26 July, 2008

Menanggapi Pendirian Mohd Sayuti Omar (MSO)

Salam Ukhwah kepada pembaca yang sudi,

MSO tentunya amat gembira. Rasanya, tentu sekali peristiwa ini dirakamnya. Sambil senyum, dan agak sinis, dia berhujah. MSO tentunya lega kerana mukanya dan ideanya telah ditonton oleh seluruh penduduk Malaysia, pada beberapa hari lepas. Mukanya terjongol dalam slot Buletin Utama, TV3, mengulas tentang muzakarah PAS-UMNO. Kita tertanya-tanya mengapa agaknya TV3 memilih dia untuk ditemu ramah? Saya rasa, temu ramah ini bukan dilakukan sembarangan atau tangkap muat je. Saya yakin, penerbit telah meneliti komen-komen atau ulasannya tentang mauduk ini dalam blognya, http://www.msomelayu.blogspot.com/.

Dua tiga perkara yang dapat kita simpulkan dan fikirkan daripada pendapat beliau itu. Dua tiga perkara ini sering bermain-main dalam kepala saya sejak sebelum PRU 12 sehinggalah kini, isu muzakarah.

Baiklah, kita pergi dulu kepada komen-komennya dalam wawancara itu.

Pertama, MSO begitu jelas menyokong muzakarah ini. MSO seolah-olah mengimpikan satu gabungan atau pakatan politik antara PAS-UMNO, atas nama Islam dan Melayu. Bagi dia, gabungan ini jika berlaku bangsa Melayu menjadi bangsa yang kukuh. Alasannya, PAS memperjuang Islam, UMNO memperjuangkan bangsa. Jadi lengkaplah.

Kedua, MSO seperti kecewa dengan pendirian Tok Guru Haji Nik Aziz (TGNA) yang menolak mentah-mentah "pakatan politik" ini. Kalau kita baca dalam blognya, MSO seperti berdebar-debar menunggu keputusan perjumpaan Ahli Majlis Syura PAS berjumpa dan bermesyuarat dengan TGNA di JKR 10. Jantungnya "dub-dab" kerana kesiankan TGNA akan berhempas-pulas mempertahan hujah sedangkan ahli lain menyokong muzakarah. Dia juga khuatir, takut-takut misi utama TGHH, Dr Nasha, Mustapha Ali akan digagalkan oleh TGNA. Akhirnya, dia lega walaupun agak kecewa kerana keputusannya, majlis syura membuat ketetapan menolak muzakarah, menolak "Pakatan Politik", hanya perjumpaan biasa (muhabalah), dan mempertegas sikap "akan tetap bersama Pakatan Rakyat".

Ketiga, dia seolah-olah berkias, tetapi sebenarnya menyindir "orang berbaju merah petak-petak" (Datuk Husam) yang keluar dari lubang tikus "membisik" kepada TGNA sehingga TGNA menolak muzakarah. Bagi, MSO, TGNA begitu naif, lurus, tidak mampu berfikir, dan membiarkan fikirannya ditawan oleh si baju merah kotak-kotak itu. Hebat sungguh Si Husam itu ye. Secara tersirat, MSO tidak begitu "berkenan" dengan tingkah laku orang ini, dan gengnya iaitu Salahudin, Mahfuz, Dr Syed Azman, Dr Hatta, Dr Zulkifli, yang pada MSO seperti melupakan parti yang diwakilinya, dan selalu membuntuti DSAI.

Keempat, MSO tidak begitu positif tentang Pakatan Rakyat (PR) dan DSAI. Pada hemat saya, dalam benak MSO, GR dimonopoli oleh DSAI untuk kepentingan politiknya, dan membiarkan dirinya dikuasai oleh kaum bukan Melayu dan DAP, dan mengesampingkan Islam. PR bukan tanah yang subur untuk memperjuangkan Islam dan Melayu.

Sama-samalah kita fikir-fikirkan ....

Dari serambi sambil bersantai ...

1 comment:

  1. Terima kasih kerana menanggakapi pendirian saya. Tidak payah berfikir panjang mengenai sikap dan prinsip saya. Saya menyokong perjuangan yang baik untuk bangsa dan agama saya. Saya tidak menyokong batang tubuh, kerana batang tubuh manusia boleh berubah. Hari ini saya boleh bersetuju dengan seseorang esok belum tentu lagi. Kalau saya seorang pengikut atau penurut mungkin saya statik dengan seorang tokoh yang boleh memberi makan kepada saya. Tapi itu bukan jenis saya. saya tidak kata Tok Guru naif, malah sebagai ilmuan saya menyanjungi dia, sebab itu saya memanggilnya Tok Guru. Tetapi seorang politik Tok Guru adakalanya berdiri tidak semantap dia sebagai Tok Guru.
    Banyak kalau hendak ditulis dan dicatatkan mengenai kelonggaran atau pun dolak dalih Tok Guru dalam politik. Saya syorkan sdr mendampinginya apa lagi dalam kon teks politik Kelantan. Alhamdulilah saya ada sedikit pengalaman.
    Mengenai interviu dengan tv saya tidak seronok mana, kerana ia sudah biasa bagi saya. Bukan TV3 tetapi TV9... waris TV3.
    Itu saja.... terima kasih.

    ReplyDelete