01 April, 2009

PRK309(3): Negara Islam, Nizar dan Sidang DUN


Kita tidak tahu pasti apakah pendekatan UBN dalam mendekati pengundi-pengundi Cina dan India di Bukit Gantang dan Bukit Selambau? Kalau dulu mereka memomokkan agama Islam dalam kalangan pengundi bukan Melayu. PAS digambarkan sebagai ektremis dan keras serta ortodok. Isu Hudud, isu pemaksaan dalam beragama dan sikap tidak bertolak ansur dalam rumah ibadat antara isu-isu pokok yang disensasikan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Kini rasanya isu-isu ini tidak lagi menggentarkan pengundi bukan Melayu.

Saya yakin mereka mempunyai strategi yang baru. Ini adalah kerana mereka amat memerlukan sokongan orang bukan Melayu.

Bagi pengundi Melayu, UBN mempunyai banyak isu yang boleh diketengahkan.

Dua isu pokok yang akan digunakan dan disensasikan untuk pengundi Melayu:

a) Kelemahan, pertentangan dasar parti, konflik kepentingan, gabungan yang longgar, tiada dasar dan matlamat yang jelas, dan semua dasar dan prinsip berdasarkan cita-cita individu yang gila kuasa, iaitu Anwar Ibrahim.

b) UBN telah teruji dan mampu mentadbir Malaysia dan membawa kesejahteraan kepada rakyat. BN merupakan gabungan terbaik berbanding Pakatan Rakyat yang longgar, berbeza ideologi, dan semaata-mata bermatlamat menumbangkan UBN semata-mata.

Penyebaran cd rakaman sidang DUN Perak 23 Jun 2008 sewaktu Nizar masih MB Perak merupakan satu usaha terakhir UBN agar pengundi Melayu dan simpatisan Pakatan Rakyat meninggalkan PAS.

Lapor Agendadaily, [http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a] Berdasarkan rakaman tersebut, isu berkenaan dibangkitkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli yang menyatakan PAS kini sudah lari daripada matlamat asal mereka untuk menubuhkan Negara Islam.

Nizar yang mendengar kenyataan Tajol itu, bangun meminta penjelasan.

“Di manakah dalam mana-mana transkrip PAS yang menyatakan bahawa PAS nak melaksanakan negara Islam. Saya minta pandangan dan minta jawapan di manakah dalam transkrip PAS, dalam memorandum ke ...dalam Perlembagaan PAS ... ada menyatakan PAS nak melaksanakan negara Islam,” tanya Nizar.

Jawapannya itu disambut oleh Tajol dengan menyatakan, “Saya tahu ramai orang PAS dalam Dewan ini tapi itulah jawapan YAB Menteri Besar (mengenai negara Islam)”.

Malah Datuk Dr Zambry Abdul Kadir yang juga ADUN Pangkor bangun mencelah menasihati Nizar agar bertaubat . “Astaghfirullah...astaghfirullah, nauzubillahiminzaliq” kata Dr Zambry.

Rakaman sidang DUN Perak itu yang bertarikh 23 Jun 2008 tentunya menarik minat kerana secara rasmi ketika bergelar Menteri Besar, Nizar seolah-olah mengesahkan memang PAS tidak mempunyai apa-apa dokumen atau iltizam untuk menubuhkan Negara Islam.

Jawapan Nizar ini boleh ditinjau daripada beberapa aspek:

a) Memang daripada segi Perlembagaan PAS, tiada frasa yang menyebut "Negara Islam". Saya perturunkan matlamat PAS,

Adapun Perlembagaan awal PAS yang digariskan itu mempunyai empat tujuan, iaitu:
PERTAMA: Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan demokrasi. KEDUA: Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan Perlembagaan pentadbiran agama di seluruh negara.
KETIGA: Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan umat Islam.
KEEMPAT: Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini, yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran Islam dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
[http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Islam_Se-Malaysia]

Daripada blog DPP Wilayah Persekutuan, rumusan tujuan PAS ialah "Tujuan atau matlamat perjuangan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah serta mempertahankan kesucian lslam, juga kemerdekaan dan kedaulatan negara".[http://dppwp.wordpress.com/intro/sejarah-pas/]

Rumusannya ialah matlamat perjuangan PAS ialah supaya nilai-nilai Islam dihayati dalam hidup bermasyarakat dan bernegara di Malaysia. Soal penjenamaan adalah soal kedua. Yang dipentingkan ialah isinya bukan bentuk. Perjuangan untuk pengisian itu menuntut pelbagai pendekatan memandangkan masyarakat Malaysia yang pelbagai. Dakwah menjadi landasannya.

b) Dari Sudut Pendekatan dan Kaedah

PAS telah menongkah arus perjuangan yang panjang. Fasa-fasa perjuangan PAS begitu berwarna-warni. Dulu, PAS dianggotai ulama-ulama dan ahlinya boleh dikatakan didominasi oleh ahli berpendidikan agama. Kini, keanggotaan dan saf kepimpinan PAS begitu majmuk dari bertaraf ulama dan berpendidikan sekular (profesional) namun memiliki pengetahuan dan penghayatan agama yang mendalam.

PAS juga responsif terhadap masa dan zaman serta faktor demografi. Hakikat masyarakat Malaysia yang majmuk menandakan PAS harus berubah daripada pendekatan dan kaedah politik. Yang berubah cuma pendekatan, matlamat supaya penghayatan Islam dalam masyarakat Malaysia tetap menjadi matlamat utama dan tidak dikompromi.

Dalam konteks inilah Nizar meminta Tajol Rosli mengemukakan bukti dokumen bahawa frasa 'Negara Islam" terdapat dalam mana-mana dokumen rasmi PAS. Nizar menggunakan kebijaksanaannya menerapkan perjuangan PAS dalam kalangan masyarakat Perak yang penduduk bukan Melayunya bukan sedikit jumlahnya.

Nizar memahami betapa UBN memomokkan Islam dalam kalangan orang bukan Melayu sehingga Islam disamakan dengan Osman Ben Laden. Bagi Nizar, ini yang perlu diperbetulkan. Maksudnya bukan bentuk yang diutamakan tetapi memberi bukti bahawa Islam itu boleh dilaksanakan dalam pentadbiran dan kehidupan. Nizar menghidupkan Islam dalam dirinya.

Ini amat berbeza dengan UBN. Mereka seperti menolak peranan Islam dalam kehidupan. Begitu banyak bukti yang telah sedia maklum. Satu contoh yang jelas, dalam PAU'09, sebanyak 900 aduan tentang salah laku termasuk rasuah politik.

Kerana itu, usaha desperado ini sebenarnya memakan diri UBN sendiri. UBN telah hilang kredibiliti untuk mencari kesalahan orang lain, sedangkan diri mereka sebenarnya yang perlu diperbetul dan ditarbiyahkan.

Di Simpang 4, AS 5.15pm


No comments:

Post a Comment