Dalam Mingguan Malaysia, 24 Ogos 2008, Dr Mohd Asri menulis dalam kolumnya, Pena Mufti, dengan tajuknya, “Permatang Pauh, Islam Makin Jauh”. Baharom Mahusin pula memuatkan analisisnya bertajuk “Berkubur di Kubu Sendiri”.Pada hemat saya, kedua-dua tulisan ini merupakan bahan propaganda BN dalam siri kempen menentang DSAI dalam PRK P44. Kedua-dua tulisan ini perlu diulas kerana ternyata fokus tulisan ini ditujukan kepada pengundi-pengundi di Permatang Pauh (PP), khususnya kepada simpatisan dan pengundi atas pagar. Hasrat tersembunyi kedua-dua penulis ini ialah untuk merasionalisasikan dan meneutralkan kedua-dua golongan pengundi ini yang menjadi penentu siapa yang akan menang nanti.
Kita tahu kedudukan dan ilmu Dr Mohd Asri, namun kolumnya kali ini perlu diberi reaksi kerana jelas beliau cuba menghantar isyarat dan mesej yang boleh mengelirukan pengundi. Saya faham akan niat beliau supaya pengundi-pengundi memilih calon dalam PRK P44 bukan berdasarkan emosi dan taksub kepada parti tetapi kepada calon yang boleh membawa kebaikan kepada umat Islam, “demi masa depan umat Islam”.
Saya rumuskan, Dr Mohd Asri begitu keliru, siapa yang akan diundinya, “barangkali, memilih calon pada musim ini amat meragukan, maka beristikharahlah”. Beliau keliru kerana:
1. Kempen kedua-dua pihak yang bagi beliau tidak berakhlak, tidak mengikut akhlak Islam.
2. Bagi Dr Mohd Asri kedua-dua kempen di PP digerakkan atas dasar dendam kesumat dan fitnah.
3. Di pentas kempen itu terdiri pelakon-pelakon yang mungkin mengadaikan amanah.
4. Kempen-kempen ini didorong oleh “kerusi dan kuasa”.
5. Bagi beliau, kedua-dua pihak BN dan PKR adalah rakus dan ego.
Reaksi dan sedikit komen:
1. Saya ingin bertanya, siapakah yang membudayakan politik adu domba, politik fitnah, politik wang dan rasuah, yang menggunakan seluruh jentera kerajaan dalam kempennya, menggunakan SPR tanpa lunas undang-undang.
2. Pertanyaan lagi, siapakah yang menjunjung semangat demokrasi? Adakah wujud suasana pilihanraya yang penuh demokratik?
3. Siapakah yang memperkotak-katikkan Islam?
Dalam suasana begini, apakah dapat kita harapkan berlaku suatu perjalanan pilihanraya yang bersih, bermoral dan berakhlak. Bolehkah kita persalahkan orang yang dituduh dan diaibkan bertindak mempertahan maruahnya?
Ketika kita didesak dan diasak, dan diaibkan sedemikian rupa serta dituduh tanpa asas dan bukti yang kukuh, apakah tindakan terbaik selain bertawakal kepada Allah s.w.t? Prinsip bertindak dalam misi “amar makruh nahi munkar” pada hemat saya yang cetek ilmu ini terpakai di sini. Jika kita membiarkan tanpa tindakan mempertahan maruah, kita digelar dayus!
Gelanggang politik adalah gelanggang perang dan tempur, bukan gelanggang debat ilmiah, atau arena mempertahan tesis.
Cuba teliti dengan hati yang jernih, dan ikuti perkembangan kempen di PP secara dekat, dan kalau boleh hadir ke lokasi, bukan melihat dari jauh, dari kamar bacaan! Isunya ialah jika sesuatu pihak masuk ke gelanggang kempen dengan penuh tawaduk dan memperjelas dasar-dasar secara tertib dan ilmiah, saya yakin, kempen ini akan berakhlak. Cuba teliti ceramah-ceramah PAS, PKR, DAP, 95% adalah tentang perubahan-perubahan dan dasar-dasar yang ingin “dijual” kepada rakyat – “menjadi pemimpin Melayu-Islam terbaik, mengangkat martabat, menunaikan hak-hak bukan Melayu sejauh dibenar dalam Perlembagaan”, sudah tentu asas dan prinsipnya ialah ISLAM.
Saya kira Dr Mohd Asri masih terkilan dengan keengganan DSAI bermubahalah. Baginya, Saiful telah melakukannya maka DSAI mesti melakukan sama. Pada saya, pendapat tokoh-tokoh ulamak yang pakar tentang perundangan Islam perlu diambil kira. Dr Mohd Asri harus bersikap terbuka, dan meneliti pendapat ulamak-ulamak lain yang tidak sehaluan dengannya. Kita hormat akan ketinggian ilmunya, namun mengambil kira pendapat tokoh-tokoh ilmuan lain, juga salah satu sikap ilmuan yang terpuji, dan amat dituntut oleh Islam..
Satu hal yang juga amat penting ialah sikap kita terhadap politik. Kita seolah-olah memusuhi politik. Kita harus membezakan antara teoritis, dan hal-hal praktikal dalam politik. Saya melihat wujud kecenderungan ini pada Dr Mohd Asri.
Kita berada dalam situasi politik yang tidak Islami, dan hal ini perlu diperbetulkan. Oleh sebab gelanggangnya sedemikian rupa, maka pihak lawan harus menyusun strategi yang sesuai. Maka jika tidak, kita telah kalah sebelum bertanding. Bukankah ikhtiar itu salah tu tuntutan selain berserah kepada Allah s.w.t.
Akhirnya, apabila dianalisis perkembangan budaya hidup dan budaya politik di Malaysia, yang terasnya UMNO, sejak 50 tahun, adakah hidup secara individu, hidup bermasyarakat, dan hidup bernegara berada pada landasan moral dan akhlak (baca: Islam). Saya rasa Dr Mohd Asri tahu jawapannya. Maka, apakah kita reda dengan keadaan itu? Kini, terdapat tawaran daripada pihak lain untuk memperbaiki keadaan itu, dan pihak ini pula lebih cenderung kepada pendekatan Islam, maka apakah sikap kita?
Tentang tulisan Baharom pula, pada saya, dari tajuknya, kita dapat mengesan tujuan, motif, dan mesej yang ingin disampaikannya kepada khalayak pengundi di PP. Saya perturunkan, kesimpulannya:
“Jika mereka memilih Anwar Anwar sebagai Ahli Parlimen PP, orang Melayu di PP dan di luar PP harus bersedia memakai perisai untuk menghadapi pertempuran politik seterusnya – satu senario yang tentunya disukai oleh kawan-kawan Anwar dalam sesetengah parti cauvinis yang anti ketuanan Melayu. Dengan perisai itulah, yang memberatkan perjalanan mereka, orang Melayu bakal menghadapi perang saudara dalam politik yang terus dicirikan dengan kebencian, pertelingkahan yang tidak produktif dan mungkin juga anarkisme.”
Komen dan sanggahan:
1. Baharom ialah editor kanan Utusan Malaysia. Rumusannya jelas menggambarkan polisi akhbar ini terhadap DSAI dan PR.
2. Rumusan Baharom ini jelas membuktikan betapa beliau gagal sama sekali menyelami asas dorongan tsunami politik PRU12.
3. Cuba analisis faktor kekalahan BN dalam PRU12, salah satu faktor utamanya ialah faktor media. Jadi, siapa pendokong media tersebut? Bukankah saudara Baharom salah seorangnya? Jika BN kalah teruk di PP maka saudara Baharom harus mengambil tanggungjawabnya.
4. Betapa memperjelas sikap, falsafah dan motivasi yang sedang dihayati oleh tuannya, BN dan UMNO. Rumusan ini memperjelas sikap prejudis dan cauvanis BN dan UMNO – mendedahkan pekung di dada sendiri.
5. Rumusan beliau juga mendedahkan betapa Baharom memperbodoh pengundi PP dan rakyat Malaysia.
Kepada saudara Baharom, rakyat Malaysia kini sebagai akibat daripada pendidikan, kelas menengah Melayu dan bukan Melayu telah jauh berkembang. Maklumat di hujung jari mereka. Mereka sedar dan faham Perlembagaan Malaysia, kedudukan agama Islam, Hak-hak Istimewa orang Melayu, Budaya Melayu, Bahasa Melayu, dan Hak-hak bukan Melayu.
Siapakah yang sesungguhnya menodai Hak-hak Istimewa orang Melayu, menodai peluang-peluang pendidikan orang Melayu, siapakah yang sewenangnya menggantikan biasiswa untuk orang Melayu dengan pinjaman, siapakah yang menodai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar pendidikan, siapakah yang menodai semangat DEB? Adakah PAS, adakah PKR, atau DAP? Siapakah yang menganggap bantuan kehidupan kepada rakyat sebagai subsidi, tetapi pada masa sama mensedekah berbilion ringgit kepada kroni? Dan banyak lagi senarai ....
Begitu cetek dan bodohkah orang Melayu dan bukan Melayu untuk menyokong parti yang semata-mata akan membawa penderitaan kepada mereka? Adakah mereka begitu naif untuk menilai?
No comments:
Post a Comment