12 September, 2008

REAKSI ULASAN DATO’ PHA: BARANGKALI ADA MESEJ TERSIRAT

"Agak riuh juga apabila Dato" Mustafa Ali memberikan pandangannya tentang 16 September. Dato' Pha yakin sekali bahawa tidak akan berlaku apa-apa pada 16 September ini. Beliau melihat isu ini daripada dua perspektif: teknikal dan politik.Jangan lupa Dato' Pha bukan sebarangan orang. Beliau "orang lama" dalam PAS.

Dalam PRU12, beliau merupakan Pengarah Pilihanraya PAS peringkat pusat. Kedudukannya ini memperlihatkan beliau seorang strategos politik PAS. Beliau juga terlibat dengan bangun dan jatuh PAS di Terengganu. Apabila beliau sesekali bercakap, butir-butir percakapan atau luahan pandangannya tentulah akan mencuri pandangan atau respons khalayak.

Kita menghormati kedudukan dan pengalaman beliau yang penuh simpang-siur itu. Pengalamannya cukup kaya. Pengalaman yang dikumpul bergenerasi itu amat berguna kepada PAS dalam mengemudi PAS dalam gelora politik era PRU12.

Sekiranya diteliti benar-benar kenyataan beliau, beliau berpendapat Anwar tidak akan menjadi PM 6 pada 16 September kerana ketika itu Parlimen berehat kerana Ramadhan. Dengan begitu, bagaimana akan terjadinya undi tak percaya, dan hal-hal seterusnya. Beliau tidak kata tidak akan berlaku "penghijrahan" MP BN ke Pakatan Rakyat.Begitu juga tentang pendapat beliau mengenai "penghijrahan" MP BN itu. Beliau tidak nampak bahawa akan berlaku penyeberangan hanya semata-mata kerana faktor Anwar. Anwar kini hanya Ketua Pembangkang, dan jika sekiranya terbentuk KERAJAAN BARU, belum tentu Anwar akan jadi PM.Begitu juga, beliau juga berpandangan bahawa tidak akan berlaku penghijrahan kalau MP-MP BN itu mempunyai niat untuk memperoleh sesuatu berupa kuasa atau habuan kerana Anwar bukan PM.

Komen saya ialah ini adalah pandangan yang nutral dan dialu-alukan. Namun awas kita perlu membacanya dengan kepala dingin. Dengan kepala dingin, kita akan dapat menerobos mesej-mesej tersirat yang cuba dihantar oleh Dato' Pha.Pada saya, apa yang dimaksudkan oleh Dato' Pha ialah sepanjang bulan mulia ini, Anwar tidak akan jadi PM walaupun berlakunya penghijrahan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru. Begitu juga, akan berlaku penghijrahan sekiranya MP-MP yang akan berhijrah itu berhijrah semata-mata ingin membolehkan penubuhan Kerajaan Baru yang "lebih baik, lebih manusiawi, lebih adil, mendasarkan setiap tindakan atas prinsip 'rule of law', dan perjalanan kerajaan berasaskan nilai-nilai teokratik".

Satu sisi yang lain, pandangan Dato' Pha ini mampu meredakan kegelisahan dan kepanasan yang dideritai oleh BN dan UMNO. Bagi mereka, jelas PAS kurang setuju dengan perubahan kerajaan secara tidak demokratik itu. Bukankah pencuri dan perompak akan merompak ketika tuan rumah sedang tidur nyenyak dan aman? Keadaan ini sebenarnya memudahkan Pakatan Rakyat menyusun agenda tanpa banyak gangguan.

Akhirnya, memang daripada gaya percakapan Dato' Pha dalam TV3, Buletin Utama, 10 September, nampak serius dan bersungguh-sungguh, bahawa beliau menekankan soal MORAL sekiranya berlaku perubahan itu pada 16 September. Pada sesiapa pun, akan memberi pendapat yang sama, cuma yang berbeza ialah premis pendapat dan rasionaliti di sebalik berlaku perubahan itu. Pada PAS, sebuah parti yang berteraskan Islam, tentunya tidak boleh bertolak ansur dengan soal moral.

Tetapi, adakah beliau menghalang secara jelas keterlibatan PAS dalam usaha membentuk Kerajaan Baru itu? Cuba baca dengan teliti, penegasan beliau bahawa PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat!Dengan itu, kita seharusnya bersikap meraikan kepelbagaian pandangan. Kepelbagaian inilah yang membolehkan sesuatu keputusan yang diambil itu jelas dan tepat.

Wallahualam.

Nota: Pendapat ini telah saya poskan ke tranungkite, dan saya ucap ribuan terima kasih atas komen-komen yang diberikan.

No comments:

Post a Comment