16 September, 2008

Untuk PAS Daripada Anwar

Salam Ukhwah dan Salam Ramadhan.

Ketika saya menulis sedikit coretan ini, hari telah bertukar, awal pagi 16 September. Ceramah secara "live" dari Stadium Kelana Jaya telah terhenti secara tiba-tiba. Dengan jelas, Anwar menjelaskan bahawa agenda 916 adalah bukan agenda peribadi, tetapi agenda rakyat! Dia menyatakan bahawa beliau ditubuh sebagai pembohong, rakus kuasa, perampas kuasa. Beliau menegaskan bahawa beliau hanya menyambung kehendak rakyat Malaysia ke arah perubahan - dari keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik.

Satu persoalan yang perlu dijawab ialah adakah agenda 916 ini adalah agenda peribadi Anwar, dan semata-mata untuk dirinya - kerakusan akan kuasa atau jawatan no. 1 yakni Perdana Menteri? Jawapan ini sebenarnya sudah terjawab apabila beliau diaibkan dan dipenjarakan pada tahun 1998 kerana menentang kehendak TDM ketika itu. Aapa salahnya kalau beliau inginkan kesenangan duniawi, turuti sahaja kehendak TDM ketika itu. Bukankah jawatan PM ketika itu secara mutlak, dengan izin Allah s.w.t, adalah miliknya. Ketokohannya dan pengalamannya sebvagai TPM dan sebagai Menteri Kewangan sudah lebih dari cukup melayakkan dirinya sebagai PM pengganti TDM? Tetapi, mengapa beliau sanggup menentang arus dan dalam masa kehilangan segalanya?

Setelah dibebaskan, beliau dengan konsisten meneruskan agenda reformasi - mereformasi segenap aspek kehidupan. Tentunya reformasi ini untuk menjamin kejayaan besar mestilah menguasai Putrajaya. Dari sinilah bermula permuafakatan antara parti yang menentang hegomoni BN dan UMNO. PKR, PAS, dan DAP bersepakat menentang BN dan UMNO. Tepat 8 Mac 2008, majoriti BN dan UMNO do parlimen dapat dinafikan. 5 negeri jatuh kepada Pakatan Rakyat, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.Bila PRK P44 berlangsung, Anwar menang dengan majoriti besar dan malah meningkat.

Apakah signalnya? PRK P44 ini berlaku selepas 5 bulan berl;angsungnya PRU12. Moralnya: Rakyat secara konsisten mahukan perubahan. Lebih tepat rakyat berharap akan berlakunya peralihan Kerajaan.

Siapakah Anwar? Jawapan ini penting untuk kita meneliti adakah sokongan dan dokongan PAS dalam Pakatan Rakyat berbaloi. Tanpa mengetepikan kelemahan-kelemahan Anwar sebagai seorang manusia, beliau melengkapi sejenis manusia Melayu yang lengkap, antaranya
1. Seorang Melayu yang fasih bahasanya.
2. Seorang Melayu yang memiliki kefahaman agama bahawa Islam itu adalah "addin".
3. Kefahamannya terhadap budayanya amat tuntas.
4. Kebolehan intelektualnya meluas dan merentasi sempadan budaya.
5. Mampu mengungkapkan inti pati budaya tinggi di pentas antarabangsa.
6. Boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.
7. Kecintaannya terhadap rakyat bawahan amat nyata.
8. Mampu merealisasikan atau mengkonkritkan ideologinya.
9. Mampu menggerakkan massa mengikut acuannya yang dikehendakinya.
10. Kesanggupannnya menghormati ulamak.
Cukuplah sekadar itu saya memperincikan watak dan perwatakannnya siapa dia Anwar itu.

Dalam konteks ini, adakah PAS akan rugi menyokong seorang manusia Melayu-Islam ini. Sejauh ini PAS telah berjuang bermati-matian untuk menegakkan Islam di bumi Malaysia ini. Bukankah inilah ruang untuk membuktikan bahawa PAS boleh berartikulasi dengan masyarakat secara nasional, bukan lagi setakat orang Melayu? Saya merasakan bahawa Anwar perlu didokong oleh PAS kerana dengan cara inilah PAS akan dapat ruang dan peluang mengIslamkan segenap inci kehidupan di Malaysia dengan nilai-nilai Islam.

Sayugia diingat bahawa peluang begini tidak akan datang secara berulang. Mengikut sejarah tamadun, seseorang pejuang yang mampu menggerakkan massa dan mencetuskan perubahan (perubahan secara revolusi) akan muncul sekali setiap satu abad. (Pada sesiapa yang ingin meneliti sejarah tamadun ini, bolehlah merujuk tulisan Ali Shariati dalam menanggapi Revolusi Iran sehingga jatuhnya Shah Iran.)

Oleh itu, saya menyeru agar pihak-pihak yang berselisih dalam PAS tentang agenda 916 dapat merapat semula barisan. Dalam hal ini, sejarah lama (tindak-tanduk Anwar semasa beliau berada dalam UMNO) dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran. Masa depan harus dan wajib menjadi fokus. Pengaiban Anwar 1998 sebenarnya merupakan suatu penyucian dirinya. Beliau telah pun memperoleh musibahnya.

Keadaannya sama apabila ahli-ahli UMNO masih bernostalgia bahawa Malaysia ini adalah negara milik Melayu secara mutlak. Ini sebenarnya telah pun menjadi sejarah. Apa yang perlu kita perjuangkan ialah supaya Melayu itu kuat dan perkasa apabila penghayatan Islamnya cukup kental.Kalau PAS masih enggan melepaskan luka lamanya, saya khuatir PAS akan kehilangan peluang untuk merealisasikan misinya.

Kita perlu berusaha terlebih dahulu sebelum menyerahkan nasib kepada Allah s.w.t. Tahaluf siyasi telah pun PAS putuskan. Muktamar yang baru berlangsung itu sepakat memutuskan untuk merapatkan barisan Pakatan Rakyat. Maka bertindaklah secara berhemah. Masa inilah soal-soal politik memainkan peranan, dan Majlis Syura menjadi pemandunya.

Wallahualam.

2 comments:

  1. Buktikan dulu pelaksanaan islam di selangor, baru boleh buktikan sokongaan PAS kepada pakatan rakyat berbaloi. Saya lihat PAS diselangor seolah2 dianaktirikan dan byk jawatan yg sepatutnya milik pas jatuh ketangan yg bukan hak.

    Ahli biasa PAS selangor.

    ReplyDelete
  2. Untuk Ahli Biasa PAS Selangor,

    Terlebih dahulu diucapkan jutaan terima kasih atas komen saudara.

    Kita menyedari terdapat lompang di sana sini dalam Kerajaan PR Selangor. Saya yakin soal ini telah dipetimbangkan dengan teliti oleh Hassan Ali dan Khalid Samad. Tentu mereka mempunyai alasan-alasan tertentu dalam mengukuhkan PR Selangor.

    Dalam hal ini kesabaran dan kebijaksanaan dituntut. Suasana dan persekitaran Selangor tidak boleh disamakan dengan Kedah dan Kelantan yang orang Islam adalah mojoriti. Pada hemah saya, kecekalan pendokong PAS untuk tetap istiqamah dan menyusun sokongan akar umbi supaya tetap utuh.

    Terima kasih.

    ReplyDelete