS Selangor.

Ketiga, pengguguran itu memperlihatkan kelemahan personaliti pimpinan negeri PAS Selangor. Pengguguran ini dilihat sebagai kegagalan seorang ketua untuk mengekspolit kekuatan yang dipunyai oleh anak buahnya. Tindakan yang bijak ialah mengeksploit perbezaan pendapat itu sehingga menghasilkan sintesis atau konsensus yang berimbang. Seorang ketua yang bijaksana harus mempunyai kualiti ini.

Dengan tiadanya Khalid dalam saf pimpinan negeri, dan digantikan dengan penjawat-penjawat yang serasi, dapatkah dielak wujudnya sindrom mengiyakan bagi setiap cadangan dan dasar yang diingini oleh sang ketua? Akan wujudkah perbincangan yang panas? Rasa terhutang budi, rasa malu, dan rasa hormat akan mematikan sikap kritikal. Penjawat ini akan berjiwa kerdil dan tidak bebas.

Keempat, kesan kepada rakan kongsi, PKR dan DAP. Kalau benar seperti yang dilaporkan dalam Malaysiakini, pendapat Dr Shafie, bahawa pemecatan Khalid berkait rapat dengan keintiman hubungan dengan PKR, isu ini telah menyentuh rakan gabungan secara langsung. Maknanya, ada sesuatu yang tidak kena dengan PKR pada pandangan PAS. Keadaan ini mewujudkan keadaan hubungan yang tidak selesa antara PKR dan PAS negeri selangor. Bagi PKR, tindakan pemecatan Khalid menjadi bukti bahawa PAS masih bermain teka-teki dalam mempertahan gabungan. Saya berharap, tidak timbul perasaan sebegini bagi pihak PKR Selangor. Ini lebih kepada masalah dalaman PAS dalam menyerap perbezaan pendapat.

Akhirnya, dalam hal ini, saya tidak membela Khalid. Saya melihat kegagalan PAS Selangor dalam mengeksploit perbezaan pendapat dan kegagalan menggembleng kekuatan tokoh yang tidak sehaluan.

3 comments:

  1. Akum.
    Saya melihat watak, pemikiran dan tindakan yang Dato' Hassan Ali buat di Selangor akan menguatkan kedudukan dan imej dirinya dalam parti, tetapi dalam masa yang sama sebaliknya PAS akan susut sokongan sedikit demi sedikit. Jangan ingat kita sahaja yang pandai.

    ReplyDelete
  2. salam,
    Bagi saya,apa yang Dato Hassan Ali lakukan itu mungkin betul.Ini kerana, PAS dari dahulu selalu melaungkan yang golongan kafir selalu tidak akan bersetuju dgn Islam.
    Sekarang ini,mereka mula bersetekongkol dgn bukan ISlam.Tidak punyai masalah sekiranya ingin untuk berkerjasama tetapi perlukah kita membuka ruang yang lebih kepada golongan ini sehingga mereka berani mempersoalkan hak islam.Barang diingat,PKR banyak bertolak ansur dgn DAP sehingga dilihat polisi mereka banyak berpaksikan pandangan DAP.

    ReplyDelete
  3. salam,
    tulisan saudara helangjagat ada kebenarannya. cuma kurang kemas didalam membuat analisa dan berhujah lantaran kurang maklumat sebenar dan terlalu bergantung kepada sumber yang kelihatan berat sebelah. diharap lebih berhati2 dalam mempercayai tulisan bloggers dimasa yg akan dtg. harap maaf.

    ReplyDelete