12 March, 2009

Siapa Yang Gawat, UMNO Atau Pakatan Rakyat?


Saya percaya bagi sesiapa yang mengikuti secara tekun politik negara kita, kegawatan politik kian nyata dan menjengkelkan sekali. Beberapa peristiwa yang berlaku akhir-akhir ini menggambarkan kerakusan dan ketamakan. Soal rakyat, hidup rakyat, kegetiran rakyat dalam mengharung hidup dalam keadaan ekonomi kita yang kian gawat, seolah-olah tidak mendapat tempat langsung dalam kalangan elitis politik Malaysia.

Episod Kudeta di Perak masih belum selesai. Dua kerajaan yang sama-sama bergelut mencari kesahan undang-undang, gagal berfungsi malah kian rumit. Ironisnya, rajanya pula dianggap paling cerdik antara raja-raja di Malaysia. Proses undang-undang yang berjalan menjadi macam sarkas. Yang terkini bagaimana Sivakumar, Speaker DUN Perak, dinafikan haknya melantik peguam dalam kesnya.

Krisis di Perak menunjukkan proses demokrasi dan raja berperlembagaan menjadi begitu tempang sekali. Membaca kertas kerja yang dibentangkan oleh Mustafa Ali, secara jelas, krisis di Perak berlaku berpunca daripada kegagalan pihak perampas menghormati dan menodai semangat perlembagaan, Perlembagaan Persekutuan amnya, Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Kemudian, peraspas berlindung di sebalik Raja atau Sultan.

Lebih daripada episod Kudeta ini merampas hak rakyat dalam memilih kerajaan yang mereka inginkan. Takrif dan semangat demokrasi telah diberi takrif baru oleh perampas.

Saoalan yang sesuai ditanya, dapatkah si perampas itu atau gerombolan perampas itu, hatta atas kepentingan Melayu Perak mendapat keuntungan politik secara tuntas? Atau, Pakatan Rakyat walaupun dinafikan untuk mentadbir negeri kemenangan mereka, mendapat keuntungan percuma? Apakah imej Najib dan Zahid begitu menjulang pada kaca mata penyokong UMNO?

Yang kedua, isu PPSMI. Apabila tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan malah yang bergelar Sasterawan Negara dan begelar Datuk, turun ke padang untuk berdemonstrasi, itu menunjukkan isu ini perlu penyelesaian tuntas. Apakah tokoh-tokoh bahasa dan sasterawan ini tidak ada otak dan nurani untuk membiarkan diri mereka dan maruah mereka diperkuda oleh parti pembangkang, seperti didakwa oleh Si Hisham? Sebelum menuduh, selidikilah dulu bagaimana pejuang-pejuang bahasa dahulu berdemo mengusung "keranda 152".

Yang menjengkelkan sekali ialah Si Hisham sendiri yang memegang amanah pendidikan negara enggan bertemu dengan barisan pemimpin GMP. Begitu tinggi martabat Si Hisham itu ye. Yang paling menyedihkan ialah layanan pihak polis terhadap para demonstran itu - dihujani gas pemedih mata dan air gatal dari meriam FRU. Begitu dahsyat layanannya jika diukur daripada keinginan para pendemo itu hanya berarak ke istana negera untuk menyerah beberapa keping kertas kepada wakil istana negara, dan telah pun diperkenan permintaan rakyat itu.

Sekali lagi, persoalannya, adakah rakyat itu buta, pekak, dan tidak tahu menilai siapa yang salah atau benar berkaitan peristiwa ini?

Begitu juga kes Anwar, pemindahan kes sodomi itu ke Mahkamah Tinggi telah pun berjaya diperoleh oleh pendakwa raya. Tiba-tiba sahaja sahaja sijil pemindahan yang ditandatangani oleh Si Ghani itu yang menimbulkan keraguan mengikut pendirian Hakim Komathi, menjadi sah. Dan, dalam Parlimen, Si Nazri menjelaskan bahawa Si Ghani dan Si Musa disahkan tidak terlibat dalam pemalsuan bukti kes mata lebam Anwar. Nampak seolah-olah ada keselarian antara pendapat hakim dan Si Nazri. Bolehkah kita katakan ini sebagai satu konspirasi?

Si Saiful pula diselubungi "mistri", sekejap timbul, kemudian hilang ... Terkini Si Saiful menyaman pula penulis blog Pahang Daily Online yang didakwa memfitnahnya. PDO mendakwa Saiful sedang menderita satu "penyakit". Dan, paling terkini ialah PDO pula akan membuat laporan polis terhadap saman Saiful ini. Soalannya, mengapa Si Saiful begitu terdesak menyaman PDO? Adakah wujud kebenarannya yang cuba ditutup?

Rumusan

Di sebalik tindakan yang kurang berhemah ini agak menarik untuk disorot titah-titah terkini oleh Sultan Selangor dan DYMM DPTN Agong.

Sultan Selangor yang pada awalnya menyatakan ketidaksenangan-hati baginda terhadap tindakan rakyat Perak terhadap Sultan Perak, akhirnya mengubah nadanya. Episod lembu-kereta di selangor, Adun Bukit Lanjan, Sultan Selangor kelihatannya menyebelahi Kerajaan Rakyat Selangor khususnya DS Khalid Ibrahim. Titah Sultan Selangor ketika merasmikan Sidang DUN ke-12 Selangor, "Prinsip yang paling penting untuk mencapai sebuah negara yang maju ialah prinsip demokrasi dengan pandangan rakyat perlu diutamakan dalam menetukan hala tuju sesebuah negara."[http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19778&Itemid=50].

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru rakyat supaya menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin khaira ummah (umat yang berkualiti dan baik). Sambung Tunku Mizan, "Apabila sebahagian umat manusia dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka berlakulah pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa hidup manusia lantaran kemurkaan Allah S.W.T,". [http://www.malaysiakini.com/news/99868]

Apakah makna semua titah ini? Kepada siapakah atau pihak manakah yang dihalakan titah itu? UMNO atau Pakatan Rakyat? Adakah Raja-raja Melayu mula memahami ke mana akhirnya ketaatsetiaan UMNO terhadap Raja?

Akhirnya, akhir-akhirnya secara jelas, UMNO dan BN mengambil pendekatan yang paling kontra dalam setiap penyelesaian masalah politik membabitkan Pakatan Rakyat. Siri tindakan ini menimbulkan soalan yang cukup mendasar,

"UMNO dan BN sedang mempertahan kuasanya atau mempertahan hak-hak rakyat?"

Di Simpang 4, AS, 2.00am

No comments:

Post a Comment