26 March, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: SATU SOROTAN



Kerajaan Perpaduan (KP) ini pada saya lebih kepada satu lontaran idea atau gagasan yang terbuka untuk dibahas dan dinilai. Idea ini pada awalnya dikemukakan oleh TG Hadi.

Saya juga cuba menyelusuri blog-blog PR dalam usaha menyelami gagasan ini termasuk Roslan SMS, MSO, dan Tulang Besi. Saya tak sempat lagi membaca Siasah, dikhabarkan terdapat penjelasan dan jawapan TGHH tentang KP ini.

Sehingga saya membaca tabloid Siasah itu, saya akan merujuk kepada blog-blog di atas dalam kita berkongsi pendapat tentang gagasan ini.

Seperti diperjelaskan, KP ini satu bentuk kerajaan perkongsian dan perpaduan, yang parti-parti yang memerintah (baca: UMNO dan BN – UBN) akan disertai oleh parti-parti pembangkang (baca: PAS, PKR, dan DAP – PR). Sebelum saya ulas satu persatu, rasanya, eloklah saya cuba gariskan ciri-cirinya. Jadi, kalau boleh kita rumuskan:

a) Parti atau kerajaan teras ialah UBN.
b) Portfolio utama masih akan dipegang oleh UBN termasuk PM dan TPM.
c) Kera jaan ini tiada pembangkang.
d) Tumpuan utama ialah kemakmuran rakyat (baca: kegawatan ekonomi).
e) Tempoh berlangsungnya KP, tiada lagi pertentangan politik antara pemerintah dan pembangkang – semacam genjatan senjata.
f) Kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR akan ditadbir juga secara perkongsian. Peristiwa Kudeta di Perak dapat dielak.

UBN Masih Parti teras

Ciri ini sebenarnya pendapat saya sendiri. Saya nampak UBN dengan sikap agresif dan sadis akhir-akhir ini, tidak akan berkompromi dalam soal ini. Sikap dan tumpuan mereka selama ini, yang sepatutnya memfokus kepada soal kegawatan ekonomi tetapi begitu ghairah dengan obsesi ingin merampas baik negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Kalau UBN sanggup menerima gagasan ini, sekurang-kurangnya mereka mesti mengorbankan kerusi Timbalan Perdana Menteri, dan portfolio penting yang lain. Kita ketahui soal kepakaran dan iltizam untuk berkhidmat dalam kontek Ketuanan Rakyat baik dalam perekonomian dan sektor lain didominasi oelh tokoh-tokoh dalam PR.

Ini maknanya, kalau mereka menerima gagasan ini, UBN sebenarnya mengaku kalah kepada PR. Keadaan ini sama dengan kekalahan mereka dalam PRU12. Soalnya, Najib yang hanya menunggu saat dan ketika untuk merayakan kejayaan gemilangnya untuk dinobatkan sebagai PM ke-6, sanggup berkompromi dan merendahkan egonya sebagai PM yang segala aparat kerajaan berada dalam tangannya.

Ketiadaan Pembangkang: Momentum PR?

Secara teorinya, keadaan ini memang unggul kalau benar-benar tercapai. Dan tiada salahnya untuk mencuba. Keseluruhan Ahli Parlimen dan Adun yang menang dan dari pihak kerajaan dan pembangkang, tanpa mengira anutan politik sama-sama menggembleng tenaga untuk kemakmuran rakyat.

Namun ada perkara dasar yang perlu dipertimbangkan dengan saksama. Adakah UBN benar-benar ingin berubah atau hanya meminta waktu untuk bertenang dan kemudian bangun semula dengan strategi tertentu yang pada sama momentum sokongan rakyat terhadap PR diperlahankan?

Kerajaan Perpaduan VS Kerajaan Campuran

Saya berharap pemahaman saya terhadap konsep dan gagasan KP tidak terlalu jauh tersasul.

Kerajaan Campuran (KC) lebih kepada penyertaan parti pembangkang ke dalam UBN dan parti-parti ini sama ada PAS, PKR atau DAP akan terikat dengan polisi atau dasar-dasar UBN.

Perbezaan yang ada ialah ikatan KP adalah lebih longgar dan berdasarkan kerelaan sementara ikatan KC lebih padu dan terikat dengan peraturan-peraturan yang mengikat.

Dalam KP, dasar dan matlamat setiap parti tidak terjejas, tetapi dalam KC, dasar, atau matlamat atau pendekatan perlu disesuaikan dengan parti induk (mengikat dan tidak bebas)

Impak

Nampaknya gagasan KP dan KC ini dibincangkan atau dibahaskan lebih dalam konteks menonjolkan personaliti. Bagi yang menyokong KP seolah-olah cuba memperlihatkan kehebatan tokoh yang mengemukakan iaitu TGHH. Manakala bagi yang tidak bersetuju lebih terdorong untuk menonjolkan kehebatan TGNA.

Jika kita terperangkap dengan soal personaliti dalam membincangkan gagasan ini, impak sebenar kepada PR akan terabai.

Baik TGHH atau TGNA memasing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Walaupun mereka bertaraf ulama namun mereka masih seorang manusia yang bersifat lemah.

Pada saya yang perlu difokuskan bukan soal tokoh atau personaliti tetapi apakah PR akan benar-benar memperoleh manafaat apabila Kerajaan Perpaduan dilaksanakan. Soal KC tidak timbul lagi kerana telah ditolak oleh muktamar yang lalu.

Begitu juga soal kekhilafan dalam tafsiran atau pemahaman terhadap KP juga tidak begitu signifikan berbanding dengan impak sebenar terhadap PR dan UBN.

Hakikat yang perlu disedari ialah momentum sokongan rakyat terhadap PR begitu memberangsangkan dan banyak analisis pemerhati politik bebas berpendapat bahawa UBN akan benar-benar terancam pada PRU13 nanti.

Bukti-bukti yang ada menunjukkan arah aliran ini. Lihatlah protes rakyat terhadap Kudeta di Perak. Sampai kini, DS Nizar masih dianggap MB Perak yang dijatuhkan secara tidak bermoral dan melanggar Perlembagaan. Semangat Permatang Pauh telah bergerak ke Kuala Terangganu, dan ingin akan bersemarak lagi di Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan insayak Allah di Batang Ai.

Siri-siri ceramah yang diatur oleh PR dihujani dan dikelilingi oleh tentera merah. Dan terkini, penggantungan 3 bulan permit Harkah dan Suara Keadilan memperlihatkan dengan jelas bahawa UBN begitu gusar dan gerun dengan kebangkitan rakyat dalam menyokong PR.

Barangkali perlu saya tegaskan bahawa momentum ini adalah momentum terbaik dalam sejarah politik Malaysia, dan jika momentum ini terhenti dan UBN bangkit semula, saya khuatir, momentum ini akan mati begitu sahaja dan kita terpaksa menunggu berapa puluh tahun lagi untuk momentum sebegini bangkit semula.

Rumusan

Baik KP atau KC, pelaksanaannya atau lontaran ideanya hanya berfokuskan kepada untuk menyelamatkan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR. Keadaan genting ini berlaku kerana kelemahan Pak Lah dan membiarkan timbalannya bermaharajalela menggunakan segala aparat kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan PR. Dan andaian pelaksanaan KP ini ialah penerusan Pak Lah sebagai PM, dan pada masa sama menghalang kemaraan Najib. Nampaknya Pak Lah sesungguhnya bukanlah seorang pejuang. Pak Lah tiada kekuatan dalaman yang ampuh dan cenderung bersikap mengalah. Semakin jelas bahawa Najib akan menjadi PM ke-6 Malaysia!
Jelas kelihatan bahawa fokus UBN telah tersasul dan melupakan fokus mereka yang sebenar iaitu memastikan kesejahteraan hidup rakyat dalam suasana kegawatan ekonomi Malaysia dan ekonomi dunia. UBN berada dalam suasana penafian dan melihat PR sebagai musuh dan punca mereka ditolak oleh rakyat. Yang sesungguhnya terjadi ialah amanah rakyat yang diberikan kepada UBN dikhianati, diselewengkan, dan diperkuda untuk kepentingan kuasa, dan kelompok.
Nampaknya pemimpin-pemimpin tertinggi PR khuatir dengan sikap brutal Najib dalam menangani musuh-musuh politiknya. Ada pemimpin PR yang cukup gusar akan berulang episod Kudeta Perak akan melanda pula Selangor, Kedah, dan Pulau Pinang.

Mengapa perlu kita khuatirkan? Episod Kudeta Perak sesungguhnya suatu hikmah dan pengajaran bahawa wujud lompang yang luas dalam soal pengendalian urusan pentadbiran negeri serta kejatidirian Ahli Parlimen dan Adun PR dalam mengharungi umpanan dan tekanan UBN.

Jika akhirnya berlaku gangguan yang serius terhadap kerajaan-kerajaan negeri PR, apakah rakyat buta dan tidak tahu menilai siapa yang sebenarnya menjadi punca berlakunya gangguan tersebut? Semakin keras gangguan mereka, semakin kuat tekanan yang diberikan, dan semakin brutal tindakan mereka dalam usaha menjatuhkan kerajan PR, akhirnya UBN yang akan menanggung padahnya. Dan ini sebenarnya boleh dijadikan sumber kekuatan PR dalam menghadapi PRU13.

Akhirnya, bagi saya, dan saya tidak perlu rasa rendah diri, jika KP ini cuba dilaksanakan, musibah sebenarnya ialah menghakis sokongan rakyat terhadap PR. UBN sebenarnya telah menjadi dinasour. UBN hanya perlu digantikan dengan pemerintahan lain jika rakyat benar-benar ingin menikmati hidup yang berteraskan “Ketuanan Rakyat”. Untuk melihat kemampuan UBN berubah, lihatlah siapa PM yang ke-6 itu.

Di Simpang 4, AS, 2.15am

No comments:

Post a Comment