17 August, 2008

Bingkisan Permatang Pauh

Salam Ukhwah,

Sambil membaca dan meneliti blog demi blog, akhbar-akhbar internet, tak lupa tranungkite, dan blog MSO, fikiran menjadi melayang jauh, dan terngelamun ...

Persoalan yang timbul ialah adakah momentum semangat perubahan PRU12 dapat dipertahan? Adakah gagasan Pakatan Rakyat akan diterima baik di Permatang Pauh (PP)? Adakah keputusan PRK PP (P44) akan menjadi benchmark sejauh mana penerimaan Gagasan Pakatan Rakyat (GPR) merata dalam kalangan rakyat?

Gerak hati saya mengatakan bahawa saya tidak perlu khuatir akan penerimaan GPR dalam kalangan pengundi bukan Melayu. Yang dibimbangi ialah masyarakat Melayu. Telah 50 tahun, UMNO menanam paku besi ke dalam minda Melayu (penyokong dan simpatisan UMNO) bahawa hanya UMNO sahaja yang mampu membela bangsa Melayu dan agama Islam. Hujah ini masih berkesan khasnya pada pengundi veteran dan berumur akhir 40_an. Buktinya jelas pada analisis PRU12. Kalau tidak masakan Perak, PAS hanya mampu meraih 6 kerusi sahaja. Saya teringat akan catatan Ahamd Lutfi Othman, dalam tinjauan sebelum PRU12, pengundi Cina secara jelas meminta ahli politik Melayu dalam PKR dan PAS memantau dan memastikan pengundi Melayu menyokong Pakatan Rakyat. Mereka bimbang, hanya kaum bukan Melayu sahaja yang berubah.

Secara kronologi, kita dapat membaca agenda tersirat pihak BN (UMNO) untuk menyembelih pengaruh dan ketokohan DSAI. Tuduhan Liwat 2 (LWT2) bermotifkan penyembelihan. Dan yang terakhirnya ialah sumpah muhabalah Saiful. Keberanian dan kesanggupan Saiful bersumpah walaupun terkeluar daripada perundangan jenayah Islam sehari sebelum penamaan calon secara jelas bermotif politik-cuba mencari sisa-sisa harapan agar sumpah ini sekurang-kurangnya mampu menjejaskan kredibiliti DSAI.

Pada hemat saya, sumpah ini tidak mendatangkan kesan malah risikonya amat besar kepada BN kepada penyokong tegar GPR. Namun, bagi penyokong atas pagar atau simpatisan DSAI dalam UMNO akan berfikir-fikir akan kebenaran LWT2 ini. Jauh di hati saya agar LWT2 ini dan sumpah Saiful ini hanya setakat menjadi gurauan dalam kalangan pengundi PP.

DSAI sendiri telah menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya 2 cara untuk mengurangkan majoriti DSAI nanti: pertama, meminta pengundi PP tidak keluar mengundi atas alasan DSAI akan menang jua dalam PRK itu. Kedua, membeli undi sekurang-kurang RM500.00 pada sesiapa yang tidak keluar mengundi atau mengundi BN.

Sesungguhnya, akan banyak lagi taktik kotor yang akan digunakan. Terkini ialah Puteri UMNO menuduh penyokong PKR meraba bontot mereka pada hari penamaan calon. Keduanya ialah insiden memukul wartawan. Mereka mendakwa penyokong PKR yang melakukan tindakan agresif itu. Akan banyak lagi, taktik kotor yang akan mereka lakukan.

Sebagai bingkisan awal, saya keberatan untuk meramalkan sejauh mana peluang kemenangan DSAI dalam PRK itu. Yang merisaukan ialah tahap "awareness" jentera Pakatan Rakyat membaca, meramal, dan mencegah taktik-taktik kotor BN nanti. Culaan hendaklah tepat, dan terpenting ialah memantau penyokong, simpatisan GPR tidak terpesong.

Sekian dulu. Akan menyusul bingkisan ke seterusnya.

Nota: Catatan atau rencana khas MSO tentang TDM dan Ibrahim Ali begitu tepat dan memperjelas siapa sebenarnya DSAI. Tahniah!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment