Mengikuti perkembangan Persidangan Perwakilan Bahagian UMNO (PPBU), butiran kasarnya seperti berikut:
a) Najib menjadi juara, dan setakat ini masih jaguh kerana tiada pencalonan untuk menentangnya.
b) Bagi Timbalan Presiden, Muhyudin masih unggul.
c) Mukhriz masih menjadi calon favourite. (Menarik juga ulasan Mohd Rashidi Hassan, Harakahdaily, 26 Oktober, 2008, "Mukhriz Hanya Menang Sorak").
d) Naib Presiden, Hishamuddin masih mendapat pencalonan terbanyak.
Trend yang ada ialah:
i) Perwakilan begitu terpesona dengan Najib, tanpa mempeduli permasalahan peribadi yang membelit dirinya. Seorang calon Perdana menteri, dalam Sejarah Malaysia, yang paling banyak skandal. Kita boleh bertanya begitu butakah orang UMNO? begitu sempit ruang lingkup pemikiran mereka. Mereka masih terlalu regional. Impian Najib untuk menjadikan rakyat Malaysia bersifat "glokal" masih tinggal impian. Pada peringkat ahli dan perwakilan UMNO pun masih gagal, apatah lagi bagi rakyat terbanyak.
Najib dalam kenyataan terbarunya, mahu DEB dihapuskan unsur-unsurnya secara beransur-ansur. Syornya yang terbaru ini persis senada dengan saranan DSAI dan Pakatan Rakyat yang selama ini mereka kutuk, hina, tidak berpijak di bumi nyata, dan antiMelayu. Apa sudah jadi dengan Najib?
Najib juga telah mengorak langkah pendekarnya dalam memulakan langkah mempertahan ekonomi Malaysia dari kesan domino kemelesetan ekonomi USA. Meminjam wang dari KWSP sebanyak 5 bilion (baca: wang rakyat) untuk menyokong pasaran saham. Kalau kita tanya, siapakah yang "bermain" di bursa saham Malaysia. Pak Tani? Penoreh getah? Pak nelayan? Mereka yang "berhibur" di situ ialah golongan yang berduit. Siapakah mereka? Suku-sakat mereka. Kroni dan proksi mereka. Soal peniaga-peniaga, soal-soal kesempitan hidup rakyat bawahan, bagaimana? Harga komoditi menjunam teruk.
Harus diingat apabila harga komoditi jatuh menjunam, harga barang pula masih kekal tinggi, maka saya khuatir kemiskinan sebenarnya telah benar-benar sampai kepada rakyat bawahan.
Apabila ini berlaku, kehidupan rakyat bawahan benar-benar terancam.
Adakah Najib masih belum sedar?
ii) Trend yang kedua ialah calon-calon yang sedang menjuarai carta pencalonan adalah calon warisan politik "pedigree" (keturunan). Calon-calon ini mempusakai warisan perjuangan borjouis (golongan bangsawan).
Sekurang-kurangnya ada dua kesan daripada trend kedua ini. Pertama, calon-calon ini disokong, dan mereka begitu terpesona adalah kerana mereka lahir daripada tokoh-tokoh besar negara. Mereka menumpang kehebatan tokoh keturunan mereka. Soal-soal kredibiliti, karisma, ideologi yang dibawa, soal-soal moral, dan keprihatinan kepada rakyat terbanyak terabai atau tidak diambil kira oleh penyokong-penyokong mereka.
Kedua, kehidupan mereka, pendidikan mereka, dan pergaulan mereka lebih bersifat bangsawan. Hidup mereka terkurung dalam wilayah pergaulan yang setaraf. Mereka tidak pernah berasa susah. Kerana itu, mereka tidak pernah memahami kesukaran hidup rakyat terbanyak.
Ketiga, dengan senario ini, adakah harapan akar umbi akan mereka beri perhatian? Adakah mereka prihatin akan isyarat PRU12 itu? Semua ini apabila dianalisis masih menjadi persoalan besar!
Saya berkeyakinan bagi yang peka dengan situasi yang dihadapi oleh UMNO kini, PPBU memperlihatkan dengan jelas bahawa UMNO masih lagi belum mengambil endah tentang pokok permasalahan protes rakyat terhadap mereka termasuk akar umbi mereka sendiri.
Dalam konteks inilah kita boleh membuat kesimpulan bahawa penawaran Ku Li untuk bertanding jawatan Presiden dipandang sepi oleh para perwakilan. Ku Li dianggap telah berusia, dan tempoh hayat politiknya telah berakhir. Ku Li bagi mereka mewarisi aliran politik UMNO yang konservatif dan tidak relevan.
Barangkali para perwakilan telah disihir dengan pangkat, kuasa, dan wang. Saya kira perwakilan ini mewakili satu spesis manusia yang buta buku.
Ku Li sebenarnya telah membentang secara lebar tentang pokok permasalahan yang sebenarnya dihidapi oleh UMNO. Surat terbuka beliau yang diterbitkan oleh Harakahdaily pada 21 September 2008, barangkali tidak mereka hadam.
Ku Li melabelkan UMNO meneraju Malaysia ibarat "Republik Pisang". Ku Li mendakwa juga UMNO melegasikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai hak warisan atau harta pusaka, tanpa menyerahkan kepada akar umbi (baca: demokrasi telah mati).
Dengan gagalnya Ku Li mendapat sebarang pencalonan, pada hemat saya, UMNO telah mengabaikan secara sengaja akan amaran Ku Li:
a) Menyokong Najib bermakna menobatkan seorang Perdana Menteri Malaysia yang sekali-kali tidak akan diterima atau dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Tidak mendapat "endorsement" daripada masyarakat antarabangsa bermakna Malaysia akan dipinggirkan dalam arus globalisasi termasuk pelaburan asing. Malaysia akan mendapat padah ekonomi.
b) UMNO gagal membaca isyarat jelas protes rakyat pada PRU12. Padahnya ialah UMNO berkemungkinan besar berhadapan dengan masa depan yang gelap pada PRU13. mengikut ramalan Ku Li, UMNO akan hilang di persada kuasa.
c) Kemaraan Pakatan Rakyat tidak dapat lagi dihalang.
d) Persoalan kkkronisme, nepotisme, dan rasuah yang menjadi pantang masyarakat antarabangsa akan lebih bermaharajalela.
e) Amalan pengurusan ekonomi Malaysia akan menjadi lebih buruk. Rakyat akan merasai bahananya.
Premis hujah saya jelas iaitu Ku Li merupakan tokoh UMNO yang cukup berpengalaman. Beliau berdarah raja, berhati rakyat. Penglibatannya dalam UMNO kini tidak lagi secara total. Ku Li lebih kepada pemerhati UMNO. Tiada sebarang jawatan dalam kerajaan. Oleh itu, pemerhatian beliau lebih tepat, dan bebas.
Maka pada hemat saya, UMNO sedang menggali kuburnya sendiri. Pada saya, menang sorak, tetapi kampung tergadai.
No comments:
Post a Comment