14 August, 2008

Kisah Tepis Tangan: Satu Reaksi

Bagi peminat Blog Merah Tinta MSO, memang ternanti-nanti cacatan pemunya blog ini, Mohd Sayuti Omar tentang sambungan catatan belasungkawa terhadap Allahyarham Saufi Othman ( Saufi Ayahanda) pada 6 Ogos lalu. Pada 11 Ogos lalu MSO menepati janjinya setelah peratus poll mencapai 51% bersetuju agar didedahkan gerangan yang menepis tangan tokoh veteran PAS tersebut. Sebenarnya, adalah hak MSO untuk menulis tentang apa-apa sahaja dalam blognya, dan orang lain (peminat siber) hanya berhak memberi komen sahaja-itupun dalam semangat saling menghormati. Blog adalah milik peribadi dan harus diiringi dengan pertanggungjawaban.

Kisah Tepis Tangan ini, jika diteliti dalam-dalam, amat menarik. Beberapa persoalan boleh timbul. Pertamanya, orang yang dimaksudkan oleh MSO ialah YB Datuk Husam. Dalam keadaan politik terkini, banyak orang mengenali siapa dia Husam, walaupun tidak kenal secara peribadi. Beliau dilihat sebagai penyokong kuat agenda Pakatan Rakyat.

Kedua, saya secara jujur, berharap semasa MSO menggarap catatan ini berada dalam kesedaran yang penuh, dan bukan di bawah pengaruh atau hasrat tertentu. Jauh dari itu, saya amat berharap yang MSO jujur dalam catatan ini. Hal ini kerana catatan ini berkaitan dengan peribadi seseorang yang "bukan biasa" dan tidak menjadi seolah-olah "mendedahkan aib orang lain, yang bagi kita orang Islam wajib menutup aib seseorang di depan umum".

Ketiga, saya secara jujur amat berharap agar saudara Husam dapat menerima pendedahan MSO ini dengan tenang, sabar, dan dengan semangat berterima kasih. Hal ini kerana pada saya, hasrat murni MSO ialah agar saudara Husam boleh membaiki diri, bersikap terbuka terhadap kritikan orang lain, bersangka baik terhadap pengkritik, dan mampu menyerap aspek positif daripada kritikan pedas. Saya sebenarnya, tidak mengenali secara personal saudara Husam, tetapi daripada gambaran media (public figure), dan cakap-cakap rakan-rakan saya yang mengenali saudara Husam menggambarkan saudara Husam mampu menanjak jauh ke hadapan, dan salah seorang pemimpin atasan PAS yang mampu memjadi pemimpin peringkat kebangsaan.

Saya percaya, kalau benar seperti yang diungkapkan oleh MSO, sikap-sikap orang bawahan tentang saudara Husam, akan membantutkan potensi besar dirinya. Ketokohan seseorang bukan hanya terletak pada kekuatan intelektual sahaja tetapi kehebatan sentuhan peribadi apabila berhubung dengan masyarakat, terutama sekali apabila berhadapan dengan seseorang atau kumpulan yang tidak sealiran dengan kita.

Keempat, premis atau konteks nuansa pemikiran MSO ketika beliau menggarap catatan Kisah Tepi Tangan itu. Saya melihat catatan ini lebih berupa kritikan MSO terhadap saudara Husam bermula terbentuknya Pakatan Rakyat sebagai hasil PRU12.

Premis yang saya maksudkan ialah pertamanya, persoalan ketokohan saudara Husam sebagai seorang pemimpin PAS di Kelantan atau sebagai seorang strategis PAS dalam mempertahan PAS Kelantan supaya PAS tetap relevan di Kelantan. Kedua, keterlibatan saudara Husam bersama dengan tokoh-tokoh PAS pusat yang bergerak seiring dengan Pakatan Rakyat dalam menjayakan visi Pakatan Rakyat. Ketiga, isu muzakarah PAS dengan UMNO. Saudara Husam mewakili pemimpin PAS yang tidak senang dengan muzakarah ini dari segi risiko masa depan PAS diperingkat nasional. Sedangkan MSO, sejauh yang saya teliti daripada catatan dalam blognya, dan wawancaranya dengan TV3 berkaitan dengan isu muzakarah, MSO dilihat bersetuju dengan muzakarah ini. Keempat, ketidaksetujuannya dengan pandangan TGNA. Sekurang-kurangnya, empat pendirian TGNA yang tidak disenangi oleh MSO, iaitu ketidakbersetujuan TGNA terhadap muzakarah dengan UMNO, kedua, isu sabotaj orang dalam PR terhadap DSAI sebagai calon PKR di Permatang Pauh, ketiga, penjelasan TGNA dalam soal pelantikan menantunya menerajui salah satu agensi Kerajaan Negeri Kelantan. Keempat, ini hanya jangkaan saya, kehadiran TGNA mewakili PAS dalam penamaan calon DSAI pada 16 Ogos ini di Permatang Pauh.

Dalam semua isu ini, saya dapat mengesan pendirian MSO yang tidak senang terhadap saudara Husam. Ada dua corak. Secara langsung ialah tentang ketokohan dan peribadi saudara Husam. Secara tidak langsung ialah peranannya yang tersembunyi dalam menasihati dan mempengaruhi TGNA dalam isu-isu tertentu. Bagi MSO, TGNA tidak salah, yang salah ialah mengguna pakai nasihat dari lubang tikus.

Saya tidak mahu dilihat membela saudara Husam, tetapi apabila aibnya didedahkan, pendedahan itu dibuat mesti berdasarkan alasan yang kukuh dan niat yang ikhlas. Jadi, supaya catatan saya ini tidak dilihat sebagai seorang penyokong totok saudara Husam dan PR, saya cuba menyelongkar hasrat atau kerangka pemikiran MSO (premis hujahnya). Kalau saya terkhilaf, saya mohon maaf. Yang saya harapkan ialah catatan saya dilihat adil bagi kedua-dua pihak. Lagi pun saudara MSO telah menarik balik Kisah Tepis Tangan ini setelah menerima teguran-teguran daripada pembaca blognya.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment