01 March, 2009

Bahagian I: Najib, Istana, Politik Melayu VS Politik Malaysia


Saya minta maaf kepada pembaca yang setia blog ini. Agak lama saya mendiamkan diri iaitu sejak berlaku kudeta di Perak sehinggalah isu terbaru soal “kereta-Lembu” di Selangor. Walaupun begitu, saya ikuti secara rapat siri peristiwa ini.

Sebenarnya, isu-isu kudeta itu boleh diikuti secara jelas oleh blog-blog Perisik Rakyat dan Perakekspress. Maklumat yang dipaparkan oleh blogers ini lebih genuine kerana hubungan rapat mereka KRP.

Jadi, kali ini, saya cuba menelaah dan meramalkan apa makna segala ini dan kesannya kepada politik Malaysia.

Jika sudi, silalah kita berkongsi pandangan.

Sesungguhnya Allah S.W.T. itu Maha Besar, Maha Agong, dan Maha Perancang. Secara tiba-tiba dan barangkali telah lama ditunggu, Allah menayangkan satu episod kepada khalayak (rakyat) yang mendedahkan segala-galanya.

Siapa sebenarnya bakal PM bermula 1 April nanti?

Episod Kudeta Kerajaan Rakyat Perak (KRP) yang diterajui oleh Najib dan Zahid sesungguhnya memperlihatkan kepada kita banyak hal yang tersembunyi sebelumnya yang kebanyakannya menyangkut langsung survival bangsa Melayu, survival Institusi Raja, dan bangsa Malaysia amnya.

Episod Kudeta KRP

Datuk Nasalah yang memulakan episod ini yang menggerakkan komplot liicik ala CIA atau Gestapo. Kemasukan Datuk Nasa ke PKR membangkitkan protes terhadap Tajol Rosli. Tajol digambarkan seorang ketua yang lemah dan gagal mengawal anak buahnya. Tajol akhirnya meletakkan jawatan dan membawa diri. Kerusi ketua diambil alih oleh Najib. Bermulalah episod atau drama terlalu klasik ini pada era dunia tanpa sempadan.

Dua YB PR dari PKR tiba-tiba hilang. Tidak dapat dihubungi hatta oleh keluarga sendiri malahan isteri sendiri. Ke mana mereka?

Kerajaan Rakyat Perak persis berada di hujung tanduk.

Kemudian YB Jelapang pula “hilang”. YB ini dari DAP yang khabarnya bermasalah dengan pimpinan DAP negeri.

Akhirnya mereka muncul dari gua, dan tak lama selepas itu, mereka berempat muncul bersama Najib. Najib mengisytiharkan BN Perak telah mendapat majoriti. Berlakulah kudeta apabila Sultan Perak enggan membubarkan DUN sebagai satu cara mengembalikan semula mandat pemilihan kerajaan kepada rakyat malah MB, Nizar, diminta meletakkan jawatan sebagai MB. Nizar enggan.

Zambri akhirnya mengangkat sumpah sebagai MB baru Perak, sedangkan Nizar, secara perlembagaan masih sah sebagai MB.

Baiklah, kita telusuri siapa orangnya yang memberi majoriti kepada BN. Osman dan Jamaluddin sedang berhadapan dengan kes SPRM melibatkan projek RM180 juta dan rasuah sex. Kesnya akan disebut pada 10 Februari 2009. Walaupun kes ini lebih bermuslihat politik, namun kita tahu dan sedar bagaimana SPRM (dulunya, BPR) dengan mudah boleh dieksploit untuk kepentingan pihak berwajib, Osman dan Jamaluddin akan benar-benar tersepit. Khabarnya juga pihak SPRM didakwa mempunyai rakaman video perlakuan sumbang mereka dengan kupu-kupu malam tersebut.

YB Jelapang pula memang bermasalah dengan DAP negeri. Khabarnya tidak puas hati kerana tidak diberi jawatan Exco, sedangkan dia merupakan ahli DAP yang senior. Camri pula tidak diperuntukkan untuknya.

Khabar yang kuat bertiup bahawa Osman dan Jamaluddin telah dikepung, diculik dan diberi tawaran lumayan jika sanggup melompat parti. Khabarnya, melibatkan wang RM5 juta setiap seorang. Situasi genting yang dihadapi kedua-dua YB ini memudahkan lompatan ini berlaku.

Datuk Nasa yang pada awal tetap komited dengan PKR, khabarnya diculik dan diperangkap oleh kenalan rapatnya sendiri dan dapat bolos daripada jagaan AMK Perak serta dibawa ke Putrajaya. Kita sedia maklum akses Najib terhadap polis dan SPRM, maka tidak mustahil Datuk Nasa di”tune” semula.

Terdapat dua persoalan dasar tentang kudeta ini. Pertama soal perlembagaan Perak (Undang-Undang Tubuh Negeri Perak). Sahkah kudeta itu? Mengapa Sultan Azlan tidak memperkenan sembah Nizar supaya DUN Perak dibubarkan? Sultan Azlan arif dalam aspek Undang-undang Perlembagaan. Inilah yang menimbulkan tanda soal yang besar kepada pengamal perundangan termasuk Majlis Peguam.

Kedua, kekukuhan kerajaan yang diperakui oleh Sultan Perak yang diketuai oleh MB baru Dr Zambri. Majoriti yang mereka peroleh daripada ADUN bebas yang benar-benar bermasalah. Osman dan Jamaluddin, kesnya sedang dibicarakan dan salah seorang telah mengaku telah melakukan hubungan sex dengan wanita yang dibekalkan dan ada buktinya. Kes ini kukuh, dan berkemungkinan besar kedua-dua Adun bebas ini akan bersalah. Jika ini berlaku, majoriti BN akan berkurang. Kalaulah mereka menang, tidak timbulkah persepsi bahawa UMNO telah mempengaruhi keputusan mahkamah.

Khabar terkini apabila meneliti blog-blog proPR seperti “Perakekspress” dan “Perisik Rakyat” menjelaskan bahawa ketiga-tiga Adun tersebut, JeLapang, Osman, dan Jamaluddin, sehingga kini tidak dapat dikesan mana-mana tempat persembunyian mereka, malah sejak berlaku lompatan, mereka ini tidak pernah menjenguk kawasan mereka, dan pengundi mereka telah mula menunjukkan rasa tidak senang. Dapatkah mereka bertahan dengan status bebas itu?

Tambahan pula, dalam barisan exco Dr Zambry, nama-nama mereka tidak terlibat termasuk Datuk Nasa. Adakah UMNO melayan mereka sekarang seperti mana sebelum berlaku lompatan. Kini, mereka telah dapat apa yang mereka mahukan daripada keempat-empat adun tersebut.

Khabar paling baru, mereka telah tidak tertahan, dan ada berita yang mengatakan bahawa mereka ingin merujuk balik kepada parti asal mereka. Usaha-usaha pembawa utusan telah bermula, namun, Anwar menolak, malah memberi syarat agar mereka meletak jawatan sebagai Adun.

Maka, persoalan kudeta ini semakin berkabut. Apakah yang sebenarnya yang muncul di benak Najib ketika memulakan episod kudeta ini? Tidak terbangkitkah soal kebangkitan rakyat – sekurang-kurangnya penyokong PR, dan pengundi atas pagar, serta orang muda? Adakah penyokong tegar UMNO sendiri pun akan menerima episod melanggar Perlembagaan Negeri Perak sewenang-wenangnya? Tidakkah dengan tindakan Najib dan Zahid ini telah memalitkan arang ke muka penyokong mereka? Memang pada awalnya, mereka bertepuk gembira, tapi kini? Bagaimana pula pengundi bukan Melayu Perak? Bukankah selama ini, undi mereka yang menyelamatkan BN? Perasaan mereka, bagaimana?

Begitu juga dengan Sultan Azlan, baginda melanggari tulisan baginda sendiri bahawa Sultan sewajarnya akur akan nasihat Mbnya? Malah, Sultan menolak pembubaran DUN, dan meminta Nizar meletak jawatan. Jadi, kita tertanya-tanya, apakah niat dan hasrat yang tersembunyi di minda bawah sedar Sultan Azlan? Atau ada sesuatu berlaku di sebalik tabir yang menyangkut hubungan antara Institusi Raja, politik, dan perniagaan? Atau soal Melayu yang menjadi umbi segala tindakan Sultan?

Persoalan-persoalan ini akan dijawab, insyak Allah di bahagian kedua nanti.

Di Simpang 4, AS, 2.30pm

1 comment: