18 October, 2008

Beberapa Peristiwa Menuntut Renungan

Sambil bersantai, dan baru kembali dari Langkawi atas tugas rutin yang agak memenatkan, sekurang-kurangnya 3 atau 4 peristiwa yang bagi sesiapa yang peka tentang situasi sosiopolitik terkini yang mampu membuat minda kita bermenung panjang.

Peristiwa pertama, posting MSO tentang kegagalan penstrategis-penstrategis Ku Li dalam melakarkan peta politik bos mereka dalam peta politik tanah air semasa. Mengikut MSO team perancang Ku Li (KUL) telah mengaku kalah.

Dalam hubungan dengan KUL ini, data terbaharu PAU09, Najib telah kesemua pencalonan Presiden UMNO (30 pencalonan) manakala KUL kosong. Mukhriz dilaporkan memperoleh 42 pencalonan, KJ 22 bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Kesimpulan ringkas ialah team Najib-TDM-Muhyidin sedang menanjak ke puncak. Ternyata hampir pasti KUL akan kecundang malah beliau gagal sama sekali di Kelantan, yang tidak sepatutnya berlaku. Seperti yang diramalkan oleh MSO, KUL sebenarnya telah diperbodoh oleh lakonan TDM.

Saya akan cuba mengulas tentang KUL ini nanti berdasarkan penyataan terbukanya terhadap situasi mutakhir UMNO yang dipetik oleh Malaysiakini dan Harakahdaily, dan tempat manakah yang sepatutnya KUL curahkan bakti terakhirnya dalam sisa-sisa hayat politiknya.

Dalam konteks ini, menarik juga kalau kita mengaitkan tulisan Zukri Aksah dalam KLPOS, 17 Oktober 2008. Zukri bekas aktivitis AMK, terpana dengan Ezam, dan akhirnya berlindung dengan PAS. Zukri menganalisis benarkah PAU09 menepati perubahan yang dikehendaki oleh akar umbi UMNO, dan juga rakyat. Zukri merumuskan perwakilan-perwakilan telah tersilap dalam mentafsir reformasi yang diperlukan oleh UMNO oleh rakyat. Dengan sokongan yang mantap terhadap Najib dan Mukhriz, serta Muhyidin menampakkan legasi TDM akan mencengkam UMNO.

Dalam hubungan ini juga, kita dapat mengaitkan dengan masa depan KUL. Perwakilan-perwakilan UMNO Bahagian seakan-akan menghantar isyarat jelas bahawa KUL telah tidak relevan lagi dalam UMNO.

Kedua, Penyataan Majlis-Majlis Raja-Raja Melayu sebagai hasil Mesyuarat Raja-Raja Melayu yang ke-215 di Terengganu, yang dipengerusikan oleh DYMM Sultan Kedah.

Majlis Raja-Raja dengan tegas memperingantkan semua pihak (kumpulan politik dan rakyat jelata) supaya tidak mempertikai Kontrak Sosial dalam Perlembagaan. Institusi Raja Melayu harus diperkukuh, dan Kontrak Sosial jangan dipersoal oleh mana-mana pihak.

Soalan yang membuatkan saya terfikir panjang ialah kepada pihak manakah yang dimaksudkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Adakah ditujukan kepada BN dan UMNO, atau PR atau rakyat bukan Melayu.

Rasanya penyataan ini perlu dianalisis kerana dengan analisis ini barangkali akan terungkai akan persoalan pihak manakah yang dimaksudkan oleh Raja-Raja Melayu.

... Akan saya sambung nanti.

1 comment:

  1. Saya singgah sebentar ke blog tuan dan mengajak ke blog saya.

    tolong sisipkan blog saya ke blog tuan

    http://jamaludinmdisa.blogspot.com/

    ReplyDelete