Posting kali ini saya akan cuba kaitkan kemenangan atau pengekalan kerusi Parlimen dan Dun Pakatan Rakyat dengan 4 tokoh utama PR - Anwar, TGNA, TGHH, dan LKS.
PRK 7 April sekali lagi menjadi testimoni bahawa rakyat begitu komit dalam menjunjung agenda "Ketuanan Rakyat" (KR). Kalau kemenangan di Permatang Pauh bagi sesetengah pihak tidak boleh dijadikan ukuran kerana alasan Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim, begitu juga PRK Kuala Terengganu sesetengah pihak masih beranggapan bahawa tidak boleh dijadikan petunjuk bahawa momentum PRU12 masih kekal.
Pada saya, PRK7April, tiada lagi alasan bagi penganalisis yang masih fobia dengan kemaraan PR atau masih hanyut dengan sindrom penafian bahawa agenda PR untuk memperkasa Ketuanan Rakyat telah disambut dengan rela dan sedar oleh rakyat, sebahagian besarnya oleh generasi muda.
Nizar menang dengan majoriti bertambah hampir seribu undi, begitu juga Manikumar, mengesahkan lagi bahawa kesebatian generasi baru terhadap agenda KR telah "mengkristal".
Dalam konteks ini, di manakah letaknya keempat-empat tokoh tersebut dalam memacu kemenangan tersebut? Adakah faktor Anwar tidak dominan lagi?
Pemimpin dan Rakyat Menyatu
Saya kira keempat-empat tokoh tersebut telah pun dapat menemui titik-titik persamaan, dan meminimumkan perbezaan, serta bergerak dalam satu saf ke arah mencapai matlamat - mewujudkan Malaysia yang berkebajikan dan berteraskan keadilan yang ditunjangi agama dan moral yang kukuh.
Pakatan Rakyat telah memasuki fasa perjuangan yang ke seterusnya. Ahli-ahli PR dan simpatisan PR telah secara automatik dapat bergerak sendiri tanpa perlu didorong dan didokong oleh tokoh-tokoh besar. Ini bermaksud perjuangan PR telah meresap menjadi perjuangan yang dirancang dan digerak oleh rakyat sendiri.
Dalam keadaan ini, pemimpin dan penyokongnya telah menjadi satu. Penyokong dan para simpatisan membawa pemikiran, hasrat dan matlamat pemimpin. Pemimpin pula apabila bersuara membawa hasrat dan aspirasi rakyat.
Implikasi
Kesannya cukup hebat:
a) Apabila lawan politik cuba menggunakan isu dengan memburukkan atau merendahkan pemimpin besar PR, sokongan dan dokongan rakyat kian mengukuh, malahan mampu mendorong penyokong di luar PR makin bertambah.
b) Bebanan yang terpaksa dipikul oleh pemimpin besar kian berkurang kerana mereka tidak perlu risau dengan situasi penghakisan sokongan. Dalam masa sama, pemimpin pula boleh fokus kepada soal-soal lebih besar dan penting, iaitu soal-soal strategi dan usaha-usaha memperkuat organ parti dan kerajaan-kerajaan negeri PR.
c) UBN akan menghadapi tekanan yang hebat. Mereka menjadi defensif. Mereka sama ada akan mengambil pendekatan yang kian agresif dan menekan atau mengambil pendekatan untuk berubah senada dengan tuntutan rakyat.
Tugas PR Seterusnya
Apabila kita meneliti hasil daripada PRK7April, dokongan bukan Melayu cukup kuat. Namun sokongan daripada pengundi Melayu tidak banyak berubah.
Kini, masanya untuk pemimpin besar PR memfokus agenda pada orang Melayu pula. Mengapa mereka masih mempercayai dan meyakini UBN? Apakah yang sebenarnya dibimbangi oleh orang Melayu? Apakah dokongan dan sokongan yang kukuh bukan Melayu menyebabkan orang Melayu berasa cemas terhadap kewujudan mereka di tanah air ini? Adakah kebimbangan mereka tentang hak-hak istimewa mereka dalam Perlembagaan akan terhakis atau terhapus?
Besar kemungkinan ialah wujud jurang komunikasi yang luas antara PR dan orang Melayu keseluruhannya khasnya penyokong UBN yang kita kategorikan sebagai kelabu.
Sesuatu MESTI dilakukan!!!
Di Simpang 4, AS 10.30am
No comments:
Post a Comment