Di bawah, petikan kata-kata yakin Datuk Seri Ahmad Bashah (DSAB):
Menteri besar Kedah yang baharu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bertekad Barisan Nasional (BN) negeri mampu memenangi dua pertiga kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu berkata, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya semua jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno negeri bersama-sama bekerja keras sebelum PRU14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada akhir Ogos 2018.
"Nak dapatkan (menangi) kerusi, kami (wakil rakyat) kena turun, jumpa rakyat bagi penerangan dan kerja keras bukan duduk sahaja," katanya ketika berucap pada Program Mesra Jiran Perdana dan Menyemai Kasih Sayang di Alor Star hari ini.
Ketika ini 21 kerusi Dewan Undangan Negeri dipegang BN, PAS (8), PKR (4), DAP (2) dan Parti Amanah Negara (1).- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bn-kedah-yakin-menang-dua-pertiga-kerusi-dalam-pru-14-kata-ahmad-bashah#sthash.pUUQRVVf.dpuf
Perbincangan seterusnya dapat menjawab jangkaan DSAB untuk memenangi minimum 24 (36) kerusi Dun Kedah.
Penulis mahu berkongsi atas 3 hujah/ alasan:
Peranan Team Mahathir pada PRU11 (2008)
Dengan bebasnya Anwar dari penjara membolehkan Anwar menyusun front pembangkang dengan agak baik. Anwar menjadi mediator antara Pas dan Dap yang berbeza dasar tetapi dapat bersama berdasarkan prinsip keutamaan iaitu memperjungkan nasib rakyat dengan matlamat menjatuhkan UBN.
Harus disedari Saga Anwar, kes mata lebam sejak 1998 dan tercetusnya reformasi, kebangkitan orang Melayu dan kaum Cina tidak menyeluruh. Kebangkitan orang Cina cuma signifikan pada PRU11 apabila Anwar berjaya menggabungkan Pas dan Dap dalam satu front.
Saga Anwar 1998 mencetuskan satu gelombang kemarahan rakyat yang ketara terhadap Mahathir sehinggakan sebelum PRU10, Mahathir terpaksa melepaskan kerusi PM kepada Pak Lah, Mr Clean. Pemerhati politik boleh dikatakan sekata, sekiranya Mahathir yang ketika itu dilabel sebagai Mahazalim, masih PM, kemungkinan besar Putrajaya tersungkur atau UBN menang tipis.
Sepanjang sepenggal Pak Lah menguasai Putrajaya, peranan KJ dan budak Tingkat 4 begitu menonjol sehinggakan banyak projek tinggalan Mahathir seperti Jambatan Bengkok di Johor dibatalkan menjejaskan survival kroni perniagaan Mahathir, maka dengan itu permusuhan antara Mahathir dengan Pak Lah tercetus. Nasihat dan teguran Mahathir tidak diendah malah sikap arrogant KJ dan Budak Tingkat 4 mewujudkan permusuhan terbuka dengan Mahathir. Akhirnya Mahathir terlalu marah sehingga bertindak keluar dari UMNO. Masa sama Anwar meningkatkan serangan dan masa sama perkukuh front pembangkang.
Saya percaya kejatuhan 5 negeri di Semenanjung pada PRU11 (2008) termasuk Selangor dan Kedah kerana teranjaknya sokongan orang Melayu terhadap PR akibat daripada serangan Mahathir pada kerajaan Pak Lah dan menantunya.
Integriti Mukhriz Melampaui Faktor Mahathir
Sedia maklum bahawa PM Najib diselubungi dengan pelbagai skandal dan penswastaan
(PEMANDU) dasar dan pelaksanaan dasar-dasar ekonomi Malaysia, dengan obsesnya pada matlamat ekonomi berpendapatan tinggi menjerumuskan Malaysia dalam belitan hutang yang kian meningkat sehingga melebihi paras 55% dari GDP. Masa sama kos hidup kian meningkat dalam keadaan lemahnya peningkatan dalam pendapatan rakyat.
Penyokong dan ahli Umno mula tersentak apabila kem Najib bertindak keras dalam mempertahan PM dari dalam. Muhyidin sebagai TPM disingkirkan dan Shafie Apdal digugurkan dari jatawan kabinetnya. Skandal 1MDB dan episod derma RM2.6b dan gangguan berterusan terhadap siasatan SPRM serta pegawai kanan polis memaksa Mahathir cuba mencetuskan gelombang dalaman Umno utk menjatuhkan Najib dari takhtanya.
Mukhriz yang sememangnya telah diketepikan oleh Pusat sejak PRU13 sebagai MB Kedah menyertai kem Mahathir dalam mengkritik urus tadbir Najib dan cara penyelesaian skandal tersebut. Tindakan Mukhriz ini menambah luka kem Najib apabila Mukhriz bertindak bertanding melawan Hishamuddin bagi pos Naib Presiden Umno. Hishamuddin, sepupu Najib hampir kalah.
Dalam situasi front pembangkang menggerakkan penentangan terhadap pendirian PM yang akan menandatangani TPPA, Putrajaya menggerakkan kudeta melalui team Ahmad Bashah terhadap Mukhriz sebagai MB dalam usaha melemahkan kem Mahathir.
Satu persoalan, Mukhriz menolak MOU dengan PM Najib, kenapa? Mukhriz cuba bertahan, berkebetulan ada pihak tertentu di istana Kedah menyukai Mukhriz. Namun, bapanya, Mahathir berdiam diri. Kenapa?
Mukhriz sedar bahawa akhirnya dia terpaksa mengalah. Pertahanannya selama hampir 2 minggu, selain menjejaskan imej team Ahmad Bashah tetapi juga imej PM Najib tercalar. Mukhriz barangkali menguji sejauh mana ahli Umno dan rakyat umumnya menerima kehadiran dirinya di atas pentas politik Kedah selama keberadaannya sebagai MB.
Krisis penukaran/ kudeta selama lebih 2 minggu, ternyata keperibadian Mukhriz menjadi cagaran. Akar umbi Umno, atas pagar dan front pembangkang melihat kudeta itu lebih kepada pertarungan antara Kem Najib dengan Kem Mahathir. Mempertahan PM Najib dianggap anti rakyat. Mukhriz dilihat lebih sebagai mangsa kezaliman dan kerakusan, apatah lagi selama ini beliau disabotaj oleh Pusat. Kesantaian peribadi Mukhriz dalam kalangan anak muda dan masyarakat setempat dan perhatiannya pada institusi pondok, dirinya disenangi. Ini memperlihatkan Mukhriz dapat berdiri sendiri melepasi pengaruh bapanya.
Teori Domino dan Harimau Tidur
Insiden kudeta Mukhriz ini ada relevansinya dengan situasi/ senario politik semasa.
Umno dilihat dalam keadaan yang rapuh sekarang kerana wibawa PM Najib terjejas teruk dalam kalangan rakyat, dalam negara dan luar negara. Tindakan Peguam Negara baru cuba membersihkan beliau dari skandal 1MDB dan wang derma RM2.6b seolah-olah dipersenda. Harga minyak dunia iaitu 30% sumber pendapatan negara terjejas teruk. Kutipan GST 6% tidak mampu menutup kurangan pendapatan dividen Petronas. Betapa serius ekonomi negara sehingga PM Najib terpaksa revise Bajet2016 dengan penjimatan 9 bilion.
Parti Pas di bawah Haji Hadi dan MSU telah selesai membersihkan penentangnya, saf profesional sehingga melahirkan Parti Amanah Negara. Terputusnya hubungan Pas dengan Dap atas isu Hudud,menyebabkan PR pecah dan diwujudkan semula Pakatan Harapan, Pkr, Dap dan Amanah.
Umno yang rapuh, dirapuhkan lagi dengan asakan team Mahathir dengan matlamat menurunkan Najib sebagai PM untuk menyelamatkan Umno dan kerajaan. Pas pula yang terkesan agak serius dengan kewujudan Amanah bertukar arah dengan bekerjasama dengan PM Najib/ Umno.
Kem PM Najib sedang mempersiapkan segala strategi dan alatan untuk menghadapi PRU14 dalam keadaan underdog. Namun, mereka amat menyedari bahawa sehingga PRU13, anjakan undi orang Melayu kepada front pembangkang hanya minimum (29%) menurun daripada PRU12 (36%). Ini menunjukkan ketergantungan orang Melayu pada Umno masih lagi kuat. Apatah lagi PM Najib telah mendapat sokongan daripada parti PAS. Situasi psyche orang Melayu ini boleh diibaratkan seperti harimau yang tidur. Soal kenapa psyche dan naratif Melayu sebegitu perlu ruang perbincangan yang lain.
Kehadiran Amanah dalam arena politik Malaysia boleh dikatakan dapat mengisi kevakuman politik yang dicari oleh golongan profesional. Prinsip dan dasar Amanah berdiri atau tertegak antara kekonvesionalan Pas dalam agama dan ultra Melayu dalam UMNO. Amanah cuba menerapkan Maqasid syariah dan menggunakan pendekatan Fiqih Setempat seperti dianjurkan oleh sarjana-sarjana Islam kontemporari seperti Sheikh al Qaradawi. Hal ini menarik minat pimpinan Pas dan ahli/penyokong Pas yang moderate dan atas pagar terhadap Amanah malahan disenangi oleh golongan bukan Melayu.
Amanah sedang berkembang pesat di Johor sehingga dikatakan Pas lumpuh di Johor. Tapak untuk Amanah berkembang di Johor nampaknya dibantu oleh sikap kritikal istana Johor terhadap pimpinan semasa Umno di Pusat sementelahan akar umbi Umno di Johor masih memendam rasa akibat penyingkiran Muhyidin dari kerusi TPM.Masalah di Johor ialah masyarakat Melayu Felda. Mereka adalah deposit tetap BN.
Di Melaka dan Negeri Sembilan, diharapkan arus perubahan di Johor dan Selangor dapat mempengaruhi sikap dan pandangan politik Melayu di sini.
Di Pahang, isu Lynas dan terkini isu perlombongan Bauksit menjadi duri dalam daging bagi BN Pahang. MB Pahang kelihatannya tidak mampu untuk mengangani kedua-dua isu tersebut. Pas dilihat tidak lagi mewakili hasrat rakyat terbanyak walaupun di sini adalah tapak pengaruh timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man. Tapak yang agak subur untuk PH, namun masyarakat Melayu Felda menjadi halangan.
Dengan mengecualikan Terengganu, Kelantan sedang bergelut dengan krisis kepimpinan MB dan TMB yang lemah dan kelihatannya mesra UMNO. Amanah sedang mendapat perhatian pada arus bawah yang dibawah Datuk Wan Rahim, dengan dibantu oleh DHM yang mengasak Pas dari dalam.
Gabungan faktor kelemahan dan kegagalan team PM Najib mengrus negara dan ekonomi sehingga rakyat kini dibebani dengan kos hidup melambung tinggi pada ketika harga komiditi jatuh merudum, asakan team Mahathir terhadap PM Najib yang mendedahkan lagi kepincangan dalam negara, front pembangkang yang disertai Amanah, hanya menunggu untuk orang Melayu beralih sokongan kpd front pembangkang.
Sehingga episod kudeta Mukhriz terjadi, pendirian dan sikap politik orang Melayu (kawasan Malay Belt) tidak banyak berubah. Umno masih lagi dianggap penjaga dan penyelamat Melayu walaupun Mahathir sendiri berusaha untuk membongkar kebejatan pimpinan dalam UMNO.
Nampaknya episod Mukriz khasnya di Kedah secara tidak langsung berjaya membangunkan orang Melayu dari tidur mereka yang lama. Mereka telah mula bertanya kenapa dan apa salah Mukhriz sehingga beliau perlu dijatuhkan. Mereka bertanya siapa di belakang team Ahmad Bashah? Pertanyaan ini bukan sahaja datang dari kalangan akar umbi UMNO malah mengocak konsentrasi rakyat/ silent majority, dan disokong pula front pembangkang Kedah.
Episod ini memperlihat orang Melayu kampung dan semi bandar yang selama ini memihak UMNO mula berfikir dan menilai antara integriti seorang pemimpin dan kerakusan/ kezaliman pemimpin yang lain di tengah-tengah rakyat bergelut dengan kesukaran hidup harian. Ini adalah permulaan satu perubahan/ anjakan paradigma dalam kalangan orang Melayu.
Kesimpulanya, jika episod Mukhriz ini ditanggapi dengan betul dan diurus dengan cermat oleh front pembangkang dengan bantuan asakan team Mahathir sepanjang masa sehingga PRU14 (2018), tidak mustahil orang Melayu UMNO, silent majority Melayu akan beralih sokongan di Kedah.
Dan, perubahan paradigma org Melayu Kedah boleh dirangsang untuk menjadi katalis di negeri-negeri lain,di Perlis, meresap di Felda-Felda di Johor, di Negeri Sembilan, di Melaka, di Selangor, di Pahang, di Perak dan di Kelantan.
Persoalan seterusnya, apa reaksi front pembangkang terhadap episod kudeta Mukhriz ini? Apakah front pembangkang hanya melihat episod ini semata-mata dari sudut pertembungan antara dua kem dalam UMNO dan Mukhriz hanyalah mangsa?
....Bersambung...
Putera Kelana