16 September, 2008

Pertemuan Anwar-Abdullah: Agenda 916?

Penggunaan ISA terhadap RPK, Tan Hoon Peng, dan Theresa Kok, serta mengikut Salahudin, banyak lagi pemimpin yang akan ditahan menandakan BN dan UMNO sedang diasak hingga ke dinding batu. Bagi pihak Pakatan Rakyat, ini suatu tindakan terdesak, dan satu cara untuk mensabotaj agenda 916, serta suatu ugutan.

Ekoran daripada penggunaan ISA ini membuatkan Pakatan Rakyat terpaksa bermesyuarat dan menyatakan pendirian tegas bahawa itu suatu pencabulan terhadap hak asasi manusia. Namun, Anwar tetap tegas bahawa agenda 916 tetap berjalan lancar. Dakwa beliau, jumlah yang diingini telah pun mencapai sasaran!

Mengikut pendapat dan analisis MSO dalam blognya, kemasukan semula TDM ke dalam UMNO (terkini, tarikh telah pun ditetapkan, 17 September) membawa implikasi yang cukup membahayakan Abdullah. Abdullah diasak teruk oleh regu TDM-MUHYIDIN-NAJIB. Regu ini akan membawa masuk Tengku Razaleigh yang akan menentang Abdullah pada Disember ini. Bagi MSO, Abdullah kena menyediakan pelan penyelamatan diri sama ada mengumpul semula TEAM B, atau pilihan terakhir, dan agak mustahil (tapi politik ialah seni kemustahilan dan penuh kebarangkalian) ialah menyerahkan nasibnya kepada Anwar.

Analisis yang hampir selari ialah posting terbaru Husan Musa dalam blognya, 12 September ( Politik Malaysia dalam Lumba Lari) jelas menyatakan bahawa Abdullah akan diturunkan selewat-lewatnya Disember ini dengan kemasukan semula TDM ke dalam UMNO. Dua alternatif diberi Husam iaitu bergabung dengan PAS sebagai menyambung talian hayat atau sekali lagi mengadu nasib kepada Anwar. Saya akan ulas kemudian tentang implikasi tulisan Husam ini. Oleh sebab Husan salah seorang Naib Presiden PAS, beliau lebih prihatin terhadap ke mana PAS selepas kemasukan TDM dalam UMNO dalam kaitannya dengan agenda 916.

Dengan perkembangan mutakhir ini, iaitu kemasukan semula TDM ke dalam UMNO, dan keberanian Muhyidin menyarankan pelan peralihan kuasa Jun 2010 dipercepatkan, paling lewat Disember ini, Abdullah menjadi kebingungan. Situasi genting ini, tidak mustahil, Abdullah mesti dan terpaksa menyediakan beberapa pelan penyelamatan.

Dan, antara pelan yang masuk akal ialah penyerahan kuasa kepada Anwar. Abdullah akan terselamat, kerana:

1. Jawatan PM sebenarnya secara moral ialah milik Anwar yang dinafikan oleh TDM melalui konspirasi terancangnya.
2. Maruahnya sebagai PM akan terselamat kerana arah aliran politik pasca PRU12, BN dan UMNO telah kehilangan mandat memerintah.
3. Rasa bersalah Abdullah akan terubat sekiranya Malaysia diserahkan kepada Anwar. Dengan permasalahan moral yang cukup kronik yang dihadapi oleh Najib, Najib telah hilang kredibiliti sebagai calon PM. Rahsia rumah tangganya sudah tentu amat dimaklumi oleh Abdullah!
4. Abdullah kelihatannya tidak dapat lagi mengawal geng tingkat 4, dan yang paling merisaukan ialah Abdullah hilang kawalan terhadap menantunya, dan kerakusan anaknya. Biar Anwar menanganinya. Banyak orang melihat seolah-olah Abdullah memanjakan menantu dan anaknya. Tetapi, cuba bayangkan senario sebegini. Penglibatan dan campur tangan menantu dan anaknya dalam percaturan politik dan ekonomi telah cukup dalam sehingga tak dapat dikawal lagi. Kalau dibiarkan, musibah akan lebih parah. Di sinilah peranan Anwar!
5. Abdullah dilihat gagal menangani pemberontakan senyap oleh Gerakan, MCA, MIC, PPP, dan parti-parti di Sarawak dan Sabah. Hanya Anwar yang mampu menanganinya.
6. Pengurusan ekonomi. Saya yakin sekurang-kurangnya pelaburan dari Asia Barat akan mencurah masuk. Bukankah ini yang diperlukan oleh ekonomi kita?
7. Menggantikan Islam Hadhari dengan pusat kecemerlangan ilmu Islam. Saya percaya dan yakin, KL akan muncul sebagai pusat tamadun Islam bahagian Asia.

Anwar hanya menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk menemui Abdullah untuk membincangkan pelan peralihan kuasa (baca: Masa Depan Malaysia). Penggempuran Anwar dengan agenda 916 cukup berkesan dan menimbulkan implikasi psikologi cukup parah terhadap BN dan UMNO.

Abdullah telah benar-benar terdesak. Beliau terpaksa memilih antara dijatuhkan dengan aib atau nasibnya akan terbela sekiranya beliau bergabung dengan Anwar. Dendamnya pada TDM, dan seterusnya memberi keadilan kepada Anwar yang diaibkan dengan cukup hina oleh TDM.

SITUASI INI IALAH SITUASI “WIN-WIN”. Rasa-rasanya, pelan inilah yang TERBAIK buat Abdullah!

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment