Baru selesai singgah blog MSO, tertarik tentang catatan MSO mengenai Dr Hatta, dan Husam. Apa yang akan saya catatkan agak signifikan dengan dua orang ini khususnya dalam kontek PAS, PKR, dan PR.
Saya akan ulas tentang Husam. Saya secara peribadi, tidak boleh mencampuri bagaimana beliau menguruskan blognya. Dia bebas untuk menulis tentang apa-apa subjek yang diingininya. Dia bebas untuk mengkritik atau mengulas, atau memberi pandangan tentang tokoh-tokoh yang dia ingin untuk disorotinya. Saya yakin dengan pengalaman penulisannya tentang politik, beliau dapat membezakan mana yang sesuai atau mana yang tidak sesuai untuk dipublishkan dalam blognya. Ini tidak berkecuali tentang Husam.
Namun, saya kira MSO menilai Husam dari aspek atau sudut pandangan pendokong PAS. Mungkin bagi MSO, semasa beliau menulis tentang Husam, beliau telah cuba untuk tidak memihak, atau mengambil jalan tengah. Tetapi, secara tidak disedarinya, apa yang saya nampak penilaian MSO tentang Husam masih tidak lepas sebagai pendokong PAS. Dengan begitu, MSO akan terlepas bebarapa perkara yang mungkin sedang bersarang dalam minda atau hati Husam.
Saya melihat bahawa pandangan Husam dan peranannya dalam Pakatan Rakyat harus dinilai daripada beberapa aspek. Pertama, citra dirinya. Kedua, momentum PAS dalam PR. Ketiga, pendekatan dan strategi politiknya.
Citra Dirinya
Husam seorang profesional yang bergabung dalam dirinya kecintaan kepada agamanya. Agama menjadi dasarnya, tindakannya berbentuk profesional. Beliau menilai persekitaran berkaitan politik dengan kaca mata profesional. Beliau menilai objektif dan visi PAS dalam bentuk sikapnya yang profesional. Dengan begitu beliau begitu peka dengan perubahan dan tuntutan persekitaran. Dalam konteks ini, beliau berkemampuan melihat kekuatan dan kelemahan organisasi yang didokongnya secara bebas - ketaksuban dapat diimbanginya.
Ini berbeza sekiranya Husam seorang yang beraliran agama atau berpendidikan agama. Kita harus sedar bahawa pendidikan agama kini telah dipetak-petakkan dan telah lama berlaku sejak berlalunya zaman tokoh-tokoh intelektual Islam yang mempelopori ilmu-ilmu dunia. Dari segi sejarah ilmu, tokoh-tokoh Islam adalah pengasas kepada ilmu-ilmu moden yang selepasnya diambil alih orang Barat. Cuba kita teliti asas-asas teori ilmu yang dipelopori oleh Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun (sekadar menyebut beberapa nama), bahawa jelas ilmu pengetahuan pada ketika digarap secara menyeluruh - matematik, fizik, georafi, sejarah, semuanya berpunca daripada al-Quran. Seorang intelektual Islam ketika itu, bukan sahaja menguasai subjek-subjek khusus tetapi dalam masa yang sama mereka mahir dalam al-Quran dan menguasai semua pecahan ilmu. Maknanya ketika ini ilmu tidak dipisah-pisahkan seperti kini. Dari sinilah lahirnya istilah universiti, daripada istilah induknya "universe".
Apabila negara-negara Islam melalui zaman gelap, dan Barat memulakan renasaincenya, ilmu-ilmu mula dipisah-pisahkan dan berdiri sendiri. Bermula daripada zaman ini, pendidikan Islam pun dicorakkan sedemikian juga. Ilmu telah dibahagi dua secara mutlak iaitu ilmu agama dan ilmu keduniaan yang membicarakan hal-hal hubungan manusia dengan kehidupannya. Ini menyebabkan wujud keadaan iaitu lulusan agama hanya pakar tentang bidang-bidang agamanya sahaja. Ini dikatakan dualisme dalam ilmu.
Apakah kesannya? Ini membawa kesan bahawa jika seorang itu mahir tentang agamanya, dalam masa sama dia kurang arif dalam ilmu-ilmu dunia yang lain seperti sejarah, matematik, geografi, psikologi, sosiologi, dan seumpamanya. Jadi, sains dan metodologinya agak asing bagi lulusan agama baik tentang ilmu yang bercorak kuantitatif mahupun kualitatif. Kalau mereka mempelajarinya pun hanya setakat pengetahuan asas.
Ilmu agama sebagaian besar berbicara tentang hukum. Halal dan haram. Syurga dan neraka. Ini menyebabkan mereka sukar bergerak dalam persekitaran kehidupan yang cepat berubah. Perubahan persekitaran begitu cepat, sedangkan dalam masa sama pintu ijtihad telah ditutup.
Hakikatnya PAS sebuah parti yang dipimpin dan dianggotai oleh golongan agama. Golongan agama ini pelbagai dan datang daripada institusi pendidikan yang berbeza-beza. Secara umumnya ada dua: berpendidikan universiti (dalam negara dan luar negara) dan berpendidikan pondok. Di luar sana, masyarakat berubah dan tuntutan hidup pun bertambah. Bagaimana mereka hendak menangani konsep-konsep moden yang lama dan baru serta ilmu dan cabang-cabangnya yang kian bercambah. Kita ambil contoh, konsep dalam politik dan ekonomi serta psikologi dan sosiologi. Adakah lulusan agama ini pakar tentang ilmu-ilmu sebegini? Kalau ada pun terlalu minimum.
Oleh itu, saya melihat bahawa tokoh-tokoh yang beraliran profesional dan beragama lebih mantap apabila berhadapan dengan tuntutan-tuntutan persekitaran yang berubah-ubah. Mereka lebih berani dan sanggup mengambil risiko. Tentunya dalam batas-batas yang diizinkan oleh anutan dan pegangan agamanya. Orang-orang sebegini merupakan aset yang tidak ternilai bagi organisasi yang mendokong cita-cita agama. Mereka menjadi pembuka jalan dan perintis, dan golongan yang beragama berperanan menyelesaikan soal-soal boleh atau tidak sesuatu tindakan itu dalam konteks semasa.
Maknanya golongan profesional ini lebih mendasarkan tindakan mereka atau pendapat mereka dalam sudut nilai bukan dalam bentuk institusi. Sebagai contoh, konsep negara Islam. Negara Islam merupakan bentuk atau institusi. Pembentukan Negara Islam dalam kerangka pemikiran tertentu. Penghayatan atau pengamalan nilai-nilai yang membawa kepada terdirinya Negara Islam itulah yang diperlukan terlebih dahulu. Di sini, yang dipentingkan ialah senarai keutamaan yang terdiri ciri-ciri negara Islam tanpa memfokuskan kepada istilah.
Saya lebih kuat beranggapan bahawa Husam, Hatta, Salahuddin, Dr Zulkifli, dan lain-lain yang aktif dalam PR dalah termasuk dalam golongan ini. Mereka melihat dan pada anggapan mereka dengan PR, nilai-nilai Islam yang diperjuangkan PAS selama ini dapat diterapkan dengan mudah memandangkan DAP dan PKR telah menerima secara asas perjuangan ini. Bukankah sesuatu tindakan lebih mudah dilaksanakan apabila musuh kita atau rakan kita berada dalam posisi yang sama?
Baiklah, soal kedua dan ketiga akan saya sambung nanti.
No comments:
Post a Comment