Selamat Menyambut Deepavali, Deepavali Nal Valthukhal
Kita tinggal dulu soal keriuhan dan hiruk-pikuk PAU'08, biarkan mereka terpana, dan ekonomi kian menyuntik racun globalnya!
Tiba-tiba sahaja datang ilham untuk berbicara tentang Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah (KPRK). Barangkali ada sesuatu yang mendesak-desak dari dalam diri. Mungkin ada sesuatu yang terkilan atau tidak puas hati atau rasa sedikit kecewa.
KPRK ditunjangi oleh PAS, dengan diterajui oleh Ustaz Azizan Ab Razak merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah. Ini bermakna apabila kita berbicara tentang KPRK, tentulah secara tidak langsung kita menilai tentang keupayaan PAS mengemudi Kedah.
Kedah adalah salah satu negeri yang jatuh ke tangan PR pada PRU12 selain Kelantan. Kalau diteliti dan dibandingkan, saya rasa, Kedahlah merupakan kerajaan yang dikuasai oleh PR yang paling perlahan momentum perjalanan kerajaannya jika dibandingkan dengan momentum yang berlaku di Perak, Pulau Pinang, dan Selangor. Saya mengecualikan Kelantan kerana Kelantan telah berjaya mengekalkan status quonya.
Kelihatannya KPRK tidak bergerak langsung,sekurang-kurangnya pada pandangan rakyat Kedah. Kalau kita tanya rakyat bawahan atau golongan menengah tentang hala tuju atau dasar pemerintahan KPRK, saya yakin, rakyat terbanyak akan menggelengkan kepala.
Untk berlaku adil, saya cuba menyenaraikan pengumuman-pengumuman yang diwar-warkan oleh KPRK.
Pertama, pemindahan tapak Kompleks Penapisan Minyak yang pada awalnya (semasa BN) terletak di Yan ke beberapa tempat yang tidak melibatkan pengambilan tanah rakyat (kampung dan sawah padi). Rakyat diberitahu yang banyak syarikat sewasta yang berminat. Tindakan ini adalah tindakan terpuji, namun kini senyap dan sunyi.
Kedua, penurunan kadar cukai tanah sekurang-kurangnya 30%. Cukai ini telah dinaikkan semasa BN memerintah. Rakyat menyambut gembira tindakan ini.
Ketiga, penebangan balak di kawasan hutan simpan. Pada awalnya, tindakan atau syor ini mendapat kritikan hebat, namun dapat ditangkis oleh kerajaan negeri. Penebangan balak ini hanya dikhaskan kepada balak-balak yang telah berusia. Dengan penebangan ini, memberi ruang kepada hutan berkembang kembali. Hal ini bermaksud memberi ruang untuk hutan ini pulih dan lebih sihat.
Namun rakyat masih kabur sejauh mana syor ini telah dilaksanakan.
Keempat, yang terkini, ialah menaikkan kuota pemilikan rumah oleh bumiputra kepada 50%. Tahniah sepattutnya diberi kepada KPRK. KPRK harus dapat mencari satu mekanisme untuk merealisasikan kuota ini benar-benar terlaksana dan bagaimana untuk melaksanakan.
Saya juga mendengar khabar, KPRK telah dalam proses melantik wakil-wakil komuniti sebagai mata dan telinga kerajaan dan pada masa sama sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan. Namun persoalannya, adakah semua wakil komuniti telah menerima watikah pelantikan, dan mereka telah diberi taklimat yang cukup tentang mekanisme tugas mereka.
Selain tindakan-tindakan di atas, KPRK seolah-olah sedang memasuki fasa “khalwat” atau “bertapa”.
KPRK harus sedar bahawa inilah kali pertama PAS mendapat peluang memerintah Kedah. Rakyat pelbagai kaum dan golongan sanggup mengambil risiko dalam usaha membentuk kerajaan baru ini.
Mereka juga sedar bahawa mereka akan menempuh kesukaran dalam pelbagai aspek kehidupan khasnya tentang pembangunan prasarana atau mengekalkan tahap “kebolehgunaan” prasarana. Mengekalkan “kebolehgunaan” prasarana ini memerlukan perbelanjaan yang besar, dan di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat. Begitu juga soal pelaburan, rakyat Kedah juga sedar, apabila mereka memilih PR, bermakna mereka memilih untuk hidup susah kerana peruntukan pembangunan untuk Kedah akan dikurangkan oleh Kerajaan Pusat.
Namun begitu, sebagai sebuah kerajaan, KPRK ini mahu tidak mahu terpaksa mencari jalan, walau apa cara sekali pun untuk mengurangkan keperitan rakyat. Mereka harus menggembleng sumber-sumber kerajaan negeri dengan semaksimum mungkin.
Saya rasa dan yakin bahawa rakyat tidak menuntut banyak kerana mereka faham akan kemampuan kerajaan negeri. Walaupun begitu, soal-soal yang menyentuh secara langsung hidup mereka perlu diberi keutamaan.
Contoh yang paling mudah ialah kemudahan prasarana yang dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Perkara-perkara tersebut ialah perkara-perkara dalam kuasa PBT.
Saya ingin fokuskan kepada kemudahan-kemudahan yang terdapat dalam taman-taman perumahan. Sebagai contoh Alor Star. Saya dapat merasakan wujudnya protes warga Alor Star secara senyap akan kegagalan KPRK untuk memastikan tahap kemudahan-kemudahan ini berada dalam keadaan baik. Soal longkang, pemungutan sampah, dan jalan-jalan di taman yang rosak teruk.
Kita mempersoalkan adakah exco ini yang berkuasa ke atas PBT benar-benar serius untuk menangani hal ini atau mereka masih lagi berada dalam “bulan madu” – tidak puas lagi merasai kehangatan keempukan kerusi exco sehingga mereka enggan turun padang. Mereka harus bertindak sekurang-kurangnya mereka turun padang untuk menjelaskan keadaan sebenar atau menjelaskan apakah tindakan lanjut yang telah mereka aturkan. Exco ini atau KPRK harus ingat mereka telah menguasai kerajaan selama tujuah bulan. Rakyat memerhati dan menilai mereka. Suara-suara tidak puas hati telah mula kedengaran! Teman-teman sediskusi pun baik atas pagar, penyokong tegar PAS, penyokong tegar PR, dan para simpatisan menyuarakan hal sama: proaktifkah KPRK? Masih lenakah mereka?
Keadaan ini tidak timbul sekiranya mereka sanggup turun padang dan sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat apa yang sedang berlaku. Akhir-akhir ini, Kompleks PAS Kedah agak sepi. Jarang diadakan ceramah-ceramah semasa. Ini menyebabkan wujud jurang maklumat antara rakyat dengan kerajaan Negeri.
Saya juga menjenguk laman "Kedahlanie ..." (http://kedahlanie.blogspot.com/) sekurang-kurangnya untuk memperoleh maklumat terkini tentang KPRK, tetapi maklumatnya terlalu sedikit, dan tidak membantu saya dalam memperjelas apa yang sebenarnya berlaku dalam KPRK.
Kesimpulannya, amat dirasakan sekali bahawa KPRK begitu perlahan perjalanan kerajaannya. Rakyat masih menunggu dan menunggu.
Simpang 4, AS.
menagantuk dengaq komen hang ni..
ReplyDelete