07 October, 2008

Kalau Kita Berbalah, Yang Untung BN

Salam buat pembaca dan penyinggah.

Apabila membaca, memerhati, mengunyah, dan meneliti artikel-artikel dalam TKO, hati menjadi gundah-gulana. Dalam hati bertanya, di mana dan ke mana hala tuju ahli-ahli PAS. Sedarkah ahli-ahli PAS bahawa mereka adalah rakan dalam PR yang mentadbir 5 buah negeri di Malaysia? Ada saja isu ditimbulkan yang seolah-olah wujud satu usaha untuk mengganggu-gugat kepaduan dan integriti PAS.

Keyakinan saya, kesedaran saya, yang mula menaruh minat terhadap politik sejak di alam persekolahan lagi, bahawa sekaranglah masa dan ketika yang tepat, ruang yang luas, dan persekitaran yang subur untuk memartabatkan Islam di Malaysia. Pasca PRU12 memperlihatkan secara jelas kepada kita bahawa masyarakat yang pelbagai kaum dan etnik kini mengingini satu transformasi politik, dari yang bertunjangkan kaum kepada politik yang mengambil kira pelbagai kaum. Mereka mendambakan satu dasar politik dan iklim politik yang mesra berbagai-bagai bangsa: menerima rakyat Malaysia bukan berasaskan kaum.

Transformasi politik ini harus berdasar atau bertunjangkan ideologi dan falsafah tertentu. Pada peringkat regional (kenegerian) khususnya sebelah pantai timur dan utara, asasnya tentulah Islam. Bagi negeri-negeri pantai barat yang masyarakatnya pelbagai etnik, dasar atau asas transformasi itu ialah nilai-nilai universal yang puncaknya ialah keadilan dan akhlak terpuji.

Mengapa saya letakkan asas nilai-nilai universal (adil dan akhlak) sebagai tunjang transformasi politik baru ini di pantai barat? Jawapannya amat mudah. Penghayatan agama (baca:Islam) di sini masih tipis. Arus pemodenan yang begitu kuat melanda, yang dirancang dan dilaksanakan tanpa diikat dengan agama, menyebabkan agama seolah-olah telah ditolak menjadi rutin peribadi semata-mata. Kehidupan duniawi dan kecintaan serta ketaksuban kepada kehidupan duniawi begitu mendalam. Ini kesan langsung daripada falsafah pembangunan yang dibawa oleh BN dan UMNO.

Dalam hal ini, parti atau organisasi yang berteraskan agama akan dipandang sinis, dicurigai, malah ditentang. Jadi, adalah lebih mudah parti atau organisasi yang berasaskan agama itu menukar pendekatan dan strategi yang sesuai dengan persekitarannya. Dalam masyarakat yang pelbagai ini dan sarat dengan kehidupan duniawi pendekatan kita haruslah sederhana dan tidak bersifat menghukum. Salah satunya ialah menekankan soal nilai-nilai baik dan menonjolkan nilai-nilai Islam, secara tidak langsung akan menarik diri mereka secara beransur kepada agama. Ini maknanya kita tidak menekankan label tetapi menfokuskan kepada nilai. Strategi ini tentunya akan berkesan kepada masyarakat Islam sendiri dan juga kepada bukan Islam.

Tentang perubahan politik pula, tentulah perubahan itu perlu kepada organisasi. Kini, yang membawa obor perubahan ini ialah Pakatan Rakyat yang telah pun bertapak di lima buah negeri.

Kita sedia maklum bahawa keadaan kehidupan kini ( politik, ekonomi, sosial dan budaya, dan juga agama) begitu parah dengan segala penyakit sebagai hasil falsafah pembangunan dan pemodenan yang dibawa oleh BN dan UMNO.

Maka, untuk membolehkan transformasi politik itu berlkaku dengan subur dan merata di seluruh negara, BN dan UMNO perlu ditumbangkan. Dengan itu, prioritinya ialah semua agen dan jentera PR perlu difokuskan untuk menumbangkan BN. Dalam masa sama, kerajaan-kerajaan negeri PR perlu peka dan berhemah supaya dapat memperlihatkan bahawa Pakatan Rakyat merupakan pilihan terbaik rakyat menggantikan BN dalam mencapai suatu iklim kehidupan yang sejahtera dan prorakyat.

Dalam konteks ini, PAS merupakan rakan kongsi PR yang penting. Apa yang diperjuangkan oleh PR, "keadilan" untuk semua kaum hanya akan berjaya dan bertahan lama sekiranya PAS dapat memainkan peranannya dengan berkesan. Keadilan yang berteraskan nilai universal adalah rapuh. Keadilan yang tegar mesti dipayungi oleh Islam. Inilah peranan PAS dalam membantu YB muslim dalam PKR dalam mengembangkan KEADILAN ISLAM dalam PR.

Ini sebenarnya menuntut seluruh ahli dan jentera PAS berpadu tenaga. Saya agak bimbang tentang hal ini apabila saya meneliti posting-posting dalam laman TKO. Dalam PAS seolah-olah tidak wujud kesepaduan ini. Saya tidak bimbang jika ini berlaku pada peringkat akar umbi. Yang dikhuatiri ialah kalau berlaku pada peringkat saf pimpinan.

Soal Muzakarah sudah selesai dan tidak perlu diungkit-ungkitkan lagi. Begitu juga dengan isu Cikgu Pa tentang agenda 916, juga telah selesai apabila Cikgu Pa dengan rela hati berjumpa dengan TGNA. Terkini pula isu Amaran TGHH yang disensasikan oleh Harakah.

Komen peribadi saya tentang isu Amaran ini, adalah tidak wajar bagi Harakah untuk mensensasikan nasihat atau peringatan TGHH ini yang menampakkan bahawa DSAI tidak peka tentang pegangan agamanya. Pada saya, nasihat ini tidak perlu dihebahkan secara umum. PR akan mediumnya. Gunakanlah medium itu. Kalau nak dihebahkan juga, perlulah menggunakan bahasa yang "berlapik". Sebagai presiden, setiap ucapan atau pendapat adalah dasar, bukan pendapat peribadi. Keutuhan PR di mata umum menjadi prioriti.

Isu yang saya kira masih belum beres ialah soal anai-anai dalam PAS. Isu ini kalau tidak diurus dengan baik akan memudaratkan parti. Begitu juga istilah "erdogan" dalam PAS.

Dalam sesebuah organisasi, perbezaan pendapat tidak boleh dielak, namun harus ada had dan sempadannya. Dalam PAS, saya kira, sekurang-kurangnya terdapat 2 kelompok aliran pendidikan: golongan profesional (dan birokrat) dan beraliran agama. Tentunya masing-masing mempunyai persepsi berbeza terhadap sesuatu isu atau pendekatan atau strategi. Masing-masing saling melengkapi dan saling menghormati. Perbezaan persepsi ini harus tidak dibesarkan malahan mesti dicari titik-titik pertemuan.

Akhirnya, masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu yang perlu dimainkan dan dilunasi. Agenda peribadi harus diketepikan dan matlamat luhur perlu dikedepankan. Islam mesti ditegakkan. Namun caranya berbeza mengikut ruang dan waktu berbeza. Peluang yang ada wajar direbut. Jangan biarkan perselisihan pendapat menyebabkan kita terlupa akan masa yang terus bergerak. Masa tidak akan berundur. Jika kita terperangkap dalam pertelingkahan dalaman, masa akan terhenti, musuh dapat menyelinap masuk, akhirnya matlamat yang kejar selama ini terkulai.

Ingatlah, dalam konsep Islam sebagai addin, ada dua hubungan yang menyatu: hubungan menegak (manusia dengan Pencipta), dan hubungan mendatar (hubungan sesama manusia). Tidak lengkap Islam itu, kalau salah satu terabai. Dalam konteks jihad, kita wajib berusaha mencari apa juga usaha (praktis) untuk cuba menjayakan misi Islam. Jihad tidak mengenal erti berhenti dan berserah.

Bukankah ruang dan waktu inilah merupakan detik terbaik untuk PAS sebagai wadah perjuangan Islam untuk merealisasikan cita-cita yang selama ini diperjuangkan. Oleh itu, ungkaikan perbezaan, carikan titik temu, berusahalah, bertindaklah berpandukan akal waras, dan bertawakallah.

Wallahualam.

2 comments:

  1. percayalah PAS akan diperkotak-katikkan.

    ReplyDelete
  2. Buat Muhammad Azli,

    terima kasih atas komen saudara. Dalam perjuangan ini, kita umpama bidak-bidak catur. Yang penting kita ikhlas dan jujur berjuang. Dalam PAS, terlalu banyak ulama dan umarak. Soal yang saudara timbulkan sudah tentu dalam perhitungan mereka.

    Yang penting ruang dan masa yang kalau sesuai wajiblah kita rebutnya. Kalau kita tak dapat semuanya, memadai sebahagiannya. Kita tidak akan dapat langsung kalau kita banyak mempersoal dan teragak-agak dalam tindakan.

    ReplyDelete